8 Februari 2009

'Melayu Perak bukan patung wayang kulit'

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Pengerusi DAP Karpal Singh dan pemimpin pakatan pembangkang hari ini diberi amaran keras supaya berhenti memperlekehkan Raja-raja Melayu dan jangan menjadikan Melayu Perak patung wayang kulit.
Orang Melayu di negeri itu juga diingatkan supaya tidak lagi membiarkan diri mereka diperkudakan untuk menyanggah institusi beraja yang merupakan 'urat nadi' orang Melayu selama ini.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu memberi amaran tersebut ekoran sikap biadap pemimpin pakatan pembangkang sewenang-wenangnya 'memijak' Raja-raja Melayu ekoran keengganan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, tindakan Karpal dan sekutunya yang melakukan provokasi termasuk menyaman Sultan Perak sebenarnya adalah satu bentuk penghinaan amat dahsyat kepada orang Melayu.
Tegas beliau, pihaknya melihat penderhakaan secara terang-terangan terhadap Sultan Azlan Shah sebagai malapetaka terhadap kaum Melayu.
Lebih menyedihkan, katanya, orang Melayu yang berjubah dan berserban telah dihasut untuk berdemonstrasi menentang titah baginda.
"Seolah-olah orang Melayu menjadi patung wayang kulit, Karpal pula menjadi 'tok dalang', manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak mengadu domba," ujar beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan liar penyokong pakatan pembangkang yang merusuh di perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat semalam untuk menghalang pelantikan Menteri Besar baru daripada Barisan Nasional (BN) yang diperkenan oleh Sultan Azlan.
Terdapat antara mereka yang berdemonstrasi itu bertindak berbaring di atas jalan raya bagi menghalang kenderaan rasmi Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selain menghamburkan kata-kata kesat.
Hampir keseluruhan mereka yang menyertai perhimpunan haram untuk mempertahankan kerajaan pakatan pembangkang yang didominasi oleh parti DAP itu terdiri daripada orang Melayu.
Menurut Jamaludin, Pekida berpendapat, Pengerusi DAP itu mungkin mempunyai motif lain untuk menimbulkan kekacauan dan menarik perhatian masyarakat dunia bahawa Sultan Azlan adalah seorang raja yang berat sebelah.
Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula berkata, tindakan biadap Karpal mahu mengemukakan saman terhadap Sultan Azlan Shah dikhuatiri boleh menanam perasaan benci terhadap institusi beraja.
Presiden Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) dan Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan itu menegaskan, tindakan DAP itu seolah-olah menggambarkan Sultan Perak membelakangkan peruntukan undang-undang.
"Dalam hal ini, saya mengingatkan pemimpin pembangkang terutama Anwar, Karpal dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar bertindak secara profesional dan menerima hakikat kegagalan mereka memerintah negeri ini," tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Hilmi berkata, GMP telah membuat laporan di Balai Polis Sea Park, Ipoh, semalam kerana perbuatan Karpal itu dilihat sebagai ugutan bagi menghalang Sultan Perak melaksanakan bidang kuasa di bawah peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Menurutnya, tindakan saman itu jika dibiarkan sudah pasti akan mengakibatkan kaum Melayu bangkit membuat bantahan keras.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, menyifatkan tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan perasaan orang Melayu.
''Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu sudah semestinya tidak akan berdiam diri melihat keadaan tersebut,'' katanya.
Ibrahim meminta Karpal Singh agar jangan bersikap emosional secara membabi-buta memandangkan negara ini merupakan sebuah kerajaan raja berperlembagaan.
''Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, jika beliau masih berdegil dengan tindakannya, lihatlah nanti bagaimana orang Melayu akan bersatu serta bangun menentangnya,'' katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Generasi Profesional Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar menyifatkan cadangan saman itu merupakan strategi Anwar dalam menggunakan Karpal sebagai wakil pembangkang.
Katanya, Anwar mungkin berasa masih perlu 'bersembunyi' dan tidak mendedahkan diri sebagai dalang dalam cadangan saman itu.
"Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu.
"Tindakan mereka berdua membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat," ujarnya.
Justeru, tegas Feriz, kerajaan perlu menggunakan badan perisikan yang ada untuk membuktikan peranan Anwar dalam pelbagai isu yang memporak-perandakan keamanan negara.
- Mingguan Malaysia, 08/02/09.

Wajah Manusia Angkuh!


  1. * Sewajar ditahan di bawah ISA.
  2. * Wajib dilucut sebagai kerakyatan Malaysia.
  3. * Haram menjejak kaki ke Bumi Perak.

Rakyat marah

  • Menghina raja patut kena tindakan ISA
  • Kaji kewajaran lucut kerakyatan Karpal Singh
  • Syor penderhaka diharam jejak kaki di Perak
KUALA LUMPUR: Tindakan biadab, sombong dan angkuh pemimpin serta penyokong Pakatan Rakyat yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dengan menggugut baginda untuk dibawa ke muka pengadilan, selain memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak, benar-benar menimbulkan kemarahan rakyat.
Kemarahan mereka meluap sehingga ada yang mencadangkan pihak terbabit dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selain dilucutkan kewarganegaraan dan bagi mereka yang bermastautin di Perak, diusir keluar.
Berita Minggu turut menerima panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai yang marah dengan tindakan pemimpin dan penyokong parti pembangkang itu.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataannya semalam, memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak sekali-kali menyentuh serta menjatuhkan martabat, maruah dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang selama ini menjadi payung kepada seluruh rakyat.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, apa yang berlaku di Perak tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila institusi raja dibabitkan dengan begitu agresif sehingga diugut dibawa ke peringkat perundangan.“
Perkembangan di Perak cukup merimaskan semua pihak... sepatutnya perubahan teraju pentadbiran negeri berlaku dalam situasi penuh kematangan, tetapi tercemar dengan insiden yang bermula dengan protes, demonstrasi dan akhirnya keinginan menyaman Sultan Perak.“
Kegelojohan mengheret Sultan ke mahkamah dengan hanya bersandarkan kepada sentimen politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan jelas tidak menghormati institusi raja seperti terkandung dalam prinsip Rukun Negara,”katanya di sini semalam.Kelmarin, Pakatan Rakyat memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di Istana Iskandariah, manakala penyokong gabungan itu pula mencetuskan kekecohan di luar Masjid Ubudiah.
Pengerusi DAP, Karpal Singh pula dilaporkan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Azlan Shah dan BN jika masih berkeras untuk melantik Menteri Besar BN.
Hishammuddin berkata, perbuatan itu tidak boleh dibiarkan menjadi budaya baru kerana gelagat seperti itu sedang diperhatikan oleh generasi muda. Katanya, Sultan Azlan Shah adalah pakar perundangan dan keputusan yang dibuat adalah atas kapasiti dan kedudukan baginda sebagai Sultan.“
Rakyat harus faham bahawa kematangan berpolitik penting dalam menghadapi sebarang perubahan luar jangka. Dalam pilihan raya umum lalu, BN tidak menjangka mengalami kekalahan yang begitu pahit untuk ditelan.“
Bagaimanapun, BN tidak pernah guna sebarang pengaruh atau tekanan kepada institusi raja bagi membolehkan kita terus kekal berkuasa, sebaliknya menerima situasi itu dengan lapang dada dan penuh keinsafan... di sinilah kematangan kita,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan yang mengganggu ketenteraman di Perak itu bergerak atas dasar kepentingan dan kuasa politik semata-mata, tetapi BN tidak pernah membuat kecoh ketika lima negeri diambil alih Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.“
Bagi BN apa yang penting ialah kesejahteraan dan kebaikan untuk rakyat, jadi rakyat seharusnya membandingkan keadaan ini untuk membuat penilaian mudah mengenai parti mana yang sebenarnya boleh membawa aspirasi mereka,” katanya.
Hishammuddin berkata, beliau sudah meminta Pemuda Umno dan BN Perak mempertahankan Sultan Perak yang memerintah mengikut Perlembagaan dan lunas undang-undang negara.“
Saya yakin Sultan Perak membuat keputusan dengan penuh bijaksana dan sudah menimbang semua aspek dalam isu ini. Hanya baginda lebih tahu apa yang terbaik untuk rakyat dan negeri baginda,” katanya.Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata menderhaka kepada Raja memang jenayah berat dan di Thailand boleh dihukum bunuh atau penjara seumur hidup.“
Tidak timbul soal sama ada kesalahan itu di Thailand atau Malaysia kerana perbuatan terbabit sememangnya jenayah berat. Di Thailand, sesiapa menghina Raja boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup,” katanya, ketika dihubungi semalam.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, Pakatan Rakyat kurang ajar, tidak beradab serta mengingkari janji untuk akur dan mematuhi titah Sultan Perak.“
Ia bukan ciri integriti pada pemimpin yang sepatutnya memberi contoh baik kepada rakyat. Kalau mereka sendiri derhaka kepada Sultan dan mungkir janji... dikhuatiri generasi akan datang mencontohinya.“
Pada pandangan saya, jika betul-betul tak bersetuju, ingkar dan tak mahu patuh titah Sultan di negeri sendiri, mereka tidak patut tinggal lagi di negeri itu atau wajar dibuang negeri,” katanya.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican pula meminta Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan usul keras terhadap Karpal Singh, termasuk mengkaji kewajaran kerakyatannya dilucutkan.
Katanya, Pengerusi DAP itu secara nyata menghasut agar timbul ketidaksetiaan kepada raja apabila mengugut mengheret Sultan Perak ke mahkamah atas isu politik.
Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, tindakan menghina institusi Raja-Raja Melayu, termasuk melalui laman web rasmi Sultan Perak menggambarkan pelaku itu tiada adab.
Beliau juga menyifatkan Karpal sebagai penderhaka dan selayaknya dikenakan tindakan ISA selain ditarik balik kewarganegaraan atau diharamkan menjejak kaki di Perak kerana berani mencabar institusi Raja Berperlembagaan.
- BH, 08/02/09.

'Kami akan berlumba masuk pejabat'

Kereta Camry ini akan digunakan oleh Mohd. Nizar untuk 'berlumba' dengan Dr Zambry ke pejabat Menteri Besar besok (Isnin).
*****
IPOH: "Saya biasanya datang awal (ke pejabat) .... kami (jika Datuk Dr Zambry Abdul Kadir datang pada masa sama) akan berlumba-lumba siapa yang masuk dulu," kata Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih menganggap dirinya Menteri Besar Perak.
Katanya, beliau akan datang ke pejabat seperti biasa Selasa depan dan terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar bersama keluarganya.“
Kita mahu perisytiharan mahkamah bahawa kerajaan ini (Pakatan Rakyat) adalah sah dan jika mahkamah memutuskan sebaliknya, kami akan akur, katanya yang sehingga kini masih enggan mengiktiraf Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
Mohammad Nizar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan apa yang dipanggilnya Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri’di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, bermula jam 11.15 pagi dan berakhir kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Pakatan Rakyat sehingga semalam masih menganggap mereka memerintah Perak, walaupun Zambry sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baru di depan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, kelmarin.Bagaimanapun, mesyuarat yang diadakan itu tanpa kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Pegawai Kewangan Negeri, Jamalludin Al Amini Ahmad, selain tidak merujuk kepada Sultan Perak seperti kebiasaan mesyuarat Exco kerajaan negeri.
Dua bekas Exco yang kini menjadi Adun Bebas, Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Mohd Jailu, juga tidak hadir.Mohammad Nizar berkata, mesyuarat berkenaan tidak perlu merujuk kepada Sultan Perak terlebih dulu kerana ia adalah mesyuarat khas, manakala kehadiran pegawai kanan negeri juga tidak perlu kerana mereka bersifat pemerhati atau ex-officio’iaitu tidak boleh mengundi dan membuat keputusan.
Ditanya mengenai kesahihan mesyuarat itu, beliau mendakwa ia sah dan segala keputusan yang dibuat dalam mesyuarat berkenaan perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan berkaitan sambil menegaskan tidak mengiktiraf kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Dr Zambry.
Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Perak berkata, pada mesyuarat itu pihaknya meluluskan empat dasar yang perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri iaitu meluluskan pemanjangan tempoh pajakan tanah industri daripada 30 dan 60 tahun sekarang kepada 99 tahun.Kedua, meluluskan peruntukan RM2.7 juta setahun kepada syarikat penerbangan tambang murah, Firefly, supaya mengadakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ke Singapura dan Kuala Lumpur bermula 15 Mei ini, untuk mengaktifkan semula lapangan terbang berkenaan.
Ketiga, meminta semua 342 Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dipilih Pakatan Rakyat meneruskan majlis angkat sumpah seperti biasa serta meneruskan tugas rasmi mereka seperti sebelum ini dan keempat, memperuntukkan RM1 juta untuk program Kifalah iaitu sumbangan RM1,000 bagi kos dan urusan pengebumian warga negeri ini yang berusia 65 tahun ke atas dan miskin.
Beliau berkata, minit mesyuarat berkenaan akan diserahkan kepada agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) untuk pelaksanaan segera.
Ditanya adakah dasar itu boleh dilaksanakan, Mohammad Nizar berkata: Jabatan kerajaan perlu akur kepada dasar kerajaan yang ada... sebagai agensi bertanggungjawab, saya yakin mereka akan melaksanakan dasar itu.
- BH, 08/02/09.

Penderhaka!

Wayang Kulit Negeri Perak
Pendokong-pendokong Utama
Tok Dalang (Pak Karpal)

Patung Wayang (Pak Dogol)


Tukang Gedang/Tukang Serunai

Jangan hina Raja Melayu


MARAH... SEBAHAGIAN ahli-ahli UMNO Bahagian Ampang Jaya dan NGO mengadakan demonstrasi membantah tindakan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang disifatkan menderhaka kepada Sultan Perak di hadapan IPD Ampang dekat Kuala Lumpur, semalam.
– Utusan/Wahidah Zainal

Sebagai seorang Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. – DR. MAHATHIR MOHAMAD (Bekas Perdana Menteri)
Tindakan mahu menyaman Sultan Perak adalah suatu langkah yang tidak bijaksana, berbaur politik, agenda pakatan pembangkang dan tidak menghormati hak raja di dalam Perlembagaan. Ia adalah amat memalukan, raja perlu dihormati. – MUHYIDDIN YASSIN (Naib Presiden UMNO)
Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, institusi raja dilibatkan begitu agresif sehingga ke peringkat perundangan hanya akibat daripada kekecewaan politik segelintir pihak. – DR. AHMAD ZAHID HAMIDI (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
Seolah-olah kita (orang Melayu) jadi patung wayang kulit, Karpal Singh pula menjadi `tok dalang’, manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengadu domba. – JAMALUDIN YUSOF (Presiden Pekida)
Tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan. Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu tidak akan berdiam diri. – IBRAHIM ALI (Presiden Perkasa)
Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu. Tindakan mereka membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat. – FERIZ OMAR (Presiden Prowaris).
- Utusan, 08/02/09.

7 Februari 2009

Tahniah!

Tahniah diucapkan kepada
YAB. Datuk Dr. Zambry bin Abd. Kadir
diatas perlantikan Menteri Besar Perak yang ke-11

- Putra Lembah Utara.

Nyah kau dari Tanah Melayu ini!

"Pakatan pembangkang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional (BN) jika masih berkeras untuk melantik Menteri Besar BN yang baru, kata Pengerusi DAP, Karpal Singh."

Petikan sidang akhbar Karpal Singh yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 07 Februari 2009 sekali lagi memperlihatkan sikat biadap dan angkuh pemimpin DAP ini.
Berambuslah kamu dari bumi Malaysia ini dengan segera. Kami tak perlu manusia jenis semacam ini.
Sudah banyak kerugian kepada negara akibat sikap tidak bertanggungjawab manusia jenis ini.
Kita ingin hidup aman damai bukan dengan retorik murahan kamu.
Jangan sentuh mana-mana daulat Sultan Melayu. Jangan sampai keris dihunus!.
Daulat Tuanku, Hidup Melayu!


BISIK-BISIK

‘‘TERSERAH kepada Tuanku... Yakin Sultan Perak akan buat keputusan adil.’’ Itulah antara kata-kata Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selepas beliau menghadap Sultan Azlan Shah pada petang Rabu lalu.
Namun lain pula jadinya kelmarin – beliau enggan melepaskan jawatan Menteri Besar, setelah baginda menitahkan supaya beliau dan barisan Exconya meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta ekoran Pakatan Rakyat tidak lagi memperoleh sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Kenyataan dan tindakan Mohammad Nizar itu menampakkan politik mainannya penuh celaru. Bayangkan, sebelum menghadap Sultan pada Rabu lepas lagi, beliau terlebih dahulu mengumumkan pembubaran Dewan tanpa memperoleh perkenan Sultan.
Awang percaya Mohammad Nizar semasa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar selepas pilihan raya umum Mac lepas, turut melafazkan taat setia kepada raja dan cinta kepada negeri.
Bagi Awang, tindak-tanduk sedemikian rupa sudah tentu menjejaskan lafaz taat setia berkenaan yang jika tidak dihentikan segera boleh diterjemah sebagai penderhakaan.
Awang – Taat dan setia.

Pulihkan keyakinan rakyat

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

rencana@utusan.com.my

ANGGOTA Dewan Undangan Negeri Pangkor, Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun ketika Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam.
*****
KEDUDUKAN rapuh kerajaan campuran Perak yang dibentuk oleh parti DAP-PKR-Pas sebenarnya sudah dapat ditelah dari awal lagi.
Pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu, pakatan parti itu berjaya membentuk kerajaan hanya dengan kelebihan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memenangi 31 kerusi berbanding 28 kerusi Barisan Nasional (BN).
Kekalutan dalam pakatan parti itu semakin ketara pada episod pemilihan Menteri Besar Perak yang beberapa kali tertangguh ekoran rasa tidak puas hati terutamanya DAP.
Bagaimanapun kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu mesti disandang oleh seorang Melayu yang beragama Islam, maka Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar Perak seperti yang diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Umum mengetahui jawatan Menteri Besar yang disandang beliau sebelum ini bukan keputusan majoriti, tetapi sebaliknya adalah kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Kerana itu juga, pemerintahan Mohammad Nizar sentiasa dibelenggu kontroversi apabila beberapa keputusan kerajaan Perak kelihatan cenderung memperjuangkan dasar-dasar yang ditentukan oleh DAP.
Paling mengejutkan apabila Mohammad Nizar menganugerahkan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina.
Alasannya supaya sekolah-sekolah Cina tersebut dapat memajukan tanah berkenaan bagi menambah pendapatan sekolah.
Rakyat Perak juga dikejutkan dengan pendedahan abang Mohammad Nizar, Mohd. Fazil Jamaluddin mengenai Perjanjian Pangkor II yang dibuat dengan DAP.
Perjanjian itu antara lain melarang Mohammad Nizar menyebut negeri Perak diperintah oleh Islam. Beliau juga dikatakan tidak dibenarkan menyebut terma-terma politik yang berkaitan dengan Pas atau bahasa Arab seperti hudud dan qisas.
Sebelumnya, Mohammad Nizar mengumumkan cadangan untuk memberi hak status pemilikan tanah selama 999 tahun kepada penduduk lot-lot tanah di Kampung Baru.
Cadangan itu mendapat tentangan banyak pihak kerana ia disifatkan tidak munasabah serta bertentangan dengan semangat Kanun Tanah Negara.
Isu-isu itu jugalah yang bakal menjadi cabaran kepada Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, 47, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
Lebih mencabar, Zambry mengepalai sebuah kerajaan yang sangat rapuh.
BN terikat kuasanya dengan pakatan pembangkang apabila masing-masing menguasai separuh daripada majoriti kerusi DUN.
Apa yang membolehkan BN merampas Perak hanyalah sokongan daripada tiga bekas wakil rakyat pakatan pembangkang.
Itu pun wakil rakyat berkenaan tidak menyatakan secara rasmi mahu menyertai BN, sebaliknya hanya menyokong tetapi berdiri di atas tiket ADUN Bebas.
Untuk menunggu sehingga pilihan raya umum baru yang dijangka dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang, banyak perkara yang boleh terjadi.
Tidak mustahil dalam tempoh terdekat bakal ada ahli BN yang bertindak melompat parti dan kerajaan Perak sekali lagi akan berubah tampuk pemerintahan.
Situasi panas itu seperti dijelaskan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, hanya merugikan rakyat Perak sendiri.
Ini kerana tumpuan di kalangan wakil rakyat kini adalah untuk memujuk wakil rakyat lawan menyertai parti mereka seterusnya membentuk kerajaan.
Dalam keadaan itu, agenda-agenda pembangunan dan memperkasakan pentadbiran tidak lagi menjadi keutamaan, katanya.
Keadaan itu juga membawa kepada kewajaran bahawa kemelut politik Perak ketika ini harus dikembalikan kepada rakyat jelata.
Dalam erti kata yang lain perlu diadakan semula pilihan raya negeri.
Namun, pastinya Sultan Azlan Shah mempunyai sebab tersendiri mengapa baginda merasakan bahawa pilihan raya negeri itu tidak perlu.
Secara logik akal juga, peralihan kuasa kepada BN itu tidak bercanggah dengan peraturan dan dibenarkan dari sudut perlembagaan.
Ini kerana BN kini memiliki majoriti kerusi DUN. Penguasaan BN di Perak sebenarnya lebih kukuh melihat kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lalu.
Walaupun gagal merebut majoriti kerusi DUN, namun BN memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti-parti dalam kerajaan campuran iaitu sebanyak 28 kerusi.
Sebaliknya DAP hanya memenangi 18 kerusi, PKR (tujuh) dan Pas (enam). Walaupun jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pas, DAP dan PKR itu tinggi iaitu 31 kerusi, tetapi ia tidak boleh dianggap majoriti kerana parti-parti itu bukan daripada satu parti yang bertanding.
Justeru, kerusi yang dimenangi parti-parti itu perlu dikira secara berasingan. Namun atas keputusan berhemah Sultan Azlan Shah yang melihat majoriti ketika itu berpihak kepada pakatan DAP-PKR-Pas, maka pakatan parti tersebut berjaya membentuk kerajaan campuran.
Sikap berhemah Sultan Azlan Shah sekali lagi terserlah dalam isu ketika ini apabila BN yang kembali mempunyai suara majoriti diberikan hak untuk menubuhkan kerajaan.
Menurut Ahmad Nidzammuddin, sewajarnya Mohammad Nizar dan penyokong parti pakatan DAP-PKR-Pas menyanjung tinggi keputusan itu.
Tindakan Mohammad Nizar menyembah derhaka untuk tidak melepaskan jawatan Menteri Besar mengguris hati orang Melayu apabila ia dilihat membelakangkan titah Sultan.
''Bagi orang Melayu yang sangat tinggi kesetiaan dan menjunjung kasih ke bawah duli yang maha mulia Raja, tindakan Mohammad Nizar itu sukar diterima," ujar beliau.
Bagaimanapun dalam keghairahan merampas kembali Perak, BN perlu menyedari realiti sebenar kedudukan mereka terutamanya dari sudut sokongan rakyat kebanyakan.
Rakyat Perak terutamanya pengundi di tiga kawasan ADUN yang berpaling tadah menilai perbuatan wakil rakyat mereka melompat parti adalah satu pengkhianatan kepada kepercayaan yang diberikan.
Dari sudut moral, ketiga-tiga wakil rakyat itu tidak lagi mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk mewakili rakyat jelata.
Soal kredibiliti juga menjadi persoalan apabila dua daripada tiga wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada BN itu terbabit dengan isu rasuah.
Jamaluddin Mohd. Radzi, 52, dan Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu, 57 sebelum ini dituduh di mahkamah atas dakwaan meminta dan menerima rasuah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan bagi membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.
Dalam ketika BN sudah sedia bergelut dengan isu kredibiliti seperti rasuah dan korupsi di mata kebanyakan masyarakat, kehadiran wakil rakyat itu sedikit-sebanyak mengikis kepercayaan terhadap kredibiliti BN.
Begitu juga 'kepulangan' penuh misteri ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang beberapa hari sebelum peralihan kerajaan Perak mengumumkan keluar parti BN dan menyertai PKR.
Tindakan sekelip mata itu membuatkan rakyat Perak tertanya-tanya apa nilai kesetiaan yang dipegang oleh Nasaruddin?
Perkara-perkara sebeginilah yang meletakkan kerajaan baru BN di Perak berdepan dengan sokongan yang sangat meruncing dan tipis.
Bukan sedikit usaha yang perlu dilakukan oleh Zambry terutamanya untuk menarik kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat Perak keseluruhannya menyokong kerajaan BN.
Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya BN berjaya mencari formula bagaimana untuk merakyatkan parti itu dan menjadikannya sesuai untuk semua golongan.
Menurut Ahmad Nidzammuddin, BN Perak perlu keluar dari kepompong yang selama ini memperlihatkan diri mereka seolah-olah kumpulan elit dan hanya sesuai untuk mereka dari kelas atasan.
''Sesuatu yang boleh dipelajari daripada kepimpinan kerajaan campuran sebelum ini ialah bagaimana mereka bersungguh-sungguh menambat hati rakyat dengan menumpukan kepada usaha meningkatkan kebajikan," katanya.
Lebih penting, BN Perak boleh mengembalikan keyakinan rakyat dengan memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang sebelum ini menjerat kedudukan kerajaan campuran.
Isu-isu itu termasuk penyerahan tanah seluas 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina dan cadangan untuk memberi hak status pemilikan tanah selama 999 tahun kepada penduduk lot-lot tanah di Kampung Baru.
Seandainya kedua-dua perkara ini masih di peringkat cadangan, adalah wajar untuk BN Perak tidak meneruskannya dan mempertimbangkannya semula berdasarkan survival semua kaum.
- Utusan, 07/02/09.

Mohammad Nizar buat kecoh dalam pejabat MB

Oleh Ahmad Zaini Kamaruzaman, Ridzuan Yop, Shamsul Kamal Amaruddin, Jalal Ali Abdul Rahim, Mohd Feroz Abu Bakar dan Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
Pengawal peribadi tengking Setiausaha Kerajaan Negeri
IPOH: Kekecohan berlaku di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan pejabat Menteri Besar semalam, apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Exco yang tiba untuk memasuki pejabat mereka dihalang memasuki pekarangan kompleks pejabat berkenaan.
Sejurus tiba pada jam 9.50 pagi, rombongan Mohammad Nizar dihalang memasuki pekarangan bangunan itu tetapi selepas berunding dengan pengawal, beliau dibenarkan masuk dan terus mengadakan sidang media dalam pejabat Menteri Besar yang dihadiri kira-kira 30 wartawan.Kira-kira jam 10.05 pagi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim masuk ke pejabat Menteri Besar dan mengarahkan semua wartawan keluar.
"Excuse me! Excuse me! (maafkan saya), Saya minta semua reporter (wartawan) meninggalkan bilik ini sekarang!" katanya.
Pengawal peribadi Mohammad Nizar kemudian menengking dan cuba mendekati Dr Abdul Rahman, tetapi beliau keluar dengan dikawal polis.
Mohammad Nizar kemudian meninggalkan pejabatnya untuk ke pejabat bekas Exco Kanan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham di tingkat satu bangunan dengan diikuti wartawan. Kira-kira jam 10.20 pagi, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias memasuki pejabat Exco kanan itu dan meminta semua wartawan keluar.
Mohammad Nizar kemudian turut keluar untuk kembali ke pejabatnya sambil disapa Dr Abdul Rahman yang mahu berbincang sesuatu.
"Datuk Seri, boleh berjumpa saya sekejap," katanya tetapi Mohammad Nizar tidak menjawab.
Pada jam 10.35 pagi, kereta rasmi Menteri Besar, jenis Toyota Camry dengan nombor pendaftaran AGS 10 membawa Mohammad Nizar meninggalkan Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Ketika ditanya dalam perjalanan keluar sama ada beliau diminta meninggalkan pejabat oleh Datuk Dr Abdul Rahman atau Azisman, Mohammad Nizar berkata: Tidak ada. Saya ada mesyuarat. Saya nak bagi bertenang saja.”
Mohammad Nizar kemudian dilihat keluar untuk bersembahyang Jumaat pada jam 1.05 petang tetapi enggan menjawab pertanyaan wartawan berhubung perkembangan terkini politik di Perak. "Saya pergi sembahyang dulu...tidak tahu lagi di masjid mana (solat Jumaat). Terima kasih kerana jaga," katanya.
Sementara itu, Mohammad Nizar masih menduduki kediaman rasmi Menteri Besar Perak sehingga petang semalam. Pintu masuk utama ke kediaman berkenaan dikawal 24 jam oleh anggota Unit Amal Malaysia, sebuah pasukan Dewan Pemuda Pas.
Hanya mereka yang dikenali, bekas Exco negeri dan pemimpin Pakatan Rakyat dibenarkan masuk. Tinjauan juga mendapati tiada sebarang pemindahan keluar barangan atau peralatan kepunyaan keluarga Mohammad Nizar dilakukan.
- BH, 07/02/09.

Semua pulangkan Camry kecuali Nizar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

azli.adlan@kosmo.com.my
MOHAMMAD Nizar masih menggunakan kenderaan rasmi Toyota Camry semalam walaupun beliau bukan lagi Menteri Besar Perak.
IPOH - Setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak, bekas Menteri Besarnya, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi satu-satunya bekas pemimpin kerajaan negeri itu yang masih belum memulangkan kenderaan rasmi, Toyota Camry 2.4 bernombor plat AGS 10.
Beliau bertegas untuk terus menggunakan kereta itu kerana mendakwa masih lagi Menteri Besar yang sah.
"Saya akan terus menggunakan kenderaan rasmi dan duduk di kediaman rasmi Menteri Besar sehingga saya menghantar surat rasmi peletakan jawatan atau hilang majoriti pada sidang Dewan Undangan Negeri.
"Esok (hari ini) saya akan terus menggunakan Toyota Camry tersebut untuk ke pejabat," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini semalam.
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri memulangkan aset milik kerajaan termasuk kenderaan rasmi yang baru dibeli kira-kira sebulan lalu.
Arahan itu sudah dipatuhi oleh 10 bekas Exco Pakatan Rakyat (PR) yang telah memulangkan kenderaan mereka melainkan Mohammad Nizar.
- Kosmo, 07/02/09.

Perusuh kepung Raja Nazrin, Zara

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI, AZLI ADLAN dan NAZATUL SHIMA RAZALI
berita@kosmo.com.my

BEBERAPA penyokong Pakatan Rakyat bertindak mengepung kenderaan yang membawa Raja Nazrin ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar semalam.
*****
KUALA KANGSAR - Benarkah sebilangan rakyat Perak kini sudah tidak menghormati raja mereka dek mengikut emosi selepas dihasut oleh sesetengah pemimpin politik?
Namun itulah yang berlaku di bandar diraja ini petang semalam apabila 3,000 penyokong Pakatan Rakyat mengikut kata hati bertindak liar merusuh termasuk tergamak menghalang kereta Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah daripada meneruskan perjalanan ke Istana Iskandariah.
Ada yang bagaikan hilang pertimbangan dengan sanggup berbaring di depan kereta Raja Nazrin kerana sukar menerima hakikat bahawa Pakatan Rakyat kini sudah kehilangan kuasa di Perak. Isteri Raja Nazrin, Raja Puan Besar Zara Salim turut berada dalam kenderaan itu.
Kekecohan berlaku ketika Raja Nazrin dan beberapa kereta rasmi orang kenamaan sedang dalam perjalanan ke upacara angkat sumpah Menteri Besar baru Perak di laluan utama menuju ke Istana Iskandariah berhadapan Masjid Ubudiah di sini semalam.
Perhimpunan haram Pakatan Rakyat tersebut dipercayai dirancang bagi menghalang upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang dijadualkan berlangsung pukul 3.30 petang.
- Kosmo, 07/02/09.

Saman Sultan Perak perbuatan hina raja - Najib

IPOH 6 Feb. - Tindakan pakatan pembangkang mahu menyaman Sultan Perak di mahkamah merupakan satu perbuatan menghina raja yang tidak wajar sama sekali dilakukan oleh sesiapa yang menyanjung tinggi Raja Berperlembagaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, perbuatan itu jelas mempersoalkan maruah dan imej Sultan Azlan Shah sebagai raja pemerintah yang mempunyai hak membuat tafsiran dari segi perlembagaan berhubung kedudukan seseorang Menteri Besar.
''Keputusan yang dibuat oleh Tuanku berdasarkan pengamatan Tuanku bahawa ia menepati Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
''Jika sekiranya Mohammad Nizar dan pakatan pembangkang nak saman Tuanku, ia mempersoalkan maruah dan imej Tuanku sebagai raja pemerintah," kata beliau kepada Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini petang ini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Terdahulu Najib bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis angkat sumpah Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Ditanya perasaannya selepas kejayaan BN menguasai kerajaan negeri, Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, perkembangan terbaru itu memberi kesempatan kepada BN untuk berkhidmat kepada rakyat Perak.
''Saya anggap ini bukan kemenangan peribadi tapi sebagai satu kemenangan kepada rakyat Perak untuk memulakan satu era baru demi masa depan mereka," katanya.
Di Kuala Lumpur, Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, pakatan pembangkang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan BN jika masih berkeras untuk melantik Menteri Besar baru.
Katanya, pakatan pembangkang tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Datuk Seri Ir. Jamaluddin Mohammad Nizar oleh Sultan Azlan Shah dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri adalah jelas di luar batas kuasa peruntukan artikel itu.
- Utusan, 07/02/09.

HILANG KEWARASAN

BEBERAPA penyokong pembangkang bertindak nekad berbaring di tengah jalan sambil memegang bendera menghalang kereta peronda polis yang mengiringi kenderaan Raja Muda Perak di belakang berhampiran Istana Iskandariah, Perak, semalam. –UTUSAN/MOHD NAJIB MOHD NOR
*****
Akibat terlalu taksub dengan dakyah kepimpinan politik, segelintir rakyat Perak semalam bertindak di luar batasan termasuk sanggup berbaring di jalan raya semata-mata mahu menghalang kenderaan yang dinaiki oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Tindakan itu menyebabkan kenderaan baginda yang dalam perjalanan ke majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Perak baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir di Balai Istiadat Istana Iskandariah, Perak terlewat tiba pada majlis tersebut.
- Utusan. 07/02/09.

6 Februari 2009

Tindakan Karpal Singh Sudah Diduga, Kata Rais

By: Ramjit
KUALA KLAWANG, 6 Feb (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau sudah menduga tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengemukakan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlah Shah berhubung keputusan baginda menitahkan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan dan tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kita sudah menduga tindakan saman menyaman ini kerana itu sudah menjadi budaya mereka (pembangkang). Jadi, kita jangan gentar dan perlu berhati-hati mengenai aspek perlembagaan dan perundangan dalam setiap tindakan yang diambil," katanya mengulas mengenai tindakan Pakatan Rakyat yang mahu memfailkan saman terhadap Sultan Azlan Shah, di Mahkamah Tinggi Ipoh, Selasa ini dengan alasan baginda bertindak di luar bidang kuasanya dalam mengenepikan kerajaan negeri pimpinan Mohammad Nizar.
Rais berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-14 Badan Kebajikan dan Pelajaran (Baka) Jelebu di Dewan Wisma Umno Jelebu, di sini, Jumaat.
Rais yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata dalam suasana kuasa raja ketika ini, penasihat perundangan Menteri Besar yang baru tidak mengabaikan aspek perlembagaan dan perundangan dalam setiap tindakan bagi mengelak daripada dipertikai Pakatan Rakyat (PR) hingga membawanya ke mahkamah.
Karpal, dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, berkata Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional kerana pelucutan jawatan Mohammad Nizar oleh Sultan Azlan Shah, yang dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri, adalah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan artikel itu.
-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 21:27 PM

Pakatan Rakyat Tidak Akan Saman Sultan Perak - Anwar

By: Ramjit
PETALING JAYA, 6 Feb (Bernama) -- Pakatan Rakyat (PR) tidak akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak seperti yang didakwa oleh Pengerusi DAP Karpal Singh, kata pemimpin PR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata dakwaan menyaman Sultan Perak itu hanyalah menurut laporan media sahaja.
"Ini semua laporan media yang cakap kita nak saman Sultan Perak. Keputusan kita adalah untuk meminta Paduka Sultan Perak melihat semula peruntukan perlembagaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Satu laporan hari ini menyebut bekas Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa ini.Anwar berkata Pakatan Rakyat berpendirian Mohammad Nizar masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri Perak.
Beliau mendakwa pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Besar tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.
"Kami berpendirian supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat bagi membolehkan rakyat membuat pemilihan semula," katanya.
-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 21:23 PM

Karpal Cemari Institusi Raja, Perlu Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri diminta mengambil tindakan tegas terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh kerana mencemar institusi Raja Berpelembagaan negara ini apabila mengugut untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah dalam isu pelantikan Menteri Besar yang baru.
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali AlHabshee berkata seseorang itu tidak layak menjadi warga negara ini sekiranya bertindak sesuka hati mencemar institusi tertinggi di negara ini untuk kepentingan peribadi dan partinya.
"Tidak ada gunanya negara mempunyai rakyat yang tidak tahu menghormati Sultan sebagai ketua pemerintah dan dalam hal ini kerajaan tidak harus teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kebiadabannya itu," katanya kepada Bernama di sini.
Syed Ali mengulas kenyataan Karpal bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional jika melantik Menteri Besar daripada BN bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat.
Syed Ali berkata kenyataan Karpal kononnya tindakannya itu adalah untuk menjaga kepentingan rakyat Perak adalah satu pembohongan.
"Sebenarnya beliau hendak menjaga kepentingan DAP yang mempunyai 18 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak dan menguasai kerajaan negeri itu sungguhpun menteri besarnya ialah dari PAS," katanya.
Beliau meminta Mohammad Nizar serta semua anggota PAS dan PKR yang berbangsa Melayu dan beragama Islam supaya tidak terperangkap dengan mainan sandiwara DAP.
-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 18:53 PM

Dr. Zambry angkat sumpah sebagai MB ke-11

06/02/2009 4:13pm
KUALA KANGSAR 6 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, baharu sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Balai Istiadat Istana Iskandariah, di sini.
- Utusan, 06/02/09.

Zambry MB Perak Ke-11 Sejak 1950
IPOH, 6 Feb (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, merupakan Menteri Besar Perak ke-11 sejak kerajaan negeri Perak ditubuhkan pada tahun 1950.
Beliau mengangkat sumpah memegang jawatan hari ini bagi mengambil alih daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat yang memegang jawatan Menteri Besar ke-10 hanya selama 10 bulan.
Sultan Perak Sultan Azlan Shah semalam menitahkan Mohammad Nizar meletak jawatan setelah berpuas hati beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota dewan selepas empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat keluar parti masing-masing dan mengisytiharkan sokongan kepada Barisan Nasional.

Menteri Besar Perak yang lain ialah:
+ Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1950-1957)
+ Tan Sri Mohd Ghazali Jawi (1957-1960)
+ Datuk Shaari Shafie (1961-1964)
+ Datuk Seri Ahmad Said (1964-19 Mac 1970).
+ Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa (19 Mac 1970-Ogos 1974)
+ Tan Sri Mohd Ghazali Jawi (4 Sept /1974-Sept 1977)
+ Datuk Seri Wan Mohammad Wan Teh (1 Okt 1977-1 Mac 1983)
+ Tan Sri Ramli Ngah Talib (1 Mac 1983-11 Nov 1999)
+ Datuk Seri Dr Mohd Tajol Rosli Ghazali (2 Dis 1999- Mac 2008).

-- BERNAMA, 06 Februari, 2009 18:33 PM

Derhaka Nizar tidak boleh dipandang ringan - Muhyiddin

KOTA BHARU 6 Feb. — Kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu derhaka terhadap Sultan Perak Sultan Azlah Shah tidak boleh dipandang ringan, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya begitu terperanjat apabila beliau membuat kenyataan mahu derhaka kepada raja, sesuatu yang langsung tidak menggambarkan beliau menghormati Perlembagaan dan kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai Raja bagi negeri Perak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhyiddin berkata ’keberanian’ Mohammad Nizar menyanggah keputusan Sultan Azlan Shah berhubung perkara itu, malah mahu mencabar Baginda di mahkamah, amat dikesali.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua pihak sepatutnya menghormati keputusan Sultan Perak kerana Baginda juga amat arif dalam bidang perundangan selaku bekas Ketua Hakim Negara.
“Lagipun ini demokrasi yang kita amalkan. Walaupun keputusan itu tidak memihak kepada pembangkang, kita mesti hormatinya,” kata Muhyiddin.
Katanya pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, sebagai Menteri Besar kerajaan BN di negeri itu adalah pilihan terbaik.
“Beliau adalah seorang tokoh berpengalaman kerana pernah menjadi exco di negeri itu sebelum ini, mempunyai kelulusan yang tinggi dan orang yang paling sesuai. Saya yakin dia dapat memberikan apa yang diharapkan oleh masyarakat di Perak ini,” kata Muhyiddin.
— BERNAMA, 06/02/2009 6:43pm

Mohammad Nizar diarah keluar dari Bangunan Perak Darul Ridzuan

IPOH 6 Feb. - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih menganggap dirinya Menteri Besar Perak yang sah diarah keluar dari pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pagi ini.
Beliau diarah keluar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.06 pagi ketika Mohammad Nizar sedang mengadakan sidang akhbar di pejabat Menteri Besar sebelum Abdul Rahman masuk dan meminta semua yang berada dalam bilik termasuk termasuk wartawan keluar.
Tindakan Abdul Rahman itu menaikkan kemarahan sekumpulan lelaki dipercayai penyokong pakatan pembangkang yang bertindak menyerbunya tetapi berjaya dihalang oleh anggota polis.
Malah, Mohammad Nizar sempat menjerit `What the hell' bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri itu.
Mohammad Nizar bersama beberapa `Exco kerajaan negeri' kemudiannya keluar meninggalkan Bangunan Perak Darul Ridzuan pada pukul 10.40 pagi.
- Utusan, 06/02/2009 11:55am

Patik mohon derhaka – Nizar

Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dengan alasan masih menyandangnya secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
“Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda ’patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan’.
Akan meneruskan tugasnya seperti biasa dan akan masuk pejabatnya hari ini.
Kerajaan negeri bersama pemimpin kerajaan campuran pembangkang akan memohon untuk menghadap Sultan Azlan Shah untuk merayu agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
- Utusan, 06/02/09.

Zambry MB Perak

DATUK Dr. Zambry Abdul Kadir

Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, 47, diumumkan Menteri Besar Perak ke-11 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau akan mengangkat sumpah esok (Jumaat) manakala barisan Exco pada Selasa.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan supaya Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan Exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Jawatan Menteri Besar dan Ahli-ahli Exco dianggap kosong sekiranya enggan meletak jawatan.
- Utusan, 06/02/09.

5 Februari 2009

MB Perak Baru, Ahli Politik Terkenal

05 Februari, 2009 22:28 PM
IPOH, 5 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir adalah seorang ahli politik terkenal di negeri ini, yang memberikan banyak sumbangan dalam pembangunan Maklumat, Komunikasi dan Teknologi (ICT) di negeri tersebut.
Anggota Dewan Undangan Negeri bagi penggal kedua ini, Zambry, 47 memulakan kariernya dalam politik sebagai ketua Pemuda Umno Pangkor pada 1992 dan kemudian mengetuai Pemuda Umno Perak, beliau diberi tanggungjawab dalam membangunkan ICT negeri semasa menjadi EXCO negeri yang dipertanggungjawabkan mengenai multimedia.

Selepas memenangi kerusi negeri pertama di Pangkor pada pilihan raya umum 2004, beliau dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Multimedia dari 2004 hingga 26 Sept 2006.Sehari kemudian beliau dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi dan Inovasi dalam rombakan kecil kerajaan negeri, yang memberikan beliau banyak kuasa untuk memperluaskan lagi pembangunan ICT di Perak.

Dilahirkan di Pulau Pangkor pada 22 Mac 1962, ketua Umno Bahagian Lumut itu berkelulusan ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1987 dan empat tahun kemudian lulus ijazah Sarjana dalam Pemikiran Islam daripada universiti yang sama.

Bekas EXCO Pemuda Umno kebangsaan itu juga memegang ijazah Sarjana dalam Falsafah Politik dan Perbandingan Agama pada 1992, dan tiga tahun kemudian memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam Politik Kontemporari, kedua-duanya daripada Temple University, Amerika Syarikat.

Seorang penulis aktif, Zambry memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan penulisan semasa menuntut, antaranya Anugerah Penulisan Esei Hari Kebangsaan negeri Perak pada 1982 dan memperoleh tempat kedua pada peringkat kebangsaan, Anugerah Penulisan Agama Kebangsaan pada 1986 dan Pertandingan Penulisan Akademik peringkat kebangsaan 1987.

Beliau juga menulis beberapa buku antaranya "Umno dan Jiwa Merdeka" (1998), "Pemuda Umno Menebus Maruah, Menuju Arah" (2000) dan "Islam Malaysia dan Amerika" (2002).

Zambry juga editor bagi beberapa penerbitan termasuk "Pendidikan dan Pembangunan" di Nurin Enterprise pada 1989, "Business Administration in Islam" oleh Hizbi pada 1991 dan "Imbas Gemilang KBS 98" untuk Kementerian Belia dan Sukan.

Ayah kepada lima orang anak, tiga perempuan dan dua lelaki, beliau pada 2005, ditauliahkan dengan Leftenan Komander Kehormat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh ketika itu Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan menjadi ahli politik pertama diberikan tauliah seperti itu.


-- BERNAMA

Dr. Zambry Menteri Besar Perak yang baru

SUBANG 5 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, 3.30 petang esok.
Barisan Exco kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pula akan mengangkat sumpah di istana yang sama pada 10 Februari ini.
Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pangkalan TUDM di sini malam ini sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.
– Utusan, 05/02/2009 8:04pm

Dimanakah Letaknya Islam pada PAS?

Polimik politik di Negeri Perak mempunyai hikmat yang amat tinggi kepada orang-orang Melayu di negeri Perak amnya dan kepada orang Melayu umumnya.
Ini bukan soal lompat parti, tetapi keberkatan doa-doa orang Islam setelah sepuluh bulan di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR).
Walaupun Menteri Besar (MB) dipimpin oleh pemimpin PAS, ianya sekadar boneka oleh DAP kar PKR.
Isu tanah rizab Melayu contohnya membuktikan betapa lemahnya PAS dalam menghalang kerakusan DAP dan PKR merampas hak-hak orang Melayu di sana.
Kemelut terbaru di Perak jelas PAS mengikut telunjuk DAP dan PKR kerana sanggup mencabar titah DYMM Sultan Perak supaya melepaskan jawatan MB yang disandang. PAS sanggup menderhaka!.
Penulis teringat kisah selepas pilihanraya di Terengganu mengenai isu perlantikan MB yang baru, bila ada hubungan kurang baik bekas MB (Dato' Seri Idris Jusoh) dengan istana, bukan main PAS duduk dibarisan depan membela istana.
Bila terkena batang hidung, dimanakah letaknya istana oleh pemimpin PAS?
Cukuplah PAS mempermainkan agama Islam yang Maha Suci dan jelas PAS pula mempermainkan institusi Raja-Raja pula.
- Putra Lembah Utara.

Kenyataan media pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak

IPOH: Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.
KENYATAAN MEDIA PEJABAT D.Y.M.M. PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN “Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.
Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan. Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewi-ahli Dewan Negeri.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.
Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.
YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.
Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.”
- Bernama, 05/02/09.

Mohamad Nizar enggan letak jawatan MB

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan Menteri Besar Perak seperti yang dititahkan Sultan Azlan Shah kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
- Bernama, 05/02/2009 6:17pm

Sultan Perak titahkan Mohammad Nizar letak jawatan

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah menitahkan Datuk Seri MohaMmad Nizar Jamaluddin supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuatkuasa serta merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.
— BERNAMA, 05/02/2009 2:37pm

Sultan tidak perkenan pembubaran DUN Perak

IPOH 5 Feb. – Sultan Perak Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta merta.
Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas, baginda yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.
“Sekiranya Mohammad Nizar tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan,” kata kenyataan itu.
– Bernama, 05/02/2009 3:01pm

Najib keluar istana, pengerusikan mesyuarat BN

05/02/2009 11:12am
IPOH 5 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar dari Istana Kinta selepas menghadap Sultan Perak kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Timbalan Perdana Menteri diiringi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi terus ke bangunan UMNO untuk mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Najib bawa empat ADUN ke istana
05/02/2009 11:16am
IPOH 5 Feb. – Hanya lima minit bermesyuarat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Istana Kinta pagi ini.
Kali ini, Timbalan Perdana Menteri membawa bersama empat ADUN yang melompat parti semalam.
– Utusan
Najib menghadap Sultan Perak
05/02/2009 10:40am
IPOH 5 Feb — Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Kinta di sini pagi ini dipercayai untuk meminta perkenan baginda agar Barisan Nasional mengambil alih pentadbiran negeri, sehari selepas empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong dan memberikan majoriti kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri.
Najib, yang juga Pengerusi BN dan Badan Perhubungan Umno Perak, tiba pada pukul 9.49 pagi diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Pengerusi BN Perak.
Empat wakil rakyat itu terdiri Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu, kedua-dua daripada Parti Keadilan Rakyat, ADUN Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP dan ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim, yang menyertai PKR pada 25 Jan lepas dan kembali semula kepada Umno semalam.
Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas tetapi menyokong BN. Ketiga-tiga mereka bersama Nasaruddin turut berada di sisi Najib semalam ketika Timbalan Perdana Menteri mengadakan sidang akhbar di Putrajaya untuk membuat pengumuman mengenai sokongan mereka kepada BN.
Berikutan perkembangan terkini, BN dan Pakatan masing-masing mempunyai 28 kerusi tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.
— Bernama, 05/02/09.

MB dakwa tak tahu skandal seks Exco

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my
ALOR SETAR - "Bagi tau siapa dia. Saya akan pi tanya dia sendiri." Itulah reaksi mudah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak apabila ditanya mengenai dakwaan ada ahli Exconya terbabit dalam kegiatan tidak bermoral dengan mempunyai perempuan simpanan.
Azizan bagaimanapun sepatutnya mendapatkan maklumat itu daripada Istana Anak Bukit memandangkan penduduk kawasan wakil rakyat itu sudah menghantar memorandum membantah perbuatan Exco berkenaan kepada Sultan Kedah untuk tindakan baginda.
Azizan memberi alasan beliau tidak tahu kerana terlalu sibuk untuk menonton televisyen dan membaca akhbar.
"Sekarang ni ada macam-macam cerita, banyak lagi skandal menteri-menteri.
"Orang cakap banyak. Ada menteri ambik bini orang. Ada bawa lari anak raja. Benda macam tu biasa la,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini semalam.
Media melaporkan perbuatan Exco terbabit sudah lama mengadakan hubungan sulit dengan wanita itu sehingga dipercayai mempunyai anak luar nikah.
Azizan pula menempelak penyiaran laporan tersebut yang disifatkan sebagai tidak profesional.
- Kosm0 05/02/09.

Pakatan tumbang

Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my
  • Tiga Adun Bebas sokong Barisan
  • BN sedia tubuh kerajaan di Perak
  • Nizar bubar DUN tanpa perkenan Sultan
PUTRAJAYA: Tidak sampai setahun memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak semalam tumbang dan Barisan Nasional (BN) kini bersedia membentuk kerajaan baru di negeri itu dengan majoriti mudah.
Bibit kejatuhan kerajaan negeri itu bermula apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), diikuti tindakan yang sama Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong.
Ketiga-tiganya menjadi wakil rakyat Bebas dan mengisytiharkan sokongan terhadap BN, manakala Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR baru-baru ini, berikrar kembali ke pangkuan Umno mulai semalam.
Berikutan perkembangan itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di Ipoh mengumumkan tindakan drastik membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media di sini petang semalam pula berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru.
BN dan PR kini mempunyai bilangan kerusi DUN yang sama banyak, iaitu masing-masing 28 kerusi, tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu berikrar menyokong BN, termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.
Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata, tiga wakil rakyat Bebas itu memberitahu beliau bahawa mereka sudah menghantar surat kepada Sultan Perak untuk memaklumkan keputusan keluar daripada parti masing-masing.
"Mereka memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar."Mereka juga memberi aku janji akan bersama dan memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
"(Oleh itu) kita ada 31 berbanding 28 (PR) yang termasuk Speaker tetapi tidak boleh mengundi dalam DUN," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Nasaruddin dan tiga Adun Bebas berkenaan.Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta sebahagian Adun BN negeri itu juga hadir.
Mengenai calon Menteri Besar, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mengikut Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar hendaklah meletak jawatan bersama anggota Exconya jika hilang keyakinan atau majoriti di DUN.
"Keempat-empat wakil rakyat ini sudah memaklumkan kepada Speaker DUN Perak, selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini (semalam) bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan
."Mereka sudah hilang keyakinan terhadap parti dan Menteri Besar Perak. Kita akan lihat perkembangan selepas ini... apa yang penting ialah bagi mereka menyertai kita," katanya.
Ditanya bagaimana BN boleh menubuhkan kerajaan negeri, Najib berkata, Adun Behrang, Adun Changkat Jering dan Adun Jelapang akan menjadi "wakil Bebas mesra BN".
Mengenai tindakan Mohammad Nizar mengumumkan pembubaran DUN tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Najib berkata hanya Sultan Perak boleh memperkenankan pembubaran DUN.
Najib turut menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai bermulanya era baru dalam politik di Perak dan seterusnya membolehkan BN berkhidmat kepada rakyat serta pengundi di negeri berkenaan.
Menjawab soalan, Timbalan Perdana Menteri berkata keempat-empat wakil rakyat itu membuat keputusan menyokong BN berdasarkan kerelaan masing-masing tanpa habuan atau sogokan dan sebarang jawatan.
Mengenai kes rasuah membabitkan Adun Behrang dan Changkat Jering, Najib berkata ia adalah isu yang berbeza.Beliau juga berkata, perkembangan yang berlaku tidak sampai sebulan selepas beliau dilantik Pengerusi BN dan Umno Perak adalah secara kebetulan.
- BH, 05/02/09.

BN Perak bentuk kerajaan baru

PUTRAJAYA 4 Feb. - Barisan Nasional (BN) hari ini memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan tiga kerusi mengatasi 28 kerusi penyandangnya dari pakatan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan demikian berkata, tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pembangkang telah menghantar surat kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam memaklumkan mereka telah keluar dari parti masing-masing.
Mereka ialah dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) serta ADUN Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong.
Pada masa sama, ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang keluar dari BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali semula ke pangkuan UMNO hari ini.
Serentak dengan perkembangan terbaru itu, Najib berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak esok untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan baru.
''Fasal XV1 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan jika Menteri Besar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) hilang keyakinan atau majoriti, beliau hendaklah meletakkan jawatan bersama anggota-anggota Exconya
''Tentu sekali segala-galanya ini ketentuan Ilahi dan kita bersyukur ini berlaku, kita akan mulakan era baru di Perak dan akan berkhidmat untuk kepentingan semua rakyat khususnya di Perak," kata beliau pada sidang akhbar khas di pejabatnya di sini petang ini.
Kemelut politik di Perak memuncak Isnin lalu apabila kedudukan ADUN Changkat Jering dan Behrang menimbulkan tanda tanya setelah Yang Dipertua DUN Perak, V. Sivakumar mengeluarkan kenyataan media bahawa Jamaluddin dan Mohd. Osman telah menghantar surat peletakan jawatan.
Bagaimanapun tidak sampai tiga jam selepas itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman menafikan sekeras-kerasnya mereka berbuat demikian.
Berikutan itu, Sivakumar memaklumkan kepada SPR berlaku kekosongan di dua kerusi berkenaan namun SPR yang bermesyuarat semalam menolak diadakan pilihan raya kecil kerana mendapati dari aspek perundangan, wujud keraguan pada surat-surat peletakan jawatan yang dikatakan dihantar oleh Jamaluddin dan Mohd. Osman.
Najib berkata, meskipun Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong kekal sebagai wakil rakyat bebas namun ketiga-tiganya telah memberi aku janji akan menyokong BN.
''Mereka telah memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar.
''Mereka juga memberi aku janji untuk memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Sultan Perak," katanya.
Ditanya adakah keputusan ketiga-tiga ADUN pembangkang berkenaan menyokong BN sebagai satu tindakan 'tikam dari belakang' bekas parti mereka, Najib berkata:
''Mereka (pembangkang) tidak sangka ini akan berlaku tapi mereka sendiri telah mulakan prinsip untuk tubuh kerajaan tanpa ikut proses demokrasi, jadi mereka tidak boleh salahkan BN''.
Mengenai tuduhan rasuah yang bakal dihadapi Jamaluddin dan Mohd. Osman selepas ini, Najib berkata, ia isu berbeza dengan perkembangan terbaru.
Ditanya sama ada ada ketiga-tiga ADUN bebas berkenaan berkemungkinan menyertai BN selepas ini, beliau berkata: ''Kita tunggu dan lihat''.
Mengenai calon Menteri Besar Perak dan barisan Exco yang baru, beliau berkata, ia belum dibincangkan lagi.
Najib yang turut ditanya sama ada kejayaan BN menubuhkan kerajaan baru di Perak itu sebagai hadiah kepada beliau yang akan mengambil alih kepimpinan kerajaan bulan depan hanya berkata:
''Kebetulan, jangan cakap tentang jawatan''.
- Utusan, 05/02/09.

4 Februari 2009

Kronologi politik di Perak

KUALA LUMPUR: Berikut kronologi politik di Perak sejak pilihan raya umum ke-12, 8 Mac tahun lalu sehingga hari ini:
9 Mac 2008: Gabungan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi pada pilihan raya umum ke-12.
17 Mac 2008: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang dari Pas, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.
19 Mac 2008: Istiadat angkat sumpah 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
25 Ogos 2008: Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Jailu dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tudahan rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta. Mahkamah tetap 10, 11 dan 12 Feb 2009 sebagai tarikh perbicaraan.
25 Jan 2009: Adun Bota dari Umno, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PKR.
26 Jan 2009: Menteri Besar Perak mendakwa sekurang-kurangnya tiga lagi wakil rakyat daripada Umno akan mengikut jejak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR.
28 Jan 2009: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim mencadangkan satu gerakan massa perlu dijalankan bagi mendesak Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
29 Jan 2009: MT Umno menerima peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta-merta.
30 Jan 2009: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota Exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, daripada Parti Keadilan Rakyat, akan menyertai BN.
1 Feb 2009: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan terdapat Adun daripada pembangkang di negeri Perak akan menyertai BN. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua Adun dari PKR yang “hilang” sejak 26 Jan supaya mengisytiharkan segera pendirian mereka jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak. Speaker DUN Perak, V Sivakumar berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan Adun Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu yang dihantar ke rumahnya pada jam 5.45 petang. Kedua-dua ADUN PKR menafikan meletakkan jawatan, sebaliknya mengakui pernah menandatangi surat janji taat setia bersama enam lagi Adun PKR yang tidak bertarikh bahawa jika mereka keluar parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing.
2 Feb 2009: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadap Sultan Perak di Istana Kinta. Beliau tidak mengulas kepada media berhubung istiadat mengadap itu. Speaker DUN Perak, V Sivakumar memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak. Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman berkata, kedua-dua wakil rakyat itu tidak membuat pengumuman keluar daripada PKR. Seorang pegawai kepada Jamaluddin Mohd Radzi memberitahu media di Sepang bahawa wakil rakyat itu masih ahli PKR.Seorang kenalan Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu menafikan peletakan jawatan Adun itu pada sidang akhbar di Shah Alam.
3 Feb 2009: SPR memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi DUN Changkat Jering (N14) dan DUN Behrang (N59) serta tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itu. Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi menganggap dirinya sebagai wakil rakyat Bebas selepas PKR menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Adun kepada Speaker DUN Perak V Sivakumar. Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memberi tempoh 48 jam kepada SPR supaya mengkaji semula keputusan tidak mengadakan pilihan raya kecil.
4 Feb 2009: 1 tengah hari - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijadualkan mengadakan sidang akhbar untuk membuat pengumuman penting.
1.30 tengah hari - Mohammad Nizar menangguhkan sidang akhbar tanpa memberi sebab.
2 petang - Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR tidak akan mengkaji semula keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil.
3 petang - Mohamad Nizar membuat tindakan luar biasa dengan mengumumkan pembubaran DUN serta merta sebelum memohon perkenan Sultan.
3.50 petang - Mohammad Nizar dilihat memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
4.35 petang - Empat Adun Perak iaitu Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu, Adun Bota Datuk Nasarudin Hashim dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.
5 petang - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP mengumumkan keluar parti.BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.
5.55 petang - Mohammad Nizar yang mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan DUN meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.
- Bernama, 04/02/09.

MB Perak tinggalkan istana tanpa umum keputusan Sultan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mengadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.
“Saya sudah menerangkan (explained) keadaan politik terkini, terserah kepada Tuanku,” katanya kepada wartawan sejurus sebelum meninggalkan perkarangan istana tersebut. - Bernama, 04/02/2009 6:20pm

BN bentuk kerajaan baru di Perak

PUTRAJAYA 4 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan majoriti tiga kerusi.
Ini berikutan keputusan tiga calon Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Foong yang telah menghantar surat kepada Sultan Perak semalam mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Perak dan menyatakan sokongan kepada BN.
Datuk Nasharuddin Hashim yang keluar BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali kepada UMNO.
Dengan pengumuman itu, BN kini memiliki 31 kerusi berbanding PKR sebanyak 28 kerusi.
Menurut Najib, Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong masih kekal sebagai wakil rakyat Bebas tetapi akan memberi sokongan kepada BN dalam sidang DUN termasuk sesiapa sahaja yang bakal dilantik Menteri Besar Perak.
Najib berkata, beliau akan mengadap Sultan Perak dalam masa terdekat bagi memaklumkan perkara itu.
- Utusan, 04/02/2009 5:19pm

Daftar online UMNO catat 2,978 ahli

KUALA LUMPUR 3 Feb. - UMNO mencatat 2,978 ahli baru menerusi pendaftaran keahlian secara online sejak perkhidmatan itu dilancarkan 31 Januari lalu.
Ia merupakan peningkatan positif selepas berjaya merekodkan 809 ahli baru dalam tempoh empat hari sahaja selepas dilancarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, peningkatan pendaftaran baru itu amat memberangsangkan. Jumlah terbaru itu direkodkan oleh Ibu Pejabat UMNO sehingga pukul 3 petang hari ini.
"Jumlah ahli baru itu menunjukkan golongan muda tidak pernah menolak UMNO dan berdasarkan sambutan yang ditunjukkan kita yakin UMNO masih lagi kukuh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menerusi sistem itu, pemohon yang ingin menjadi ahli UMNO boleh berbuat demikian menerusi laman web www.daftar.umno.org.my.
- Utusan, 04/02/09.

ADUN Kedah didakwa ada wanita simpanan

Oleh SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my
ALOR SETAR - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) didakwa terbabit dalam salah laku moral termasuk bersekedudukan dengan seorang wanita sehingga melahirkan seorang anak.
Perkara tersebut terbongkar selepas satu kumpulan penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit di sini semalam.
Memorandum berkenaan didakwa mengandungi butiran mengenai salah laku serta perbuatan tidak bermoral wakil rakyat berkenaan.
Wakil penduduk yang menghantar memorandum itu, Makbul Ilahi Hashim, 50, memberitahu, sekiranya perkara itu dibiarkan ia boleh mencemar serta menghina institusi kesultanan dan melanggar perlembagaan Kedah.
"Kami rasa ia tak bermoral dan rasa terhina dan malu atas sifat wakil rakyat itu. Jadi kami berharap dengan menyerahkan memorandum ini Tuanku ambil tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan, Elmi Yusof kira-kira pukul 4.30 petang.
- Kosmo, 04/02/09.

3 Februari 2009

Budak tabika jadi mangsa politik

BEBERAPA kanak-kanak tabika Kemas hanya sekadar dapat melihat bilik darjah mereka dari luar pagar selepas ia dikunci di Sungai Pinang, Balik Pulau semalam.
*****
BALIK PULAU – Sebuah tabika di Sungai Pinang di sini ditutup tanpa notis semalam iaitu kali ketiga sejak tahun lalu sehingga menyebabkan 21 kanak-kanak terpaksa belajar di bawah pokok dengan beralaskan tikar.
Pemandangan menyedihkan tersebut sebaliknya membuatkan ibu bapa berang kerana anak-anak mereka didakwa menjadi mangsa tindakan yang bermotifkan politik.
Tabika Perpaduan Kemas Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang itu telah dikunci oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kuala Sungai Pinang atas arahan kerajaan Pakatan Rakyat selaku pihak yang mempunyai kuasa ke atas bangunan tersebut.
Seorang bapa, Ghazali Ibrahim, 35, terkejut melihat anaknya terpaksa belajar di luar kelas beralaskan tikar ketika datang menjemputnya pulang tengah hari semalam.
“Saya diberitahu pihak JKKK kampung merantai pagar masuk ke bangunan tabika.
“Tolonglah selesaikan masalah ini tanpa perlu libatkan kanak-kanak kecil yang tidak berdosa ini,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan Che Hamzah Che Hamid, 40, yang berpendapat tindakan akibat perbalahan politik hanya merugikan rakyat.
“Saya tidak faham mengapa ia berlaku sedangkan kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan melalui pejabat daerah agar operasi semua tabika Kemas tidak diganggu,” jelasnya.
Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.

1 Februari 2009

Jangan perkecil kekuatan UMNO - Muhyiddin

TAWAU 1 Feb. — Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan parti pembangkang termasuk Pas supaya tidak memperkecil kekuatan Umno walaupun beliau mengakui parti itu mempunyai kelemahan tertentu yang perlu diperbaiki.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata jatuh bangun kekuatan sesebuah parti merupakan perkara lumrah kerana ia berlaku kepada semua parti termasuk parti-parti pembangkang seperti Pas sendiri.
“Tidak apalah, itu pandangan beliau. Bagi kami, Umno merupakan sebuah parti yang sudah lama tertubuh dan kita masih mempunyai ahli lebih daripada tiga juta orang. Kalau dilihat dari sudut itu kita merupakan pertubuhan politik yang terbesar, katanya sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini yang menganggap Umno sebagai pokok yang hampir mati.
“Setiap pertubuhan politik ada musimnya. Pas pun begitu, Umno pun begitu juga. Ada waktu kita berada dalam keadaan yang kukuh, kadang-kadang kita menghadapi masalah.
“Pemimpin pembangkang tidak akan menghormati kita. Kita juga tidak mengharapkan mereka memberikan komen atau kenyataan yang positif walaupun dalam Pas dan komponen Pakatan Rakyat (PR) sendiri ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Umno Kalabakan di sini hari ini.
— LAGI MUHYIDDIN-PAS 2 (AKHIR) TAWAU Muhyiddin berkata pandangan umum sama ada dari luar atau dari dalam parti Umno itu sendiri menganggap Umno masih sebuah pertubuhan politik yang berwibawa dan mempunyai kekuatan tersendiri meskipun beberapa kelemahan perlu dibaiki selaras dengan perubahan lanskap politik negara sekarang.
Katanya kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran untuk menggambarkan secara keseluruhannya bahawa parti berkenaan sudah menjadi lemah dan tidak ada harapan untuk bangkit semula.
“Kita mengakui kelemahan yang kita hadapi tetapi itu tidak bermakna kita tidak ada harapan untuk bangkit semula. Kita sedar dan selepas pilihan raya umum kita membuat pembaharuan, perubahan dan reformasi dalaman. Ini sudah kita mulakan. Jadi jangan perkecilkan kekuatan Umno,” katanya.
Katanya perubahan yang sedang dilakukan Umno dan BN ialah untuk menghantar mesej kepada rakyat bahawa Umno dan BN bukan pertubuhan politik yang statik tetapi sanggup melakukan perubahan sesuai dengan perubanan lanskap politik negara ini.
Muhyiddin berkata perjuangan Umno dan parti komponen BN yang mengamalkan perkongsian kuasa mementingkan kerjasama dalam membangunkan negara tidak seperti parti pembangkang yang lebih cenderung memperjuang kepentingan parti masing-masing sahaja.
“Pas dilihat sebagai pertubuhan politik yang hanya melihat soal kepentingan parti dia sahaja. Dia tidak mengambil kira yang lain seperti perkongsian (kuasa). Dalam Pakatan Rakyat pun mereka tak secocok dari segi dasar dan tindakan. Dilihat bersama tetapi apa kata orang “tidur satu bantal mimpinya lain-lain” kerana mereka ada cita-cita masing-masing.
Muhyiddin yakin perubahan yang sedang dan bakal dilakukan dalam Umno dan BN akan dapat diterima rakyat seterusnya memberi kemenangan kepada BN dalam pilihan raya Umum ke-13 bagi membolehkan BN meneruskan jasa-jasanya bagi membangunkan negara lebih 50 tahun lalu.
— BERNAMA, 01/02/2009 3:35pm