5 September 2012

Hina gambar PM

POLIS menahan pelajar kolej swasta di Taman Maluri, Cheras hari ini bagi membantu siasatan berhubung perbuatan menghina gambar pemimpin negara pada malam sambutan Kemerdekaan di Dataran Merdeka, 30 Ogos lalu. - Foto Effendy Rashid
Sep 4, 2012 3:31 pm

TNB bersara wajib 60 tahun

NAJIB Tun Razak disambut kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) setibanya pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga TNB sempena Ulang Tahun LLN/TNB Ke-63 di Bangsar, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ 
*****
KUALA LUMPUR 3 Sept. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi syarikat milik kerajaan (GLC) pertama melaksanakan had umur persaraan wajib dari 56 tahun ke 60 tahun mulai tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia selaras dengan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang diluluskan Parlimen, baru-baru ini.
Selain itu, Najib turut mengumumkan keputusan pengurusan TNB menaikkan kadar peratusan caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi para pekerjanya yang berkhidmat dalam tempoh umur dari 56 tahun ke 60 tahun.
"Dalam tempoh tersebut, TNB sebagai majikan akan menaikkan kadar sumbangannya kepada para pekerja TNB terlibat agar jumlah caruman KWSP mereka sehingga waktu persaraan iaitu 60 tahun akan bertambah.
"Apabila rezeki kepada kita bertambah adalah diharapkan alam persaraan dapat kita kecapi dengan lebih selesa lagi," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kerja TNB Bersama Perdana Menteri sempena Ulang Tahun TNB Ke-63 di Ibu Pejabat TNB, di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Azman Mohd.
Dalam ucapannya, Najib turut mengumumkan berita gembira kepada warga kerja TNB yang baru berkhidmat dengan syarikat GLC itu bahawa mereka akan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Socso mulai 1 September lalu.
"Saya ingin ucapkan terima kasih atas kesemua inisiatif yang diberikan ini. Diharap ia akan memberikan lebih banyak manfaat serta mampu meningkatkan motivasi di kalangan para pekerja sekali gus menyerlahkan TNB sebagai sebuah syarikat yang lebih cemerlang," katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mencadangkan TNB menjalin kerjasama dengan Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk dibina rumah mampu milik khusus bagi warga kerja TNB.
"Saya ingin mencadangkan TNB menjalinkan kerjasama dengan PRIMA yang kebetulan bekas Pengerusi TNB iaitu Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis menjadi Pengerusinya.
"Tujuannya bagi membina rumah mampu milik dan ia boleh dijadikan sebagai salah satu cara untuk kita menjaga kebajikan serta kesejahteraan warga kerja TNB," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut mengharapkan TNB terus menunjukkan prestasi cemerlang sebagai syarikat utiliti dan pembekal tenaga terunggul di negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12

Bendera itu roh kemerdekaan

SIAPA kata Jalur Gemilang bukan ciptaan anak negeri atau warganegara Malaysia?
Kalau dilihat aksi provokasi dua pemuda mengibarkan bendera merah putih yang mereka namakan 'Sang Saka Malaya' untuk menggantikan Jalur Gemilang, yang terpampang di muka depan akhbar ini semalam, bukankah itu kelihatannya seperti bendera Singapura atau bendera Indonesia?
Sebenarnya, isu untuk menggantikan Jalur Gemilang dengan reka bentuk lain, bukanlah isu baru. Ia mula-mula sekali dibangkitkan oleh aktivis sosialis atau pendemonstrasi jalanan, Hishammuddin Rais dua tahun lalu.
Kalau anda boleh layari satu bual bicara penyokong kuat pembangkang ini dalam program Rentakkini.TV ketika mengulas sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 tersebut, Hishamuddin telah menguar-uarkan bahawa Jalur Gemilang diciplak dari bendera Amerika Syarikat. Katanya selain lagu Negaraku, ia wajib diubah kerana kedua-duanya bukan garapan anak negeri.
Apabila diajukan cercaan Hishamuddin itu kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan yang kebetulan penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah rakan seangkatannya di Universiti Malaya (UM) suatu ketika dulu, Fuad mengingatkan:
"Bendera adalah simbol kewujudan bangsa, maruah serta kemuncak perpaduan bangsa. Kalaupun ada unsur pinjam meminjam, ia sesuatu yang lumrah.
Tetapi yang penting, ia diubah suai mengikut latar belakang budaya, sejarah dan perkembangan negara masing-masing.
"Paling penting, makna kemerdekaan."
Fuad menarik perhatian yang mana dengan sedikit perubahan, sesuatu bendera itu boleh diukir dengan meminjam idea dari bendera negara lain. Apatah lagi, jika kedua-dua negara ada hubungan penjajahan.
"Cuba kita lihat bendera Australia ada persamaan dengan British. Bendera Singapura mirip bendera Indonesia.
"Yang dicadangkan bendera negara ini turut sama dengan Indonesia itu adalah kehendak Ibrahim Yaakob yang ketika itu hendak bersama Ahmad Boestaman, pejuang nasionalis kiri yang mahu Malaya merdeka bersama Indonesia, dalam konsep Indonesia Raya. Mereka juga hendak merdeka sekali bersama Filipina," kata beliau.
Dan hakikatnya, kalau dilihat bendera Amerika Syarikat mirip bendera Syarikat Hindia Timur British. Malah, bukan sahaja bendera Amerika Syarikat, bendera empayar Majapahit, Pulau Bikini Atoll dan Liberia juga menyamai corak berjalur-jalur bendera Syarikat Hindia Timur berkenaan.
"Malah, bendera Amerika Syarikat juga telah 26 kali berubah reka bentuknya sejak tahun 1777 tapi tidak menghilangkan jalurnya.
"Bendera Amerika ambil idea daripada Syarikat Hindia Timur British. Hubungan pinjam meminjam ini lumrah tetapi dipindahkan dengan disesuaikan budaya, sejarah negeri dan geografi negara masing-masing tanpa mengurangkan nilainya," katanya.
Menyangkal lagi dakwaan Jalur Gemilang bukan ciptaan anak tempatan, Fuad berkata, ciptaan bendera negara ini telah dipertandingkan dengan sebanyak 373 rekaan diserahkan kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan. Dan menerusi pemilihan yang dibuat pada 15 November 1949, hanya tiga disenarai pendek.
Bagaimanapun, sebelum diumumkan, ada beberapa cadangan dibuat. Contohnya, permintaan Sultan Kedah yang meminta supaya bulan sabit putih ditukar kepada warna kuning. Ia untuk mewakili Raja-Raja Melayu.
Justeru, pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu, maka satu rekaan telah dicadangkan oleh Sultan Kedah dan diberikan kepada pemangku Ketua Setiausaha Negara untuk dijadikan bendera Persekutuan Malaya.
"Dan seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor, Mohamad Hamzah telah diumumkan sebagai pemenang. Pada 19 Mei 1950, bendera Malaysia dinaikkan di hadapan Istana Selangor, diikuti pada 31 Ogos 1957 dinaikkan di Dataran Merdeka untuk menggantikan Union Jack.
"Jadi, tidak betul dakwaan Hishammuddin itu bendera kita adalah hasil ciplak dari negara asing," katanya.
Dalam perbualan hampir 20 minit dengan kami, Fuad bagaimanapun terdiam sejenak. Beliau teringatkan bapanya, Tan Sri Hassan Azhari, 84, yang mempunyai nilai sentimental pada hari negara mengecap kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu.
"Bapa yang ketika itu berusia 25 tahun telah diminta oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Datuk Abdul Rahman Talib atas jemputan Tunku (Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj) untuk membaca azan selepas pengisytiharan merdeka.
"Ia untuk memberi roh kepada kemerdekaan. Dan ia (azan) bukan dalam bentuk 'Hijaz' iaitu melankolik atau mendayu-dayu tetapi dalam bacaan yang lebih bersemangat," katanya.
Dan benarlah bendera itu bukan sekadar bendera.
Jalur Gemilang itu roh kemerdekaan.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12

MB perlu bertanggungjawab

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepatutnya mengambil tanggungjawab terhadap isu mengetepikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis ulang tahun kemerdekaan baru-baru ini dan bukan terus menuding jari kepada mana-mana pihak.
Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan Abdul Khalid menuding jari kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri jelas memperlihatkan kedangkalan pemimpin itu yang keliru dengan peranannya sebagai Menteri Besar.
"Peranan beliau menjaga sebuah negeri, bukannya sebuah kampung. Jadi, bagaimana beliau dengan berani mendakwa tidak tahu apa-apa sedangkan sambutan itu di peringkat negeri yang secara terang-terangan membabitkannya sebagai ketua pemerintahan.
"Apabila membabitkan isu seumpama ini, beliau kena bertanggungjawab sekali gus menghentikan amalan menjadikan orang lain sebagai 'kambing hitam' untuk melepaskan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Khalid kelmarin yang cuba mengalihkan isu sambutan ulang tahun kemerdekaan peringkat negeri dengan menuding jari kepada SUK, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Dalam laporan itu, Abdul Khalid berkata, penganjuran sambutan berkenaan bukan dikendalikan pejabat beliau sebaliknya diuruskan pejabat SUK melalui jawatankuasa khas yang dipengerusikan Mohammed Khusrin.
Menurut Hamidzun, Abdul Khalid tidak wajar mengecilkan skop tugasnya sebagai Menteri Besar sebaliknya menggalas tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dengan sebaik-baiknya.
"Segala perancangan, dasar atau pelaksanaan membabitkan negeri adalah dalam pengetahuannya, jadi tidak masuk akal beliau mengatakan tidak mengetahui mengenainya.
"Menyalahkan kakitangan awam juga adalah tidak adil memandangkan kumpulan ini hanya mengikut arahan pemerintah," katanya.
Sehubungan itu, Hamidzun meminta Abdul Khalid memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor dan rakyat yang rata-ratanya memarahi tindakan beliau membelakangkan peranan sultan sebagai ketua agama sesebuah negeri.
"Ini bukan soal politik, namun soal tanggungjawab seorang Menteri Besar kepada setiap pelaksanaan dan perbuatannya yang jelas mendatangkan implikasi terhadap pejabatnya sendiri.
"Lebih mengecewakan, sambutan peristiwa bersejarah didahului dengan ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang langsung tiada dalam senarai orang kanan negeri itu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12

Pembangkang berbeza pendapat

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbeza pendapat dengan DAP dan Pas berhubung tindakan biadab peserta Himpunan Janji Bersih yang didalangi beberapa pemimpin pembangkang yang mahu menukar Jalur Gemilang dengan bendera baru.
Ketika pemimpin DAP dan Pas tegas menyifatkan perbuatan biadab itu sebagai provokasi untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dituduhnya buta sejarah.
Anwar yang langsung tidak mengutuk tindakan itu mendakwa, bendera yang direka Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Mohd. Najwan Halimi itu adalah 'sang saka merah putih' dan ia dikibarkan sebagai tanda mengingati pejuang-pejuang kemerdekaan.
"Tiada niat untuk tukar bendera Malaysia. Hanya UMNO dan BN yang tidak mahu belajar sejarah perjuang dahulu. Anak-anak muda kibar pada malam itu kerana mahu kita ingat kembali kepada pejuang-pejuang kemerdekaan," katanya sebagaimana dipetik di portal Keadilandaily.
Dalam pada itu, berbeza dengan Anwar, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, perbuatan tidak bertamadun kumpulan terbabit apatah lagi pada malam merdeka jelas tidak bertanggungjawab kerana Jalur Gemilang merupakan identiti kepada kedaulatan Malaysia.
Malah, beliau langsung tidak mahu Pas dikaitkan dengan perbuatan beberapa pemimpin pembangkang yang mendalangi perhimpunan itu khususnya daripada PKR.
"Pas tiada agenda atau niat menukar bendera Malaysia. Ia tidak termasuk dalam perjuangan kami. Ia provokasi bagi menimbulkan suasana tidak harmoni. Kita kutuk perbuatan itu. Ia tidak bertanggungjawab," katanya.
Salahuddin sehubungan itu mahu pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut dengan segera agar tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas semua yang terlibat.
Menyentuh isu sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pula melabelkan tindakan peserta perhimpunan itu sebagai melampaui batas.
Namun, beliau menegaskan, perkara itu tidak ada kena-mengena dengan pendirian pembangkang.
"Ini tidak boleh diterima. Jalur Gemilang sudah diterima seluruh rakyat. Kalau mahu tukar, ini sudah melampau dan tidak bertanggungjawab.
"Kita mengutuk perbuatan ini. Bagi Pas, kita desak siasatan secara telus dilakukan untuk kita tahu apakah motif di sebalik perbuatan itu," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, bendera Jalur Gemilang sudah diterima segenap lapisan masyarakat sejak sekian lama dan ia melambangkan perpaduan negara yang berbilang kaum.
"Saya sokong bendera kita. Jangan kita bangkitkan lagi. Kita kena sayang negara dan Jalur Gemilang adalah lambang kita. Bendera Malaysia mempunyai lambang-lambang yang bermakna dan bersejarah," tegasnya.
---
"Lambang yang mewakili semua negeri dan masyarakat majmuk perlu dikekalkan, saya tidak pernah dengar ada yang mahu tukar bendera, tidak nampak siapa bincang kerana semua sudah terima dan tiada yang dipersoalkan," tegasnya.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12

Pemimpin muda PKR perlu belajar adab berpolitik

KUANTAN 3 Sept. - Pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menasihati pemimpin muda mereka supaya belajar tentang adab berpolitik dan tidak bertindak biadab kerana ia bukan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata, perbuatan mereka menghina pemimpin negara dan Jalur Gemilang pada Himpunan Janji Bersih baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh rakyat.
Menurutnya, beliau mendapat maklumat balas daripada ramai pihak termasuk generasi lama yang menyatakan perbuatan itu tidak boleh diterima oleh mereka.
"Saya fikir generasi baru yang berpelajaran, golongan profesional serta intelek turut tidak boleh menerima perbuatan itu," katanya selepas program lawatan bersama media ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, tindakan perundangan boleh diambil terhadap mereka, tetapi kerana ia perbuatan politik maka ia harus diselesaikan secara politik.
"Satu caranya ialah menolak PKR dan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Kita tidak mahu mengajar rakyat Malaysia jadi biadab, apatah lagi menghina mana-mana pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri," katanya.
Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat telah memilih serta mengiktiraf kepimpinan dan kerajaan yang ada sekarang melalui pilihan raya umum lalu.
Kononnya mahu menegakkan demokrasi tetapi daripada segi amalan dan perbuatannya tidak demokratik, maka politik sebegitu harus ditolak," katanya.
Beliau berharap kesedaran muncul terutama di kalangan pengundi muda atas pagar supaya memikirkan secara rasional pihak yang lebih berwibawa untuk dipilih sebagai pemimpin.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12

UMNO tidak berkompromi terhadap pengkhianat

KUANTAN 3 Sept. - UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemimpin dan ahlinya yang mensabotaj parti dengan membocorkan maklumat mengenai calon serta jentera menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, jika sebelum ini tindakan terhadap golongan berkenaan diambil selepas pilihan raya, kali ini, Jawatankuasa Disiplin UMNO melakukannya sebelum pilihan raya umum diadakan.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sudah memberi amaran supaya tiada mana-mana individu menjual maklumat, membocorkan rahsia dan bersekongkol dengan mereka (pembangkang).
"Jika perbuatan itu dilakukan, saya fikir mereka (ahli) harus membayarnya dengan mahal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, beliau bersama dua lagi Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut membantu Perdana Menteri dalam memberikan input mengenai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Kami juga diminta membantu meneliti calon di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan memberi maklumat mengenai mereka kepada Perdana Menteri. Bagaimanapun calon yang layak bertanding ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri," katanya.
Beliau seterusnya menyeru semua pemimpin dan ahli UMNO serta parti komponen BN supaya akur dengan keputusan yang ditentukan nanti.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12

4 September 2012

Aidilfitri Kementerian Pelajaran di Putrajaya

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar dengan pelajar dari SMK Jeram, Kuala Selangor pada jamuan Aidilfitri Kementerian Pelajaran di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
Sep 3, 2012 6:04 pm

Pastikan momentum transformasi negara berterusan - PM

PUTRAJAYA 3 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penjawat awam memastikan momentum agenda transformasi negara berterusan walaupun ia kini menampakkan kejayaan membanggakan.
Perdana Menteri berkata, perkara itu penting bukan hanya bagi memastikan pendapatan per kapita negara meningkatkan secara berterusan, malah tahap kesejahteraan rakyat turut meningkat. - UTUSAN.
/hwa: utusan.com.my | 3/9/12

Manifesto: Usah tipu rakyat Selangor

KETIKA Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman asyik bersembang dengan saya pada satu majlis hari raya di Taman Serdang Raya kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Serdang itu tiba-tiba disapa oleh seorang wanita pertengahan umur.
Wanita berusia lingkungan 45 tahun itu yang datang bersama seorang anak gadisnya, bertanyakan Mohamad Satim tentang hasratnya kalau-kalau boleh dibantu untuk membeli sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Selangor.
"Maaflah, kerajaan Selangor sekarang tak buat lagi dah. Rumah-rumah di Selangor ni pun sekarang sudah mencecah harga RM300,000 ke atas," kata Mohamad Satim kepada wanita berkenaan.
Balas wanita berkenaan: "Habis, kami tak boleh makan nasilah tok. Makan rumahlah pula (jika beli rumah, terpaksa kena ikat perut bayar ansuran bulanan rumah)."
Mohamad Satim tak terkata apa-apa mendengar keluhan wanita itu yang sempat juga berseloroh.
Setelah kami kembali bersembang, Ketua Pembangkang Selangor itu menunjukkan kepada saya satu salinan Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pakatan pembangkang yang juga dikenali Barisan Alternatif. Ia dikeluarkan menjelang PRU berkenaan yang berlangsung pada Mac 2008.
"Bila kita sebut manifesto, ia adalah janji-janji kita atau parti kita kepada rakyat. Ia satu perjanjian yang mengikat kita.
"Kita kena jujur dan harus menunaikannya," kata Mohamad Satim ringkas. Cuba anda semak ini, kata beliau kepada saya. Lantas, saya membacakan sebahagiannya, antaranya seperti berikut:
* Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka.
* Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga.
* Memberi hadiah RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti.
* Mengurangkan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai komersial sebanyak 10 peratus.
* Memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.
* Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri.
Tetapi belum pun habis saya sudahkan sebutan beberapa lagi janji dalam manifesto pakatan pembangkang pada 2008 itu, Mohamad Satim mencelah:
"Yang dia sebut itu kepada SETIAP ANAK SELANGOR, tapi hasilnya apa?
"Di Selangor pada 2008 itu, saya yakin sebahagian besar pengundi telah dimomokkan dengan tindakan mereka (pakatan pembangkang) mengubah persepsi rakyat kepada kita (BN) sehingga Selangor dan beberapa negeri lain menyaksikan kita tewas," kata beliau.
Mohamad Satim tidak mahu pergi jauh dalam merungkai tanda tanya berhubung janji-janji pilihan raya yang sehingga semalam, masih banyak belum ditunaikan pakatan pembangkang.
"Ada penduduk Cina memberitahu yang kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor suruh mereka tubuhkan sendiri jawatankuasa penduduk (Residents Association atau RA).
"Mereka suruh RA mengesahkan kerja-kerja kontraktor dan selepas RA puas hati, barulah boleh dibayar.
"Tapi penduduk berkenaan memberitahu, tanggungjawab baru itu menjadi satu beban pula kepada penduduk. Dahlah kontraktor itu dipilih sendiri oleh kerajaan negeri, tapi bila tiba urusan kerja-kerja kontraktor, ia dibebankan pula pada RA.
"Jadi, apa peranan ahli majlis (Exco terbabit). Exco-exco ini dibayar elaun, RA tak dapat (elaun) tapi bila tiba bab kerja, mereka nak 'cuci tangan'," katanya.
Bukan isu RA sahaja yang membebankan penduduk. Bulan lalu, Mohamad Satim didatangi seorang pesara guru Cina. Pesara guru itu cukup marah dengan apa yang dilihatnya begitu menular pusat-pusat hiburan terutama rumah-rumah urut di Puchong, Kinrara, Kuala Selangor dan banyak kawasan lagi.
"Satu hari pesara guru berkenaan menyiasat mengapa anaknya bersama seorang lagi anak jirannya sering pulang lewat dari sekolah. Kebiasaannya pukul 1 petang dah tercongok di pintu rumah.
"Ini tidak, sampai di rumah pukul 7 malam. Lalu, dia mengekori kelibat dua pelajar itu selepas habis sekolah. Rupa-rupanya mereka singgah di rumah urut. Ketika ditemui, kedua-duanya sedang enak diurut oleh dua GRO dari China dan Vietnam yang dalam keadaan bogel," kata Mohamad Satim.
Juga, beberapa minggu lalu, ADUN Sri Serdang itu didatangi penduduk kaum India. Mereka memberitahu Mohamad Satim bahawa pada 2008, PKR, DAP dan Pas waktu itu mencanangkan dalam kempen pilihan raya bahawa jika mereka menang, keesokannya ketiga-tiga parti melalui kerajaan negeri pimpinan mereka akan menurunkan cukai pintu.
"Tapi anda tengoklah dan inilah yang sama dimaklumkan kepada saya oleh penduduk India terbabit. Penduduk-penduduk yang temui saya itu beritahu mereka sudah bosan dengan Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim).
"Mereka tidak mahu bayar cukai taksiran berkenaan tapi bila tidak mahu bayar, dapat notis pula untuk disita. Mereka ini bertekad nak tuntut balik janji-janji yang diuar-uarkan oleh PKR, DAP dan Pas di Selangor tempoh hari," katanya.
Dan kebetulan ketika Abdul Khalid pada Rabu lepas menepis kritikan pelbagai pihak yang mempertikaikan keengganan pentadbiran kerajaan PKRnya memberikan kemudahan air percuma kepada ratusan ribu penghuni pangsapuri dan kondominium atas alasan mereka masih menggunakan meter air pukal, lantas Mohamad Satim mencelah: "Cuba kita rakyat Selangor teliti balik kandungan manifesto mereka pada 2008. 'Memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan' yang tidak disebutkan syarat tertentu.
"Janganlah tipu rakyat. Manifesto itu satu perjanjian dengan rakyat, tunaikanlah," kata Mohamad Satim.
Jika kesemua 21 kerusi DUN yang disandang BN ketika ini mampu dipertahankan selain satu kerusi bebas yang disandang bekas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali, ini bermakna parti pemerintah itu cuma memerlukan 10 lagi kerusi untuk kembali membentuk kerajaan negeri Selangor pada PRU-13.
/hwa: utusan.com.my | 3/9/12

Jangan biarkan mereka terlepas!

PAPARAN gambar seorang wanita dan seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta aksi memualkan sekumpulan remaja ketika demonstrasi Bersih pada 30 Ogos lalu yang dipaparkan oleh Mingguan Malaysia telah mendapat perhatian ramai.
Penulis sendiri menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mempersoalkan apakah perbuatan biadab berkenaan akan dibiarkan begitu sahaja.
Mereka mahu kerajaan bertindak kerana perbuatan itu sudah benar-benar tidak boleh dimaafkan.
Apa yang paling membimbangkan banyak pihak ialah keberanian sekumpulan pemuda mengibarkan bendera merah putih yang menyerupai bendera Singapura dan Indonesia.
Mereka bertindak sedemikian bagi menolak Jalur Gemilang yang selama ini menjadi lambang kedaulatan dan maruah serta martabat rakyat dan negara ini.
Justeru persoalan yang bermain di fikiran kita ialah apakah perbuatan biadab dan melampaui batas ini akan dibiarkan begitu sahaja?
Penulis tidak berhasrat mewujudkan perasaan perkauman tetapi apa yang benar-benar kita terkilan ialah tindakan seorang wanita bertudung labuh yang hanya tersenyum melihat seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri.
Wanita berkenaan seolah-olah seronok kerana wajah pemimpin yang mungkin 'musuh politiknya' dilakukan sedemikian rupa!
Apakah itu dipanggil kebebasan? Apakah itu dinamakan demokrasi? Apakah itu dianggap cara untuk melakukan bantahan?
Penulis percaya tindakan biadab peserta-peserta demonstrasi 'Janji Bersih' berkenaan akan membangkitkan kemarahan seluruh rakyat negara ini yang cintakan kedamaian dan mempunyai nilai tata susila yang tinggi.
Tetapi soalnya apakah kemarahan boleh memastikan perbuatan biadab itu tidak berulang lagi?
Ketika inilah tumpuan diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk bertindak dan bukan sekadar mengeluh apatah lagi memberi amaran.
Keberanian luar biasa yang ditunjukkan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan tidak harus biarkan berterusan.
Kita harus ingat ini bukanlah kali pertama rakyat negara ini dipaksa menyaksikan adegan memualkan oleh puak-puak yang kononnya memperjuangkan demokrasi.
Demokrasi apa yang hendak diperjuangkan kalau tingkah laku sendiri menunjukkan betapa rendahnya moral kelompok berkenaan.
Begitu juga apabila mereka mengibarkan bendera merah putih, ia adalah satu perbuatan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah menyambut kemerdekaan negara.
Mana mungkin ketika negara ini sedang meraikan kemerdekaan, kita membiarkan sekelompok manusia biadab mencemarinya dengan satu perbuatan yang dianggap sudah melampaui batas.
Jangan lupa suatu ketika dulu pihak berkuasa pernah mengambil tindakan terhadap sekelompok pemuda di Terengganu yang membakar Jalur Gemilang, tetapi perbuatan mengibarkan bendera merah putih kononnya sebagai pengganti kepada Jalur Gemilang lebih biadab dan bahaya.
Ini bermakna sudah ada satu keberanian di kalangan sesetengah generasi muda untuk mencabar undang-undang dan kedaulatan negara.
Perbuatan kelompok berkenaan tidak harus dibalas dengan hujah politik sahaja, mereka tidak harus dikategorikan sebagai golongan yang harus dipujuk untuk menyokong kerajaan sebaliknya, mereka adalah kelompok yang perlu diasingkan daripada masyarakat.
Kita sama sekali tidak boleh membiarkan kelompok ini berasa bangga dan gembira dengan perbuatan mereka, apatah lagi apabila ia tersebar luas di seluruh dunia melalui internet.
Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera bagi memburu golongan pemuda yang terlibat. Mereka ini perlu diberi pengajaran bahawa perbuatan mereka sudah melampaui tata susila rakyat Malaysia.
Selain itu, kita juga bertanya apakah komen pakatan pembangkang terhadap perbuatan-perbuatan biadab yang dilakukan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan.
Jika mereka tidak mendesak supaya tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab, jelaslah perbuatan penunjuk perasaan berkenaan direstui oleh pembangkang.
Jangan lupa, Bersih adalah idea pembangkang dan sebelum ini pemimpin-pemimpin pembangkang menyertai himpunan berkenaan kononnya dalam usaha menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
Oleh itu, mereka tidak harus lepas tangan apabila ada penunjuk-penunjuk perasaan yang menyokong Bersih melakukan perbuatan kurang ajar seperti mana di dalam gambar-gambar yang disiarkan di surat khabar dan internet.
Apa pun, tumpuan lebih diberikan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas kelompok manusia yang dianggap masih berjiwa penjajah dan dianggap tidak berjiwa patriotik itu.
Kalau mereka berjiwa patriotik dan mempunyai tata susila yang tinggi sudah pasti mereka tidak akan mengibarkan bendera Merah Putih, tidak akan memijak gambar pemimpin negara dan melakukan perbuatan lucah di khalayak ramai.
Melalui perbuatan biadab yang berlaku sudah sampai masanya pihak berkuasa bertegas, memang benar yang terlibat hanya kelompok kecil tetapi kita tidak harus membiarkan seinci pun bumi Malaysia ini 'dihuni' oleh kelompok tidak bertamadun tersebut.
Justeru ketegasan pihak berkuasa amat dinanti-nantikan oleh ramai pihak kerana majoriti rakyat Malaysia sudah muak dengan tindakan berdasarkan amaran semata-mata.
Apa yang rakyat ingin lihat ialah kelompok bertanggungjawab dikenakan tindakan setegas-tegasnya.
Kita tidak boleh membiarkan kelompok ini dilihat memperkotak-katikkan undang-undang dan berani melakukan tindakan kerana merasakan ada pihak yang akan tampil membela mereka atas nama hak asasi manusia.
Apa yang mereka lakukan bukannya soal hak asasi apatah lagi memperjuangkan kebenaran atau keadilan tetapi demonstrasi yang diadakan sebenar bertujuan untuk mencemarkan imej Malaysia di mata dunia, mencabar keberanian pihak berkuasa dan menghina kepimpinan negara.
Oleh itu apakah mereka harus dibiarkan begitu sahaja? Segala-galanya terserah kepada pihak berkuasa menentukannya tetapi apa yang pasti ingatlah kata-kata Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang pernah mengingatkan,"pencerobohan besar bermula daripada pencerobohan kecil".
Jadi, tidak salah kalau kita katakan itulah yang dilakukan oleh sekelompok manusia pada malam menyambut kemerdekaan baru-baru ini, apabila mereka mengibarkan bendera Merah Putih, memijak gambar pemimpin dan menunjukkan aksi lucah.
Percayalah jika ini dibiarkan, maka tidak mustahil mereka akan melakukan lebih banyak lagi tindakan yang memualkan. Jangan biar ini terjadi!
/hwa: utusan.com.my | 3/9/12