PERDANA Menteri, Najib Tun Razak
diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon
serta Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas semasa 'Harmony Walk' sempena
Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2013 di
sekitar Brickfield, Kuala Lumpur, hari ini. - BERNAMA
*****
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini menggariskan tiga prinsip penting yang mesti diamal dan
dipatuhi setiap rakyat di negara ini untuk memastikan Malaysia kekal
sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan harmoni serta menjadi model
keharmonian dunia.
Tiga prinsip itu ialah mengamalkan kesederhanaan, hormat-menghormati
antara satu sama lain dan pentingnya bersikap adil, katanya ketika
berucap selepas menyertai "Harmony Walk" sempena Minggu Keharmonian
Antara Penganut Agama Sedunia di sini.
Jelas Najib, rakyat mesti mengamalkan kesederhanaan dalam semua
bentuk tindakan, keputusan, sikap dan kata-kata serta menolak segala
fahaman melampau, fanatik atau keganasan kerana ini hanya akan mencetus
masalah.
"Saya selalu sebut bahawa masalah antara agama bukan disebabkan oleh
agama itu sendiri, sebaliknya oleh fahaman melampau, fanatik dan memilih
jalan keganasan.
"Kalau mereka memilih kesederhanaan, percaya kepada dialog,
rundingan, menolak estremis...saya percaya dunia akan lebih aman dan
harmoni," katanya.
Acara hari ini menyaksikan Najib meluangkan hampir dua jam berjalan
kaki melawat lima rumah ibadah di sekitar Brickfields iaitu Gereja Tamil
Methodist, Tokong Sam Kow Tong, Madrasathul Gouthiyyah, Kuil Sri Sakhti
Vinayagar dan Kuil Buddha Maha Vihara.
Perdana Menteri yang menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada setiap
rumah ibadah, menunaikan solat Asar berjemaah di Madrasathul Gouthiyyah.
Dalam ucapannya, Najib berkata, walaupun Islam agama Persekutuan,
agama lain bebas untuk dianuti dan diamal, dan ini merupakan satu
pendekatan penuh kebijaksanaan yang diambil demi menjamin kehidupan yang
rukun, aman dan harmoni.
"Sebab itu kita mesti kekalkan tradisi dan legasi ini, jangan
tergelincir daripada landasan, jangan pilih jalan yang ekstrim atau
mainkan perasaan dan emosi untuk apa-apa tujuan," tegasnya.
Menjadikan konflik Palestin-Israel sebagai contoh, beliau berkata, ia
bukan tercetus akibat agama, sebaliknya disebabkan tindakan dan
pendirian ekstrim serta ketiadaan sebarang langkah untuk perdamaian
melalui pertimbangan yang sederhana.
"Kalau kita rampas tanah hak milik orang tidak kira apa agama, tentu
orang itu akan bertindak balas. Begitu juga punca masalah di kawasan itu
(Palestin), hak rakyat Palestin untuk hidup dalam sebuah negara yang
bebas dan berdaulat dinafikan.
"Jika hak dinafikan, tentu sekali kawasan itu tidak akan aman dan harmoni.
Inilah pengajaran kepada kita," kata Najib.
Mengulas prinsip kedua iaitu sikap hormat menghormati, Najib berkata,
ini perlu diamal oleh penganut agama kerana menyakiti penganut agama
atau kepercayaan lain tidak akan menjurus kepada sebarang kebaikan.
Menurutnya, tindakan segelintir pihak yang "bermain politik" serta
tidak menjaga sensitiviti orang Islam semata-mata untuk meraih sokongan
terutama menjelang pilihan raya, membuktikan mereka bukan pemimpin yang
bertanggungjawab.
"Dalam agama Islam, Nabi Muhammad SAW telah ajar kita untuk hormati
mereka yang beragama lain dan kalau agama lain hormati agama Islam,
tidak ada masalah akan wujud dalam negara," katanya.
Menyentuh prinsip ketiga, beliau berkata, setiap rakyat mesti bersikap adil dalam membuat pertimbangan.
"BN (Barisan Nasional) akan terus mendukung dan pertahankan
ketiga-tiga prinsip ini, percayalah ini janji kita kepada rakyat...janji
kita janji ditepati," kata Najib.
Mengenai kunjungannya ke Brickfields, Najib berkata, ia sarat dengan
mesej keharmonian apabila beliau turut disertai pelbagai penganut agama.
Menurutnya, Brickfields merupakan mikrokosma masyarakat majmuk di
Malaysia kerana ia didiami penduduk berbilang kaum dan agama selain
menjadi lokasi pelbagai rumah ibadah.
"Brickfields ini adalah antara lokasi paling unik di Malaysia kerana
dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer, terdapat pelbagai tempat
ibadah yang mewakili agama besar dunia dengan pengikut dan penganut
masing-masing," katanya. - BERNAMA