14 Mei 2013

UMNO tidak pernah amal perjuangan rasis

KOTA BHARU 12 Mei - UMNO tidak pernah mengamalkan perjuangan yang bersifat rasis sebaliknya sejak ditubuhkan, parti itu telah bekerja keras membawa kemajuan pada negara ini yang boleh dinikmati oleh semua kaum terutama bangsa Cina dalam sektor perniagaan.
Veteran UMNO Kelantan, Datuk Rozali Isohak berkata, walaupun jelas perjuangan parti itu berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan, namun dasar yang dibuat adalah secara adil iaitu mengutamakan Melayu dan bumiputera, pada masa sama kaum lain tidak pernah dipinggirkan.
Bekas Timbalan Menteri Besar II Kelantan itu berkata, pandangan bahawa UMNO adalah parti rasis hanya timbul selepas gerakan ekstremis DAP menggunakan sentimen perkauman sehingga kebanyakan rakyat terutama golongan muda lupa perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selama ini yang membawa kemakmuran negara.
“Memang betul apa yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata, cuma apa yang berlaku sekarang adalah orang tidak menilai semua itu. Kita memang bukan rasis walaupun kita Melayu tetapi berjuang untuk semua bangsa malah di Sabah dan Sarawak bukan orang Melayu sahaja menjadi ahli UMNO.
“UMNO sama dengan DAP, bukan parti rasis cuma bezanya gerak kerja DAP sangat rasis sehingga UMNO tidak lagi dikenang jasanya dan kalau kita tengok trend pilihan raya umum baru-baru ini memang ke arah perkauman sehingga orang Cina tolak," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiada ulasan: