29 Ogos 2011

Mat Sabu pengganas, pengkhianat – Musa Hassan


Tan Sri Musa Hassan

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melabelkan Mohamed Sabu sebagai pengganas dan pengkhianat negara apabila mendakwa Parti Komunis Malaya (PKM) ialah hero sebenar dalam peristiwa Bukit Kepong dan bukannya anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka.

Sehubungan itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memantau tindak-tanduk Timbalan Presiden Pas itu dan mengambil tindakan tegas terhadapnya termasuk dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kenyataannya itu menunjukkan beliau mempunyai kecenderungan menjadi pengganas.

Menurut Musa, kenyataan Mat Sabu itu jelas menunjukkan beliau menyokong pengganas sedangkan sejarah membuktikan betapa kejamnya komunis terhadap anggota pasukan keselamatan dan rakyat yang menentang perjuangan mereka suatu ketika dahulu.

“Lupakah Mat Sabu betapa ramai anggota pasukan keselamatan dibunuh dengan kejam oleh komunis, berapa banyak rumah penduduk kampung dibakar apabila enggan memberi beras kepada mereka?.

“Ada 6,000 pegawai dan anggota polis dibunuh oleh komunis, tak kan mereka sanggup bergadai nyawa jika bukan mahu mempertahankan negara tetapi malang sekali pengorbanan mereka diperlekehkan oleh seorang pengkhianat seperti Mat Sabu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kata Musa lagi, Mohamad Sabu mungkin sengaja mengeluarkan kenyataan tersebut untuk mencari publisiti dan memburukkan polis yang selalu menangkapnya kerana melanggar undang-undang sebelum ini.

/hwa: utusan.com.my | 29/8/11

Saya tak ingat – Mat Sabu


SEBAHAGIAN anggota Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) membuat laporan polis terhadap Mohamad Sabu di Balai Polis Larkin, Johor Bahru, semalam.


  • Mohamad Sabu yang dikecam pelbagai pihak kerana menyokong perjuangan komunis, akhirnya muncul memberi reaksi pertama beliau yang dianggap cukup mengejutkan.
  • Dalam kenyataan ringkasnya, Timbalan Presiden Pas itu mendakwa tidak ingat apa yang beliau ucapkan ketika berceramah di Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.
  • Sementara itu pelbagai pihak terus mengecam beliau dan setakat ini 20 laporan polis dibuat ke atasnya.
  • Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula secara tegas melabelkan bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu sebagai pengganas dan pengkhianat negara.
  • KUALA LUMPUR 28 Ogos – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang terpalit dengan kontroversi terbaru selepas menganggap pengganas komunis sebagai hero memberi jawapan mengejutkan apabila memberitahu, dia tidak mengingati apa yang diucapkannya.

    Ia kenyataan pertama seumpamanya pernah dibuat oleh Mohamad dalam usahanya ‘membela’ diri kerana dalam mana-mana kes kontroversinya sebelum ini, pemidato hebat Pas itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia terlupa mengenai apa yang pernah dituturkan.

    Lebih mengejutkan, dakwaan terlupa itu dibuat ketika video yang memaparkan ucapannya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu telah mula tersebar di Internet terutamanya di laman-laman blog dan laman sosial Facebook sejak petang semalam.

    “Saya tidak ingat adakah saya kata begitu. Saya sedang cari rakaman ceramah itu balik. Lepas tengok baru saya akan ulas sama ada perlu bincang dengan peguam atau bagaimana,” katanya seperti mana dipetik dari lidah rasmi Pas, http://harakahdaily.net, hari ini.

    Utusan Malaysia dalam laporan muka depan semalam melaporkan, Mohamad menganggap Kompeni Pasukan Keempat Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

    Menurut Timbalan Presiden Pas itu, Muhammad Indera, iaitu lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis tersebut.

    Dalam ceramahnya itu juga, beliau mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British selain turut berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara.

    Rentetan kontroversi itu, pelbagai pihak terutamanya bekas-bekas perajurit dan ahli keluarga mangsa ‘penyembelihan’ Bukit Kepong menyelar Mohamad dan menuntut orang nombor dua Pas itu meminta maaf secara terbuka serta didakwa di bawah Akta Hasutan.

    Tidak terkecuali mengutuk perbuatan biadab itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau menganggap Mohamad sebagai pemimpin yang buta sejarah serta mengkhianati perjuangan bangsa Melayu dalam menuntut kemerdekaan tanah air.

    /hwa: utusan.com.my | 29/8/11

    28 Ogos 2011

    Bantah kenyataan Mat Sabu

    Pengerusi Persatuan Bekas Polis Terengganu yang mempunyai 4,500 ahli membuat laporan polis berhubung kenyataan biadab pemimpin PAS Mat Sabu yang mengiktiraf pengganas komunis dan memperlekehkan negarawan negara.
    Gambar: Facebook Haji Mohamad Ishak

    Bekas polis bantah kenyataan Mat Sabu sokong komunis

    BESUT 28 Ogos – Persatuan Bekas Anggota Polis Negeri Terengganu yang mempunyai 4,500 anggota hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang dianggap keterlaluan hingga sanggup menghina polis demi mencari populariti.

    Pengerusinya, Hussin Awang Ngah berkata, tindakan Mohamad menyanjung komunis dan merendahkan maruah anggota keselamatan amat dikesali, sekali gus menunjukkan beliau telah terpengaruh dengan ideologi komunis.

    "Saya hairan kenapa sekarang orang kuat nombor dua Pas itu baru menimbulkan perkara tersebut dan tidak membangkitkannya selama ini.

    "Saya percaya, tujuannya tiada lain kerana beliau nak mencari populariti kerana tiada isu lain yang boleh dibangkit memandangkan pilihan raya umum telah hampir tiba,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini hari ini.

    Kata Hussin, beliau sedih dengan pendirian Mohamad Sabu yang sanggup memainkan apa jua isu asalkan dirinya mendapat sokongan dalam kalangan penyokongnya. – Bernama

    /hwa: utusan.com.my | 28/8/11

    Tak bertanggungjawab!

    28 OGOS 2011: Kira-kira 30 ahli persatuan PPPMM membuat laporan polis di Balai Polis Larkin, Johor Bahru berkenaan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menyokong pengganas komunis. - Utusan/NASIRRUDDIN YAZID

    Kenyataan Mat Sabu dibidas


    RIAK wajah dan aksi Kanang anak Langkau sebagai tanda amaran kepada Mohamad Sabu ketika ditemui di rumahnya di Kuching, Sarawak semalam.

    KUALA LUMPUR 27 Ogos – Pimpinan tertinggi UMNO hari ini membidas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pihak komunis yang menyerang pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 adalah merupakan hero sebenar.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas itu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

    Malah, Muhyiddin turut menyifatkan kenyataan Mohamad Sabu bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan adalah sesuatu yang biadab.

    “Kenyataan Mohamad Sabu ini adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air.

    “Sebaliknya beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas itu telah menimbulkan kemarahan ramai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban akibat peristiwa itu.

    ‘‘Malah, tindakan beliau mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan juga menunjukkan perjuangan Pas ketika ini semakin songsang di bawah kepimpinan seperti Mohamad Sabu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

    Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

    Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mat Sabu turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.

    Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Mat Sabu bahawa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan adalah satu penghinaan kepada rakyat negara ini.

    “Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mat Sabu dan menganggap bahawa beliau merupakan pemimpin yang tidak berkualiti langsung,” katanya.

    Di Kuching, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pendapat bahawa anggota polis yang diserang dalam tragedi Bukit Kepong berkhidmat untuk penjajah tidak benar kerana mereka berjuang mempertahankan sebuah wilayah dalam sebuah negeri yang mempunyai sultan.

    Katanya, PKM pula tidak pernah ikhlas memperjuangkan kemerdekaan negara kerana matlamat sebenar mereka adalah menyingkirkan raja-raja Melayu dengan cara menubuhkan sebuah republik.

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kenyataan Mat Sabu itu termasuk mahu mengubah fakta sejarah menunjukkan pemimpin Pas kini semakin jahil terutamanya sejak menjadi ‘boneka’ DAP.

    ‘‘Faktor itu juga dipercayai menjadi punca apabila mereka menukar konsep perjuangan mereka kepada negara berkebajikan dan dikhuatiri mereka juga akan mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan manakala raja-raja Melayu dipinggirkan,” katanya.

    Di Kota Bharu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Mat Sabu disifatkannya sudah hilang pedoman.

    Sehubungan itu, katanya, beliau meminta rakyat menolak pemimpin terbabit yang mengagung-agungkan pengganas komunis kerana gerakan itu telah banyak membawa kemusnahan kepada negara.

    /hwa: utusan.com.my | 288/8/11

    Semarak Aidil Fitri

    NURUL Rulliza Mohamad, 26 (kiri) bersama adiknya Nurul Najwa Shuhada Mohamad, 17 memasang api pelita yang diletakkan di dalam botol minyak masak dan tempurung dalam Pertandingan Pelita di Kampung Padang Hangus, Tepoh, Kuala Terengganu, malam semalam. - Foto Rozainah Zakaria. BH Aug 28, 2011 11:57 am

    Sambut raya dengan makna

    DUA hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut 1 Syawal. Di Malaysia bahang hari raya mula dirasa sejak sebelum berpuasa lagi. Iklan raya di sana-sini. Kadang-kadang terasa umpama raya dulu baru berpuasa.

    Lagu-lagu raya berkumandang sebelum masanya. Maka apabila tiba hari raya, seri serta maknanya tidak begitu ketara.

    Perkara paling penting bagi kebanyakan orang dalam menyambut hari raya adalah menyusun atur cara. Bermula dengan balik kampung. Bagi orang bujang tidak ada masalah. Yang sudah berumah tangga maka diingatkan raya tahun lepas kampung siapa yang dituju. Biar pun telah bersetuju, namun ada juga yang merajuk atau tidak berpuas hati apabila tiba giliran balik di kampung isteri atau suami.

    Selamat sampai di kampung halaman, apa pula perancangan? Di kampung, malam raya dimeriahkan dengan bacaan takbir dari rumah ke rumah. Itu seni hari raya yang mengundang suasana sayu dan sarat dengan pengertian. Kalimah puji-pujian kepada Yang Maha Pencipta selain mengungkap rasa syukur kepada limpahan nikmat-Nya juga mengingatkan kita kepada mereka yang telah pergi.

    Ada ibu terkenang anak yang mendahuluinya bertemu Ilahi, begitu juga si suami atau isteri yang kehilangan pasangan. Selain sahabat terpaksa melihat jenazah sahabatnya diusung dalam keadaan persahabatan erat terjalin, begitu juga pasangan kekasih yang tidak sempat bersatu di alam rumah tangga. Apatah lagi jika episod sedih dan menyayat hati itu berlaku sepanjang Ramadan, tentunya hari raya umpama tidak membawa sebarang makna lantaran imbauan senyum, tangis dan tawa mereka yang pergi meninggalkan kita itu masih segar bermain di ingatan.

    Saat itu juga ada yang cuba menyelam perasaan anak-anak yatim. Apa agaknya catatan rasa nun di sudut hati mereka terutamanya yang kehilangan ibu dan bapa sekali gus. Bagaimana pula saudara seagama di negara-negara yang ditimpa bencana. Adakah hari raya mereka semeriah kita sedangkan untuk mengisi perut setiap hari pun belum tentu mereka mampu. Lihat saudara kita di Somalia, Palestin, Afghanistan, Iraq - merempat dan kelaparan di negara sendiri.

    Kesemua perasaan itu terungkai sebaik mendengar tahmid memuji kebesaran Allah sambil memikirkan apakah akan ada lagi hari raya untuk kita pada tahun hadapan atau ini yang terakhir.

    Keindahan takbir bersambung ke pagi Syawal. Umat Islam berduyun-duyun ke masjid bagi menyempurnakan sembahyang sunat Aidilfitri. Berpakaian baru meraikan kehadiran Syawal menyerlahkan suasana hari raya yang tidak dapat dilihat pada hari-hari lain. Sembahyang raya selain menjadi ibadat merupakan peluang untuk merapatkan silaturrahim.

    Masjid menjadi medan pertemuan mungkin dengan insan yang tidak ditemui bertahun-tahun lamanya. Ketika itu kehangatan Syawal amat terasa. Sekali lagi takbir dan tahmid berkumandang. Khutbah hari raya selalunya mengingatkan manusia tentang saudara seagama yang dilanda bencana serta sengsara.

    Selesai solat hari raya, langkah diatur ke pusara. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran disedekahkan kepada kaum keluarga yang telah pergi. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman.

    Nisan

    Tidak mustahil dalam setahun, ada kubur yang dikunjungi hanya sekali iaitu pada hari raya. Ada yang tercari-cari lantaran terlupa di mana letaknya kubur orang yang dikasihi. Lantaran terlalu lama tidak dikunjungi ada batu nisan tenggelam akibat hakisan hujan. Apabila tenggelam dan kali terakhir dikunjungi adalah pada hari raya tahun lepas maka tentulah sukar dikenal pasti. Ada juga kubur yang rumput menjalar di sana-sini, menunjukkan tiada siapa ambil peduli. Seolah-olah kubur menjadi tempat buangan yang hanya diingati apabila tiba hari raya. Biar pun ada yang berkata mengunjungi pusara tidak penting sebaliknya doa adalah lebih afdal, namun tentu ada hikmahnya apabila setiap kematian berakhir di tanah perkuburan.

    Tentu ada sebabnya mengapa kematian selalu diletakkan tanda - yang pasti antara lain supaya orang yang hidup dapat lihat, fikir dan ingat bahawa tidak diketahui bila, akan ada nisan baru yang mungkin tertera nama kita. Sebab itu pada hari raya, kubur yang sentiasa sunyi sepi menjadi `hidup’ kerana dikunjungi para waris biar pun setahun hanya sekali. Ini kerana yang sekali itu mungkin akan menyuntik rasa insaf bahawa hidup ini terlalu singkat untuk kita melupakan bahawa manusia tidak pernah tahu di mana tanah kuburnya dan adakah akan ada anak atau cucu atau sahabat yang akan mengunjungi pusara kita kelak?

    Selesai solat raya dan mengunjungi pusara, ada yang mula tidak selesa berbaju Melayu, menyarung baju T untuk menikmati juadah. Ketupat, lemang, rendang, lontong, kuih-muih bukan lagi makanan istimewa hari raya. Dahulu hidangan tersebut hanya boleh ditemui pada Syawal atau Zulhijjah sesekali semasa kenduri-kendara, itu pun jarang sekali. Sebab itu apabila tiba hari raya keterujaan untuk menikmati hidangan seperti itu amat terserlah. Tetapi kini ketupat, lontong, dodol, bahulu dan banyak lagi menjadi makanan sepanjang tahun. Kesemuanya boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana-mana. Cuma bezanya juadah itu menjadi istimewa kerana dinikmati pada hari yang istimewa juga. Maka hidangan yang biasa menjadi luar biasa terutamanya apabila dinikmati bersama keluarga dan sanak-saudara.

    Susunan jadual hari raya sepatutnya bersambung kepada acara kunjung-mengunjungi. Bagi kanak-kanak inilah masanya mengumpul duit raya. Semakin ramai saudara-mara dikunjungi, semakin `lebatlah’ sampul duit yang diperoleh. Memberi duit raya terutama kepada kanak-kanak menjadi tradisi turun temurun. Bukan bermakna mengajar kanak-kanak menjadikan duit sebagai motif beraya dari rumah ke rumah, sebaliknya memberi sedekah mensyukuri nikmat yang dianugerah Allah sepanjang setahun.

    Silaturrahim

    Bagi anak-anak yang membesar di bandar dan pulang ke kampung kerana mengikut ibu dan bapa, maka sesi kunjung-mengunjungi sememangnya ditunggu-tunggu. Inilah masanya bertemu sanak-saudara, mengeratkan silaturrahim sambil bertanya `yang ini anak siapa’ dan `yang itu anak siapa pula’.

    Namun tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan amalan kunjung-mengunjungi baik di kampung mahu pun di bandar semakin tidak mendapat tempat. Sebab utama kerana tidak mahu terlepas menonton program-program menarik di kaca televisyen yang telah diuar-uarkan dua minggu sebelum raya. Maka jadual hari pertama hari raya yang sepatutnya diisi dengan ziarah sanak-saudara selepas solat kini ditukar kepada berkumpul di ruang tamu menonton satu demi satu program menarik. Lebih menarik lagi adakalanya program tersebut bukan bersifat tempatan. Cerita dan dokumentari yang diimport turut mewarnai hari raya malah isi kandungannnya dan mesej yang hendak disampaikan juga tidak diketahui sama ada relevan dengan hari raya atau sebaliknya.

    Justeru, boleh saja dirumuskan bahawa hari raya kini hanya berkisar kepada jalan raya sesak kerana semua orang berpusu-pusu meninggalkan kota untuk balik ke kampung halaman. Selepas itu, sama-sama bertakbir, menunaikan solat hari raya, saling bermaafan, mengunjungi pusara dan menikmati juadah hari raya. Apa sebenarnya matlamat hari raya dan di mana kita sepatutnya berada semasa hari raya juga menjadi semakin kabur. Semangat untuk menyemarakkan kampung halaman semacam tidak mendapat perhatian. Yang penting hanya hari pertama raya. Hari-hari lain sama seperti mengisi cuti tahunan. Melancong, mengunjungi pusat beli-belah kini menjadi sebahagian daripada agenda hari raya. Ada juga umat Islam yang tidak kisah jika tidak berhari raya. Bukan kerana terpaksa bekerja, tetapi kerana makna hari raya itu semakin tidak dihayati.

    /hwa: utusan.com.my | 28/8/11

    Anwar dan sejarah

    SETIAP detik, pasti ada sahaja sejarah tercipta. Manusialah yang mengukir malah mencorakkan sejarah itu. Hitam, putih, baik mahupun buruk, kitalah yang menentukan.

    Baru-baru ini, di tanah air kita, sejarah tercipta lagi. Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim memilih memberi kenyataan tanpa bersumpah dari kandang tertuduh dalam kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

    Dengan berbuat demikian, Anwar mengelakkan daripada soal balas oleh pasukan pendakwaan. Prosiding soal balas itulah sebenarnya inti dalam perundangan pembelaan tertuduh.

    Tiada sebab untuk sesiapa sahaja mengelak melalui proses itu melainkan jika tertuduh menghadapi ketidakcelaruan minda sebagaimana kes terpencil seperti perajurit Adam tidak lama dulu. Sedangkan Anwar masih siuman apatah lagi berstatus tinggi, mengetuai pembangkang serta selalu mendabik dada sebagai pejuang keadilan dan kebebasan.

    Bukan itu sahaja, dalam pembelaan diri, Anwar menyerang institusi kehakiman. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menjadi sasaran walaupun dilihat begitu fleksibel kepada tertuduh termasuk telah berpuluh kali membenarkan penangguhan perbicaraan. Mencerca hakim sudah menjadi mainan Anwar sebagai mengalih fokus daripada isu pokok - tuduhan terhadap kesalahan liwat yang mempunyai bukti kukuh. Ternyata Anwar sengaja menghina mahkamah untuk strategi pre -emtif lalu mahkamah dijadikan medan politik.

    Pada Awang, ia merupakan mesej yang jelas dan menyerlahlah lagi siapa sebenarnya Anwar. Ramai di kalangan pengamal undang-undang juga tidak menjangka sampai begitu sekali tindakan beliau. Peri laku di mahkamah boleh menjadi ukuran menentukan nilai diri seseorang.

    Awang dapat tahu, ramai pemimpin pembangkang secara tertutup mengkritik beliau. Ada yang kecewa pemimpin utama mereka takut untuk diadili sedangkan rakyat kecil ada keberanian moral menghadapi prosiding pembelaan. Jika Awang menjadi pengikut Anwar, Awang juga pasti dipukul rasa malu. Beliau bukan sahaja kelihatan menghina mahkamah malah menghina diri sendiri dan pembangkang. Ketua pembangkang di negara lain tidak begitu, melainkan di Malaysia, cukup luar biasa.

    Bahkan, kisah Anwar semakin menjadi bahan sinikal. ``Dia elergi bersumpah kecuali angkat sumpah jawatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen,’’ demikian antara SMS yang Awang terima daripada seorang pemimpin Pas.

    Hari itu, rating pembangkang di kaca mata rakyat makin jatuh - lagi tamparan kepada gerakan pembangkang negara ini. Tidak habis-habis Anwar menjadi liabiliti dan meninggalkan najis yang mereka terpaksa cuci. Apakah ini pemimpin bersih yang diperlukan oleh negara? Hari itu, Anwar mencipta sejarah tetapi malangnya sejarah yang mengotori peradaban. Sama ada sejarah yang seburuk itu mahu terus mewarnai negara, jawapannya tentu tidak. Awang dapat tahu, ada usaha terbaru di kalangan pemimpin tertentu DAP dan Pas mahu Anwar berundur. Selagi beliau mengetuai pembangkang, Pakatan Rakyat tidak akan ke mana. Anwar sendiri tahu hakikat itu.

    /hwa: utusan.com.my | 28/8/11

    Ohhh Mat Sabu...


    Pejuang yang dihina? Sebahagian daripada anggota polis yang terlibat tragedi berdarah Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Dalam tragedi itu, seorang demi seorang anggota polis dan ahli keluarga mereka gugur. Seramai 25 orang terkorban dalam suasana menyayat hati. Laungan Allahuakbar sentiasa bergema sambil mereka mempertahankan balai polis itu. Mereka diserang 200 anggota pengganas komunis dari setiap sudut. Malah sebahagian daripada mereka dicampak hidup-hidup ke dalam api. Mereka gugur sebagai pejuang tanah air yang menjadi kebanggaan kita semua. Namun lain pula cerita yang dijaja oleh Mohamad Sabu...

    AWANG sebenarnya tidak berminat untuk menulis tentang politik apatah lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Namun perihal Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengherokan pengganas komunis dan menghina anggota pasukan keselamatan, tidak boleh dibiarkan.

    Semalam, Utusan Malaysia menerusi laporan muka depan mendedahkan kenyataan Mat Sabu yang menganggap pengganas kompeni Ke-4 dalam Parti Komunis Malaya (PKM) yang membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong, sebagai hero sebenar.

    Dengan kata lain, 25 anggota polis dan keluarga mereka yang terkorban ketika mempertahankan balai tersebut, tidak perlu diiktiraf pengorbanan mereka dalam sejarah tanah air.

    Antara lain beliau mendakwa:

    * Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis, adalah hero sebenar.

    * Mendakwa Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana mereka adalah pegawai (lantikan) British.

    * Berikrar untuk menulis semula sejarah jika pembangkang memerintah negara.

    Belum pun lenyap isu khalwatnya suatu masa dahulu dan isu beliau didakwa bercakap bohong kononnya dilanggar oleh kereta polis semasa perhimpunan haram 9 Julai, sekali lagi Mat Sabu jadi perhatian. Awang melihat ia suatu penghinaan kepada negara lebih-lebih lagi menjelang Hari Kemerdekaan, Rabu ini.

    Kenyataan terbaru beliau itu mencetuskan kemarahan dan bantahan banyak pihak. Ia mengguris hati warga pasukan keselamatan dan waris-waris mereka. Awang sendiri mendidih darah. Ramai ahli Pas termasuk dari kalangan bekas anggota pasukan keselamatan serta keluarga mereka tersentak dengan kenyataan beliau.

    Tetapi Awang tidak terkejut. Mat Sabu sebenarnya membawa aspirasi pihak lain yang memang sentiasa menyala agenda mereka untuk menulis semula perlembagaan dan sejarah Malaysia.

    Strategi pemimpin tertentu DAP untuk menjalin hubungan rapat dengan Mat Sabu ternyata membuahkan hasil. Difahamkan, beliau semakin kerap mewakili pemimpin kanan DAP ke majlis-majlis yang berkaitan dengan hal ehwal Melayu. Tidak mengapalah jika beliau mendapat kepercayaan DAP tetapi janganlah mudah sangat diperalatkan. Perbuatan menghasut orang ramai agar menafikan sejarah adalah lebih bahaya daripada ancaman pengganas militan. Setiap warga negara mesti patriotik dan kental asas kenegaraan, yang sepatutnya dijunjung oleh Mat Sabu. Awang tidak terkejut sekiranya pembangkang memerintah, beliau akan menobatkan pemimpin PKM, Chin Peng sebagai tokoh kebangsaan dan mencadangkan Malaysia dijadikan negara republik. Orang seperti Mat Sabu boleh mencari apa sahaja kewajaran walaupun terpaksa mengelirukan fakta sejarah.

    Inilah harga yang perlu dibayar oleh Pas kerana mengangkat orang yang tidak berwibawa seperti Mat Sabu sehingga ke jawatan Timbalan Presiden. Awang simpati dengan Pas kerana mempunyai pemimpin seperti itu.

    Sebelum ini, reputasi beliau selalu dipersoalkan. Beliau lebih dianggap sebagai Pak Badut dalam parti. Lagi banyak beliau buka mulut maka lagi buruk imej Pas.

    Mat Sabu juga mencerminkan kebodohan Melayu berpolitik. Ghairah untuk untung jangka pendek tetapi merugikan bangsa untuk selama-lamanya.

    /hwa: utusan.com.my | 28/8/11

    24 Ogos 2011

    Akidah pertaruhan politik?

    RAMADAN kali ini sememangnya memberikan ujian besar kepada umat Islam di negara ini. Di tengah-tengah kerancakan bertarawih dan bertazkirah di masjid-masjid, kita bagaikan 'ditampar' apabila timbul isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang didakwa Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

    Ujian kepada kita adalah apabila isu itu timbul, ia menyerlahkan betapa kepimpinan umat Islam sendiri tiada kata sepakat. Malah ada yang memandang sinis dan begitu cepat menuding jari terhadap JAIS.

    Kerajaan negeri Selangor awal-awal lagi dalam reaksi segeranya menyatakan kekesalan atas pemeriksaan JAIS itu meskipun dalam masa tersebut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim belum lagi mendapat laporan daripada agensi agama tersebut.

    Sikap ini cukup menghairankan kerana sepatutnya JAIS yang merupakan sebuah agensi yang secara tidak langsung terletak di bawah pentadbiran negeri, tidak dipertahankan oleh Abdul Khalid. Kakitangan kerajaan negeri secara keseluruhannya pasti kecewa dan jatuh moralnya apabila agensi negeri tidak menjadi keutamaan pentadbiran Abdul Khalid.

    Sebaliknya, awal-awal lagi Menteri Besar menelefon pastor di gereja terbabit ketika pada masa sama JAIS diserang bertubi-tubi kerana dikatakan menceroboh sebuah gereja.

    Malah, Menteri Besar sengaja tidak mahu mendedahkan status sebenar premis berkenaan dan hanya mahu ia dimasukkan dalam laporan JAIS.

    Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu pula 'menikus' apabila wartawan bertanya soal status premis berkenaan. Menteri Besar menyatakan beliau tidak tahu sedangkan di sebelahnya adalah Ronnie yang sepatutnya sudah mempunyai maklumat tentang status premis yang dikatakan gereja itu.

    Selama ini Ronnie gemar menempel dalam sidang akhbar Menteri Besar sering menyampuk kalau ada sesuatu yang perlu diperjelaskan tetapi dalam isu gereja, dia hanya tersengih-sengih.

    Sepatutnya Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali lebih layak berada dalam sidang media itu kerana ia membabitkan isu JAIS.

    Padahal, sering kali dalam isu membabitkan portfolionya mengenai pihak berkuasa tempatan (PBT), Ronnie adalah juaranya seperti isu arak dan larangan orang Islam bekerja di kelab hiburan.

    Apa yang paling mengecewakan ialah Pas yang terus menggunakan kaedah jalan tengah atau manzilah baina manzilatain. Tiada pendirian jitu dibuat kerana lebih mahu mengambil hati orang lain atau lebih tepat kepentingan undi.

    Seperti mana dalam isu perkataan Allah, Pas membenarkan penggunaan kalimah jalalah itu asalkan tiada penyalahgunaan. Dalam isu pemeriksaan JAIS pula, keputusan diambil untuk mendapatkan penjelasan JAIS dan gereja.

    Pas tidak lagi bercakap tentang kepentingan pengundi deposit tetap mereka - orang Islam tetapi cuba bermain mata dengan pengundi bukan Melayu. Sekali lagi Pas 'ketinggalan bot' berbanding NGO-NGO Islam termasuk yang cenderung kepada parti Islam itu sejak dahulu.

    Mereka berjaya membuat pendirian tegas dengan pantas iaitu menyokong JAIS setelah mendapat bukti-bukti asas tentang penyebaran agama lain terhadap orang Islam.

    Mereka dengan pantas mencari maklumat awal termasuk rakaman pemeriksaan JAIS pada malam 3 Ogos itu. 12 orang penganut Islam dikesan hadir dalam majlis 'thanksgiving' dan kuiz agama Islam serta menyanyi lagu 'Allahuakbar' dan 'Subhanallah'.

    Dalam rakaman itu disaksikan seorang peserta bukan Islam mempertahankan haknya menggunakan kalimah Allahuakbar dan Subhanallah kerana kononnya tiada larangan kerajaan.

    Lebih pelik lagi dalam salah satu soalan kuiz itu menyebut tentang berapa kali perkataan Nabi Isa disebut dalam Al-Quran.

    Majlis di DUMC itu mungkin hanya ibarat bongkah ais yang timbul di permukaan air. Bongkah yang lebih besar di dasar air tidak kelihatan.

    Sekarang mahukah Pas bertanggungjawab apabila kalimah seruan takbir dan tasbih Maha Suci Allah itu pun sudah diceroboh dan disalah guna oleh bukan Islam.

    Walaupun Pas kemudiannya membuat beberapa kenyataan penegasan yang dilihat sebagai 'tindakan mengawal kerosakan' tetapi masih tetap mahu menghala peluru kepada lawan politiknya.

    Mereka mempersoalkan seolah-olah ada tangan ghaib UMNO dalam pemeriksaan JAIS apabila rakaman pemeriksaan itu mula didedahkan dalam laman-laman blog.

    Pas bercakap sedemikian seolah-olah tiada seorang pun ustaz-ustaz dalam JAIS bersikap pro kepada parti itu atau sekurang-kurang yang ada jiwa Islam dan sayangkan perjuangan Islam.

    Apa yang mengecewakan ialah apabila persoalan pokok iaitu usaha memurtadkan orang Islam secara halus tidak menjadi perkara utama perbahasan.

    Sekurang-kurang reaksi segera pelbagai pihak tidak kira parti politik dan NGO-NGO Islam tidak menunjukkan umat Islam terus dibuai lena. Dalam kekhusyukan beribadah mengejar keberkatan ganjaran Ramadan, jangan lupa ada saudara-saudara kita cuba 'dibawa lari' orang.

    Kalau kes di DUMC cuba dinafikan tetapi kita tidak dapat menutup isu memurtadkan Nor Asyiah Bukhori dan Lina Joy yang sudah terbukti memang berlaku penyebaran agama lain ke atas umat Islam. Ibarat di sebalik silau terik matahari di siang hari, meskipun kita tidak dapat melihatnya, kita tahu matahari itu tetap ada.

    Sepatutnya dalam isu agama dan mempertahankan hak kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kita semua senada tanpa mengira latar belakang politik atau apa saja kepentingan.

    Namun sejauh mana kita serius, boleh dilihat bagaimana sambutan Seminar Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam baru-baru ini.

    Ruang dewan yang luas di masjid negeri itu mampu menampung ribuan umat Islam yang hadir untuk menunjukkan solidariti atas isu penyebaran agama lain. Namun jumlah kehadiran tidak memberangsangkan.

    Adakah orang kita hanya hangat-hangat tahi ayam? Cakap berdegar-degar tetapi memandang sepi isu yang begitu penting seperti murtad.

    Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik dalam seminar itu bahawa sikap umat Islam yang berpecah dan sering bertelagah pandangan menyebabkan mereka tidak akan mampu menghadapi cabaran besar termasuk Kristianisasi.

    Ini kerana proses Kristianisasi (ke atas umat Islam) itu berselindung dalam arus liberalisasi global yang boleh merubah struktur dan rupa bentuk negara selain mengancam keselamatan.

    ''Kita 14 juta umat Islam tidak mempunyai apa-apa risalah dan apabila berdepan dengan ancaman, kita bertaburan. Bahkan kita bercanggah sesama sendiri dalam memahami isu yang dihadapi sekarang," kata Abdullah.

    Beliau bimbang sekiranya keadaan itu berlarutan, umat Islam tidak akan dapat lagi mempertahankan saki baki jaminan Perlembagaan Persekutuan yang ada di dalam perkara memartabatkan agama Islam.

    Katanya, penghakisan kuasa politik dan tawar menawar orang Islam dikhuatiri akan mendedahkan kedudukan Islam negara ini terus dicabar.

    Abdullah berkata, arus liberalisasi global yang menggerakkan fahaman humanisme semakin laju sehingga sukar ditolak malah kadang kala mengelirukan umat Islam.

    Fahaman ini menjadi ancaman kepada kedudukan Islam, dengan berselindung atas pembentukan masyarakat sivil yang membawa kepada kebebasan individu secara mutlak.

    Ini membawa maksud bahawa orang Melayu yang dilahirkan sebagai Islam perlu diberikan kebebasan untuk memilih agama.

    Anak tidak perlu ditetapkan agamanya sejak dari bayi sebaliknya membiarkan mereka menentukannya sendiri apabila dewasa. Ini adalah antara pandangan beberapa pemimpin muda pembangkang.

    /hwa: utusan.com.my | 24/8/11

    Kenyataan akhbar Penubuhan Majlis Penasihat Syura

    ADALAH saya dititah oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor merujuk kepada kenyataan yang terdapat dalam media cetak, media elektronik dan media alternatif pada hari ini 23 Ogos 2011 berhubung dengan Penubuhan Majlis Penasihat Syura oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    D.Y.M.M. Sultan Selangor amat terkejut dan menitahkan kepada saya membuat penjelasan tentang pendirian Baginda mengenai isu kenyataan tersebut, yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor menitahkan atau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah sama sekali tidak benar.

    Apa yang berlaku ialah Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato' Menteri Besar Selangor telah menyembah maklum kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor mengenai hasrat beliau untuk memanggil dan berjumpa dengan pihak pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) bagi mendapatkan penjelasan berhubung dengan isu pemeriksaan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di gereja tersebut pada hari Rabu, 3 Ogos 2011 yang lalu. Beliau bercadang untuk membawa bersama Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor.

    D.Y.M.M. Sultan Selangor tidak menghalang hasrat Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor memanggil pihak gereja bersama-sama dengan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor, tetapi Baginda menasihatkan supaya Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor menjemput sekali Sahibus Samahah Timbalan Mufti Selangor untuk memberi nasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hakam syariah dan tidak menyentuh sama sekali isu pemeriksaan gereja oleh JAIS.

    Oleh yang demikian, isu tentang D.Y.M.M. Sultan Selangor menitahkan atau menasihatkan Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah tidak benar. Pendirian D.Y.M.M. Sultan Selangor berkaitan dengan Majlis Penasihat Syura ataupun berbentuk dialog berkaitan agama, tidak pernah diperkenankan kerana Negeri Selangor telah mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

    Dato' Haji Mohamad Munir Bani, Dato' Lela Bakti Setiausaha Sulit kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor

    /hwa: utusan.com.my | 24/8/11

    Sultan terkejut, tak pernah beri perkenan

    SHAH ALAM 23 Ogos _ Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak pernah menitahkan atau memperkenankan cadangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menubuhkan majlis penasihat syura untuk menyelesaikan isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu.

    Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda menyatakan rasa amat terkejut dengan kenyataan Menteri Besar seperti yang dilaporkan oleh media hari ini bahawa baginda telah memperkenankan penubuhan majlis penasihat tersebut sedangkan perkara itu adalah tidak benar.

    ''Apa yang berlaku ialah Menteri Besar Selangor telah menyembah maklum kepada Sultan Selangor mengenai hasrat beliau untuk memanggil dan berjumpa dengan pihak pengurusan DUMC bagi mendapatkan penjelasan berhubung dengan isu pemeriksaan oleh JAIS di gereja tersebut pada hari Rabu, 3 Ogos lalu. Beliau bercadang untuk membawa bersama Sahibus Samahah Mufti Selangor (Datuk Seri Tamyes Abdul Wahid)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam, Abdul Khalid dalam kenyataannya menyebut, Sultan Selangor telah menitahkan kerajaan negeri supaya menubuhkan majlis penasihat syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung isu pemeriksaan terhadap JAIS terhadap DUMC di Petaling Jaya pada awal bulan ini.

    Berdasarkan kenyataan itu, Abdul Khalid menyatakan majlis penasihat syura itu akan dianggotai Mufti Selangor dan Timbalannya, Datuk Abd. Majid Omar yang berperanan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor selain mewujudkan garis panduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagai kaum dan agama terus terpelihara.

    Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor tidak menghalang hasrat Menteri Besar memanggil pihak gereja bersama dengan Mufti Selangor, tetapi baginda menasihatkan supaya timbalan mufti dijemput sekali untuk memberi nasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam syariah dan tidak menyentuh sama sekali isu pemeriksaan gereja oleh JAIS.

    ''Oleh yang demikian, isu tentang Sultan Selangor menitahkan atau menasihatkan kerajaan Negeri Selangor menubuhkan majlis penasihat syura adalah tidak benar.

    ''Pendirian Sultan Selangor berkaitan dengan majlis penasihat syura atau pun berbentuk dialog berkaitan agama, tidak pernah diperkenankan kerana negeri Selangor telah mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor," tegasnya.

    /hwa: utusan.com.my | 24/8/11

    23 Ogos 2011

    Semarak Merdeka!

    22 OGOS 2011: Pelajar Sekolah Tunku Abdul Rahman,Luqmanurhakiem Mohd Ali menyusun tabung 1 Malaysia di pintu masuk dewan sekolahnya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, di Ipoh. - Utusan/ROY AZIS ABD AZIZ

    Pembangkang 'hantu pilihan raya'

    DULU semasa hendak menjelang hari raya, orang tua-tua selalu berpesan kepada kanak-kanak supaya jangan main di luar rumah pada larut malam, kononnya ketika itu hantu raya berkeliaran.

    Malahan di sesetengah kampung, mereka percaya bahawa hantu raya sememangnya muncul menjelang hari raya dan akan mengganggu penduduk.

    Justeru wujudlah kebimbangan, keresahan dan kesangsian terutamanya soal siapakah yang bakal menjadi tuan kepada hantu raya tersebut.

    Jika senario ini dikaitkan dengan suasana politik sekarang adalah tidak salah jika kita menyatakan bahawa menjelang hari raya tahun ini, rakyat negara ini turut diancam oleh 'hantu'.

    Bagaimanapun 'hantu' yang dimaksudkan bukannya hantu raya tetapi 'hantu pilihan raya' - iaitu suatu kelompok yang terdiri daripada parti pembangkang yang kini begitu ghairah bercakap soal pilihan raya.

    Sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP mahupun Pas, kesemuanya bagaikan 'hantu pilihan raya' apabila terus mempertikai satu demi satu pelaksanaan amalan demokrasi berkenaan.

    Pada 9 Julai lalu iaitu beberapa minggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan, ketiga-tiga parti berkenaan, cuba menunjukkan sikap 'hantu' mereka apabila menghuru-harakan Kuala Lumpur melalui demonstrasi jalanan.

    Mereka menuntut sebuah pilihan raya yang bebas dan adil tetapi dalam masa yang sama menolak sebarang usaha untuk mengadakan rundingan bagi menyelesaikan apa yang mereka lihat sebagai masalah.

    Apabila demonstrasi jalanan itu tidak mendapat sambutan rakyat, pembangkang tidak berputus asa, bagaikan dirasuk 'hantu', mereka mula mempertikai perkara-perkara lain yang kemudiannya dikaitkan dengan pilihan raya.

    Ia termasuklah dakwaan bahawa Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program 6P menyeludup pendatang.

    Walaupun program tersebut bertujuan mendapatkan data biometrik setiap PATI untuk rasional keselamatan, terutamanya dalam menangani masalah membabitkan kes pemalsuan identiti serta dokumen perjalanan antarabangsa, namun hujah itu tidak diterima.

    Sebaliknya seorang ahli Parlimen pembangkang membuat dakwaan bahawa Program 6P sebagai muslihat kerajaan untuk menyeludup pengundi dan melabelkannya cubaan menjual kedaulatan negara.

    Ahli Parlimen berkenaan membuat dakwaan tidak masuk akal apabila mendakwa Program 6P mensyaratkan PATI supaya membaca skrip bersumpah menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian proses pemutihan.

    Tidak cukup dengan itu, pembangkang juga mendakwa kerajaan BN memberi kad pengenalan biru kepada pemegang kad merah bagi membolehkan mereka menjadi pengundi.

    Kita tidak harus lupa bahawa pembangkang juga sebelum ini bagaikan kerasukan hantu apabila mendakwa wujudnya pengundi-pengundi hantu.

    Walaupun berbuih mulut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperjelaskan bagaimana istilah pengundi hantu itu boleh wujud namun sudah menjadi adat pembangkang mereka tidak mahu menerimanya.

    Mereka tetap menuntut supaya senarai daftar pemilih dibersihkan dan inilah 'lagu dan irama' yang sering mereka dendangkan setiap kali pilihan raya hendak diadakan.

    Tetapi apa yang melucukan, apabila keputusan sesuatu pilihan raya itu menyebelahi mereka, pembangkang bagai 'hantu' kekenyangan, diam seribu bahasa.

    Sebenarnya, pembangkang sudah menjadi 'hantu pilihan raya' dan sudah menjadi sikap hantu, mereka takut kepada kebenaran apatah lagi yang bertujuan menghalau makhluk berkenaan.

    Itulah yang dilakukan oleh pembangkang apabila mereka menolak mentah-mentah komitmen kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen.

    Walaupun penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi memberi ruang kepada semua pihak termasuk pembangkang menyertainya bagi membolehkan mereka memberikan idea dan pendapat untuk memperbaiki sistem pilihan raya tetapi ia tidak mahu diterima.

    Sebaliknya, pembangkang memberi seribu satu alasan terhadap penubuhan jawatankuasa itu termasuklah kononnya kerajaan tidak memanggil mereka untuk berunding sebelum penubuhan jawatankuasa tersebut diumumkan.

    Adalah sesuatu yang malang apabila pembangkang terutamanya Pas memandang serong penubuhan jawatankuasa itu dengan menganggap ia 'penghias jendela'.

    Inilah sikap pembangkang, mereka sentiasa memandang negatif terhadap apa juga yang hendak dilakukan oleh kerajaan.

    Sepatutnya, mereka menyertai dulu jawatankuasa berkenaan, barulah mereka tahu apa kebaikannya, tetapi pembangkang tidak mahu bersikap demikian.

    Lebih melucukan tanpa mahu mengukur baju di badan sendiri, ada ahli Parlimen pembangkang yang menunjukkan kecetekan berpolitik apabila meminta jawatankuasa itu dipengerusikan oleh pembangkang.

    Soalnya, dalam Dewan Rakyat, siapa yang menjadi majoriti, pembangkang atau BN?

    Itu belum lagi termasuk bagaimana, Pemuda Pas membangkitkan kemarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila mendapat pandangan beberapa bekas anggota pasukan itu yang mendedahkan kononnya undi pos telah dimanipulasikan oleh kerajaan BN.

    Demikianlah sikap pembangkang, seperti juga mitos hantu raya yang menimbulkan kebimbangan, keresahan dan kesangsian, begitulah juga peranan pembangkang yang menjadi 'hantu pilihan raya'.

    Mereka sengaja menimbulkan pelbagai andaian, tohmahan dan fitnah semata-mata untuk mewujudkan perasaan sangsi di kalangan rakyat terhadap perjalanan pilihan raya umum akan datang.

    Apabila usaha mereka berjaya, ia sekali gus akan menutupi kelemahan pembangkang yang hakikatnya cukup tidak layak untuk memimpin negara ini.

    Sebab itulah pembangkang takut apabila ada komitmen dan kesungguhan kerajaan serta SPR untuk bersedia mengkaji serta memperbaiki apa yang pembangkang inginkan.

    Oleh itu apa yang dilakukan oleh pembangkang bukanlah ikhlas untuk memakmurkan lagi amalan demokrasi melalui pilihan raya, sebaliknya hanya mahu menjadi 'hantu pilihan raya' yang bertujuan mewujudkan keraguan di kalangan rakyat dan memburuk-burukkan kerajaan.

    /hwa: utusan.com.my | 23/8/11

    22 Ogos 2011

    Suka-duka bina Istana Negara


    PEEMBINAAN Istana Negara di Jalan Duta Kuala Lumpur hampir 95 peratus siap

    PENGALAMAN permohonan untuk mendapatkan pinjaman ditolak sebuah bank terkemuka adalah antara perkara yang tidak dapat dilupakan oleh Pengarah Projek Kompleks Istana Negara yang baru, Md. Nizam Md. Sheriff.

    Beliau yang juga salah seorang pengarah Maya Maju (M) Sdn. Bhd., kontraktor utama bagi membina kompleks berkenaan memberitahu, alasan yang diberikan pegawai bank terbabit ialah mereka tidak yakin syarikat bumiputera mampu membangunkan projek sebesar ini.

    ''Pegawai berkenaan juga memberikan alasan syarikat kami tidak berpengalaman dalam membina kompleks istana sebelum ini.

    ''Bagaimana bank berkenaan boleh memberikan alasan seperti ini sedangkan kita semua tahu tiada mana-mana syarikat pun termasuk bukan bumiputera yang pernah membina kompleks istana sebesar ini," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia mengenai kerja-kerja akhir menyiapkan kompleks berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Kompleks di kawasan seluas 96.52 hektar di atas bukit berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur mula dibina pada 2007 dan dijangka diserahkan kepada kerajaan pada awal September ini.

    Selain kerenah bank, jelasnya, syarikat itu turut menjadi mangsa fitnah pihak tertentu termasuk parti pembangkang yang tidak yakin dengan kemampuan syarikat bumiputera.

    ''Bagi mereka kontraktor Melayu adalah kroni parti politik tertentu dan wajib dihapuskan walaupun ini bermakna mereka perlu menggagalkan projek yang bakal memartabatkan institusi Raja-Raja Melayu," ujarnya.

    Mengikut sejarah, Istana Negara sekarang yang berada di Bukit Petaling adalah sebuah vila milik seorang jutawan Cina bernama Chan Wing yang dibina pada 1928.

    Selepas penaklukan Jepun, ia menjadi istana Sultan Selangor sehingga 1957 apabila kerajaan pusat mengambilnya untuk dijadikan Istana Negara.

    Dalam pada itu, pihak pembangkang turut menabur tohmahan kononnya Maya Maju hanyalah proksi 'tauke' tertentu sedangkan syarikat yang dirujuk mereka adalah syarikat lain yang mempunyai nama hampir sama.

    Ketika projek itu telah 75 peratus siap pada Jun tahun lalu, sekali lagi tohmahan dibuat oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris kononnya pekerja asing dilayan dengan teruk dan ada yang dikatakan tidak menerima gaji bagi tempoh tiga bulan.

    ''Sebaik-baik laporan ini disiarkan, kami terus menjalankan siasatan bersama Kementerian Sumber Manusia, Kedutaan Indonesia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Ternyata ia tidak benar.

    ''Jika tidak bayar gaji, sudah tentu pekerja asing ini akan berpiket atau mogok. Tetapi, ia tidak berlaku dan kerja-kerja terus berjalan lancar sehingga projek disiapkan," katanya.

    Tambah Md. Nizam, segala cabaran yang dihadapi itu tidak mematahkan semangatnya dan kakitangan untuk membuktikan bahawa syarikat bumiputera mampu melaksana projek sebesar itu.

    ''Saya masih ingat lagi segala susah payah apabila terpaksa memanjat bukit dan meredah kawasan hutan ketika mula-mula meninjau tapak projek ini. Apabila sudah siap, segala kesusahan ini dirasa cukup berbaloi,'' ujarnya.

    Sementara itu, beliau turut meluahkan perasaan terkilan kerana masih kedengaran suara-suara sumbang yang diluahkan seorang wakil rakyat dari negeri kelahirannya iaitu Kedah yang cuba menidakkan kejayaan syarikat itu menyiapkan projek berkenaan.

    Antara tuduhan yang dibuat adalah hiasan dalaman kompleks itu mempunyai unsur-unsur ala-Eropah atau Hollywood.

    Pada Mac lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa reka bentuk dalaman istana itu diubah daripada konsep Raja-Raja Melayu kepada konsep raja Eropah.

    ''Cuba anda lihat sendiri adakah istana ini memaparkan ciri-ciri Eropah," soal Md. Nizam kepada wartawan Utusan Malaysia yang hakikatnya dakwaan itu jelas tidak benar.

    Semalam, Mingguan Malaysia telah menyiarkan gambar-gambar yang membuktikan hiasan dalaman dan seni bina luaran kompleks berkenaan adalah berasaskan ciri-ciri tradisional Melayu dan Islam.

    ''Biarlah mereka terus membuat fitnah kerana saya yakin satu hari nanti rakyat akan sedar hakikat yang sebenar sama seperti projek Putrajaya dan Jambatan Pulau Pinang sebelum ini,'' ujar beliau.

    Walaupun telah mengalami pelbagai pengalaman pahit, Md. Nizam mengakui terdapat juga kenangan manis sepanjang beliau terlibat dengan projek berkenaan.

    Antaranya, sifat mesra rakyat yang ditunjukkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diberi tanggungjawab oleh Majlis Raja-Raja untuk memantau projek berkenaan.

    ''Banyak idea bernas yang telah disumbangkan baginda bagi menambah baik projek ini. Baginda juga sanggup mengetepikan protokol untuk sama-sama turun ke tapak projek secara kerap bagi memastikan kompleks ini disiapkan dengan sebaik-baik mungkin.

    ''Ini bersesuaian dengan kedudukan Istana Negara sebagai lambang kedaulatan dan maruah negara kerana ia tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tonggak perpaduan rakyat,'' katanya.

    /hwa: utusan.com.my | 22/8/11

    Jangan takut tolong bumiputera


    Sebahagian peserta Konvensyen Memperkasakan Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada 19-20 Ogos lalu. – utusan/Mohd Shaharani Saibi

    RATA-RATA masyarakat bumiputera khususnya orang Melayu mahu pembentukan masyarakat yang adil dan saksama terutamanya dalam pengagihan kekayaan negara agar dicerminkan melalui pegangan yang melambangkan kedudukan mereka selaku majoriti.

    Pemikiran dan intipati itu bukan sesuatu yang baru tetapi sejak 40 tahun dahulu lagi ketika kerajaan melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana orang Melayu sudah tidak sanggup menjadi bangsa yang terpinggir di bumi dan negara mereka sendiri.

    Itu merupakan antara intipati penting ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menegaskan komitmen memperjuangkan agenda ekonomi bumiputera di Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera pada 19 dan 20 Ogos lalu.

    Hadirin konvensyen anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut menjadi saksi pendirian Perdana Menteri yang mahu meritokrasi sejajar dengan keadilan sosial dan menolak pandangan Melayu liberal dan bukan Melayu yang mahu meritokrasi sepenuhnya.

    Menarik bila mendengar beliau menempelak golongan sedemikian kerana orang Melayu sudah berada dalam keadaan serba kekurangan dengan sebahagian besarnya berada di luar bandar atau pinggir bandar serta masih memerlukan pertolongan kerajaan.

    Golongan liberal itu diingatkan agar jangan pula tidak bertimbang rasa kepada orang Melayu sedemikian sedangkan orang Melayu selama ini berlaku adil kepada mereka.

    Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan meritokrasi tetap akan diambil kira terutamanya dalam membantu memajukan usahawan bumiputera sejati dan cemerlang kelak.

    Antara resolusi utama yang dicapai konvensyen itu termasuk menggesa Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) mengambil langkah-langkah yang lebih berkesan bagi kebangkitan semula kuasa ekonomi bumiputera menuju 2020.

    Hakikatnya, Teraju kini mengambil alih fungsi dan tugas membela ekonomi bumiputera selepas berlalunya zaman Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) serta beberapa unit atau agensi yang memegang tanggungjawab sama sebelum ini.

    Walaupun baru berusia enam bulan, Teraju bukan sahaja mengambil alih semua tugas dan peranan MECD, unit dan agensi berkenaan malahan mewarisi amarah usahawan dan masyarakat bumiputera yang memendam rasa sejak sekian lama.

    Pembentangan di konvensyen tersebut menunjukkan bukan sahaja usahawan bumiputera yang jauh ketinggalan malahan pegangan ekuiti, aset, pendapatan isi rumah serta gaji graduan bumiputera juga sudah dipintas kaum lain.

    Pendapatan purata bumiputera telah meningkat namun masih lebih rendah dan perlahan berbanding kaum lain sementara pendapatan purata bumiputera adalah terendah berbanding kaum lain walau apa pun aktiviti ekonomi ketua isi rumah (majikan, pekerja kerajaan atau swasta, kerja sendiri mahupun pesara).

    Purata pertumbuhan simpanan dan nilai purata simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bumiputera juga lebih rendah berbanding kaum lain dengan kebanyakan graduan bumiputera mendapat purata gaji permulaan yang lebih rendah berbanding kaum lain antara perbezaan RM500 hingga RM1,500 sebulan.

    Pemilikan bangunan oleh masyarakat bumiputera juga jauh ketinggalan berbanding kaum Cina yang direkodkan cuma sekadar 20.2 peratus pada 2008 (menurun daripada 29.2 peratus pada 2007) sementara milikan bangunan premis industri sekadar 7.8 peratus pada 2008.

    Selain masalah pembiayaan, peranan GLC hebat diperdebatkan peserta yang rata-rata mahukan transformasi besar dibuat agar GLC lebih berperanan dalam membantu usahawan bumiputera mencapai sasaran pegangan kek ekonomi yang lebih baik.

    Dalam menilai persepsi terhadap peranan Teraju, Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) UiTM, Prof. Madya Dr. Za‘faran Hassan menjelaskan ramai yang melihat Teraju terlalu lambat bertindak dengan tumpuan masih kepada kajian daripada tindakan, sehinggakan perubahan yang dijanjikan tidak terasa.

    Beliau mencadangkan penjenamaan semula inisiatif Teraju yang dilihat masih fokus kepada perkara sama seperti pendidikan, keusahawanan dan sebagainya sedangkan apa yang perlu ditunjukkan adalah perbezaan pendekatan yang boleh menjamin peningkatan ekonomi bangsa Melayu.

    “Kita tidak mahu Melayu berebut menaiki ‘kereta api’ tetapi tidak tahu hala tujunya dengan asyik menyebut ‘langkah ke hadapan’ yang hanya merupakan satu ilusi.

    “Teraju sudah banyak bertindak sejak penubuhannya Februari lalu tetapi umum perlu tahu mengenainya kerana orang Melayu sudah bersedia dan tidak sabar menerima cabaran kerajaan untuk bersama jayakan Model Baru Ekonomi (MBE),” ujarnya.

    Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh menjelaskan pihaknya tidak berdiam diri dan telah melaksanakan pelbagai program sejak unit itu diwujudkan seperti penganjuran makmal Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dan makmal Projek Permulaan (EPP).

    Menurut beliau, sebagai sebuah badan strategik, Teraju lebih berperanan menyelaraskan kerjasama di antara syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera dengan agensi kerajaan serta GLC.

    “Kita cari benda yang terbukti berjaya dan kembangkan ke peringkat lebih besar kerana mahu usahawan serta syarikat bumiputera yang mapan dan bukan dialibabakan.

    “Ini suatu jihad bagi membantu orang Melayu dan kita akui ada kelemahan yang boleh diperbaiki tetapi janganlah harap kerajaan yang buat segalanya,” jelasnya.

    Ahli panel yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Puncak Niaga Holdings Berhad, Tan Sri Rozali Ismail juga berharap Teraju bertindak dengan lebih pantas kerana bagi beliau sudah tiada masa untuk menjalankan begitu banyak kajian.

    “Cabaran besar bagi usahawan Melayu yang tiada menteri sendiri dan Teraju perlu berjalan cepat dalam memastikan peniaga dan usahawan kita dibantu kerana tahap mereka kini masih belum boleh dibanggakan.

    “Janganlah tunggu dekat atau selepas pilihan raya. Teraju perlu ada wakil-wakil di peringkat negeri, turun jumpa terus dengan peniaga dan bantu dalam apa cara sekalipun, asalkan cepat,” tegasnya.

    Beliau turut menasihatkan agar GLC dan bank agar tidak takut kepada TOM (tolong orang Melayu) kerana tidak pernah ada GLC atau bank yang tutup kerana membantu orang Melayu.

    Secara asasnya, apa yang disampaikan panel dan peserta konvensyen ini amat mudah difahami iaitu kaum bumiputera tidak mahu dipandang hina di bumi sendiri dan mahu pengagihan secara adil agar semua berpeluang merasa kek ekonomi.

    Dengan penyerahan 25 resolusi konvensyen itu kepada kerajaan, diharap MTAB dan Teraju mampu mengambil langkah proaktif dan pantas dalam memperjuangkan nasib ekonomi bangsa sebelum rakyat menjawab melalui tiket undi di pilihan raya.

    /hwa: utusan.com.my | 22/8/11

    Kompas mohon maaf kepada Najib


    Jimmy S. Harianto memohon maaf kepada Najib Tun Razak mewakili akhbar Kompas di Putrajaya, baru-baru ini.

    JAKARTA 21 Ogos - Akhbar Kompas hari ini memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan penyiaran laporan mengenai keluarga Perdana Menteri dalam akhbar berkenaan pada 4 Ogos lalu.

    Ketua Pengarang akhbar popular Indonesia itu, Rikard Bagun berkata, Kompas memohon maaf di atas penyiaran berita berhubung perkara yang tidak pernah berlaku dalam keluarga Perdana Menteri.

    Penyiaran berita itu antara lain menyatakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai pemilik syarikat Perimekar Sdn. Bhd.

    Selain itu, akhbar tersebut menyiarkan berita yang menuduh Rosmah membelanjakan AS$24 juta dolar (RM72 juta) untuk membeli sebentuk cincin berlian sedangkan barang kemas berkenaan tidak pernah dipesan atau dibeli mahupun untuk bahan pameran peribadi oleh Rosmah.

    Akhbar tersebut turut menuduh bakal besan Perdana Menteri mempunyai kaitan dengan mafia Rusia sedangkan ia langsung tidak berasas.

    “Atas pemberitaan tersebut, Pemimpin Redaksi (Ketua Pengarang) Kompas, Rikard Bagun, Sabtu (20/8) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya “Kepada Kepala Negara (Perdana Menteri) dan keluarga,” kata Rikard yang disiarkan oleh akhbar berkenaan hari ini.

    Permohonan maaf itu dimuatkan dalam wawancara dengan wartawan kanan akhbar tersebut, Jimmy S Harianto dengan Perdana Menteri di Putrajaya Khamis lalu.

    Ketika ditemui oleh Jimmy, Perdana Menteri melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Kompas yang sanggup menyiarkan berita berkenaan.

    /hwa: utusan.com.my | 22/8/11

    21 Ogos 2011

    Semarak Merdeka!

    19 OGOS 2011: Kanak-kanak sekolah ini mengibarkan Jalur Gemilang ketika hadir pada majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Melaka di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, di Melaka. - Utusan/GAIE UCHEL

    Air mata ahli Pas

    APA sudah jadi dengan Pas? Itulah persoalan yang terus menghantui ramai orang Islam di negara ini. Banyak isu kritikal yang melibatkan kepentingan Islam tidak mendapat pembelaan Pas.

    Nama sahaja menggunakan istilah Islam dan mendakwa memperjuangkan Islam tetapi realitinya - tidak. Terdapat pertubuhan Islam di Indonesia turut terkejut dengan perubahan yang dibawa oleh pemimpin Pas yang cenderung ke arah pluralisme agama.

    Dalam beberapa isu murtad, Pas yang suatu ketika seperti gajah naik minyak memperjuangkan kesucian Islam, kini menjadi seperti tikus ketakutan.

    Sudah menjadi rahsia terbuka, ketakutan Pas adalah kerana mahu menjaga hati DAP dan PKR serta percaturan undi bukan Islam. ‘‘Kita mengambil pendekatan hati-hati supaya tidak mahu melukakan hati pengundi. Ana dah terangkan dulu, Pas kalau hendak menang lebih baik (besar), mesti mendapat sokongan orang Cina/India dan semua bukan Islam.’’ Demikian komen seorang aktivis Pas menerusi blog Penyokong Pas. wordpress. Sentimen dan hujah itulah yang memerangkap ramai pemimpin kanan Pas sehingga kelihatan tergamak melacurkan agama demi politik.

    Sehingga hari ini, Pas masih belum menyatakan pendirian berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah gereja yang dipercayai menjalankan gerakan murtad ke atas beberapa individu Islam.

    Suara beberapa kerat pemimpin Pas seperti Ketua Dewan Pemuda, Nasrudin Tantawi yang mahu parti itu menyatakan pendirian, sedikitpun tidak diendahkan. Sebaliknya Nasrudin dicerca kerana ketegasan beliau mempertahankan kepentingan Islam dalam isu kemelut Jais-gereja.

    Perkembangan tersebut rupa-rupanya meresahkan ramai ahli Pas di peringkat akar umbi. Malah Awang diberitahu ada kalangan penyokong Pas yang menangis apabila melihat tiga pemimpin DAP melawat gereja yang cuba memurtadkan orang Islam. Air mata menitis di bulan Ramadan kerana mengenangkan kegagalan parti tersebut sedangkan DAP jauh ke hadapan membela agama lain.

    Maka tidak hairan sekiranya NGO Islam dan Melayu seperti Perkasa tampil mahu mengambil peranan parti itu dalam menjaga kepentingan Islam yang merupakan agama rasmi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. Awang bersyukur dengan reaksi umat Islam dan NGO Islam lain bersatu mempertahankan kesucian Islam.

    Biarlah Pas terus menjaga kepentingan DAP dan undi bukan Islam. Ketika parti lain menampakkan kebijaksanaan berpolitik sambil mengutamakan agama mereka, Pas pula terperangkap dengan kebodohan sehingga menjual agama sendiri.

    /hwa: utusan.com.my | 21/8/11

    20 Ogos 2011

    Siapa layak dapat al-qadr?


    Umat islam perlu mencari malam al-qadr melalui pengisian berqiamullail dan ibadat yang lain.

    UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).

    Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim).

    Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.

    Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).”

    Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah.

    Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.

    Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.

    Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.

    Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.

    Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.

    Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

    Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

    Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”

    Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.

    Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

    Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.

    Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”

    Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

    Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari.

    /hwa: utusan.com.my | 20/8/11

    19 Ogos 2011

    Memperkasa Model Baru Ekonomi

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada perasmian Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera 2011 di Dewan Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
    BH - Aug 19, 2011 2:24 pm

    Menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan

    MASA berlalu begitu pantas. Sama ada sedar ataupun tidak, hari ini genaplah 19 hari kita menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh itu, sudahkah kita berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap takwa dalam erti kata sebenar atau sebaliknya?

    Jika tempoh itu belum mampu memperlengkapkan diri kita dengan takwa, masih belum terlambat untuk berusaha ke arah itu. Justeru, saki-baki hari-hari terakhir Ramadan perlu direbut dan digunakan sebaik-baiknya agar kita tidak ketinggalan mendapat manfaat yang berganda dalam meniti pemergiannya.

    Jika 10 hari terakhir Ramadan merupakan saat di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga bersama melaksanakan ibadah sunat, bagaimanakah pula kita?

    Sesungguhnya pedoman yang ditunjukkan Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadan. Alangkah malangnya jika kita semakin lalai dalam melaksanakan ibadah pada saat-saat Ramadan yang kian melabuhkan tirainya.

    Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada 10 terakhir Ramadan.

    Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

    Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar.

    Malah, jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan 83 tahun dan empat bulan, ini bermakna satu malam ini saja adalah lebih baik daripada seluruh umur seseorang.

    Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan Allah SWT sebagai ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang-Nya. Oleh itu, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah mencari keredaan dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadan.

    Justeru, umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut Lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir” (hadis riwayat al-Bukhari).

    Dalam satu riwayat lain, dinyatakan juga Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

    Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam-malam terakhir Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu” (hadis riwayat Abu Dawud).

    Di sini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh sahaja dianggap telah mendapat sebahagian daripada apa yang dimaksudkan dengan Lailatulqadar.

    Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah menghidupkan malam-malam itu dengan memperbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat dan berzikir kepada Allah SWT.

    Selain itu, amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunah dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar.

    Malah, menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid.

    Di samping itu, kita juga turut dianjurkan memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, para ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT.

    Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku” (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535).

    Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak” (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65).

    Begitulah teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW kepada seluruh umat Islam dalam menjalani ibadah puasa. Persoalannya, sejauh manakah kita mencontohi keperibadian Baginda dalam melaksanakan ibadah puasa dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan?

    Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung pengisian yang kita laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu.

    PENULIS ialah Pegawai Penyelidik,Pusat Kajian Sains dan Alam SekitarInstitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

    /hwa: utusan.com.my | 19/8/11