12 September 2009

Kerajaan Indonesia wajar ambil tindakan - Dr. Mahathir

[Utusan - 12/09/09]
PETALING JAYA 11 Sept. - Kerajaan Indonesia wajar bertindak terhadap rakyatnya yang membuat provokasi keterlaluan terhadap Malaysia bagi mengelakkan keadaan semakin meruncing, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan rasa sedih dengan perkembangan itu namun berkata, beliau memahami ia hanya melibatkan sekumpulan kecil rakyat republik itu.
Katanya, cadangan segelintir rakyat Indonesia untuk mAdd Imageelancarkan perang terhadap Malaysia membuktikan mereka sebenarnya tidak memahami hubungan erat antara kedua buah negara.
"Saya harap kerajaan Indonesia akan mengambil tindakan, kalau di sini kita tidak akan benarkan benda semacam itu berlaku, terutama bila ugut mahu 'sweeping' (mengusir rakyat Malaysia).
"Kalau mahu dijadikan slogan sahaja bolehlah, tapi kalau sampai hendak tahan kereta, nak buat 'sweeping', itu bukan perkara yang baik," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Penganugerahan Sri Cemerlang Piala Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kepada Kelab Perkim Universiti di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Setiausaha Kehormat Perkim, Tan Sri Abdul Hamid Othman.
Selasa lalu, sekumpulan rakyat Indonesia melakukan gerakan provokasi 'Sapu Orang Malaysia' di Jalan Diponegoro, Jakarta.
Dalam demonstrasi tersebut, penunjuk perasaan yang bersenjatakan buluh runcing menahan kenderaan dan bertanya identiti mereka bagi mengesan rakyat Malaysia ekoran isu berbangkit berhubung tarian Pendet.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan Malaysia perlu berhubung dengan kerajaan Indonesia untuk meminta kerjasama supaya sentimen itu dihentikan.
Beliau berkata, perkara yang kecil itu tidak sepatutnya menyebabkan hubungan yang baik selama ini menjadi rosak.
"Sebenarnya perkara ini remeh sahaja, bukan perkara besar. Dia kata kita curi lagu, curi tarian, itupun bukan kita yang buat, orang lain buat," katanya.
##

11 September 2009

UMNO berjaya

[Utusan - 11/09/09]
Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman RM218 juta yang dikemukakan oleh syarikat Elegant Advisory Sdn. Bhd. terhadap UMNO berhubung dakwaan gagal menjelaskan bayaran bekalan barangan dan perkhidmatan semasa Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.
Pesuruhjaya Kehakiman, Anantham Kasinater yang memutuskan demikian di kamar beliau di sini turut memerintahkan Elegant Advisory membayar kos RM10,000 kepada UMNO selaku defendan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Dalam penghakimannya, Anantham menyatakan, berdasarkan pernyataan tuntutan Elegant Advisory selaku pihak plaintif, didapati tiada kontrak yang sah sama ada secara lisan atau bertulis dibuat antara syarikat itu dengan UMNO.
Menurutnya, walaupun dua keping invois dinyatakan dalam pernyataan tersebut, namun beliau tidak dapat menerima invois itu sebagai bukti kononnya ia mewakili kewujudan kontrak tersebut.
Apatah lagi, katanya, kedua-dua invois itu langsung tidak dikemukakan di mahkamah. Justeru itu, beliau menegaskan, tuntutan saman itu adalah remeh dan menyusahkan.
Anantham yang tidak menafikan bahawa kes itu telah menarik minat umum turut menyatakan, tuntutan itu tidak berasas kerana plaintif tidak berhak menuntut keuntungan secara tidak adil menerusi Seksyen 71 Akta Kontrak 1950.
Ini kerana, jelasnya, plaintif sendiri mengakui syarikat itu telah melantik empat pihak lain untuk membekalkan perkhidmatan dan barangan terbabit kepada defendan.
''Seksyen 71 akta itu hanya boleh dirujuk oleh pembekal barangan terbabit. Memandangkan plaintif sendiri membuat akuan bahawa barangan dan khidmat itu dikemukakan oleh empat pihak tersebut, asas kepada tuntutan di bawah seksyen itu semestinya gagal,'' katanya.
Plaintif sebelum ini menamakan bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi sebagai defendan tetapi kemudiannya dibenarkan mahkamah untuk menukarkannya kepada bekas setiausaha bahagian pentadbiran dan kewangan UMNO, Datuk Ishak Abdul Rahman sebagai defendan baru.
Pada 17 Julai lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan penghakiman ingkar dengan memerintahkan defendan membayar Elegant Advisory RM218 juta, selepas defendan gagal menjawab saman yang difailkan syarikat itu pada 23 Jun 2008.
UMNO bagaimanapun berjaya mengetepikan perintah itu pada 21 Januari lalu, selain mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.
Sementara itu peguam defendan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun memberitahu pemberita, keputusan itu membuktikan UMNO akhirnya tidak pernah membelanjakan wang yang sebegitu banyak untuk kempen pilihan raya.
##

MENAKJUBKAN!

Kepulan gas berbentuk sayap rama-rama, yang tidak dapat dilihat sebelum ini.
IMEJ terbaru dirakamkan oleh teleskop gergasi angkasa lepas Hubble selepas ia dinaik taraf dan dibaiki, baru-baru ini. Kos naik taraf dan membaiki Hubble bernilai AS$1 bilion (RM3.5 bilion), termasuk pemasangan dua kamera baru dan peralatan-peralatan sains.
Menurut saintis kanan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Dave Leckrone, imej yang dirakamkan oleh Hubble itu lebih tajam dan jelas berbanding sebelum ia dibaiki.
– Agensi

UMNO parti Islam - PM

[Utusan - 11/09/09]
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI, OPAT RATANACHOT dan SHARIZA ABDULLAH utusankedah@utusan.com.my
SIK 10 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ini kerana perjuangan UMNO adalah untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam termasuk membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutama di rancangan-rancangan Felda.
Beliau berkata, perubahan dalam kehidupan peneroka Felda yang kini menikmati kehidupan lebih baik berbanding dahulu hasil perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah selari dengan perjuangan Islam.
''Apakah yang kita (kerajaan) lakukan sekarang tidak Islam? Siapa kata perjuangan kita tak selari dengan tuntutan Islam?
''Walaupun tidak ada label Islam tapi kita telah melaksanakan tuntutannya, melakukan perubahan sehingga mengubah nasib peneroka Felda.
''Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan UMNO sejak 53 tahun lepas berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam,'' tegas beliau.
Beliau menegaskan demikian dalam ucapannya pada Program Rahmat Ramadan Warga Felda (PRRWF) 2009 di Masjid An-Nur, Felda Teloi Timur di sini, hari ini.
Najib berkata, kerajaan tidak mahu Islam dianggap lemah tanpa menguasai pelbagai bidang termasuk ilmu, ketenteraan dan ekonomi.
''Kita tidak mahu melihat umat Islam berbalah seperti di Iraq sehingga masyarakat hidup dalam ketakutan di mana-mana,'' katanya.
Beliau turut meminta umat Islam mengambil iktibar ibadah pada bulan Ramadan dan perjuangan Rasulullah SAW dalam membentuk kekuatan rohani serta jasmani.
Perdana Menteri memberikan contoh, peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadan, seramai 313 umat Islam berjaya menewaskan musuh yang lebih besar walaupun dalam keadaan berpuasa.
''Mengapa tidak ambil panduan menerusi perkara ini. Kalau menerusi ibadat puasa pada zaman Rasulullah boleh menang, mengapa kita pada zaman ini tidak boleh mencipta kejayaan,'' katanya.
Perdana Menteri juga berjanji akan memastikan peneroka Felda sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan.
''Sebab itu, sejak dulu semasa saya menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya minta untuk jaga Felda dan sekarang pun apabila menjadi Perdana Menteri, saya tak mahu lepaskan Felda," kata beliau.
Terdahulu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).
Beliau juga menyerahkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM1.34 juta kepada lebih 4,000 peneroka Felda Wilayah Alor Setar serta menyampaikan Anugerah Khas PRRWF 2009.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan.
##

Zulkifli bidas ‘Pak Janggut’

[Utusan - 11/09/09]
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al- Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.
Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.
“Yang paling jelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,’’ katanya.
Zulkifli berkata demikian di dalam blognya, http://zul4kulim. blogspot.com/ bagi mengulas isu pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam yang dirancang kerajaan negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang tetapi dibantah penduduk Islam di situ.
Ia menyebabkan 12 penduduk Islam di kawasan itu dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam perhimpunan haram mengarak kepala lembu di hadapan bangunan kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini bagi membantah pembinaan kuil itu.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan identiti individu yang digelar ‘Pak Janggut’ itu.
Zulkifli berkata, memang umat Islam disuruh berlaku adil termasuk kepada bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam tetapi ia hanya terhad kepada soal menjaga kebajikan mereka termasuk memelihara tempat ibadah.
Katanya, umat Islam di situ bagaimanapun dilihat seolah-olah tidak mempunyai hak untuk bersuara dan hidup dalam keadaan aman harmoni berdasarkan status quo mereka.
“Umat Islam di situ dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dan perintah itu dikatakan dibenarkan di dalam al-Quran.
“Malahan mereka dikatakan berdosa kerana tidak mengikut al-Quran untuk membenarkan pembinaan kuil itu,” jelasnya.
Katanya, pembinaan kuil itu telah banyak diputar belit dan digembar-gemburkan sehingga menyebabkan isu sebenar pencerobohan tanah di kawasan itu untuk menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.
“Isu demonstrasi kepala lembu pula diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain,” katanya.
Bagaimanapun Zulkifli berkata, tindakan yang dilakukan penduduk Seksyen 23 itu mengadakan perhimpunan haram dengan membawa kepala lembu dan memijaknya tidak sepatutnya berlaku kerana menimbulkan persepsi yang negatif.
Katanya, ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati dalam isu tersebut contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor itu.
##

10 September 2009

MB Terengganu beri tempoh seminggu kepada akhbar mohon maaf

[Bernama - 10/09/09]
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberi tempoh seminggu kepada sebuah akhbar tempatan supaya memohon maaf kepada beliau berhubung satu laporan yang didakwanya mempunyai unsur fitnah. Katanya jika akhbar berkenaan gagal berbuat demikian, beliau akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyiarkan laporan itu pada 4 September lalu.
"(Laporan) ini jelas memfitnah kerana saya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini. Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap berita bertajuk "Muhyiddin Mahu Selesai Kemelut BN Terengganu" itu, Ahmad berkata laporan itu gagal menyiarkan perkara sebenar pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 rakyat Hulu Terengganu sebaliknya melihat daripada sudut politik semata-mata.
Dalam kenyataan setebal lima muka surat yang dibacanya, Ahmad berkata selama ini beliau mengelak dari memberi sebarang komen berkaitan politik untuk meredakan keadaan serta tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi negatif mengenai hubungannya dengan pentadbiran dan politik.
"Saya sudah lama bersabar. Walaupun saya telah memberikan penjelasan secara tertutup kepada pihak media beberapa bulan lepas, namun masih ada yang tidak memahami keadaan atau sengaja tidak mahu menerima kebenaran. "Laporan akhbar terbabit adalah penghujung kesabaran saya kerana ia jelas telah memfitnah saya," katanya.
Mengenai laporan portal berita The Malaysian Insider bahawa beliau menolak tawaran menjadi menteri pusat bagi membolehkan beliau meletakkan jawatannya di Terengganu, Ahmad menafikan pernah menerima tawaran itu. Katanya berita itu mempunyai unsur fitnah dan spekulasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan sama terhadap portal berita itu seperti dilakukan kepada akhbar tempatan terbabit, Ahmad berkata beliau akan melihat berita itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.
##

Hentikan tindakan mengarut - Zambry

[Utusan - 10/09/09]
IPOH 9 Sept. - Sudah tiba masanya bagi pakatan pembangkang di negeri ini menghentikan segala tindak tanduk mengarut mereka dan kembali waras, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam merupakan hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak tentang kedudukan sistem yang selama ini dipraktikkan dan apa yang sebenarnya berlaku di Perak.
''Hari ini, kebenaran akhirnya terserlah tentang perbuatan dan tindakan mereka yang cuba mengaburi dan mengelirukan pemikiran rakyat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Exco di sini hari ini.
Zambry diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam yang menolak permohonan V. Sivakumar bagi menghalang Datuk R. Ganesan menjalankan tugas sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Hakim Datuk Azhar Moahamed ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa menentukan perkara tersebut sebaliknya ia harus diselesaikan dalam sidang DUN itu sendiri.
Menurut Zambry, pakatan pembangkang sepatutnya menjadi pembangkang yang berkaliber seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) semasa menjadi pembangkang di negeri ini.
Beliau juga berharap dengan keputusan mahkamah itu, pembangkang memperbetulkan semula dakwaan kononnya BN melakukan rampasan kuasa.
Katanya, selama ini pun, BN tidak pernah memulakan proses mahkamah tetapi ia dilakukan oleh pakatan pembangkang sendiri tetapi kemudiannya meletakkan beban tersebut kepada BN.
Zambry yakin, rakyat dapat melihat wajah sebenar pembangkang dengan pelbagai tindakan yang mereka lakukan termasuk menyaman BN ke mahkamah.
''Terbaru, tadi kita terima saman (daripada pembangkang) tentang kedudukan Exco kerajaan negeri pula.
''Kalau keputusan mahkamah berpihak kepada mereka, kata proses yang adil tetapi kalau sebaliknya, mereka kata tidak adil, hakim dibeli dan sebagainya," katanya.
##

9 September 2009

Duta Indonesia dipanggil ke Wisma Putra

[Bernama - 09/09/2009 9:36pm]
KUALA LUMPUR 9 Sept. — Menteri Luar, Datuk Anifah Aman hari ini memanggil Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Jen (B) Da’i Bachtiar ke Wisma Putra untuk menyatakan pendirian Malaysia mengenai konflik yang telah mengakibatkan kepincangan dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan di sini, Anifah berkata, kerajaan Malaysia melahirkan rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak di republik itu yang sengaja mencetuskan perselisihan di antara rakyat Malaysia dan Indonesia.
##

Solat membersih jiwa

[Kosmo! - 090909]

Seorang lelaki mendirikan solat selepas berbuka puasa di Masjid Jamia yang terletak di Srinagar, India. Bulan yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam ini disemarakkan dengan amal ibadah di serata dunia. – AP

MENGETAHUI bahawa ganjaran pahala yang diterima apabila menunaikan ibadat sepanjang bulan Ramadan adalah berlipat kali ganda, maka umat Islam di seluruh dunia yang menyedari hakikat tersebut berlumba-lumba mengerjakannya.
Antaranya, menunaikan solat lima waktu dan solat tarawih secara berjemaah. Sama ada dilakukan sendirian atau berjemaah, solat mampu mendidik jiwa ke arah yang lebih baik.

Di luar pekarangan sebuah masjid di Kabul Afghanistan, seorang lelaki tua khusyuk mendirikan solat demi memanfaatkan kelebihan bulan Ramadan. – AP

Malah dengan bersolat, seseorang itu akan berasa lebih tenang dan dekat dengan pencipta-Nya. Justeru, tidak kira di mana pun mereka berada, solat merupakan satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan.
Selain solat lima waktu, solat tarawih juga dianggap begitu istimewa kerana ia hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Ia dikerjakan selepas solat Isyak dengan rakaat-rakaat tertentu mengikut mazhab masing-masing.
Jemaah lelaki menunaikan solat di Masjid An-Nour, Addis Ababa, Ethiopia pada hari kedua Ramadan. – AP
Perkataan 'taraweeh' berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud rehat dan rileks. Ini kerana selepas setiap kitaran solat (berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk), para jemaah akan berhenti seketika sambil mengalunkan bacaan selawat ke atas Nabi Muhamamd s.a.w sebelum meneruskan solat untuk rakaat seterusnya.
Berikut Kosmo! siarkan beberapa gambar menarik mengenai ibadah solat umat Islam di serata dunia pada Ramadan ini.
Seorang lelaki Palestin bersolat, sewaktu jemaah lain mengambil kesempatan untuk berehat di dalam Masjid Al-Omari di Bandar Gaza, Palestin. – AP

Kanak-kanak tidak ketinggalan menghadirkan diri di sebuah masjid yang terletak di Manila, Filipina untuk beribadah dalam bulan mulia ini. – AFP

##

Sweeping Orang Malaysia

SEKUMPULAN lelaki Indonesia mengadakan sekatan jalan haram sambil memegang sepanduk `Maaf Jalan Anda Terganggu : Sweeping Orang Malaysia’’ di Jakarta semalam. Dalam sekatan itu mereka menyoal pemandu dan penumpang seandainya mereka warga Malaysia. - AFP

8 September 2009

Rakyat Malaysia di Jakarta diancam dengan buluh runcing

[Bernama - 08/09/2009 8:56pm]
JAKARTA 8 Sept. — Jabatan Penuntut Malaysia di sini hari ini menasihati semua pelajar Malaysia di seluruh Indonesia supaya sentiasa berhati-hati memandangkan kebencian segelintir rakyat negara itu yang semakin memuncak berikutan penyebaran pelbagai fitnah oleh media massanya kebelakangan ini.
Jabatan itu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menasihati semua pelajar Malaysia di sini khasnya agar jangan sekali-kali melalui Jalan Diponegoro bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Kebencian mereka itu memuncak kepada tahap yang serius dan menakutkan berikutan media tempatan baru-baru ini menyiarkan berita dan visual lebih 360 sukarelawan ilmu kebal yang dilaporkan sudah mendaftar dan bersedia untuk mengganyang Malaysia.
Kebencian mereka itu memuncak lagi apabila hari ini terdapat sekumpulan orang yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) mula bertindak liar dengan mengugut rakyat Malaysia dengan buluh runcing di Jalan Diponegoro.
Dilaporkan bahawa 50 anggota BENDERA yang bersenjatakan buluh runcing (buluh yang ditajamkan hujungnya) memaksa orang ramai yang melalui jalan itu menunjukkan tanda pengenalan mereka dan jika kebetulannya orang berkenaan seorang rakyat Malaysia maka orang itu akan terus ditahan.
Tindakan mereka mengambil undang-undang di tangan sendiri dilaporkan media massa online tempatan termasuk detikcom.
Sebelum ini pernah rumah kediaman yang disewa pelajar Malaysia di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dibaling telur busuk oleh kumpulan yang berdemonstrasi terdiri daripada sekumpulan mahasiswa tempatan kerana marahkan Malaysia yang difitnah sebagai mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali.
Berikutan isu itu yang terus diapi-apikan media massa tempatan dan dikaitkan pula dengan isu-isu lampau yang diungkit semula, beberapa kumpulan rakyat Indonesia juga berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di sini.
Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah “mencuri” tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu “jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta”. Anehnya, sebuah stesen TV yang baru saja menyiarkan program dialog di mana seorang pegawai tinggi Kementerian Luar Indonesia memberikan penjelasan bahawa Malaysia tidak pernah mengakui Pendet sebagai tarian berasal dari Malaysia, namun stesen TV yang sama juga kemudian mengulangi lagi tuduhan yang serupa.
Laman web okezone pula melaporkan bahawa anggota BENDERA ada memeriksa lebih daripada 100 orang.
Bagaimanapun, detikcom melaporkan bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia yang kebetulan melalui jalan itu dan tindakan yang dikatakan akan dilakukan selama sejam, berakhir hanya selepas setengah jam.
##

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

[Bernama - 08/09/2009 5:49pm}
Pas letak syarat untuk berunding dengan UMNO
KOTA BHARU 8 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak perlu mengadakan sebarang rundingan dengan UMNO selagi ia mengamalkan dasar kebangsaan.
Malahan beliau menganggap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa UMNO bersedia berunding dengan Pas atas kepentingan Islam, sebagai isu lama.
Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan juga meragui keikhlasan kerajaan pusat dalam membantu negeri Kelantan.
“Kalau nak jaga Islam lebih baik dia buat sebagaimana dia sebut tukar dasar daripada dasar kebangsaan kepada dasar Islam barulah benar-benar menampakkan kita ni ikhlas dengan Islam,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
##

BN yakin miliki Bagan Pinang

[Utusan - 07/09/09]
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my
JEMPOL 7 Sept. - UMNO Negeri Sembilan mahu memastikan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dimenangi semula oleh Barisan Nasional (BN) sekali gus menjadikan ia titik permulaan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, UMNO akan menggerakkan semua jentera parti di lapan peti undi yang terdapat dalam DUN Bagan Pinang dan kesemua lapan bahagian telah diminta menjadikan setiap peti undi itu sebagai anak angkat mereka.
''UMNO Bahagian Teluk Kemang sudah pun memulakan gerak kerja dan ia diketuai oleh Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad. Beliau adalah pemimpin berpengalaman dan banyak kali mengetuai pilihan raya umum dan kecil sebelum ini.
''Jumlah pengundi di DUN Bagan Pinang ialah 14,000 orang dan ketika ini tidak banyak perubahan pada daftar pengundi,'' katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Besar, Pejabat Daerah Jempol di sini hari ini.
Mohamad menjelaskan, soal calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang itu diserahkan kepada kepimpinan BN Teluk Kemang yang diketuai oleh Mohd. Isa yang juga Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang.
''Kita mahu calon yang boleh diterima semua orang, yang dapat mempertahankan kerusi BN pada pilihan raya kecil ini dan yang penting calon itu hendaklah mendapat sokongan padu jentera BN, khususnya UMNO di Bahagian Teluk Kemang," tegas beliau.
Mengenai isu yang akan dimainkan oleh pembangkang di Bagan Pinang, Mohamad memberitahu, isu tempatan tidak banyak kerana semua kawasan itu sudah mempunyai kemudahan asas yang mencukupi.
''Kita memang menjangkakan beberapa isu yang akan dibawa oleh pembangkang kerana itu memang cara mereka. Kita akan tangkis dan terangkan kepada orang ramai dasar sebenar yang dibuat oleh kerajaan BN," ujar beliau.
Dalam pada itu, katanya, keputusan lapan pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu yang kebanyakannya berpihak kepada pakatan pembangkang, tidak akan menjejaskan imej BN kerana enam daripadanya adalah kerusi yang memang dipertahankan pakatan pembangkang.
Menurutnya, BN hanya kalah di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan berjaya mempertahankan kerusi DUN Batang Air.
##

PM: UMNO tidak akan gadai maruah

[Utusan - 07/09/09]
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan AZRAN FITRI RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA KRAI 7 Sept. – UMNO tidak akan menggadai maruahnya walaupun ia bersedia untuk bersama-sama dengan Pas bagi membincangkan perkara yang menyentuh kepentingan ummah dan Islam di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulangi kesanggupannya berunding dengan Pas berkata, ia dilakukan semata-mata untuk melihat nasib umat Islam negara ini terus dibela dan dipertingkatkan.
Namun tegasnya, dalam usaha ke arah itu beliau tidak rela UMNO dan mereka yang menyokong parti itu dihina, dipersoal dan diperkecilkan oleh mana-mana pihak.
“Saya sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan Islam tetapi tidak rela UMNO dihina oleh sesiapa sahaja. Kalau nak buat, buat cara baik, jangan perkecil dan pertikai akidah kita, jangan kata kita luaran saja dalam tidak, sebab ini akan menimbulkan kekalutan dalam masyarakat, yang penting kita buat dengan baik.
“Penilaian sama ada yang kita buat diterima atau tidak, itu bukan kerja kita, kerja Allah. Jadi yang penting kita beri tumpuan pada cara UMNO untuk membangunkan umat Islam dan pada masa sama kita tidak lupa untuk berlaku adil kepada bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan pemimpin UMNO negeri. Ia turut disertai kira-kira 4,000 rakyat dari kawasan ini.
Pada majlis tersebut, beliau bersama Rosmah turut menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan golongan yang memerlukan.
Sebelum ini, pemimpin pembangkang terutama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertikaikan UMNO dan mendakwa parti itu bukan Islam yang tulen kerana memisahkan agama dan politik malah penyokong UMNO tidak akan masuk syurga.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh pemimpin pembangkang itu tidak benar sama sekali kerana perjuangan parti itu sejak dahulu lagi selaras dengan tuntutan agama.
“Memang benar sejak dahulu lagi apa yang kita lakukan ini selaras dengan tuntutan agama sebab peristiwa yang amat besar apabila mencapai kemerdekaan ialah menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Cuba bayangkan kalau kita tidak merdeka, kita tidak mungkin dapat jadikan Islam sebagai agama Persekutuan, jika Islam tidak menjadi agama Persekutuan tidak mungkin kita mendapat peruntukan yang besar.
“Setiap institusi Islam yang besar, jasa siapa, jasa UMNO. Lihat sistem persekolahan Islam, Tabung Haji, sistem mahkamah syariah, undang-undang keluarga, jasa siapa. Inilah jasa UMNO untuk membangunkan umat Islam negara ini,” tegasnya.
Perdana Menteri berkata, hala tuju UMNO adalah untuk memperjuangkan Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan hadis serta berusaha mengukuhkan akidah umat Islam.
“Kita mahu jadikan negara kita terdiri daripada umat Islam yang progresif dan berjaya, semuanya ini kita berpandu pada slogan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
“Konsep dan gagasan ini merupakan pelengkap kepada perjuangan yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu, sama ada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga pemimpin sebelum itu. Semuanya ingin kepada pembentukan satu negara yang bersatu padu,” jelasnya.
##

Khalid tetap teruskan

[Utusan - 07/09/09]
Oleh ABDUL YAZID ALIAS dan SHAHARANI SAIBI
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 7 Sept. – Meskipun mendapat bantahan besar-besaran penduduk sehingga hampir mencetuskan pergaduhan, kerajaan negeri hari ini membuat keputusan meneruskan cadangan untuk memindahkan tapak pembinaan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 di sini.
Ia berikutan kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak baru bagi menggantikan lokasi cadangan asal pembinaan kuil yang mendapat bantahan majoriti penduduk Islam Seksyen 23.
Lokasi baru itu yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak cadangan asalnya serta 400 meter dari kawasan perumahan penduduk dilihat paling sesuai dan strategik.
Menurut kenyataan Pejabat Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini, keputusan tersebut adalah hasil tinjauan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pagi ini.
Turut meninjau lokasi ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail; Datuk Bandar Shah Alam, Madzalan Mohd. Noor serta Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar.
Selain Seksyen 23, tinjauan turut dilakukan di kawasan Seksyen 18, 19 dan Seksyen 20 di sini.
Kenyataan itu menyebut pemilihan lokasi baru itu akan dibincangkan oleh kerajaan negeri dengan Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariaman bagi mendapatkan persetujuan semua pihak.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahyuddin Manaf ketika dihubungi terkejut dengan keputusan kerajaan negeri itu.
Beliau berkata, ini kerana Abdul Khalid ketika majlis pertemuan bersama penduduk Seksyen 23 Sabtu lalu menyatakan tidak akan menyentuh soal pembinaan kuil di Seksyen 23.
Katanya, keputusan itu bakal mencetuskan persoalan kepada penduduk sama lokasi baru itu berada di kawasan yang sama seperti dicadangkan sebelum ini atau sebaliknya.
“Kami tidak tahu menahu mengenai lawatan Menteri Besar di Seksyen 23 hari ini kerana tidak ada wakil penduduk dipanggil untuk turut serta dalam lawatan berkenaan.
“Bagaimanapun, kami menghormati kerajaan negeri terutama dalam usaha untuk menyelesaikan masalah ini tetapi cuma kami terkejut mengapa mereka mengadakan lawatan ke tapak kawasan ini lagi,” ujarnya.
Ahmad Mahyuddin berkata, kerajaan negeri sepatutnya mendapatkan pandangan penduduk terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sekiranya lokasi baru yang dicadangkan itu berhampiran kawasan perumahan penduduk.
Menurutnya, beliau tidak ada masalah dengan pembinaan kuil berkenaan di Seksyen 23 sekiranya lokasinya adalah jauh daripada kawasan penempatan penduduk.
“Saya tidak ada masalah jika kerajaan negeri mahu memindahkan kuil di Seksyen 23, selagi kedudukannya jauh kawasan perumahan serta tidak menganggu penduduk.
“Bagaimanapun yang pasti, ada penduduk akan menerima cadangan baru itu jika tidak mengganggu mereka dan ada juga yang menolak terus daripada dibina di Seksyen 23,” jelasnya.
##

7 September 2009

Pembangkang tiada kredibiliti memerintah

[Utusan - 07/09/09]
KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kegagalan kerajaan Selangor menyelesaikan isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, Shah Alam adalah bukti jelas bahawa pakatan pembangkang tidak memiliki kredibiliti memerintah.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin pakatan pembangkang gagal menjadi pemerintah yang baik dan adil bagi rakyat berbilang kaum di Selangor kerana tiada pengalaman luas sebagai ahli politik.
"Barisan Nasional (BN) memerintah berpuluh-puluh tahun tiada masalah besar berlaku di Selangor tapi kerajaan pakatan pembangkang yang baru setahun jagung memerintah sudah berlaku macam-macam.
"Saya yakin lagi lama mereka perintah, lagi banyaklah masalah yang akan dihadapi rakyat Selangor, dalam isu menentukan tapak kuil pun mereka terbukti gagal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ibrahim menambah berkata, keadaan ini berlaku kerana kebanyakan wakil rakyat pembangkang merupakan ahli korporat yang menceburi bidang politik semata-mata untuk menentang kerajaan BN.
''Tidak ramai wakil rakyat pembangkang berlatar belakang ahli politik, mereka tiada pengalaman mentadbir kerajaan yang mempunyai rakyat berbilang kaum.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM), Sobri Ahmad mencadangkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) campur tangan menyelesaikan isu kuil ini bagi mengelak timbul masalah perkauman yang lebih serius.
##

Bukti pakatan tidak berwibawa

[Utusan - 07/09/09]
Oleh YUSRI SAHAT

Najib Tun Razak memangku Mohd. Shahariz Yusop 4, ketika melawat rumah ibu tunggal, Zulaikha @ Dahlia Yong 34, di Kampung Padang Jaya, Pekan, Pahang, semalam. Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan peribadi dan makanan untuk keluarga miskin tersebut. Turut kelihatan anak-anak Zulaikha (dari kanan) Najmuihuda 8, Mohd. Shahdaniel 9, Fatimatulzahra 11, dan Mohd. Shahborhanuddin yang berusia tujuh tahun.

*****

PEKAN 6 Sept. – Perdana Menteri berkata, kekecohan yang berlaku pada majlis dialog Menteri Besar Selangor dan penduduk Seksyen 23, Shah Alam berhubung isu pembinaan kuil semalam, membuktikan kerajaan pakatan pembangkang tidak berwibawa untuk mentadbir apabila gagal menyelesaikan masalah rakyat secara berhemah.
Malah menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, kewibawaan kerajaan negeri yang ditadbir pakatan pembangkang semakin dipersoalkan rakyat apabila mereka tidak mampu membuat keputusan dengan tepat dan memuaskan hati semua pihak.
Insiden itu juga, kata beliau, menunjukkan pakatan pembangkang gagal menunaikan janji-janji yang ditaburkan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.
‘‘Kewibawaan kerajaan yang dikuasai pakatan pembangkang sudah mula dipersoalkan rakyat. Mereka (pakatan pembangkang) menghadapi begitu banyak masalah.
‘‘Apabila mereka berjanji, mereka tidak dapat menunaikannya dan keputusan yang mereka buat tidak memenuhi jangkaan rakyat. Mereka juga cuai membuat keputusan yang tepat dalam satu-satu situasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada penduduk miskin di Kampung Padang Jawa, Kampung Sri Damai dan Kampung Bentan dekat sini hari ini.
Najib juga menyampaikan bantuan kepada 24 keluarga mangsa ribut di Kampung Halimi dekat sini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas kekecohan yang berlaku pada majlis dialog tersebut yang berlangsung di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.
Hampir sepanjang sesi dialog yang bermula pukul 10 pagi itu, berlaku perang mulut antara penduduk yang membantah cadangan pembinaan kuil dengan para pemimpin yang hadir termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Mereka turut menghambur kata-kata kesat dan menjerit perkataan ‘penipu’ kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail setiap kali mereka memberi penjelasan terhadap soalan yang diajukan.
Mengulas lanjut, Najib menyindir pembangkang yang sebelum ini sering mempertikaikan kewibawaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menangani isu-isu tertentu berkaitan kepentingan rakyat.
Bagaimanapun katanya, apabila pakatan pembangkang memerintah, keadaan lebih buruk berlaku apabila para pemimpinnya gagal membuat keputusan dengan tepat dan tidak mengambil kira pandangan masyarakat yang berkaitan.
‘‘Ketika mereka menjadi pembangkang, amat mudah bagi mereka mempertikaikan kerajaan BN kononnya kita tidak berwibawa atau sebagainya.
‘‘Hakikatnya apabila mereka mentadbir, ia tidak semudah seperti yang mereka cuba lakarkan ketika mereka menjadi pembangkang dahulu,” jelasnya.
Ditanya sama ada kerajaan Pusat akan campur tangan dalam isu tersebut bagi mengelakkannya menjadi lebih buruk, kata Najib, ia tidak boleh dilakukan memandangkan tapak kuil tersebut adalah bidang kuasa kerajaan negeri.
‘‘Sukar bagi kita campur tangan kerana akhirnya kita terpaksa merujuk kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya.
Mengulas calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang selepas kematian wakil rakyatnya, Azman Mohd. Noor Jumaat lalu, Najib berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan.
‘‘Terlalu awal dan ada masa lagi. Tunggu dululah,” katanya.
Mengenai kemungkinan bonus kakitangan kerajaan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini, katanya sambil berseloroh: ‘‘Itu kena tanya Ketua Setiausaha Negara’'.

##

Pakatan gagal tadbir Selangor

[Utusan - 07/09/09]
BIARPUN Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah 18 bulan berlalu, masih tiada usaha kerajaan negeri untuk tingkatkan kedudukan sosioekonomi dan politik.
Selangor sebuah negeri yang kaya semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional puluhan tahun
-A. Kohilan Pillay
Pengerusi Gerakan Negeri Selangor

BN memerintah berpuluh tahun tiada masalah besar berlaku di Selangor tapi kerajaan pakatan yang baru setahun jagung memerintah sudah berlaku macam-macam
-Datuk Ibrahim Ali
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

Ini membuatkan rakyat tidak menghormati kepimpinan Abdul Khalid selaku Menteri Besar kerana mereka berasakan pentadbiran kerajaannya lemah dan tidak begitu berfungsi
-Profesor Dr. Ahmad Atory Hassan
Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia
##

Anwar tidak perlu takut

[Utusan - 07/09/09]
Oleh Siti Mariam Md. Zain dan Rohani Ibrahim
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 6 Sept. – Penangguhan perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran seolah-olah pemimpin pakatan pembangkang itu takut kepada kebenaran.
Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar yang juga bekas timbalan presiden parti itu ketika dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional berkata, tindakan Anwar itu suatu pembaziran kos, waktu dan tenaga manusia di mahkamah.
“Saya bukanlah hendak membuat kesimpulan dalam perkara ini. Namun inilah gambaran yang dapat dilihat.
“Kenapa hendak tangguh kalau kita tidak salah. Anwar seolah-olah takut pada sesuatu. Takut pada kebenaran yang akan terbongkar dalam perbicaraan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Chandra berkata, kes berkenaan sangat penting kepada masyarakat apatah lagi ia melibatkan isu moral.
“Justeru sebagai seorang pejuang rakyat dan pejuang keadilan kononnya, Anwar perlu memastikan perbicaraan beliau selesai secepat mungkin.
“Anwar perlu bersikap adil kepada mahkamah, rakyat dan yang paling penting mangsa atau pengadu dalam kes berkenaan,” jelasnya.
Tambah Chandra, mahkamah tidak harus dipersalahkan ekoran penangguhan demi penangguhan yang berlaku.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sikap pemimpin pembangkang itu yang sering mencari alasan bagi menangguhkan perbicaraan di mahkamah hanya mengundang tanda tanya masyarakat.
‘‘Kesimpulan kita, dia (Anwar) takut kes dia berjalan. Kalau dia tak bersalah, hadapi di mahkamah. Yang buat demonstrasi jalanan apa hal?
‘‘Orang ramai juga akhirnya akan sampai pada kesimpulan, yang berlaku semua ini ialah kerana dia takut dengan kes dia,” katanya di sini semalam.
Bekas pembantu peribadi Anwar iaitu Saiful Bukhari Azlan dalam blognya baru-baru ini menyatakan rasa kesal terhadap penangguhan kes liwat yang dihadapi oleh bekas majikannya itu ekoran tindakan Anwar mengemukakan beberapa permohonan berkaitan dengan kes tersebut.
Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata ‘‘Jika Anwar tidak bimbang, tak bersalah, hadapi sahaja kes. Apa juga pembelaan, buat di dalam mahkamah. Bukan buat huru-hara di jalan”.
Beliau yakin apa yang berlaku hari ini terutama di Perak adalah antara strategi Anwar mengelak berdepan dengan proses keadilan.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan usaha Anwar yang mahu membatalkan kumpulan pendakwaan terhadap kes itu atas sebab-sebab tertentu.
‘‘Bagaimana kalau saya pula kata, R. Sivarasa tidak dibenarkan menjadi peguam bela Anwar kerana Sivarasa adalah seorang yang berkepentingan kepada Anwar selain dia juga ialah ahli Parlimen pembangkang. Boleh saya kata begitu?
‘‘Kalau saya tak boleh buat begitu, bagaimana dia boleh lakukan kepada unit pendakwaan kita dengan mengatakan pendakwa ini satu masa dulu kononnya pernah buat laporan tidak betul. Ini tak logik, mengarut,” katanya.
Beliau berkata, Anwar sepatutnya mempertikaikan tanggungjawab seseorang hakim sama ada berlaku adil atau tidak bukan terhadap kumpulan pendakwa raya.
‘‘Yang patut dia bimbang ialah hakim bukan pendakwa itu. Pendakwa, dia mendakwa sahaja. Kalau dia marah pada Anwar, apa benda pun yang dia boleh buat pada Anwar?
‘‘Tetapi kalau hakim itu merupakan orang yang mungkin keadilannya berat sebelah, kita boleh minta supaya dia tidak dibenarkan mengadili kes,” katanya.
##

6 September 2009

Analisis: BN mungkin tidak lagi berputih mata

[Berita Minggu - 06/09/09]
Oleh Ahmad Naim Tahir
bhnews@bharian.com.my
SELEWAT-LEWATNYA 60 hari lagi - selepas setahun setengah membuat pilihan terdahulu - pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang akan mengundi lagi untuk memilih wakil rakyat baru menggantikan Allahyarham Azman Mohd Noor, 54, yang kembali ke Rahmatullah, petang kelmarin.
Kematian Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang itu memerlukan satu lagi pilihan raya kecil diadakan, yang kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Mac 2008 dan dianggap pemerhati politik sebagai kritikal dalam konteks mengukur sokongan kepada parti pemerintah dan pembangkang.
Pilihan raya kecil berkenaan adalah yang kedua bagi kerusi disandang Umno selepas Parlimen Kuala Terengganu, Januari lalu yang menyaksikan harapan penyandang mengekalkan penguasaannya di situ berkecai di tangan Pas. Daripada lapan pilihan raya kecil sebelum ini, hanya satu dimenangi Barisan Nasional (BN) iaitu Batang Air di Sarawak, manakala selebihnya oleh Pas di Permatang Pasir, Manek Urai, Bukit Gantang dan Kuala Terengganu serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh sebelum menang percuma di Penanti.
Kritikalnya keputusan di Bagan Pinang kerana ia akan menjadi penanda sama ada momentum kecenderungan sokongan pengundi kepada pembangkang masih berterusan atau keputusan sebelum ini sekadar nasib kerana pilihan raya kecil berlangsung di kubu kuat mereka atau kerusi dengan sokongan seimbang.
Secara tradisinya, Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang adalah kubu kuat Umno dan bersama DUN Linggi yang juga kerusi Umno, terselamat daripada tsunami politik, Mac tahun lalu yang menyaksikan baki tiga lagi DUN dan kerusi Parlimen itu sendiri, semuanya diwakili MCA atau MIC jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Lawan tradisi Umno di Bagan Pinang ialah Pas, mengambil kira jumlah pengundi Melayu yang mewakili hampir 70 peratus daripada keseluruhan 14,192 pemilih berdaftar, India 20 peratus pengundi dan bakinya pengundi Cina boleh menjadi penentu.
Pada pilihan raya umum lalu, Azman yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Teluk Kemang menang kerusi terbabit selepas memperoleh 6,430 undi untuk menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.
Bagi yang biasa dengan politik Negeri Sembilan, Umno Teluk Kemang adalah antara bahagian paling stabil dan tidak banyak kerenah - terima kasih kepada ketuanya, Tan Sri Mohd Isa Samad yang satu waktu yang panjang juga, sinonim dengan Umno Negeri Sembilan.
Faktor perpaduan yang amat utuh dalam bahagian itu pasti memberi kelebihan kepada Umno dalam menghadapi pilihan raya kecil terbaru ini nanti, disokong pula pengaruh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang masih kuat melekat di hati masyarakat setempat - baik Melayu, India atau Cina.
Jika benar pun dakwaan beliau berkonflik dengan penggantinya bagi kerusi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ia tidak pernah ditunjukkan secara terbuka oleh kedua-dua tokoh itu, sebaliknya seperti biasa boleh berbual mesra jika bertembung di mana-mana. Menurut pemerhati politik setempat, Umno tidak akan berdepan masalah besar mengekalkan kerusi itu, tetapi dengan syarat - memilih calon yang benar-benar bersih dan dapat memberi jaminan menyelesaikan isu tempatan.
Antara isu yang paling diberi perhatian ialah pembinaan sebuah sekolah menengah baru yang sehingga kini belum jadi kenyataan walaupun khabarnya tapak untuk itu sudah tersedia, menyelesaikan isu penggredan dan pangkat guru serta hal berkaitan kebajikan anggota tentera yang ramai bertugas di kem sekitar Bagan Pinang.
Pembangkang pula, seperti biasa dijangka menggunakan isu yang boleh memberi kelebihan kepada mereka, termasuk kenaikan harga petrol, tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa dalam kerajaan dan apa saja sehinggalah serangan peribadi untuk cuba menawan kubu kuat Umno itu.
Dalam soal calon, beberapa nama sudah disebut-sebut untuk pertimbangan, termasuk Ketua Wanita Umno bahagian, Rohani Yaacob, malah mungkin juga legasi Mohd Isa melalui anak lelakinya, Mohd Najib, 33, yang kini Naib Ketua Pemuda Umno bahagian berkenaan.
# Rencana

Ahli MPPP DAP dibaling selipar

[Berita Minggu - 06/09/09]
Oleh Petah Wazzan Iskandar dan Syed Ismail Syed Abu Bakarb
minggu@bharian.com.my

LIM membawa selipar yang dibaling seorang peniaga bazar Ramadan ketika membuat laporan di IPK Pulau Pinang, semalam.

*****

40 peniaga bazar Ramadan berang dilarang niaga di kaki lima depan Pasar Raya Mydin GEORGETOWN: Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari parti DAP, Lim Siew Khim, dibaling dengan selipar oleh seorang daripada 40 peniaga di Bazar Jalan Penang dalam kekecohan berlaku di pasar berkenaan, di sini, semalam.

Selipar itu mengenai bahagian belakang Lim yang ketika itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Ng Wei Aik memberi penjelasan berhubung larangan MPPP menghalang peniaga daripada berniaga di kaki lima di depan Pasar Raya Mydin, Jalan Penang.

Peniaga berkenaan membaling selipar itu selepas tidak berpuas hati dan marah dengan penjelasan Ng bahawa larangan itu dibuat atas beberapa sebab antaranya laluan pejalan kaki itu sempit. Selain itu, Ng mendakwa larangan itu dibuat selepas menerima laporan daripada peniaga bazar mengenai tindakan menyewakan lesen kepada rakyat asing selain kesesakan teruk. Beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan negeri memperuntukkan tempat perniagaan alternatif iaitu di Jalan Megazine dan Penang Times Square kepada peniaga di bazar berkenaan.

Berikutan kejadian itu, Lim membuat laporan bersama Ng, manakala Ahli Majlis MPPP, Harvindar Singh turut membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini.Mereka membuat laporan itu terhadap Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP), Rezal Fariz Mohideen kerana mendakwa beliau cuba mencetuskan kekecohan.

Terdahulu, keadaan kecoh mula tercetus selepas kehadiran kira-kira 30 anggota penguat kuasa MPPP yang tiba dengan dua lori dan tiga kereta peronda bersama 10 anggota polis kira-kira jam 11 pagi menghalang penjaja berniaga di kawasan itu.

Rezal yang ditemui selepas itu mempertahankan tindakan peniaga itu membuat kekecohan kerana sudah menjalankan perniagaan di situ sejak 24 tahun lalu pada setiap Ramadan. Beliau turut mempersoalkan mengapa tindakan hanya disasarkan kepada peniaga Melayu sedangkan peniaga keturunan lain khususnya yang menjalankan perniagaan seperti perayaan `Hungry Ghost' dan Thaipusam tidak dikenakan tindakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, berkata pihaknya akan memaklumkan kepada MPPP supaya memberi kebenaran sementara sehingga Selasa kepada peniaga Jalan Penang. "Tempoh sehingga Selasa kerana Isnin adalah cuti umum, kami perlu membuat permohonan baru kepada MPPP.

Bagaimanapun, saya jamin kekecohan hari ini (semalam) tidak berulang." Selain itu, kerajaan negeri akan mengkaji cadangan yang dibangkitkan DDPMPP iaitu mewartakan Jalan Penang sebagai tapak bazar Ramadan dan juga tarikan pelancong," katanya.
##

Kelebihan buah kurma

[Berita Minggu - 06/09/09]
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
Ia baik untuk diet, malah kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan



RAMADAN datang lagi. Buah kurma atau tamar pastinya menjadi pilihan umat Islam di seluruh dunia sebagai juadah untuk berbuka puasa.
Populariti kurma mengatasi hidangan lain ketika berbuka puasa dan buah ini menjadi makanan utama Nabi Muhammad SAW yang diteladani umat Islam zaman berzaman.Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya matahari kerana ia perkara yang disunatkan.
Selain bulan puasa, biasanya masyarakat Melayu Islam sering dihadiahkan kurma oleh jemaah yang baru pulang dari mengerjakan ibadat haji di Makkah.Menjadi makanan wajib di Asia Barat, kurma menurut ensiklopedia Wikipedia dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir, kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi. Bukti arkeologi pula menunjukkan kurma mungkin berasal dari timur Arab dalam 6,000 tahun Sebelum Masihi.
Buah ini kemudian dibawa pedagang Arab ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol yang mana orang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke Mexico dan California pada 1765.Tarikh sebenar kurma dibawa ke Malaysia tidak diketahui tetapi ia dipercayai diperkenalkan pedagang Arab yang datang berniaga dan berdakwah ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Pengusaha kurma terkemuka di negara ini, Datuk Yusuf Taiyoob, berkata setiap tahun permintaan terhadap kurma meningkat dan biasanya syarikatnya membawa masuk kira-kira 3,000 hingga 4,000 tan dari beberapa negara seperti Iran, Iraq, Mesir, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Afrika Selatan.
Beliau yang juga pemilik dan Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, berkata biasanya stok dibawa masuk dua bulan sebelum Ramadan bagi memudahkan urusan pemasaran dan pengagihan kepada pemborong dan wakil jualan di seluruh negara.
“Syarikat kami bukan hanya membawa masuk kurma untuk pasaran tempatan, tetapi juga menjadi pembekal utama untuk pasaran di Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.Tahun ini, gudang kami yang lebih besar baru dibuka, jadi jumlah stok lebih banyak berbanding pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau menjelaskan harga kurma bagi sambutan Ramadan kali ini meningkat sedikit, namun beliau masih mengekalkan harga untuk pasaran tempatan dengan kadar lama.“Ada beberapa negara pembekal kurma menjual lebih mahal dari tahun lalu tetapi untuk pasaran Malaysia kita masih mengekalkan harganya.
Namun, beberapa bekalan kurma segar yang banyak dijual seperti tahun lalu tidak dapat dipasarkan tahun ini kerana bekalan berkurangan.“Musim menuai kurma biasanya pada September dan Oktober. Jadi, tahun ini kita kurangkan membawa masuk kurma segar kerana kos membawanya menggunakan kargo udara mahal. Kita jangka stok baru yang lebih segar akan sampai awal September nanti,” katanya yang menguasai 50 peratus pasaran kurma di negara ini.
Penolong Pengarah, Bahagian Zat Makanan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Surainee Wahab, berkata kurma atau nama botani Phoenix dactylifera mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, kalsium, vitamin B1, vitamin B2, beta karotena serta niasin.
“Buah kurma amat sesuai untuk dijadikan hidangan berbuka puasa kerana kandungan tenaganya yang tinggi dapat mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras yang normal.
“Amalan berbuka puasa yang baik ialah dengan mengambil tiga biji kurma yang kaya dengan tenaga, serat, vitamin dan mineral.Kemudian diikuti dengan setengah cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil satu mangkuk kecil sup sayur berserta dengan satu atau dua keping roti.
“Bagi mereka yang menghidapi kencing manis, buah kurma boleh diambil sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Namun begitu, mereka perlu mengawal pengambilannya. Mereka boleh mengambil tiga biji kurma tetapi perlu mengehadkan pengambilan makanan serta minuman manis yang lain,” katanya.
Kurma baik untuk diet pemakanan, malah, kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan (mempunyai tenaga pembersihan) dan estringen pada masalah usus yang dapat mengatasi masalah sembelit dan gangguan usus kronik.
Ia juga dapat digunakan dalam masalah sakit kerongkong, selesema dan demam, juga dikatakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, selain mempunyai pelbagai khasiat lain.
Oleh kerana kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium, ia sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin. Jus kurma dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
Kandungan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan juga menyebabkan wanita berpantang sesuai mengambilnya sebagai hidangan tanpa keraguan. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.
Kurma juga membantu melancarkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran. Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sum-sum tulang.
Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga, selain berkhasiat membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda kanak-kanak. Justeru, ia sangat sesuai untuk perut kosong, memberikan tenaga dan menyegarkan kisaran penghadaman.
Dilaporkan 100 gram kurma segar mengandungi sumber vitamin C yang diperlukan badan dan membekalkan 230 kalori untuk tenaga (960 kJ). Oleh kerana kurma mengandungi sedikit air, ia masih pekat walaupun sudah kering.
Bermakna dengan memakan kurma, badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Oleh sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa.
Kini, kurma bukan hanya dimakan umat Islam tetapi menjadi pilihan pelbagai masyarakat dunia yang hidangkan dalam pelbagai resipi serta juadah. Dengan ada reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara dan tidak lagi hanya dimakan sebagai buah semata-mata. Pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan pilihan dalam resipi yang dicipta.
Selain digabungkan dengan coklat, manisan dan agar-agar, kurma menjadi ramuan dalam kek, biskut dan jem yang menjadi menu tidak kira bagi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.
Malah, kini kurma menjadi bahan utama dalam hamper yang dihadiahkan kepada kawan-kawan, kenalan, saudara mara serta rakan niaga terutama menjelang Ramadan.
# Rencana

Kerapuhan pakatan pembangkang

[Utusan - 06/09/09]
Oleh Zulkiflee Bakar
Siapa akan dominan?

SEBENARNYA mana-mana pihak tidak perlu mencemburui seandainya pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti atas satu simbol iaitu Pakatan Rakyat (PR).
Ia bererti pakatan itu akan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah parti komponen seperti Barisan Nasional (BN). Kita tidak kisah kerana itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.
Tetapi persoalan siapakah yang akan dominan? PKR, DAP atau Pas? Berdasarkan kepada senario sejak pilihan raya tahun lalu, PKR dan DAP menguasai pakatan berkenaan manakala Pas hanyalah menjadi pak turut.
Oleh itu, jika pakatan tersebut ditubuhkan secara rasmi, Pas tidak akan menjadi seperti mana UMNO dalam BN yang terus menjadi tonggak utama, sebaliknya Pas hanya akan menjadi pengikut. Pas sudah pasti tidak akan diberikan kerusi yang melebihi PKR apatah lagi DAP. Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan bagaimana Pas tidak berupaya melakukan apa-apa.
Justeru tidak mungkin, Pas akan menjadi tonggak kepada pakatan pembangkang. Sebaliknya Pas hanya akan terus dianggap sebagai pelengkap supaya di dalam pilihan raya tidak ada mana-mana parti-parti pembangkang yang bertanding berasingan menentang BN.
Persoalannya, kalau itulah kedudukan dan layanan yang bakal diterima oleh Pas, apakah yang akan berlaku kepada perjuangan Islamnya dan mampukah Pas memastikan kedudukan Islam serta orang Melayu tidak terjejas? Sama ada hendak diakui atau tidak, mana-mana pemimpin Pas tidak perlu hipokrit untuk menyatakan bahawa Pas akan memberikan kefahaman secara perlahan-lahan kepada rakan-rakannya dalam pakatan untuk memahami Islam.
Percayalah, kenyataan seumpama itu boleh dianggap kenyataan untuk ‘menyedapkan hati’ sahaja bagi mengelakkan penyokong parti tersebut tidak beralih sokongan mereka.
Sebenarnya Pas memahami kalau pakatan pembangkang didaftar secara rasmi dan bertanding atas satu panji-panji, ia bererti Pas harus melupakan sebarang hasrat untuk melaksanakan pemerintahan Islam di negara ini. Ia kerana apa juga keputusan yang bakal dibuat berhubung corak pemerintahan atau kepimpinan pakatan berkenaan harus berasaskan kepada suara ramai - ertinya Pas tiada kuasa mutlak untuk menentukan apa yang mereka mahukan.
Berdasarkan hakikat itu, Pas tidaklah perlu bersandiwara lagi. Mereka harus mengakui perjuangan mereka kini hanyalah semata-mata untuk berkongsi kuasa politik bersama-sama dengan PKR dan DAP. Pas tiada tujuan dan matlamat politik lain, kalau pun ada mereka tidak akan berupaya berbuat apa-apa kerana mereka bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang. Pas hanya akan mengikut telunjuk DAP dan akan patuh kepada arahan PKR.
Bagi Pas, soal meneruskan apa yang mereka hendak perjuangkan sudah tidak menjadi persoalannya. Bagi terlalu dahaga untuk berada di puncak kekuasaan termasuklah menguasai negara. Mereka melihat berdasarkan kepada keputusan pilihan raya umum lalu, peluang mereka berkuasa bersama-sama PKR dan DAP semakin cerah. Oleh itu Pas cuba menjadi rakan pakatan yang baik.
Kejayaan demi kejayaan dalam pilihan raya kecil yang berlangsung semakin menyakinkan Pas bahawa pakatan pembangkang semakin diterima oleh rakyat. Tetapi Pas terlupa bahawa gelagat mereka yang dilihat sanggup mengorbankan segalanya untuk berkuasa sedang diperhatikan oleh rakyat terutamanya orang Melayu. Bagaimanapun kita tidak boleh menghalang hasrat Pas untuk bersama pakatan, apa yang kita harapkan ialah Pas tidak hanya menjadi pak turut.
Kita mahu Pas dominan dan menjadi parti penentu kepada pakatan pembangkang. Melalui kedudukan itu, barulah kita yakin bahawa kita tidak perlu khuatir apa-apa lagi terhadap masa depan orang Melayu dan Islam, tetapi persoalannya mampukah Pas melaksanakan misi berkenaan? Sukar untuk dipastikan, ketika ini harapan orang Melayu tetapi bergantung kepada UMNO bagi memastikan survival dan kuasa politik mereka di tanah air sendiri tidak berakhir dalam pilihan raya umum akan datang.
Ragam jadi halangan
APAKAH yang pakatan pembangkang boleh tawarkan sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara yang tidak boleh diberikan oleh kerajaan hari ini? Soalan ini sebenarnya sangat mudah kerana sebagai rakyat mereka memerlukan sesuatu yang terbaik dari semua aspek kehidupan. Untuk memberi mandat kepada pakatan pembangkang, sudah tentulah yang ditawarkan jauh lebih baik daripada yang dinikmati sekarang ini.
Nah, apa yang pembangkang boleh berikan kepada rakyat yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan? Manifesto pembangkang hanya memberikan solekan untuk menarik perhatian rakyat.
Kalau tidak ada tawaran yang lebih hebat daripada kerajaan, untuk apa kita menggadai masa depan seperti kata pepatah, yang dikendung keciciran yang dikejar tidak dapat. Ini kerana tidak ada perkara baru yang ditawarkan oleh pembangkang selain retorik tentang kebebasan bersuara, mewujudkan negara Islam sejati, memperjuangkan keadilan untuk semua dan membanteras rasuah.
Sekiranya ini yang ditawarkan, lebih baik kita memilih kerajaan yang ada sekarang kerana perkara-perkara yang mahu diperjuangkan sudah dilaksanakan oleh kerajaan. Semua ini membuktikan pembangkang tidak menawarkan apa-apa sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara. Sebaliknya mereka mengecil atau menghakiskan yang telah ada atas alasan berkompromi dengan parti komponen dalam pembangkang.
Apakah sekarang tidak ada kebebasan bersuara maka ini menjadi alasan untuk pembangkang melakukan sekiranya diberi kuasa? Apakah bukan kebebasan bersuara dengan wujudnya beribu blog yang menghentam kerajaan dan pembangkang juga mempunyai buletin untuk memaparkan idealisme parti mereka? Berapa banyak pula pemimpin pembangkang yang ditangkap kerana mencerca pemimpin kerajaan?
Pembangkang yang memperjuangkan kebebasan media sebenarnya yang banyak mengambil tindakan undang- undang kepada media arus perdana. Di mana kebebasan yang diperjuangkan? Ini ternyata bahawa pembangkang tidak melaksanakan banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat bahawa mereka lebih baik daripada kerajaan sekarang.
Mengenai gagasan negara Islam, pembangkang mendepani masalah kerana dalam pakatan pembangkang sendiri ada parti yang membantah gagasan tersebut. Jadi, apakah Pas misalnya mampu memberikan definisi “negara Islam” yang lebih Islamik daripada yang dilakukan oleh kerajaan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat?
Kelantan dan Kedah secara total dikuasai oleh Pas tetapi Pulau Pinang oleh DAP. Ternyata Pas tidak mempunyai suara yang besar untuk menjadikan kerajaan negeri Pulau Pinang lebih Islamik daripada semasa dalam Barisan Nasional dulu. Insiden penjualan arak di kawasan majoriti orang Islam di Selangor juga memperlihatkan gagasan Islam cara Pas semasa pilihan raya tidak boleh dilaksanakan. Ini kerana Pas hanya menumpang PKR dan DAP di Selangor.
Maka, kita sendiri boleh melihat pakatan pembangkang tidak boleh menawarkan sesuatu yang lebih baik berbanding Barisan Nasional. Malah gagasan keadilan yang dibawa oleh pembangkang bukanlah suatu yang baru kerana kerajaan Barisan Nasional juga secara konsisten memperjuangkan keadilan kepada semua pihak.
Kalau pakatan pembangkang mendakwa sebagai wira pejuang keadilan, tolong beritahu idealisme parti politik manakah yang tidak memperjuangkan keadilan? Bezanya Barisan Nasional sudah melaksanakan dan terus diberi penambahbaikan dalam perkara ini.
Pakatan pembangkang menjadikan isu rasuah sebagai modal politik. Maka agenda membanteras rasuah menjadi “keutamaan” kepada pakatan pembangkang sekiranya menjadi pentadbir negara ini. Kalau begitu apakah kerajaan sekarang tidak membanteras rasuah sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinaiktaraf daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini?
Kesimpulannya pakatan pembangkang tidak ada tawaran yang lebih baik daripada kerajaan untuk menyakinkan mereka boleh menjadi kerajaan yang lebih baik. Semua yang ditawarkan kepada rakyat sudah diberikan oleh kerajaan.
# Rencana

Mesra Rakyat

Datuk Seri Najib Tun Razak memeluk Mohd. Shahariz Yusop, 4, sambil disaksikan ibunya Zulaikha Yong (empat dari kiri) dan adik-beradiknya di Kampung Padang Jaya, Pekan, Pahang hari ini. Zulaikha adalah salah seorang ibu tunggal yang menerima sumbangan Hari Raya daripada Perdana Menteri. - UTUSAN

Dialog penduduk, MB kecoh

[Utusan - 06/09/09]
Oleh AZIAN AZIZ
utusan@pengarang.com.my
Suasana tegang berlaku pada majlis dialog antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama penduduk Seksyen 23 Shah Alam di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam ekoran bantahan penduduk beragama Islam terhadap cadangan pemindahan kuil sedia ada di Seksyen 19 Shah Alam ke tapak baru di kawasan mereka.

*****

  • Majlis Dialog Bersama Penduduk Seksyen 23 berhubung cadangan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam berlangsung dalam suasana kecoh.
  • Perang mulut tercetus antara penduduk yang membantah cadangan pembinaan kuil dengan para pemimpin negeri yang hadir termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.
  • Penduduk Seksyen 23 sebulat suara tetap membantah cadangan pembinaan kuil tersebut walau apa juga keputusan yang diambil oleh
    kerajaan negeri.
  • Kerajaan Negeri Selangor tangguhkan keputusan pemindahan kuil ke Seksyen 23, hentikan perbincangan cadangan pembinaan kuil dan akan cari jalan penyelesaian lain.

SHAH ALAM 5 Sept. – Majlis Dialog Bersama Penduduk Seksyen 23 berhubung cadangan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pagi ini berlangsung dalam suasana kecoh.
Ini kerana hampir sepanjang sesi dialog dari pukul 10 pagi itu berlaku perang mulut antara penduduk yang membantah cadangan pembinaan kuil dengan para pemimpin yang hadir termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.
Mereka turut menghamburkan kata-kata kesat dan menjerit perkataan penipu kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail setiap kali kedua-duanya memberi penjelasan terhadap soalan yang diajukan.
Keadaan menjadi lebih tegang dan hampir mencetuskan pergaduhan apabila seorang penduduk yang mewakili masyarakat India, R. Gunaretinam, 27, bangun dan menegaskan persetujuan 48 keluarga India di situ berhubung pembinaan kuil tersebut.
Ini kerana, katanya, kebanyakan rumah di bandar raya itu mempunyai surau dan masjid.
Dia kemudian mendakwa orang Melayu di Seksyen 23 tidak peka dengan sensitiviti masyarakat India di situ yang didakwanya bertoleransi dengan orang Islam berhubung isu azan lima kali sehari.
Dakwaan Gunaretinam itu telah mencetuskan kemarahan penduduk beragama Islam sehingga ada yang dilihat bertindak mengangkat kerusi yang akhirnya menyebabkan Abdul Khalid terpaksa bangun dan menghentikan perbincangan sambil meminta penduduk bertenang.
“Hentikan perbincangan cadangan pembinaan kuil Seksyen 23, kita akan cari jalan yang sesuai dan saya akan cuba selesaikan hari ini.
“Kalau kita perlu selesaikan, kita cari penyelesaian dengan baik bukan dengan cara memecah-belahkan masyarakat.
“Kerajaan negeri akan cari jalan penyelesaian, tiada perbincangan lagi, saya akan jumpa masyarakat Hindu dan lihat bagaimana nak selesai masalah kuil dan saya juga berharap mereka dapat sabarkan diri,” ujar beliau.
Namun, sekumpulan penduduk dilihat terus mengerumuni tempat duduk komuniti India di dalam dewan tetapi keadaan berjaya dikawal anggota penguat kuasa MBSA dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahyuddin Manaf ketika ditemui berkata, apa juga keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri, penduduk di situ sebulat suara tetap membantah cadangan pembinaan kuil tersebut.
“Tujuan kami adalah untuk menyuarakan pendapat serta pandangan dan pada hari ini, kita lihat macam mana penduduk menyuarakan hati mereka.
“Saya tidak bercakap tadi sebab selama ini kita lakukan dengan cara yang betul, buat surat, serah memorandum dan kita tidak dapat layanan dan kenapa sejak Mei baru kini September mereka nak buat perbincangan.
“Kalau masalah ini diatasi dan dikaji lebih awal, perkara ini tidak akan berlaku dan sebelum ini pun keharmonian kami di Seksyen 23 tidak pernah tergugat,” ujarnya.
Sementara itu, seorang guru India yang tinggal di fasa kedua Seksyen 23, M. Sekar ketika ditemui selepas sesi dialog memberitahu, walaupun penduduk India di situ menyokong pembinaan kuil di kawasan itu, namun mereka akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri.
“Kami mahu kuil itu dibina dan ia adalah hak kami untuk menyokong pembinaan kuil itu tetapi kami akur dengan keputusan kerajaan negeri,” katanya.

##

5 September 2009

Salah Siapa?

MARAH ... Majlis Dialog antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan penduduk Seksyen 23 Shah Alam berhubung cadangan pemindahan bangunan kuil menjadi hangat apabila penduduk tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. - UTUSAN

Salah Siapa?

BANTAH ... Para peniaga membuat bantahan terhadap MPPP berikutan larangan membuka Pasar Ramadan di sepanjang Jalan Penang di Georgetown, Pulau Pinang. - UTUSAN

4 September 2009

Scorpene mantapkan pertahanan

Kapal selam kebanggaan negara, KD Tunku Abdul Rahman yang membawa 32 anak kapal selamat tiba di Pangkalan Pusat Hidrografi Nasional, TLDM di Pulau Indah, Klang, Selangor, semalam selepas melalui pelayaran selama 54 hari sejauh 6,000 batu nautika dari Toulon, Perancis. Kapal selam kedua KD Tun Razak dijangka tiba Mac tahun depan. – Utusan/ Mohd. Shaharani Saibi
*****
[Utuan - 04/09/09]
Oleh NOR SEDEK ISMAILdan ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
PELABUHAN KLANG 3 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menegaskan aset terbaru pertahanan negara iaitu kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak adalah bukti kesungguhan kerajaan memastikan kedaulatan negara terus selamat dan terjamin.
Titah baginda, perolehan dua kapal selam Scorpene dari Perancis itu turut memberikan manfaat dalam mewujudkan satu angkatan tentera negara yang lebih berwibawa dan disegani terutamanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
‘‘Projek perolehan kapal selam TLDM ini adalah satu pelaburan dan komitmen terbesar yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan keupayaan tentera Malaysia dalam menentukan kedaulatan negara terjamin dan selamat daripada sebarang ancaman.
‘‘Selain itu, perolehan aset ketenteraan ini juga membolehkan TLDM khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi satu angkatan yang lebih berwibawa di rantau ini,” titah baginda.
Tuanku Mizan bertitah demikian ketika menyambut ketibaan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman termasuk 32 anak kapalnya kira-kira pukul 8 pagi ini di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini hari ini.
Turut hadir Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hadir sama ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
KD Tunku Abdul Rahman diserahkan secara rasmi kepada kerajaan oleh syarikat kontraktornya, Armaris pada 25 Januari lalu dan pentauliahan kapal berkuasa diesel-elektrik itu ke dalam perkhidmatan TLDM disempurnakan pada 27 Januari oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
KD Tunku Abdul Rahman memulakan pelayaran pulang ke negara ini dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu selepas selesai pembinaannya serta menjalani latihan selama empat bulan meliputi kemahiran serta penyenggaraan.
Dalam tempoh pelayaran yang meliputi jarak sejauh 6,000 batu nautika, KD Tunku Abdul Rahman telah singgah di beberapa pelabuhan utama dunia meliputi Jeddah, Djibouti dan Cochin di India.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa kagum terhadap anak kapal KD Tunku Abdul Rahman yang berjaya mengharungi latihan selama empat tahun bagi memahirkan diri dalam pengendalian serta taktik peperangan kapal selam.
‘‘Beta sedar kapal selam memerlukan warga kerja yang memiliki kecenderungan dan kemahiran yang tinggi bagi mengoperasi dan mengendalikannya.
‘‘Maka kejayaan ini juga hasil dedikasi, kerjasama dan komitmen yang cemerlang semua warga KD Tunku Abdul Rahman selaras dengan cogan kata TLDM iaitu Sedia Berkorban,” jelas baginda.
Tuanku Mizan turut mengingatkan TLDM supaya menjaga dan menggunakan sepenuhnya aset penting dan berteknologi tinggi seperti KD Tunku Abdul Rahman bagi memastikan kredibiliti angkatan laut itu sebagai pasukan yang menjaga perairan negara terus terpelihara.
##

KD Tungku Abdul Rahman II

Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mirzan Zainal Abidin berjalan diatas dek kapal selam pertama negera KD Tungku Abdul Rahman ketika menyambut ketibaan kapal selam pertama negara yang selamat tiba di pengkalan Pusat Hidrografi Nasional TLDM di Pulau Indah, Klang. - UTUSAN

3 September 2009

Pemimpin Terengganu setia pada Umno: Muhyiddin

[Bernama - 03/09/09]
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menolak sebarang kemungkinan beberapa pemimpin Umno akan meninggalkan parti itu kerana mereka ini setia kepada parti.
"Bukan saja pemimpin tetapi penyokong Umno di Terengganu setia kepada parti," katanya kepada pemberita di sini bagi mengulas ura-ura kononnya beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Muhyiddin, yang juga Timbilan Presiden Umno, berkata beliau akan melawat Terengganu hari ini dan akan menemui pemimpin dan anggota Umno di negeri itu.Katanya ada pihak akan cuba mempengaruhi sesetengah pemimpin Umno untuk meninggalkan parti itu tetapi beliau yakin mereka tidak akan berbuat demikian kerana mereka ini cukup berpengalaman.
Muhyiddin juga berkata beliau berharap keadaan di Terengganu akan menjadi lebih baik di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.
"Saya harap bulan puasa ini akan menjadi titik permulaan bagi kita untuk terus bersatu," katanya.Ketika ditanya mengenai mesyuarat agung luar biasa MCA pada 30 Sept ini bagi membincangkan kemelut yang sedang melanda parti itu, Muhyiddin berharap pemimpin MCA akan dapat menyelesaikan sebarang isu dengan baik."Lebih cepat lebih bagus," katanya.
Mengenai kekecohan yang ditimbulkan oleh pakatan pembangkang di Perak, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan menggunakan pendekatan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengatasi masalah di negeri itu."Saya tak fikir itu pendekatan yang akan kita gunakan, saya harap mereka mempunyai pemimpin yang faham kerana di kalangan mereka ramai terdiri daripada peguam dan mereka tahu keputusan mahkamah," katanya.
Beliau berkata mereka tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah bahawa kerajaan negeri di bawah Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah sah.
Semalam Adun Perak daripada pakatan pembangkang mengadakan satu mesyuarat di sebuah hotel di Ipoh yang mereka anggap sebagai "persidangan dewan".
##

KD Tunku Abdul Rahman

Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman tiba di jeti Pelabuhan Klang, Selangor hari ini. Kapal selam buatan Perancis itu adalah satu daripada dua kapal Scorpene berkuasa elektrik diesel yang akan digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - REUTERS

Muhyiddin Tawar Diri Jadi Orang Tengah Di Terengganu

[Bernama - 03/09/09]
HULU TERENGGANU, 3 Sept (Bernama) -- Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Khamis menawarkan diri menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut politik di Terengganu yang sudah berlarutan sejak selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau sedia bersemuka dengan pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat kerana berpendapat kemelut itu lebih kepada masalah peribadi.
Katanya sejak beberapa bulan lepas, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan timbalannya, Datuk Ahmad Said yang juga Menteri Besar, telah melakukan pelbagai inisiatif bagi memperbaiki keadaan tersebut.
"Saya lihat sudah ada penambahbaikan situasi sekarang berbanding dahulu. Namun begitu, saya nyatakan kesediaan saya untuk membantu mana yang difikirkan perlu kalau ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibereskan.
"Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar... lepas hari raya atau bila masa yang sesuai," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini.
Sambil mengakui memang wujud krisis dalaman parti itu di Terengganu, Muhyiddin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata sebagai sebuah negeri yang disifatkan sebagai "kubu kuat" Umno selepas pilihan raya umum lepas, hubungan dan kerjasama antara pemimpin parti perlu diperkukuhkan kembali di Terengganu.
"Saya tidak melihat ia satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semua isu yang berbangkit, (melibatkan) hubungan antara kita..bukan ada orang luar nak kacau dan sebagainya.
"Saya melihat Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu kukuh dan bersatu padu...
Terengganu merupakan negeri yang penting kepada kita dan mahu kedudukan ini terus kekal. Sebab itu kedudukan politik dan parti amat mustahak diberikan perhatian," katanya.Dalam pada itu, beliau percaya tiada wakil rakyat BN Terengganu yang akan bertindak untuk keluar daripada parti itu kerana mereka merupakan pemimpin yang masih cintakan dan mempunyai semangat yang kuat untuk memperkukuhkan parti.
"Setakat ini, saya tidak dengar (ada pemimpin Umno hendak lompat parti). Saya tidak fikir mereka akan ambil langkah yang boleh merugikan parti," katanya.
Muhyiddin percaya kemelut dalaman itu tidak akan mengancam parti kerana pemimpin-pemimpin yang terlibat hanya menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa perkara melibatkan Umno di negeri ini.
Namun begitu, beliau berkata kunjungan dan perjumpaannya dengan pemimpin Umno Terengganu adalah kritikal bagi memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Kemelut politik Terengganu timbul selepas Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.
Berikutan itu, beberapa isu timbul di kalangan pemimpin Umno Terengganu antaranya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu April lepas, 10 wakil rakyat BN tidak menghadiri mesyuarat tersebut sebagai "memboikot" kepimpinan Ahmad sebagai Menteri Besar.
Hishammuddin dan Ahmad turut hadir pada perjumpaan itu. Bagaimanapun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu yang juga anggota Dewan Dewan Undangan Negeri Ajil Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu itu. Sementara itu, berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada wakil rumah orang tua/anak yatim di Masjid Sultan Mahmud di sini, Muhyiddin berkata kerjasama erat dari segenap lapisan masyarakat terhadap pimpinan kerajaan dan parti amat penting bagi memastikan kemajuan serta pembangunan yang dikecapi oleh negeri ini, dapat diteruskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat amat berharap kejayaan yang capai oleh Terengganu selama ini dapat dikekal, diperkukuh serta diperkuatkan. "Pihak pimpinan pusat melihat betapa kemajuan di Terengganu dapat ditingkatkan dengan menjadikannya sebagai salah satu komponen penting dalam pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan sebab itu peranan Terengganu dalam memainkan sumbangan pembangunan sosial ekonomi tidak boleh diabaikan.
"Sehubungan itu, kita minta semua pihak supaya tingkatkan hubungan dan semangat perpaduan sesama kita yang telah terjalin selama ini mesti diperkukuhkan," katanya. Majlis itu dihadiri kira-kira 3,000 pelbagai lapisan masyarakat serta pimpinan Umno negeri termasuk Hishammuddin dan Ahmad.
##

Pembangkang terus buat kecoh

[Utusan - 03/09/09]
Oleh Zaini Raban pengarang@utusan.com.my
TINDAKAN ADUN pembangkang di Perak mengingkari arahan polis dan mahkamah supaya tidak mengadakan `sidang DUN’ menyebabkan suasana kecoh di pekarangan bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh semalam.Polis yang mengawal keadaan terpaksa bertegang leher dengan wakil rakyat pembangkang Ngeh Koo Ham (kanan) dan V. Sivakumar yang tetap berdegil mahu memasuki bangunan itu yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak. – BERNAMA
*****
IPOH 2 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pakatan pembangkang di negeri ini terus mencetuskan kekecohan apabila mengadakan perhimpunan di sebuah hotel di sini, hari ini. Mereka bertindak demikian kerana tidak dapat menerima hakikat telah hilang kuasa mentadbir Perak ekoran tindakan dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar parti.
Kumpulan ADUN tersebut yang gagal memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini telah mengadakan perhimpunan tersebut di sebuah hotel.
Kekecohan itu bermula kira-kira pukul 9.45 pagi ini apabila mereka berarak beramai-ramai menuju ke bangunan SUK dari bangunan Ibu Pejabat DAP Negeri Perak di Medan Istana.
Bagaimanapun, kemaraan mereka dihalang pasukan polis kira-kira 100 meter dari bangunan SUK hingga berlaku kekecohan dan perang mulut antara wakil rakyat bersama penyokongnya dengan anggota pasukan keselamatan.
Keadaan bertambah kecoh apabila sekumpulan lelaki berbaju kuning turut muncul sambil melaungkan kata-kata ‘Daulat Tuanku’.
Ekoran keadaan yang semakin tidak terkawal, polis mengambil langkah tegas menahan tujuh lelaki termasuk tiga ADUN dan seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, Tan See Yee, 41.
Tiga wakil rakyat itu ialah ADUN Sitiawan yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai (Parti Keadilan Rakyat-PKR) dan ADUN Malim Nawar, Keshvindher Singh (DAP).
Tindakan polis itu meredakan sedikit keadaan apabila kumpulan wakil rakyat terbabit termasuk ADUN Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bersama penyokongnya berundur ke pejabat DAP.
Pada sidang akhbar selepas itu, Sivakumar mengumumkan ‘perhimpunan’ berkenaan akan diteruskan di sebuah hotel pada pukul 11.30 pagi.
Perhimpunan itu yang berlangsung selama dua jam mulai 11.45 pagi, dihadiri kesemua 24 Adun pakatan pembangkang kecuali tiga orang yang ditahan polis. ADUN Titi Serong dari Pas, Khalil Idham Lim Abdullah, pula sedang mengerjakan ibadah umrah.
Perhimpunan itu turut menyediakan susunan tempat duduk kononnya untuk ADUN Barisan Nasional di sebelah kiri ‘Speaker’ manakala ADUN DAP, Pas dan PKR duduk di ‘pihak kerajaan yang memerintah’ di kanan ‘Speaker’.
##

Selesaikan isu kuil

[Utusan - 03/09/09]
Oleh Azian Aziz pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 2 Sept. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu cadangan pembinaan kuil di Seksyen 23 di sini bagi mengelak perselisihan kaum.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu disampaikan kepada Abdul Khalid dalam sepucuk surat bertarikh 24 Ogos lalu.
“Baginda juga telah menitahkan perkara itu pada sesi menghadap hari Rabu iaitu sebelum mesyuarat Exco berlangsung,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas berita yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini bertajuk Sultan Selangor diminta campur tangan.
Dalam laporan tersebut, beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) meminta Sultan Selangor campur tangan isu kuil di Seksyen 23 di sini.
Isu tersebut bermula apabila penduduk di Seksyen 23 membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan mereka yang majoritinya beragama Islam berbanding hanya 40 penganut Hindu.
Ekoran tiada jaminan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan cadangan itu, kira-kira 200 penduduk bertindak mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat minggu lalu bagi menyatakan bantahan.
Keadaan bagaimanapun bertukar kecoh serta menjadi kontroversi apabila ada kalangan mereka yang menyertai perhimpunan itu membawa kepala lembu ketika berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuk dari luar negara mengkritik tindakan tersebut yang dianggap tidak sensitif dengan sentimen kaum dan agama.
##

2 September 2009

Jamil Khir Tegur Penganjuran Konsert Michael Learns To Rock

[Bernama - 02 September, 2009 17:02 PM]
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom pada Rabu menegur penganjur konsert Micheal Learns to Rock kerana menganjurkan konsert itu pada bulan Ramadan.
Beliau berkata tindakan penganjur meneruskan konsert itu Sabtu ini di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang tidak menghormati bulan Ramadan dan tidak peka dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.
"Sewajarnya mereka peka apabila di bulan Ramadan yang mulia lagi suci ini umat Islam menjalani ibadah puasa pada waktu siangnya dan ibadah terawih dan tadarus pada malamnya," katanya dalam kenyataan di sini.
Jamil Khir berkata teguran beliau itu harus dilihat selaras dengan semangat 1Malaysia demi perpaduan dan kesejahteraan semua pihak.
##