3 September 2010

Hudud tidak semestinya dilaksana – Pas

UM - 3/9/10

KOTA BHARU 2 Sept. – Pas mengakui hukum hudud tidak semestinya dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas dan parti-parti dalam pakatan pembangkang pada peringkat ini telah bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini.

Malah, katanya, Pas dan rakan-rakannya dalam pakatan itu juga tidak akan ‘mengusik’ kerangka Perlembagaan Persekutuan walaupun ada pandangan yang mengatakan ia perlu dipinda sekiranya Pas hendak melaksanakan syariat Islam.

“Tidak semestinya kita akan laksanakan, kita melihat kepada persediaan dan persetujuan masyarakat.

“Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya.

“Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat.

“Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan yang pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk Pas terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan perlembagaan sedia ada.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.

Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan Negara.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, cita-cita Pas untuk menegakkan syariat dan sebuah negara Islam tidak pernah berubah tetapi pelaksanaannya bergantung kepada persediaan masyarakat yang juga pengundi.

“Rakyat Malaysia iaitu pengundi, walaupun pilih Pakatan Rakyat tetapi mereka belum bersedia untuk menerima pelaksanaan (hukum hudud) kita tak jadi masalah.

“Selama ini kita bagi tahu nak laksanakan negara Islam pun bukan nak memaksa, tapi dilaksanakan dengan persetujuan pengundi, itu paling penting. Sebab, bila rakyat setuju soal perlembagaan sekular tak berbangkit dah,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

2 September 2010

MERDEKA!

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom bergambar bersama murid-murid dan Guru Besar SK Bukit Damansara dan Kad Selamat Hari Merdeka yang disampaikan kepada Perdana Menteri di Putrajaya. 9 Aug. 2010. - Utusan/HANAFI KHAMIS

Ke mana hukum hudud Pas?

UM(rencana) - 2/9/10

SUDAH jelas dan nyata kini, matlamat Pas untuk memperjuangkan hukum hudud sudah berakhir.

Penegasan dan penentangan yang diberikan oleh beberapa pemimpin dalam pakatan pembangkang sudah memberi isyarat bahawa cita-cita Pas dalam soal itu sudah berkubur.

Pas kini perlu mengakui keberadaan mereka bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan tersebut semata-mata untuk mencari kuasa politik.

Parti itu sudah tidak berhak lagi bercakap soal melaksanakan hukum hudud atau memperjuangkan negara Islam. Pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru, Zulkifli Noordin bahawa pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika berjaya memerintah negara ini, sudah menjadi bukti bahawa cita-cita Pas sudah berkubur.

Oleh itu, tidak perlulah lagi Pas hendak bersandiwara termasuk terus melemparkan tuduhan kepada UMNO bahawa parti itu mengamalkan semangat kebangsaan.

Jika pakatan pembangkang ditakdirkan memerintah Malaysia, Pas hanya menjadi 'pak turut' kepada PKR dan DAP sekali gus hanya akan menyebabkan mereka terikat dengan kesepakatan bersama iaitu terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.

Pas seharusnya tidak perlu berdolak-dalih atau membuat kenyataan bahawa pelaksanaan hukum hudud tetap menjadi keutamaan mereka kerana dasar mempertahankan Perlembagaan sedia ada sudah dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.

"Itulah hakikatnya! Itulah faktanya! Bahawa perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar dan persetujuan bersama pakatan pembangkang.

"Itu hanya mimpi Pas, kata pemimpin pembangkang (yang lain)! Mimpi yang Pas tidak akan dapat capai selagi bersama pakatan pembangkang.

"Saya percaya ramai ahli akar umbi Pas tidak tahu yang undang-undang Islam tidak akan dilaksanakan, negara Islam tidak akan ditubuhkan serta Perlembagaan sekular sedia ada akan terus diamalkan jika pembangkang memerintah," kata Zulkifli.

Apa yang lebih malang kepada sebuah parti seperti Pas yang dilihat terlalu ingin berkuasa di peringkat pusat, ialah awal-awal lagi sudah diberi amaran bahawa mereka tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini.

Penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim contohnya sudah menegaskan bahawa untuk melaksanakan hukum hudud, Pas perlu mendapatkan kerusi paling banyak di Parlimen dan ia juga perlu mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang lain.

Persoalannya adakah PKR dan DAP akan merelakan Pas dominan dalam pakatan atau lebih tepat lagi memiliki kerusi paling banyak dalam Parlimen?

Adakah DAP yang menentang keras pelaksanaan undang-undang Islam akan membuka laluan kepada Pas. Begitu juga PKR, apakah Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tunduk dengan desakan Pas atau akan memenuhi permintaan DAP.

Kita tidak harus lupa bahawa Anwar lebih rapat dengan DAP berbanding dengan Pas. Kesediaan DAP memberikan peluang kepada Anwar untuk terus menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat telah menyebabkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terhutang budi dengan DAP.

Malahan dalam senario politik sekarang, di mana kedudukan undi orang Melayu terpecah, Anwar lebih rela bersahabat rapat dengan DAP bagi meraih undi bukan Melayu berbanding dengan Pas.

Kita juga percaya dalam mengekalkan kekukuhan dalam pakatan Anwar lebih percaya kepada DAP berbanding Pas, memandangkan sebahagian pemimpin Pas masih berpegang teguh kepada pendirian bahawa apa pun berlaku, hak keistimewaan kedudukan orang Melayu dan umat Islam dipertahankan.

Berdasarkan hakikat itu, Pas tidak perlu melutut apatah lagi terus tunduk kepada PKR dan DAP. Pas mempunyai kekuatan sendiri dan masih lagi menjadi parti alternatif kepada orang Melayu.

Pas perlu jujur kepada ahli-ahlinya dan orang Melayu. Mereka perlu secara terbuka mengakui bahawa perjuangan untuk melaksanakan hukum hudud dan menegakkan negara Islam sudah tiada lagi dalam kamus perjuangan politiknya.

Janganlah ada di kalangan pemimpin parti itu yang cuba berdolak-dalik dengan mengatakan hukum hudud tidak pernah menjadi keutamaan mereka sebelum ini.

Selama ini hukum hududlah yang menjadi pelaris kepada Pas untuk meraih undi daripada orang Melayu. Malahan ramai orang Melayu menyokong Pas kerana percaya parti itu benar-benar ingin menegakkan perjuangan Islam.

Pemimpin-pemimpin Pas perlu mengakui bahawa perjuangan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti adalah semata-mata untuk merebut kekuasaan dan meneruskan misi sejak tahun 1951 iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pas tidak boleh lagi terus memberi harapan palsu kepada pengikut setianya bahawa perjuangan Islam menjadi teras utama politik mereka.

''Saya yakin dan percaya kebanyakan ahli akar umbi Pas memang ikhlas bersama dengan parti itu kerana percaya pada perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

''Klimaksnya apabila satu Kenyataan Bersama dikeluarkan baru-baru ini memperkukuhkan Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam," katanya.

Justeru sudah sampai masanya, Pas bertindak jujur dalam meraih undi dan sokongan dalam pilihan raya.

Janganlah berkobar-kobar bercakap kononnya hendak melaksanakan hukum hudud kerana ia adalah satu perbuatan politik yang tidak bermoral.

Akui sahaja selagi Pas masih menjadi pak turut dan ibarat melukut di tepi gantang di dalam pakatan pembangkang selagi itulah cita-cita murni mereka hanya sekadar menjadi slogan.

Perjuangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud sama seperti slogan 'membangun bersama Islam' tiada apa-apa makna sebaliknya hanya sekadar halwa telinga sahaja, pelaksanaannya terlalu banyak kecacatan.

Jika Pas masih lagi tidak faham permainan politik yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP, ingatlah kembali kata-kata Zaid iaitu: ''Awak perlu menang dua per tiga dulu, kemudian baru kita boleh bercakap, kalau tidak ia hanya teori politik. Tok guru ada mimpi, saya pun ada mimpi. Contohnya impian saya ingin terbang ke bulan, tidak salah bercakap, saya boleh lakukan atau tidak bergantung kepada keadaan.''

Semoga pemimpin-pemimpin Pas akan memahami mesej berkenaan. Jangan sampai nanti Pas ibarat menang sorak kampung tergadai apabila pengikut setia dan jentera partinya, siang malam bertungkus-lumus berkempen tetapi orang lain yang menikmati kemenangan!

/hwa: utusan.com.my/

Pendirian Anwar, PKR berubah-ubah

UM - 2/9/10

rafie.azimi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, beliau tidak terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bahawa pakatan pembangkang tidak berhasrat melaksanakan undang-undang Islam di negara ini.

Sebaliknya, kata beliau, ia membuktikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti yang dipimpinnya sentiasa berubah-ubah mengikut kesesuaian politik.

Contoh paling mudah, katanya, ia cukup berkait rapat dengan parti itu sendiri iaitu mengenai Falsafah Pernyataan Penubuhan Parti Keadilan yang didraf oleh bekas Timbalan Presidennya, Dr. Chandra Muzaffar.

“Dalam falsafah itu disebut bahawa parti KeAdilan adalah parti berbilang kaum yang berasaskan Melayu kerana ia adalah asas negara ini. Memang perkara ini sering dilaung-laungkan oleh kami yang juga pengasas parti Keadilan pada awal penubuhannya pada 1999. Saya pasti, ramai yang ingat tentangnya.

“Tetapi kini PKR diuar-uarkan hanya sebagai parti berbilang kaum. Ke mana perginya asas Melayu itu? Inilah bukti bahawa pendirian Anwar memang boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zulkifli dalam blognya kelmarin mendedahkan bahawa berdasarkan Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat yang ditandatangani para pemimpin parti pembangkang, pakatan itu akan terus mempertahan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.

Perjanjian itu, kata Zulkifli, jelas bertentangan dengan perjuangan Pas yang berhasrat mengubah Perlembagaan bagi menegakkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud, qisas dan ta‘zir.

Ezam menambah, sewaktu Anwar dibebaskan daripada tahanan penjara pada 2004, Penasihat PKR itu mengarahkannya selaku pemimpin generasi muda agar tidak lagi melaung-laungkan parti tersebut adalah parti berbilang kaum yang berasaskan Melayu.

Taktik Anwar itu, katanya, kerana menyedari bahawa sokongan orang Melayu terhadap UMNO terlalu ampuh dan tidak mencukupi bagi membolehkan mereka menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum 1999.

“Sebaik keluar penjara, Anwar kata pada saya bahawa KeAdilan cuma boleh mendapat 50 atau 60 peratus undi Melayu kerana orang Melayu cukup kuat dengan UMNO.

“Tetapi kalau kita tarik minat orang Cina dan India, kita boleh dapat sehingga 80 atau 90 peratus sokongan. Oleh itu, kita perlu mainkan sentimen Cina dan India habis-habisan dan tak perlu sebut lagi parti Keadilan berasaskan Melayu,” katanya.

Formula Anwar untuk mengetepikan Melayu itu katanya, jelas tepat apabila pembangkang yang diketuainya berjaya merampas lima negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Itulah dia Anwar yang pendiriannya boleh berubah-ubah kerana cita-cita politik. Beliau sememangnya tidak jujur dalam politik,” ujarnya.

Kini kata Ezam, pendirian Anwar sekali lagi berubah setelah Raja-raja Melayu, para ulama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mula memberi amaran dan marah terhadap apa yang berlaku.

“Dalam perutusan merdekanya semalam, dikeluarkan pula penegasan agar dipertahankan Perlembagaan serta hak dan kepentingan Melayu-Islam yang termaktub dalam perkara 152 dan 153.

“Semua itu dilakukannya setelah ada raja-raja Melayu yang mula bertitah mengenainya selain amaran daripada para ulama serta NGO Melayu. Itu menunjukkan beliau tiada falsafah dan dasar yang tetap,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

NGO Melayu selar Nurul Izzah persoal hak istimewa kaum sendiri

UM - 2/9/10

KUALA LUMPUR 1 Sept.- Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menyelar tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu.

Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail (gambar) berkata, Nurul Izzah tidak memahami apa itu Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan untuk melindungi hak kaum sendiri apabila bertindak demikian.

"Beliau dilahirkan dan menikmati segala kebaikan di negara ini kerana adanya Perkara 153 itu. Jadi mengapa beliau sendiri sebagai orang Melayu mahu mempersoalkan apa yang sudah termaktub itu?," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nurul Izzah di dalam sebuah portal propembangkang yang mendakwa Perkara 153 hanya menyebut 'kedudukan istimewa' dan bukannya 'hak keistimewaan' orang Melayu seperti yang digembar-gemburkan.

Ahmad Zaki berkata, Nurul Izzah sepatutnya mendapatkan pandangan pakar berhubung Perlembagaan Persekutuan sekiranya tidak faham mengenainya dan bukannya membuat kenyataan atau pandangan yang menimbulkan kontroversi.

"Apa alasan dia hendak mempersoalkannya?. Dia patut sedar bahawa apa yang dimiliki atau diminta oleh orang Melayu dan bumiputera sebelum ini tidak langsung menindas atau menidakkan hak kaum lain di negara ini," katanya.

Sebagai contoh, katanya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini juga hanya menetapkan sasaran yang sedikit bagi memajukan kaum bumiputera sedangkan kaum lain mendapat nikmat yang lebih banyak.

Katanya, kenyataan Nurul Izzah itu sebenarnya membuka ruang bagi orang lain untuk memijak kepala orang Melayu sendiri.

"Orang lain tidak terhegeh-hegeh mempersoalkan hal itu, tetapi kenapa orang Melayu sendiri yang buat begitu. Ini yang dikatakan Melayu mudah lupa. Jangan lupa dia sendiri dilahirkan dan hidup aman sejahtera disebabkan wujudnya Perkara 153 itu," katanya.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, tindakan Nurul Izzah itu sebenarnya telah mengkhianati bangsa sendiri dan juga apa yang telah diperjuangkan pemimpin terdahulu.

"Orang Melayu secara keseluruhannya sepatutnya mempertahankan apa yang sudah termaktub itu. Semua orang perlu sedar dan faham bahawa Perkara 153 ini tidak boleh dipersoalkan, diketepikan atau dipinda sewenang-wenangnya.

"Malah tiada sesiapa juga yang patut mempersoalkan Perlembagaan Persekutuan kerana ia merupakan asas kepada pembentukan negara kita pada hari ini," katanya.

Katanya, pihak yang berterusan mempersoalkan mengenai Perkara 153 itu sebenarnya tidak faham sepenuhnya mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, ada yang sanggup mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan kerana mempunyai kepentingan tertentu demi mengejar kuasa dan kedudukan politik.

"Tindakan seperti itu juga mungkin dilakukan untuk meraih sokongan bukan Melayu dan mengambil hati kaum lain," katanya.

Dalam pada itu Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Lembah Pantai, M. Sazali Kamilan yang turut membidas tindakan Nurul Izzah itu berkata, wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sewajarnya diambil tindakan undang-undang kerana bertindak mempersoalkan Perkara 153.

Katanya, pihaknya sendiri berasa malu kerana masih ada orang Melayu yang mempertikaikan hak kaum sendiri.

"Beliau mungkin tidak berasa susah payah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan atau membentuk negara ini oleh kerana itulah ia dipersoalkan sewenang-wenangnya," katanya.

M. Sazali berkata, tindakan Nurul Izzah itu juga dilihat seperti mahu mengalihkan isu dan kemelut yang berlaku di dalam PKR sendiri dan juga yang dihadapi oleh bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

/hwa: utusan.com.my

Zambry anggap DAP terdesak

UM - 2/9/10

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI utusanperak@utusan.com

IPOH 1 Sept. – DAP semakin terdesak untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu penyalahgunaan kepala surat dan cop rasmi milik Exco Selangor, Ronnie Liu dengan mendakwa perkara sama berlaku dalam pentadbiran di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kepala surat dan cop rasmi kerajaan negeri digunakan oleh Pejabat Menteri Besar atau Exco untuk memanjangkan pelbagai surat permohonan rakyat kepada agensi berkaitan untuk diambil tindakan.

Bagaimanapun jelasnya, tiada surat sokongan dikeluarkan untuk permohonan balak dan tanah.

Katanya, perkara itu menjadi amalan di semua pejabat kerajaan termasuk di zaman pakatan pembangkang berkuasa di Perak dan ia bukan penyalahgunaan kepala surat dan cop rasmi kerajaan negeri.

“Ini semua permainan politik Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham untuk mengaburi mata rakyat dan menutup kesalahan Ronnie di Selangor sehingga menimbulkan krisis besar dalam DAP.

‘‘Saya harap mereka tidak memainkan isu ini kerana adalah menjadi tanggungjawab kita termasuk Exco untuk memanjangkan surat daripada rakyat kepada agensi kerajaan berkenaan untuk diambil tindakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Zambry mengulas tindakan Koo Ham mendakwa ada pembantu khas beliau menggunakan kepala surat dan cop rasmi Menteri Besar Perak untuk menyokong kroni mendapatkan tanah.

Ronnie Liu baru-baru ini membuat laporan polis terhadap penyalahgunaan kepala surat dan cop rasminya dengan tujuan menyokong kontraktor untuk memperolehi projek di Selangor.

Pada sidang akhbar itu, Zambry turut mendedahkan surat-surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Perak semasa zaman pemerintahan pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut, Zambry menjelaskan, surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Perak atau Exco adalah menggunakan tajuk sama seperti surat permohonan oleh rakyat yang turut dikepilkan bersama.

‘‘Pada setiap Selasa saya berjumpa dengan rakyat dan ada yang menghulurkan pelbagai jenis surat permohonan dan surat itu akan dipanjangkan ke jabatan-jabatan kerajaan untuk diselesaikan.

‘‘Bagi masalah tiada elektrik dan air, saya akan keluarkan arahan segera untuk menyediakan kemudahan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry mengarahkan sebuah syarikat yang ingin membangunkan kilang simen di atas tanah seluas 272 hektar di Kota Bharu, Gopeng dan Malim Nawar supaya memberi penjelasan kepada penduduk mengenai projek tersebut yang mendapat bantahan sebahagian daripada mereka.

Ditanya kesan projek tersebut terhadap pekebun-pekebun haram di kawasan itu, beliau berkata perkara berkenaan akan dikaji.

‘‘Saya tahu ada pihak tertentu yang mahu menjadi jaguh dalam hal ini tetapi mereka juga yang mempertahankan projek itu semasa mentadbir negeri ini dahulu,” katanya.

/hwa: utusan.com.my/

1 September 2010

Isu Namewee perlu jadi pengajaran pada semua: Khairy

Bernama - 2010/09/01

KOTA BHARU: Isu video klip kontroversi yang dicetuskan Wee Meng Chee atau Namewee perlu dijadikan pengajaran kepada semua kaum di negara ini supaya tidak mengikut emosi yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, apa yang dilakukan Namewee itu sudah keterlaluan dan menghiris perasaan bangsa Melayu dan pemuda itu seperti tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu yang pernah dilakukannya sebelum ini.
"Kita dah bagi peluang pada beliau dulu yang pernah memohon maaf dan kita ingat dia sudah berubah bila balik ke Malaysia.
"Kita sudah banyak bertolak ansur dan bila penghinaan itu terlalu jelas dan nyata sudah tiba masanya mereka yang buat begitu diambil tindakan tegas," katanya ketika berkunjung ke rumah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Rosmadi Ismail di sini, malam tadi.

Sambil meminta polis menyegerakan siasatan, Khairy berkata, apa yang dilakukan Namewee itu sesuatu yang sukar diterima masyarakat berbilang kaum di negara ini dan perkara seperti itu perlu ditangani segera.

"Kalau ada ucapan berbaur perkauman daripada sesiapa saja, polis dan juga pihak pendakwa raya perlu bertindak cepat kerana jika tidak akan menimbulkan kemarahan pelbagai pihak seolah-olah tidak ada tindakan," katanya.

Khairy juga menafikan dakwaan bangsa Melayu begitu sensitif oleh bangsa lain seolah-olah tidak boleh ditegur dan kononnya isu sedemikian telah dipolitikkan.
"Melayu tidak terlalu sensitif dan kita sebenarnya banyak bertolak ansur," katanya.

Namewee semalam dipanggil polis untuk memberikan keterangan berhubung video klip berkenaan selepas beberapa laporan polis dibuat terhadapnya.

/hwa: bharian.com.my/

Sultan Selangor gantung gelaran Liong Sik dan OC Phang

BH - 2010/09/01

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menggantung gelaran "Datuk" yang dikurniakan kepada Tun Dr Ling Liong Sik dan "Datin Paduka" kepada OC Phang.

Menurut kenyataan media Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini, Sultan Sharafuddin berkenaan membuat keputusan itu selepas berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang kali ke-127 pada 19 Ogos lalu.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan bahawa kesalahan yang dipertuduhkan ke atas mereka berdua adalah kesalahan serius yang membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

"Yang Amat Berbahagia Tun Dr Ling Liong Sik, bekas Menteri Pengangkutan Malaysia yang telah dikurniakan keahlian darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) bergelar Dato’ pada 1992 telah didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Putrajaya.

"Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran DPMS adalah digantung. Penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan YA Bhg Tun tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan.

"Puan Phang Oi Chooi @ Phang Ai Tu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang yang telah dikurniakan keahlian Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) bergelar Datin Paduka pada 2001 telah didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Klang.

"Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran DSSA adalah digantung. Penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan," menurut kenyataan itu.

/hwa: bharian.com.my/

Namewee berani kerana Melayu terlalu bertolak ansur

UM - 01/09/2010 12:48pm

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU 1 Sept. – Orang Melayu perlu bertindak tegas dan bersatu padu bagi memastikan tidak ada individu seperti Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, yang berani serta terus-menerus mengeluarkan kenyataan menghina mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Nawemee berani bertindak sedemikian kerana orang Melayu terlalu bertolak ansur walaupun mereka dihina berkali-kali.

Pada masa yang sama, beliau menolak sama sekali dakwaan pihak tertentu bahawa isu tersebut sengaja dipolitikkan oleh UMNO untuk meraih sokongan atau orang Melayu terlalu sensitif apabila diusik dengan kenyataan yang keras.

"Sebenarnya orang Melayu terlalu bertolak ansur dan bila penghinaan itu terlalu jelas dan nyata sudah tiba masanya mereka yang buat begitu dikenakan tindakan tegas.

"Sudah sampai masanya perkara seperti ini dihentikan, sebagai contoh Namewee tidak pernah serik-serik menghina orang Melayu walaupun diberikan pengampunan dan peluang sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan 'Colek' di rumah Naib Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Rosmadi Ismail di sini, malam tadi.
/hwa: utusan.com.my/

Jalur Gemilang dibakar lagi, telur, ikan masin busuk dilontar

Bernama - 01/09/2010 8:26pm

JAKARTA 1 Sept. - Sekumpulan pelajar yang mendakwa mewakili Gerakan Mahasiswa Hukum Jakarta (Gerakan Mahasiswa Undang-Undang Jakarta) hari ini bertindak mengotorkan bendera Malaysia dengan telur sebelum membakar dan melontarkan Jalur Gemilang yang terbakar sebahagiannnya itu ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.

Dalam demonstrasi membantah insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia dekat Kepulauan Riau baru-baru ini, mereka turut melontar telur dan ikan masin busuk ke dalam kawasan kedutaan besar itu selain mengotorkan plak nama Kedutaan Besar Malaysia itu dengan tepung gandum dan ikan masin busuk.

Mereka membawa beberapa sepanduk yang antara lainnya ditulis “diplomasi mati suri”, “ganyang Malaysia”, “bela harga diri bangsa” serta “malingsia serumpun yang durhaka”.

Demonstrasi selama kira-kira setengah jam mulai pukul 11.05 pagi itu diawasi oleh kira-kira 60 anggota polis Indonesia.

/hwa: utusan.com.my/

Rentas jalan menuju merdeka

Kosmo! - 1/9/10




MENJELANG detik 31 Ogos pada Selasa ini, maka genap 53 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan. Bagi sesetengah orang, terutamanya generasi muda pasca merdeka, emosi untuk merayakan hari kebebasan ini tidak lebih hanya mengambil bahagian dalam mengibarkan Jalur Gemilang.

Sama ada ia simbol jati diri ataupun sekadar mengikut trend semasa, apa yang pasti golongan veteran pramerdeka lebih bersemangat tatkala bulan kelapan tahun Masehi ini mencapai ke penghujungnya.

Nama-nama besar seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Datuk Onn Jaafar, Tun Tan Cheng Lock atau Tun Sambanthan memang terkenal dan dikagumi.

Usaha dan jasa mereka mendapatkan kemerdekaan untuk negara tidak disangkal, namun masih terdapat ribuan nama lain yang turut menyumbang kepada kebebasan, keamanan serta kesepaduan lebih 27 juta rakyat Malaysia pada hari ini.

Wira-wira yang tidak dicanang ini, walaupun nama mereka sangat jarang disebut, penghormatan tetap perlu diberikan atas usaha mereka membawa Malaya menjadi sebuah negara yang amat bertuah untuk didiami.

Serah gelang

Berkongsi kisah perjuangan pramerdeka dengan Datuk Siti Rahmah Kassim, 84, jelas bahawa jalan untuk merdeka tidak semestinya dengan berperang.


PERARAKAN yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman yang membantah tindakan agresif komunis di Tanah Melayu.

"Semasa Tunku berucap di hadapan ratusan ahli UMNO di Dewan Hang Jebat, Melaka pada tahun 1956, saya berani menyatakan, pada ketika itu, seluruh tenaga, jiwa raga dan darah saya adalah untuk sama-sama berjuang memerdekakan negara.

"Saya masih ingat lagi ucapan tunku yang ketika itu dalam loghat Kedah. Katanya, 'saya ini dengan Duli Raja-Raja hendak jumpa dengan baginda Queen untuk merundingkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

"Tapi, UMNO tadak duit, saya pun tadak duit. Saya nak juai istana tapi ayahanda murka. Baginda suruh saya jadi raja tetapi saya lagi suka jadi Presiden UMNO dan bekerja untuk orang Melayu.

"Ketika itu Tunku sebak. Selesai tamat ucapan baginda, saya yang ketika itu duduk di barisan hadapan, bangun seraya berkata, saya akan menyahut seruan Tunku," cerita wanita kelahiran Batu Hampar, Negeri Sembilan ini.

Tanpa ada yang menyuruh namun atas semangat mahukan kemerdekaan, Siti Rahmah lantas menanggalkan gelang, rantai dan subang yang dipakainya lalu diletakkan di atas selendang merah UMNO yang digunakan ketika itu.

"Saya hulurkan barang kemas itu kepada Tunku sambil memohon supaya baginda menerima barangan tersebut.

"Kata saya kepada baginda, 'Tunku, gelang ini gelang kesayangan saya kerana hadiah perkahwinan daripada ayah. Tetapi, hari ini, saya ikhlas dan reda menyerahkannya kepada Tunku sebagai bantuan untuk membayar tambang rombongan kemerdekaan ke England.

"Tunku menerimanya dengan linangan air mata. Pada masa yang sama, saya turut merayu kepada para hadirin di dewan tersebut untuk turut menyumbang.


WIRA tiga bangsa ini banyak menyumbang kepada pembentukan Malaysia yang aman dan makmur seperti yang dinikmati hari ini.


"Alhamdulillah, bagaikan daun getah gugur, duit kertas dijatuhkan dari bahagian atas dewan. Sebahagian besar kaum ibu mula menanggalkan barang kemas, cucuk sanggul dan kerongsang untuk diserahkan seikhlas hati kepada Tunku," cerita wanita pertama yang menjadi wakil rakyat di Negeri Sembilan ini.

Menurut Siti Rahmah, selain emas dan wang ringgit, ada juga yang ikhlas menyerahkan perhiasan mewah yang dipakai ketika itu.

Kena sebat

Kaum lelaki turut tidak ketinggalan. Tongkat dan jam yang bersadur emas turut diserahkan sebagai tanda sokongan.

Berita tentang usaha beliau menyerahkan barangan kemasnya itu tersiar dalam akhbar keesokan harinya. Malangnya, tindakan itu tidak direstui ibunya.

"Ibu saya masih berfikiran konservatif. Saya fikir ibu bangga dengan saya tetapi sangkaan itu meleset. Ibu menunggu kepulangan saya dengan rotan belah empat. Dia tidak boleh menerima tindakan saya menyerahkan gelang hadiah perkahwinan itu kepada Tunku.

"Ibu merotan belakang saya sebanyak lima kali di tempat yang sama. Saya menangis namun ibu tidak hiraukan dan dia hanya berhenti merotan selepas baju saya dibasahi darah," ujarnya yang mula terbabit dalam arena politik sejak tahun 1946 ketika berusia 18 tahun.

Kisah Siti Rahmah lain versinya dengan cerita bekas Ketua Polis Perak, Datuk Seri Yuen Yuet Leng, 83. Berkesempatan menemubual beliau, tanggapan bahawa bangsa lain tidak patriotik tidak benar sama sekali.

Menjadi sebahagian daripada benteng pertahanan negara, Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) ini menyimpan terlalu banyak memori pramerdeka dalam jiwanya.


YUET LENG adalah wira negeri Perak.


Mula berkhidmat dengan pasukan polis pada 1 Disember 1950, bekas guru di Sekolah King George V, Seremban, Negeri Sembilan, ini pernah menyertai tentera laut China pada 1946 hingga 1947.

Namun, sepanjang berada di China, rasuah dan pemerintahan berat sebelah akhirnya membuka mata beliau untuk berbakti kepada negara sendiri.

Yuet Leng tidak menunggu lama untuk menyertai Probationary Asian Inspector (PAI) kerana kesedaran untuk menjamin keamanan di negara sendiri.

Mula ditempatkan di Syarikat Perhutanan Persekutuan atau Federal Jungle Company di Tanah Hitam, Chemor, beliau kemudiannya ditukarkan ke Platun 2, Titi Gantung, Perak.

"Pada zaman darurat, sekitar tahun 1951-1952, saya sering terlibat dengan operasi-operasi serang hendap dan beberapa operasi penting menghapuskan komunis di Tanah Melayu.

"Misalnya, dalam 1951, saya pernah terlibat dalam operasi pembersihan komunis di Kampung Jenderam di Selangor.

"Dalam operasi itu, ada 2,000 orang Melayu yang terlibat dengan komunis ditahan. Walaupun tugas hakiki saya untuk menahan mereka semua, namun jauh dari sudut hati, saya sangat simpati dengan mereka.

"Kemiskinan yang dilalui oleh mereka menjadikan setiap barangan, walaupun yang sudah rosak menjadi sangat bernilai kepada mereka.

3 dalam 1

"Saya tidak menyalahkan mereka jika terlibat dengan propaganda komunis kerana cara itu dianggap dapat membantu mereka mendapat sesuap nasi," ujarnya yang mengakui tubuhnya bagai minuman tiga dalam satu. Berdarah Cina namun berjiwa Melayu, Cina dan India.

Menggalas tugas hakiki sebagai ketua unit, Yuet Leng pernah terlibat dalam satu serang hendap pada tahun 1951 sehingga nyaris meragut nyawanya.

"Ketika itu, saya dan empat anak buah menyerang hendap satu kem komunis. Selepas berjaya menyusup masuk ke dalam kem berkenaan, baru saya sedar, kem tersebut adalah sebuah kem komunis yang besar, kira-kira 30 hingga 40 ahli komunis ada di dalam kem tersebut.

"Sebaik sahaja melepasi pos pengawal, saya lihat ketua mereka sedang membaca, namun sebelum serangan sempat dibuat, kami telah diserang terlebih dahulu.

"Saya yang ketika itu berada di hadapan, menerima empat das tembakan, Dua di bahagian belakang badan, satu di kaki dan satu di punggung.

"Anak-anak buah saya, Sarjan Zainal dan Koperal Razali berlari ke depan untuk membantu mempertahankan benteng sekali gus menyelamatkan nyawa saya,"cerita beliau.

Dek kerana sibuk mahu membalas balik serangan, anak kelahiran Larut, Matang, Perak ini rupanya tidak sedar dia ditembak sehinggalah pihak komunis lari bertempiaran.


PENGUMUMAN tarikh Hari Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Tanah Melayu.


"Selepas suasana reda kira-kira 30 minit kemudian, saya mula terasa ada cecair panas yang mengalir di belakang saya.

"Ketika itu, baru saya sedar saya cedera parah. Saya kemudiannya dibawa ke hospital dan berehat lebih kurang sebulan," beritahunya.

Bersyukur kerana memiliki anggota pasukan yang cekap dan sanggup ke hadapan untuk menyelamatkannya, Yuet Leng mengakui bahawa beliau sangat menghormati anggota pasukannya yang rata-ratanya berketurunan Melayu.

"Sampai sekarang saya tidak boleh lupa. Malah, untuk pengetahuan umum, sebutir peluru serangan itu masih ada tertanam di dalam badan saya.

"Semasa pembedahan, doktor terlepas pandang dan saya hanya tahu peluru itu ada di dada hanya pada 1982. Saya tahu selepas 31 tahun ditembak. Oleh kerana terlalu lama, atas faktor kesihatan, peluru itu tidak dikeluarkan," ujarnya yang pernah mengetuai operasi menjejaki ketua komunis, Chin Peng dari Sungai Perak hingga ke sempadan Thailand pada tahun 1952.

Dianggap sebagai wira negeri Perak, Yuet Leng berjaya melindungi negeri tersebut daripada jatuh ke tangan komunis sehingga diisytihar sebagai kawasan putih ketika menyandang jawatan Ketua Polis Perak.

/hwa: kosmo.com.my/

Masa terbaik untuk PAS bermuhasabah

BH(rencana) - 1/9/10

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my2010/09/01

Perisytiharan DAP tolak hudud, negara Islam bukti kerjasama selama ini tak sekata

RAMADAN adalah bulan di mana syaitan dirantai dan pintu neraka ditutup. Bulan ini membawa keberkatan buat umat Islam yang mana pintu keampunan dibuka oleh Allah seluas-luasnya untuk bertaubat. Ramadan juga adalah masa terbaik untuk bermuhasabah.

Barangkali, Ramadan kali ini juga adalah kesempatan terbaik untuk pemimpin PAS mengkaji dan menilai kembali kerjasama yang dijalin mereka dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang. Ini kerana, dalam bulan mulia ini juga ketika umat Islam menjalani ibadat puasa, DAP sekali lagi mengulangi pendirian menolak pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam PAS.

Kali ini, penolakan terhadap pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan disuarakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Ini bermakna Pengerusi DAP, Karpal Singh, tidak berseorangan dalam isu berkenaan.

Ini juga bermakna, Karpal mendapat sokongan Kit Siang dan DAP keseluruhan. Apa pendirian PAS dalam isu ini. Apakah mereka yakin mampu untuk ‘mengIslamkan’ dua pemimpin DAP yang secara terbuka menolak hasrat PAS untuk membentuk kerajaan Islam serta melaksanakan hukum hudud.

Sebenarnya, bukan kali ini PAS dimalukan oleh rakan sekutunya dalam isu sebegitu. Sebelum ini, pada konvensyen pertama pakatan pembangkang di Shah Alam, Karpal secara terbuka menolak kepemimpinan PAS dan mengiktiraf kepemimpinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di hadapan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di mana maruah dan suara pemimpin PAS yang selama ini melaungkan kepemimpinan ulama dan berpaksikan agama Islam. Apakah PAS boleh menerima rakan pakatannya menolak hukuman Islam dan juga negara Islam diperjuangkan parti itu selama ini.

Mungkin ada betulnya juga kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), bahawa usaha untuk membolehkan pemimpin DAP itu mengenali Islam dengan lebih mendalam, tidak akan berjaya.

“Hari ini kita jual diri kita kepada sesiapa saja demi kepentingan tertentu. Ada pemimpin Islam sanggup mengadakan perbincangan dan bekerjasama dengan bukan Islam ataupun pihak yang menolak Islam, tetapi tidak pula mahu mengadakan sebarang perbincangan dengan orang Islam.

“Mereka sanggup berbincang dengan orang yang menolak Islam kononnya untuk mendekatkan (pemimpin bukan Islam) dengan Islam, supaya mereka memahaminya. Usahlah khayal untuk mengubah mereka supaya percaya kepada Islam, jika sebelum ini ada di kalangan mereka berkata langkah mayat aku dulu jika mahu menubuhkan negara Islam,” katanya.

Malah bagi Dr Mahathir, pemimpin yang mendakwa mereka mendokong perjuangan Islam sebenarnya sebelum ini pernah menyatakan adalah haram jika orang Islam bekerjasama ataupun berkawan dengan bukan Islam.

Tetapi kini ia ibarat meludah ke langit, akhirnya air liur itu jatuh ke muka sendiri, apabila pemimpin Islam itu sedia bekerjasama dengan bukan Islam demi kepentingan politik dan sanggup memusuhi sesama Islam.

Jika sebelum ini, apabila Karpal menyuarakan tentangan terhadap penubuhan negara Islam, pemimpin PAS berkata itu adalah pandangan peribadi pemimpin DAP itu dan bukan suara daripada parti. Tetapi kini, Kit Siang juga menyuarakan perkara sama. Justeru, apa pendirian pemimpin PAS. Apakah mereka masih mahu mempertahankan pemimpin DAP?

Disebabkan suara Kit Siang menyokong Karpal, maka hari ini kedengaran pula suara segelintir pemimpin PAS mahu isu itu tidak lagi diperdebatkan. Ada yang meminta pucuk pimpinan PAS supaya memahami bahawa hukum hudud hanya boleh dilaksanakan jika mendapat mandat orang ramai.

Ini bermakna, sekiranya pakatan pembangkang berjaya merampas Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13, hukum hudud diperjuangkan PAS sebelum ini belum tentu dapat dilaksanakan dan negara Islam dicanang PAS sebelum ini juga mungkin hanya tinggal angan-angan.

Oleh itu inilah masa yang terbaik untuk PAS menilai kembali perjuangannya dalam pakatan pembangkang, adakah ia mampu merealisasikan apa diimpikan sebelum ini ataupun dasar perjuangan sebelum ini perlu dikorban. Apakah perjuangan Islam yang dibawa parti itu akan terkubur.

Hari ini Islam masih berkuasa di negara ini, namun, cadangan untuk melaksanakan hukum hudud sudah ditolak DAP dan negara Islam ditentang. Bagaimana agaknya jika Islam tidak lagi berkuasa di Malaysia, apakah suara umat Islam akan didengari dan perjuangan PAS akan diterima.

Sudah tiba masanya juga untuk PAS memikirkan semula sedalam-dalamnya cadangan untuk melihat parti itu dan UMNO duduk semeja bagi membincangkan kepentingan tertentu yang semestinya membawa keuntungan kepada umat Islam dan orang Melayu di negara ini daripada memikirkan kerjasama dengan DAP dalam pakatan pembangkang yang sememangnya tidak memberi keuntungan kepada PAS.

/hwa: bharian.com.my/

BISIK-BISIK

UM - 1/9/10

Akhbar Awang hari ini menyiarkan pengakuan seorang pengelola perkhidmatan demonstrasi di Indonesia yang bersedia pada bila-bila masa mengatur demonstrasi atas apa juga tujuan, asalkan dibayar.

Pelik; tetapi itulah realitinya di Indonesia. Jadi demonstrasi jalanan boleh diatur dengan tertib dan mudah asalkan ada upahnya. Bayangkan, untuk satu pakej demonstrasi melibatkan 35 orang yang boleh dimuatkan dalam sebuah bas mini, kosnya cuma antara RM522 hingga RM699 sahaja.

Awang sengaja mengulas hal ini bukan kerana terkejut tetapi sekadar mahu membawa pembaca melihat realiti demonstrasi di bebepara lokasi yang ada kepentingan Malaysia di Jakarta kebelakangan ini.

Banyak pihak telah mendedahkan betapa mereka yang terbabit dalam siri demonstrasi itu diupah. Mengikut pendedahan pengelola acara itu, seorang yang terlibat cuma diupah tidak lebih RM13.90 selain diberikan bungkusan makanan.

Cuma, pihak berkuasa terlibat perlulah menyiasat dalam mengesahkan siapakah penaja siri demonstrasi bantahan terhadap Malaysia termasuk di depan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Setahu Awang, isu sempadan perairan kedua-dua negara hanyalah dijadikan alat untuk menimbulkan ketegangan antara dua negara tetangga ini. Kita mahu tahu dengan jelas siapa dan apakah motif sebenar di sebalik semua itu.

Awang - Sudah nampak.

/hwa: utusan.com.my/

Provokasi berbaur perkauman

UM(rencana) - 1/9/10

Oleh Muhammad Afifi Abdul Razak

Sejak akhir-akhir ini, beberapa tindakan provokasi berbaur perkauman dan agama oleh segelintir pihak di Malaysia telah dilaporkan oleh kebanyakan akhbar perdana tempatan. Antara contoh-contoh 'benar' dalam hal ini adalah tindakan khatib jemputan di sebuah masjid di Pulau Pinang yang menyebut nama Ketua Menteri yang bukan Islam dalam doa khutbahnya, tindakan ahli jawatankuasa masjid dan surau di sekitar Selangor yang membenarkan ahli politik bukan Islam memasuki ruang solat utama dalam masjid dan surau, serta tindakan berulang kali oleh bekas pelajar Malaysia di sebuah universiti di Taiwan, Namewee mengubahsuai lagu kebangsaan 'Negaraku' yang mengandungi unsur-unsur yang mencemar imej Malaysia serta turut menyentuh sensitiviti peribadi individu tertentu, orang Melayu, dan agama Islam di negara ini.

Sebagaimana biasa, persepsi awal terhadap semua insiden ini sudah boleh dijangka. Khatib jemputan terbabit mempertahankan tindakannya atas alasan bahawa tidak menjadi satu kesalahan besar jika mendoakan seseorang yang bukan Islam supaya diberi petunjuk dan hidayah, walaupun sudah jelas bahawa dalam teks khutbah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang, nama Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di negeri tersebut mesti disebut dalam setiap sesi khutbah termasuk dalam doa oleh khatib yang bertugas.

Ahli politik bukan Islam pula mempertahankan tindakan mereka dengan alasan bahawa mereka datang untuk memenuhi jemputan oleh ahli jawatankuasa masjid tersebut bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat di kawasan masing-masing. Mereka juga mendakwa bahawa insiden ini sengaja dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

Manakala Namewee pula mempertahankan tindakan beliau dengan alasan ia hanyalah untuk 'mencipta' sesuatu yang unik dan baru, bertujuan mengembangkan bakat kreatifnya dan supaya dia dikenali ramai. Sememangnya hari ini, Namewee sudah pun dikenali ramai termasuk di Malaysia, khasnya dalam kalangan para pembuat dasar termasuk Ketua Polis Negara, Menteri Penerangan dan Perdana Menteri sendiri.

Apa yang jelas di sini adalah semua tindakan provokasi itu dilakukan atas alasan untuk menggunakan hak dan kebebasan bersuara dalam konteks sistem demokrasi. Kerajaan juga setakat ini tidak mengambil sebarang tindakan susulan walaupun insiden sebegini telah berulang kali berlaku. Antara alasan yang biasa diberikan adalah kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu semua insiden tersebut dan kemudiannya berunding dengan parti-parti bukan Melayu kerana 'pelakunya' ialah orang bukan Melayu, manakala 'mangsanya' pula ialah orang Melayu.

Tetapi kalau 'pelakunya' ialah orang Melayu sendiri, maka sudah tentu 'secepat kilat' tindakan tegas diambil bagi menangani sebarang insiden sedemikian rupa. Apa yang jelas di sini ialah memang agak sukar untuk membuat sebarang keputusan terhadap isu-isu provokatif jika ia membabitkan selain daripada orang Melayu dan Islam.

Ini kerana jika tersalah pertimbangan, orang bukan Melayu, yang selama ini memberi sokongan kepada kerajaan sudah pasti akan 'terasa' pedih hati walaupun dalam sesetengah insiden yang sedemikian, mereka memang bersalah. Apa yang boleh kita lihat, sebarang bentuk tindakan oleh kerajaan pada hari ini dalam menyelesaikan insiden-insiden seperti itu boleh dianggap seperti 'menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak'.

Biasanya, usaha penyelesaian masalah secara 'menarik rambut dalam tepung ini' sangat cerewet dan rumit. Ini mungkin kerana 'rambut' yang ingin 'ditarik' tersebut mungkin sudah 'reput', manakala 'tepung' yang ingin dijaga supaya tidak 'selerak' itu mungkin sebenarnya sudah 'keras'.

Kita tidak menafikan perlunya hidup bertolak ansur dalam konteks masyarakat berbilang kaum tetapi peranan dan tanggungjawab kerajaan selaku 'pemerintah yang tegas dan bijaksana' tidak wajar sekali dipinggirkan. Dalam hal ini, pihak yang benar perlu dibela, manakala pihak yang secara terang-terang melakukan kesalahan mesti dihukum dengan sewajarnya tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

Semua insiden yang disebutkan sebelum ini adalah benar berlaku, manakala 'pelapornya' pula tidak mempunyai sebarang niat yang terselindung.

Masjid dan surau adalah rumah Allah SWT yang suci lagi bersih dan perlu dihormati. Orang bukan Islam, tidak kira dari mana-mana parti politik pun tidak boleh memasuki ruang solat utama masjid dan surau hanya kerana mereka ini 'berhadas besar'. Sebaliknya, mereka boleh memasuki ruang di sekitar kawasan masjid, dan bukannya di ruang utama solat.

Nama ketua agama negeri, sama ada Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Sultan mesti disebut oleh khatib dalam setiap sesi khutbah yang dijalankan.

Tindakan menyebut nama Ketua Menteri yang bukan Islam tidak pernah berlaku sebelum ini, dan orang yang menyebutnya sudah pasti ada maksud 'negatif' yang terselindung walaupun orang itu bergelar 'ustaz' atau 'tok guru'.

Sebagai rakyat Malaysia pula, adalah tidak salah untuk menjadi kreatif dalam pelbagai bidang seni termasuk muzik dan mengubahsuai lagu. Tetapi, apakah dengan tindakan 'memperolok-olokkan' lagu kebangsaan negara sendiri dengan unsur-unsur mencemar imej negara, individu tertentu, orang Melayu dan agama Islam boleh menjadikan seseorang itu kreatif?

Apa yang jelas di sini adalah Namewee ialah seorang yang sangat kreatif, tetapi beliau juga seorang yang sangat tidak beradab sopan terhadap negaranya sendiri.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas dalam menangani isu-isu provokatif berbaur perkauman dan agama sebagaimana yang sedang 'hangat' melanda negara ketika ini.

Kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga ke saat akhir untuk mengambil tindakan kerana ia dikhuatiri mungkin agak terlewat. Kegagalan kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam hal ini akan memberi gambaran negatif dalam kalangan rakyat terutamanya orang Melayu dan Islam di negara ini bahawa mereka akan terus menjadi punching bag di negara sendiri, manakala bagi orang bukan Melayu pula, adalah tidak mengapa menjadikan orang Melayu dan agama Islam sebagai bahan kreatif dan senda gurau atas alasan hak dan kebebasan bersuara dalam negara demokrasi.

Kita perlu ingat bahawa demokrasi adalah untuk semua, bukan untuk satu golongan sahaja. Hak kebebasan bersuara dan hak untuk kreatif dalam muzik tidak bermakna kita boleh mencemarkan imej negara sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Sains Politik, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

/hwa: utusan.com.my/

Orang kampung: Inilah langit yang kita junjung

UM(rencana) - 1/9/10

HUJUNG minggu berada di Tunjang, kampungku sungguh mengasyikkan dan menginsafkan. Ia sekali gus melupakan sejenak hal ehwal di bandar dan politik kemalaysiaan. Soal titik bengit politik yang keterlaluan, jumud, perkauman, sempit yang masih hangat dibincangkan walaupun negara ketika itu - 24 jam lalu - diambang Hari Merdekanya, ke-53 tahun.

Tiada apa-apa yang istimewanya ambang Merdeka di kampung-kampung. Tiada bendera-bendera yang berkibar di rumah-rumah. Hidup diteruskan, padi-padi semakin membunting dan insya-Allah jika tidak ditenggelami banjir, akan dituai selepas raya ini.

Kehidupan orang kampung berjalan seperti biasa. Jarang-jarang yang bercakap soal politik perkauman. Tiada yang bercakap yang bukan-bukan. Adalah yang bercakap soal siput gondang emas yang semakin mengganas di sawah-sawah padi. Soal ikan sepat yang tiada lagi wujud dalam bendang-bendang di kampungku. Sehinggalah kepada soal elaun bilal masjid yang belum dibayar kerajaan negeri berbulan-bulan.

Lari dari arus politik di bandar ke kampung, hidup ini cukup tenang sekali. Tiada yang bercakap mengenai "Namewee F*** Racism Malaysian NAH!!!'' - yang DAP nampaknya juga tidak berminat bercakap mengenainya, ataupun mahu membuat repot polis ke atas budak itu kerana membuat klip video kurang ajar seperti itu.

Saya tidak boleh bayangkan jika, Mat bin Ali yang membuat klip seumpama itu. Maka, lintang pukanglah negara ini, blog-blog mereka akan menganyang habis-habisan budak bernama Mat bin Ali itu. Budak itu dengan segeranya akan dihadapkan ke balai polis, untuk kenyataannya diambil. Kemudian didakwa. Itulah realitinya sekarang. Orang majoriti lazimnya akan cepat dicap sebagai rasis.

Apapun, kita tolak ke tepi soal Namewee itu, soal MP DAP Serdang yang tidak tahu adat resam orang Islam dan lain-lain soal politik.

Kita kaji kehidupan orang kampung kita yang amat dicintai. Kehidupan orang yang masih lagi menjadi majoriti negara ini. Orang Melayu kampung yang masih kais pagi makan pagi dan masih mengharapkan belas ihsan bumi tercinta ini untuk mengeluarkan hasil terbaik. Hidup mereka bukan macam rakan kita di bandar dan pekan yang kemewahannya melimpah-ruah.

Rata-rata rakan-rakan kita yang berniaga di bandar-bandar seolah-olah lupa di mana bumi mereka berpijak. Mereka hidup dengan dikelilingi wang. Siang malam mesti cari wang.

Sebaliknya, kehidupan orang kampung amat-amat sederhana. Mereka cukup menghargai langit yang mereka junjung ini. Soal siput gondang emas harus difikirkan. Siput itu tidak membawa untung sesen pun walaupun namanya emas. Ia memakan umbut-umbut padi, sehingga menjahanamkan tanaman itu.

Itu yang harus difikirkan. Namun, walaupun itu masalahnya, kehidupan harus diteruskan. Satu perubahan minda harus diterapkan ke fikiran mereka. Cara mereka harus diubah. Kehidupan mereka harus ditingkatkan.

Kita tiada pilihan selain menjaga baik-baik spesies majoriti negara ini. Perancangan harus difikirkan untuk masa depan mereka dan generasi mereka akan datang. Orang kampung tidak mengerti apa itu 1Malaysia, kerana mereka hanya dikelilingi oleh orang-orang mereka sahaja.

Mungkin disebab itu mereka susah. Tapi itu bukan alasannya untuk memencilkan mereka, jika rakan-rakan lain tidak mahu membantu, maka kerajaan yang masih dinaungi oleh bangsa majoriti itulah yang harus membantu. Bantulah bangsa ini. Mereka amat-amat memerlukan bantuan.

Satu mekanisme yang lebih mantap diperlukan bagi menjana bangsa ini dan orang-orang ini. Jangan ditumpukan sangat kepada kemewahan rakan-rakan kita di bandar-bandar yang wang mereka telah memenuhi akaun-akaun di bank.

Hidup orang-orang kita di kampung-kampung harus diperkemas. Orang bendang, nelayan, petani jangan dibiarkan terus menerus hidup seperti satu dua dekad dulu. Hidup mereka harus meningkat dan dipertingkatkan. Jika mereka tidak boleh membangun sendiri, mereka harus dibantu.

Walaupun ada bantuan yang diberikan, ia harus diselaraskan dengan baik. Kakitangan kerajaan yang membantu mereka harus mempunyai sentimen kecintaan kepada bangsa, daripada sekadar makan gaji semata-mata.

Semua pihak harus memainkan peranan. Satu sistem yang lebih moden harus diterapkan dalam pengurusan masyarakat desa dan kampung. Kita tidak mahu lagi melihat hidup mereka hari ini dan 20 tahun dulu, masih seperti itu.

Infrastuktur kemudahan asas, kesihatan, kebersihan, pendidikan dan keagamaan harus dipertingkatkan.

Ambillah contoh sistem di Jepun atau Korea dalam menangani dan memajukan kehidupan di kampung dan desa. Program agensi masuk kampung harus diperhebatkan.

Pertingkatkan program pertukaran teknikal mengenai pembangunan desa dengan pihak Jepun dan Korea itu misalnya ke dalam sistem perkampungan kita. Jika program-program ini banyak dikendalikan sekitar 70-an dulu, mengapa sudah terhenti sekarang? Apakah negara kita sudah maju dan tidak memerlukan lagi program seumpama itu? Biar sukarelawan mereka tinggal selama mana yang mereka mahu, supaya satu kajian ke arah penambahbaikan dapat dijalankan.

Usaha membuka minda kepada teknologi dan pengetahuan harus ditingkatkan. Universiti dan pusat-pusat pengajian harus memainkan peranan. Bawa masuklah program- program magang ke desa-desa. Biar para pelajar itu bergaul dengan orang-orang kampung. Lakukan kajian terhadap kehidupan desa. Inap bersama-sama mereka. Selami perasaan mereka dan kehidupan mereka sebenar.

Sayangilah orang kampung dan desa. Taburkan lebih banyak peruntukan kepada mereka. Mereka merupakan majoriti penentu kepada kesinambungan masa depan negara ini. Mereka harus dipeduli.

/hwa: utusan.com.my/

Peringatan Raja Nazrin wajar diberi perhatian serius

UM(rencana) - 1/9/10

ENTAH untuk ke berapa kali, raja-raja Melayu terus memberikan peringatan dan nasihat kepada orang Melayu serta umat Islam mengenai ancaman yang sedang mereka hadapi.

Terbaru, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap umat Islam yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca.

Pada pandangan baginda, ia berlaku kerana pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah.

Walaupun peringatan baginda cukup tegas dan jelas tetapi percayalah, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada sesetengah kelompok pemimpin yang lebih melihat kepada keuntungan politik semata-mata.

Pemimpin berkenaan seolah-olah tidak peduli terhadap apa yang berlaku kepada orang Melayu tetapi sebaliknya lebih menghitung bagaimana hendak meraih sokongan daripada kaum lain.

Akibatnya, orang Melayu dan umat Islam seperti kata Raja Nazrin tenggelam punca. Keadaan ini jika berterusan amat berbahaya kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Justeru, pemimpin-pemimpin yang terus ghairah menggadaikan segala-galanya untuk kepentingan politik mereka, perlu memandang serius peringatan Raja Nazrin itu.

Jangan menganggap apa yang dititahkan oleh baginda sekadar satu titah semata-mata dan bukannya satu perintah yang perlu dipatuhi. Apa yang baginda lakukan adalah untuk memberi amaran tentang bahaya yang menanti umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Pertelingkahan akibat ideologi politik berbeza dan ditambah pula dengan permainan politik matlamat menghalalkan cara telah memungkinkan hari demi hari orang Melayu menjadi semakin lemah.

Apa sahaja isu yang cuba dibangkitkan bagi membela nasib mereka, pasti akan mendapat tindak balas segera di mana orang yang memperjuangkannya akan dianggap rasis.

Lebih mendukacitakan, apabila ada pemimpin Melayu yang sanggup ke barisan hadapan untuk mempertahankan tindakan pemimpin bukan Melayu menyampaikan 'tazkirah' di surau.

Pelbagai hujah mereka keluarkan bagi mempertahankan rakan sekutu politik mereka itu, dan dalam masa yang sama tuduhan dilemparkan kepada pihak yang mendedahkan kejadian tersebut.

Sudah jelas kini semakin ramai pemimpin Melayu bersedia menjadi 'pak turut' semata-mata mahu meraih kuasa politik.

Mereka terlupa bahawa seperti mana kata Raja Nazrin pencerobohan besar bermula daripada pencerobohan kecil. Ia mungkin bermula dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar.

Jika orang Melayu dan umat Islam terus leka serta lebih selesa untuk menjadi pembela membuta tuli kepada perbuatan yang dianggap melampau oleh bukan Islam, maka percayalah satu hari nanti mereka mungkin ibarat 'menang sorak kampung tergadai'.

Oleh itu, jadikanlah satu demi satu nasihat daripada raja dan sultan sebagai peringatan dan bukannya melihatnya daripada sudut politik yang sempit. Janganlah menjadi si kitol yang sanggup menggadaikan segala-galanya demi mencari kesenangan sementara.

Orang Melayu perlu sedar dan memahami bahaya yang menanti mereka. Ingatlah apabila pencerobohan kecil cuba dipertahankan dengan pelbagai hujah maka, bersedialah untuk berhadapan dengan pencerobohan besar yang tidak mustahil boleh menyebabkan orang Melayu menjadi pelarian di tanah air sendiri seperti mana yang berlaku di Palestin.

/hwa: utusan.com.my/

Pas bohong rakyat mahu laksana undang-undang Islam jika perintah negara ini

UM - 1/9/10

PASIR MAS 31 Ogos - Pas telah membohongi rakyat bahawa mereka akan menubuhkan sebuah negara Islam sekiranya berjaya memerintah negara ini bersama dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ia jelas kerana kesemua pemimpin pembangkang telah menandatangani perjanjian bahawa mereka akan terus berpegang teguh kepada perlembagaan negara sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya.

Beliau berkata, perjanjian tersebut adalah berbeza dengan ceramah-ceramah yang dijalankan oleh pemimpin parti berkenaan di kampung-kampung yang menyatakan Pas berpegang teguh kepada dasarnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam dengan melaksanakan hudud.

"Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hudud kerana parti itu tidak akan dapat memerintah negara ini.

"Kalau mereka sendiri tidak dapat tubuh kerajaan dan hanya mengharapkan bantuan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), impian ini tidak akan menjadi kenyataan kerana DAP secara terang-terangan menolak hudud serta negara Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita kepada Majlis Makan Colek Perdana dan Sambutan Diambang Kemerdekaan di Tendong di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bahawa pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Pas tidak lagi meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan berdasarkan beberapa tindakannya hari ini yang berjuang hanya untuk kepentingan politik semata-mata.

"Pemimpin Pas terutama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mempertahankan segala tindakan yang dibuat oleh DAP dan PKR," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Jangan guna hujah agama berpolitik

UM - 1/9/10

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Para pemimpin Islam sepatutnya tidak menggunakan hujah-hujah yang berasaskan agama untuk tujuan politik.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata, peringatan daripada Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah perlu dijadikan iktibar kepada semua pemimpin Islam untuk kepentingan ummah.

''Kenyataan baginda sangat tepat kerana apabila berhujah, seseorang pemimpin itu perlu memastikan bahawa hujah tersebut berasaskan fakta dan untuk kepentingan umum.

''Justeru, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam di negara ini supaya bersatu serta mengutamakan kepentingan ummah dan bukannya kepentingan parti politik masing-masing,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Raja Dr. Nazrin Shah semalam menzahirkan kebimbangan terhadap umat Islam di negara ini yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca.

Titah baginda, keadaan itu berlaku disebabkan pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing bagi mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan memberitahu, titah baginda itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin parti pembangkang.

Katanya, politik mestilah berasaskan prinsip iaitu untuk mendaulatkan agama, membela bangsa dan membina negara.

''Justeru, jika ada tindakan yang melanggar prinsip, maka, seharusnya ia dijauhkan,'' katanya lagi.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar pula menyifatkan, titah Raja Muda Perak itu kena pada masanya.

''Saya berpendapat semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu perlu memainkan peranan masing-masing terutamanya dalam menyebarkan syiar Islam kepada yang bukan Islam.

''Dalam hal ini, 'neraca agama' perlu digunakan sebagai jalan penyelesaian kepada setiap masalah yang timbul,'' katanya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustafa Kamil Ayub pula berpendapat, kebimbangan Raja Muda Perak itu berasas dan setiap pemimpin perlu berhati-hati ketika berhujah dan mengeluarkan kenyataan kerana ia akan memberi kesan buruk kepada umat Islam itu sendiri.

''Kita perlukan pemimpin yang menjiwai agama serta telus dan bukannya melampau,'' kata beliau.

/hwa: utusan.com.my/

Semangat 1Malaysia terserlah - Rais

UM - 1/9/10

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada tahun ini walaupun diadakan secara sederhana di tempat tertutup, namun berjaya memaparkan semangat 1Malaysia dan agenda kerajaan dalam membangunkan bangsa Malaysia.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, walaupun mencipta sejarah kerana buat pertama kali diadakan secara tertutup, ianya mampu menyampaikan mesej secara jelas melalui pengisian persembahan yang padat khususnya semangat 1Malaysia.

"Persembahan dalam stadium (Putra, Bukit Jalil) seperti ini lebih selesa dan lebih mencernakan kehendak ramai dalam suasana yang tidak terkocoh-kocoh dan geraknya dapat kita kawal," katanya selepas sambutan kemerdekaan ke-53 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Rais berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan reaksi positif dan menganggap persembahan tahun ini cukup selesa dan penuh pengertian.

Katanya, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini yang diadakan secara tertutup bagi menghormati bulan Ramadan, di samping mewujudkan semangat kebersamaan.

Bagi Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, walaupun diadakan secara sederhana ia menghidupkan semangat kemerdekaan dan patriotisme di kalangan semua yang hadir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata, beliau berbangga dengan penyertaan anak muda dan golongan wanita.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sambutan kali ini membantu masyarakat untuk lebih memahami dasar-dasar kerajaan serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai pula berkata, beliau bangga melihat persembahan memberangsangkan terutamanya dengan penglibatan rakyat berbilang kaum.

"Komitmen kerajaan dalam NKRA, Model Baru Ekonomi dan semangat 1Malaysia telah dapat ditonjolkan melalui perpaduan dalam kepelbagaian latar belakang peserta," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Sambutan merdeka ke-53 catat sejarah

UM - 1/9/10


Tuanku Mizan Zainal Abidin, Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan tetamu kenamaan mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya ia diadakan di ruang tertutup Stadium Putra di Bukit Jalil bagi menghormati kemuliaan Ramadan.

Meskipun tanpa perarakan, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini tetap menampilkan satu persembahan yang begitu unik dan kreatif dalam menyampaikan mesej 1Malaysia sebagai penjana transformasi negara.

Tampil dengan kepelbagaian persembahan yang menakjubkan sesuai dengan tema Hari Kemerdekaan kali ini, 1Malaysia Menjana Transformasi, kehadiran kira-kira 15,000 orang bersama Jalur Gemilang dikibarkan pada acara kemuncak sambutan turut memeriahkan lagi acara sambutan.

Acara bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke stadium tersebut.

Mengiring keberangkatan baginda berdua, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim serta isteri masing-masing.

Menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) serta duta-duta asing adalah antara kenamaan lain yang turut hadir.

Dalam pada itu, semangat patriotik mula bergema ke seluruh stadium apabila kata keramat Merdeka dilaungkan tujuh kali dan diikuti dengan laungan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Keunikan amat terserlah dengan penggunaan imej, kad serta penataan cahaya yang boleh disifatkan sebagai amat mengagumkan terutama ketika memberi mesej mengenai dasar-dasar terbaru kerajaan seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta Pelan Transformasi Kerajaan.

Secara umumnya terdapat lapan segmen persembahan iaitu Gagasan 1Malaysia; Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10); NKRA; kreatif dan inovatif; Model Baru Ekonomi (MBE); kejayaan negara; kepantasan bertindak dan nyanyian lagu-lagu patriotik.

Pada setiap segmen ditonjolkan beberapa gerakan para peserta dengan digabungkan dengan koir, kumpulan bercerita berirama, imej, kad serta penataan cahaya.

Meskipun pada sambutan kali ini tidak ditonjolkan perarakan kelengkapan ketenteraan dan anggota keselamatan lain, persembahan oleh lebih 2,000 anggota tentera, polis serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia tidak kurang hebatnya.

Ini termasuk tempur tanpa senjata (TTS), gerakan anti pengganas serta kawat senyap.

Paling mencuri tumpuan ialah drama aksi terjunan dari Unit Lawan Keganasan yang cuba menyelamatkan tebusan menerusi segmen Kepantasan Bertindak.

Rais ketika ditemui selepas sambutan itu berkata, pihak kementerian amat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh semua peserta dalam menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan kali ini.

/hwa: utusan.com.my/

Seluruh negara bergema laungan 'Merdeka'

UM - 1/9/10

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 peringkat nasional dan negeri lain tetap meriah walaupun diadakan pada bulan Ramadan.

Di ALOR SETAR, sambutan kemerdekaan peringkat negeri Kedah disambut secara sederhana dan ringkas namun tetap bersemangat apabila rakyat pelbagai kaum dan agama meraikannya di Dewan Seri Negeri, Wisma Darulaman.

Sambutan kemerdekaan dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormat yang dianggotai tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Keenam, Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Tok Jalai oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu"dzam Shah.

Turut hadir ialah Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun dan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Bertitah pada majlis itu, Sultan Kedah mengingatkan rakyat agar menghargai institusi raja berperlembagaan yang menjadi pegangan penyatuan bangsa Malaysia dalam menjamin kesejahteraan dan kemakmuran hidup.

Di KANGAR, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail membebaskan 53 ekor burung merpati sebagai simbolik kemerdekaan negara daripada penjajah di sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri yang berlangsung di Taman Merdeka.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu yang berucap di majlis itu menekankan peri pentingnya ikatan perpaduan rakyat yang berbilang kaum terus dimantapkan bagi memastikan nikmat kemerdekaan negara benar-benar dirasai.

Di KLUANG, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman turut bersama penduduk di negeri itu menyambut Hari Kemerdekaan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail.

Acara kira-kira sejam itu disertai oleh 3,000 peserta daripada 81 kontinjen yang diisi dengan nyanyian lagu-lagu patriotik, deklamasi sajak dan penyampaian anugerah kepada kontinjen dan pakaian terbaik.

Di KUANTAN, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berangkat ke majlis sambutan Hari Kemerdekaan di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) yang dimeriahkan dengan perhimpunan seramai 3,060 peserta dari 51 kontinjen.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakub turut bersama rakyat negeri itu memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan di dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah menyertai perhimpunan dan perbarisan Hari Kemerdekaan peringkat negeri yang membabitkan lebih 3,000 peserta di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas.

Di SEREMBAN, sambutan kemerdekaan ke-53 peringkat Negeri Sembilan berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini dengan penuh bersemangat apabila kira-kira 3,000 rakyat pelbagai kaum termasuk 182 kontinjen dari jabatan kerajaan, sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO), meraikannya.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Di KUALA TERENGGANU, sambutan Hari Kemerdekaan diadakan malam tadi dengan mengadakan majlis tahlil dan solat hajat di masjid-masjid di seluruh negeri itu dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menghadiri majlis di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam.

Di PULAU PINANG, lebih 4,500 orang mengambil bahagian dalam perbarisan sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri yang diadakan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri.

Turut hadir pada acara itu ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

/hwa: utusan.com.my/

Demonstrasi 'cari makan'

Bernama - 1/9/10


Warga Malaysia di Indonesia menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53 dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan di perkarangan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan, semalam. - BERNAMA

JAKARTA 31 Ogos - Perkhidmatan penyediaan peserta demonstrasi yang ditawarkan di kota raya besar ini telah muncul sebagai perniagaan luar biasa serta memberi peluang kepada penganggur meraih pendapatan dan pada masa sama menimba ilmu bagaimana berdemonstrasi secara tertib.

Pihak yang memerlukan peserta demonstrasi boleh membuat pesanan untuk pakej lengkap iaitu penunjuk perasaan terlatih, pengangkutan, pemidato, peralatan sistem bunyi, sepanduk dan kenyataan demonstrasi.

Pakej yang ditawarkan sebuah organisasi bagi membekalkan peserta demonstrasi terlatih di sini dikira berdasarkan bayaran untuk sebuah bas kecil yang boleh memuatkan 30 hingga 35 peserta, iaitu antara Rupiah 1.5 juta (RM522) hingga Rupiah 2 juta (RM696).

Untuk setiap aksi, seorang peserta boleh mendapat bayaran antara Rupiah 30,000 (RM10.45) hingga Rupiah 40,000 (RM13.90) dan sebungkus nasi campur.

Seorang pengelola perkhidmatan ini yang dikenali sebagai Aji Kusuma berkata, pakej yang ditawarkannya terdiri daripada peserta terlatih, namun ada pihak lain turut menawarkan peserta demonstrasi berbayar yang tidak terlatih, selain golongan mahasiswa.

"Anggota demo ini pemuda perkotaan, biasanya mereka yang menganggur tiada pekerjaan, kita ajak, cuba buat latihan supaya bila demo, mereka tidak kosong sangat tentang pemahaman isi demo itu.

"Biasanya kalau kita mahu melakukan aksi A, beberapa hari sebelum hari A, kita sudah melakukan diskusi. Bahawa kita ke A untuk ini dan ini, kita untuk itu dan itu, jadi, kalau di lapangan ditanya orang, mereka faham semua," katanya.

Beliau berkata biasanya, bahan-bahan taklimat untuk demonstrasi diperoleh daripada pihak yang membuat pesanan.

Aji berkata organisasinya mempunyai antara 20 hingga 30 peserta di setiap kampung di kampung-kampung di Jakarta dan peserta itu akan dikumpulkan bila ada pesanan untuk aksi demonstrasi.

Katanya, peserta demonstrasi yang paling ramai pernah beliau kumpulkan ialah 3,000 orang yang dibawa menggunakan 90 bas mini.

Beliau berkata tugas yang dilakukan peserta demonstrasi hanyalah beraksi di lapangan, dan pihaknya tidak mengambil tahu sama ada ia mendatangkan hasil atau tidak, kerana perkara itu adalah urusan pihak yang membuat pesanan.

Aji berkata idea mewujudkan perkhidmatan demonstrasi timbul daripada aksi demonstrasi sebenar yang diadakan secara besar-besaran oleh mahasiswa pada era reformasi.

Aksi demonstrasi itu kemudian berkembang kepada penggunaan peserta demonstrasi berbayar untuk tujuan tertentu, seperti menjatuhkan pemimpin politik.

"Di setiap momentum politik, akan selalu ada demo dengan peserta bayaran dan kita juga tak menyalahkan apa-apa dalam transisi demokrasi, mungkin ini harus dilalui juga," katanya.

Memandangkan ramai belia yang menganggur di Jakarta, beliau berkata pihaknya berusaha mengumpulkan mereka, memberi latihan selama beberapa hari di Puncak, Bogor berkaitan pengurusan demonstrasi, pidato, analisis dan latihan amali di lapangan.

Katanya, terdapat juga pasukan khas yang diberi latihan berkaitan reka bentuk komputer dan bahasa Inggeris bagi menyediakan sepanduk dan seumpamanya.

/hwa: utusan.com.my/