12 Februari 2013

Karpal menentang apa saja yang 'berbau Islam'

APABILA Pas ingin memperjuangkan Negara Islam dan hukum hudud, Karpal Singh menyatakan "langkah mayat saya dulu." Pas semacam akur dengannya dan bersetuju menukar hala tuju perjuangan kepada Negara Berkebajikan.
Bila berbangkit isu kalimah Allah sesuatu yang pokok bagi Islam, Majlis Syura Pas mengambil pendekatan berbeza dengan keputusan kepimpinan pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.
Karpal Singh menyanggah kenyataan Haji Abdul Hadi Awang, "Pas sepatutnya mempertimbangkan keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat dan bukan Majlis Syura. Saya kesal dengan kenyataan Haji Hadi. Isu ini belum selesai dan DAP tetap dengan pendiriannya".
Siapa Karpal Singh yang mempersoalkan keputusan Majlis Syura yang sifatnya binding dan terikat dalam status sebuah jamaah Islam. Kalaulah Pas akhirnya tunduk dengan tuntutan Karpal Singh, sekali lagi Pas mengalah terhadap isu pokok dan asas bagi akidah tauhid umat Islam.
Kalaulah benar Haji Hadi sudah bersetuju dengan keputusan Majlis Syura, ia adalah sesuatu yang baik bagi umat Islam. Karpal Singh dan Anwar Ibrahim tidak payah sibuk-sibuk memaksa Haji Hadi berpatah balik dengan persetujuan 8 Januari yang mana Haji Hadi khilaf menyatakan pendiriannya bersama pimpinan Pakatan.
Karpal Singh tahu undang-undang, kuasa Raja dan Sultan di Malaysia dalam hal ehwal agama Islam. Anwar lebih patut tahu mengenai keputusan Majlis Syura kerana semasa dalam ABIM dulu keputusan Majlis Syura adalah binding atau terikat kerana berlandaskan hukum syarak.
Anwar sepatutnya menasihati Karpal Singh, Lim Guan Eng dan DAP mengenai perkara ini, bukan sebaliknya bersekongkol dengan mereka. Ia seolah-olah membayangkan faktor syarak tidak penting berbanding dengan faktor politik.
Orang Islam semakin hairan apakah Karpal Singh menolak enakmen agama negeri-negeri yang telah membuat keputusan mengenai penggunaan kalimah Allah dan lain-lain kalimah yang berkaitan.
Enakmen yang diluluskan secara undang-undang adalah valid atau sah. Takkan kerana nak ke Putrajaya, semua itu dilanggar. Haji Hadi harus teguh dengan pendirian yang telah diputuskan oleh Majlis Syura. Kalau tidak, apa makna Haji Hadi memimpin sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam sedangkan perkara pokok yang melibatkan akidah dipandang remeh saja.
Walaupun Nik Aziz terpaksa turun ke Pulau Pinang dan dikatakan untuk melakukan diplomasi politik dengan Karpal Singh, Pengerusi DAP itu menafikan pertemuan tersebut ada membincangkan isu kalimah Allah dan menganggap isu itu masih tidak selesai.
Sepatutnya Nik Aziz selaku Pengerusi Majlis Syura menjawab dengan tegas keputusan Pas yang ditandatanganinya. Nampaknya dengan DAP, Nik Aziz amat lunak tetapi dengan UMNO terlalu kasar. Apakah ini selari dengan ajaran al-Quran lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan perkara pokok iaitu isu kalimah Allah yang kalau dirujuk pendirian Dr. Haron Din, salah guna kalimah Allah ini boleh membawa kufur dan syirik.
Cukuplah bagi Pas dilakukan sebegitu rupa. Majlis Syura patut bersidang segera dengan melibatkan Haji Hadi supaya pendirian tegas dapat dibuat terhadap permintaan Karpal Singh dan Anwar supaya Pas kembali bersetuju dengan keputusan Haji Hadi 8 Januari menerima guna pakai kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
Kalau keputusan Majlis Syura masih dipertikai juga, Pas tahu jalan keluarnya. Khalayak sedang meneliti gelagat Pas sama ada sekali lagi tunduk dengan kehendak Karpal Singh dan Anwar atau hanyut dalam perangkap politik yang menjejaskan imej perjuangan Pas itu sendiri.
Pas juga tahu bahawa Karpal Singh cukup sensitif sesuatu yang 'berbau Islam.' Sepatutnya melakukan tahalluf siasi atau kerjasama politik, DAP kena ada kefahaman bahawa Islam itu agama tamadun. Takkan Karpal Singh tak baca sejarah kebangkitan tamadun Eropah yang ada kaitannya dengan tamadun Islam.
DAP memperjuangkan faham sosialis demokratik yang sekular. Pas juga tahu tentang integriti Anwar dengan hala tuju perjuangan PKR cenderung kepada faham librealisme dan pluralisme agama.
UMNO tidaklah seteruk itu. Masih lagi memberi ruang kepada Islam berkembang. Pas tidak harus menjadi pendukung tegar terhadap politik kebencian dan dendam kesumat. Kembalikan kepada ajaran Islam yang sebenar. Kalau tidak isu kalimah Allah akan memerangkap Pas dalam satu persimpangan ingin mempertahankan akidah atau bakal cair dalam politik pragmatik Anwar dan DAP.

'Pas cukup sayang DAP'

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Pas tidak mempunyai keberanian untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana parti itu terlalu bergantung kepada DAP.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis berkata, Pas cukup sayang kepada DAP sehingga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup meraikan sambutan hari lahirnya bersama Pengerusi DAP, Karpal Singh.
"Pas takut kalah kalau keluar daripada pakatan pembangkang, jadi takkan hendak 'bercerai' dengan DAP.
"Bercerai dengan Nasharudin (bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa) tidak apa tetapi bukan dengan Karpal," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Dr. Mahathir melancarkan buku bergambar bertajuk Antarctica: Malaysia's Journey To The Ice oleh Pusat Penyelidikan Nasional Antartika di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan Pengarah Pusat Penyelidikan Nasional Antartika, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah.
Beliau mengulas desakan Nasharudin supaya Pas meninggalkan pakatan pembangkang dan bergerak bersendirian bersandarkan kekuatannya jika mahu kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.
Tegas Nasharudin, kerjasama dengan PKR yang membabitkan pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal ehwal dalaman telah melunturkan kekuatan Pas.

Saya akur - Nasharudin

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa (gambar) akur dengan pemecatannya sebagai Ahli Majlis Syura Ulama Pas selepas beliau menerima surat tersebut hari ini.
Nasharudin berkata, berdasarkan surat berkenaan alasan atau sebab beliau dipecat kerana tindakannya yang bertentangan dengan peraturan parti.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini, beliau turut menjelaskan, surat itu bagaimanapun tidak menyebut ketidakhadirannya ke mesyuarat Majlis Syura Ulama sebagai alasan pemecatan.
"Tarikh surat ini dikeluarkan ialah pada 14 Januari lalu dan ditandatangani Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.
"Berdasarkan sampul surat ini, tarikh posnya adalah pada 30 Januari lalu melalui Pos Ekspres, namun saya hanya menerimanya hari ini iaitu satu tempoh yang agak lama," katanya.
Pada 27 Januari lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengesahkan pemecatan Nasharudin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama.
Mustafa berkata, antara sebab pemecatan itu kerana Nasharudin kerap tidak hadir ke mesyuarat Majlis Syura Ulama serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian serta ketetapan majlis.
Menurut Nasharudin, beliau tidak menolak kemungkinan peranannya sebagai penggerak kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO menjadi pencetus sehingga dipecat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama.
Namun, katanya, apa yang berlaku itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berjuang termasuk membantu mana-mana pihak yang mahu membela serta mempertahankan Islam.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebaik-baiknya Pas bersendiri daripada bersama pakatan pembangkang kerana banyak pendirian parti itu berkaitan perjuangan Islam telah digugurkan sejak bersama pakatan pembangkang.

Hadi tertekan akibat kesilapan sendiri

MACHANG 6 Feb - Tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menyifatkan pengikutnya sebagai melampau membuktikan beliau kini berada dalam keadaan tertekan ekoran kesilapan sendiri.
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Wan Ismail Wan Ahmad, berkata, dakwaan tersebut hanya timbul selepas Abdul Hadi mula berasa tertekan ekoran isu amanatnya yang kembali mencetuskan kontroversi.
"Ini jelas menunjukkan beliau ingin melindungi kesilapannya sendiri selepas berasa terancam apabila banyak pihak mempertikaikan kredibilitinya dalam pelbagai aspek termasuk dalam isu amanat itu.
"Soal Pas mengkafirkan UMNO ini bukan perkara baru tetapi sejak dulu-dulu lagi sehingga ada yang berpecah-belah sesama sendiri. Putus hubungan keluarga dan sebagainya.
"Tetapi oleh kerana keegoannya beliau tidak mahu menerima hakikat kesilapannya itu, jadi letak kesalahan kepada orang lain. Pemimpin apa begini," katanya ketika diminta mengulas kandungan buku Amanat Haji Hadi: Antara Fitnah & Fakta semasa ditemui di sini hari ini.
Menerusi buku tersebut, Abdul Hadi mendakwa Pas telah mentarbiahkan ahlinya agar jangan sewenang-wenangnya menghukum orang lain sebagai kafir dan beliau menyifatkan tindakan keterlaluan penyokong parti itu sebagai pelampau.
Wan Ismail yang juga pengasas Pas Kelantan berkata, daripada segi prinsip, penyokong atau pengikut tidak akan bersikap 'pelampau' sekiranya ketua sesebuah kumpulan mampu mentarbiahkan pengikutnya secara bijaksana.
"Sesat anak murid sebenarnya kerana guru, bukan kerana anak murid. Anak murid pada asasnya tidak tahu apa, dia hanya terima ajaran guru. Sebab itu saya sejak awal-awal lagi, semasa amanat itu dikeluarkan saya sudah menolaknya," katanya.
Dalam pada itu beliau menyeru umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan dakyah Pas yang menjadikan agama sebagai modal bagi memancing undi setiap kali menjelang pilihan raya.
Katanya lagi, dasar perjuangan parti itu kini sudah terlalu jauh menyimpang dari landasan sebenarnya ekoran kehendak pemimpin Pas yang terlalu dahagakan kuasa.
Kata beliau, penyimpangan itu dilihat semakin ketara sejak ia bersekutu dengan DAP sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan parti yang terang-terangan menolak Islam termasuk dalam soal akidah.
"Sebagai seorang Islam perkara sedemikian mesti diperhalusi dengan sedalam-dalamnya. Jangan kita terperangkap dalam syirik yang tersembunyi kerana ini satu hukuman yang sangat bahaya," jelasnya.

Kerajaan tidak bankrap beri subsidi rakyat

BACHOK 6 Feb. - Kerajaan Pusat mempunyai dana yang cukup untuk menampung perbelanjaan subsidi rakyat, justeru negara ini tidak akan bankrap seperti yang didakwa pemimpin pakatan pembangkang.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussain berkata, hasil cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM120 bilion tahun lalu serta sumber daripada Petronas sudah cukup untuk dibelanjakan bagi menampung subsidi rakyat.
Katanya, melalui pelbagai hasil yang diperolehi, kerajaan mampu berbelanja sebanyak RM30 bilion setahun untuk perbelanjaan subsidi tanpa menjejaskan akaun negara.
“Saya yakin ekonomi negara pada masa depan akan terus berkembang berikutan kemasukan pelabur asing yang terbaharu termasuk pelabur dari China melibatkan nilai pelaburan RM10.5 bilion di Pahang.
“Ini untuk membolehkan kerajaan dapat meneruskan pelbagai bentuk subsidi berkenaan pada tahun-tahun akan datang jika kerajaan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mengurus pentadbiran negara," katanya selepas menyampaikan bantuan ihsan kerosakan tanaman padi kepada petani bagi Jajahan Bachok di Pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Kemasin- Semerak, Gunong, di sini hari ini.
Awang Adek berkata, dakwaan bahawa negara bankrap kerana banyak memberi subsidi adalah satu dakyah pembangkang untuk menakutkan rakyat. .
Sebaliknya kata beliau, pakatan pembangkang sebenarnya yang tidak tahu pengurusan ekonomi negara apabila pernah mengeluarkan kenyataan mahu memberhentikan sebilangan besar penjawat awam untuk mengelakkan kerugian kepada negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130207/po_08/Kerajaan-tidak-bankrap--beri-subsidi-rakyat#ixzz2KecBObr3
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa - 12/2/13

DAP P. Pinang turunkan beratus bendera BN sambut Muhyiddin

Bendera BN yang diturunkan oleh kerajaan negeri sewaktu majlis Mesra Rakyat Parlimen Jelutong Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Desa Green Jelutong, Pulau Pinang, kelmarin. 
*****
PULAU PINANG 6 Feb. - Kerajaan DAP Pulau Pinang diselar kerana menurunkan ratusan bendera Barisan Nasional (BN) yang dipasang bagi menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melakukan lawatan kerja sehari di negeri ini semalam.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dianggap bersikap tidak adil apabila banyak lagi bendera parti-parti pembangkang yang digantung tidak dikenakan tindakan sama oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Menurutnya, jika benar tindakan penguatkuasaan itu atas alasan tiada permit, beliau mencabar MPPP membuktikan bendera parti-parti lain yang digantung di kawasan-kawasan awam mempunyai kebenaran bertulis.
"Kerajaan DAP Pulau Pinang macam tiada kerja lain. Perkara yang remeh-temeh pun nak ambil tindakan.
"Mereka mungkin trauma dengan sokongan rakyat terhadap BN hingga tengok bendera pun rasa takut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin melakukan lawatan kerja sehari di negeri ini.
Musa menambah, beliau mahu rakyat menilai sendiri bentuk kerajaan yang dipimpin Guan Eng dan membezakannya dengan pentadbiran BN dahulu.
"Rakyat boleh lihat sendiri, inilah kerja dan sikap dia (Guan Eng)," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bayan Baru, Norman Zahalan memberitahu, beliau menerima maklumat MPPP menurunkan bendera BN di sekitar kawasannya pada kira-kira pukul 4 petang semalam lalu bergegas ke tempat kejadian.
Jelasnya, beliau sempat menghalang perbuatan tersebut dan meminta jasa baik anggota-anggota penguat kuasa MPPP agar tidak meneruskannya sehingga Timbalan Perdana Menteri pulang ke ibu negara sebagai menghormatinya.

'Guan Eng mahu malukan Perdana Menteri'

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibidas sebagai mahu memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila menggesa penduduk negeri itu memakai baju pelbagai warna bertemakan pembangkang semasa menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, niat itu sangat jelas memandangkan Guan Eng sedia maklum bahawa Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis yang akan diadakan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Han Chiang, Pulau Pinang pada 11 Februari.
"Apabila penduduk datang memakai warna yang diminta, beliau (Guan Eng) ingat dapat tunjuk kepada Perdana Menteri kononnya penduduk Pulau Pinang menyokong mereka (pembangkang) pada pilihan raya kali ini," katanya di sini, hari ini.
Zainal Abidin seterusnya mempersoalkan keikhlasan kerajaan DAP Pulau Pinang memberi kebenaran kepada BN untuk mengadakan majlis sambutan itu kerana ia dicemari dengan permintaan supaya penduduk mengenakan pakaian warna tertentu.
"Apa yang dilakukan oleh Guan Eng sebenarnya hanya dilakukan oleh mereka yang baru merangkak dalam dunia politik," katanya.
Pada Isnin, Guan Eng dilaporkan akhbar menyeru orang ramai untuk memakai baju berwarna kuning sebagai tanda sokongan kepada Bersih, hijau untuk alam sekitar dan merah untuk Pulau Pinang semasa menghadiri majlis anjuran BN negeri itu.
Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Program Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. P. Sivamurugan juga menyelar tindakan Guan Eng yang cuba mempolitikkan perayaan sesuatu kaum yang disambut dengan harmoni oleh semua penduduk negara ini.
"Tindakan beliau mencadangkan warna pakaian seakan-akan mempersendakan majlis selain beranggapan dapat mencemarkan imej penganjur iaitu BN.
"Majlis sambutan itu tidak wajar disempitkan dengan isu politik kerana ia boleh diketengahkan sebagai bukti masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama boleh bersama-sama dalam satu majlis walaupun berbeza pegangan politik," katanya.
Beliau juga berkata, tindakan Setiausaha Agung DAP itu jelas menunjukkan bahawa beliau tidak menghormati nilai perpaduan yang diterapkan oleh Perdana Menteri pada konsep 1Malaysia.
Ketua Pemuda MIC, T. Mohan pula menyifatkan gesaan Guan Eng itu sangat kebudak-budakan dan hanya dilakukan oleh mereka yang tidak matang dalam dunia politik.
"Sebagai seorang Ketua Menteri, beliau patut tahu bahawa untuk semua agama, perayaan adalah sesuatu perkara yang suci dan tidak sepatutnya perkara baik dipolitikkan hanya kerana ia dianjurkan oleh pihak yang tidak sealiran dengan pegangan politik," katanya.
Beliau menambah, BN juga sangat menghormati pembangkang apabila menerima permohonan mereka untuk mengadakan majlis di negeri di bawah penguasaannya, tanpa memainkan sebarang isu remeh.
"Jelas BN sangat mementingkan sifat toleransi kerana memberikan ruang yang cukup kepada mereka, tetapi nampaknya sikap murni itu tidak diamalkan pembangkang," katanya. - BERNAMA

DAP macam PAP - Boo Chang

PULAU PINANG 6 Feb. - Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang memberi tekanan kepada program dan aktiviti anjuran Barisan Nasional (BN) dilihat tidak ubah seperti Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura yang tidak memberi cukup ruang kepada pembangkang.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kelab Setia 1Malaysia, Lim Boo Chang berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng seolah-olah mahu mencontohi polisi parti diasaskan oleh bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew yang mahukan PAP memerintah selama-lamanya.
Bagi Guan Eng, katanya, tindakan sedemikian mungkin boleh menyekat suara rakyat yang tidak berpuas hati atau menghalang pandangan pihak lain daripada didengari.
"Polisi DAP sama dengan PAP yang tidak memberi cukup ruang kepada pembangkang berbuat apa-apa.
"PAP nak jaga Singapura selama-lamanya tanpa ada suara berbeza atau pandangan lain atau aktiviti yang boleh menjejaskan sokongan terhadapnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang juga bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bukit Gelugor diminta mengulas tindakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menurunkan kain rentang dan poster ucapan Selamat Tahun Baharu Cina oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Selain itu, Guan Eng turut menyeru orang ramai yang mahu hadir ke majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran BN negeri pada 11 Februari ini memakai baju kuning sebagai tanda sokongan kepada himpunan Bersih anjuran pembangkang, hijau untuk alam sekitar dan merah bagi Pulau Pinang.
Boo Chang memberitahu, semasa pentadbiran BN dahulu, parti-parti pembangkang tidak dihalang untuk menggantung kain rentang atau bendera bagi jangka masa pendek.
Berbeza sekarang, jelasnya, garis panduan baharu diperkenalkan memerlukan setiap pemohon yang mahu menggunakan kemudahan awam seperti dewan dan padang perlu mendapat kelulusan pejabat pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan bukan hanya pejabat wakil tempatan.
"Tujuannya adalah untuk menapis jika terdapat program atau aktiviti yang bersangkut-paut dengan BN.
"Jika ada, mereka akan menangguhkan kelulusan hingga hampir ke tarikh majlis bagi menyusahkan penganjur," ujarnya.
Katanya, DAP yang kononnya memperjuangkan demokrasi kini dilihat seperti sebuah kerajaan yang zalim dan mengamalkan budaya kuku besi.
"Tidak hairanlah jika Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman pernah menggelar Guan Eng sebagai angkuh, sombong dan tokong," tegasnya.

Kerjasama pakatan pembangkang rapuh

Mukhriz Mahathir bersama mahasiswa selepas merasmikan Persatuan Keusahawanan Pelajar UniKL di Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 6 Feb. - Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganjurkan majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang memaparkan penghibur wanita berpakaian seksi di Taman Sago, Kulim, Kedah baru-baru ini, membuktikan dasar dan kerjasama antara parti pembangkang di negeri itu sangat rapuh.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, majlis anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim daripada PKR, Lim Soo Nee itu jelas menggambarkan pendirian berbeza antara PKR dengan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri Pas Kedah.
Malah katanya, beliau turut dimaklumkan terdapat dalam kalangan pemimpin DAP sendiri tidak senang dengan tarian seksi dalam majlis itu.
"Kita kena jaga sensiviti, ini yang Barisan Nasional (BN) berjaya lakukan menerusi 13 parti komponen, tetapi pakatan pembangkang baharu tiga parti pun sudah bermasalah, sukar untuk percaya mereka sepakat dalam perkara lebih penting," katanya selepas merasmikan Persatuan Keusahawanan Pelajar (SEA) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di sini hari ini.
Garis panduan sambutan Tahun Baharu Cina 1Malaysia 2013 yang dijadualkan pada 15 Februari ini menjadi pertikaian antara Pas dan DAP di Kedah selepas kerajaan negeri menetapkan setiap peserta yang terlibat dengan persembahan pentas mesti berpakaian sopan.
Sementara itu, Mukhriz berkata, ideologi yang dibawa parti-parti pakatan pembangkang bukan setakat berbeza malah bertentangan antara satu sama lain.
"Dalam BN, kita percaya kepada sikap kompromi dan toleransi, tiada pihak yang dapat berpuas hati 100 peratus tetapi atas dasar pengorbanan, baru kita dapat sepakat," katanya.
Mengulas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina BN Pulau Pinang 11 Februari ini yang mendapat tentangan kerajaan negeri, Mukhriz berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkemungkinan cemburu dengan kehadiran artis sensasi Korea Selatan, Psy dalam majlis itu.
"Kadang-kadang kita hendak cakap benda serius, kadang-kadang kita hendak rileks sedikit, saya yakin Psy tentu hormat cara kita dan ia sekadar berseronok," katanya.
Guan Eng sebelum ini menyeru orang ramai yang mahu hadir ke majlis berkenaan memakai baju kuning sebagai tanda sokongan kepada himpunan Bersih anjuran pembangkang, hijau untuk alam sekitar dan merah bagi Pulau Pinang.

6 Februari 2013

PAS mesti keluar pakatan

pix_gal0

PAS perlu keluar daripada pakatan pembangkang dan bergerak secara bersendirian bersandarkan kekuatannya jika ingin terus kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Ketika membuat desakan itu, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, berkata walaupun PAS menjalin hubungan dengan DAP dan PKR berasaskan konsep tahaluf siyasi atau muafakat politik, pelanggaran beberapa syarat dalam ikatan itu jelas mengusik kesucian Islam.

Malah, katanya, kerjasama dengan PKR yang membabitkan pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam hal ehwal dalaman dilihat mula melunturkan kekuatan PAS.

Berikutan itu, katanya, PAS perlu menjarakkan diri daripada anasir luar berkepentingan peribadi termasuk pihak yang memiliki ikatan tahaluf siyasi jika mahu mengekalkan asas perjuangannya.

PAS itu hebat bersendiri, PAS pernah bersendiri, saya rasa ramai juga orang menyokong PAS jika bersendiri, katanya ketika ditemui selepas sesi temu bual eksklusif bersama BHOnline di sini, semalam.

Nasharudin menegaskan kelantangan DAP bersuara dalam isu membabitkan kepentingan Islam, terutama mengenai penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu menjadi kewajaran untuk PAS mengkaji semula tahaluf siyasi mereka.

Beliau berkata, ketika bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor menerajui parti itu, satu pertemuan dengan pemimpin gerakan Islam sedunia diadakan di Liecester, United Kingdom, menetapkan beberapa syarat untuk bertahaluf siyasi.

Antara syaratnya ialah kita jangan mudah lunturkan dasar Islam, jangan biarkan mereka yang bertahaluf mudah sangat mengusik Islam, hendak cubit Islam, tetapi saya lihat mutakhir ini ia berlaku.

Jadi bagi saya, jika benda itu berlaku, ia melanggar syarat walaupun ada tahaluf dan apabila sudah melanggar syarat ia harus dikaji semula.

Jika tidak ditulis dalam syarat tahaluf, tetapi secara umumnya jika orang lain itu menegur agama kita secara terbuka dalam bentuk cabaran, saya rasa tanpa tahaluf pun orang Islam kena bangkit nyatakan pendirian, katanya.

Nasharudin berkata, dalam isu kalimah Allah, PAS perlu bersuara dan menyatakan pendiriannya yang jelas kerana kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama kepemimpinan pakatan pembangkang lain jelas bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS.

Sementara itu, ketika sesi temu bual eksklusif secara online bersama pembaca BH, beliau turut menjawab beberapa persoalan membabitkan Anwar sama ada pemimpin pembangkang itu turut campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran PAS.

Beliau berkata, kemungkinan itu memang ada dan ia tidak sewajarnya berlaku dalam PAS.

Timbul beberapa isu berkaitan Anwar Ibrahim yang menimbulkan keraguan. Saya berpandangan sebagai ahli PAS, sudah tentu kepimpinan tertinggi parti saya adalah calon terbaik untuk memimpin, katanya.

/hwa: bharian.com.my | 6/2/13

Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) bersalaman dengan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik China (CPPCC), Jia Qinglin ketika melihat model Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) pada majlis pelancaran di Gebeng, Kuantan, hari ini. Dengan terbinanya MCKIP ini dapat menarik RM10.5 bilion pelaburan dan 8,500 peluang pekerjaan baru. - Foto BERNAMA, Feb 5, 2013 4:42 pm

Najib dikunjungi delegasi Guangxi Zhuang

Najib Tun Razak menerima cenderamata berupa dram gangsa daripada Peng Qinghua ketika menerima kunjungan hormat Qinghua dan delegasi dari Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
*****
PUTRAJAYA 4 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat rombongan dari Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di pejabatnya di sini.
Rombongan yang diketuai Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang Parti Komunis China (CPC), Peng Qinghua itu mengadakan perjumpaan selama 30 minit dengan Perdana Menteri.
Anggota lain dalam delegasi itu termasuk Naib Gabenor Guangxi, Lan Tianli; Timbalan Setiausaha Agung Pejabat Jawatankuasa CPC Guangxi, Lin Huaiyong; Timbalan Setiausaha Agung Kerajaan Guangxi, Wei Ran; Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Guangxi, Li Wenjie; Pengerusi Guangxi Beibu Gulf Port Group, Ye Shixiang dan Duta China ke Malaysia, Datuk Chai Xi.
Anggota delegasi itu membincangkan mengenai kemajuan pembangunan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou di China.
Di akhir perbincangan itu, Najib menerima dram gangsa daripada rombongan berkenaan. Dram gangsa membawa maksud kuasa, tuah dan berkat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik China (CPPCC), Jia Qinglin dijadual tiba di ibu negara malam ini.
Dalam tempoh lawatan Qinglin ke Malaysia dari 4 hingga 7 Februari, beliau akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menubuhkan kampus Universiti Xiamen di Malaysia di Salak Tinggi.
Menurut jadual awal lawatannya, Qinglin akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Perdana Menteri.
MCKIP terletak di satu kawasan strategik iaitu kira-kira 1,104 batu nautika ke Taman Perindustrian Qinzhou, China dengan anggaran tiga hingga empat hari masa pelayaran.
Idea penubuhan MCKIP dicetuskan sebagai tindak balas kepada Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia yang diberikan status kebangsaan oleh Majlis Negara China.
Taman itu merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia yang dimajukan secara bersama oleh Malaysia dan China pada anggaran kos kasar pembangunan sebanyak RM1.5 bilion.
MCKIP yang akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 5,500 dengan nilai jumlah pelaburan menjelang 2020 sebanyak RM7.5 bilion.
Majlis pecah tanah untuk taman perindustrian itu akan diadakan esok dan akan disempurnakan secara bersama oleh Najib dan Qinglin. - BERNAMA

MUHYIDDIN Yassin mempengerusikan taklimat pilihan raya Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di George Town hari ini. Turut sama Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow (dua kanan), Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen (kiri). - BERNAMA
*****

GEORGE TOWN 5 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melakukan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang hari ini, mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri di sini.
Pertemuan lebih dua jam itu dipercayai membincangkan persiapan dan persediaan BN negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
Antara pemimpin komponen BN negeri yang hadir pada pertemuan tertutup itu ialah Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan dan Pengerusi Gerakan Datuk Teng Hock Nan.
Ini disusuli pertemuan dengan wakil 345 Pusat Daerah Mengundi seluruh Pulau Pinang.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, mengambil masa lebih sejam bagi menyampaikan amanat kepada 1,500 wakil PDM yang hadir.
Beliau akan menyertai majlis jamuan tengah hari bersama BN negeri sebelum bertolak ke Universiti Sains Malaysia untuk majlis perjumpaan dengan kumpulan profesional dan iktisas Pulau Pinang. - BERNAMA

Pas gagal berlapang dada

Nasharuddin Mat Isa dan Dr. Hasan Ali yang dihukum oleh Pas. 
*****
Rentetan pemecatan tanpa bicara oleh Pas terhadap beberapa tokoh yang pernah menjadi ayam tambatan mereka, benar-benar menimbulkan pertanyaan kepada banyak ahli parti itu terutama di peringkat akar umbi yang telah menyokong Pas sejak sebelum zaman reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi.
Umum mengetahui bahawa Pas, seperti juga PKR adalah parti oportunis yang menimba keuntungan politik besar hasil daripada penyingkiran Anwar daripada UMNO dan Kabinet menteri.
Rakyat dimomokkan dengan kata-kata seorang yang begitu berkuasa seperti Anwar boleh dipecat oleh Perdana Menteri sebegitu sahaja; bayangkan rakyat marhaen pula! Apa saja kerajaan 'zalim' BN boleh lakukan terhadap mereka. Ceramah politik besar-besaran berlaku di sana-sini pada ketika itu dengan pengumuman penyertaan tokoh-tokoh UMNO yang pro-Anwar ke dalam parti pembangkang.
Penulis masih ingat menghadiri ceramah bagi meraikan penyertaan Datuk Dr. Hasan Ali yang merupakan seorang motivator popular di televisyen pada ketika itu ke dalam Pas di Kelana Jaya. Hasan diangkat sebagai wira ulung Pas! Malah beliau dinaikkan ke jawatan Naib Presiden Pas dalam sekelip mata, menyingkirkan Naib Presiden lain yang lebih senior seperti Almarhum Ustaz Hassan Syukri.
Hal ini dilakukan bagi memberi wajah profesional baru terhadap Pas yang ketika itu hanyalah berimej lebai kampung. Setiap kali nama Hassan diungkapkan, akan disambut dengan laungan Allahu Akbar daripada pengikut yang taksub. Ustaz Nasharudin Mat Isa juga begitu dijulang hingga dikatakan beliau adalah bayangan kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.
Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Habis madu sepah dibuang. Hasan dan Nasharudin bukan siapa-siapa lagi bagi Pas. Mereka dianggap liabiliti terhadap parti kerana mementingkan perpaduan ummah melebihi daripada assobiyah politik yang melampau.
Mereka melihat UMNO sebagai saudara se-Islam dan ini adalah dosa besar bagi pengikut fahaman Pas masa kini. Lalu mereka ditendang keluar daripada parti ibarat anjing kurap yang tidak ada sedikit jasa pun kepada parti malahan pembawa masalah bagi Pas dalam bersekedudukan dengan PKR dan DAP.
Mereka langsung tidak dipanggil untuk memberi tunjuk sebab atau diberikan perbicaraan yang adil. Bayangkan, bekas orang nombor 2 Pas yang dikatakan bayangan Ustaz Fadzil Noor dibuang begitu saja!
Apa yang menarik adalah sungguhpun mereka berdua 'dibuang' daripada parti dengan cara yang begitu tidak terhormat, mereka berdua kekal tidak mengkritik pemimpin utama mereka seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mereka kekal menghormati kedua-dua tokoh tersebut malah Hasan secara terbuka menyatakan dia masih sayang pada Pas dan mahu Hadi Awang memimpin negara, bukan Anwar Ibrahim seperti persetujuan pakatan pembangkang.
Inilah saki baki 'ajaran songsang' Pas yang telah indoktrinasi kepada ahli mereka. Pas mengamalkan sistem pentarbiyahan yang memerlukan ahlinya terutama di peringkat pimpinan mengungkapkan bai'ah kepada pemimpin mereka.
Seperti yang didedahkan oleh pemimpin Pas sendiri, bai'ah talak tiga juga adalah antara cara Pas mengikat ahli-ahli dan pimpinan-pimpinan mereka daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan kepentingan parti. Silap langkah, isteri mereka boleh tertalak secara automatik. Begitulah Pas mengikat kesetiaan ataupun wala' terhadap pemimpin parti mereka.
Tafsir Surah Al Hujurat karangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadikan silibus untuk usrah-usrah mereka dalam mengkader ahli. Kesetiaan kepada pemimpin adalah tiada tolok bandingannya seperti kesetiaan terhadap Rasulullah.
Kisah-kisah seperti pemecatan Khalid Al Walid RA sebagai panglima tertinggi tentera Islam oleh Khalifah Umar Al Khattab RA didendangkan kepada ahli-ahli Pas agar mereka mencontohi sifat Khalid apabila disingkirkan dan diganti dengan Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah RA.
Khalid Al Walid tidak menentang atau mempertikaikan keputusan Saidina Umar malah turut berjuang di medan perang walaupun hanya sebagai tentera biasa. Malah dinukilkan juga di dalam kitab karangan Presiden Pas tersebut, sekalipun pemimpin negara adalah seorang yang fasiq, arahan-arahannya yang tidak bertentangan dengan syariat hendaklah dipatuhi!
Inilah sifat yang sewajarnya ada pada seorang Muslim apabila berhadapan dengan keputusan pemimpin negara. Maka tidak hairanlah, Nasharudin dan Hasan Ali berdiam diri dan menerima pemecatan mereka dengan hati terbuka walaupun disingkirkan dengan cara yang tidak bermaruah.
Ironinya, apabila Sultan Perak yang merupakan pemimpin tertinggi negeri menyingkirkan Menteri Besar Pas, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, Pas tidak boleh berlapang dada seperti Khalid al Walid, sebaliknya memilih untuk sembah derhaka, berguling di jalan raya, menyekat kereta Raja dan bersidang di bawah pokok.
Nik Aziz juga tidak boleh berlapang dada apabila Sultan Selangor selaku Ketua Agama Negeri melarang penggunaan masjid-masjid di negeri baginda sebagai medan berkempen oleh semua parti politik. Titah baginda ini bersempena dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang bertujuan untuk mengelakkan perpecahan umat Islam. Nik Aziz malah menempelak secara terbuka arahan baginda dengan mengatakannya karut dan saki baki ajaran penjajah.
Terbaharu dalam isu kalimah Allah, selang hanya 1 jam selepas pengumuman titah Baginda Sultan Selangor tentang larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, pakatan pembangkang muncul membuat sidang akhbar menyatakan kesatuan mereka membenarkan penggunaan kalimah tersebut. Mereka tidak redha dan akur dengan keputusan pemimpin tertinggi yang mempunyai autoriti dalam urusan agama negara kita seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Mereka tidak boleh bersikap seperti Khalid apabila tindakan yang tidak menyebelahi nafsu politik mereka diambil oleh pemerintah tertinggi negeri atau negara. Mengapakah Pas gagal berlapang dada kepada arahan pemimpin tertinggi ini? Seolah-olah ketaatan atau wala' kepada pemimpin yang mereka pelajari hanya terpakai untuk pimpinan Pas tetapi tidak bagi Raja dan Sultan yang memerintah negeri?
Dalam pada mereka menyuruh Ustaz Nasharuddin dan Dr. Hasan berdiam diri dan akur menerima pemecatan mereka dengan berlapang dada seperti Khalid Al Walid RA dan tidak mempertikaikan keputusan pimpinan, Pas sendiri gagal mengaplikasikan sikap mulia tersebut untuk diri mereka sendiri justeru menggunakan taktik matlamat menghalalkan cara sebagai gaya mereka untuk berpolitik dan beragama.
Oleh itu, Pas harus bermuhasabah dengan ancaman Allah SWT tentang golongan yang bercakap tak serupa bikin.
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."- Surah As Saff (2-3).

Pemimpin politik Islam berada di suatu titik sempadan

LAWATAN Perdana Menteri Malaysia ke Ghaza. Palestin dan pertemuan beliau dengan Presiden Mesir, Mohammed Morsi adalah suatu titik sejarah yang menarik untuk dijadikan renungan umat Melayu di Malaysia.
Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tentu mempunyai tekad politik yang tinggi berada di zon perang bersama dengan Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh. Apa-apa boleh berlaku pada waktu itu, tetapi keberanian itu adalah sesuatu yang positif bagi Malaysia di mata dunia Islam kerana umat Islam di Malaysia adalah penyumbang paling utama meredakan penderitaan umat Palestian sekian lama dan komitmen Kerajaan Malaysia terhadap perjuangan Palestin tidak pernah berubah.
Pihak-pihak yang ingin melangsungkan strategi "Arab Spring" di Malaysia dan ingin melakukan gerak kerja "Dataran Tahrir" di negara ini patut belajar bagaimana pertemuan Najib dengan Morsi - bukan sekadar bertanya khabar tetapi mengambil keputusan bagaimana Mesir harus dibantu dengan kepakaran yang ada di Malaysia.
Najib ke Palestin pastinya untuk melindungi kepentingan umat Palestin dan tentunya Israel faham ini tidak seperti sesetengah tokoh yang membuat kenyataan untuk melindungi keselamatan Israel. Sebuah politeknik terasas di Palestin semasa kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke sana.
Kerjasama Petronas dan syarikat minyak di Mesir adalah usaha bijak ke arah memperkukuh ekonomi Mesir. Malah penulis tidak terkejut kalau suatu hari nanti Ismail Haniyeh dan Morsi akan datang ke Malaysia untuk berbincang lanjut mengenai strategi kerjasama dalam pendidikan, pembangunan sosial dan ekonomi dan bertemu dengan masyarakat Islam di Malaysia.
Inilah langkah bijaksana supaya pendekatan wahdah menjadi agenda penting Malaysia menyatukan tenaga umat supaya prioriti ke arah pembangunan diberi perhatian. Telah terlalu lama umat Islam mengalami perpecahan yang menyebabkan kemunduran dan penderitaan terjadi.
Usaha Najib mengatasi masalah Hamas-PLO dengan bijaksana amat dituntut. Kejayaan Najib membantu perdamaian dengan Bangsamoro di selatan Filipina adalah suatu langkah terpuji dan nasihat Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta untuk meleraikan isu di selatan Thailand memang kena pada waktunya.
Pendekatan Malaysia terhadap isu-isu negara dan dunia Islam adalah sesuatu yang praktis. Ia bukan retorik atau percubaan kosong mengisi aspirasi umat. Apabila Malaysia membantu, dibantu dengan sungguh-sungguh, apabila Malaysia berjanji, janji itu ditepati.
Malaysia mampu melakukannya kerana secara umumnya politik Malaysia adalah stabil, ekonominya berkembang, kemajuan terjadi dan masyarakat Malaysia merasakan perubahan dan pembangunan berlaku.
Penulis percaya masyarakat Malaysia yang waras dan rasional akan sentiasa dapat membuat pertimbangan yang betul supaya mereka adalah sebahagian besar yang akan membuat pilihan yang tepat untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.
Mereka merasakan bagaimana orang luar mengagumi Malaysia sebagai negara pencetus jalan damai dan perubahan yang bermanfaat untuk umat manusia.
Lihatlah kunjungan Najib ke Gaza dengan hati yang jernih. Suluhlah pertemuan Najib-Morsi sebagai suatu langkah bijaksana membantu umat Mesir yang sekian lama tertinggal sedangkan potensi untuk Mesir bangun dengan kekuatan ekonomi amat besar sekali.
Kalau Ismail Haniyeh boleh menerima Najib dan kalau Morsi boleh diziarahi Najib, mengapa sebahagian daripada kita di Malaysia enggan mengakui peranan Najib sebagai sesuatu yang positif. Soal berbeza anutan faham politik, berbezalah. Kalau sesuatu itu baik, katakan ia baik.
Kalau dengan negara luar Malaysia boleh bersikap berani dan praktis, takkan di Malaysia isu yang berbangkit tidak boleh dileraikan. Penulis percaya sekiranya pihak-pihak yang bertelagah di Malaysia dapat duduk semeja berbincang dengan hati terbuka, banyak yang boleh dilakukan untuk kebaikan Malaysia dan lebih banyak lagi boleh dilakukan terhadap masyarakat Islam antarabangsa.
Umat Islam kini amat memerlukan faktor pemersatu supaya yang sedang berlaku di Afghanistan, Iraq, Syria, Tunisia dan Libya didekati dengan bijaksana.
Amat sayang negara umat Islam yang memiliki sumber hasil bumi yang kaya dimanfaatkan oleh pihak lain tidak kembali kepada milik setempat.
Begitu juga sumber daya manusia melepasi 1.6 bilion sekiranya diberi ilmu diniyah dan ketamadunan bakal menghasilkan Order Baru Dunia yang menyumbang tidak saja ke arah kemajuan tetapi juga ke arah kualiti keinsanan yang cemerlang.

Guan Eng mahu jaga hati pemaju?

MUNASABAHKAH harga RM400,000 bagi sebuah rumah mampu milik di Pulau Pinang? Bagi Ketua Menterinya, Lim Guan Eng, harga itu mungkin ideal berdasarkan nilai semasa tanah di bahagian pulau.
Namun kepada yang makan gaji, mereka perlu berpendapatan sekurang-kurangnya RM7,000 sebulan supaya dapat membayar ansuran pinjaman perumahan dan pada masa sama menyara keluarga dengan selesa.
Bagi golongan berpendapatan rendah seperti kakitangan kerajaan negeri, berapa sangatlah yang dapat mereka bawa pulang ke rumah setiap bulan. Nak capai RM3,000 sebulan pun mungkin payah, itu pun kalau ada bayaran lebih masa atau lain-lain elaun.
Justeru, sanggupkah Guan Eng membuat penyelarasan tangga gaji minimum RM7,000 untuk kakitangannya seperti kerani dan buruh supaya mereka boleh membeli rumah mampu milik tersebut?
Bagaimana pula yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan penjaja pasembur di tepi jalan? Mereka mungkin terpaksa menaikkan kadar perkhidmatan dan harga jualan supaya dapat membeli rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.
Sanggupkah kita sebagai pengguna membayar RM10 bagi sekilometer pertama apabila menaiki teksi atau untuk sepinggan pasembur? Menurut Yang Dipertua Komuniti 1Malaysia Daerah Barat Daya, Datuk Shah Headan Ayoob Shah, Guan Eng sebenarnya berdepan masalah psikologi.
"Beliau selalu cakap depan rakyat, kerajaan DAP Pulau Pinang akan menjaga mereka. Rakyat yang mendengar jaminannya sudah tentu berharap beliau akan menjadi hero untuk menyelesaikan masalah mereka," jelasnya.
Namun pada masa sama katanya, Guan Eng perlu menjaga hati golongan peniaga lebih-lebih lagi hubungannya dengan banyak pemaju semakin renggang sehingga memaksa beliau meletakkan syarat yang tidak munasabah untuk rumah mampu milik.
Shah Headan berpendapat, terdapat dua perkara asas yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah tersebut.
Pertama, meningkatkan kepadatan sesuatu kawasan bertujuan mengurangkan kos pembinaan seterusnya menjadikan harga rumah lebih rendah. Sebagai contoh, jika satu-satu tapak biasanya dibina sebanyak 60 rumah, mungkin boleh ditambah jumlahnya kepada 100 buah.
Langkah kedua, Guan Eng perlu berani mewartakan kawasan untuk pembinaan rumah kos rendah di setiap Parlimen.
"Dalam setiap Parlimen perlu ada pelbagai jenis komuniti, iaitu orang kaya dan orang susah. Bila digazetkan sebegini, harga rumah automatik boleh diturunkan. Dari segi sistem kehidupan masyarakat pula, yang miskin akan menyediakan sistem sokongan kepada orang kaya seperti menjadi pekerja, pemandu atau tukang kebun," ujar Shah Headan.
Guan Eng perlu sedar bahawa jumlah tuan tanah dan pemaju tidak banyak, yang ramai adalah rakyat. Justeru, beliau perlu memberi perhatian kepada keperluan rakyat, bukannya memenuhi kehendak pemaju.

Pembangunan lebih pesat jika sokong BN - Ku Li

GUA MUSANG 5 Feb. - Rakyat akan menikmati lebih banyak pembangunan dan kemajuan sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata, ini terbukti melalui perubahan di Bandar Gua Musang yang semakin maju berbanding 30 tahun dahulu apabila pelbagai kemudahan dilaksanakan kerajaan BN untuk faedah rakyat.
Perubahan ini adalah hasil sokongan penduduk Gua Musang kepada BN, katanya, ketika berucap pada majlis Perjumpaan Dengan Warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Parlimen Gua Musang di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yusoff Ab. Ghani, ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan ADUN Galas, Ab Aziz Yusof.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, bandar Gua Musang mungkin lebih maju lagi di masa akan datang apabila banyak projek yang dirancangkan kerajaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Kita harap segala-galanya itu berjaya apabila rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan termasuk kita semua sebagai pemimpin peringkat Parlimen Gua Musang," katanya. - BERNAMA

Program transformasi PM pikat penyokong Pas sertai UMNO

KUALA TERENGGANU 5 Feb. - Tertarik dengan program transformasi dan program membantu rakyat yang digarap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekumpulan penyokong tegar Pas dari Kampung Jerong Seberang dan Kampung Bukit Cempedak di Marang tekad menyertai UMNO.
Ramli Abdullah, 53, mewakili 80 bekas penyokong Pas itu, berkata, mereka menyertai UMNO kerana tertarik dengan program transformasi yang dirancang kerajaan bagi membantu rakyat terutama golongan miskin serta penduduk kampung.
Katanya, program transformasi yang diwujudkan kerajaan benar-benar bertujuan membantu semua golongan terutama rakyat berpendapatan rendah selain memberi tumpuan kepada kemajuan negara.
“Kami selama lebih 30 tahun menjadi pengikut Pas, tidak ada apa-apa pembangunan yang disediakan di kampung kami, malah keadaan kami semakin terpencil dan terasing," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada majlis Selamat Tinggal Pas, BN Di Hatiku, di kediamannya, Seri Iman, di sini hari ini.
Pada majlis itu, 80 pengikut dan penyokong setia Pas dari kedua-dua kampung berkenaan berikrar memberi sokongan penuh kepada UMNO serta menyerahkan borang keanggotaan UMNO kepada Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
Sementara itu seorang lagi bekas penyokong Pas, Mohd. Zulfadli Zakaria, 28, dari Kampung Bukit Cempedak, berkata beliau sedih kerana selama menjadi pengikut setia Pas, tiada apa yang disumbangkan parti pembangkang itu bagi kemajuan kampungnya.
“Mereka (Pas) tidak menghirau langsung penduduk Kampung Bukit Cempedak. Remaja dan belia di kampung kami terumbang-ambing tidak ada bimbingan, tidak ada program yang dirangka bagi kemajuan kami.
“Kami berharap setelah menyertai UMNO, kami akan menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi kemajuan kampung kami setanding dengan kampung lain," katanya yang mewakili orang muda kampung berkenaan.
Ketika berucap pada majlis itu, Ahmad berkata sehingga ini kerajaan telah membina 300 unit rumah mampu milik di Bukit Gasing dan 500 unit lagi di Bukit Payong dalam daerah Marang.
“Jika Barisan Nasional memenangi empat kerusi DUN serta Parlimen Marang, kerajaan akan membina 1,000 unit lagi rumah selain sebuah Sekolah Agama Imtiaz yang menelan belanja antara RM50 juta ke RM60 juta di daerah itu," katanya.
Parlimen Marang dan dua DUN di bawahnya iaitu Rhu Rendang dan Bukit Payong dikuasai Pas manakala DUN Alor Limbat serta Pengkalan Berangan pula dipegang BN. - BERNAMA

Ubah Permatang Pauh dulu - Taib

KUCHING 4 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersusah payah berulang-alik ke Sarawak kononnya untuk melakukan perubahan kerana boleh berbuat demikian di Permatang Pauh terlebih dahulu.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kawasan Parlimen tersebut yang diwakili Anwar sejak beliau bergelar pemimpin nombor dua negara sehingga kini bukan sahaja tidak banyak berubah malah semakin terabai.
Selain itu katanya, pelbagai janji manis pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai mereka sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 turut gagal ditepati walaupun penggal ini akan berakhir tidak lama lagi.
“Pembangkang sebenarnya tidak ada komitmen terhadap apa yang mereka janjikan atau dengan kata lain, memang tak ikhlas pun untuk lakukan perubahan.
“Jadi, buat apa rakyat mahu percaya kata-kata mereka yang kononnya mahu membawa perubahan ke negeri ini sedangkan kita tidak nampak pun kesungguhan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jentera Wanita Barisan Nasional (BN) Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya, di sini hari ini.
Yang turut hadir isteri Ketua Menteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Jalil serta Timbalan Pengerusi Wanita BN negeri, Datuk Fatimah Abdullah.
Abdul Taib dalam pada itu berkata, BN selama ini terbukti mengotakan apa yang dijanjikan berikutan membawa kemajuan dan melakukan perubahan sehingga berjaya menjadikan Sarawak setaraf negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Tidak cukup dengan tunaikan janji yang dibuat, kita tambah lagi macam-macam pembangunan dan perkara baharu yang tidak dijanjikan untuk memastikan rakyat hidup sejahtera.
“Jadi bukan pembangkang, sebaliknya BN yang berhak meminta kepada rakyat supaya sekali lagi diberi kuasa mentadbir negeri ini, sekali gus meneruskan kesinambungan perjuangan sedia ada," katanya.

Pilih parti mampu bentuk kerajaan kuat

Mohd. Shafie Apdal (dua kanan) beramah mesra dengan pekebun getah dalam Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Nasional 2013 di Kampung Bukit Lada, Maran, Pahang, semalam. Turut serta, Wan Mohamad Zuki Wan Mohamed (kanan). Bahan Rangsangan Lateks adalah untuk menambah pengeluaran susu getah bagi meningkatkan pengeluaran getah pekebun kecil. - Bernama 
*****
MARAN 4 Feb. - Rakyat perlu memilih parti yang mampu membentuk kerajaan kuat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi akan datang.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan kukuh dapat memastikan program pembangunan dilaksanakan sebaik mungkin seterusnya mengelak keadaan tidak menentu seperti di Selangor yang masih berdepan isu air sehingga Kerajaan Pusat terpaksa memberikan bantuan.
"Banyak petunjuk di seluruh dunia kenapa kita perlu kepada kerajaan yang kuat. Sebagai contoh, China mampu menjadi kuasa ekonomi dunia ketika ini kerana mempunyai kerajaan yang kuat.
"Kerajaan yang tidak kuat boleh dilihat di Eropah. Banyak dasar yang kerajaan mereka tidak boleh putuskan. Maka, kalau mahu melahirkan kerajaan dan ekonomi yang kuat, undinya harus kuat dan diberi kepada Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Nasional 2013 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Pekebun Kecil getah (RISDA) di Bukit Lada, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi RISDA, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik; Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Wan Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib.
Sementara itu, Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO yakin sokongan majoriti masyarakat luar bandar tidak terjejas biarpun pembangkang semakin memperhebatkan usaha menarik sokongan kelompok tersebut.
Katanya, trend sokongan yang jelas memihak kepada BN dalam beberapa siri pilihan raya kecil termasuk Pilihan Raya Negeri Sarawak dijangka mampu diulangi dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya percaya masyarakat luar bandar dapat menilai pihak yang banyak membantu bagi meningkatkan kesejahteraan mereka dan bukannya mengikut mereka yang sesekali datang berceramah (pembangkang)," jelasnya.
Dalam pada itu Mohd. Shafie berkata, pembangkang bukanlah pilihan menjadi kerajaan kerana pakatan mereka masih tidak mampu menyelesaikan soal dasar perjuangan parti masing-masing.
Katanya, keadaan semasa dalam pakatan pembangkang bakal membawa kepada masa depan negara yang tidak menentu jika mereka menjadi pilihan rakyat.

Keputusan Majlis Syura Ulama Pas muktamad - Nik Aziz

BACHOK 4 Feb. - Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang lantang menggesa Majlis Syura Ulama Pas meneliti semula keputusannya dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain, ternyata mengundang rasa kurang senang Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Abdul Aziz yang diminta mengulas gesaan Karpal itu menegaskan, keputusan Majlis Syura Ulama itu adalah muktamad dan menganggap isu tersebut sudah selesai serta tidak perlu dipanjangkan.
Malah, beliau yang juga Pengerusi Majlis Syura Ulama Pas menganggap isu sudah lama selesai selepas majlis itu membuat keputusan.
“Tidak mahu sambung lagi isu ini, ia cerita lama buat apa hendak mengungkit-ungkit lagi sudah putus, putuslah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan baharu Pengkalan Cina bernilai RM3.4 juta, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Karpal yang mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura yang berpendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.
Kata Karpal, perkara itu bertujuan memastikan pendirian Pas selaras dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu.
Abdul Hadi sebelum ini pernah menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.
Pendirian bersama pakatan pembangkang itu turut dipersetujui Nik Abdul Aziz dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz dan Mohamad mengubah pendirian masing-masing setelah mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan oleh agama lain.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz berkata, tidak menjadi sebarang kesalahan kepada orang bukan Islam untuk mengungkapkan kalimah Allah.
“Jadi pada orang bukan Islam yang hendak guna perkataan Allah gunakan lah. Ambo (saya) jumpa orang Cina dan dia menyebut Masya-Allah, tidak ada apa kesalahan.
“Cuma yang kita duk (asyik) sebut ni di Malaysia ada Bible yang perkataan di situ terdapat perkataan Allah, hok (yang) itu kita marah. Terjemahan God dalam bahasa Melayu adalah tuhan, manakala Lord pula adalah bagi nama besar-besar bukannya Allah," katanya.

Pas terima kesan negatif hasil tindakan Hadi

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Tindak- tanduk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu kalimah Allah kini secara tidak langsung telah mencemarkan Pas di mata masyarakat terutama ahli dan penyokong parti itu.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, Pas menerima kesan negatif itu selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh yang juga rakan seperjuangan Abdul Hadi bertindak menyanggah kenyataannya yang mendakwa isu kalimah suci itu telah selesai.
Namun katanya, usaha Abdul Hadi untuk menutup rapat isu kalimah suci itu telah menjadi obligasi moral di pihaknya sendiri kerana jelas Presiden Pas tersebut tidak membuat kenyataan benar dan tindakan berkenaan hanya akan mengakibatkan kredibilitinya dipersoal sebagai Presiden dan ulama yang disegani.6/2/13
Menurut beliau, Abdul Hadi terpaksa menerima implikasi daripada kenyataannya dalam isu kalimah Allah.
‘‘Abdul Hadi telah menyebabkan masyarakat melihat parti Islam itu sanggup memilih jalan yang tidak berakhlak semata-mata untuk menutup maruah parti yang semakin merudum.
‘‘Pas dilihat sering berdolak-dalik, cair dan diselimuti dengan perbezaan pendapat oleh kalangan ulama dan parasit yang banyak dipengaruhi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Karpal baru-baru ini yang mahu Abdul Hadi mengkaji semula keputusan majlis syura parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.
Karpal juga menyanggah kenyataan Abdul Hadi kononnya isu itu telah selesai selepas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjumpa dengan Karpal di Pulau Pinang baru-baru ini
Bagi DAP, kata Hasan, isu kalimah Allah telah mencapai matlamat terutama mendapat sokongan ahli-ahlinya yang melihat parti itu tidak pernah berganjak daripada perjuangan anti-Islam dan anti-Melayu.

Peruntukan RM120 juta: Khalid mahu Syabas rujuk kerajaan negeri

SHAH ALAM 4 Feb. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) perlu merujuk Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terlebih dahulu sebelum menggunakan peruntukan RM120 juta yang diberikan oleh Kerajaan Pusat bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Syabas tidak mempunyai sebarang kebebasan untuk menggunakan peruntukan tambahan tersebut kerana syarikat itu tertakluk di bawah perjanjian konsesi yang telah dipersetujui sebelum ini.
Beliau berkata, berdasarkan perjanjian konsesi, sebarang usaha melibatkan perkhidmatan bekalan air di Selangor oleh Syabas harus dirujuk dan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Pengawal Selia Air Negeri.
‘‘Kerajaan negeri mempunyai kuasa dari segi kelulusan untuk projek-projek bekalan air. Semua pentadbiran perkhidmatan bekalan air di negeri adalah di bawah Pengawal Selia air Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
‘‘Jika Syabas merasakan mereka bebas menggunakan peruntukan tambahan tersebut, sebenarnya syarikat itu tidak bebas. Kerana dalam perjanjian, syarikat itu perlu mengemukakan perbelanjaan dan mendapatkan persetujuan kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Pendidikan di Universiti Selangor (Unisel), di sini hari ini.
Pada 2 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta kepada Syabas bagi membantu mengatasi masalah bekalan air yang melanda rakyat di negeri itu.
Menurut Najib, peruntukan tersebut merupakan tambahan dana RM606 juta kepada Syabas sebelum ini selain menunjukkan keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap permasalahan rakyat Selangor yang berhadapan krisis berkenaan.
Krisis tersebut tegas Najib, telah menyebabkan 430 projek pembangunan yang membawa pelaburan bernilai berbilion ringgit di negeri itu terpaksa ditangguhkan.

Tidak ada sebab untuk rakyat ubah kerajaan

ALOR GAJAH 4 Feb. - Rakyat tidak mempunyai sebab untuk mengangkat pakatan pembangkang sebagai pemimpin negara kerana kerajaan sedia ada yang telah memerintah negara ini sejak 55 tahun lalu telah memenuhi setiap kehendak rakyat dalam segenap aspek selain menjadikan kepentingan rakyat sebagai agenda utama untuk diperjuangkan.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik (gambar) berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mempamerkan mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat sejak negara mencapai kemerdekaan dan kini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak usaha itu tetap diteruskan.
Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat, pelbagai usaha dan transformasi dalam pentadbiran kerajaan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat tanpa menyisihkan sesiapa biarpun berbeza fahaman politik, kaum dan agama.
"Mereka mahu ubah kerajaan kerana mahukan perubahan dalam dasar kerajaan, bagi saya ini semua tidak perlu kerana kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kepimpinan transformasi.
"Adanya kepimpinan transformasi ini, rakyat yang mahukan perubahan dalam kerajaan, ada transformasi kerajaan, ekonomi, politik dan undang- undang seperti yang diharapkan oleh rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Kawasan Rukun Tetangga Paya Mengkuang, Masjid Tanah di sini malam tadi.
Katanya, kepimpinan negara sekarang ini berada pada tahap yang terbaik sama ada dari segi kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang pastinya tidak mampu dicapai oleh pakatan pembangkang sekiranya diberi peluang untuk mentadbir negara.
"Pelbagai masalah timbul di negeri yang ditadbir mereka (pembangkang), banyak isu yang gagal mendapat kata sepakat dan saya yakin sekiranya tampuk pemerintahan negara ini diserahkan kepada pembangkang maka akan musnahlah segala kemakmuran yang dikecapi rakyat pada hari ini," katanya.
Tambahnya, keharmonian kaum merupakan antara kejayaan terbesar dilakukan oleh BN sepanjang tempoh mentadbir negara ini kerana menyatupadukan rakyat yang berbeza kepercayaan agama, kaum dan budaya bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan.
Rahim berkata, kini seluruh rakyat dapat hidup dengan aman hasil perjuangan dan usaha kerajaan dan diperkasakan dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Najib yang menjadi pengikat kepada perpaduan kaum di negara ini.
"Sepanjang pentadbiran kerajaan BN yang mempamerkan track record yang bersih, kerajaan pastinya telah memahami sensitiviti orang Cina, India dan Melayu serta kaum lain-lain yang hak semua kaum itu tidak langsung dicabuli dan mereka bebas mengamalkan cara hidup masing-masing," katanya.
Justeru katanya, rakyat tidak harus memperjudikan masa depan generasi akan datang dengan melakukan kesilapan memberikan peluang kepada pembangkang menjadi 'tuan' di negara ini kerana segala kemakmuran dan kesenangan yang dikecapi oleh rakyat akan musnah sekiranya mereka berkuasa.

100 ahli PKR Penanti sertai UMNO

Mohamad Nasir Yob (tiga dari kiri) bersalam dengan Mohd. Zaidi Mohd. Said selepas menyertai UMNO di Kampung Bukit Berangan, Penanti, Bukit Mertajam, kelmarin. 
*****
BUKIT MERTAJAM 4 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang menerima tamparan apabila 100 ahlinya di Kampung Bukit Berangan, Penanti di sini bertindak keluar parti dan menyertai UMNO.
Mereka bertindak demikian kerana kecewa dengan pemimpin parti tersebut yang tidak mempedulikan rakyat kawasan berkenaan dan menyertai UMNO kerana hanya parti itu yang diyakini mampu membela nasib rakyat di kawasan itu.
Wakil mereka, Mohamad Nasir Yob, 42, berkata, pihaknya sudah muak dengan janji-janji PKR kerana tidak mengambil tahu masalah rakyat di sini yang memerlukan pembelaan.
"Sejak dua pilihan raya umum yang lalu iaitu pada 2004 dan 2008, tidak ada perubahan yang dilakukan oleh PKR di kawasan ini.
"Ini yang mendukacitakan kami sedangkan kami adalah pengundi mereka di sini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis ramah mesra dengan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said di sini semalam.
Dengan penubuhan cawangan UMNO yang baharu itu, UMNO Permatang Pauh kini mempunyai 96 cawangan setakat ini.
Mohamad Nasir berkata, sepatutnya parti yang memerintah negeri ini peka dengan masalah rakyat tetapi sebaliknya yang berlaku.
Sementara itu, Mohd. Zaidi berkata, kemasukan bekas ahli PKR terlibat membuktikan perjuangan UMNO di sini terus mendapat kepercayaan rakyat.
"Ini membuktikan perjuangan UMNO begitu konsisten dengan membuktikan perjuangan parti semakin mendapat sokongan rakyat.
"Kejayaan menembusi kubu kuat PKR itu menunjukkan rakyat di sini mahukan perubahan kepada perjuangan bangsa dan negara," katanya.
Beliau berharap rakyat memberi sokongan kepada UMNO kerana perjuangan UMNO adalah untuk membela rakyat.
Katanya, kesedaran itu perlu disebabkan perjuangan pembangkang adalah bagi kepentingan peribadi pemimpin mereka yang mahu berkuasa di negara ini.

5 Februari 2013

Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP)

DATUK Seri Najib Razak berkata sesuatu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik China (CPPCC), Jia Qinglin (kiri) pada majlis pelancaran Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) di Kuantan, hari ini. - Foto Effendy Rashid
Feb 5, 2013 11:42 am

7.3 juta rakyat terima BRIM 2.0

NAJIB Tun Razak mengecat dinding rumah pangsa ketika melawat penduduk Flat Pandan Jaya, Pandan, Selangor, semalam. - BERNAMA 
*****
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Kegagalan pembangkang menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum 2008 serta ketidakmampuan melaksanakan amanah rakyat jelas memperlihatkan ciri munafik dalam pakatan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang bukan sahaja gagal menunaikan setiap janji yang dibuat walaupun memerintah empat negeri, tetapi paling memalukan menganggap manifesto bukan janji.
Menurutnya dalam Islam, ciri-ciri orang munafik adalah tidak menunaikan janji yang dibuat dan hakikat tersebut sedang dilakukan pakatan pembangkang sama ada di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan juga Kelantan.
Berbeza dengan Barisan Nasional (BN), Najib berkata, sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kerajaan bukan sahaja berjaya melakukan transformasi tetapi juga menunaikan setiap janji yang dibuat.
Terbaharu kata beliau, sebagaimana dijanjikan, sebanyak 7.3 juta rakyat yang layak akan mula menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 berjumlah RM500 setiap seorang mulai hari ini selepas diumumkan dalam pembentangan Bajet 2013 lalu.
"Tanya golongan ibu tunggal di Selangor, mana elaun untuk mereka (pakatan pembangkang) yang dijanjikan? Mana janji nak turunkan cukai pintu? Tanya penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang? Apa sudah jadi? Yang tinggal sekarang cuma buah pala.
"Manifesto pilihan raya adalah janji kepada rakyat tetapi Menteri Besar Selangor, (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) boleh kata itu bukan janji. Dalam Islam tidak tepati janji dan tidak amanah adalah ciri-ciri munafik," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan kira-kira 15,000 penduduk Ampang dan Pandan sempena pelancaran BR1M 2.0 peringkat nasional di Ampang, dekat sini hari ini.
Sempena majlis tersebut, Perdana Menteri menyampaikan BR1M kepada 30 penerima daripada 10,000 orang yang melibatkan Parlimen Ampang dan Pandan sebagai simbolik pelancarannya.
Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Penyelaras Parlimen Ampang, Datuk Ismail Kijo.
Dalam pada itu, Najib berkata, pemberian BR1M mampu diteruskan kerajaan kerana sistem urus tadbir ekonomi yang baik dan bukan melalui kutipan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti didakwa pembangkang.
Beliau yang menyelar dakwaan itu sebagai tidak berasas dan tiada fakta berkata, negara mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus pada tahun lalu iaitu jauh lebih baik berbanding prestasi ekonomi di negara-negara maju lain.
"AES hanya saman orang yang memandu melebihi had laju. Orang yang ikut peraturan tidak disaman, malah kita sedang tangguh pelaksanaan tetapi pembangkang tuduh pemberian BR1M adalah hasil AES. Ini tidak berasas sama sekali.
"Kita mampu bagi kerana ekonomi mantap, tahun lalu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip hasil hampir RM125 bilion iaitu rekod tertinggi dan kita salur sebahagian kepada rakyat melalui BR1M," katanya.

Superman itu Yahudi

TIDAK berapa lama dulu seorang penyanyi kita dengan bangga mengisytiharkan dia sebagai peminat Superman. Siti tak pasti dia minat komik atau filem Superman. Tapi kedua-duanya sama. Superman bukan Suparman. Sampai baju T yang dia pakai pun tertera huruf S menandakan Superman. Mungkin dia pun perasan jadi Superman di atas pentas.
Siti tak salahkan penyanyi berkenaan. Bukan dia saja yang menjadi pengagum, tidak kiralah sama ada komik atau filem. Kalau ditanya kepada semua kanak-kanak, watak Superman telah masuk ke dalam jiwa mereka. Siti pasti banyak yang tak ambil endah tentang Superman.
Setiap kali keluar sequel baru, filem Superman tidak pernah menghadapi masalah atau kontroversi. Semuanya berjalan lancar. Tak ada siapa yang merungut atau bimbang dengan Superman.
Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF) tak risau langsung dengan filem Superman. LPF lebih risau kalau televisyen tempatan yang memberi taraf pejuang kepada pemberontak Syria. Entah apa-apalah LPF ini. Maka stesen televisyen pun dilarang memburukkan pemimpin seburuk Bashar. Bukan Siti sahaja yang tak faham dengan LPF, orang lain pun sama juga.
Kalau LPF nak tahu orang Yahudi ini work smart. Mereka menggunakan "gula-gula" untuk melemahkan bangsa lain dan mengangkat bangsa mereka. Daripada apa yang Siti baca, Yahudi menggunakan budaya popular. Filem, muzik atau komik itu budaya popular.
Sebab itu janganlah terkejut kalau Siti katakan dakyah Yahudi sudah banyak meresap dalam jiwa sebahagian besar orang kita. Apabila kita menganggap Superman hebat, itu maknanya kita menjulang Yahudi.
Sebenarnya watak Superman ciptaan Jerry Siegel dan Joseph Shuster tahun 1938 adalah untuk menaikkan imej bangsa Yahudi. Malah istilah 'Kal-El' dalam komik Superman bermakna 'Tuhan' dalam bahasa Hebrew iaitu bahasa orang Yahudi.
Seperti yang Siti kata tadi, disebabkan tidak tahu maka banyaklah yang memuja Yahudi termasuk kalangan orang Islam. Yahudi mempunyai kelebihan apabila mereka menguasai budaya popular dan media, seterusnya menguasai dunia.
Siti ada baca buku The Jewish Contribution to the 20th Century. Buku ini turut senaraikan kedua-dua pencipta Superman antara 100 tokoh penting Yahudi. Apakah maknanya semua itu kalau bukan Superman satu agenda Yahudi dan menyumbang kepada bangsa Yahudi?
Di Hollywood, yang membuat filem hebat adalah Yahudi, yang buat filem sampah pun Yahudi juga. Filem hebat untuk menguasai pemikiran kelompok penonton yang hebat. Filem sampah pula bukan sebarang sampah, ini sampah untuk menguasai penonton yang berselera sampah. Hebat tak Yahudi?
Dengan menguasai budaya popular, mereka boleh membina empayar di Hollywood. Pengarah hebat adalah Yahudi, pemilik studio terhebat juga Yahudi. Filem kita pula ada yang ikut cara mereka, lagi sukalah sebab kita yang memanjangkan pemikiran Yahudi kepada bangsa sendiri.
Orang filem kita sejak dulu sampai sekarang asyik cakap pasal untung...untung...untung. Apa yang untung Siti pun tak tahu. Tapi banyak dalam kalangan mereka tidak menggunakan filem untuk menangkis imperialisme Yahudi. Yang untung hanya tauke filem.
Siti nak tauke dan pengarah filem kita sedar bahawa filem itu media yang sangat hebat. Pada era ini tidak ada media sehebat filem. Mereka kenalah faham, hanya orang yang menguasai budaya popular dan media sahaja boleh menentukan agenda pemikiran dunia. Sesekali apa salahnya kalau orang kita berfikir macam Yahudi dalam menentukan agenda pemikiran kita. Filem kita membiarkan agendanya ditentukan oleh orang lain.
Dengan Superman Yahudi berjaya menembuskan imejnya dalam masyarakat yang anti Yahudi di seluruh dunia. Imej Superman sangat hebat. Itulah yang nak disampaikan oleh Yahudi kepada manusia sejagat.
SITI JARUM: Jumpa banyak "Suparman" di Jakarta ini.

Isu kalimah belum selesai - Karpal


PULAU PINANG 2 Feb. - Pengerusi DAP, Karpal Singh menyanggah kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan isu kalimah Allah telah selesai dan keputusan Majlis Syura Ulama Pas diterima baik oleh orang bukan Islam termasuk pemimpin DAP.
Karpal menegaskan, kenyataan itu jelas tidak benar kerana DAP tetap berpegang teguh dengan pendirian yang telah diambil pakatan pembangkang pada awal bulan lalu yang mahu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dibenarkan.
Malah beliau juga mengulangi desakan yang dibuat sebelum ini iaitu mahu Majlis Syura Ulama Pas mengkaji semula pendirian mereka terhadap isu kalimah Allah.
"Majlis Syura Ulama Pas hanya satu komponen dalam Pas sedangkan keputusan yang dibuat sebelum itu melibatkan pakatan pembangkang dengan persetujuan kepemimpinan tertinggi ketiga-tiga parti iaitu DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Jadi, Majlis Syura Ulama Pas harus menghormati keputusan yang telah dicapai pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar mengenai pendirian Abdul Hadi untuk tidak menarik balik keputusan Majlis Syura Ulama terhadap penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam.
Abdul Hadi menjelaskan, isu berkenaan telah diselesaikan apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerangkan perkara tersebut dan keputusan Majlis Syura Ulama Pas diterima baik oleh bukan Islam termasuk pemimpin DAP.
Karpal menegaskan, tiada sebarang perbincangan berhubung isu berkenaan berlaku di antara pemimpin DAP dan Nik Abdul Aziz.
"Nik Abdul Aziz hanya bertandang ke rumah saya dalam lawatannya ke Pulau Pinang minggu lalu dan kami tidak mengadakan sebarang perbincangan yang menyentuh isu kalimah Allah.
"DAP kecewa dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang jelas bercanggah dengan keputusan diambil pakatan pembangkang," jelasnya.
Menyentuh tindakan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook menawarkan kerusi Parlimen kepada anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-Abidin Tunku Muhriz, Karpal menjelaskan, sepatutnya perkara itu tidak menimbulkan sebarang isu.
"Adalah perkara biasa sekiranya golongan diraja terlibat dalam arena politik.
"Perkara ini tidak menjadi kesalahan memandangkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman juga daripada golongan kerabat diraja," ujarnya.

'Baling batu sembunyi tangan'

FATHUL Bari Mat Jahya (tengah) beramah mesra dengan orang ramai pada forum Bicara Minda bertajuk Melayu, Islam di Malaysia di Kota Bharu, malam kelmarin. - MINGGUAN/ROSNI MASRI 
*****
KOTA BHARU 2 Feb. - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diibaratkan 'melontar batu sembunyi tangan' dengan ''melambungkan' isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu sehingga mengakibatkan percakaran antara umat Islam daripada pelbagai parti.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Pertubuhan Ilmuwan Malaysia, Fathul Bari Mat Jahya berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu seolah-olah mempunyai agenda tertentu apabila membangkitkan isu sensitif tersebut.
"Guan Eng ibarat melontar batu sembunyi tangan. Musibahnya, kita terus bercakaran sama ada menyokong dan membantah isu pengunaan kalimah Allah itu," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel dalam forum Bicara Minda bertajuk "Melayu, Islam di Malaysia' di sebuah hotel di sini malam tadi.
Yang turut menjadi panel pada forum yang dipengerusikan Profesor Khairuddin Damhoeri itu ialah Ahli Biro Undang-Undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mahamad Naser Disa.
Dalam pada itu Fathul Bari berkata, peratusan orang Melayu di negara ini ialah sebanyak 60 peratus, 20 peratus kaum Buddha dan Kristian pula hanyalah 9.2 peratus.
Beliau berkata, kemungkinan daripada 9.2 peratus itu, orang Melayu beragama Kristian mungkin seramai satu peratus sahaja.
''Hanya satu peratus daripada 9.2 peratus, jadi mengapa diminta Bible digunakan dalam versi bahasa Melayu bukannya bahasa Cina ataupun lain-lain.
''Kalau hendak tukar, tukar semua sekali, nama Joseph dalam Melayu Yusof, David jadi Daud, Abraham menjadi Ibrahim dan Mary kepada Mariam tetapi mereka tidak mahu,'' katanya.
Fathul Bari berkata, beliau hairan apabila Guan Eng yang merupakan pejuang sekolah Cina dan bahasa Cina tiba-tiba mahu Bible digunakan dalam bahasa Melayu.
''Jelas ini merupakan agenda mereka yang perlu difahami oleh orang Islam di negara ini.
''Seperti sedia maklum juga DAP mempunyai perjuangan sendiri dan dinyatakan dalam satu blog rasmi Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa perjuangan ataupun persepakatan antara DAP, Pas dalam pakatan rakyat bukan untuk Islam, bukan untuk hudud, tetapi untuk demokrasi dan juga pluralisme,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Fathul Bari menasihatkan orang Islam di negara ini agar bersatu dalam isu kalimah Allah.
''Isu ini melibatkan akidah dan apabila ada usaha hendak mensyirikkan Allah, usaha hendak menyamakan Islam dengan agama lain, adakah orang Islam akan berdiam diri.
''Kita perlu bersatu tanpa mengira kepentingan dan kedudukan politik demi kelangsungan agama Islam di negara ini," tegasnya.

Janji Pilihan Raya 2008 pembangkang kini jadi hempedu - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi bersama Md. Othman Yusof (dua dari kiri) dan Mesnor Bujang (kanan) menyanyikan lagi Gagasan 1Malaysia pada pelancaran 1,000 skuad bermotor sempena penutupan Jelajah Di Ambang PRU-13 di Pontian, Johor, kelmarin. 
*****
PONTIAN 2 Feb. - Rakyat diminta tidak lagi tertipu dengan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana janji yang ditabur pada pilihan raya lalu, kini ibarat hempedu akibat gagal ditunaikan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan Barisan Nasional (BN) boleh dilihat sendiri oleh rakyat dan merupakan hakikat dan fakta berbanding janji pembangkang yang tidak berpegang pada kenyataan sebenar dan hanya memesongkan fikiran rakyat.
"Sewajarnya rakyat mula sedar muslihat serta tipu daya pembangkang sepanjang empat tahun yang menyebabkan rakyat menderita seperti isu air di Selangor, isu perumahan di Pulau Pinang dan isu tanah di Kelantan.
"Penderitaan dan kesukaran penduduk terlibat, hendaklah dihentikan dengan memberi kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk memperbetulkan keadaan ini," katanya pada majlis pelancaran 1,000 skuad bermotor sempena penutupan program Jelajah Di Ambang PRU-13 di SK Penerok, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md. Othman Yusof; timbalannya, Datuk Nasir Safar serta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Mesnor Bujang.
Majlis anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Tanjung Piai itu disertai 1,300 ahli kelab Tanjung Piai Bikers yang merupakan sebahagian jentera pilihan raya Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai.
Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN kini bersedia untuk kembali menjadi juara rakyat, sekali gus menawan kembali negeri yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
Beliau turut menyatakan, BN tidak gentar dengan keputusan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal, malah bersedia membantu jentera UMNO dan BN negeri untuk menumbangkan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.
"Kami akan ke sana bagi membantu rakyat Selangor yang kini berhadapan dengan pelbagai krisis sejak PKR mengambil alih kepimpinan negeri pada 2008 jika pilihan raya DUN diadakan lebih awal," katanya.

Jangan terperangkap permainan politik DAP

MUAR 2 Feb. - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) mengingatkan umat Islam supaya tidak terus terjebak dengan perangkap DAP yang mahu melaga-lagakan mereka melalui isu kalimah Allah demi keuntungan politik parti itu.
Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, DAP berbuat demikian kerana mahu mengambil kesempatan atas percakaran umat Islam selain melemahkan orang Melayu supaya berpecah belah pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Melalui strategi itu katanya, agenda DAP untuk menguasai tampuk pemerintahan negara semakin mudah kerana tiada parti politik Melayu yang benar-benar kuat dan peluang tersebut akan digunakan bagi merealisasi nafsu besar parti itu.
"Mereka yang merancang perkara ini sangat jahat, licik dan tidak pernah memikirkan rasa bersalah perbuatan itu terhadap orang Melayu yang selama ini terlalu banyak bertolak ansur dan tidak pernah mempermainkan agama bukan Islam.
"Sampai hati golongan ini melihat umat Islam bergaduh sesama sendiri, yang mereka boleh anggap 'saudara' sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengurniaan Pingat Daripada Sultan Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Halang projek rumah kos rendah Pusat

TASEK GELUGOR 2 Feb. - Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa cuba menggagalkan projek pembinaan rumah kos rendah yang dibina oleh agensi Kerajaan Persekutuan apabila mengenakan pelbagai syarat ketat berbanding pemaju swasta yang tidak berdepan dengan masalah birokrasi.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Azhar Ibrahim berkata, bagi pemaju swasta, setiap pelan perancangan hanya disemak dan diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bagaimanapun jelasnya, bagi agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti Perda, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan JKP Sdn. Bhd. (JKP), bukan sahaja PBT malah pelan tersebut perlu mendapat kelulusan jawatankuasa perancangan kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
"Terdapat kes projek Perda yang turut merangkumi pembinaan rumah kos rendah yang telah siap tiga tahun lalu sehingga kini belum memperoleh sijil kelayakan menduduki bangunan (OC)," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 peringkat negeri di sini hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Selasa lalu, Guan Eng menetapkan harga siling RM400,000 bagi sebuah rumah mampu milik yang dirancang di Jalan SP Chelliah di sini.
Bagi rumah mampu milik di Bandar Cassia, Seberang Perai, kerajaan negeri memutuskan harga siling RM250,000 seunit.
Azhar yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang memberitahu, sebagai contoh, projek pembinaan 300 buah rumah kos rendah di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau yang siap setahun lalu sehingga hari ini masih tidak diberikan OC oleh kerajaan negeri.
Menurut beliau, apabila ditanya mengenainya, pelbagai alasan diberikan walhal semasa pelan perancangan dihantar untuk kelulusan tiada masalah timbul.
"Inilah sikap Ketua Menteri sekarang. Dia takut apabila mendapat OC, Perda akan mendapat nama kerana membina rumah kos rendah sedangkan kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa.
"Dalam kepala dia ingat politik sahaja, bukan nak fikir tentang masalah rakyat," tegasnya.