5 Disember 2010

Teks Penuh Ucapan PM, Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat

Konvensyen BN 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yi ge Malaysia [Cina],…

Oray Malaysia [Tamil],…

Ndi Malaysia [kata Bidayuh],…

Ji Malaysia [kata Orang Ulu],…

Ise’ Malaysia [kata Kadazan & Dusun],…

Saumi Malaysia [kata orang Murut],…

atau kata orang Iban pula Sato Malaysia

YAB Tan Sri Muhyiddin Hj. Mohd Yassin

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional

Naib-Naib Pengerusi Barisan Nasional

Ahli-Ahli Dewan Tertinggi Barisan Nasional

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional

Menteri-Menteri

Timbalan-Timbalan Menteri

Ahli-Ahli Yang Berhormat

Presiden dan wakil-wakil dari Friends of Barisan Nasional, KIMMA, IPF, Makkal Sakti dan MIUP

Para perwakilan Barisan Nasional terdiri daripada 13 parti komponen

Para Pemerhati

Wakil-wakil media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

1.Pertama sekali, marilah kita sama-sama mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana kita semua dapat berkumpul pada pagi ini di Dewan San Choon yang indah, dalam penuh kesepakatan, dengan kebulatan tekad dan suasana yang begitu harmonis.

2.Sesungguhnya, perhimpunan pada hari ini, membuktikan kepada dunia bahawa, sebagai rakyat Malaysia, we stand united, indivisible with one purpose, that, of building a better future. Apa yang penting kepada kita, yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, semua dapat berkumpul beramai-ramai, tanpa rasa takut, tanpa rasa bimbang mahupun gundah gulana terhadap keselamatan diri masing-masing.

3.Ia sekali gus menjadikan telahan para prophets of doom and gloom yang telah meramal dan menujumkan kemusnahan Malaysia selama ini oleh sebab faktor kepelbagaian kita, terbukti salah sama sekali.

4.Sesungguhnya, walau apa warna kulit kita, walau apa anutan kepercayaan kita, walau apa pun taraf sosioekonomi dan di mana sekalipun berada, kita tetap teguh berpadu di bawah payung 1Malaysia.

5.Ternyata pula, Malaysia telah dikurniakan dengan segala nikmat dan kedamaian, sehingga kita mampu berjalan sejauh ini. Dalam keadaan banyak negara majmuk lain di dunia, ditandai dengan bermacam krisis dan konflik, jalan yang dilalui Malaysia jelas istimewa. Kita telah merintis jalan yang panjang dan berjaya menguruskan kepelbagaian yang ada dengan begitu baik.

Tuan-tuan dan puan-puan,

6.Kejayaan terbesar kita adalah menukarkan kerumitan pelbagai yang wujud atau “a potential achilles heel” kepada kelebihan persaingan atau “competitive advantage”. Di sini, sama ada kita sedar atau tidak, ia bukanlah pencapaian yang kecil mahupun lazim, sebaliknya ia adalah satu pencapaian yang amat signifikan serta begitu monumental dalam sejarah pembikinan Malaysia.

7.Pendek kata, kejayaan ini begitu mengkagumkan kerana kita tidak mengambil jalan mudah mengamalkan kaedah ‘kawah pelakuran’ atau ‘melting pot’ dalam membina sebuah negara, di mana perbezaan yang wujud terpaksa dikorbankan manakala identiti tunggal perlu pula dicipta. Waima, kita tidak pernah berusaha melenyapkan mana mana budaya, tidak juga pernah cuba menukar asal usul sesiapa. Hatta sampai sekarang ini, masing-masing bebas mengekalkan jati diri.

8.Misalnya, kalau nama Samy Vellu, tak payah tukar jadi Suhaimi atau Sazali. Kalau Chua Soi Lek, tak payah tukar jadi Salleh, So ud atau Ayoub, kalau John Ambrose tu John Ambrose lah, tak payahlah jadi Johan Ambrose. Sehinggakan, orang Asli sekalipun bebas mengekalkan identiti mereka. Bahkan, kita harus berbangga bahawa kita satu-satunya negara di dunia, membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda masing masing sebagai bahasa pengantar.

9.Ini jelas memperlihatkan bahawa, rakyat Malaysia bukan setakat toleran terhadap kemajmukan, malah kita sesungguhnya melangkah setahap lagi dengan meraikan kepelbagaian itu. Kita telah memilih jalan yang wajar dengan mengaplikasi kaedah integrasi di mana perbezaan yang unik digabungkan dalam sebuah keluarga besar, saling mengukuh dan menyokong, bukannya untuk memusnahkan identiti mana-mana bangsa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

10.Hari ini, pagi ini, sekali lagi setelah konvensyen lalu pada tahun 1995, perwakilan tiga belas buah parti komponen dari kesemua tiga belas Negeri dan Wilayah Persekutuan seluruh Malaysia, duduk berhimpun, terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan, berkumpul, dengan satu tekad, satu hati dan satu matlamat yakni untuk memastikan kesejahteraan rakyat didahulukan.

11.Tambahan pula, konvensyen kali ini berlangsung di Wisma MCA, sebagai satu tanda bahawa kita adalah rakan kongsi saksama dalam mengkhidmati rakyat. Indeed, we are committed partners in our endeavour to serve the Malaysian people.

12.Kata orang, we stand on the shoulder of giants, bapa-bapa kita selaku para pendahulu. Mereka telah merintis warisan paling agung yakni mekanisme perkongsian kuasa dan kerjasama politik antara kaum yang telah terbukti paling berkesan, paling praktikal dan kekal merentasi masa.

13.Sudah barang pasti, pendahulu-pendahulu kita adalah political geniuses yang berwawasan. Mereka telah berjaya mengatasi muslihat dan helah penjajah Inggeris dengan dasar pecah perintahnya. Secara sedar atau tidak, sepanjang tempoh penjajahan, rakyat telah diasingkan mengikut kaum dari segi tempat tinggal, jenis pekerjaan dan aliran pelajaran secara halus. Matlamat penjajah sebenar adalah, agar perbezaan ini, akan akhirnya, menyebabkan semua kaum terpaksa bergantung kepada mereka sebagai kononnya the impartial referee.

14.Jadinya, pada waktu itu, pemimpin seperti Allahyarham Dato’ Onn menyedari hakikat dan cuba mengatasinya dengan membuka keahlian UMNO kepada pelbagai kaum, namun percubaan pertama tersebut dan kemudiannya pula melalui Parti Kemerdekaan Tanah Melayu yakni IMP yang dipimpinnya juga, tidak berjaya.

15.Lalu, menyedari bahawa rakyat belum bersedia menerima sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum tetapi menginsafi bahawa inilah jalan ke hadapan untuk mencapai kemerdekaan dan membina masa depan yang lebih baik, maka, mereka telah mencipta suatu kaedah kerjasama politik dan perkongsian kuasa melalui konsep Parti Perikatan yang sangat unik dengan mengambil kira persekitaran dan realiti yang ada.

Tuan-tuan dan puan-puan,

16.Jika diimbau peristiwa lalu, benih-benih Perikatan ini telah bermula melalui kerjasama UMNO dan MCA semasa pemilihan Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Perikatan kedua-dua parti ini telah berjaya memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Kerjasama ini kemudiannya, telah diperluaskan ke peringkat nasional melalui penyertaan MIC pada tahun 1954 bagi menghadapi pemilihan Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun berikutnya.

17.Seperti pucuk dicita ulam mendatang, kaedah kerjasama politik dan perkongsian kuasa, antara kaum melalui kerjasama antara tiga parti UMNO, MCA dan MIC ini telah diterima rakyat terbanyak apabila Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihanraya tahun 1955.

18.Seterusnya, konsep dan keanggotaan Parti Perikatan ditambah baik selepas Tragedi 13 Mei 1969 apabila pintu keahliannya dibuka kepada parti-parti yang sebelum ini berada di luar. Malah ada parti-parti yang dahulunya sebagai pembangkang, telah mengiktiraf dan memilih jalan ke arah kesatuan nasional.

19.Ini kerana, mereka mempercayai bahawa, masa depan negara yang terjamin hanya mampu dibela oleh Barisan Nasional. Selanjutnya, Barisan Nasional juga mengembangkan keanggotaan kepada parti-parti di Sabah dan Sarawak, sekali gus menjelmakan era baru integrasi kebangsaan apabila Barisan Nasional menjadi jambatan politik yang merantau jauh, merentasi Laut Cina Selatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

20.Berbanding Pilihanraya Umum 2008, Barisan Nasional yang cuba dimomok-momok, sebagai sudah suram, Alhamdulillah, kini, nampaknya semakin hari sudah semakin pulih. Begitulah, episod merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri Galas telah meraih kemenangan besar. Serentak dengan itu, kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi mengaut majoriti, hampir sekali ganda, menunjukkan, sokongan rakyat kepada kita telah berputik dan mekar kembali.

21.Justeru, tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang telah membantu kita mencapai kejayaan manis semasa pilihanraya-pilihanraya kecil tersebut. Jelas sekali, ini adalah kejayaan semua pihak, kemenangan demi kemenangan milik kita bersama. Kata-kata tersohor orang Iban “Agi idup agi ngelaban”. Selagi hidup, selagi itu kita berjuang. Kata orang Bajau di Sabah pula “Mangan niak mangan, asal kurung, kurung”. Maksudnya, makan atau tidak makan, asal kita masih hidup bersama-sama. Pastinya, mengambil semangat itu, sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka, kita mesti tetap bersama demi Barisan Nasional.

Tuan-tuan dan puan-puan,

22.Memang benar, dikatakan bahawa politik itu penuh dengan percaturan persepsi dan permainan angka. Namun begitu, ia tidak akan berlaku dengan sendirinya. Sebetulnya lagi, bukan sekadar cukup dengan persepsi positif, akan tetapi kepercayaan sebenar rakyat terhadap Barisan Nasional perlulah terus dipupuk dan dibaja dengan jalan bekerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh.

23.Maka, saya ingin sentiasa mengingatkan bahawa kejayaan-kejayaan awal ini perlu dijadikan asas kepada kemenangan yang lebih memberangsangkan kelak. Dalam kata lain, jangan kita leka dan mudah terpesona. Sifirnya, untuk Barisan Nasional terus menerajui kepemimpinan negara dan negeri-negeri, setiap parti komponen perlu diperkukuh dan diperkuat.

24.Sebab itulah, pasca Pilihanraya Umum 2008, semasa merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada tahun tersebut, saya telah dengan tegas mengingatkan bahawa UMNO harus berubah atau berisiko untuk rebah. Saya membunyikan semboyan tersebut kerana menyedari empat penyakit lazim sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa.

25.Empat penyakit tersebut ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan. Hakikatnya, parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri.

26.Pertama, penyakit delusion kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan; kedua, penyakit amnesia kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal; ketiga pula, penyakit inertia yang terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan. Seterusnya pula, yang keempat, adalah penyakit arrogance yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran ramai. Sesungguhnya, semua penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah.

27.Oleh itu, tidak dapat tidak, keempat-empat gejala penyakit ini perlu dielak, dibuang jauh dan dikikis sebelum rasa sayang berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan, sokongan menjadi penentangan. Untuk bangun kembali, kita mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan tersebut secara konsisten. Itulah yang sedang kita usaha dan sedang kita lakukan. Barulah nanti akan memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan.

28.Syukur kepada Tuhan kerana kita melihat perkembangan-perkembangan positif yang memberangsangkan di dalam parti-parti komponen semenjak 2 tahun yang lalu. Perubahan-perubahan yang berlaku menunjukkan bahawa kita, sedia mendengar suara rakyat dan akan terus menggarap aspirasi mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan,

29.Sememangnya seperti yang saya sebutkan tadi, kisah-kisah kejayaan Malaysia ini terhasil tidak lain dan tidak bukan, di atas satu formula perkongsian politik antara kaum dicetus oleh our forefathers dan terserlah sebagai satu resipi penerajuan negara yang sangat mujarab.

30.Oleh itu, kita akan sentiasa mengenang jasa-jasa pemimpin utama Barisan Nasional seperti bekas Pengerusi Parti Perikatan dan Barisan Nasional iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pemimpin pemimpin parti komponen pula seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T. Sambanthan, Tun Tan Siew Sin, Tun Temenggung Jugah Anak Barieng, Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephen dan ramai lagi pimpinan pelbagai kaum yang tidak terhitung di sini, namun pasti kita tidak pernah lupakan.

31.Sehubungan itu juga, dengan perasan sedih dan rasa belasungkawa, baru-baru ini kita telah kehilangan seorang lagi negarawan tulen dan bekas pemimpin yang bersifat ikonik yakni mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu. Sesungguhnya, beliau merupakan salah seorang pemimpin yang penuh percaya kepada gagasan serta perjuangan Barisan Nasional dan mendiang telah banyak membantu parti bagi membina negara ini.

32.Pastinya segala khidmat dan bakti para pemimpin ini kekal terpahat dengan tinta emas dalam lembaran sejarah negara sebagai muliawan muliawan yang telah berjuang demi membina tamadun rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

33.Dari dahulu sampailah sekarang dan mudah-mudahan dengan izin Tuhan hingga selamanya, suara Barisan Nasional adalah suara keramat rakyat, berbicara dan berganding atas nama rakyat. Dari Perlis sampailah ke Sabah, Barisan Nasional menjiwai degupan nubari dan hati rakyat, menjadi penyambung rasa, penyambung cita, penyambung lidah serta aspirasi rakyat Malaysia.

34.Pucuk pangkalnya, Barisan Nasional telah sentiasa mendahulukan rakyat, mampu mengota apa yang dijanjikan kepada rakyat, sekali gus mengangkat negara kita ke satu tahap yang sungguh membanggakan. Hakikatnya pun, bukankah Parti Perikatan, yang telah berjuang bagi mencapai kemerdekaan? Bukankah muafakat murni ini, yang sedang mengisi kemerdekaan itu? Dan bukankah barisan ini, yang diberi mandat oleh rakyat, untuk menerajui negara?

35.Jelas sekali, orang lain hanya mampu memperdagangkan mimpi, traders of dreams, mencanangkan angan-angan, mencetak khayalan, walhal parti kita lah sebenarnya menjadi barisan pejuang tulen untuk rakyat, merchant of realities, yang berpasak di bumi, bersandarkan perancangan jitu, serta pelaksanaan kerja yang tersusun.

Tuan-tuan dan puan-puan,

36.Oleh sebab itulah, saya suka mengulang-ulangkan bahawa antara nilai paling penting yang telah menjadi penguat kepada Barisan Nasional adalah sifat kebijaksanaan, keikhlasan dan kemampuan kita, untuk memimpin berbekalkan wawasan serta kepentingan yang jauh lebih besar.

37.Kepentingan itu, adalah mewujudkan sebuah negara yang aman, stabil, maju lagi makmur di mana rendangnya, semua dapat berlindung dan berteduh, di mana limpahan nikmat alamnya, semua dapat mencari rezeki, di mana keamanannya, semua dapat membina kehidupan yang bahagia.

38.Furthermore, when the time comes where each of us can rest assured, that our children and grandchildren and in turn their children will have a better future, a higher standard of living, a better quality of live, able to realise their dreams and their God given potential.

Tuan-tuan dan puan-puan,

39.Seperti yang saya katakan, perhubungan kaum dan cara kita menguruskannya di Malaysia adalah sesuatu hal yang boleh kita banggakan. Cara kita menangani realiti kemajmukan yang wujud adalah secara realistik dan berpegang kepada prinsip universal bahawa semua makhluk dicipta sama oleh Maha Pencipta, dengan hak-hak yang tidak dapat dinafikan. Sejarah menunjukkan bahawa kita tidak pernah sekali-kali mengapi-apikan sentimen perkauman atau menjadikan rasisme teras pengurusan perhubungan kaum di negara ini.

40.Jika kita meninjau di Amerika Syarikat, kononnya sebagai negara yang dijadikan contoh kepelbagaian demokrasi pun, telah mengambil masa lama yakni 87 tahun dari tarikh pengisytiharan kemerdekaan yang menyatakan “semua manusia diciptakan sama” atau “all men are created equal” kepada emansipasi menghapuskan perhambaan. Manakala ia memakan tempoh 102 tahun lagi selepas itu, apabila semua diskriminasi dalam pendaftaran pengundi diharamkan.

41.Namun, di Malaysia ini, semenjak merdeka kerajaan tidak pun menjadikan isu kaum dan warna kulit sebagai alasan untuk menghadkan hak kelayakan mendaftar mengundi. Apatah lagi, bagi menentukan tempat duduk di restoran dan kenderaan awam, serta mengasing penggunaan bilik air, sebagaimana berlaku di negara-negara lain.

42.Lantaran itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menafikan peranan Barisan Nasional, sebagai parti pelbagai kaum sebenar, yang memperjuangkan kesejahteraan hidup antara kaum di Malaysia selama ini. Kita dianggotai oleh pelbagai jenis parti berasaskan kaum, dan ada yang bersifat pelbagai kaum. Bersatu dan bersama-sama mewakili kepentingan semua pihak. Sedangkan di pihak pembangkang, tidak terjamin suara kaum minoriti akan sampai ke peringkat perbincangan kepimpinan tertinggi mereka, simply because they, are not adequately represented.

Tuan-tuan dan puan-puan,

43.Kita adalah parti yang progresif, bersatu secara ikhlas dengan matlamat dan nilai yang dikongsi bersama. Kita bergabung secara sah dari segi undang-undang, mempunyai perlembagaan, lagu dan lambang sendiri sebagai panji-panji yang mana kita berdiri megah di belakangnya.

44.Telah terbukti, kerajaan Perikatan dan kemudiannya, Barisan Nasional, berjaya merubah sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, dalam masa hanya lima puluh tahun. Kita telah bukan sahaja berjaya menguruskan sebuah negara multi-racial dengan baik, malah, kita telah berjaya memajukan bidang sosioekonomi dan memastikan keselamatan serta ketenteraman nasional.

45.Barisan Nasional telah mencipta kemakmuran melalui rancangan pembangunan lima tahun, rangka rancangan jangka panjang, reformasi tanah besar-besaran, perang terhadap kemiskinan, dasar ekonomi baru, dasar pembangunan nasional, dasar pembangunan wawasan, dan hari ini kita telah menggariskan laluan-laluan besar seperti Government Transformation Programme atau GTP, Economic Transformation Programme atau ETP dan mutakhir adalah Political Transformation Programme atau PTP.

46.Antara contoh PTP terkini, adalah perubahan bersejarah dalam Barisan Nasional sejak ia ditubuhkan yakni berkaitan keahlian. Atas prinsip keterangkuman dan berjiwa besar, seberapa ramai rakyat, NGO, persatuan, penyokong dan generasi muda supaya dapat bersama dalam perjuangan ini, maka kita bersetuju untuk mewujudkan empat jenis keahlian baru. Pertama, keahlian secara bersekutu; kedua, keahlian secara bergabung; ketiga, friends of Barisan Nasional dan keempat, kelab rakan muda Barisan Nasional. Kita akan terus bergerak dan berusaha agar dasar keahlian terus Barisan Nasional ini akan menjadi realiti yang membawa manfaat kepada parti dan rakyat.

47.As a matter of fact, we have never rested on our laurel or taken things for granted. We have toiled together with our constituency of one and many, you the people. These are exciting times, these are interesting and challenging times. We are a nation and a people at the crossroad of history, on the verge of the promised future.

48.Ladies and gentlemen, the clarion call of manifest destiny is beckoning upon us to bring this great nation, Malaysia, to its fullest potential, to take its’ rightful place in the community of nations with dignity and pride, holding our head up high, thankful in the blessings of providence.

Tuan-tuan dan puan-puan,

49.Apa yang menghairankan, adalah parti pembangkang cuba mendakwa bahawa merekalah pembawa obor perubahan dan pembaharuan. Betulkah begitu? Bahawa merekalah kononnya manifestasi demokrasi dan segala yang demokratik. Betulkah begitu?

50.Apa yang jelas, parti pembangkang cuba meniru kita dari segi kerjasama. Pada hemah saya, usaha ini sia-sia sahaja, kerana mereka tidak mempunyai ramuan keikhlasan, wawasan dan nilai yang dikongsi bersama. Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat atau atas nama apapun yang dicipta adalah hanya percubaan-percubaan pembangkang yang hendak bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan kerana masing-masing bersikap talam dua muka. Simpulan bahasa menyebut, mereka ini, telunjuk sahaja lurus tapi kelingking berkait.

51.Antara DAP dan PAS misalnya, hanya boleh tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Mereka nampak seolah-olah bersatu semata-mata kerana ada orang ketiga. Maksud saya, kalau dahulu Parti Melayu Semangat 46, hari ini peranan tersebut diambil alih Parti Keadilan Rakyat. Sejarah jelas menunjukkan kerjasama seumpama ini tidak akan berpanjangan, kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu atau menyeleweng rakyat.

52.Mereka juga mendabik dada kononnya, sebagai parti demokratik yang mewakili semua kaum. Realiti sebenarnya jauh berbeza. Lihat sahaja parti PKR, daripada barisan tujuh orang kepemimpinan tertinggi mereka, hanya seorang sahaja, yang mewakili kaum Cina. Manakala kaum India yang membentuk keahlian kedua terbesar dengan lebih satu perlima ahli, tidak mempunyai seorang pun perwakilan di peringkat tertinggi parti.

53.Contohnya lagi, apabila UMNO memperkenalkan corak pemilihan kepemimpinan yang baru mereka pun nak meniru juga. Kita faham mungkin mereka ikut kata pepatah Inggeris “imitation is the best form of flattery”. Tampak jelas, apabila kita buat perubahan dan pembaharuan politik yang bersifat dalaman, ia telah menggerunkan mereka, sehingga kelam-kabut dan melilau ingin menciplak. Pengajarannya di sini, kalau ada orang mahu meniru, sudah tentu apa yang sedang kita lakukan ini, ada kebenarannya.

54.Lagipun, jika hanya 7 peratus, yakni lebih kurang 30,000 orang dari kononnya ratusan ribu ahli parti yang merasa terpanggil dan bertanggungjawab, untuk keluar memilih barisan kepemimpinan mereka, maka, ia membawa dua konotasi.

55.Pertama, parti ini adalah parti yang tidak mendapat sokongan massa. Maksud saya, kepemimpinan parti ini sebenarnya hanya mewakili kepentingan tertentu yang mengejar kuasa serta terikat untuk menyelesaikan masalah peribadi sehingga sanggup memperdayakan rakyat. Berhati-hatilah semua, berwaspadalah semua, mereka ini amat-amat merbahaya. Mereka sanggup menjual apa sahaja, termasuk memburukkan nama Malaysia di luar negara. Saya mahu jelaskan di sini bahawa, mereka ini anti nasional. Kita mesti tentang habis-habisan dan pastikan negara ini tidak akan diporak peranda oleh kegiatan durjana mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan,

56.Konotasi kedua adalah integriti dan kewibawaan parti tersebut sebenarnya disangsikan oleh ahli-ahli mereka. Ahli-ahli mereka sendiri yang telah mengamuk, tidak berpuas hati, memberontak, kecewa, membuat kecoh, membaling kerusi dan ramai yang telah membawa pelbagai isu parti ke mahkamah. Selain itu, amat pelik bin ajaib, keputusan pemilihan boleh berubah dengan drastik, lantas mencemarkan kebolehpercayaan kepada proses yang dijalankan.

57.Laginya, seperti kita tahu dan terpampang di dada-dada akhbar, ramai pimpinan utama mereka sendiri yang telah keluar dari parti antara lain ialah Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Ketua Penerangan, Pengerusi Negeri, Ketua Cabang termasuk Cabang Permatang Pauh, Bekas Timbalan Ketua Menteri 5 orang ADUN dan 5 Ahli Parlimen. Lantaran itu, amatlah pantas jika PKR itu kita katakan sebagai Parti Keluar Ramai-Ramai.

58.Baru-baru ini pula, tampaknya PKR menjadi begitu terdesak untuk meraih simpati rakyat sehinggakan Presidennya terpaksa mengutarakan, bahawa, Ketua Umum mereka adalah anugerah Tuhan. Ya, kita faham kesetiaan dan kekaguman seorang isteri terhadap “ke…he..ba..tan” suaminya itu. Namun rakyat Malaysia ingin bertanya, berdasarkan nas atau hadith mana pendapat itu boleh dibuat? Berbekalkan justifikasi hukum atau istinbat mana sehingga penyataan begini sanggup dikeluarkan?

59.Adakah ini ijtihad baru atau lebih tepat sebenarnya satu lagi ajaran songsang. Cukup-cukuplah sandiwara dan drama yang songsang-songsang itu! Saya harap rakyat janganlah mudah terpengaruh dengan perkara yang karut-marut seperti ini. Mustahak untuk diingat, bukanlah rakyat yang bertanggungjawab untuk menyelesai dan menanggung beban pemimpin. Sebaliknya, pemimpinlah yang wajib hadir dalam kehidupan rakyat bagi menyelesaikan masalah mereka. Tuan-tuan dan puan-puan, inilah perbezaan paling ketara dan besar antara kita dan parti lawan kerana Barisan Nasional adalah parti sebenar yang merasai denyut nadi dan menjuarai keluh-kesah rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

60.Hakikatnya, ketiga-tiga parti lawan kita yang mendakwa bersifat pelbagai kaum ini, merekalah parti yang didominasi oleh satu kaum sahaja. Jika adapun kaum-kaum lain, hanyalah bersifat token atau sekadar kosmetik. Sebenarnya, mereka bukan Pakatan Rakyat tetapi hanyalah pakatan tiga empat kerat rakyat, atau tiga empat kepala, atau tiga empat orang sahaja.

61.Lebih tepat dikatakan, mereka adalah parti dua buah keluarga dengan satu pihak lagi sekadar menjadi pak turut atau kuda tunggangan. Di sinilah lainnya dengan konsep Barisan Nasional yang memang dari segi hakiki dan maknawinya benar-benar berdasarkan perkongsian sejati rakyat dengan mengiktiraf realiti kepelbagaian kaum.

62.Di dalam sistem Barisan Nasional, setiap parti mempunyai perwakilan yang sama rata dalam Dewan Tertinggi, tidak kira parti itu besar atau kecil. UMNO mempunyai perwakilan yang serupa dengan parti-parti komponen yang lain. Paling mustahak, semua keputusan dibuat secara musyawarah dan konsensus. Ini bagi menjamin, walaupun sebahagian parti yang menganggotai Barisan Nasional adalah berasaskan kaum, akan tetapi, kepentingan semua, tetap dipelihara, dilindungi, diambil kira dan terus dipertahankan sampai bila-bila.

63.Hal yang sebaliknya berlaku di sebelah sana, keputusan pemilihan parti lawan baru-baru ini menyaksikan Ketua Umum, Presiden dan Naib Presiden parti datang dari satu keluarga. Sungguh lucu rasanya apabila mereka pula yang berani menuduh kita sebagai pengamal nepotisme. Saya nak tanya, siapakah pengamal nepotisme yang sebenar di sini? Seperti kata Legal Maxim, justice must not only be done it must seen to be done. Moreover, it must not only be proper it must also be seen to be proper.

Tuan-tuan dan puan-puan,

64.Satu lagi parti pula adalah parti Anak Beranak Sendirian Berhad. Dengan hegemoni dua dinasti, satu keluarga dengan kuasa, dan satu lagi keluarga tanpa kuasa, actually, all are merely ceremonial. Sebabnya, dalam sistem parti ini Setiausaha Agung lebih berkuasa daripada Pengerusi. Mereka ini, tak henti-henti berkokok dan menjerit mendakwa parti mereka adalah berbentuk pelbagai kaum.

65.Namun begitu, jika dikaji daripada senarai kepimpinan pusat, kita dapat lihat, orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk hampir enam puluh tujuh peratus rakyat, hanya setakat mempunyai dua orang wakil. Lebih dahsyat lagi, kelompok Bumiputera Sabah dan Sarawak langsung tidak diwakili. Adakah itu namanya demokrasi dan parti bersifat terbuka?

66.Dari sebab itu, saya berpendapat parti ini seharusnya mengamalkan apa yang mereka khutbahkan. They should uphold what they so sanctimoniously preach to others with righteous indignation. Di sini, saya ingin katakan kepada mereka, mengakulah, bersikap teluslah. Jika didedahkan statistik kepimpinan serta keahlian sebenar parti mereka mengikut kaum, maka sangat terang lagi bersuluh, bahawa, merekalah parti satu kaum yang menjadikan cauvinisme sebagai falsafah perjuangan dari dahulu sampailah sekarang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

67. Di sudut yang lain pula, kalau kita lihat tentang PAS, amat pelik jika diamati, apabila PAS sebagai sebuah parti yang kononnya mendokong pegangan menurut ajaran Islam, boleh pula bekerjasama dengan para pembohong besar, pemalsu dokumen-dokumen, petualang bangsa dan pengkhianat negara. Apa yang boleh kita katakan, adalah sepatutnya PAS bertindak lebih bijak dari itu dan menyedari hal tersebut serta eloklah saja terus berpegang teguh kepada apa yang kononnya menjadi prinsip mereka selama ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

68.Bercita-cita untuk menjadi parti pemerintah bagi sebuah parti politik bukanlah perkara yang luar biasa, namun yang perlu direnungkan oleh rakyat ialah kesannya kelak. Rakyat mesti sedar dan faham bahawa parti-parti lawan ini mempunyai maksud yang tidak ikhlas, sangat oportunis dan penuh hipokrasi.

69.Kita tahu, mereka teringin sangat nak ada pejabat di Putrajaya, teringin sangat nak tinggal di Seri Perdana. Kerana itulah, mereka sanggup berbuat apapun, hanya untuk merampas kuasa dan dari semasa ke semasa bersifat biadab, rakus lagi haloba. Dalam hal ini, seluruh Malaysia tahu, bahkan satu dunia tahu bahawa angan-angan 16 September oleh pihak pembangkang telah menjadi satu pembohongan terbesar dalam sejarah politik tanah air.

Tuan-tuan dan puan-puan,

70.Berbanding dengan Barisan Nasional, kita tidak pernah mengambil apa-apa langkah semata-mata kerana ianya popular tanpa memikirkan secara mendalam akibat jangka panjang kepada rakyat yang telah menaruhkan kepercayaan mereka kepada kita.

71.Kesimpulan yang boleh dibuat, Barisan Nasional adalah parti yang bertanggungjawab. Barisan Nasional adalah parti yang melaksanakan amanah rakyat. Barisan Nasional adalah parti di mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan pengharapan. The people can trust us to do, not only what is right, but what is in their best interest, and what is in the best interest of this beloved nation of ours.

72.Selanjutnya, sebagai pemimpin, saya mahukan semua dalam Barisan Nasional hendaklah memikirkan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan diri sendiri. Saya ingin memetik satu falsafah Cina yang sangat sesuai dijadikan pengajaran kepada kita. Dalam bahasa Mandarin berbunyi:

“Xian tian xia zhi you er you, hou tian xia zhi le er le ”

(“先天下之忧而忧,后天下之乐而乐” )

Saya difahamkan ia bermaksud “Selesaikanlah masalah rakyat sebelum kesusahan menimpa mereka, Bahagiakanlah hidup rakyat sebelum semua dapat hidup bahagia“.

73.Itulah syarat-syarat yang diwajibkan seorang mahaguru dan ahli falsafah pada zaman Dinasti Sung beribu tahun dahulu kepada pemimpin yang hendak mentadbir negara. Saya berpendapat, bahawa, walaupun ajaran tersebut sudah muncul sekian lama, tetapi, ianya sangatlah sesuai dijadikan pegangan para pemimpin Barisan Nasional yang mendahulukan rakyat dan mempertamakan kepentingan rakyat.

74.Satu falsafah dalam bahasa Tamil pula, menyeru dengan tegas supaya kita berjuang dengan sepenuh jiwa bagi memastikan kemenangan. Dalam bahasa Tamil disebut:

“Yipadai thorkin, yeapadai vehlum”

(Ertinya: “If this team cannot win the battle, no other team can”).

This is the team, this is the Barisan Nasional team!

“Yipadai thorkin, yeapadai vehlum”

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

75.Pokoknya, kita telah meletakkan asas-asas konkrit yang perlu untuk membawa Malaysia ke arah status negara maju berpendapatan tinggi menjelang fajar 2020. Pada waktu itu nanti, kita ingin semua bangsa menjadi maju. Orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Kadazan, orang Murut, orang Dusun, orang Iban, orang Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh termasuk orang Siam dan semua suku kaum yang ada untuk menikmati sinar bahagia, dalam negara Malaysia yang maju.

76.Di sinilah tanah tumpah darah kita, di sinilah, kita dilahirkan dan dibesarkan, di sinilah kita menghirup udara segar sebagai nikmat dan rahmat dari Tuhan, di sinilah kita hidup aman merdeka dan di sinilah satu hari yang ditakdir dan ditentukan kelak, kita akan kembali menemui Yang Maha Esa dan dipusarakan.

77.Makanya, mahu tidak mahu, jangan sekali-kali biarkan apa yang telah kita bina dan bangunkan selama ini diruntuhkan oleh puak-puak yang hanya ingin memenuhi nafsu serakah dan tamakkan kuasa semata-mata. Oleh sebab itu, walau apa pun terjadi, kita perlu pertahankan Putrajaya bukan kerana ego atau kepentingan diri yang sempit, akan tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

78.Simbol kapal layar dan kini dacing sebagai logo parti kita adalah perlambangan Barisan Nasional sebagai bahtera gagah serta neraca keadilan yang akan terus menakhoda Malaysia ke ambang kejayaan. Justeru, saya berdiri dan berpidato sebagai Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua kaum, ingin berpesan, janganlah terpukau oleh helah pihak pembangkang yang penuh tipu daya, janganlah sekali-kali menumpang atau menaiki sampan rosak dan bocor, pakatan palsu mereka, yang makin hanyut dilanda badai.

Seperti diingatkan dalam pantun Melayu:

Kalau belayar perahunya senget,

Memang susah hendak kemudi,

Usah berharap guruh di langit,

Kilat memancar hujan tak jadi.

79.Oleh itu, kepada semua saya mengajak;

Marilah bersama-sama barisan yang telah terbukti jasanya ini,

marilah mempertahankan masa depan tanah air kita daripada ancaman pendusta dan pelelong nusa,

marilah membina sebuah masa depan yang lebih baik bukan sahaja untuk kita, tetapi untuk anak-anak kita dan juga anak-anak mereka,

tampillah, seluruh pemuda-pemudi negara,

di sini dan di luar sana,

dengan tangan terbuka, kita ingin menyambut semua,

inilah saat dan waktunya, bergerak bersama saya, berjuang dalam barisan,

menumpah khidmat, menggembleng kudrat.

Dakaplah barisan ini, yang selama lima dekad telah mencipta kejayaan bagi rakyat Malaysia.

Dukunglah barisan ini, dengan kepercayaan baru apabila tiba masanya nanti.

Moga-moga ditunjang sokongan saudara dan saudari, rakyat Malaysia, kita bakal menempa lima puluh tahun lagi yang lebih gilang-gemilang.

80. We will always put you, the people first in our priority, in our heart and our every action,

we shall stand by and with you, for we are part of you, and for you,

we are born out of your yearning for a better life and for a better future.

Barisan Nasional will always fight for your welfare and your wellbeing, every step of the way in this great national journey of ours.

This, is our promise to you, the people of Malaysia.

Let there be enough food on the table,

decent roof above every head,

well paying jobs for all who want to work,

a country where everybody feels safe and secure,

access to quality and affordable healthcare,

an education system that is able to optimise the potential of each and every Malaysian.

Let us go forth and strive for a developed and prosperous Malaysia with opportunities for all, a nation standing tall among the community of nations.

History has proven that Barisan Nasional has always delivered on its commitment and we will continue to deliver,

we have upheld your trust in us, and, we will continue to do so.

81. Bersatu dan bermuafakat, pasti membawa rahmat. Barisan Nasional, barisan menjuarai rakyat.

barisan perpaduan,

barisan keamanan,

barisan kemakmuran,

barisan 1Malaysia.

Dengan kata-kata semangat itu, saya merasmikan Konvensyen Barisan Nasional tahun 2010.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

/hwa: http://umno-online.com/

Konvensyen Barisan Nasional 2010

DATUK Seri Najib Razak menyampaikan ucapan di Konvensyen Barisan Nasional di Dewan MCA, Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Yazit Razali. Dec 5, 2010 11:22 am

Piagam baru BN berteras 1Malaysia dilancar

Bernama - 2010/12/05

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan piagam baru berteraskan gagasan 1Malaysia yang antara lain memaparkan keazaman untuk memberi penekanan kepada usaha mempereratkan lagi hubungan antara kaum.
Piagam itu yang dilancarkan di akhir konvensyen sehari BN di Wisma MCA di sini turut memberi penekanan kepada usaha mencegah dan menentang segala bentuk ekstremisme dan rasisme demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk berteraskan gagasan IMalaysia.
Piagam BN itu dibacakan oleh Setiausaha Eksekutif BN Datuk Abu Khamis sambil diikuti oleh 2,340 perwakilan, sebelum piagam itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN untuk ditandatangani.
Piagam berteraskan tujuh perkara itu turut memberi penekanan untuk menjunjung keluruhan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat sebagai warganegara, mengiktiraf kesaksamaan rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan sebuah masyarakat yang aman, stabil, makmur dan selamat.
Selain itu, piagam BN turut menekan usaha memajukan ekonomi negara melalui peningkatan daya saing, di samping memberi komitmen terhadap pembahagian ekonomi yang adil dan mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalak penyertaan semua kaum dalam setiap bidang ekonomi dengan seimbang demi memastikan nikmat kemakmuran dan kekayaan negara dapat dikecapi bersama.
Prinsip piagam keempat juga memaparkan ikrar BN untuk menjamin pendidikan berkualiti untuk semua, memperkasakan pembudayaan ilmu pengetahuan sebagai asas pembentukan modal insan yang berketerampilan serta memastikan pendidikan kebangsaan menjadi wahana utama pembentukan insan yang mulia demi pengukuhan nasional.
BN turut berikrar untuk meneruskan tradisi membela rakyat dengan mengutamakan pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial, peningkatan infrastruktur asas yang menyeluruh, serta menjadikan peningkatan kualiti hidup rakyat sebagai penanda aras utama pretasi kerajaan BN.
Piagam BN itu turut menekankan perlunya untuk memantapkan institusi keluarga, menggalakkan penyertaan wanita, belia, orang kurang upaya dan isi rumah secara berkesan dalam pembangunan muda dan masyarakat sivil sebagai rakan utama dalam pembinaan negara.
Prinsip ketujuh piagam BN menyaksikan BN berikrar untuk mendukung prinsip tadbir urus yang baik dan menolak amalan rasuah, menyokong dan membantu meningkatkan integriti dan kecekapan agensi kerajaan, dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menghayati konsep "Rakyat Didahulukan" sebagai asas pewujudan kerajaan yang mengutamakan pencapaian dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat. -- BERNAMA

/hwa: bharian.com.my/

BM - 5/12/10

KUALA LUMPUR: Amanat dasar yang disampaikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak ketika konvesyen BN hari ini wajar menjadi peringatan terutama kepada pemimpin muda dan generasi muda yang berjuang dalam BN.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, berkata peringatan mengenai empat sifat atau kelakuan yang buruk iaitu khayalan (delusion), kelupaan (amnesia), kejumudan (intertia) dan keangkuhan (arrogance) adalah gejala negatif yang perlu segera diatasi.

"Oleh itu, berteraskan dan berpaksikan kepada realiti dan berpijak di bumi yang nyata, saya harap Pemuda BN akan dapat menggalas tanggungjawab ini dan menyampaikan pesanan itu kepada generasi muda," katanya ketika ditemui selepas perasmian Konvensyen BN di Wisma MCA di sini, hari ini.

Katanya, generasi muda perlu diberikan penjelasan mantap mengenai peranan dan tanggungjawab BN yang kini satu-satunya pilihan terbaik pada kalangan orang muda untuk mengemudikan negara ini ke arah masa depan yang lebih baik.

"Berbanding dengan pembangkang yang disifatkan sebagai saudagar mimpi yang menjanjikan segala bentuk kemudahan kepada rakyat tetapi sebenarnya tidak mampu dan tidak boleh tunaikan janji itu," kata Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata amanat yang dilaungkan Perdana Menteri seharusnya dijadikan azimat bagi jentera BN untuk membuat persdiaan mantap bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

"Dalam ucapan tadi Pengerusi menekankan tentang empat penyakit yang sering melanda parti yang telah lama memerintah.

"Ia seharusnya menjadi ingatan kepada BN dengan merapatkan barisan pada ketika ini dan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang agar apa yang berlaku pada 2008 tidak berulang," katanya.

Rosnah berkata, jentera pergerakan Puteri yang sedar dengan keperluan untuk berubah, kini giat mendekati pengundi muda dalam usaha memenangi hati golongan itu melalui pelbagai program khusus yang dijalankan di semua bahagian.

"Puteri sudah bersedia dengan bilik gerakan dan kita juga telah mengatur langkah dan mengenal pasti pengundi-pengundi muda yang akan jadi kumpulan sasaran kita.

"InsyaAllah, ini akan berterusan dan kita baru sahaja tamat dengan fasa pertama dan telah memulakan fasa kedua awal bulan ini dengan giat mendekati akar umbi," kata Rosnah.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata walaupun disampaikan dalam pelbagai bahasa bagi menggambarkan kepelbagaian kaum di negara ini, kata-kata Perdana Menteri itu membawa satu matlamat dan ia berjaya menyuntik semangat baru kepada perwakilan muda khususnya.

Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, rakyat seharusnya bijak menilai pakatan pembangkang yang tidak mempunyai hala tuju walaupun bersepakat, dan kembali memilih BN sebagai parti yang menjaga kebajikan semua kaum.

"Saya terharu dengan ucapan Najib tadi...kita harus ambik iktibar dengan pilihan raya lalu dan perlu lebih bersemangat serta tidak putus asa memperbaiki kelemahan untuk memberi kemakmuran terutama menyelesaikan masalah rakyat," katanya. - BERNAMA

/hwa: bharian.com.my/

Majlis Fatwa mahu bukan Islam henti peralat ayat al-Quran

MM - 5/12/10

SEPANG 4 Dis. - Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebulat suara mahu perbuatan orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran secara sewenang-wenangnya dihentikan bagi mengelak timbul keresahan dan perpecahan dalam masyarakat.

Dalam satu muzakarah khas, jawatankuasa tersebut memberikan nasihat dan teguran kepada seluruh masyarakat termasuk bukan Islam bahawa teks suci al-Quran tidak boleh digunakan untuk kepentingan tertentu termasuk bagi tujuan peribadi dan politik.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, meskipun ulama tidak melarang orang bukan Islam membaca al-Quran, namun situasi semasa membabitkan tindakan beberapa pemimpin bukan Islam parti pembangkang menghuraikan teks kitab suci itu telah menimbulkan kekeliruan dan merenggangkan hubungan di kalangan umat Islam sendiri.

''Semua mufti melahirkan rasa tidak setuju dengan situasi yang berlaku sekarang dan perkara yang berlaku sejak 2009 termasuk isu orang bukan Islam memasuki rumah ibadat orang Islam dan terbaru tindakan Ahli Dewan Negeri Hutan Melintang, S. Kesavan membaca terjemahan petikan ayat al-Quran secara salah.

''Justeru kita mengambil langkah menggunakan kaedah 'sad zaraik' iaitu mencegah atau mengelakkan keraguan, maka kita rasa elok elakkan menggunakan teks al-Quran di atas pentas politik dengan kepentingan tertentu apatah lagi membaca maksud al-Quran secara tidak tepat.

''Mentafsirkan al-Quran tidak boleh dibuat secara sambil lewa atau spontan di atas pentas ceramah tetapi perlu ada kaedah tertentu yang mesti difahami daripada awal," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas mempengerusi muzakarah khas tersebut di Hotel Pan Pacific Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Sebanyak 10 ahli panel muzakarah tersebut hadir termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang juga Setiausaha Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Muzakarah khas yang berlangsung selama empat jam itu juga meneliti semua rakaman siri ucapan pemimpin bukan Islam yang membaca dan menghuraikan terjemahan teks al- Quran selain reaksi daripada umat Islam tentang perkara itu.

Kesavan dilaporkan membacakan terjemahan yang salah membabitkan ayat 190 dan 191 dari Surah Ali-Imran ketika sesi perbahasan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2010 baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming juga dilaporkan membaca petikan ayat suci al-Quran ketika berceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Perak tahun lalu.

/hwa: utusan.com.my/

'Pemilihan PKR kelihatan kurang demokrasi'

MM - 5/12/10

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini disifatkan bukan sahaja tidak menepati apa yang diuar-uarkan iaitu membawa PKR menjadi parti yang terbuka dan moden, sebaliknya dilihat melemahkan parti itu apabila ia berlangsung dalam keadaan kelam- kabut.

Malah artikel majalah The Economist bertarikh 2 Disember bertajuk 'Nurul, sebagaimana yang dulu' yang disiarkan di versi online majalah itu menyifatkan pada satu keadaan, pemilihan secara setiap ahli, satu undi hanya meletakkan parti itu kelihatan kurang demokrasi.

Tambah artikel itu, kemenangan Nurul Izzah Anwar, anak kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga memberi peluru kepada pihak lawan.

''Sudah menjadi Ahli Parlimen pada umur awal, 30 tahun, beliau dipilih pula sebagai salah seorang daripada empat naib presiden parti itu.

''Dengan bapanya pemimpin de facto PKR dan ibunya presiden parti, satu lagi ahli keluarga Anwar yang diangkat (ke jawatan tinggi) pasti memberi tanggapan bahawa PKR milik dinasti (keluarga Anwar).

''Ini tentunya bukan suatu transformasi yang mahu dipaparkan pemimpin utama parti itu,'' kata artikel tersebut yang menggunakan tajuk kecil 'Pembangkang jaring gol sendiri dengan kecacatan pemilihan'.

Di akhir artikel berkenaan turut menyifatkan tsunami politik 2008 tidak mungkin akan berulang pada pilihan raya umum akan datang berikutan pelbagai keadaan semasa yang melanda PKR dan Ketua Pembangkang itu.

Kata artikel itu, pembangkang yang mencatatkan keputusan memberansangkan pada 2008 sehingga menidakkan penguasaan dua pertiga kerajaan, namun kini di pihak kerajaan, luka akibat keputusan pilihan raya lalu semakin pulih dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali mengukuhkan kedudukan.

Berikutan itu kata penulisnya, ini menyebabkan ada pihak mencadangkan supaya Najib mengambil peluang daripada kelemahan PKR sekarang supaya mengadakan pilihan raya mengejut.

''Itu tidak mungkin berlaku. Namun dengan perbicaraan liwat kedua Anwar masih berterusan di mahkamah, ditambah dengan perpecahan dan dakwaan berlaku penipuan (pemilihan), sukarlah bagi mereka untuk mencetuskan kecemerlangan seperti tsunami politik 2008,'' ujar artikel itu.

/hwa: utusan.com.my/


Ketuanan peti undi?

MM - 5/12/10

ISTILAH ‘ketuanan’ ialah terjemahan daripada dominance dalam bahasa Inggeris. Jika dominate’ bererti mengenakan pengaruh pengawalan yang sangat kuat, ‘tuan’ pula - menurut Kamus Dewan - boleh bererti pemilik abdi atau pemilik apa saja seperti yang boleh difahami daripada perkataan tuan punya.

Ia juga bererti ketua atau orang berpangkat. Di zaman kolonial British di negara ini, pegawai British dipanggil tuan. Dalam sesetengah jabatan kerajaan, seperti Polis, Tentera, Bomba dan Perhutanan, rujukan kepada ketua tertentu masih kekal dengan ‘tuan’.

Justeru itu, pada keseluruhannya ‘ketuanan’ membawa pengertian ‘pengawalan’, di satu pihak, dan ‘pemilikan’, di pihak yang lain. Sebenarnya ‘ketuanan Melayu’ telah lama dipakai. Pemakaiannya menjadi lebih lantang dalam tahun 1987 apabila seorang calon yang bertanding untuk mendapat tempat dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO tahun itu menjadikan ‘ketuanan Melayu’ sebagai tema kempennya.

Beliau bukan setakat berkempen di Malaysia. Di Singapura, demi mendapat kesan media yang baik, beliau juga dapat mengumpulkan satu audiens untuk mencanangkan konsep itu menerusi bahasa Inggeris, iaitu Malay Dominance. Malangnya, beliau kandas dalam persaingan MT itu.

Saya percaya tema kempen beliau itu tidak disenangi oleh beberapa pihak, terutama pihak elit bukan Melayu. Seorang penulis bernama K.Das (kini mendiang) telah menghasilkan sebuah buku menentang konsep itu. Disebabkan di kalangan orang Melayu sendiri konsep itu tidak menjadi sesuatu yang membahangi hati nurani mereka, maka ia dengan sendiri menjadi dingin.

Ia bertambah dingin apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri melahirkan reaksi yang mencemek konsep itu. Apa yang hendak didominasi kalau kita lemah dalam banyak lapangan, kata Dr. Mahathir. Namun begitu, kini ‘ketuanan Melayu’ menjadi satu gegaran pula.

Oleh itu suara-suara dan artikulasi yang dipenuhi bahang semangat Melayu didengari secara meluas, tidak kurang

dalam media perdana Melayu. Mana-mana pihak yang mempertikai, atau menunjukkan tanda-tanda mempertikai konsep ini, mereka nampaknya akan menjadi sasaran artikulasi yang agresif.

Melihat daripada perspektif yang bebas, artikulasi begitu kini secara relatif dicetuskan oleh perkembangan politik semasa. Seperti yang diketahui, politik bererti seni dan sains berkerajaan. Disebabkan oleh struktur rakyat negara ini mengandungi bangsa dan pelbagai kaum, maka seni dan sains itu dipercayai boleh mengancam struktur itu, jika kerajaan persekutuan yang wujud sejak 1955 itu berubah.

Popular

Maka logiknya, mempastikan teguh dan tegapnya ketuanan Melayu di negara ini adalah sesuatu yang rata-rata popular dan dekat dengan hati Melayu. Oleh itu sebarang artikulasi yang kontra, seperti yang ditunjukkan oleh Wan Azizah, Presiden PKR, boleh menarik reaksi dentingan yang keras.

Membuat jengukan kepada media - perdana dan bukan perdana - menunjukkan sikap yang berbeza dalam liputan masing-masing. Media perdana bersikap kritis terhadap beliau, sedangkan media bukan perdana bersikap sama ada tidak berpihak atau pro Wan Azizah. Inilah indahnya Malaysia yang mengamalkan demokrasi. Pada asasnya, kedua-duanya merupakan usaha memujuk rakyat agar memberikan sokongan dan undi dalam pilihan raya yang akan datang.

Walau apa pun pertimbangannya, kuasa politik dalam sistem demokrasi tulen mengalir daripada peti undi, tidak seperti inti kata pemimpin besar komunis, Mao Tse Tung: “Kuasa datangnya dari laras peluru!" Dengan kata-kata lain, ‘ketuanan Melayu’ harus mengambil kira peti undi kerana di situlah ketulenan demokrasi Malaysia akan diukur oleh dunia. Kalau bukan begitu, Malaysia akan mendapat perhatian yang tidak betul sebabnya.

Alternatif kepada demokrasi peti undi ialah junta seperti di Burma yang hari-hari terakhirnya sudah tertulis jelas ditembuk-tembuk. Ia sudah ketinggalan zaman dan bukan menjadi fesyen lagi. Chile, Brazil, Argentina, Uruguay dan lain-lain lagi di Amerika Selatan, di samping sesetengah negara Afrika, yang pernah menjadi pengilham kepada Burma dulu, sudah menjadi demokrasi tulen. Negara-negara itu kini melahirkan kekesalan kenapa mereka terjerumus ke dalam junta tentera yang anti-demokrasi.

Saya telah melawat negara China secara rasmi. Kebanyakan pegawai tingginya bukan ahli parti komunis. Mereka tahu China akan berkerajaan demokrasi seperti negara-negara Amerika Syarikat, Eropah Barat malah Rusia, tetapi mahu beredar ke situ secara bertangga-tangga, takut kalau-kalau China menjadi lumpuh (collapse) seperti yang dialami Rusia pada awal-awal ia berpindah daripada Soviet Union.

Maka China kini berkerajaan komunis tetapi mengamalkan sistem demokrasi dalam sebahagian besar kehidupannya, terutama amalan aktiviti ekonomi yang ditentukan oleh kuasa pasaran.

Kalau dulu statistik ekonominya mengandungi angka mereka di garisan kemiskinan yang sama rata, kini ia bangga dengan jumlah bilionair yang hanya dikalahkan oleh jumlah bilionair di Amerika Syarikat dan beberapa buah negara lain.

Bertolak dari itu, China - satu-satunya negara besar komunis yang masih tinggal - akan memeluk demokrasi peti undi sebagai ketuanan kuasanya tidak berapa lama lagi. Mereka sudah sedar tidak ada institusi ‘lembu suci’ yang ada sekarang, baik bergelar Pengerusi atau Presiden, yang boleh mengatasi institusi peti undi.

Disebabkan institusi peti undi menjadi penentu pembentukan kerajaan di Amerika Syarikat (satu-satunya ‘superpower dunia kini) Rusia, Jepun, India dan negara-negara besar Eropah Barat, maka sebarang negara yang cuba memomokkannya, ia akan menjadi sasaran yang menggerunkan, dan akan berakhir seperti berakhirnya Iraq di bawah Saddam Hussein.

Inilah realiti global atau ‘borderless world kini yang tidak boleh dielakkan. Orang Yahudi sudah lama mengetahui hakikat ini. Mereka sejak dulu telah membuktikan dominasi (dominance) mereka di Amerika Syarikat dengan cara menentukan kemenangan dan corak kerajaan di peti undi. Itulah sebabnya Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, tidak gentar dengan amaran Barack Obama.

Dominasi hanya wujud apabila ada pengiktirafan. Seorang yang berada tidak akan menerima dominasi orang yang tidak berada. Pemain bola dan badminton yang berbakat tidak akan menerima kepimpinan pemain medioker. Seorang yang berpendidikan tinggi dan lebih efisien tidak boleh akur kepada seorang yang kurang daripadanya. Seorang penerima rasuah tidak dimuliakan oleh pemberi rasuah. Seorang taukeh ikan (seperti di kampung saya, Beserah, dalam tahun-tahun 1950-an) amat disenangi 100 nelayan kerana taukeh itu menjadi sumber kewangan mereka, maka mereka menerima dominasinya.

Berdasarkan apa yang digariskan di atas, dengan ‘pengisian’ yang baik dan dihormati, Ketuanan Melayu atau Malay Dominance tidak akan menjadi satu isu nasional. Maka artikulasi yang boleh mengakibatkan polarisasi bangsa dan kaum akan menjadi tidak relevan.

/hwa: utusan.com.my/

Diperguna atau langsung tidak berguna

MM - 5/12/10

MINGGU lalu laman web MalaysianInsider menyerang saya melalui tajuk berita “Chinese MPs slam Ridhuan Tee‘s publicity stunt”. Wartawan web ini meminta pendapat ahli-ahli Parlimen ultra kiasu DAP, tidak ketinggalan Ketua Pemuda MCA.

Saya dituduh menggunakan identiti Cina untuk menyerang saudara sebangsa saya. Jahat sekali tuduhan biadab ini. Namun, saya tidak hairan dengan tuduhan emosi wanita itu dan juga sekutunya.

Mereka mungkin mendapat maklumat melalui pelajar-pelajar yang mengikuti Seminar Pemimpin Muda di Parlimen baru-baru ini. Dalam forum tersebut, saya mengatakan segelintir golongan ultra kiasu akan menjadi penghalang kepada program tranformasi kerajaan, jika mereka dibiarkan berleluasa. Hujah saya, golongan ini tidak pernah puas dan sentiasa mempertikaikan perkara-perkara sensitif.. Semua yang dilakukan oleh kerajaan salah. Mereka sahaja yang betul.

Mereka menuduh saya dipergunakan. Kadang kala, fikir punya fikir, elok juga dipergunakan, sekurang-kurangnya kita dapat merasakan diri kita berguna. Daripada tidak dipergunakan, menunjukkan diri kita langsung tidak berguna. Mungkin Ahli Parlimen tersebut merasai sedemikian. Apa pun, saya tidak begitu bodoh untuk dipergunakan oleh orang Melayu, apatah lagi UMNO.

Saya boleh menyertai UMNO jika saya mahu, sebab saya adalah Melayu dari segi perlembagaan, perkara 160 (2), tetapi saya tetap Cina dari segi penciptaan oleh Allah Yang Maha Kuasa. Saya lebih memilih memberikan pandangan akademik daripada berpolitik. Saya menjunjung surah al Hujurat ayat 13 mengenai kejadian berbilang bangsa oleh Allah untuk kita saling mengenali antara satu sama lain. Yang paling mulia di kalangan kita adalah orang yang bertakwa, bukan bangsa atau keturunannya. Allah tidak akan tanya kita di akhirat nanti, apa bangsa kita. Tetapi yang akan ditanya, siapa Tuhan kamu, siapa Nabi kamu dan apa agama kamu. Persoalan bangsa sudah tidak wujud apabila berhadapan dengan Rabbul Jalil.

Mesej saya jelas, hanya menyeru orang Melayu Islam bersatu, sebagaimana bangsa saya bersatu atas nama bangsa. Saya tidak menyeru Melayu bersatu atas nama Melayu. Bodohlah saya, kerana saya adalah orang Cina. Tetapi saya menyeru bersatu atas nama Islam kerana Melayu beragama Islam. Apabila Islam berada di atas, semua boleh duduk sekali, tidak kira Melayu, Cina, India mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak atau mungkin juga makhluk lain. Kerana semuanya diciptakan Allah SWT. Saya tidak mahu umat Islam berpecah-pecah sehingga ultra kiasu atau DAP menangguk ikan di air yang keruh atau menahan lukah di pergentingan.

Jika tidak tahu adab, belajar dan bergaul dengan orang Melayu lebih lama. Kenali hati budi mereka. Orang Melayu, bangsa yang saya kenali amat lembut dan beradab sopan. Namun, jangan ambil kesempatan atas ‘kelemahan’ tersebut. Nilai-nilai Islam telah menyantuni mereka. Itulah yang menjadi mereka dapat memberi dan menerima, sehingga terlalu banyak memberi, sedikit sahaja yang diterima, tetapi mereka tetap menerima. Ditakdirkan Melayu masih tidak Islam sehingga ke hari ini, bagaimanakah kedudukan kita hari ini?

Kenapa kita perlu mengungkit perkara sensitif tersebut. Sedangkan kewujudannya tidak sama sekali menggugat kedudukan kita. Apakah dengan adanya perkara 3 (1), 152, 153, dan sebagainya menjadikan kita miskin dan papa kedana? Apakah istilah atau laungan ketuanan Melayu telah melahirkan begitu ramai hamba di kalangan kita? Tidak juga. Ringkasnya, sama ada ketuanan Melayu wujud atau tidak, keadaan tidak banyak berubah. Yang kaya bertambah ramai, yang miskin terus merubah hidup. Tidak ada apa yang menghalang. Jadi, di manakah isu sebenarnya kalau bukan mencari publisiti murahan?

Bayangkan jika dahulu, ketika penghijrahan berlaku, orang Melayu menggunakan kekerasan, memaksa kita mengasimilasikan diri kita menjadi Melayu, sudah tentu hari ini kita sudah menjadi minoriti di Thailand, Indonesia dan Filipina, yang langsung tidak mempunyai identiti bangsa sendiri melainkan telah diserapkan ke dalam identiti majoriti. Berlainan sekali dengan negara tercinta ini. Kita tidak ada beza langsung dengan negara asal kita dalam apa jua aspek sekalipun, melainkan berlainan negara dan perlembagaan sahaja. Inilah ‘asimilasi’ perlembagaan yang saya cadangkan tetapi sengaja disalahfahamkan.

Membangkitkan

Malangnya, kita bukan sahaja menolak ‘asimilasi’ tersebut, amalah secara sengaja membangkitkan isu-isu sensitif, malah terus menuntut supaya sekolah, universiti, bandar, akhbar, televisyen, radio, nama jalan, nama lebuhraya dan lain-lain lagi berasaskan identiti bangsa supaya diperbanyakkan. Sekiranya dibenarkan, sudah tentu ia akan menenggelamkan identiti penduduk pribumi. Tindakan sebegini akan mengundang perasaaan tidak puas hati.

Apa yang saya lihat pada hari ini, orang Melayu hanya boleh berbangga dengan peruntukan perlembagaan pada teorinya sahaja. Realiti dan perlaksanaannya, tidak banyak kelihatan atau lebih kepada ilusi. Mereka hidup serba sederhana, bukan tidak ada yang kaya, tetapi lebih sibuk untuk mengahwini artis. Pendek kata, di Tanah Melayu, identiti Melayu tidak mendominasi. Tidak ada sekolah Melayu atau universiti Melayu. Jika adapun contoh yang selalu dihujahkan ultra kiasu adalah UiTM. Itupun tidak banyak membantu, kerana graduan ini mungkin hanya popular dalam sektor kerajaan tetapi tidak sektor swasta. Sektor swasta yang dikuasai bukan Melayu, mereka lebih berminat dengan graduan-graduan universiti tertentu sahaja.

Apapun berlaku, bukan Melayu tidak rugi kerana mereka sudah pergi jauh meninggalkan orang Melayu, terutama dalam aspek ekonomi dan penguasaan kekayaan. Inilah faktor utama yang menyebabkan orang boleh menguasai dunia. Yang rugi orang Melayu, sudahlah ketinggalan serba serbi, asyik bergaduh dan berpecah tidak habis-habis. Mungkinkah sehingga kucing bertanduk?

Saya yakin, apabila artikel ini disiarkan, saya akan dituduhkan merosak program kerajaan seperti gagasan 1Malaysia dan program tranformasi. Kenapa kita katakan bahawa kewujudan puak ultra kiasu DAP ini juga menimbulkan masalah program kerajaan kerana selalu menimbulkan rasa tidak puas yang boleh menggugat ketenteraman? Orang Cina tidak perlu risau dengan setiap penulisan saya dalam Mingguan Malaysia. Saya tidak bahaya, apatah lagi membahayakan bangsa saya sendiri. Jika ada orang Cina yang dianiayai oleh bangsa lain, saya akan tampil membela.

/hwa: utusan.com.my/

Bisik-Bisik Mingguan: Musibah 2

MM - 5/12/10

KEANGKUHAN Anwar, Wan Azizah dan Azmin Ali mahu ketuanan Melayu dihapuskan mengundang reaksi lebih panas. Tiada siapa terkejut, itu memang strategi Anwar untuk melonjakkan lagi sokongan bukan Melayu agar cita-citanya menjadi Perdana Menteri tercapai.

Seandainya beliau berkuasa, kes liwatnya yang kini sentiasa cuba ditangguhkan (pecah rekod dunia), dapat digugurkan. Maka terselamatlah Anwar.

Lebih mengukuhkan strateginya ialah kenyataan ketua pembangkang itu untuk melantik pemimpin DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Yang terperangkap akhirnya ialah Pas. Para pemimpin parti itu mula berbalah. Ada yang menentang dan ada yang memang pro-Anwar dan DAP seperti Nik Aziz Nik Mat, menyokong.

Awang hairan Pas yang lebih berpengaruh berbanding PKR dalam mendapatkan sokongan akar umbi umat Islam dan orang Melayu untuk pakatan pembangkang, dinafikan sumbangan.

Mengapa Presiden Pas, Hadi Awang atau mana-mana pemimpin Pas tidak layak menjadi Timbalan Perdana Menteri? Padahal pemimpin Pas lebih wajar menjadi Perdana Menteri berbanding Anwar, yang tidak layak menerajui kerajaan kerana isu moral.

Seorang pemimpin muda Pas yang anti Anwar - Kit Siang selalu menarik perhatian Awang agar merenung wajah ketua pembangkang itu, jernihkah atau keruh? Awang tidak pandai hal seperti itu dan tidak teruja pun untuk merenung. Tetapi persoalan yang cuba disampaikan apakah Pas sanggup membiarkan negara menghadapi musibah besar angkara menyokong pemimpin jenis itu? Songsanglah Malaysia jadinya. Sejarah Islam seharusnya menjadi pedoman, bukan untuk dibiarkan berulang.

/hwa: utusan.com.my/

Berkuasa di atas kelemahan Melayu

MM - 5/12/10

DI bangku sekolah dulu saya berminat dalam hal-hal pengguna selalu kena tipu oleh peniaga. Para pembaca juga sepanjang hidup masing-masing tentu pernah berasa ditipu oleh peniaga, lebih-lebih lagi setelah kembali ke rumah dan melihat barang dibeli tidak mencapai keadaan apa yang disangkakan.

Oleh kerana pengalaman seumpama ini, maka saya memandang serong kepada para peniaga, kecil dan besar. Saya berasakan bahawa peniaga sentiasa mencari jalan untuk menipu pelanggannya, walaupun mereka juga adalah pengguna dan turut sering ditipu.

Tidak ada siapa yang boleh melepaskan diri daripada peniaga. Keperluan kehidupan menghendaki seseorang itu menjadi pengguna dan justeru itu memerlukan peniaga.

Tambahan pula untuk menyara hidup, semua orang secara langsung dan tidak langsung turut menjadi peniaga. Walaupun makan gaji tentulah syarikat tempat seseorang itu bekerja menjalankan perniagaan.

Hatta kakitangan kerajaan juga hidup atas dana cukai yang dikutip daripada dunia perniagaan. Begitu juga dengan badan-badan sukarela, mereka terpaksa juga bergantung kepada dunia komersial. Tidak ada siapa yang dapat melepaskan diri daripada dunia perniagaan.

Justeru pandangan serong terhadap dunia perniagaan yang dilihat sebagai penuh tipu daya menjadikan saya cenderung kepada fahaman kiri. Iaitu sentiasa mencurigai sistem pasaran bebas, kapitalisme dan liberalisme. Tetapi saya sedar bahawa manusia tidak mempunyai pilihan lain untuk mencapai kemakmuran selain daripada melalui dunia perniagaan.

Dalam agama pun, orang Islam diajar bahawa rezeki paling besar adalah dari perniagaan. Tetapi ajaran agama ini disertakan dengan amaran keras terhadap para peniaga yang menipu.

Maka dari dahulu saya berpendapat bahawa kerakusan para peniaga mesti diimbangkan dengan gerakan persatuan pengguna. Kalau persatuan pengguna lemah, maka bermaharajalelalah para peniaga.

Justeru masa saya tingkatan empat iaitu pada tahun 1975 saya melanggan akhbar Utusan Pengguna. Untuk itu saya sekaligus menjadi ahli Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Lambangnya adalah dacing sebagai tanda keadilan bagi pengguna.

Saya ingat ketika mula Barisan Nasional ditubuhkan, Utusan Malaysia menyiarkan jawapan kepada persoalan seorang pembaca yang mempertikaikan bahawa lambang BN sebagai meniru logo CAP.

Lambang

Maka disiarkan lambang-lambang itu untuk menunjukkan perbezaan antaranya, walaupun kedua-duanya adalah dacing.

Pada tahun 1993, ketika menjelang Perang Teluk yang pertama, saya berkesempatan menyertai rombongan persatuan-persatuan Malaysia untuk ke Baghdad, Iraq sebagai tamu Presiden Saddam Hussein.

Dalam rombongan itu turut serta ialah Presiden CAP, SM Idris . Itulah pertama kali saya bertemu dan mengenalinya dari dekat.

Sejak itu, ketika mana saya ke Pulau Pinang saya akan bertemu dengannya. Begitu juga bila beliau datang ke Kuala Lumpur, saya akan cuba berjumpa dengannya.

Pada tahun 2007 ketika sibuk isu perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, beliau datang ke pejabat Utusan bersama aktivis ekonomi global, Martin Khor di mana Mingguan Malaysia mengetengahkan hujah-hujah mereka mengenai isu itu.

Sebelum hari raya tempoh hari, SM Idris meminta saya datang ke Pulau Pinang untuk bertemunya. Dengan kesibukan yang amat sangat, saya agak keberatan untuk memenuhi permintaannya.

“Pentingkah?” saya tanya pegawainya. “Amat penting,” jawabnya.

Maka beberapa minggu lalu saya pun ke Pulau Pinang untuk menemuinya dan ingin mengetahui apa yang dianggap sebagai penting.

Di depannya, beliau menyerahkan sebuah buku bertajuk The Armies of God. A Study of Militant Christianity oleh Iain Buchanan terbitan Citizen International.

Saya pernah melihat buku ini di kedai Popular di Kuala Lumpur tetapi tidak membacanya. Beliau juga memberi saya beberapa tulisan tambahan yang ada kaitan dengan Malaysia.

Memang benar. Penting dan mengejutkan apabila isinya ditelaah.

Buku ini memaparkan pakatan antara golongan sekular dan agama di Amerika Syarikat untuk terus menguasai dunia sebagai lanjutan kepada penjajahan yang dahulu.

Dalam pertemuan dengannya, SM Idris menyatakan kehairanannya mengapa akhbar Melayu tidak menjadi akhbar paling untung di negara ini.

Saya kata mungkin orang Melayu bukan bangsa perniagaan. Dunia perniagaan dikuasai oleh kaum bukan Melayu. Justeru tentulah akhbar bukan Melayu yang lebih menguntungkan kerana mereka berisi dengan iklan yang dibeli oleh peniaga.

Bukan begitu, kata SM Idris. Bukanlah ahli perniagaan yang menentukan keuntungan. Tetapi para pengguna. Apa yang disebut sebagai pasaran adalah sebenarnya pengguna.

Majoriti pengguna di Malaysia adalah orang Melayu. Perniagaan di negara ini bergantung untung ruginya pada orang Melayu.

Sesiapapun yang berniaga di negara ini perlu mendapatkan sokongan pengguna Melayu. Untuk mendapatkannya tentulah melalui iklan. Maka sepatutnya akhbar Melayu yang lebih untung.

Selanjutnya SM Idris memberi dua petua yang mana orang Melayu boleh berjaya dan bukan seperti sekarang di mana bangsa ini dilanda dengan pelbagai masalah.

Dua perkara yang menyebabkan orang Melayu lemah dan dikuasai kaum lain ialah rasuah dan pemborosan.

Rasuah dan pemborosan ini menjadikan orang Melayu sebagai pengguna yang memberikan kekayaan kepada kaum lain.

Kalaulah orang Melayu dapat mengelak diri daripada rasuah dan bersikap jimat cermat, maka ia akan menjadi kuat.

Menurutnya kekuatan ekonomi kaum lain di negara ini antara lain berdiri atas rasuah dan pemborosan orang Melayu.

Mampukah orang Melayu berhijrah sikap?

/hwa: utusan.com.my/

Kontroversi 100 pemikir dunia

MM - 5/12/10

APABILA majalah Foreign Policy mengeluarkan senarai 100 pemikir terbaik dunia, kali kedua dalam edisinya, ia menimbulkan persoalan yang pelbagai. Mungkin kerana majoriti penerima anugerah ini masih terdiri dari pemikir Barat yang menguasai kedudukan teratas dan teramai dalam senarai.

Bagaimanapun semua mereka yang tersenarai telah menzahirkan pemikiran dan kecenderungan mereka dalam mewujudkan dunia yang lebih baik dengan cara mereka yang tersendiri sama ada dari sudut politik, ekonomi, kepimpinan mahupun agama. Namun untuk berlaku jujur senarai kali ini dilihat agak berbeza apabila beberapa pemimpin syarikat teknologi yang banyak membantu memudahkan kehidupan manusia turut tersenarai.

Mendahului senarai teratas adalah dua orang terkaya dunia, Warren Buffet dan Bill Gates. Namun sumbangan mereka kali ini bukan diiktiraf kerana kekayaan yang dimiliki tetapi melalui sumbangan wang ringgit untuk dunia yang lebih baik. Semua sedia maklum bahawa kekayaan kedua mereka ini sahaja mencecah AS$101 bilion (RM313 bilion) tetapi kekayaan mereka ini nyata tidak menggelapkan hati mereka.

Kedua-dua mereka ini telah mengembara hampir ke seluruh dunia untuk berjumpa tokoh-tokoh perniagaan dan bilionair dunia dalam usaha memujuk mereka menyertai apa yang dipanggil kelab Great Givers.

Penubuhan Yayasan Gates nyata telah membuka hati Buffet yang berikrar untuk menyerahkan 99 peratus asetnya untuk kegiatan kebajikan sejak 2006. Manakala Gates sendiri telah mengeluarkan lebih AS$2 bilion (RM6.2 bilion ) setahun untuk membaik pulih pembangunan kesihatan awam di seluruh dunia.

Memandangkan dunia kini semakin hilang minat terhadap pertubuhan dunia yang jelas semakin hilang arah tujuan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), apa yang ditawarkan melalui Yayasan Gates dilihat sebagai satu alternatif yang berbeza.

Beliau menawarkan kesediaan dan bantuan syarikat-syarikat besar, usaha membantu mewujudkan dunia yang lebih baik dengan meningkatkan tahap kesihatan dan pendidikan di seluruh dunia. Sehingga kini 40 bilionair dari seluruh dunia telah menyatakan persetujuan untuk terlibat dalam usaha ini dan dijangka lebih AS$600 bilion (RM ) dapat dikumpul dalam menjayakan misi ini.

Ditempat kedua, juga terdiri dari dua orang merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan perjalanan kewangan dunia iaitu Dominique Strauss-Kahn dan Robert Zoellick. Kahn merupakan Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) manakala Zoellick adalah Presiden Bank Dunia.

Peranan kedua-dua pusat kewangan ini menimbulkan banyak syak wasangka dan serampang dua mata seperti yang berlaku kepada Malaysia ketika krisis kewangan 1997 serta yang berlaku di Ireland ketika ini dalam usaha menyelamatkan ekonomi mereka.

Sumbangan

Namun usaha kedua-dua tokoh ini telah diiktiraf berdasarkan sumbangan dalam mengelakkan apa yang dipanggil “keadaan ekonomi menjadi lebih buruk” di negara-negara seperti Pakistan, Greece dan Hungary.

Negara-negara ini merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi 2008 namun kini semakin pulih walaupun pelan bantuan ekonominya dilihat banyak merugikan negara-negara berkenaan.

Kedudukan seterusnya dilihat mampu memulihkan imej Presiden Barack Obama yang kini terpalit “dakwat merah” akibat kehilangan pengaruh di negaranya sendiri walaupun diterima baik oleh negara-negara lain. Namun apa yang berlaku di negaranya akibat keadaan ekonomi yang merudum bukanlah sesuatu yang boleh dielakkan, apatah lagi jika ia diwarisi dari kepimpinan dungu sebelumnya yang bertindak hanya untuk kepentingan kelompok tertentu.

Tempat keempat diduduki Zhou Xiaochuan yang juga Gabenor People’s Bank of China yang bertanggungjawab menaikkan ekonomi negara itu selain turut terlibat dalam menentukan kedudukan ekonomi dunia secara tidak langsung.

Seterusnya adalah Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat, Ben Bernanke, kedudukan yang mungkin boleh dipertikaikan berdasarkan keadaan ekonomi semasa manakala tempat keenam pula jauh lebih membanggakan dengan pemilihan Menteri Luar Brazil, Celso Amorim yang bertanggungjawab memacu status dan kedudukan negara itu ke kedudukan tertinggi di peringkat antarabangsa.

Pemikir seterusnya adalah antara orang yang bertanggungjawab menjadikan peranan Turki sebagai antara negara yang perlu diberi perhatian di peringkat antarabangsa. Menteri luarnya, Ahmet Davutoglu adalah orang yang lantang menggunakan kedudukan negara Islam yang sekular dalam menjalin hubungan yang lebih rapat antara Barat dan dan dunia Arab.

Kedudukan sebagai Jeneral pemerintah di Afghanistan telah melayakkan David Petraeus menduduki tempat ke lapan walaupun hakikatnya ia lebih kepada memporakperandakan negara itu manakala tempat seterusnya juga boleh dipersoalkan kewibawaannya apabila Setiausaha Pertahanan, Robert Gates dikatakan mampu memperkasakan kekuatan tentera AS pada alaf-21.

Pemikir ke 10 pula adalah satu-satunya wanita yang menduduki tempat teratas senarai dan dengan peranan yang dilakukan sebagai Canselor Jerman, Angela Merkel dilihat layak untuk menduduki tempat tersebut.

Kontroversi

Tempat seterusnya memang membanggakan terutama apabila tokoh kontroversi di sebalik penubuhan Pusat Islam berhampiran tapak bekas Pusat Dagangan Dunia di New York, Imam Feisal Abdul Rauf terpilih memandangkan peranan beliau dalam mewujudkan pemahaman yang lebih baik dalam perbezaan antara agama.

Lebih membanggakan kedudukan ini dikongsi bersama dengan bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg yang berbangsa Yahudi yang pernah memberi kenyataan bahawa penduduk Islam adalah sebahagian dari AS.

Mungkin dilihat kedua mereka adalah satu pasangan yang pelik namun usaha mereka dalam mewujudkan keharmonian antara agama wajar dipuji dan dipelihara.

Bagi kedudukan lain antara yang menarik perhatian adalah bekas presiden bersama isterinya yang juga Setiausaha Negara AS, Bill dan Hilliary Clinton menduduki tempat. Peranan mereka diiktiraf bersandarkan kepada peranan penting yang dimainkan selain membuktikan tidak perlu menjadi presiden untuk bertindak sebagai presiden.

Spekulator ekonomi George Soros turut tersenarai dengan menduduki tempat ke 15, walaupun dunia mengenali beliau sebagai orang yang bertanggungjawab dalam krisis ekonomi pada 1997. Namun usaha yang menaikkan nama Yahudi kelahiran Hungary itu adalah dengan pemberian AS$100 juta (RM310 juta) kepada Human Right Watch pada September lepas, sesuatu yang mungkin dilihat sebagai agenda untuk memanipulasi pertubuhan itu mengikut selera Barat.

Seterusnya berkongsi di tempat ke 17 adalah Ketua Pegawai Eksekutif Amazon dan Apple, Jeff Bezos dan Steve Jobs. Penerimaan mereka di dalam senarai ini dilihat sebagai di luar jangkaan namun usaha mereka diiktiraf kerana meluaskan usaha pembacaan melalui penciptaan mereka melalui e-reader. Amazon's Kindle dan iPad dilihat sebagai teknologi masa depan dalam memudahkan manusia meluaskan pembacaan.

Begitu juga dengan penyenaraian pengasas Google, Sergey Brin and Larry Page yang menduduki tempat ke 21. Selain membantu memudahkan urusan berjuta-juta manusia melalui Google kedua mereka diiktiraf kerana keberanian melawan kerajaan China dengan mengancam untuk keluar dari negara itu selepas berlaku satu percubaan serius untuk menceroboh sistem komputernya oleh penggodam kerajaan tersebut.

Selain itu, Perdana Menteri Palestin Salem Fayyad melalui usaha membawa pembangunan selain kepercayaan bahawa akan wujud sebuah negara Palestin yang merdeka telah meletakkan dirinya di senarai 23 pemikir terbaik dunia.

Termasuk dalam senarai adalah empat veteran politik AS seperti Henry Kissinger, Sam Nunn, William Perry dan George Shultz. Keempat-empat mereka ini yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Negara, Senator dan Setiausaha Pertahanan telah bersungguh-sungguh memperjuangkan dunia tanpa nuklear untuk hidup yang lebih sempurna.

Demikian antara senarai 100 pemikir terbaik dunia namun ada bukan semua yang bernasib baik untuk tersenarai semula tahun ini. Pastinya orang yang paling malang adalah pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terkeluar walaupun menduduki tempat ke-32 tahun lepas.

/hwa: utusan.com.my/

Bisik-Bisik Mingguan: Musibah 1

MM - 5/12/10

KENYATAAN Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail berhubung suaminya, Anwar Ibrahim adalah anugerah tuhan, insan terhebat dan paling layak memimpin negara ini, terus dipersoalkan.

Paling lantang berbuat demikian ialah bekas-bekas pemimpin PKR terutama yang mengenali rapat dan mengetahui banyak rahsia Anwar.

Lantas isu tersebut menjadi perbualan dan tidak kurang momokan. Ada yang bertanya mengapa Wan Azizah tidak berani menyebut perkataan anugerah Allah sebaliknya sekadar menyebut anugerah tuhan. Persoalannya, tuhan siapa?

Tidak kurang yang menyifatkan Anwar sebagai ujian dan bukannya anugerah tuhan. Menurut reaksi ramai termasuk dalam blog, Anwar mungkin anugerah kepada Azizah tetapi bukan kepada rakyat negara ini apatah lagi umat Islam.

Pemimpin yang berdepan dengan isu moral yang serius, isu integriti, mengkhianati bangsa dan ghairah mendapatkan campur tangan asing, tidak layak dianggap anugerah Allah. Tanyalah kepada Saiful Bukhari Azlan (pengadu kes liwat) dan beberapa lagi, apakah Anwar suatu anugerah atau musibah.

/hwa: utusan.com.my/

1 Disember 2010

Pemilihan UMNO ditangguh

UM - 1/12/10


Muhyiddin Yassin menyatakan sesuatu kepada Najib Tun Razak semasa Perdana Menteri tiba di ruang legar Menara Dato’ Onn untuk mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Nov. – Pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang sepatutnya berlangsung tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.

Ketetapan itu dibuat oleh MT yang bermesyuarat malam ini dan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, penangguhan berkenaan bukannya perkara luar biasa kerana ia dibenarkan perlembagaan parti selain pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini.

Najib turut menafikan penangguhan itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum sebaliknya menjelaskan ia bagi membolehkan seluruh perhatian serta tenaga pemimpin dan ahli UMNO terarah kepada usaha pemantapan parti

“Kita tidak mahu tahun depan dan berikutnya dijadikan medan pergelutan politik yang boleh timbulkan perbalahan dalam parti walaupun kita percaya ia boleh dibendung dan tidak berlaku keadaan tertekan sebagaimana parti politik lain.

“Kita nak UMNO tumpu kepada pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan model baru politik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini malam ini.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan UMNO akan mewajibkan semua Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat cawangan menghadiri kursus khas bermula tahun depan.

Katanya, kursus berkenaan akan melibatkan lebih 50,000 pemimpin UMNO di peringkat akar umbi dan akan diadakan dalam masa beberapa bulan akan datang.

“Ini ekoran kenyataan saya sebelum ini bahawa kita akan terus melakukan perubahan berdasarkan model baru politik yang saya telah digariskan dengan tujuh prinsip.

“Ia adalah untuk menerangkan mengenai gagasan 1Malaysia dan bagaimana UMNO mendahulukan kepentingan serta kebajikan rakyat dan konsep pencapaian diutamakan dari sudut sistem penyampaian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata mesyuarat MT turut mengambil maklum perkembangan semasa selain menerima laporan kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi, baru-baru ini.

“Umum berpendapat perkembangan kini menjurus kepada keadaan yang lebih positif, ini mungkin disebabkan langkah-langkah yang diambil kerajaan menampakkan sedikit sebanyak kejayaan dan penambahan keyakinan rakyat.

“Ini diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya kawasan tersebut dengan kemenangan dan majoriti yang bertambah, sehubungan itu proses memantapkan UMNO akan diteruskan dengan melakukan transformasi politik,” tegasnya.

/hwa: utusan.com.my/

Pelik ketuanan Melayu ditolak

UM - 1/12/10

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Dua bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memulangkan darjah kebesaran serta ganjaran yang diperoleh hasil keistimewaan orang Melayu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang membuat cabaran itu berkata, beliau berasa pelik dengan tindakan Anwar yang menolak ketuanan Melayu kerana beliau merupakan pejuang utama konsep itu sewaktu menjadi Ketua Pemuda sehingga ke Timbalan Presiden UMNO.

"Mereka (Anwar dan Azizah) tidak layak menerima darjah kebesaran itu. Anwar begitu hipokrit kerana beliaulah yang mewujudkan konsep ketuanan Melayu sewaktu bersama UMNO dahulu.

"Tetapi kini, dia menolak ketuanan Melayu. Adakah Anwar berasa kesal kerana tidak lagi berkuasa dan mahu menghapuskan konsep tersebut?" katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap segelintir pihak yang berhijrah ke negeri itu, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan juga peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya Ahad lalu berikrar untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu.

Anwar dalam ucapan penggulungan di hari terakhir kongres PKR itu memperlekehkan konsep ketuanan Melayu serta usaha-usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera.

Zahrain berkata, sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan dahulu, ramai kroninya mendapat layanan istimewa atas dasar Melayu termasuk anak emasnya yang kini Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

"Masa dia (Anwar) berkuasa dahulu banyak kawan dia yang mendapat keistimewaan atas dasar orang Melayu. Tetapi kini bila tidak lagi berkuasa konsep yang diperjuangkan olehnya itu ditentang. Ini pemimpin yang hipokrit dan cakap tak serupa bikin," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin turut mencabar Anwar menyerahkan kembali darjah kebesaran yang diterimanya daripada raja-raja Melayu.

"Dulu ketuanan Melayu cukup kuat dipertahankan, tetapi hari ini Anwar mempertikaikan konsep itu. Ini satu politik cakap tidak serupa bikin.

"Kenapa sekarang nak pertikai selepas memperkayakan diri, keluarga, kawan-kawan dan kroni-kroninya melalui konsep tersebut. Kalau Anwar ada maruah dia harus serah balik semua anugerah dan darjah kebesaran yang diterimanya," katanya.

Beliau berkata, Anwar juga tidak layak untuk menerima anugerah dan darjah kebesaran kerana Penasihat PKR itu merupakan bekas banduan.

"Dia (Anwar) sendiri sudah tidak layak kerana merupakan bekas banduan. Saya ingat masa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dipenjarakan, Anwar antara orang yang kuat mendesak supaya ditarik balik darjah kebesaran diterima Rahim kerana dipenjarakan," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Kenyataan Wan Azizah boleh timbul keresahan

Bernama - 1/12/10

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengenai konsep "Ketuanan Melayu" sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kenyataan itu juga menimbulkan keresahan dan polemik pada kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Hanya kerana pertimbangan politik, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah dengan sengaja mempersenda orang Melayu dengan mendakwa parti itu menolak hak dan kedudukan orang Melayu yang selama ini telah diterima oleh semua pihak.

"Sekiranya tiada mana-mana pihak sengaja mengipaskan sentimen perkauman, isu ini tidak akan timbul," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata kenyataan tersebut jelas menunjukkan pembangkang sengaja mahu mengelirukan rakyat dengan maksud sebenar ketuanan Melayu.

"Ketuanan Melayu bukanlah untuk menjadikan Melayu ini "Tuan". Selama berpuluh tahun Umno membawa perjuangan ketuanan Melayu, tidak ada satu bangsa pun yang ditindas atau menjadi hamba.

"Semua pihak dapat melihat begitu ramai bukan Melayu yang menikmati kemajuan pesat negara, malah dalam banyak keadaan kaum bukan Melayu meraih kek ekonomi yang lebih besar berbanding orang Melayu. Orang bukan Melayu dibiarkan bebas menentukan nasib mereka sendiri tanpa batasan," katanya.

Hishammuddin berkata, kenyataan Dr. Wan Azizah itu juga menunjukkan pucuk pimpinan PKR sanggup melakukan apa saja demi meraih sokongan rakyat tanpa mengambil kira impaknya kepada proses pembangunan negara dalam jangka panjang.

"Saya ingin bertanya kepada Wan Azizah dan pimpinan PKR, adakah mereka turut menolak institusi raja-raja Melayu? Apa yang ditimbulkan oleh PKR jelas sekali cuba untuk merendah-rendahkan konsep ketuanan Melayu. Kita tidak mahu institusi Kesultanan Melayu turut direndah-rendahkan," katanya.

Beliau juga menyifatkan ideologi yang dibawa kepimpinan PKR khususnya menerusi Penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim menyamai konsep Malayan Union yang cuba diperkenal penjajah dan ditolak kerana meminggirkan peranan serta sumbangan sultan dan raja-raja Melayu.

"Tindakan beliau (Anwar) ternyata sengaja menidakkan Perlembagaan dan Undang-undang negara," katanya. - BERNAMA

/hwa: utusan.com.my/

Penasihat PKR cuba raih sokongan Cina

UM - 1/12/10

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Para penganalisis politik percaya pengumuman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas memenangi pilihan raya umum nanti adalah satu retorik.

Pensyarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman meminta Anwar supaya membuktikan kebolehannya sebelum menaburkan janji-janji kosong.

"Anwar sepatutnya lebih baik berusaha untuk mendapatkan sokongan masyarakat dan menawan Putrajaya seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Jika beliau gagal melakukannya atau tidak memenangi pilihan raya umum akan datang, beliau hanya berdepan dengan situasi yang kurang senang dan malu dengan apa yang dijanjikan sebelum ini,'' jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pada Jumaat lalu, Anwar dalam wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily berjanji untuk memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Kit Siang jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Kit Siang berperanan membantu tugas-tugas Perdana Menteri yang sudah semestinya akan dipegang oleh Anwar.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Anwar sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina bagi menghadapai pilihan raya umum yang dijangka pada tahun depan.

"Lagipun, berdasarkan pemilihan PKR baru-baru ini, kita boleh lihat bahawa sokongan bukan Melayu terhadap PKR sudah mula terhakis.

"Barangkali untuk meraih semula sokongan bukan Melayu, beliau cuba menjanjikan jawatan tersebut kepada Kit Siang yang merupakan antara individu yang berpengaruh di kalangan masyarakat Cina di negara ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Sivamurugan turut menyoalkan peranan Pas yang mana dianggap stabil dan telah lama berakar umbi di negara ini.

"Adakah Pas akan bersetuju menerima Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri? Jika tidak Pas juga patut diberikan satu jawatan yang digelar sebagai Timbalan Perdana Menteri II untuk menunjukkan bahawa Pas stabil di kalangan barisan pembangkang,'' jelasnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain pula berkata, tindakan retorik yang dilakukan oleh Anwar adalah satu manifesto politik dalam bentuk sama ada janji atau slogan.

"Tetapi pada akhirnya, itu terpulang kepada beliau sama ada mahu menunaikan janji itu atau tidak.

"Perkara itu adalah sama seperti janji-janji manis yang diluahkan oleh seseorang kepada kekasihnya. Selepas perkahwinan ia terpulang kepada individu itu sama ada mahu menunaikan kesemua janji manis itu atau pun tidak,'' ujarnya.

Tetapi, apa yang jelas katanya, Anwar sebenarnya mahu mendapatkan sokongan masyarakat terutama kaum Cina sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

/hwa: utusan.com.my/