9 Jun 2013

Fahami had dan batasannya

BERMULA dengan kejadian menghina Raja-Raja Melayu, menyaman Sultan, mengingkari titah, cuba mendahului kuasa Sultan, membelakangi perkenan Sultan dan kini menghina Yang di-Pertuan Agong iaitu ketua negara yang paling tinggi di negara ini.
Jelas semuanya bermula dengan ketaksuban berpolitik tetapi pendidikan dan pemahaman tentang sejarah mahupun sistem pentadbiran Malaysia juga banyak menyumbang kepada corak pemikiran golongan ini yang bermimpi mereka tinggal di sebuah negara republik.
Mereka bernasib baik kerajaan sedia ada tidak begitu tegas kerana perbuatan segelintirnya mungkin diambil kira sebagai menderhaka mahupun memberontak terhadap Yang di-Pertuan Agong dan boleh membawa kepada hukuman mati.
Kerajaan juga perlu mengambil iktibar sikap kurang ajar ini turut disumbang pendekatan yang terlalu berlembut di samping didikan sejarah serta Perlembagaan Negara yang tidak diwajibkan di sekolah mahupun universiti, khususnya di institusi pendidikan berasaskan kaum tertentu sahaja.
Mungkin tiba masanya penguatkuasaan diperketatkan terhadap mereka yang menghina Raja-Raja, agama Islam, Perlembagaan, Jalur Gemilang mahupun mencemar nama baik negara ini, mengingatkan mereka wujudnya perbezaan antara kebebasan bersuara dengan menderhaka kepada Raja dan Negara.
Bagi tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, satu penyelesaian jangka panjang perlu dirangka untuk mengatasi sikap segelintir rakyat yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu mahupun Perlembagaan Persekutuan.
"Masalah ini sudah lama tetapi semakin ketara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) melalui media sosial dan blog dengan alasan kebebasan bersuara.
"Masalah rakyat menjadi biadap akibat dicucuk parti politik tertentu sehingga menjadi tidak rasional, emosi dan bila marah boleh jadi separuh gila. Bila sudah 'gila', tidak kisah undang-undang dan ikut sedap mulut sahaja," katanya.
Di sebalik semua itu, beliau juga melihat kerajaan 'terlalu baik' kerana terpengaruh dengan gerakan hak asasi dan liberalisme global sehinggakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan dan diganti akta baru tetapi ia tidak dapat dilaksanakan atas sebab tertentu.
"Mana-mana sekalipun di dunia, jika kerajaan tidak tegas dan rakyat melihat dasar kerajaan mahupun pihak berkuasa 'tidak melawan', maka mereka akan jadi semakin berani, seterusnya jadi lebih kurang ajar.
"Kerana itu saya menyokong tindakan tegas kerana ketegasan itu amat perlu untuk keselamatan, keharmonian dan perpaduan," jelasnya.
Beliau berharap kerajaan tidak lagi nampak lemah di mata rakyat agar tiada yang menjadi 'lebih gila' kerana ketegasan yang mengikut undang-undang bukannya menzalimi atau balas dendam terhadap rakyat.
Menurutnya lagi, hanya segelintir rakyat Malaysia yang 'gila' dan kerajaan sebenarnya menzalimi majoriti yang tidak bersikap demikian jika tiada ketegasan bertindak mahupun terus bertolak ansur sehingga kepala dipijak golongan tersebut.
"Masa untuk berlembut sudah tamat, jangan dibiarkan hingga tercetusnya huru-hara dan menggugat perpaduan.
"Kita kena betulkan balik mana yang silap terutama sekali dalam pendidikan di sekolah rendah dan menengah, jangan kerana politik kita dengar sangat tuntutan kumpulan yang tiada semangat patriotisme ini, mereka inilah yang mainkan bendera kita dan hina institusi diraja," tegasnya.
Ibrahim turut menegur sistem pendidikan negara yang asyik berubah tetapi bukannya ke arah kebaikan sehinggakan golongan muda kekurangan ilmu khususnya sejarah negara, Perlembagaan dan pendidikan sivik yang semakin hilang atau tidak diajar di sekolah.
Dakwanya, faktor pendidikan itu juga menyebabkan rakyat khususnya bukan Melayu, termasuk ramai orang Cina yang tiada rasa sayang kepada negara ini.
"Kita tidak boleh salahkan mereka sepenuhnya. Ilmu sejarah, Perlembagaan dan sivik ini perlu ada dalam silibus khususnya di semua sekolah rendah dan menengah.
"Langkah ini akan mengambil masa panjang, lebih-lebih lagi bila berdepan sikap cauvinis dan rasis sesetengah pihak tetapi pihak kementerian dan kerajaan tidak boleh takut melaksanakannya sebelum terlambat," jelasnya.
Beliau juga menasihatkan orang Cina perlu berpijak di bumi nyata, tidak perlu nostalgia sehingga semua perkara perlu condong ke tanah besar China mahupun ke Republik Singapura.
"Jangan mulut sahaja kata sayang negara ini, perlu tukar pemikiran untuk kekalkan keamanan. Lihatlah perangai oportunis DAP yang mahukan keuntungan terbanyak tanpa mengira perasaan penduduk pribumi, terus pertahan perjuangan republik yang tiada Raja-Raja Melayu.
"Orang Melayu dari dahulu terima semua kaum dengan tangan terbuka tetapi kini ramai (bukan Melayu) yang nyata semakin cauvinis dan kurang ajar. Baliklah ke bumi nyata sebelum sesuatu yang buruk berlaku," katanya.
Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong pula berpendapat masyarakat Cina perlu dididik semula tentang penghormatan kepada orang Melayu sebagai kaum dominan di negara ini.
"Pemimpin politik dan budaya Cina perlu juga perjuangkan hubungan sosiobudaya dan nasionalisme, bukan ekonomi sahaja. Tindakan menghina orang Melayu boleh bawa huru-hara khususnya sifat agresif dalam media sosial kini.
"Setakat ini cuma ada laporan polis, belum ada yang bertindak sendiri tetapi sampaikan Yang di-Pertuan Agong dihina, itu sengaja mencari pasal. Jika seseorang itu waras, mereka tahu ada hadnya dalam melakukan atau mengatakan sesuatu kepada pihak lain," jelasnya.
Tegasnya, jika had itu pun tidak tahu, maka akan wujud krisis sosiobudaya khususnya bila ramai anggota masyarakat Cina yang lebih perjuangkan jati diri Cina berbanding jati diri nasional sehingga mengundang kemarahan orang Melayu.
Beliau turut mengingatkan melalui kontrak sosial yang dipersetujui dahulu, orang Melayu memberi taraf kerakyatan kepada bukan Melayu sekiranya bukan Melayu setuju menerima kuasa Raja-Raja Melayu, bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu dan lain-lain peruntukan Perlembagaan.
"Malangnya, kini semakin ramai (bukan Melayu) gunakan bahasa tidak sopan dalam media sosial kerana fikir boleh 'baling batu sembunyi tangan' tetapi mereka tidak sedar semuanya boleh dikesan dan diambil tindakan undang-undang.
"Saya harap kerajaan bertindak terhadap semua perbuatan atau kenyataan yang 'menyinggung' mana-mana pihak sama ada Seri Paduka, Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri mahupun rakyat biasa agar menjadi pengajaran kepada semua," ujarnya.
Menurutnya, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 mahupun undang-undang umum di bawah Kanun Keseksaan juga boleh digunakan untuk 'mengajar' golongan tersebut.
"Saya berharap penguatkuasaan tidak lagi terlalu lemah selepas ini, ambil tindakan tegas dengan kadar segera terhadap sesiapa pun yang menghina Sultan, pemimpin mahupun rakyat biasa.
"Jika penghinaan terhadap rakyat biasa sudah dikenakan tindakan tegas, pasti tiada yang berani menghina Sultan, pemimpin mahupun negara.
"Saya berharap pendakwaan dalam kes menghina Seri Paduka ini disegerakan sebagai pengajaran terbaik kepada pengguna media sosial bahawa semuapun ada had dan batasannya," tegasnya.

Tiada ulasan: