9 September 2012

Aksi langkah patriotik silap, biadab

AKSI peserta Himpunan Janji Bersih mendakwa Jalur Gemilang sebagai Jalur Malang, mengedarkan risalah menukarkannya dengan Sang Saka Malaya, memijak dan duduk seperti 'meneran' potret pemimpin negara pada malam Ambang Merdeka di Dataran Merdeka sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-55 memperlihatkan makna patriotik yang silap dan penuh kebiadapan.
Anak muda yang dipengaruhi oleh cita-cita politik pihak tertentu itu cuba mentakrifkan semula makna patriotik kepada tindakan menentang atau memusnahkan ikon negara kerana ia dilihat tidak membawa aspirasi sebenar yang mereka mahukan.
Pemimpin yang mengakui dirinya sebagai pembela dan pejuang rakyat itu sebenarnya sedang berhempas pulas mengeksploitasi anak muda bagi menjamin kepentingan diri dapat dicapai menerusi percubaan menimbulkan kekeliruan dan kekecohan. Sebelum itu mereka mempamerkan pertentangan yang keterlaluan apabila menukarkan tema sambutan "Janji Ditepati" menjadi "Sejiwa, Sebangsa dan Senegara" yang begitu puitis dan mujarad (abstrak).
Tidak menghormati lambang negara dan memijak potret pemimpin mula menjadi peraturan baharu dalam ketinggian falsafah perjuangan pembangkang atas alasan ikon-ikon itulah yang menjadi punca kepada pelbagai kemelut termasuk politik. Dakwaan tersebut adalah paling daif dalam sejarah dan mempamerkan nilai budaya berundur ke belakang seperti kehidupan masa jahiliyah. Menghormati dan mempertahankan bendera yang sah bagi sesebuah negara merupakan nilai yang tidak bercanggah dengan peraturan Islam.
Sejarah Perang Uhud misalnya mempamerkan kekentalan semangat Mus'ab bin Umayr mengangkat panji Islam itu sambil bertakbir dengan nyaring. Sebelah tangan sentiasa memastikan bendera tentera Islam terus berkibar manakala sebelah tangan lagi menghunus pedang melawan musuh. Semangat juang Mus'ab yang tinggi itu menyebabkan seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah meluru ke arahnya kerana menyangka pembawa panji itu adalah Rasulullah SAW lalu menetak tangan kanannya yang memegang bendera.
Mus'ab tidak membenarkan bendera itu jatuh ke tanah, lalu disambutnya dengan tangan kiri dan tidak lekang melakukan takbir. Ibn Qamiah menjadi bertambah marah dan menetak pula tangan kiri, tetapi Mus'ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan leher dan kedua-dua lengannya yang kudung. Mus'ab akhirnya terbunuh setelah ditikam oleh Ibn Qamiah dengan menggunakan tombak. Kesungguhan Ibn Qamiah membunuh Mus'ab yang disangkakan Rasulullah SAW kerana mempunyai rupa paras yang seiras.
Setelah Mus'ab terbunuh, beberapa orang sahabat al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit berusaha mempertahankan bendera itu daripada mencecah tanah. Al-Rum yang juga adik kepada Mus'ab berjaya menyambut bendera itu. Peristiwa itu memberikan penjelasan, bendera merupakan salah satu ikon yang mewakili sesebuah negara dan menghormatinya bukanlah tindakan bertentangan dengan Islam.
Bendera juga digunakan sebagai simbol penghormatan negara kepada wira-wira yang terkorban dalam mempertahankan negara daripada ancaman musuh, termasuk sebagai penghormatan terakhir kepada seseorang negarawan.
Dalam satu hadis sahih, terdapat tiga jenis 'pejuang' yang dilaporkan kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu pejuang atas dasar kesukuan dan fanatisme, berjuang atas kepentingan kebendaan dan terakhir adalah pejuang atas dasar mencari populariti. Baginda kemudiannya ditanya: Siapakah di antara mereka itu boleh dikategorikan sebagai pejuang sejati?
Rasulullah SAW kemudiannya menolak kesemua jenis pemimpin yang dikatakan sebagai 'pejuang' itu. Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa berjuang untuk meninggikan "Kalimah Allah SWT", maka itulah pejuang sejati." Berdasarkan tafsiran Sayyid Qutb, maksud "Kalimah Allah SWT" adalah kebenaran (al-haqq), kebaikan yang bersifat umum dan universal (al-khair), dan keadilan yang bersifat mutlak ('adl al-muthlaq).
Kebenaran yang dikategorikan sebagai "Kalimah Allah SWT" adalah kebenaran mutlak dan bersifat objektif. Ini membawa maksud, usaha segelintir golongan muda yang ingin menukarkan lambang negara itu bukan sahaja tidak menyentuh mengenai kebenaran mutlak, bahkan terlalu besar pembohongan apabila mendakwa "Sang Saka Malaya" merupakan bendera asal Malaysia ketika menuntut kemerdekaan.
Berdasarkan fakta sejarah, hanya kumpulan yang mendokong perjuangan politik Melayu kiri sahajalah yang menggunakan "Sang Saka Merah Putih" sebagai usaha mempamerkan penyatuan dengan semangat Indonesia Raya ketika berusaha menuntut kemerdekaan.
Perjuangan politik kiri itu bukanlah merupakan kelompok diterima oleh kebanyakan rakyat, kerana pertubuhan-pertubuhan politik kanan sudah memperoleh sokongan besar rakyat termasuk bukan Melayu untuk menggabungkan diri dalam Perikatan.
Pengertian kedua sebagai 'kebaikan yang bersifat umum dan universal', menurut tafsirannya bermakna sesuatu yang disukai dan diterima semua orang dalam setiap waktu dan keadaan. Ini bermakna, usaha menukar Jalur Gemilang dengan Sang Saka Malaya adalah sesuatu yang bertentangan dan tidak boleh diterima kerana bendera itu sebenarnya belum lagi diterima secara sah, ia hanya sekadar ciptaan individu tertentu yang masih bersifat peribadi. Bahkan ciptaan tersebut belum diterima sebagai lambang sah oleh parti berkenaan secara meluas.
Maknanya, perjuangan untuk menukarkan bendera dan menamakan Jalur Gemilang sebagai 'Jalur Malang' adalah tindakan yang melanggar kehendak umum dan boleh ditakrifkan sebagai biadab. Ia ditentang oleh bilangan yang lebih banyak dan belum pun dipersetujui oleh sebahagian yang menyertai Himpunan Janji Bersih secara mutlak. Ia hanyalah mewakili beberapa individu yang sengaja ingin mencetuskan kontroversi agar diberikan perhatian.
Kelompok ini merupakan hero yang silap. Mereka yang berkempen menukarkan bendera tersebut tidak mempunyai kapasiti dan akauntabiliti, kerana mereka sebenarnya sedang berkecamuk dengan kerendahan moral serta kekeliruan makna mengenai patriotik.
Makna ketiga adalah keadilan yang mutlak. Keadilan adalah nilai tertinggi dan amat dekat dengan takwa. Keadilan adalah nilai tertinggi, yang terletak antara hukum keseimbangan dan hukum kosmik. Manusia diharamkan mencabar hukum keseimbangan kerana ia boleh mendatangkan keadaan tidak stabil, konflik dan kekacauan di muka bumi.
Maksudnya, oleh kerana keadaan dalam negara semakin stabil, golongan yang susah semakin mengecil, setiap orang bebas bergerak tanpa rasa takut, jaminan undang-undang dan peraturan kepada setiap orang agar mengekang tindakan berbuat salah, setiap orang bebas memilih dan berkerjaya, setiap orang berhak membina kehidupannya sendiri, maka kelompok tersebut berusaha untuk memusnahkan kesemuanya.
Apa pun masalah umat Islam hari ini tidak mungkin dapat ditangani melalui usaha individu atau kumpulan secara berasingan. Nabi SAW menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya pada jemaah itu ada rahmat, dan pada perpecahan itu ada azab." (Hadis riwayat Iman Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabrani).
Mereka yang melakukan penderhakaan itu perlu dihukum dengan hukuman yang berat, dan setiap ahli masyarakat wajib menolaknya. Ia jelas memperlihatkan satu tindakan tidak bertamadun keluar daripada syariat Islam yang sebenar. Mereka bukan membela rakyat dengan kasih sayang, sebaliknya menghukum rakyat berdasarkan nilai-nilai kehidupan yang salah dan biadab.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12

Harapan menyeluruh rakyat kepada Kerajaan Pusat

BAJET 2013 akan dibentangkan pada 28 September ini. Bajet kali ini berlatar belakangkan antisipasi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang dinanti-nantikan pengundi. Sentimen pengundi yang mengharapkan kedudukan sosioekonomi yang lebih baik dilihat akan terus mendapat keutamaan dalam bajet kali ini.
Turut melatari bajet kali ini ialah kedudukan kewangan Kerajaan Pusat. Sudah 15 tahun Kerajaan Pusat membentangkan bajet defisit. Adalah penting bagi kerajaan untuk menilai kembali kedudukan pendapatan dan prioriti perbelanjaan operasi dan pembangunan negara. Satu kerangka transformasi belanjawan perlu dirangka ke arah mewujudkan bajet seimbang sebelum 2020.
Kedudukan defisit yang telah berlarutan lebih sedekad tidak boleh dibiarkan. Mengambil kira sensitiviti dan sentimen global yang semakin meningkat terhadap kedudukan defisit dan hutang banyak negara, satu langkah merasionalisasikan bajet perlu dibuat. Langkah ini akan meletakkan asas makroekonomi Malaysia ke arah yang lebih utuh.
Anggaran perbelanjaan operasi negara bagi 2012 ialah 78 peratus berbanding perbelanjaan pembangunan sebanyak 22 peratus daripada RM232.8 bilion jumlah perbelanjaan pusat.
Untuk memacu negara sebagai sebuah negara maju, kita berharap agar dalam Bajet 2013, agihan yang lebih besar akan dibuat untuk perbelanjaan pembangunan manakala perbelanjaan operasi negara dapat dikurangkan.
Keutamaan untuk meningkatkan kapasiti modal negara memerlukan peruntukan pembangunan yang lebih besar. Kita perlu menyediakan Malaysia dengan prasarana dan infrastruktur yang akan menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kehidupan sosial yang seimbang.
Meskipun maklum akan kedudukan bajet yang tidak seimbang seperti yang telah dijelaskan, selaku pembayar cukai, kita tetap mengharapkan agar kadar cukai individu dapat dikurangkan atau lebih banyak rebet dapat diberi bagi meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah.
Pihak syarikat juga mengharapkan agar cukai syarikat dapat dikurangkan, mengambil kira pelaksanaan gaji minimum yang terpaksa dibuat.
Untuk bajet kali ini, kita juga berharap agar kerajaan dapat merangka plan transformasi perumahan negara. Keadaan dan suasana perumahan di Malaysia perlu dinaik taraf selaras dengan taraf sebuah negara maju. Ini termasuklah langkah untuk merasionalisasikan harga rumah yang semakin membebankan terutamanya buat golongan yang baru bekerja. Pemilikan rumah sebagai - Impian 1Malaysia - perlu menjadi keutamaan.
Kita juga mengharapkan soal keselamatan dan integriti sosial negara akan mendapat perhatian yang lebih serius. Isu jenayah dan kebocoran sempadan negara perlu dibendung. Komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah juga perlu terus diperkukuh.
Penerapan nilai kemasyarakatan yang bersatu-padu dalam memastikan keamanan persekitaran perlu dirangka. Sama ada soal jenayah dan keselamatan merupakan suatu persepsi atau suatu realiti, usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat perlu mengambil kira kedua-dua aspek tersebut.
Perkara lain yang menjadi harapan ramai ialah supaya kos hidup di Malaysia dapat diperbaiki. Selain soal harga rumah dan harga keperluan asas harian lain, kita menanti dengan penuh harapan akan Dasar Automotif Nasional 2. Yang kita harapkan ialah pasaran automotif negara akan lebih kompetitif dengan rakyat dapat membuat pilihan yang pelbagai pada harga yang lebih rendah.
Juga kita mengharapkan bajet kali ini akan menjadi asas ke arah transformasi ekonomi hijau buat Malaysia. Bukan sahaja polisi industri yang mesra alam perlu diperkemas, langkah pemuliharaan dan pemeliharaan sumber alam negara perlu diperjitukan. Kita tidak mahu alam semula jadi kita rakus diancam oleh perosak tanpa melihat kepada nilai keasliannya yang tidak ternilai.
Semoga Malaysiaku terus makmur.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12

BN sedia penuhi kehendak rakyat

MACHANG 6 Sept. - Barisan Nasional (BN) akan membawa perubahan di Kelantan dengan Islam dijadikan model kemajuan dan kehebatan, bukannya sebagai modal politik jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN dan UMNO tidak mahu Islam dan hukum hudud hanya dipergunakan pada musim pilihan raya sebagaimana dilakukan oleh Pas yang sehingga kini gagal menunaikan janji-janji mereka selepas diberi mandat oleh rakyat.
Justeru katanya, BN bersedia memasukkan apa sahaja kehendak rakyat Kelantan seperti penyelesaian masalah air, pembinaan lebuh raya dan stadium dalam manifesto parti itu pada pilihan raya akan datang serta akan berusaha menunaikannya jika diberi mandat.
"Saya ingin melihat perubahan di Kelantan, kita akan bawa perubahan, Islam sebagai satu model, kita bawa Islam dengan kemajuan, kehebatan, kedua-duanya akan diperjuangkan oleh kerajaan BN. Kita tak mahu bawa Islam yang dilihat tidak membawa maruah, tak mahu Islam yang mana hukum hudud dijual sebagai modal pada pilihan raya.
"Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kata, kalau menang di Terengganu fajar menyingsing ayam berkokok hudud akan dilaksanakan, ayam tersebut semakin tua dah, sampai sekarang tak buat hudud.
"Kita tak boleh jual beli hudud, hukum Allah. Kalau betul-betul nak Islam kenapa bersekongkol dengan DAP? DAP sayang, hormat Islam? Kita UMNO perjuang, martabatkan Islam," katanya ketika berucap pada Majlis Jom Beraya Bersama Perdana Menteri di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Saamah.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan kepada 200 rumah penduduk miskin yang akan dibaiki dalam waktu terdekat, selain pemberian duit raya kepada 40 anak-anak yatim Asrama Bakti di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mempersoalkan cara Pas yang kononnya memperjuangkan Islam menangani isu bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa hanya kerana pemimpin terbabit bersama-sama kerajaan memperjuangkan kepentingan Islam dan umat Islam.
Sedangkan kata Perdana Menteri, Pas sebenarnya boleh berpakat dengan kerajaan dalam isu tertentu sebagaimana ditunjukkan oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut mengutuk tindakan biadab peserta Himpunan Janji Hijau melondehkan seluar dan memijak gambar beliau.
"Saya telah menulis surat peribadi menyatakan terima kasih kepada Tuan Guru Nik Aziz, ini bermakna dalam perjuangan kita mesti ada prinsip, kalau ada perbezaan pendapat atau masalah atas isu tertentu kita boleh berpakat, atas isu kepentingan umat Islam, masa depan dan perpaduan umat Islam kita boleh berpakat," katanya.
Jelas Perdana Menteri lagi, Malaysia dihormati oleh dunia dan dianggap model terbaik oleh banyak negara Islam termasuk Mesir yang mahu menjalin kerjasama erat dengan negara ini.
"Jadi percayalah kita berada di landasan yang benar dan betul, dunia akui dasar transformasi nasional kita baik, kita jadi negara maju pada 2020," katanya.
Jika pada malam ambang kemerdekaan, gambar beliau dipijak oleh sekumpulan kecil individu, tetapi di negeri kubu kuat pembangkang ini, Datuk Seri Najib Tun Razak disambut meriah lebih 30,000 orang yang majoritinya memakai baju merah.
Orang ramai turut membawa dan mengangkat gambar Perdana Menteri dan sepanduk 'Saya Sayang PM' sebagai tanda sokongan kepada pemimpin tertinggi negara itu.
Sementara itu, Awang Adek dalam ucapannya berkata, sambutan tersebut membuktikan rakyat di negeri ini menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12

Kempen pembangkang punca rakyat kurang kibar Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Sikap kurangnya semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang biarpun dalam bulan kemerdekaan berpunca daripada kempen politik kebencian parti pembangkang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu jelas menunjukkan sikap sesetengah pihak yang lebih mementingkan parti daripada negara sendiri.
Tegasnya, keadaan itu merupakan suatu yang bahaya kerana ia mampu menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat, sekaligus menjadikan negara tidak selamat.
"Mereka tidak setia kepada negara, tetapi setia kepada parti dan sebab itu golongan ini sanggup mengibarkan bendera sendiri daripada Jalur Gemilang.
"Sekiranya sikap ini dikembangkan, negara tidak akan mempunyai satu simbol yang diterima semua pihak tetapi lebih bersifat individu atau pihak-pihak tertentu," katanya ketika sesi soal jawab dalam majlis Sepetang Bersama Tun Dr. Mahathir di sini hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Kelab Pesara Kerajaan Lembah Pantai itu membuka ruang kepada para hadirin untuk berdialog bersama Dr. Mahathir.
Hadir sama, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Dr. Mahathir berkata, politik kebencian yang dibawa oleh pembangkang juga menyebabkan banyak pihak menutup mata terhadap kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan.
"Kalau sudah benci, kita tidak nampak lagi kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan, malah menjadikan kita tidak mampu untuk berfikir dengan lebih baik," ujarnya.
Jelasnya, sikap sesetengah pihak yang lebih mementingkan parti politik sehingga sanggup memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu juga merupakan antara anasir yang mampu menggugat kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi selama ini.
Katanya, UMNO telah membuktikan penyertaan selama lebih 55 tahun dalam pentadbiran negara berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini melalui konsep perkongsian kuasa yang diamalkan.
"Inilah Malaysia, kita berkongsi apa sahaja secara bersama termasuklah soal pentadbiran dan kuasa, malah, konsep ini telah dimulakan sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman lagi," tegasnya.
Selain itu, Dr. Mahathir turut mengingatkan rakyat bahawa menukar kerajaan bukanlah satu jaminan untuk negara menjadi lebih baik daripada apa yang dikecapi kini.
Ini kerana jelasnya, ia juga boleh menjadikan negara lebih teruk daripada sekarang.
"Tukar tidak semestinya yang terbaik, tetapi mungkin menjadi terburuk. Kalau tidak percaya pergilah lihat sendiri ke negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan sama dengan Malaysia, bagaimana keadaan mereka sekarang," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12

Terpengaruh 'aksi' pembangkang

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Rakyat seharusnya menghormati pemimpin negara walaupun mempunyai agenda dan fahaman politik yang berbeza demi menjamin keamanan dan keharmonian negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang ditunjukkan oleh peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lalu jelas menggambarkan tindakan yang tidak bertamadun dan dipengaruhi oleh pemimpin pembangkang.
Jelasnya, peserta himpunan itu mungkin terdidik dengan sikap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Penasihatnya, Lim Kit Siang yang pernah memijak gambar ahli politiknya yang keluar dari parti itu.
"Tindakan peserta himpunan itu memijak gambar tersebut adalah pengaruh daripada perbuatan pembangkang.
"Oleh demikian, saya menyeru semua rakyat menghormati pemimpin negara, baik pemimpin kerajaan atau bukan walaupun mempunyai perbezaan agenda dan fahaman politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Orientasi Siswa (MOSIS) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
Katanya, jika kepimpinan atasan dan pemuda pakatan pembangkang mengajar cara beradab yang betul kepada pengikut-pengikut (peserta) yang menyertai himpunan itu, mereka tidak akan berkelakuan demikian.
"Guan Eng sendiri diajar oleh Kit Siang untuk memijak gambar orang, jadi tidak hairan kebiadaban itu diikuti oleh para pengikut mereka," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12

Hamzah pastikan asas negara kukuh - PM

Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin menunaikan solat jenazah yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad pada majlis pengebumian Hamzah Abu Samah di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN 
*****
KUALA LUMPUR 5 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah sebagai tokoh yang amat penting dalam perjalanan politik dan sukan tanah air serta banyak memberikan sumbangan kepada negara.
Perdana Menteri berkata, sebagai ahli politik, Hamzah telah bersama para pemimpin negara terdahulu termasuk bapa beliau, Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein dalam mengisi nilai dan membentuk negara ini selepas kemerdekaan.
Dalam bidang sukan pula, kata beliau, Hamzah telah membantu negara mencapai beberapa kejayaan khususnya sewaktu menjadi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).
Sehubungan itu, tambah Najib, sumbangan beliau sudah pasti dikenang para peminat sukan dan masyarakat secara keseluruhan.
"Allahyarham telah bersama pemimpin lain berjuang memastikan asas tapak negara kita dapat dibina dengan kukuh.
"Sudah tentu dalam konteks sumbangan, beliau akan dibariskan bersama tokoh-tokoh lain atas jasa dan sumbangan besar beliau kepada bangsa, agama dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengebumian Hamzah di Makam Pahlawan Masjid Negara di sini hari ini.
Hamzah, 88, yang merupakan bekas menteri Kabinet dan tokoh sukan tanah air meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan pada pukul 3.30 petang semalam.
Allahyarham meninggalkan isteri, Toh Puan Zainon Hussain, 74, dan tujuh anak iaitu Mohd. Azlan, 55; Zulkifli, 54; Mohd. Azman, 52; Mohd. Izham, 50; Mohd. Shahril, 45; Salina, 44, dan Suria, 34.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12

20,000 rakyat hadiri jamuan Aidilfitri bersama PM

BESUT 6 Sept. - Kira-kira 20,000 orang membanjiri padang bola Kampung Tempinis, Kampung Tasik Tok Lebai dekat sini menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Tun Razak ke majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 11.30 pagi sambil diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan duit raya kepada anak yatim, orang kurang upaya, warga emas serta ibu tunggal.
Ini merupakan kunjungan pertama Najib ke kawasan itu dan beliau kemudian ke Kelantan bagi menghadiri program lain di negeri itu sebelum pulang ke Kuala Lumpur petang ini. - UTUSAN.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12

Jangan jadikan masjid tempat berpolitik

Mohd. Yusof Ismail (dua dari kanan) bersama ahli Perkasa menunjukkan kain rentang bertulis 'Perkasa Kota Setar Menentang Penggunaan Masjid Sebagai Pentas Politik' pada sidang akhbar di Alor Setar, Kedah, semalam. 
*****
ALOR SETAR 5 Sept. - Parti-parti politik di negara ini diingatkan agar tidak menjadikan masjid sebagai tempat untuk berpolitik kerana ia akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kota Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, Perkasa akan menentang habis-habisan sesiapa sahaja yang menggunakan masjid sebagai medan politik.
"Kita tidak mahu lihat lagi masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik dan adalah tanggungjawab ahli-ahli Perkasa di seluruh negara untuk mempertahankan kesucian masjid.
"Kami harap, Ahad lalu adalah hari terakhir parti politik menggunakan masjid sebagai tempat untuk berpolitik," katanya kepada pemberita di pejabat Perkasa Kota Setar di sini hari ini.
Ahad lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dibaling kasut ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Al-Hussin, Pumpong di sini dan mendakwa perbuatan tersebut dilakukan oleh ahli Perkasa yang didalangi oleh UMNO.
Bagaimanapun, Perkasa menafikan perbuatan itu dilakukan oleh ahli pertubuhan tersebut.
Menurut Mohd. Yusuf, Perkasa juga mempunyai perjuangan sendiri dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.
"Kami tahu pembangkang akan kata Perkasa adalah kuda tunggangan UMNO. Mereka boleh kata apa sahaja. Kami tidak kisah dengan tohmahan itu.
"Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun merupakan kuda suruhan DAP. Jadi buat apa kami nak takut dengan tohmahan pembangkang seperti itu," jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Yusuf berkata, Perkasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pakatan pembangkang terutama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang memutarbelitkan kisah yang berlaku di Masjid Al-Hussin, Pumpong.
"Tidak ada gambar atau video di internet yang memaparkan ahli Perkasa membaling kasut di dalam masjid tersebut. Jadi kami minta pihak pembangkang berhentilah daripada menjaja cerita ini untuk kepentingan mereka," tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12

Formula kekalkan kemerdekaan negara

KEMERIAHAN Syawal masih lagi terasa. Namun begitu seluruh masyarakat diseru tidak lupa betapa nikmat kemerdekaan yang di kecapi hari inilah yang membolehkan kita melakukan segala-galanya termasuklah bebas berhari raya ke sana ke mari dalam suasana muhibah semangat 1Malaysia.
Sementara itu, amalan rumah terbuka yang meriah dilakukan di merata tempat turut dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang berkongsi budaya sungguhpun berlatarbelakangkan kepercayaan yang berbeza.
Nikmat kemerdekaan dan kebebasan ini hendaklah dipelihara agar ia berkekalan sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Sehubungan itu juga beberapa formula untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan negara perlu dilestarikan bagi keharmonian hidup bersama.
Era penjajahan di Tanah Melayu sudah lama berkubur, namun begitu puing-puing penjajahan budaya dan pemikiran yang membelenggu masyarakat kelihatan sukar untuk dikikis. Akibatnya satu demi satu nilai jati diri Melayu secara khususnya tidak lagi mendapat tempat di hati segelintir masyarakat. Pemakaian baju Melayu, bersongkok dan bersamping sebagai contohnya mula dilupakan terutama ketika menyambut hari raya. Begitu pula terdapat di kalangan generasi muda lebih gemar memperagakan fesyen terkini berbanding baju kurung yang melambangkan kesopanan dan nilai Nusantara. Malah ada yang lebih selesa mengenakan fesyen pakaian yang menjolok mata dan keterlaluan demi ikutan nafsu sendiri.
Corak pemikiran yang tidak berteraskan nilai-nilai ketimuran juga mula dipraktikkan. Akibatnya gejala seks songsang seperti gay dan lesbian menarik perhatian golongan yang menyimpang daripada ajaran agama suci. Kelab-kelab hiburan yang mempromosikan amalan seks songsang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Muda-mudi Islam tanpa segan silu memuat naik perlakuan jijik mereka di laman sosial sehingga seluruh dunia menyaksikan betapa kita masih dijajah walaupun setelah 55 tahun merdeka. Justeru apa erti kemerdekaan jika hakikatnya masyarakat masih terjajah tanpa disedari.
Nikmat kebebasan beragama yang sebati dengan masyarakat Malaysia juga hendaklah terus dipelihara. Malah nilai yang dikongsi bersama ini merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah dinikmati sejak zaman berzaman. Oleh itu, sebarang anasir jahat yang cuba diseludup masuk ke negara ini seperti usaha buruk menyebarkan ajaran menyeleweng kepada golongan gelandangan dan umat Islam yang dalam kesempitan hendaklah ditentang habis-habisan. Begitu pula usaha pihak tertentu sama ada dari dalam mahupun luar yang ingin mencetuskan huru-hara dengan gerakan memurtadkan orang Islam secara terancang eloklah dihentikan bagi mengelak perbalahan agama yang merugikan semua.
Ini kerana berteraskan kepada Perlembagaan Negara, Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang dipersetujui oleh semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan oleh penganutnya, sehingga tiada sekatan untuk membina rumah ibadat secara sah dan melaksanakan ritual agama masing-masing. Bagaimanapun kebebasan ini tertakluk kepada larangan untuk mempengaruhi dan menyebarkan agama lain kepada umat Islam.
Malah uniknya lagi perayaan kaum yang berlatar belakangkan agama berbeza juga turut diraikan bersama oleh seluruh masyarakat Malaysia. Justeru diingatkan agar tiada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dalam situasi yang aman harmoni ini. Oleh itu, fahaman menyimpang seperti fanatisme, cauvanisme dan taksub yang melampau eloklah dijauhi dan dihindari. Jika tidak nikmat keamanan sedia ada serta impak negatif perbalahan etnik dan agama seperti yang berlaku di Rohingya pada ketika ini boleh sahaja menular ke sini dan pasti tiada sesiapa menghendakinya.
Sebagai makhluk yang dicipta tiada sesiapapun yang sempurna. Sudah pasti setiap insan punya kelemahan dan kelebihan masing-masing. Justeru jadikan kekurangan sebagai mekanisme untuk memperbaiki diri dan kelebihan dikongsi bersama agar manfaatnya melata dan dapat dirasai oleh semua. Selain itu sikap buruk saling mengeji dan memburuk-burukkan orang lain tidak wajar dipraktikkan. Begitu juga sikap dengki dan sering berpandangan serong termasuk penyakit dalaman yang memudaratkan.
Sebaliknya nikmat kemerdekaan hendaklah dikongsi bersama dengan semua pihak berusaha mengamalkan nilai-nilai positif seperti toleransi dan saling menghormati antara satu dan lain. Perselisihan dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara hendaklah disalurkan kepada pihak bertanggungjawab supaya penyelesaian yang komprehensif dapat diusahakan.
Umum mengetahui betapa susah payah tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu berusaha membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Segala pengorbanan yang ditempuhi mereka demi keamanan hidup generasi hari ini hendaklah dijadikan sumber inspirasi bagi membina negara bangsa yang berjaya dan disegani di mata dunia.
Untuk itu, semua individu yang cinta kepada negara haruslah berjuang meningkatkan pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi hingga akhirnya manfaat dan kebaikannya akan dirasai bersama. Golongan muda diseru memanfaatkan masa muda dengan berjuang untuk mendalami ilmu dan pengetahuan, supaya akan lahir lebih ramai cendekiawan Malaysia yang boleh dibanggakan satu hari nanti.
Kalangan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta selayaknya bekerja dengan penuh dedikasi tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif seperti rasuah, curi tulang dan mengamalkan kerenah birokrasi melampau yang boleh jadi menyusahkan urusan orang lain.
Akhirnya perpaduan dan kesatuan masyarakat untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan ini merupakan formula terbaik untuk mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan negara. Apa guna berbagai-bagai slogan dan pandangan diutarakan jika masyarakat berpecah belah dan tidak bersatu hati. Malah situasi seperti ini dibimbangkan akan membuka jalan dan ruang kepada pihak tertentu yang cuba untuk meniupkan api perkauman hingga marak menyala dan sukar untuk dipadamkan.
Umum mengetahui perselisihan dan pandangan berbeza dalam sesuatu perkara akan tetap berlaku di mana-mana namun begitu biarlah ia berteraskan kepentingan dan kemaslahatan hidup bersama bukan atas kepentingan kendiri.
/hwa: utusan.com.my : 6/9/12

Terengganu boleh menang, asalkan...

KELMARIN Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berada di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur untuk memberi taklimat perkembangan bahagiannya, UMNO Bahagian Kuala Nerus kepada Ibu Pejabat parti.
Sebenarnya belum pernah ia dilakukan sebelum ini. Sebelum Pilihan Raya Umum 2008 pun tidak ada. Ia pertama kali. Ini menandakan UMNO Pusat benar-benar serius mahukan ahli partinya termasuk kepimpinan peringkat bahagian benar-benar bersiap-siaga membina bahagian yang lebih 190 itu untuk menghadapi PRU-13. Ibu pejabat UMNO diketuai Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dikatakan setakat ini telah memanggil sekurang-kurangnya 50 ketua bahagian untuk urusan itu setakat ini.
“Ya, hari ini (kelmarin) cuma bahagian saya," kata Mohd. Nasir kepada kami yang disertai jurugambar, Mohd. Noor Mat Amin.
Mohd. Nasir, 55, anak kepada Menteri Besar Terengganu era parti Perikatan, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad senada dengan pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Barisan Nasional (BN) mampu meraih majoriti dua pertiga pada PRU-13. Ia, bagaimanapun, tegas bekas Perdana Menteri itu, asalkan jika ahli-ahli parti berkenaan memiliki pemikiran yang waras. Pemikiran waras yang dimaksudkan ialah mereka tidak mensabotaj parti hanya kerana tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih.
Terengganu sama seperti negeri-negeri lain, menjadi perhatian BN Pusat untuk dikekalkan mandat memerintah daripada rakyat negeri itu. Pagi ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di Setiu. Antara tujuannya adalah mendapatkan perkembangan lebih dekat akan persiapan jentera parti termasuk menyertai majlis rumah Terbuka Hari Raya bersama rakyat negeri itu.
“Uniknya rakyat Terengganu ini atau maksud saya pengundi Terengganu, mereka tidaklah taksub macam di negeri tertentu. Pada pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 1959, Perikatan di Terengganu kalah pada Pas tapi pada 1961, kita boleh dapat balik dengan undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pada 1999, kita kalah 28 kerusi tapi pada 2004, kita dapat balik 28 kerusi itu. Dan ketika ‘tsunami politik’ menyaksikan lima negeri lain tewas, kita di Terengganu masih dapat kekalkan mandat rakyat.
“Kita kalah pada 1999 pun disebabkan oleh orang UMNO tidak mengundi calon UMNO. Mereka bosan apabila diuarkan-uarkan cadangan untuk menggantikan Menteri Besar waktu itu, tidak juga dilakukan sehinggalah ke tarikh pilihan raya. Waktu itu pegawai-pegawai kerajaan pun sudah bosan dengan perkara ini ... masih tidak berganti, dan akibatnya kita ‘diajar’ waktu itu," katanya.
Berkeyakinan yang Terengganu mampu dikekalkan oleh BN pada pilihan raya umum akan datang ini, Mohd. Nasir yang juga Ketua Penerangan Perhubungan UMNO negeri itu dari tahun 2000-2004 bagaimanapun mengingatkan tentang kerja keras yang berterusan perlu dilipatgandakan untuk menjamin keyakinan itu.
“Dari segi BN Terengganu, apabila kita menang pada 2008, kita ada kalanya nampak agak defensif, kita tidak ofensif sampai ada ketikanya di sesetengah kawasan, bila Pas ‘attack’, kita kena defend pula sedangkan kita boleh ‘attack’.
“Dan saya ingat lagi tempoh hari (1999-2004) kita jadi pembangkang, kita perhebatkan perbincangan di peringkat DUN, bahagian dan negeri. Kita salurkan apa yang tidak puas hati ke peti-peti undi manakala penceramah pun kita pilih. Dan yang best sekali ialah penceramah local yang dipilih bukanlah satu nama besar tapi memiliki kupasan isu yang baik. Antaranya, kita bangkitkan soal isu-isu yang dekat dengan rakyat...kenapa jambatan tak siap, wakil rakyat ni pergi mana dan macam mana khidmatnya.
“Sebab itu apabila di Selangor menyaksikan ‘gelombang besar’, Terengganu yang dikatakan akan jatuh juga, tidak terjejas," kata beliau.
Ditanya apa antara isu yang perlu diselesaikan oleh kepemimpinan negeri di Terengganu, Mohd. Nasir berkata, setakat ini tidak ada isu pembangunan yang kritikal di negeri itu. Bagaimanapun beliau menarik perhatian mengenai keperluan menjaga hati dan perasaan pegawai-pegawai kerajaan. Ini memandangkan timbul cakap-cakap mengenai isu ‘Ketua Menteri Besar’. Juga, digembar-gemburkan ada segelintir individu yang dikatakan lebih berkuasa dalam pentadbiran negeri. Ia sehinggakan timbul cakap-cakap di belakang, antaranya ‘segelintir individu dikatakan melangkaui tangga jawatan meninggalkan mereka yang lebih senior’.
“Ia samalah seperti pada 1999 apabila sesetengah orang dalam kerajaan tidak puas hati dengan MB yang masih belum berganti. Para pegawai dan kakitangan kerajaan di Terengganu agak signifikan pengaruhnya dalam menentukan kemenangan sesuatu parti politik. Apabila Pas ambil alih, orang-orang mereka begitu rakus mengambil alih kuasa dan membuang pegawai-pegawai yang dilantik sebelum itu oleh pentadbiran BN.
“Tetapi BN waktu ambil pada 2004, kita ambil juga pegawai-pegawai yang dilantik masa Pas memerintah, tak semua yang tidak bagus. Inilah yang cuba saya kongsikan sebab orang dalam kerajaan ini apatah lagi kakitangan sokongan seperti kerani, mereka ini ibarat ‘gatekeeper’ untuk orang kampung bertanyakan masalah setempat. Ia termasuklah soal yang sekecil-kecilnya seperti membantu mengisi borang permohonan tanah dan sebagainya. Apa yang mereka saksikan dan isu-isu yang berlegar di jabatan mereka, itulah yang akan diceritakan kepada rakyat terutama pengundi, yang kemudian akan memangkah di kertas undi," katanya.
Mengenai isu pemilihan calon, Mohd. Nasir memberitahu, beliau berharap mereka yang lama bergelumang dengan sepak terajang parti dan ‘masak’ dengan pengalaman diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran BN pada PRU-13 nanti.
“Pernah Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Idris Jusoh) kata nah calon ni muka baru ada Master (sarjana) dan gerenti boleh menang. Namun, saya nyatakan kepada beliau, saya pun ada master juga, sejak 1981 lagi. Tetapi bila pilihan raya, calon tu kalah. Yang penting, kita mesti tengok sedalam mana seseorang itu komited untuk parti, tidak kiralah dia orang muda, jika dia layak, apa salahnya," katanya.
Mohd. Nasir merupakan satu-satunya Ketua UMNO Bahagian yang mengumumkan senarai nama calon secara terbuka termasuk kriterianya untuk kesemua empat kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus, apabila diminta mengemukakan senarai itu oleh Ibu Pejabat parti baru-baru ini.
“Ada bahagian tu, mereka rahsiakan dan buat undi sulit, tapi bagi saya perkara ini buat apa kita rahsiakan sebab rakyat sendiri pun tak tahu juga. Selain nama-nama mereka saya umumkan kepada media, saya juga gariskan kriterianya. Antaranya, mesti ada kesanggupan untuk jadi wakil rakyat, jangan nak jadi YB kerana nak kaut kekayaan," kata beliau.
Ketika ini kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sedang merancang untuk mewujudkan satu daerah baru di Kuala Nerus. Dengan 170,000 penduduk, Kuala Nerus layak diiktiraf sebuah daerah baru.
Namun, seperti mana kata Mohd. Nasir tadi, kepemimpinan BN negeri termasuklah di Terengganu sendiri yang menerima kunjungan
Perdana Menteri pagi ini perlu serius mendepani PRU-13. Barang yang hilang biasanya sukar untuk dikembalikan, bisik Mohd. Nasir.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12

Tindakan kibar bendera 'Sang Saka Malaya' mahu tukar Malaysia kepada republik?

Dr. Mahathir Mohamad dan Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali bersama Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil (kanan) bergambar dengan anak yatim dari Rumah Jalinan Kasih Cheras pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DRB-Hicom 2012 di Hotel Istana, Kuala Lumpur, semalam. 
*****
PUTRAJAYA 5 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan tindakan sesetengah peserta Himpunan Janji Bersih mengibarkan bendera lain bagi menggantikan Jalur Gemilang mempunyai agenda tersirat.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan provokasi secara terang-terangan itu seolah-olah mengakui hasrat pembangkang untuk menukar sistem pemerintahan Malaysia kepada sebuah negara republik.
"Mungkin itu niat mereka, kalau Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang disokong memanglah itu niat mereka (negara republik). Saya tidak berani nak kata tetapi itu satu kemungkinan," katanya selepas menerima lawatan seramai 27 pegawai kanan kerajaan daripada 10 negara Afrika di sini hari ini.
Dr. Mahathir mengulas tindakan biadab beberapa peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada 30 Ogos lalu yang mengibarkan bendera dinamakan sebagai 'Sang Saka Malaya' yang didakwa bakal menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa.
Dalam pada itu, mengulas tindakan segelintir peserta perhimpunan itu yang menghina pemimpin negara dengan memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, beliau kata, ia adalah disebabkan mereka ketandusan idea untuk menyerang kerajaan.
Dr. Mahathir berkata, pembangkang terpaksa menimbulkan perasaan kebencian terhadap pemimpin negara bagi mendapatkan sokongan orang ramai.
"Dia dah ketandusan idea. Tak ada idea jadi tak ada isu cuma timbulkan perasaan benci supaya benci pada orang akan dapat sokongan.
"Ini tunjukkan sebenarnya mereka tidak berkebolehan. Kalau dapat jadi kerajaan di Malaysia, rosaklah Malaysia," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12 

Ada gerakan cuba cipta tahap kedua kemerdekaan

SHAH ALAM 5 Sept. - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor mendakwa, terdapat banyak petanda politik yang seolah-olah menunjukkan ada gerakan yang cuba mencipta tahap kedua kemerdekaan negara.
Sambil menjelaskan petanda itu dilihat berdasarkan pengalamannya dalam bidang risikan semasa bertugas dalam pasukan polis, Abdul Rahim berkata, gerakan halus tersebut yang bermula beberapa tahun lalu berkemungkinan didalangi pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
Dakwa beliau, golongan itu mahukan lonjakan baru kerana pada mereka kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 hanyalah tahap kemerdekaan pertama iaitu kejayaan menghalau penjajah.
“Dalam erti kata lain, jika mereka mencapai kuasa, mereka akan mencipta kemerdekaan selanjutnya dengan menghapuskan Perlembagaan negara dan mewujudkan Perlembagaan baru seolah-olah sistem republik.
“Malah ada pemimpin tertentu selain menghasut rakyat di negara ini turut ke luar negara yang biasa dengan revolusi berdarah dan menyebarkan kononnya revolusi telah bermula di Malaysia," katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa Majlis Aidilfitri Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12

Pembangkang terap budaya kebebasan melampau

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Penerapan budaya kebebasan yang melampau oleh pemimpin pembangkang terhadap pengikut mereka khususnya dalam kalangan generasi muda menjadi punca utama sikap biadab serta tidak bertamadun penyokong parti itu sejak akhir-akhir ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanggungjawab menerapkan nilai tidak baik tersebut.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilihat bekerjasama dengan pembangkang dalam menerapkan unsur tidak sihat itu juga wajar dikenakan tindakan segera memandangkan budaya berkenaan tidak baik untuk rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
“Pemimpin pembangkang khususnya Anwar serta pemimpin NGO yang menyokong mereka seperti Datuk S. Ambiga bertanggungjawab menyemai budaya kebebasan melampau termasuk seks bebas, biadab, bencikan pemimpin, raja, ulama malah agama serta rasul.
“Tindakan tegas wajar diambil oleh pihak berkuasa terhadap anak-anak muda yang terlibat menghina bendera negara dan memijak gambar pemimpin pada malam ambang merdeka lalu.
“Namun tindakan tegas dan tanpa kompromi juga wajib dikenakan terhadap pemimpin politik pembangkang serta NGO yang menjadi punca utama tindakan tersebut berlaku," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas insiden biadab peserta perhimpunan Janji Bersih memijak serta menunjukkan punggung kepada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada sambutan malam ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini minggu lalu.
Menurut Mohamad Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), media-media yang menjadi perkakas kepada golongan tersebut seperti Malaysiakini juga perlu dikenakan tindakan.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera bertindak terhadap Malaysiakini kerana mendakwa portal berita itu setiap hari menyemai elemen negatif kepada minda masyarakat khususnya generasi muda.
“Saya hairan mengapa SKMM masih tidak mengambil sebarang tindakan terhadap portal berita melampau seperti Malaysiakini dan yang seangkatan dengannya sehingga ke hari ini. Kita perlu bertindak segera, portal berita melampau seperti itu menyemai elemen tidak baik kepada rakyat," jelasnya.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12 

NGO buat laporan polis kebiadaban peserta Himpunan Janji Bersih

WAKIL enam NGO Sepang menunjukkan laporan polis berhubung insiden kebiadaban peserta Himpunan Janji Bersih di IPD Sepang, Selangor, semalam. 
*****
SEPANG 5 Sept. - Pertubuhan Bukan Kerajaan Sepang (NGO Sepang) hari ini membuat laporan polis berhubung insiden kebiadapan pada malam ambang sambutan merdeka pada 30 Ogos lalu.
Wakil pertubuhan itu, Zainal Abidin Sahar berkata, pihak polis diminta mengambil tindakan segera terhadap individu-individu yang melakukan perbuatan melampau tersebut.
"Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan segera dan jangan biar perkara ini terus berlarutan. Sampai bila kita hendak lihat tindakan kurang ajar seperti ini?
"Gunakan apa saja akta dan tindakan yang boleh disabitkan mereka ini. Takut nanti menjadi ikutan pula," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Seramai 30 orang hadir memberi sokongan terhadap enam laporan polis oleh NGO Sepang yang terdiri daripada Alumni Majlis Belia Malaysia, NGO India Dengkil, Wanita Muda Sepang, dan Persatuan Belia Bukit Canggang.
Sebelum ini pelbagai pihak membuat laporan polis berhubung tindakan biadap peserta Perhimpunan Janji Bersih memijak gambar pemimpin negara dan menghina Jalur Gemilang ketika sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka baru-baru ini.
Zainal Abidin berkata, laporan polis yang dibuat hari ini juga untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya tidak faham mengapa Perdana Menteri dilakukan sampai sedemikian rupa, apalah salah beliau," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12

6 September 2012

Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalam dengan orang ramai ketika tiba di Padang Bola, Kampung Tempinis, Setiu, Terengganu hari ini, bagi majlis sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi. - Foto Imran Makhzan
Sep 6, 2012 1:55 pm

Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat gerai buah-buahan pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2012 yang bertemakan "Serumpun Kemesraan, Seikat Perpaduan, Semarakkan Lebaran" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Sep 5, 2012 5:02 pm

Al-Fatihah... Tan Sri Hamzah Abu Samah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyiram air mawar di pusara Presiden Seumur Hidup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan bekas tokoh politik, Tan Sri Hamzah Abu Samah selepas Allahyarham dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Sep 6, 2012 8:25 am

Malaysia, Brunei jalin kerjasama ekonomi

NAJIB Tun Razak (duduk kanan) dan Sultan Hassanal Bolkiah (duduk kiri) mengetuai kedua-dua delegasi Malaysia dan Brunei pada majlis taklimat oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA 4 Sept. - Malaysia dan Brunei hari ini melakukan pertukaran dokumen mengenai jalinan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Dokumen perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed manakala Brunei diwakili Menteri Luar dan Perdagangan Kedua Brunei, Pehin Datuk Lim Jock Seng kelmarin.
Penyerahan dokumen itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Acara pertukaran dokumen dilakukan antara Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang mewakili Mustapa manakala Brunei oleh Jock Seng.
Sultan Brunei mengadakan lawatan kerja ke Malaysia sempena rundingan tahunan selama dua hari mulai semalam.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12

Anwar cuba campuri urusan Pas - Ismail Mina

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mempengaruhi pucuk pemimpin Pas berhubung kedudukan Nasharudin Mat Isa yang akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Syura Ulama Pas, 9 September ini.
Presidennya, Ismail Mina Ahmad (gambar) berkata, Anwar telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 31 Ogos lalu bagi memastikan usahanya untuk menyingkirkan bekas Timbalan Presiden Pas itu mencapai matlamat.
"Tindakan tersebut perlu dibuat Anwar bagi membolehkan beliau dapat menguasai Pas dengan sepenuhnya.
"Anwar mempunyai perasaan tidak senang terhadap Nasharudin kerana beliau begitu lantang menentang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok itu juga menggesa pucuk pimpinan parti menyatakan pendirian berhubung penolakan konsisten DAP dan Pengerusinya, Karpal Singh terhadap cita-cita untuk menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
Pendirian Nasharudin yang teguh dalam isu Islam, hukum hudud dan pandangan terhadap Karpal, tidak disenangi Anwar serta pemimpin pakatan pembangkang lain.
Ismail Mina berkata, dalam hubungan ini, Pas perlu menyokong Nasharudin dan mengikut jejak pemimpin ulama mereka seperti Datuk Harun Taib dan Datuk Haron Din.
"Pas tidak harus dengar permintaan Anwar tetapi perlu membuat keputusan berhubung kedudukan Nasharudin mengikut kepentingan parti.
"Pas mempunyai pemimpin sendiri dan hierarki. Jadi mengapa perlu mengikut apa yang Anwar arahkan mereka buat?
"Ahli Majlis Ulama Syura Pas juga perlu membuat keputusan yang bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Buatlah keputusan yang sewajarnya," ujar beliau.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12

Kedudukan Nasharudin: Pas ikut telunjuk PKR

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pendirian Pas berhubung kedudukan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa di dalam parti itu akan dipengaruhi oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikuasai golongan Anwarinas.
Malah, Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim (gambar) percaya Ahli Parlimen Bachok itu bakal menerima nasib serupa seperti bekas Naib Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali yang kini berjaya disingkirkan daripada terus membuat 'kacau' di dalam parti.
"Saya ingin tanya adakah Nasharudin tidak mempunyai pengaruh langsung dalam Pas? Adakah beliau mencalar Perlembagaan Pas atau melakukan kesalahan moral?
"Oleh itu, kita minta Pas berdiri di atas kaki sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak terutama PKR," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kedudukan Nasharudin yang kini dilihat bagaikan di penghujung ekoran penegasan beliau supaya Pas mempertimbangkan semula hubungan dengan pakatan pembangkang berikutan penolakan secara konsisten DAP dan Pengerusinya, Karpal Singh terhadap cita-cita untuk menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
Zamil berkata, usaha penyingkiran Nasharudin dipercayai ekoran beberapa kenyataannya yang tidak 'digemari' oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama membabitkan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Katanya, ia menjadi faktor paling kukuh kepada Anwar untuk mencampuri urusan dalaman Pas sehingga mendesak Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyingkirkan Nasharudin.
"Kita tahu Anwar sangat benci Nasharudin kerana beliau antara pemimpin Pas yang terang-terangan menentang kegiatan seks bebas dan LGBT yang sering dikaitkan dengan PKR .
"Tindakan Anwar dan golongan Anwarinas untuk menyingkirkan Nasharudin adalah tidak demokratik dan tidak bermoral,'' tegas beliau.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12

ADUN DAP kena tumbuk

GWEE Tiong Hiang yang cedera ditumbuk dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, untuk pemeriksaan lanjut, semalam. 
*****
MUAR 4 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bentayan, Gwee Tiong Hiang, dikejarkan ke hospital kerana cedera di kepala selepas ditumbuk seorang lelaki dipercayai ahli DAP pada majlis makan malam parti tersebut di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, wakil rakyat DAP tersebut tiba di sebuah restoran untuk jamuan makan malam anjuran DAP Bahagian Bakri tetapi dihalang dua wanita yang mendakwa beliau tidak mempunyai tiket.
Bagaimanapun belum sempat Tiong Hiang menunjukkan tiketnya, secara tiba-tiba seorang lelaki muncul dan menumbuk muka beliau.
Tiong Hiang berkata, dia tidak dapat mengecam individu terlibat kerana insiden itu berlaku secara tiba-tiba.
"Saya rasa lelaki yang menumbuk saya itu juga anggota parti. Makan malam tersebut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tetapi kejadian berlaku sebelum beliau sampai.
"Walaupun rasa sakit dan pening saya tetap menyertai jamuan itu dan menunggu sehingga Guan Eng habis berucap. Selepas itu saya pulang ke rumah dalam keadaan muntah-muntah," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas sampai ke rumah keadaannya semakin teruk dan isterinya, Gan Sey Hui, menghantarnya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan kecemasan dan diberitahu perlu menjalani proses imbasan di bahagian kepala.
Sementara itu, Pengarah hospital berkenaan, Dr. Selahuddeen Abdul Aziz berkata, wakil rakyat pembangkang tersebut berada dalam keadaan stabil.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12

Zul Nordin jawab tuduhan Anwar

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Insiden dibaling kasut yang menimpa Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ‘diundang’ pemimpin pembangkang itu sendiri apabila menggunakan masjid sebagai platform politik.
Sambil menafikan perkara itu dilakukan oleh oleh ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Naib Presiden pertubuhan itu, Datuk Zulkifli Noordin (gambar) berkata, perbuatan tersebut dilakukan oleh individu yang tidak setuju dengan pendekatan Anwar berpolitik di masjid.
“Tindakan Anwar menyalah gunakan platform masjid untuk ceramah politik adalah perkara yang mengundang rasa tidak puas hati sehingga berlaku insiden itu.
“Lagipun, peribadi Anwar yang penuh dengan masalah moral itu sendiri telah mencemar masjid itu dan menimbulkan rasa marah orang berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia semasa Majlis Aidilfitri Korporat Kumpulan Utusan di sini, hari ini.
Kelmarin, Anwar mendakwa ahli Perkasa yang didalangi UMNO telah membaling kasut kepadanya sewaktu menyampaikan tazkirah Maghrib di Masjid Al-Husin, Pumpong, Alor Setar, Kedah.
Bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan oleh Ketua Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail semalam yang memberitahu tiada ahlinya melakukan perbuatan itu.
Menurut Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, beliau tidak hairan Anwar dilayan sebegitu rupa kerana cara berpolitik Ketua Pembangkang itu sering mengundang kemarahan orang ramai.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12

Pengisian 55 tahun kemerdekaan

SETIAP tahun apabila datangnya bulan sambutan kemerdekaan, ia dilihat amat signifikan untuk negara-bangsa ini, dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya sehingga ia lahir sebagai negara bersama merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963; membawa kepada 49 tahun penubuhan Malaysia.
Ia bukan sahaja menandakan 55 tahun kita sudah mengharungi hari kemerdekaan 31 Ogos 1957, tetapi juga menandakan tradisi 'syukur', 'berterima kasih', 'imbas', dan 'nilai' anjakan yang telah berlaku dan apa yang boleh dilakukan agar negara ini terus memacu kecemerlangan perubahan dalam kesinambungan yang telah dilakukan oleh warisan kepimpinan.
Pencapaian 55 tahun merdeka adalah pengisian kemerdekaan yang membezakan Malaysia dengan negara lain. Jika pengisian dan pencapaian kita sama dengan negara lain, kenapa Malaysia sering dijadikan contoh sebagai negara pesat membangun dan siapakah yang memeta pencapaian selama 55 tahun merdeka dengan pengisian yang membolehkan Malaysia gagah di mata dunia; bukan sebagai sebuah negara yang terletak antara Singapura dan Thailand lagi, tetapi digeruni kerana mampu membangun dengan pantas serta kesediaan melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah terfikir bagi sesebuah negara yang terus membangun seperti kita.
Hakikatnya, Malaysia sudah berubah wajah kerana proses pemodenan dan pembangunan pesat. Bagaimanakah Malaysia boleh tersenarai antara 21 negara paling kompetitif dalam Laporan World Economic Forum 2012; tangga ke-18 sebagai negara paling mudah memulakan perniagaan dalam Laporan Bank Dunia Doing Business 2012; yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012; pendapatan perkapita negara pada AS$9,700; KDNK RM852.7 bilion dan PNK pula RM830.7 bilion tertinggi sejak 1957; dan hasil tertinggi iaitu RM185.54 bilion.
Setiap warga harus boleh mengimbas dan menilai persekitaran dan alam sekitar mereka untuk memahami pengertian sebenar kemerdekaan. Kita perlu bertanyakan mana datangnya pembangunan ekonomi, politik dan sosial sehingga Malaysia dihormati dan diiktiraf oleh negara mundur, pesat membangun dan maju.
Apakah dalam jangkamasa 63 tahun merdeka pada 2020; kita boleh bersama menyuburkan semangat bangsa Malaysia yang menjunjung ketertinggian Perlembagaan, fasih berbahasa Malaysia dan bangga menjadi warga Malaysia, takrifan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam merangka Wawasan 2020?
Insan yang menghuni negara ini ketika itu dan generasi transisi ke arah itu kini barangkali sudah boleh bergelar 'kelas satu di negara kelas pertama', bukan sahaja memiliki infrastruktur dan prasarana kemudahan kelas pertama tetapi bangsanya merupakan yang ada ilmu, kebolehan dan kemahiran yang diselaputi dengan nilai moral pada perilaku dan karakternya. Erti persaudaraan adalah pada kekuatan nilai kemanusiaan agar tidak ada sifat syak wasangka dan curiga dan mencari titik keseimbangan bersama demi masa depan tanah air dan generasi yang akan terus mewarisi setiap inci pusaka bumi ini.
Ia juga amat memerlukan jiwa nasionalisme dan patriotisme. Ia bukan semata-mata menaikkan bendera pada bangunan, rumah atau kenderaan. Ia juga bukan sekadar menyanyikan lagu Negaraku. Ia juga bukan sekadar menghormati nilai simbolik kenegaraan. Pembangunan juga adalah nasionalis; memelihara alam sekitar, menjaga kebersihan, mempunyai kualiti kehidupan yang baik, sektor pendidikan yang membanggakan, peluang pekerjaan, sektor kesihatan yang melihat kadar kelahiran lebih baik dari kematian, sukan dengan pencapaian yang cemerlang atau apa saja yang kita harungi setiap hari demi untuk negara; kesemua yang membawa unsur positif lahirnya dari kesungguhan untuk memartabatkan kebebasan dengan pengisian yang memberi manfaat kepada populasinya.
Sepanjang 55 tahun, ada kelemahan wujud dan diakui oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam proses merekayasa negara tetapi kita boleh menyoal, apakah sepanjang 55 tahun kemerdekaan, kita lebih banyak diselubungi masalah sehingga menyukarkan suapan diri atau pencapaian mendahului dan menutup kelemahan yang wujud tanpa dinafikan sebarang kelemahan perlu diatasi agar tidak menjejaskan pembinaan negara-bangsa. Misalnya, keperluan 40 peratus ahli masyarakat yang berada di bawah garis kemiskinan bandar dan luar bandar merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu terus diberi kepentingan agar sumbangan mereka dihargai dengan memelihara kebajikan mereka.
Kita juga menyedari bahawa dunia ini tidak terpinggir dari kebencian tetapi di Malaysia, perlu ada keinginan untuk mempertahankan nilai kemerdekaan. Barangkali, pejuang kemerdekaan sudah membayangi kita akan berhadapan dengan keadaan yang kita lihat selepas 55 tahun sehingga bersedia untuk 'berkorban' dan 'berkompromi' di bawah gabungan besar politik kepartian agar masing-masing masih boleh gelak, ketawa, berjumpa, pejam mata dan esoknya negara masih kekal selamat.
Jangan menumpang simpati sisipan sejarah kerana tiada sebarang pertemuan yang direkacipta secara kosmetik dalam cubaan mendapatkan merdeka. Ia datang kerana pejuang kemerdekaan mencintai tata merdeka dan Raja-raja Melayu juga bersedia untuk memindahkan kuasa kepada pentadbiran kerajaan dan kekal sebagai ketua negara.
Tanpa Kontrak Sosial tidak akan lahir Perlembagaan dan tanpa Perlembagaan, tidak mungkin kita meraikan 55 tahun merdeka tahun 2012. Asasnya, warisan kepimpinan merangka masa depan bersama tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan praktis berbeza dalam kehidupan kepelbagaian negara ini.
Pejuang kemerdekaan tidak mendidik perasaan bangga diri tetapi pandai merendahkan diri dengan tatacara sendiri. Dalam mendapat kemerdekaan ketika itu, semua yang baru hendak naik tidak sombong atau biadab tetapi kuat, tabah dan ampuh dengan pujian perwatakan; penekanan kepada nilai hormati antara satu sama lain.
Kemerdekaan tidak boleh ditukar ganti. Kestabilan, keamanan dan hidup muhibah tidak boleh dipisahkan dan dalam keadaan tidak menentu, ia tidak boleh dikorbankan. Ia mesti dijunjung oleh kesemua warga yang sayangkan makna merdeka dan pengisian di sebalik kemerdekaan.
Persahabatan dengan penipuan akan menggagalkan kebenaran. Jangan kita senyapkan sejarah merdeka dengan kemungkaran kita. Pengisian kemerdekaan hanya dapat dilakukan secara berterusan jika kita mahu memahami dan terlibat sama dalam proses penambahbaikan pembentukan negara ini dalam acuan sendiri.
Kita bertanggungjawab ke atas tindakan kita, mengikut tuntutan hati. Perjuangan kemerdekaan bukan untuk melihat siapa menang dan siapa kalah. Ini perjuangan bersama walaupun fahaman politik berbeza. Keangkuhan tidak boleh menghalalkan pembohongan semata-mata mahu melihat erti merdeka dari lensa berbeza. Dalam perjuangan pengisian merdeka, jangan biarkan ketakutan menjadi perisai kegagalan. Biar tatacara dan sopan sila dalam Malaysia menggerunkan musuh di luar kerana warganya cekal dan bersatu.
Mari kongsi kesedihan dan kegembiraan negara atas nama Malaysia. Melalui kepercayaan ini kita mampu mengharungi apa sahaja masalah bersama, memberi dan menerima seadanya dan dapat lakukannya kerana percaya kita juga ada hak dan tanggungjawab. Tradisi lama boleh digantikan dengan tradisi generasi baru tanpa menghilangkan nilai sebenar di sebalik kesinambungan pembinaan 55 tahun Malaysia.
Pengisian kemerdekaan adalah pelengkap kepada transformasi yang merupakan satu perjalanan yang memerlukan kestabilan sepanjang masa dan bukan keadaan tidak menentu terutama dalam demografi dan populasi yang majmuk dan kompleks seperti Malaysia.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12

'Satu malam porak-perandakan negara'

Gelagat anak-anak muda ini bangga menunjukkan bendera baru untuk menggantikan Jalur Gemilang pada Perhimpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
"SATU malam sahaja untuk porak-perandakan negara".
*****
Itulah ungkapan pertama terpacul daripada mulut bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim ketika mengulas cubaan pihak tertentu untuk menukar Jalur Gemilang.
Ungkapan sama juga sebagai komennya terhadap insiden memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam ambang merdeka oleh pembangkang itu.
"Biadab, biadab, biadab. Saya hilang kata-kata melihat perbuatan tersebut. Inikah patriotik yang cuba disemaikan oleh pembangkang? Apakah mereka sudah tidak bertamadun?
''Jika tidak disukai sekalipun pemimpin itu, adakah aksi lucah mereka itu kita anggap demokrasi? Terkinja-kinja seperti monyet dengan balutan kuning 'Merdeka' di kepala?
"Bukankah kita dijanjikan sebuah perhimpunan yang aman? Mengapa benarkan perkara ini terjadi? Apakah peserta-peserta ini tidak cintakan negara mereka? Saya sendiri merasakan mereka tidak memahami apa itu erti merdeka kerana boleh melakukan perbuatan seumpama itu. Jika benar mereka itu patriotik, tidak mungkin mereka boleh bertindak sedemikian," tegasnya.
Ketika ditemui penulis di kediaman beliau di Sri Damansara, Kuala Lumpur malam kelmarin, Tunku Abdul Aziz menyelar pembangkang yang dilihatnya telah 'mempamerkan keupayaan' memporak perandakan negara dalam tempoh sehari sahaja dengan merosakkan sambutan Hari Kemerdekaan menggunakan perhimpunan 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka dan sambutan di peringkat negeri Selangor.
"Bayangkan, selama 54 tahun kita telah menyambut hari kebangsaan dengan bersatu hati di bawah satu bumbung, mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu Negaraku dengan semangat patriotik, tetapi pada sambutan kali (ke-55) ini, terdapat segelintir rakyat Malaysia enggan mengakui kewujudan bendera yang kita hormati.
"Tidak cukup itu, mereka kelihatan begitu bangga mengibarkan pula bendera yang seakan-akan bendera dari Singapura dan Indonesia. Saya berasa patah hati melihat anak bangsa sendiri berkelakuan seperti tidak berakal kerana termakan tohmahan kumpulan berkepentingan yang mahu mengubah Jalur Gemilang.
"Perlu saya ingatkan golongan ini bahawa Jalur Gemilang adalah hak milik setiap rakyat Malaysia. Ia bukan bendera parti politik yang perlu diubah mengikut cita rasa pemerintah. Cubaan mengubah bendera rasmi sesuka hati adalah perbuatan yang saya anggap sebagai jijik dan hina," tegasnya.
Tunku Abdul Aziz berkata, pembangkang telah menyemai benih kebencian terhadap Jalur Gemilang dan beliau kelihatan sungguh yakin dengan agenda pembangkang yang mahukan pembentukan sebuah negara republik.
Kata beliau: "Saya harap rakyat dapat lihat ke manakah arah hala tuju pembangkang kini. Dalam sekelip mata saja, pelbagai keinginan serta perubahan-perubahan 'aneh' cuba dilakukan oleh mereka.
"Baru sahaja empat tahun memerintah, mereka sudah besar kepala seolah-olah telah memerintah negara selama 55 tahun. Saya tidak dapat bayangkan apakah kita masih bersatu padu, andainya diperintah oleh mereka yang hanya mempunyai kepentingan mereka sendiri. Saya tidak hairan andainya pembangkang bercita-cita untuk menukar negara ini kepada negara republik. Itulah kemungkinan besar jawapan saya," katanya.
Ini bukan kali pertama cubaan pakatan pembangkang memprovokasi Jalur Gemilang. Sebelum ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pernah bertindak di luar dugaan dengan menggelarkan Jalur Gemilang kepada 'Jalur Malang' tanpa sedikit pun perasaan bersalah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan pula lebih drastik dengan berjanji akan mengubah bendera Malaysia kepada bendera baru jika pembangkang berjaya ke Putrajaya. Malah dia enggan mengakui Jalur Gemilang sebagai bendera rasmi dan berdegil untuk tidak mengibarkan bendera Malaysia di mana-mana beliau berada sehingga kini.
Dalam temu bual itu, Tunku Aziz turut menempelak pemimpin atasan pakatan pembangkang yang tiba-tiba menuding jari kepada UMNO dengan menuduh tonggak Barisan Nasional (BN) itu sebagai dalang cubaan menukar Jalur Gemilang selepas rata-rata masyarakat Malaysia bangkit dengan amarah. Tetapi selang beberapa jam kemudian, didapati seorang pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) terlibat dalam mereka cipta bendera merah putih itu.
"Adalah menjadi amalan biasa pakatan itu untuk segera menuduh UMNO punca segala salah silap yang terjadi. Agaknya jika ada bencana alam pun, akan segera menuduh UMNO sebagai punca bencana alam itu terjadi," katanya.
Beliau turut membidas sikap peserta perhimpunan 'Janji Demokrasi' yang bertindak luar batasan dengan memijak potret Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Tidak cukup dengan itu, ada peserta bertindak melampau dengan melondehkan seluar pada gambar tersebut dan ditatap beberapa orang Melayu dengan siulan kegembiraan oleh anak-anak muda.
Demikian juga apabila kerajaan PKR Selangor membelakangkan peranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan tidak menjemput baginda ke sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Selangor, insiden ini juga mendapat perhatian Tunku Abdul Aziz.
Kerajaan negeri berkenaan dilihat hanya membiarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang untuk menjadi orang kenamaan (VIP) dengan memberikan ucapan selama lebih setengah jam. Apakah ini seminar ekonomi atau majlis ceramah politik PKR?
"Apa lagi perubahan yang ingin dibuat oleh mereka? Bagaimana boleh bertindak sedemikian? Adakah ini gaya pembangkang apabila sampai ke Putrajaya kelak? Saya minta rakyat menilai sendiri betapa rakusnya pembangkang yang cuba mengambil tampuk kuasa dari kerajaan.
"Mereka (pembangkang) ini perlu 'dinilai' kembali oleh rakyat. Tidak melampau sekiranya saya katakan sedemikian kerana itulah yang saya rasa ketika saya meninggalkan mereka. Itu bukan kali pertama saya meninggalkan DAP, setelah dua bulan menyertai mereka, saya sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada mereka tetapi saya dipujuk rayu oleh mereka untuk terus tinggal dengan meyakinkan agenda ke Putrajaya adalah demi rakyat.
"Kononnya kehadiran saya adalah untuk menyelamatkan bangsa Melayu saya sendiri dari terus dihanyutkan oleh UMNO. Tetapi apabila saya meminta mereka supaya memberi peluang kepada saya untuk melakukan tanggungjawab menambah bilangan Melayu dalam DAP, mereka hanya mendiamkan diri. Seolah-olah DAP tidak perlu pemimpin Melayu lain kecuali saya seorang. Benarkah DAP itu parti untuk semua? Relevankah parti itu untuk Melayu," soalnya.
Nada Tunku Abdul Aziz dilihat amat kecewa apabila menyentuh tindakannya keluar DAP. Beliau bercakap seolah-olah telah lama meninggalkan parti pembangkang itu.
"Negara luar sedang memerhati bibit-bibit perpecahan yang sedang terjadi di negara kita. Selama ini kita boleh berbangga, pelbagai bangsa bawah satu bumbung. Mungkinkah ini masih relevan andainya mereka ini (pembangkang) memerintah?
"Adakah terlalu tinggi permintaan kita untuk hidup aman damai di bawah satu bumbung? Is it too much too ask? " soal Tunku Abdul Aziz.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12

5 September 2012

Malaysia, Brunei jalin kerjasama ekonomi

NAJIB Tun Razak (duduk kanan) dan Sultan Hassanal Bolkiah (duduk kiri) mengetuai kedua-dua delegasi Malaysia dan Brunei pada majlis taklimat oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA 4 Sept. - Malaysia dan Brunei hari ini melakukan pertukaran dokumen mengenai jalinan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Dokumen perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed manakala Brunei diwakili Menteri Luar dan Perdagangan Kedua Brunei, Pehin Datuk Lim Jock Seng kelmarin.
Penyerahan dokumen itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Acara pertukaran dokumen dilakukan antara Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang mewakili Mustapa manakala Brunei oleh Jock Seng.
Sultan Brunei mengadakan lawatan kerja ke Malaysia sempena rundingan tahunan selama dua hari mulai semalam.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12 

Mana kesopanan dan kesusilaan?

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Tindakan biadab peserta Himpunan Janji Bersih memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor merupakan perbuatan yang mencabul prinsip Rukun Negara.
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia jelas bertentangan dengan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan yang bertujuan membentuk warga negara bersopan santun dan bertatasusila.
"Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membina perpaduan yang kukuh. Prinsip yang terkandung di dalamnya merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan serta kestabilan negara.
"Gelagat peserta Himpunan Janji Bersih itu bukan sahaja membelakangi Rukun Negara, malah memperlihatkan sikap mereka tidak prihatin akan budaya rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan biadab peserta tersebut yang memijak gambar Najib dan Rosmah ketika sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka, 30 Ogos lalu.
Pada masa sama, Lam Thye mengingatkan generasi muda supaya menghayati prinsip Rukun Negara bagi menghindarkan mereka daripada perbuatan yang boleh mencemarkan nama dan imej negara.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12