11 Disember 2012

Pembangkang bohong 300,000 India tiada kerakyatan

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Dakwaan pembangkang bahawa terdapat 300,000 orang India di negara ini tidak memiliki taraf kewarganegaraan adalah satu pembohongan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Perdana Menteri, menerusi program pendaftaran kewarganegaraan kaum India yang dilaksanakan kerajaan, sekurang-kurangnya 9,000 orang telah dikesan.
"Daripada 9,000 ini, 4,500 kita sudah selesai bagi taraf kerakyatan (menerusi pemberian sijil kelahiran dan MyKad), 2,000 lagi dalam proses.
"Kita buka pendaftaran ini, sesiapa ada masalah boleh tampil ke hadapan dan saya bagi jaminan bahawa sesiapa yang layak mendapat kerakyatan, kita akan proses dan bagi kelulusan tetapi tidak sampai 300,000 orang, dia tipu," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menurut Najib, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merendah-rendahkan kebijaksanaan kaum India apabila berjanji bahawa jumlah 300,000 orang tanpa kewarganegaraan itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan selepas pakatan pembangkang mendapat kuasa.
"Dalam masa sebulan hendak selesai bererti bahawa satu hari 10,000 kes dia kena selesaikan, maknanya, dia kena cari 10,000 orang, dia akan proses borang 10,000 orang dan dia kena terima dan beri kelulusan 10,0000 orang, ini jelas merendahkan kebijaksanaan kaum India," katanya.
Menurut Najib, janji pakatan pembangkang adalah janji kosong dan menyifatkannya 'Janji Kampung Buah Pala'.
"Sebelum pilihan raya 2008, masa kempen, dia (Anwar) kata, kalau pakatan menang, dalam masa dua minggu selesai masalah Kampung Buah Pala dan penduduk boleh tinggal di situ selama-lamanya, akhirnya, itu tipu belaka," katanya yang memberitahu masalah itu akhirnya terpaksa juga diselesaikan Barisan Nasional (BN).
Kata beliau, pembangkang juga tidak menitikberatkan kepentingan kaum India kerana dalam tempoh empat tahun ini, sebanyak tujuh buah kuil telah dirobohkan oleh kerajaan pakatan pembangkang termasuk sebuah kuil persendirian di sebuah rumah di Sepang, Selangor.
Najib yang juga Pengerusi BN memberi peringatan bahawa setiap undi kepada pembangkang bermakna menyumbang kepada masa depan negara yang tidak menentu.
"Satu undi pembangkang juga bererti orang India dan masyarakat kita tertipu, janji Kampung Buah Pala akan berlaku lagi, malah pembangkang tiada agenda perubahan besar untuk negara," katanya.

Anwar minta 'nyawa politik'

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Ancaman pluralisme dan liberalisme yang menyerang masyarakat negara ini berpunca daripada keterbukaan pembangkang yang giat meminta sokongan serta campur tangan asing dalam mengubah struktur negara.
Naib Presiden Pertubuhan pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata, ini terbukti apabila pihak pembangkang membawa masuk elemen kuasa asing dalam bentuk pemikiran tokoh tertentu serta perjuangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar.
"Serangan terhadap akidah umat Islam di negara ini dilapik dengan perjuangan hak asasi dan kemanusiaan kononnya, sedangkan yang nak rosakkan Islam itu ialah nilai liberalisme dan pluralisme.
"Kalau tidak bendung sekarang, dalam tempoh terdekat ia akan merosakkan orang Melayu dan tunjang agama Islam dan ancaman terhadap Islam dari pembangkang ini memang nyata, kita dah tengok bukti kemasukan NGO asing dan tokoh asing yang jelas," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
Zulkifli diminta mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam wawancara baginda yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini yang mengingatkan umat Islam tidak terlalu terikut-ikut dengan pemikiran liberalisme dan pluralisme yang menyesatkan.
Dalam pada itu, Zulkifli turut mempersoalkan kewajaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengagungkan serta membawa bekas Presiden Indonesia, B.J. Habibie untuk memberikan ceramah mengenai pluralisme di sini beberapa hari lalu.
"Anwar nak minta 'nyawa politik' daripada Habibie sebab masyarakat sudah tidak mahu dengar Anwar di sini, namun Habibie tidak ada autoriti untuk bercakap mengenai pluralisme kerana fatwa di Indonesia sendiri kata pluralisme adalah sesat.
"Anwar tidak patut memperkudakan Habibie kerana rakyat Malaysia sudah cukup matang menilai sesuatu perkara dan saya ingatkan Anwar supaya mendepani rakyat dengan keupayaan sendiri, jangan selindung di balik skirt-skirt orang luar," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penyertaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ke dalam UMNO semalam, Zulkifli berkata, beliau tidak akan menyertai UMNO kerana peranannya dari luar parti itu juga boleh membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencapai kejayaan pada pilihan raya umum nanti.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas pula berkata, beliau tidak akan memohon menyertai UMNO kerana pernah dipecat parti itu dahulu walaupun 'hati dan jiwanya' masih bersama UMNO.
"Namun jika ada pelawaan daripada UMNO supaya saya menyertainya, saya sedia mempertimbangkannya kerana tidak mahu dikatakan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong," katanya.

'Ambil perhatian titah sultan'

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diminta meneliti dan mengambil perhatian terhadap titah yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memastikan negeri itu sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah sampai masanya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exconya meletakkan semula peranan Sultan sebagai bahan rujukan tertinggi terutamanya melibatkan kepentingan agama Islam serta orang Melayu.
"Sultan adalah penjaga kepentingan agama Islam dan bumiputera. Kalau tiada apa-apa, masakan Sultan hendak menasihatkan tentang sesuatu perkara secara terbuka.
"Apabila ada teguran yang dizahirkan, kemungkinan terdapat kelemahan dalam beberapa perkara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia hari ini berjanji akan terus membuat teguran demi kepentingan Islam, bangsa Melayu dan perpaduan antara kaum walaupun menerima tohmahan bahawa baginda seolah-olah menyebelahi parti tertentu.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda cuma memberikan nasihat secara ikhlas kepada rakyat Selangor dan tidak berasa tertekan atau menyerah kalah dengan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan.
Tambah Nadzim, teguran Sultan Sharafuddin juga perlu dilihat dalam konteks kekeluargaan seperti ibu bapa yang menasihati anak-anaknya.
"Bapa akan memberi nasihat apabila mendapati anak-anaknya melakukan kesalahan," katanya.
Mengulas perkara sama, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, nasihat dan teguran secara terbuka oleh Sultan Sharafuddin jarang berlaku pada pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.
"Ini jelas membuktikan kelemahan kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan dan kebajikan Islam serta orang Melayu sekarang ini.
"Saya bimbang apabila baginda terpaksa bertitah perkara yang sama berulang kali," ujarnya.
Mohamed Maliki menambah, sebagai sebuah kerajaan negeri yang mempunyai Menteri Besar dalam kalangan orang Melayu seperti Abdul Khalid, mereka sepatutnya faham maksud tersirat serta nasihat yang sering dizahirkan baginda.

Wang ihsan: Kerajaan Pas Kelantan ditempelak

KOTA BHARU 9 Dis. - Kerajaan Pas Kelantan ditempelak kerana terus mempolitikkan isu pemberian wang ihsan meskipun Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengkaji perkara tersebut dan kerajaan negeri juga bersetuju menghantar wakil mereka.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan Pas Kelantan seharusnya menggunakan saluran yang ada bagi membincangkan sebarang perkara berbangkit mengenai perkara tersebut dan bukannya bertindak menjaja fitnah ke seluruh negara.
Beliau turut menolak tuduhan wang ihsan terbabit hanya disalurkan kepada puak tertentu atau kroni dalam kalangan anggota UMNO di negeri ini.
"Kerajaan Pusat sudah menubuhkan jawatankuasa dan kerajaan negeri juga sudah mengemukakan nama wakil mereka ke jawatankuasa berkenaan, maka apabila sudah ada wakil, ia menunjukkan kerajaan Pas Kelantan mengiktiraf (penubuhan jawatankuasa khas itu).
"Maka, tidak payah gege (bising) ke hulu ke hilir membuat pelbagai tuduhan serta fitnah, sepatutnya kita pakat molek (baik-baik), kena tunjuk akhlak Islam," katanya.
Beliau berucap merasmikan Hari Terbuka Wisma Persekutuan, Karnival Koperasi Peringkat Negeri 2012 dan Sambutan Maal Hijrah 1434 di pekarangan Wisma Persekutuan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ketua Sektor Operasi dan Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Md. Deris Jusoh; Pengerusi Majlis Perunding Koperasi Negeri, Datuk Noor Zahidi Omar dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamed Fatmi Che Salleh.
Kerajaan pada 4 Ogos lalu menyatakan persetujuannya menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, Jawatankuasa Khas itu akan mengkaji serta mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam reaksinya memberitahu, beliau akan menghadap Sultan Kelantan bagi mendapat perkenan baginda mengenai wakil negeri itu yang akan menganggotai Jawatankuasa Khas berkenaan.
Dalam sidang media kemudiannya, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pihaknya tidak ada masalah dengan gesaan pemimpin Pas Kelantan supaya pengagihan wang ihsan di negeri itu diaudit Jabatan Audit Negara.
"Tak ada masalah, memang semua akaun kerajaan diaudit oleh Jabatan Audit Negara tanpa terkecuali wang ihsan.
"Yang penting wang ihsan itu digunakan untuk membantu pelajar masuk universiti, cumanya kena pohon sebab kita tidak tahu siapa dapat masuk universiti. Bagi pelajar, kita ada senarai daripada Jabatan Pelajaran Negeri, itulah yang kita bagi," katanya.

Istana Negara lama simbol tradisi warisan

DR. Rais Yatim (tengah) bersalaman dengan beberapa hulubalang Istana Negara lama selepas menyaksikan persembahan mereka di Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Istana Negara lama bakal menjadi simbol tradisi pelancongan dan warisan yang memberi nilai tinggi dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sehubungan itu, segala langkah dalam usaha untuk mengekalkan warisan itu dipergiatkan dengan menyusun semula pentadbiran, penyusunan artifak termasuk meletakkan pengawal yang berpakaian seperti hulubalang sebuah istana lama pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Menurut beliau, ia akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari depan manakala sistem pengawalan itu akan dimulakan pada 16 Disember ini.
"Kita akan mentradisikan cara pengawasan istana ini mengikut cara kawalan istana lama dalam lipatan sejarah dengan meletakkan pengawal berpakaian soldadu yang akan beroperasi setiap masa sekali gus memberi suasana ketulenan kepada pelawat.
"Keseluruhan pengoperasian istana lama ini akan dikawal selia semula di bawah Jabatan Muzium dan Jabatan Warisan Negara yang akan berperanan sepenuhnya semua aspek pemuliharaannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan persembahan hulubalang Istana Negara lama, di sini hari ini.
Menurut beliau, Pameran Raja Kita mengenai institusi raja-raja Melayu yang kini telah mencecah 314,757 pelawat sejak 15 April lalu akan diteruskan dengan menambah baik komponen penceritaan yang akan dihuraikan secara visual dalam pelbagai bahasa untuk pelawat dalam dan luar negara.
Ini termasuk membuka ruang-ruang tertentu seperti bilik-bilik yang digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi acara-acara tertentu yang pada ketika ini tidak dibenarkan kepada pelawat.

Perkasa minta semua pihak terima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

IBRAHIM Ali beramah mesra dengan sebahagian daripada 520 murid yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah selepas menyampaikan sumbangan wang dan beg sekolah di Pasir Mas, semalam. 
*****
PASIR MAS 8 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta semua pihak menerima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bakal dibentangkan oleh kerajaan tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya percaya pelan tersebut digubal oleh kerajaan selepas mendengar tuntutan daripada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, pelan tersebut tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur politik.
"Perkasa sekali lagi meminta semua pihak memberi sokongan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang sudah hampir selesai.
"Saya percaya kerajaan mendengar semua tuntutan NGO yang praktikal dan tidak bertentangan dengan matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan tetapi sekiranya ia bercanggah dengan dasar tersebut, sewajarnya ia diketepikan dan golongan yang menuntut itu harus menerima apa yang dibuat oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 520 pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan itu menerima hadiah berupa wang tunai, baucar dan beg sekolah.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, semua pihak juga telah diberi peluang oleh kerajaan untuk menyampaikan pandangan dalam sesi pendengaran awam yang diadakan sebelum ini.
"Pelan itu bukan agenda parti pemerintah tetapi digubal atas kehendak rakyat kerana melalui pendengaran awam pelbagai maklumat dan cadangan telah diterima dan ditapis.
"Tambahan pula mereka yang terlibat dalam menggubal jawatankuasa terdiri daripada mereka yang cerdik pandai dan ini akan memberi kebaikan kepada negara pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, hadiah kecemerlangan peperiksaan tersebut diadakan buat tahun ke-25 berturut-turut untuk pelajar cemerlang di kawasan Parlimen berkenaan.
"Ini majlis tradisi saya pada setiap tahun malah ada di antara pelajar yang dibantu telah mendapat pekerjaan, bagi saya pelajar cemerlang harus diberi dorongan secara berterusan supaya mereka dapat mengekalkan kecemerlangan itu.
"Saya mengucapkan tahniah kepada guru-guru dan ibu bapa kerana kerjasama erat ini telah terbukti dapat meningkatkan tahap kecemerlangan tersebut. Sebagai contoh, setiap tahun keputusan UPSR menunjukkan peningkatan dan tahun ini seramai 520 orang mendapat 5A berbanding 400 pelajar pada tahun lalu," katanya.

Zahrain ketuai 347 bekas ahli, pemimpin pembangkang sertai UMNO

Najib Tun Razak menerima borang permohonan keahlian menyertai UMNO daripada Zahrain Mohamed Hashim sambil diperhatikan oleh Zainal Abidin Osman (sebelah Najib) dan Aminah Abdullah serta bekas pemimpin pembangkang lain di pekarangan Bangunan UMNO Bayan Baru, Pulau Pinang, semalam. 
*****
PULAU PINANG 8 Dis. - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini mengetuai 347 bekas ahli dan pemimpin pembangkang menyerahkan surat permohonan untuk menjadi ahli UMNO kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Zahrain yang juga bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang berkata, sudah sampai masanya untuk mereka kembali kepada UMNO memandangkan orang Melayu sudah tiada pilihan lain bagi meneruskan perjuangan dalam arena politik tanah air.
Beliau berkata, PKR dan Pas yang kononnya mewakili orang Melayu sebenarnya mempunyai agenda lain.
"Perkara ini jelas, orang Melayu akan terpinggir sekiranya terus berada di bawah PKR dan Pas. Ingin saya bertanya kepada semua umat Melayu, apakah yang mampu diberikan oleh kedua-dua parti itu kepada orang Melayu?
"UMNO adalah wadah untuk kita terus memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam di negara ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Makan Tengahari Perdana Menteri Bersama Masyarakat Bayan Baru di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Zahrain mengetuai 347 bekas pemimpin dan ahli pembangkang dari kawasan Jelutong, Bayan Baru dan Bukit Gelugor menghantar surat permohonan untuk menyertai UMNO.
Antara bekas pemimpin pembangkang lain ialah bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah; bekas Ketua Bahagian PKR Bukit Bendera, Mohd. Rofi Osman; bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan bahagian Bayan Baru, Nurilmi Ismail dan ahli Pas bahagian Balik Pulau, Jaffar Osman.
Zaharin dalam pada itu menambah, pihaknya yakin selepas ini lebih ramai ahli dan bekas ahli pembangkang yang akan memohon untuk menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Kami sememangnya merasa tertipu dengan kepimpinan pembangkang terutama pemimpin PKR.
"Saya percaya selepas ini bukan sahaja orang Melayu tetapi orang Cina dan India yang berada dalam pembangkang juga akan menyusul menyertai BN.
"UMNO dan BN hari ini sangat berbeza dengan UMNO dan BN yang saya tentang dulu malah mereka lebih jelas mempunyai matlamat serta pembawaan lebih kukuh dalam membela rakyat tanpa mengira bangsa," ujarnya.
Katanya, rakyat seharusnya sedar bahawa pembangkang adalah lebih teruk daripada segala tohmahan yang mereka lontarkan terhadap UMNO dan BN.
"Oleh itu, biar apa pun yang berlaku, kami semua akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri demi menyelamatkan negara daripada segala bentuk penipuan pembangkang.
"Tidak kira siapa pun yang akan diletakkan sebagai calon BN di negeri ini, kami akan bersatu dan bersama membantu untuk memastikan BN kembali memerintah Pulau Pinang," jelasnya.

Janji Perdana Menteri

Najib Tun Razak memerhatikan Chang Lai See, 49, memasukkan data pengenalan diri bagi permohonan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) sempena program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, semalam. Turut hadir Jamaluddin Jarjis, Teng Chang Yeow (kanan) dan Abdul Mutalib Alias (dua dari kiri). - MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN 
*****
PULAU PINANG 8 Dis. - Sebanyak 20,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik serta sistem pengangkutan monorel akan dibina di negeri ini sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir semula kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak 10,000 unit rumah akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan 10,000 lagi oleh JKP Sdn. Bhd., Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Katanya, projek pembinaan kediaman tersebut bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Rumah yang dibina oleh PR1MA Berhad berharga lebih rendah di pasaran, misalnya kalau harga pasaran sebuah rumah RM500,000, kita akan jual RM300,000 kepada rakyat," katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan beberapa menteri Kabinet.
Hadir sama, Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan juga Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.
Najib berkata, rumah PR1MA itu kini dibuka untuk pendaftaran dalam talian dan akan dicabut undi secara telus.
Menurutnya, janji kerajaan BN itu tidak sama seperti kerajaan DAP Pulau Pinang kerana tiada rumah kos rendah atau mampu milik yang dibina di negeri ini seperti disebut dalam Laporan Audit Negara 2010.
Beliau menambah, pemimpin pembangkang juga hanya pandai berjanji kepada rakyat tetapi tidak ditunaikan.
"Inilah janji saya di depan ribuan rakyat Pulau Pinang dan bukan macam janji Ketua Pembangkang yang mahu mengatasi masalah rumah di Kampung Buah Pala dalam tempoh dua minggu, tetapi mereka tidak tunaikan.
"Semua orang tahu penduduk Kampung Buah Pala tidak dapat rumah seperti yang dijanjikan dan yang selesaikan masalah 26 keluarga India ialah kerajaan BN," ujarnya.
Sementara itu katanya, sistem pengangkutan monorel itu bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di negeri ini.
Katanya, penduduk Pulau Pinang berhak disediakan dengan kemudahan pengangkutan moden sedemikian demi menjamin kehidupan lebih selesa.

Surendran diberi amaran jangan main sentimen kaum

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran dicabar mengemukakan senarai 300,000 penduduk India yang didakwa beliau tidak mempunyai kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.
Timbalan Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan MIC, Datuk R. Ramanan berkata, jika gagal berbuat demikian Surendran perlu bersara dari dunia politik kerana membuat dakwaan palsu.
"Saya beri amaran kepada Surendran supaya tidak memainkan sentimen kaum demi kepentingan politik beliau.
"Surendran cuba berlagak hero sedangkan angka tersebut (300,000) tidak masuk akal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Surendran seperti dipetik menerusi portal propembangkang berkata, pakatan pembangkang akan berkumpul di hadapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Rabu ini bagi menuntut agensi itu menyelesaikan isu status kewarganegaraan 300,000 penduduk India berkenaan.
Tambah Ramanan, pihaknya bersedia 'membantu' menyediakan 10 pegawai untuk bersama Surendran mengenal pasti 300,000 penduduk India yang didakwa tidak mempunyai status kewarganegaraan itu.
Mengulas rancangan Surendran berkumpul di JPN, Ramanan berkata, tindakan itu jelas membuktikan sikap sebenar pemimpin pembangkang yang suka mencetuskan keadaan huru-hara.
"Kalau betul ini adalah cara kepimpinan pembangkang, negara kita akan hancur. Lihatlah cara mereka menggunakan sentimen kaum untuk meraih undi dan mempolitikkan masalah rakyat," ujarnya.

Waspada dana khas biayai ahli BN sabotaj parti

KUALA LUMPUR 7 Dis. - UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan berwaspada dengan taktik kotor pembangkang yang kini mewujudkan dana khas bagi membiayai ahli BN yang kecewa untuk melakukan sabotaj serta lompat parti.
Bekas Setiausaha Sulit Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, beliau sendiri telah menerima maklumat dalaman berhubung dana khas bagi membiayai ahli UMNO serta BN yang kecewa itu supaya menjadi 'duri dalam daging' dalam pilihan raya umum akan datang.
Jelasnya, operasi itu adalah sama seperti rancangan 16 September 2008 yang mana Anwar pernah mencuba 'membeli' beberapa ahli Parlimen BN untuk lompat parti dengan pelbagai tawaran namun gagal.
"Saya turut difahamkan pembayaran itu nanti akan dibuat melalui Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggunakan dana yang diterima daripada pihak asing.
"Sehubungan itu, Lembaga Disiplin UMNO dan BN harus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tidak ada ahli sanggup menjadi musuh dalam selimut dalam pilihan raya umum akan datang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim semalam berhubung sebuah dana khas yang diwujudkan pembangkang bagi membiayai ahli UMNO dan BN melakukan sabotaj dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, beliau mahu setiap agensi kerajaan memantau lebih rapi kemasukan dana asing khususnya kepada pembangkang supaya Pilihan Raya Umum Ke-13 berlangsung dengan adil tanpa campur tangan pihak luar.
Malah, beliau tidak menolak Suaram berkemungkinan memainkan peranan penting dalam pilihan raya umum akan datang untuk membantu pihak pembangkang dan kuasa asing.
"Tindakan Suaram menerima dana asing dan kemudian digunakan untuk membiayai perbuatan tidak bermoral seperti itu sewajarnya digelar sebagai pengkhianat negara.
"Saya juga mencabar Suaram menyaman saya dan Ruslan segera sekiranya maklumat itu tidak benar," tegasnya.

10 Disember 2012

Penduduk India Selangor marah

SEBAHAGIAN daripada 300 penduduk keturunan India yang berarak dan berhimpun di hadapan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi 
*****
SHAH ALAM 7 Dis. - Hampir 300 penduduk keturunan India marah dengan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang dikatakan membohongi mereka berhubung isu rumah ibadat penganut Hindu di negeri ini.
Mereka yang berarak dan berhimpun di hadapan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) hari ini menyatakan rasa tidak puas hati selain mempersoalkan pentadbiran kerajaan negeri yang merobohkan beberapa kuil dan tempat ibadat penganut agama itu.
Tindakan itu dikatakan bertentangan dengan janji yang dibuat oleh PKR, DAP dan Pas bahawa tiada rumah ibadat akan dirobohkan.
Ketua Pemuda MIC, T. Mohan yang mengetuai perhimpunan tersebut mendakwa, tindakan kerajaan negeri itu merupakan satu penipuan kepada masyarakat India di Selangor yang sebelum ini mengharapkan janji pakatan pembangkang yang mahu menjaga kebajikan serta rumah-rumah ibadat mereka.
Katanya, setakat ini kerajaan negeri Selangor dikatakan merobohkan beberapa tempat ibadat penganut Hindu antaranya Kuil Sri Kaliamman di Ampang pada September 2008; Kuil Sri Muniswarar di Shah Alam (November 2011) termasuk Kuil Maha Mariaman dan rumah ibadat kecil di Sepang pada Februari dan November lalu.
"Kerajaan negeri tidak sensitif dengan masyarakat India, sebelum ini mereka janji tidak akan robohkan kuil sekarang mereka robohkan juga. Justeru, kita menuntut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu ini.
"Pada masa yang sama, Menteri Besar harus mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada masyarakat India di Selangor selain memberi jaminan tidak akan merobohkan mana-mana kuil di negeri ini. Kita juga menuntut kerajaan negeri membina semula kuil-kuil yang telah dirobohkan sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika menyertai perhimpunan itu.
Turut hadir dalam perhimpunan tersebut yang bermula pukul 11 pagi ialah Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S.A. Vigneswaran; Presiden Persatuan Athma Sakthi India, M. Vasantha Kumar dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat India lain seperti Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam).
Pada masa sama, Mohan yang turut menyerahkan memorandum tuntutan tersebut kepada wakil kerajaan negeri, Abdul Razak Ismail turut menggesa Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar supaya bertanggungjawab dalam isu merobohkan kuil tersebut.
Katanya, selaku Exco yang bertanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat India, Xavier sepatutnya memahami serta mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut, bukannya bersikap lepas tangan.

Apa kriteria Hadi pilih jemaah menteri pakatan pembangkang?

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menjelaskan kepada umum kriteria yang bakal digunakan beliau dalam melantik anggota jemaah menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, sebagai calon utama Perdana Menteri pakatan pembangkang kriteria itu menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong pembangkang.
"Adakah Abdul Hadi akan melantik seorang menteri terdiri daripada individu yang mempunyai jawatan dalam parti atas sebab lantikan oleh isterinya?
"Adakah beliau akan membenarkan ketiga-tiga pemimpin daripada sebuah keluarga iaitu bapa, ibu dan anak menjadi anggota jemaah menteri?" katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Pas menamakan Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang meskipun cadangan itu mendapat tentangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut mempunyai calon masing-masing.
Dalam masa sama, Zamil mempersoalkan kuota yang diberikan Abdul Hadi bagi membolehkan sesebuah keluarga menyertai Kabinet.
"Beliau perlu menerangkan kepada rakyat mengenai jumlah atau had yang akan dikenakan ke atas sesebuah keluarga untuk menganggotai Kabinet pakatan pembangkang," katanya.
Beliau menambah, Abdul Hadi juga perlu menjelaskan kepada umum berhubung kebimbangan Pengerusi DAP, Karpal Singh sekiranya beliau dipilih sebagai Perdana Menteri pakatan pembangkang.
"Adakah perkara ini disebabkan Karpal tidak mempunyai sebarang rahsia hitam mengenai Abdul Hadi, maka beliau merasakan tidak boleh menguasai Abdul Hadi?,'' katanya.
Dalam masa sama, beliau turut bimbang sekiranya Abdul Hadi meletakkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan.
"Abdul Hadi perlu mengimbas semula tentang kerakusan Anwar dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali sekitar 90-an dahulu," katanya.
Beliau menambah, persoalan-persoalan itu perlu dijawab segera kerana semua rakyat mahu tahu mengenai perancangan parti pembangkang.
"Hal ini demikian kerana sistem yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sudah diketahui termasuk siapa bakal menjadi Perdana Menteri, berapa jawatan menteri untuk UMNO, MCA, MIC serta parti komponen lain.
"Rakyat bagaimanapun, sehingga hari ini belum mengetahui sistem yang mahu dilaksanakan parti pembangkang. Berapa jawatan menteri yang diperuntukkan untuk Pas, PKR dan DAP. Adakah pertubuhan haram Hindraf turut mengambil bahagian," ujarnya.
Sehubungan itu, menurutnya, tidak salah sebagai rakyat untuk bertanyakan tentang perkara ini kerana bimbang sesuatu yang tidak baik akan berlaku kelak.
"Saya sebagai individu berkecuali merasakan BN mempunyai sistem itu dan semangat setia kawan yang kuat sejak lebih 50 tahun dahulu lagi," ujarnya.

Ahli Pas hadiah kek pahit kepada Guan Eng

Arif Ibrahim (kiri) menyampaikan kek bersalut krim putih kepada Ong See Fook di Pulau Pinang, semalam. 
*****
PULAU PINANG 7 Dis. - Sempena hari jadi yang ke-52 esok, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dihadiahkan dengan sebiji kek bersalut krim putih di bahagian luar manakala di dalamnya berwarna hitam.
Ia sebagai simbolik terhadap pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat hanya indah khabar dari rupa.
Ahli Pas Tanjung, Arif Ibrahim yang menghadiahkan kek tersebut berkata, orang luar mungkin melihat negeri ini seronok untuk didiami tetapi pada hakikat rakyatnya hidup menderita.
"DAP dan sekutunya dalam pembangkang terlalu ingin mengejar Putrajaya sehinggakan rakyat seolah-olah terabai. Sepatutnya apabila sudah diberi mandat oleh rakyat, mereka harus melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan dengan baik.
"Sepanjang mentadbir negeri ini, mana rumah mampu milik untuk rakyat? Guan Eng sering mencanang mereka lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) tetapi semasa era BN dulu, mereka ada bangunkan projek perumahan rakyat (PPR) sedangkan DAP langsung tiada," katanya selepas menyerahkan kek berkenaan kepada Pembantu Khas Ketua Menteri, Ong See Fook di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Tambah Arif, biarpun beliau bukan penyokong BN tetapi daripada pengamatan sebagai rakyat, pendekatan yang digunakan BN adalah lebih baik dalam usaha membangunkan negeri ini.
Selain itu, katanya, pelbagai isu yang timbul gagal dijelaskan oleh Guan Eng seperti Taman Manggis, Bayan Baru, rumah mampu milik, akidah generasi muda terutama orang Islam, kualiti hidup rakyat dan peluang pekerjaan.
"Sepatutnya sebagai kerajaan bertanggungjawab, Guan Eng menyelesaikan isu-isu berkenaan dan bukan sering mengelak.
"Guan Eng juga dilihat terlalu keras hati dan sukar untuk memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan, sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memohon maaf kepada rakyat atas kesilapan yang pernah dilakukan," katanya.

Perkasa tiga negeri pertahan Utusan Malaysia

YUSOF Suhaimi Mohd. Yatim (tengah, berkacamata) bersama pemimpin Perkasa Pulau Pinang mengumpulkan RM2,800 melalui Tabung Bantuan Guaman Utusan Malaysia, di Jalan Hatin, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Kedah dan Pulau Pinang turut melancarkan tabung bantuan guaman sebagai tanda sokongan dan membela akhbar Utusan Malaysia yang berhadapan dengan tindakan saman oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya mengenai kebebasan beragama.
DI SHAH ALAM, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, tabung tersebut diadakan atas inisiatif serta kesedaran pertubuhan bukan kerajaan itu untuk membantu akhbar berkenaan yang selama ini tidak putus-putus memperjuangkan isu-isu agama, bangsa dan negara melalui penulisan serta pemberitaannya sejak ditubuhkan 73 tahun lalu.
"Kita lancarkan tabung bantuan guaman kepada Utusan Malaysia berkuatkuasa pada malam ini. Kita juga akan gerakkan tabung ini ke setiap sembilan daerah di Selangor.
"Justeru, kita berharap setiap rakyat khususnya orang Melayu membantu menyalurkan sumbangan mereka menerusi tabung ini. Walau sekecil mana sekali pun sumbangan yang diberikan, usaha tersebut memberi makna yang besar kepada perjuangan untuk membela akhbar berkenaan.
"Sebagai orang Melayu khususnya, kita tidak harus menafikan bahawa Utusan Malaysia telah memainkan peranan besar kepada pembangunan agama, bangsa dan negara ini tidak mengira golongan dan latar belakang. Apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia merupakan berita yang nyata," katanya pada majlis pelancaran tabung itu di sini malam tadi.
Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Pulau Pinang, Yusof Suhaimi Mohd. Yatim pula memberitahu, pelancaran tabung itu juga sebagai simbolik perjuangan pertubuhan itu dalam mempertahankan hak orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu.
Menurutnya, mana-mana pihak yang mencabar hak orang Melayu bermakna mereka juga mencabar kesucian Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu.
"Hari ini kami melancarkan tabung kerana peranan Utusan Malaysia mempertahankan orang Melayu dan Islam telah dipersoalkan.
"Sedangkan pembelaan terhadap Islam dan orang Melayu itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya Perkasa membela Utusan Malaysia," ujarnya.
Yang Dipertua Perkasa Kedah, Syed Osman Mansor pula berkata, pelancaran tabung berkenaan timbul atas rasa tanggungjawab badan bukan kerajaan (NGO) itu membela akhbar yang berani melaporkan perkara benar dan membela orang Melayu.
"Tabung ini digerakkan setiap pengerusi Perkasa daerah dengan ikhlas membantu Utusan Malaysia melawan anasir-anasir yang memecah-belahkan orang Melayu dan Islam.
"Wang ringgit bukan ukuran, tetapi tabung ini merupakan terjemahan bahawa Utusan Malaysia tidak bersendirian dalam menghadapi saman daripada Nurul Izzah," katanya di sini hari ini.

Tiada rakyat dipinggirkan

ABDUL Ghani Othman yang mewakili Najib Tun Razak, diiringi Tunku Ahmad Burhanuddin (dua kiri) semasa merasmikan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour di Nusajaya, Johor, semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID 
*****
NUSAJAYA 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan projek di seluruh negara harus memberikan hasil serta faedah secara terus kepada rakyat dan dinikmati secara sama rata oleh segenap lapisan masyarakat.
Perdana Menteri berkata, perkara itu penting dan kerajaan akan memastikan dalam usaha mengejar pembangunan, tidak ada rakyat yang ditinggal dan dipinggirkan.
Beliau berkata, Iskandar Malaysia yang dibangunkan sejak enam tahun lalu kini sedang pesat membangun dan menyediakan kehidupan serba selesa, peluang perniagaan dan aktiviti hiburan yang menarik serta menjadi penjana dan pemangkin dalam proses transformasi negara.
"Perkembangan pesat yang kita dapat lihat hari ini adalah bukti yang projek berimpak tinggi dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dirancang benar-benar dibangunkan dan bukan hanya digembar-gemburkan untuk menagih sokongan rakyat.
"Saya berpendapat projek-projek seperti ini perlu diteruskan untuk memastikan cita-cita kita tercapai. Ini adalah komitmen kerajaan dan saya akan memastikan kesinambungan projek ini akan berterusan sehingga membuahkan hasilnya pada 2020 nanti," katanya semasa merasmikan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar; Pengurusan Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Themed Attractions and Resorts Sdn. Bhd., Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin.
Perdana Menteri berkata, pembangunan pesat di koridor selatan dalam beberapa sektor termasuk perindustrian, peruncitan, pelancongan serta kemudahan perniagaan menjadikan pelabur asing tertarik untuk ke negara ini dan sehingga September lalu, Iskandar Malaysia menerima pelaburan bernilai hampir RM100 bilion dengan 40 peratus daripadanya adalah hasil pelaburan asing.
"Pembangunan pelbagai projek di wilayah ini menunjukkan para pelabur asing yakin dengan kestabilan dan perkembangan ekonomi di negara ini," katanya.
Najib berkata, pengiktirafan Bank Dunia di dalam laporan 'Doing Business 2013' kepada Malaysia sebagai negara ke-12 paling berdaya saing di dunia untuk menjalankan perniagaan dan ia merupakan pencapaian terbaik berbanding di kedudukan ke-18 pada tahun lalu.
Malaysia juga berjaya mengekalkan kedudukan ketiga sebagai Lokasi Penyumberan Luar berdasarkan kepada hasil kajian A. T Kearney Global Services Location Index 2011 selain menduduki tempat keempat bagi perlindungan pelabur oleh Forum Ekonomi Dunia 2012 dan tempat ke-10 bagi Indeks Keyakinan Pelaburan Asing 2012.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pembukaan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour merupakan satu lagi hadiah kepada rakyat Johor dan Malaysia selepas pembukaan Taman Tema Legoland Malaysia dua bulan lalu.
Beliau berkata, pembukaan taman tema itu bukan sahaja inisiatif untuk menyuburkan industri pelancongan negara dengan menyediakan produk pelancongan berjenama antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong, malah ia menjadi projek pemangkin yang mampu memacu perkembangan serta peningkatan taraf sosioekonomi negeri Johor dan Malaysia.
"Limpahan manfaat ekonomi dapat dirasai penduduk negeri ini menerusi peluang pekerjaan baru, perkembangan modal insan dengan penambahan tenaga kerja mahir dan separuh mahir serta penglibatan anak-anak tempatan dalam kegiatan ekonomi baru.
"Projek pemangkin ini juga secara langsung akan memberi suntikan kepada sektor pembinaan dan pembangunan hartanah melalui pembinaan kawasan perumahan, kondominium, bangunan pejabat, pusat perniagaan dan komersial," katanya.

UMNO tebus maruah umat Islam

DR. MAHATHIR Mohamad melihat potret kanvas sambil diberi penerangan oleh Pengerusi Caprice Group Turkey, Fadil Akgunduz dalam Seminar Antarabangsa Standard Pelancongan Islam di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Pengerusi Universal Crescent Standard Centre (UCSC), Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim (kiri). - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN 
*****
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO berjaya menebus semula maruah umat Islam sekali gus membuktikan negara Islam mampu mencapai kejayaan seperti mana negara-negara lain
Bekas Perdana Menteri itu berkata, berdasarkan kepada faktor tersebut selain faktor kejayaan UMNO dan BN membangunkan negara, rakyat perlu memberi mandat kepada parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
Pada masa sama beliau sekali lagi mengingatkan kepada semua rakyat bahawa kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia sejak 55 tahun lalu akan musnah sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat untuk memerintah
"Rosak, rosak habis sekiranya pembangkang memerintah negara. Segala kemajuan yang kita kecapi selama 55 tahun ini akan dihancurkan oleh mereka.
"Berbanding UMNO dan Barisan Nasional (BN), sudah terbukti yang kita berjaya membawa pembangunan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas memberi ucaptama dalam Seminar Antarabangsa Standard Pelancongan Islam kali pertama bertemakan Standard Kualiti Hotel Menurut Perspektif Islam di sini hari ini.
Peserta yang hadir dalam seminar itu terdiri daripada pengusaha-pengusaha dalam industri pelancongan dari negara-negara Islam seluruh dunia.
Semalam, Dr. Mahathir mahu semua ahli UMNO bersatu memberikan sokongan kepada siapa sahaja calon BN dalam PRU-13 akan datang walaupun yang dipilih itu daripada pemimpin parti komponen.
Mengulas lanjut Dr. Mahathir berkata, pihak pembangkang sudah pasti akan merosakkan segala-galanya demi memperlihatkan kekuasaan jika menang kerana itulah sebenarnya wajah mereka.
Tegas beliau, sememangnya rakyat tidak akan dapat lari daripada menghadapi kesan yang amat buruk sekiranya perkara itu benar-benar berlaku memandangkan cara pembangkang mentadbir bukannya baik untuk negara.
Sementara itu ketika ditanya mengenai budaya cah keting di dalam UMNO beliau percaya kepimpinan parti sedang berusaha mengurangkan budaya negatif tersebut.
Mengenai potensi bidang pelancongan berteraskan Islam, Dr. Mahathir percaya industri itu boleh berkembang kerana sudah ada permintaan daripada pelancong-pelancong khususnya pelancong Islam.
Beliau berkata, itu termasuk penyediaan perkhidmatan hotel bercirikan Islam yang sekarang ini telah bamyak disediakan terutama di negara-negara Islam.
"Sebelum ini kita terlalu bergantung dengan kemudahan yang mengikut cara Eropah dan kita terpaksa menerimanya tetapi sekarang terdapat orang Islam yang berkeupayaan memberi perkhidmatan sejajar dengan kehendak Islam," ujarnya
Terdahulu di dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, Islam tidak pernah menghalang penganutnya mengecapi kemewahan tetapi mestilah bersandarkan sumber-sumber halal antaranya terlibat dengan industri pelancongan.
"Kebanyakan negara-negara Islam mempunyai produk-produk pelancongan yang mampu menarik pelancong datang ke negara mereka antaranya kesan-kesan tamadun Islam terdahulu. Ambillah peluang ini untuk kita memperkenalkan tamadun Islam kepada orang lain," katanya.

Isu Talam: Sikap membisu Menteri Besar Selangor cetus banyak persoalan

IPOH 6 Dis. - Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan mengesahkan pengumuman Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), mengenai baki hutang Talam Corporation Bhd. (Talam), kurang RM121 juta daripada hutang asal RM236 juta menimbulkan banyak persoalan.
Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, Abdul Khalid sepatutnya memberikan penjelasan berhubung isu hutang itu termasuk menjawab sama ada siasatan lanjut mengenainya masih berjalan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Abdul Khalid seperti cuba mengelak daripada menjawab persoalan berkenaan apabila meminta beliau membuat laporan mengenai perkara tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti.
"Berdasarkan pengumuman itu, siasatan lanjut diteruskan. Ini juga menunjukkan Menteri Besar Selangor tidak sedar apa yang beliau sedang lakukan.
"Sebab itu, beliau tidak mengatakan tiada masalah sedangkan kertas putih Kerajaan Negeri Selangor sudah keluar. Kenapa beliau tidak ada keyakinan untuk menyatakannya, apatah lagi ini bukan melibatkan RM1 atau RM2 juta tetapi RM121 juta," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) Pasar Mini Chop Sing Cheong di Taman Pasir Putih Selatan, di sini hari ini.
Semalam, Abdul Khalid enggan mengesahkan pengumuman KHSB berhubung hutang Talam masih berbaki RM115 juta sebaliknya meminta Tee Yong melaporkan mengenai pengurangan hutang Talam sebanyak RM121 juta itu kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Beliau juga mendakwa Tee Yong mengeluarkan kenyataan tanpa kajian terperinci mengenai pendedahannya itu.
Mengulas lanjut Tee Yong berkata, soalan yang dibangkitkan adalah adakah hutang sebanyak RM121 juta itu telah dilupuskan semasa pengesahan hutang yang perlu dibayar oleh Talam selepas pengambilalihan syarikat itu oleh Kerajaan Negeri Selangor.
"Inilah persoalannya. Mungkin hanya Kerajaan Negeri Selangor atau KHSB tahu apa yang mereka sedang buat sekarang.
"Ini kerana selepas dua tahun, mereka masih perlukan siasatan lanjut walaupun ada kertas putih atau laporan KPMG Transaction & Restructuring Sdn. Bhd. (KPMG), yang mana mereka kata semua jawapan ada di dalamnya," katanya.

MILF hantar pakar ekonomi, anak muda pelajari kejayaan Malaysia

JOHOR BAHRU 5 Dis. - Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan menghantar kumpulan pakar ekonomi mereka untuk mempelajari cara Malaysia membangunkan ekonomi negara ini sehingga berada pada tahap sekarang.
*****
Pengerusi MILF, Murad Ebrahim (gambar) berkata, kejayaan itu bukan sahaja dikagumi wilayah Mindanao tetapi juga banyak negara lain.
Menurutnya, oleh kerana populasi penduduk Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam, maka, Malaysia adalah negara yang paling sesuai untuk dijadikan model untuk membangunkan wilayah autonomi itu menjelang 2016.
"Usaha tersebut merangkumi pelbagai bidang dan yang diberi tumpuan sekarang ialah dalam pendidikan kerana kami telah banyak ketinggalan berikutan perang selama puluhan tahun.
"Kami secara prinsipnya sudah mencapai persetujuan dengan GiatMara untuk menghantar anak muda Bangsamoro mempelajari pelbagai kemahiran yang disediakan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-8 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Minggu lalu, Murad menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di ibu negara.
Dalam pada itu, Murad turut menjemput pelabur Malaysia dan negara lain untuk datang dan melihat sendiri pelaburan yang boleh dilakukan di wilayah tersebut kerana mereka mempunyai banyak sumber semulajadi seperti mineral dan gas asli.
Selain itu, menurutnya, para pelabur yang berminat juga boleh menceburi bidang lain yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Bangsamoro seperti industri berasaskan pertanian dan perikanan kerana mempunyai sumber yang baik.
"Saya sempat membuat forum khas berasingan dengan lebih 30 delegasi termasuk Malaysia yang menyatakan keinginan untuk melabur di Mindanao. Mereka dilihat sangat berminat dan menyatakan kesungguhan terhadap wilayah ini," ujarnya.
Ditanya mengenai proses perjanjian damai, beliau yakin ia akan dapat dimeterai mengikut perancangan sekali gus mampu mencapai matlamatnya dan membawa kepada pembentukan wilayah autonomi yang selama ini diidam-idamkan.
Ini kerana, katanya, MILF turut berdialog dengan kumpulan-kumpulan militan lain yang lebih kecil mengenai kerangka perjanjian damai yang ditandatangani MILF dan kerajaan Filipina pada Oktober lalu dan menerima maklum balas positif.
"Hakikatnya, mereka mempunyai matlamat yang sama dengan MILF iaitu pembebasan Bangsamoro. Justeru, kejayaan pelan damai ini akan membawa kebaikan kepada semua," ujarnya.

Malaysia di landasan betul

KUALA LUMPUR 5 Dis. _ Malaysia berada di landasan yang betul dalam membangunkan teknologi bersih sebagai sebahagian daripada komitmen globalnya ke arah melindungi alam sekitar, selain mengambil langkah untuk memastikan usaha seperti itu menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi komitmen pengurangan karbon negara - pengurangan 40 peratus dalam kadar pelepasan menjelang 2020, daripada paras 2005.
"Kami menyasarkan untuk mencapai matlamat ini menerusi pelbagai langkah, yang kesemuanya meningkatkan pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan dan industri baru serta melonjakkan kemakmuran," katanya menerusi blog 1Malaysia beliau.
Najib berkata, Malaysia adalah pengeluar utama produk tenaga bersih seperti panel solar dan lampu LED yang efisien dan turut memperkenalkan tarif galakan untuk melonjakkan pengambilan domestik tenaga boleh diperbaharui dan memperluaskan gabungan tenaga itu.
"Kami berusaha untuk berkembang dan mempelbagaikan sektor ini agar kami dapat menerajui ekonomi rendah karbon masa depan," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia turut melabur berbilion dolar dalam infrastruktur tenaga bersih, misalnya di Iskandar Malaysia.
"Perancangan turut dibuat untuk membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Asia Tenggara yang di peringkat awal menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura, namun akhirnya akan sampai ke China," katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan muncul kelak sebagai pengeksport utama elemen nadir bumi iaitu bahan utama produk teknologi bersih seperti kereta hibrid dan turbin angin dengan sebuah kilang baru yang menghasilkan kira-kira 20 peratus bekalan global.
"Kilang tunggal ini akan menyumbang satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia - menegaskan rasional ekonomi dalam menerajui ekonomi bersih," katanya.
Mengenai keperluan bagi negara Asia menangani perubahan iklim, beliau berkata, masanya sudah tiba bagi Asia menjadi sebahagian daripada penyelesaian memandangkan Asia diunjurkan untuk menghasilkan 40 peratus daripada tenaga berkaitan gas rumah hijau dunia menjelang akhir dekad ini.
Kata beliau, sungguhpun negara barat telah membawa dunia kepada jurang iklim, namun Asia tidak harus hilang pertimbangan.
"Seiring kebangkitan Asia, begitu jugalah dengan komitmennya terhadap iklim. Pada persidangan PBB mengenai iklim yang sedang berlangsung di Doha, pemimpin Asia perlu berhujah mengenai tindakan yang tegas dan berkesan terhadap perubahan iklim.
"Dan kita mesti bersedia untuk melaksanakan peranan dalam mengurangkan pelepasan. Pembangunan masa depan menuntut perkara ini," katanya.
Najib berkata, akibat daripada ketiadaan tindakan akan meningkatkan risiko terhadap rakyat, bandar raya dan ekonomi negara ini dan "tidak berbuat apa-apa bukan lagi satu pilihan." - BERNAMA

Sokong walau siapa calon BN

Dr. Mahathir Mohamad menerima sumbangan untuk Tabung Kecemasan Gaza daripada wakil Koperasi Felda Chemomoi pada Majlis Bicara Tokoh di Felda Kemasul, Bentong, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali 
*****
BENTONG 5 Dis. - Semua ahli UMNO diminta bersatu memberikan sokongan kepada siapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang walaupun yang dipilih itu daripada pemimpin parti komponen.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, selain itu, untuk mendapatkan kemenangan dua pertiga, seluruh ahli UMNO perlu merapatkan barisan dan mengelakkan perpecahan dalam parti.
"Kita (ahli UMNO) harus ingat kalau diletakkan siapa saja calon walaupun mata sepet sebelah, hidung penyet, asalkan dia calon BN, kita undi sajalah.
"Yang hendak dan perlu menang ialah parti, bukan orang. Kalau Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) menang saja pun tak guna juga sebab kita masih tidak dapat membentuk kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab dalam Majlis Bicara Tokoh di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Selepas majlis tersebut, Dr. Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) menerima cek RM3,000 sumbangan Koperasi Felda Kemasul (RM2,000) dan Koperasi Felda Chemomoi (RM1,000) untuk Tabung Kecemasan Gaza.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir Sabtu lalu dilihat memberikan semangat baharu kepada ahli parti.
"Apa yang saya harapkan semangat ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti supaya kita menang dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Ditanya seorang peserta dalam sesi soal jawab tersebut mengapa sehingga kini Perdana Menteri masih berteka-teki tentang tarikh pilihan raya umum, Dr. Mahathir berkata, Najib kini sedang berusaha memulihkan UMNO.
"Hal ini kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008 ada orang yang tidak berpuas hati dengan kita dan undi parti lawan," katanya.
Beliau berkata, UMNO perlu terus mendampingi rakyat terutama orang Melayu agar BN kembali mendapat sokongan dalam pilihan raya umum nanti.
"Orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, tetapi kita telah berpecah kepada UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menyebabkan kita menjadi minoriti.
"Jadi kita harap orang lain untuk menang kerana kalau semua ahli undi calon UMNO yang dipilih tetap tak boleh menang dan sebab itu perlu sokongan daripada bukan UMNO (komponen BN)," katanya.

Isu air 'tenggelamkan' pembangkang

Tinjauan ke Empangan Sungai Selangor yang mengalami penyusutan paras air yang semakin membimbangkan walaupun kawasan ini sering kali menerima limpahan hujan pada Oktober lalu. 
*****
TANGGUNGJAWAB utama kerajaan negeri kepada rakyat antaranya ialah menyediakan kemudahan asas. Sebagai makhluk yang bernyawa, tidak ada keperluan asas yang paling utama selain daripada air - unsur utama untuk kelangsungan hidup.
Berdasarkan faktor ini, kegagalan kerajaan-kerajaan negeri tertentu menyediakan kemudahan air untuk dinikmati oleh rakyat masing-masing membuktikan betapa lemahnya kerajaan berkenaan.
Bukan secara kebetulan tetapi adalah hakikat - semua negeri di bawah pentadbiran kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas berhadapan isu bekalan air bersih. Semua isu ini tidak berlaku pun semasa Barisan Nasional berkuasa di negeri berkenaan. Hanya apabila pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan, semua tidak terkawal, mengelirukan dan lesap.
Penyakit isu air yang dialami oleh kerajaan Pas Kelantan sudah berjangkit ke negeri sekutunya. Kerajaan pimpinan PKR di Selangor sudah dijangkiti 'penyakit isu air' dan terkini Kedah pula terkena jangkitan itu.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim asyik menafikan - tiada krisis air di Selangor tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Dalam musim tengkujuh ini pun ada pengguna yang masih dinafikan bekalan air, terganggu kerana tekanan air rendah.
Peristiwa ini berlaku apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) daerah Petaling telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau pada petang 23 November lalu ekoran kejatuhan paras air di kolam Bukit Dengkil dan Lapangan Terbang Subang.
Kesan segeranya ialah berlaku gangguan bekalan air hingga menjejaskan kehidupan 15,000 isi rumah di SS12 hingga SS19 dan pengguna di Jalan Lapangan Terbang Subang.
Kesengsaraan isu air Selangor terus berlaku hingga kini kerana kerajaan negeri enggan menerima penyelesaian melalui projek pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 yang dicadangkan oleh Kerajaan Pusat. Akibat keengganan kerajaan negeri Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Pusat, projek Langat 2 mengalami kelewatan 29 bulan berbanding jadual asal.
Kini kebanyakan penduduk Selangor keliru tentang pihak manakah yang betul dalam isu berkenaan. Dalam keadaan yang dibelenggu kekeliruan ini, kerajaan negeri Selangor menimbulkan satu lagi perkara ke dalam isu ini — bahawa tarif air akan naik sekiranya Kerajaan Pusat meneruskan rancangannya untuk membina loji rawatan air Langat 2.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Datuk Dr. Jacob George berkata, maklum balas yang beliau terima menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk Selangor keliru tentang pihak manakah yang betul dalam isu berkenaan.
Katanya, dalam keadaan yang dibelenggu kekeliruan ini, kerajaan negeri Selangor menimbulkan satu lagi perkara ke dalam isu ini — bahawa tarif air akan naik sekiranya kerajaan persekutuan meneruskan rancangannya untuk membina loji rawatan air Langat 2.
Dr. George berkata, semua kajian pakar menunjukkan bahawa projek itu perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan pengeluaran air yang dirawat menurun dengan ketara, walaupun 34 loji sedia ada di Selangor beroperasi pada tahap maksimum.
Katanya dalam hal ini, kerajaan negeri sekali lagi mengelirukan pengguna apabila Abdul Khalid berkata semua kawasan takungan dipenuhi air dan krisis air tidak akan berlaku, walaupun perkara yang dihujahkan ialah mengenai bekalan air dirawat yang tidak mencukupi.
Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Ampang, Selangor, Datuk Dr. Rozaidah Abdul Talib, perkara yang ingin dilakukan Kerajaan Pusat ialah melaksanakan rancangan jangka panjang untuk menangani krisis air yang bakal berlaku berikutan pertambahan penduduk dan peningkatan keperluan industri.
"Rancangan ini adalah untuk tempoh 10, 15 atau 20 tahun akan datang dan apabila bercakap tentang air, sudah pasti akan timbul masalah. Ini merupakan isu global sekarang dan setiap negara menghadapinya, berikutan masalah berkaitan cuaca, alam sekitar dan pencemaran," katanya.
Dr. Rozaidah berkata, projek seperti Langat 2 tidak boleh disiapkan dalam tempoh semalaman dan sebarang kelewatan yang berpunca daripada politiking, boleh menyebabkan kos untuk melaksanakannya melonjak hingga sebanyak 70 peratus.
Lagipun, kata beliau, isu ini tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia merupakan isu hak asasi manusia dan dalam menghadapi isu berkaitan hak pengguna, semua pihak perlu bersikap waras serta memberi fokus terhadap isu sebenar.
Di Kedah pula, kesengsaraan mula berlaku apabila tarif air dinaikkan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas, sedangkan dalam janji pakatan pembangkang sebelum menang pilihan raya umum 2008, mereka akan menurunkan tarif air.
Mungkin kerana tidak dapat mengaut keuntungan daripada kenaikan tarif air, Kerajaan Pas Kedah kini mengenakan caj bekalan air yang disalurkannya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah tentu tidak selesa apabila Pas Kedah menyatakan mereka menjangkakan pendapatan RM20 juta daripada caj bekalan air tersebut semasa pembentangan bajet negeri baru-baru ini.
Reaksi balas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tentang caj tersebut menjelaskan Kerajaan Pas Kedah tidak pernah pun membincangkan perkara itu dengan mereka. Penjelasan itu menunjukkan tindakan kerajaan Kedah memasukkan angka dalam bajet negeri boleh dianggap palsu dalam pembentangan itu atau mereka cuba 'menipu' kerajaan Pulau Pinang.
Hakikat kelemahan mengurus air ini juga ditunjukkan oleh Pas yang telah mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan selama 22 tahun. Begitu lama 'kerajaan Islam' Pas gagal mengurus keperluan asas hinggakan rakyat Kelantan menderita.
Jika baharu satu penggal mentadbir kerajaan negeri mungkin boleh diterima alasan-alasan yang diberi oleh kerajaan Pas, tetapi selepas 22 tahun, lebih empat penggal - masih tiada perubahan. Jadi terbukti Pas Kelantan tidak tahu pun bagaimana hendak menyelesaikan isu air 'berkarat' negeri itu. Perkara yang mereka tahu ialah menafikan atau menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka.
Air bukan sahaja unsur asas dalam kehidupan tetapi ia juga unsur terpenting dalam Islam kerana ia simbol kesucian dan kebersihan. Mungkin kebetulan semua negeri di bawah pakatan pembangkang menderita akibat isu air. Barangkali ini juga menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana kotornya pakatan itu sebenarnya.
Ada yang melihat bukan mustahil pakatan pembangkang boleh ditenggelamkan oleh isu air.

Guan Eng terdesak, semai sentimen benci UMNO

PULAU PINANG 5 Dis. - Ketua Menteri, Lim Guan Eng dikatakan berada dalam keadaan begitu terdesak sehingga sanggup menanam perasaan benci terhadap UMNO ketika menghadiri satu majlis makan malam yang dihadiri oleh penganut pelbagai agama.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebagai pemimpin tertinggi kerajaan negeri, Guan Eng sepatutnya mengajak para hadirin mengamalkan kasih sayang, toleransi dan keharmonian sesama mereka.
Menurutnya, Setiausaha Agung DAP itu sewajarnya memastikan perpaduan kaum terus diperkuatkan, bukannya menyebar fitnah yang boleh menyebabkan rakyat beranggapan UMNO merupakan sebuah parti ekstremis.
"UMNO Pulau Pinang amat dukacita dan kecewa dengan ucapan tidak bertanggungjawab Guan Eng dalam sebuah majlis dihadiri oleh kumpulan pelbagai agama baru-baru ini yang dilihat melampaui batas-batas politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas ucapan Guan Eng dalam program makan malam Majlis Antara Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Pulau Pinang di sini Ahad lalu.
Antara kandungan ucapannya, Guan Eng mendakwa, UMNO berpendirian ekstremis dengan tidak menghormati hak orang bukan Islam seperti mendakwa sebuah kuil Hindu dirobohkan oleh Penang Port Sdn. Bhd.
Selain itu, Setiausaha Agung DAP tersebut juga mendakwa pemimpin UMNO tidak mengambil kira keperluan menyediakan tanah untuk pembinaan rumah ibadat bukan Islam.
Teks ucapan tersebut boleh dilihat di blog milik Guan Eng di http://limguaneng.com.
Zainal Abidin memberitahu, jika benar UMNO parti ekstremis, tidak mungkin rakyat pelbagai kaum di negara ini mampu hidup dalam keadaan harmoni sejak lebih 55 tahun lalu.
"Kalau UMNO tidak menghormati hak bukan Islam, kita tidak mungkin dapat melihat jumlah rumah ibadat agama bukan Islam melebihi bilangan masjid dan surau di negeri ini.
"Kita juga tidak mungkin dapat melihat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan penyelaras kawasan memberi sumbangan kepada bukan Islam sepanjang tahun," ujarnya.

'Menang-menang'

JOHOR BAHRU 4 Dis. - Malaysia dan Singapura dijangka mengumumkan cadangan 'menang-menang' bagi kedua-dua negara pada Perundingan Tahunan tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.
Beliau berkata, cadangan-cadangan itu termasuklah mercu tanda ikonik, yang akan dibina di atas dua bidang tanah, yang merupakan sebahagian daripada Perkara Perjanjian (POA) sebagai pertukaran bagi tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura.
"Projek pusat kesejahteraan itu akan juga dilancarkan semasa Perundingan Tahunan kita itu. Kita boleh menjangkakannya diadakan sama ada pada akhir Januari atau awal Februari," katanya pada satu sidang akhbar sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Kelapan di sini.
Najib berkata, demikian ketika menyentuh isu-isu yang dibincangkan semasa mesyuarat dua hala beliau dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam, semasa berlangsungnya forum itu.
"Mesyuarat itu berjalan dengan amat baik. Amat positif, sangat sejajar dengan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong kepada saya di Phnom Penh baru-baru ini bahawa kita harus buat cadangan 'menang-menang'," kata beliau.
Menurut Najib, semasa mesyuarat selama 15 minit itu, mereka membincangkan projek kereta api berkelajuan tinggi.
"Singapura menyokong projek itu pada prinsipnya, tetapi tertakluk kepada kajian terperinci yang akan kita kemukakan kepada mereka apabila selesai kelak.
"Mereka menjangka ini boleh menjadi satu lagi cadangan 'menang-menang' bagi kedua-dua negara," katanya.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, Singapura akan terus menjadi hab bagi pembangunan komersial dan kewangan, manakala selatan Johor akan menjadi kawasan gaya hidup berkualiti tinggi.
"Ini boleh menjadi situasi 'menang-menang' kerana Johor meraih manfaat daripada kebanjiran orang, bakat dan pengaliran masuk modal. Ini baik bagi masa depan Johor," katanya.
Selain Tharmaratnam, Najib juga mengadakan rundingan dua hala dengan Presiden Comoros, Dr Ikililou Dhoinine.
Perdana Menteri berkata, semasa mesyuarat itu, Dhoinine menyuarakan harapannya untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan asing dalam kegiatan pelancongan dan hiliran berhubung industri perikanan.
Malaysia menawarkan tempat-tempat untuk melatih warganya di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Comoros ialah sebuah negara kepulauan berdaulat di Lautan Hindi dan negara ketiga terkecil Afrika berdasarkan keluasan dengan penduduk berjumlah kira-kira 798,000 orang. - BERNAMA

Anwar terdesak - Rais

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai terdesak mencari populariti apabila mendakwa Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Sabtu lalu menjadi medan untuk menyerang beliau.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perhimpunan tersebut merupakan platform parti itu menjelaskan tentang fakta yang benar termasuk membahas serta menyampaikan mesej dan maklumat kepada perwakilan dan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata, apa sahaja yang dibincang dan dibahaskan dalam perhimpunan tersebut adalah berdasarkan fakta.
"Seharusnya tidak memusuhi secara peribadi kerana kami hanya menyatakan kebenaran dari aspek dasar yang boleh dipertimbangkan dan dinilai sendiri oleh rakyat secara positif," katanya ketika ditemui pemberita selepas Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia Bersama Polis Ampang Jaya di ibu pejabat polis berkenaan hari ini.
Anwar mendakwa perhimpunan agung itu gagal menyentuh isu asas melibatkan kepentingan rakyat, sebaliknya menjadi medan serangan terhadap pakatan pembangkang dan usaha untuk menakut-nakutkan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dalam kenyataan itu juga, Anwar menuduh ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenuhi serangan terhadap pemimpin pakatan terutama ke atasnya.
Mengulas program hari ini, Rais berkata, program itu bertujuan menghargai sumbangan anggota polis dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan di negara ini.
"Polis memerlukan sokongan semua pihak dalam usaha membanteras jenayah di negara ini," katanya.
"Diharapkan program ini mampu mengeratkan hubungan mesra dan menjadi platform interaksi antara pemimpin dan PDRM dengan masyarakat setempat," katanya.

PRU-13: Peringatan Dr. Mahathir

Dr. Mahathir Mohamad bersalam dengan sebahagian pelajar universiti ketika hadir untuk menyampaikan ucaptama pada Seminar Ketahanan Nasional 3 - Mengekalkan Kedaulatan Negara di Ayer Keroh, Melaka, semalam. - BERNAMA 
*****
MELAKA 4 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, negara akan mengalami kehancuran dan kecelaruan jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, hal ini kerana kerajaan yang akan dibentuk oleh pembangkang merupakan kerajaan campuran daripada tiga parti yang tidak mempunyai matlamat dan hala tuju sama.
Beliau menarik perhatian keinginan Pas untuk menjadikan Malaysia negara Islam ditentang oleh DAP manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak sebagai orang tengah hanya mensasarkan kemenangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Keadaan ini memang bahaya, kadang-kadang apabila kita berada dalam keadaan selamat, kita tidak fikir akan jadi tidak selamat, kita selamat sebab memilih pemerintah yang prihatin.
"Ini terpulang kepada rakyat, namun ada yang mengundi mengikut emosi dan taksub walaupun pemimpin jelas menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan Islam.
"Apabila rakyat tidak menggunakan pemikiran dan mengundi semata-mata kerana perasaan, besar kemungkinan negara kita akan hancur. Sebab itu kita lihat banyak negara tidak dapat laksanakan cara-cara demokrasi kerana ketaksuban kepada pemimpin, bukan untuk membangunkan negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama Pembinaan Negara Bangsa pada Seminar Ketahanan Nasional 3 - Mengekalkan Kedaulatan Negara di Puteri Resort, Ayer Keroh di sini hari ini.
Seminar tiga hari bermula semalam itu dianjurkan oleh Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, rakyat kini mula sedar bahawa pada pilihan raya lalu, mereka membuat pilihan berdasarkan rasa marah kepada sesuatu.
"Faktor ini telah pun mereka ketepikan, kita patut rapatkan kembali barisan supaya dapat dirikan sebuah kerajaan yang kuat iaitu mendapat kemenangan dua pertiga," katanya.
Sementara itu dalam ucaptamanya, Dr. Mahathir berkata, Malaysia tidak perlu mengikut konsep Negara Bangsa seperti kebanyakan negara lain kerana terikat dengan masalah kaum yang tidak mahu mengetepikan identiti asal mereka.
Kata beliau, Malaysia lebih liberal dan bertimbang rasa kerana membenarkan kaum lain mengamalkan agama, budaya dan bahasa ibunda masing-masing.