10 Jun 2013

Kerajaan ambil serius mesej rakyat

MUHYIDDIN Yassin diiringi Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan BN Pagoh di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Ulu, Pagoh, Johor, semalam.
*****
PAGOH 8 Jun - Rakyat menyampaikan mesej yang jelas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu bahawa mereka mahukan kerajaan bertindak lebih tegas dan berani mempertahankan institusi-institusi penting negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah penting untuk memastikan institusi yang selama ini diwujudkan kerajaan untuk menjaga pembangunan, keharmonian, perpaduan dan keselamatan negara tidak diancam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau menegaskan, antara institusi penting yang perlu terus dipelihara adalah dalam aspek undang-undang, penguatkuasaan, jenayah, penyelewengan serta isu-isu utama lain yang sering menjadi tumpuan penting rakyat.
“Kerajaan yang baharu dibentuk selepas PRU-13 bukan sahaja diharap dapat melaksanakan pelbagai aspek pembangunan, malah wajib menjaga institusi penting itu.
“Kita mendapat mesej jelas (daripada rakyat) bahawa kerajaan yang ada ketika ini mesti efektif, tegas dan berani. Jangan biarkan puak-puak tidak bertanggungjawab mengganggu-gugat," katanya ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Barisan Nasional (BN) Pagoh di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Ulu, di sini hari ini.
Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan.
Menurut Muhyiddin, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan apa yang dimahukan rakyat menerusi tindakan-tindakan sewajarnya.
“Kita akan bantu setiap kelompok masyarakat, siapa sokong lebih kita beri lebih, tiada apa yang perlu ditakutkan, tak perlu bersifat apologetik (minta maaf), Perdana Menteri kata tsunami Cina, tidak mengapa itu pilihan mereka.
“Mesej jelas sebahagian besar Melayu, India, bumiputera, Orang Asli, Siam dan sebahagian besar masyarakat di Sabah dan Sarawak adalah masih mendokong BN. Mereka ini akan terus kita bantu dengan lebih kuat, itu yang akan kita lakukan," katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak akur dengan keputusan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu dan tidak perlu lagi mengadakan demonstrasi jalanan atau sebagainya.
Ini kerana tegas Muhyiddin, sudah sampai masanya agenda pembangunan negara berjalan seperti sediakala kerana rakyat sedang menunggu kerajaan melaksanakan apa yang telah dijanjikan dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.

Tiada ulasan: