Oleh Khairuddin Mohd. Zin
Seorang petugas menurunkan kain
rentang yang tertera gambar Perdana Menteri sempena ucapan Selamat Tahun
Baharu Cina yang dipasang sekitar Pulau Pinang.
*****
ISTILAH psyche diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (rujukan
dalam talian) sebagai membawa maksud jiwa. Salah seorang ahli politik
yang mempunyai jalur psyche yang sangat berwarna-warni ialah Ketua
Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Semenjak menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau
gemar sekali mengaitkan bagaimana Pulau Pinang akan ditadbir dengan tiga
asas penjanaan polisi dan pentadbiran, iaitu dengan menggunakan konsep
CAT - cekap, akauntabiliti dan telus.
Pada mata rakyat mana sekalipun, istilah-istilah yang muluk dan hebat
ini memang mudah untuk diperkatakan, namun ia menuntut komitmen
pelaksanaan yang berterusan. Itulah yang lebih diinginkan oleh rakyat.
Perbualan penulis dengan ramai rakan di Pulau Pinang, membayangkan
bahawa mereka berada di bawah pentadbiran yang tidak mesra rakyat dan
mempunyai imej yang sombong dan bongkak.
Adakalanya, psyche seorang yang dianggap pemimpin utama parti DAP itu
juga tidak begitu tenang. Khuatir dengan kehadiran ribuan rakyat di
jamuan Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang, Ketua Menteri yang pernah
mengatakan Pulau Pinang sebagai oasis demokrasi, mula mengajak rakyat
hadir dengan memakai pakaian yang membawa mesej politik.
Inilah petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan jiwa
pemimpin ini. Ini juga membayangkan psyche konfrontasi sememangnya
tersedia ada dalam pemikiran pemimpin tersebut.
Ya, mana sahaja kerajaan di dunia ini perlu menjual jenama mereka
sebagai sebuah kerajaan yang kompeten. Kerajaan DAP di Pulau Pinang juga
tidak terkecuali. Namun, sebagai rakyat biasa yang melihat politik
Pulau Pinang dari jauh, mengikuti perkembangan kepimpinan Guan Eng
melalui media sosial - tidak semua dasar yang dikemukakan oleh Guan Eng
mencerminkan sebuah kerajaan negeri yang kompeten.
Malahan, jika kita rajin sedikit merujuk kepada paparan-paparan lama
yang dikemukakan oleh pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang sendiri
mengakui bahawa orang Melayu sangat terasa bahawa mereka berada di bawah
kepimpinan yang tidak mesra semua kaum.
Seperti yang dilaporkan oleh Kit Siang
(http://blog.limkitsiang.com/2011/11/17/malays-feel-penang-under-chinese-rule-survey-shows/),
melalui kajian yang dilakukan oleh Ilham Centre, secara jelas
menunjukkan bahawa majoriti dalam kalangan orang Melayu di Pulau Pinang
melihat kepimpinan Guan Eng melalui tingkap perkauman yang nyata. Sudah
barang tentu, perkara ini tidak berlaku begitu sahaja. Mungkin ada
agaknya polisi dan pelaksanaan dan pentadbiran di Pulau Pinang yang
tidak mencerap kepentingan semua kaum dan sebagainya.
Di dalam paparan laman sesawang yang sama, Kit Siang sekali lagi
memaparkan kajian Ilham Centre yang merumuskan perkara berikut: ...Pas
under (state chief) Salleh Man is too weak and has failed to make Pas
popular and respected whether in terms of welfare, community and
sermons. Pas is seen as DAPs puppets."
Kit Siang dengan mudahnya menyalahkan proses indoktrinasi pemikiran
politik di Pulau Pinang, sekali gus cuba memberikan gambaran bahawa
persepsi salah terhadap kepimpinan DAP di negeri tersebut, adalah kerja
politik.
Apa yang wajar menjadi persoalan yang lebih penting adalah: Apakah
DAP sama sekali sudah gagal membentuk persepsi positif bahawa mereka
turut memperjuangkan kepentingan orang Melayu? Apakah DAP berpuas hati
dengan peranan feeder yang dimainkan oleh Pas dalam memastikan lambungan
sokongan orang Melayu Pulau Pinang berada di tahap yang baik? Apakah
pula peranan yang dimainkan satu lagi parti keluarga pembangkang yang
sepatutnya membulatkan sokongan orang Melayu di sana?
Di sebalik kononnya penerimaan total masyarakat Cina di Pulau Pinang
terhadap Guan Eng, Ketua Menteri tersebut sebenarnya sedang bergelumang
dengan pelbagai masalah dan isu lain yang boleh meletakkan dirinya dan
parti DAP dalam keadaan yang tidak menentu pada pilihan raya umum (PRU)
akan datang.
Oleh sebab itu juga, isu kehadiran seorang artis Korea Selatan
menjadi masalah kepada pentadbiran Guan Eng. Sedangkan, parti yang
dinaungi Guan Eng jugalah yang sudah berbelanja besar untuk melakukan
parodi artis sama sebagai modal memasuki fasa pilihan raya nanti.
Apakah kehadiran Psy ini yang menjadi masalah kepada Guan Eng -
atau psyche dirinya sendiri yang semakin khuatir kehilangan momentum
politik? Itu perlu dijawab sendiri oleh DAP dan Guan Eng dalam masa yang
terdekat ini.
Dengan diikuti penjelasan bahawa kehadiran Psy adalah tajaan pihak
swasta, DAP sudah semakin hilang bahan untuk dijadikan modal politik.
Maka, keluarlah kenyataan Ketua Menteri kononnya kehadiran Psy bagus
untuk industri pelancongan Pulau Pinang.
Guan Eng pada hakikatnya sedang berhadapan dengan pelbagai persoalan
dalam media sosial. Semakin banyak suara yang menginginkan Guan Eng
memberi penjelasan mengenai beberapa projek mega yang diumumkan
menjelang Tahun Baharu Cina ini.
Sebuah artikel yang agak menarik disiarkan sebuah platform media
sosial bertajuk Rebuttal against Guan Engs RM8b CNY economy stimulus
package, tulisan Ong Eu Soon adalah contoh pandangan balas yang perlu
ditangani oleh Guan Eng. Artikel sama turut diguna pakai oleh sebuah
akhbar berbahasa Inggeris.
Apakah dengan menamakan beberapa projek besar menjelang Tahun Baharu
Cina ini suatu bentuk angpau mega yang mahu Guan Eng jual kepada
pengundi di Pulau Pinang? Apa jadi dengan tuduhan kononnya kerajaan cuba
membeli undi jika menjanjikan projek dalam masa yang terdekat ini? Di
mana agaknya letak perbezaan antara janji Guan Eng; sebagai misal dan
perbandingan, dengan janji yang dilakukan oleh Perdana Menteri di
Kelantan?
Apakah mungkin kita mendengar kenyataan Menteri Besar Kelantan bahawa
Guan Eng juga mengamalkan elemen rasuah. Menurut MB Kelantan itu,
sewaktu memberikan pandangan mengenai tujuh projek rakyat yang bakal
dilaksana oleh Barisan Nasional Kelantan: ... janji Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mengadakan tujuh projek mega di negeri
itu, yang diumumkan ketika kunjungannya, umpama rasuah bagi memancing
undi rakyat."
Di mana agaknya beza janji Guan Eng dalam kes ini? Apakah Pas sanggup
mengeluarkan ayat bahawa Guan Eng dan DAP Pulau Pinang mengamalkan
rasuah politik? Wajar diingat, Perdana Menteri tidak mengaitkannya
dengan pilihan raya, sebaliknya Guan Eng secara jelas mengatakan: ...We
will let the people of Penang decide whether they want this project or
not," seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal pro-pembangkang. Pas
wajar tidak pilih kasih dalam mengemukakan kenyataan yang sedemikian
sifatnya.
Apakah semudah itu Pas memberikan sijil politik halal kepada Guan
Eng, sedang Pas heboh mengkritik janji seorang Perdana Menteri yang
wajar memberi khidmat bakti kepada rakyat?
Psyche politik jualah yang menyebabkan Ketua Menteri Pulau Pinang
tersebut menggunakan kalimah Allah sebagai modal dalam ucapan Hari
Natal. Menggunakan logik politik sebuah pakatan, ia tidak sepatutnya
ditimbulkan ketika Pas perlu bersikap defensif dan mula main tarik tali
dengan dasar dan asas politik parti tersebut. Mujurlah, Majlis Syura Pas
membuat keputusan yang tegas - namun begitu masih cuba dicabar oleh
pemimpin yang berkongsi jiwa sama seperti Guan Eng.
Isu ini turut menjadi analisis penting dalam kalangan penganalisis
politik menjelang PRU akan datang ini. Seorang ahli akademik, Farish A
Noor, dalam analisisnya (boleh rujuk:
http://www.eurasiareview.com/03022013-malaysias-13th-generalelection-prospects-and-challenges-for-dap-analysis/)
turut membayangkan bahawa isu kalimah Allah secara jelas membuktikan
hubungan dalam pakatan politik pembangkang boleh sahaja menjadi amat
rapuh.
Pada pandangan penulis, psyche pemimpin dan batang tubuh parti DAP
amat sukar untuk dijernihkan. Keputusan pilihan raya parti DAP sendiri
sudah memberikan gambaran bahawa model politik rasis DAP akan kekal
untuk tempoh waktu yang panjang.
Selagi DAP tidak mampu mengubah jiwa politik bahawa mereka perlu
lebih terbuka dan mesra semua kaum - DAP akan kekal menjadi parti yang
sombong dan tidak mampu menjiwai semangat rentas kaum yang sebenar.
Isu sebenarnya bukan Psy tetapi psyche seorang Ketua Menteri yang
khuatir dengan kedudukan politiknya menjelang PRU akan datang. Benar,
DAP masih mampu bergerak sendirian dalam mempertahan kemenangan di
negeri tersebut - namun ia akan mengesahkan lagi kewujudan elemen
kesombongan dan kegemaran mencari kemenangan politik secara solo.
Pulau Pinang pastinya menjadi medan dan pentas menentukan ramuan
politik pelbagai jiwa dalam pakatan politik pembangkang untuk berjaya
dan berkesan. PRU 2008, Pas bertanding di 2 kawasan Parlimen dan 5 (DUN)
di Pulau Pinang. PKR bertanding di 4 kawasan Parlimen dan 16 (DUN).
Jika menurut psyche dan amalan politik Ketua Menteri yang ada;
nampaknya semua akan berpusat kepada diri dan partinya sahaja. Jangan
sesekali kita lupa, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri pernah
memberi gelar negatif kepada ketuanya.
Tidak perlulah agaknya individu yang sudah berada di tahap seorang
Ketua Menteri, memberi cadangan kebudak-budakan bagi mensabotaj program
orang lain. Demikian juga kenyataan di dalam twitter seorang bergelar
Speaker Dewan Undangan Negeri, kononnya lagu Negeri Pulau Pinang akan
ditukar hanya kerana lawatan seorang artis dari Korea.
Nampak gaya, psyche dalam kalangan pemimpin DAP ini lebih kurang
sahaja tahapnya. Jiwa menentang, mensabotaj dan merendahkan orang lain
cukup sebati dalam psikologi politik mereka.
PENULIS ialah pemerhati sosio-politik.