3 Mac 2013

Komitmen di selatan Thai

BERSEJARAH... Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Perhubungan Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Malaysia, Hassan Taib (duduk, dua, kanan) dan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Thailand Lt. Jen. Pharadorn Phatthanatabutr (duduk, dua, kiri) pada majlis menandatangani dokumen persetujuan umum bagi melancarkan proses dialog keamanan di wilayah sempadan selatan Thailand di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur, Khamis lalu. - BERNAMA
*****
KEBANGKITAN gerakan pejuang pemisah di selatan Thailand sejak Peristiwa Tak Bai dan Masjid Krisek sembilan tahun lalu sentiasa mengundang kebimbangan terhadap tahap keselamatan di wilayah bergolak itu.
Sejak 2004, usaha beberapa Perdana Menteri Thai membawa kedamaian di selatan negara itu menemui kegagalan. Kini tercetus persoalan tentang sejauh mana komitmen yang dijanjikan oleh kerajaan Thailand di bawah pimpinan Yingluck Shinawatra pula untuk memulihkan keamanan di wilayah tersebut.
Sebelum termeterai perjanjian persetujuan bersama rundingan damai Kerajaan Thailand dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) iaitu kumpulan pemisah Islam di Putrajaya, Khamis lalu, berlaku beberapa serangan. Faktor itulah yang mendorong kerajaan Bangkok menyegerakan satu penyelesaian politik secara berkekalan dilakukan dengan bantuan Malaysia.
Kerajaan Thailand mungkin telah melihat bagaimana tindakan kerajaan Filipina yang berjaya memuktamadkan perdamaian dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sehingga terbentuknya wilayah Bangsamoro yang sebelum ini memperjuangkan hak dan kedaulatan ke atas wilayah Mindanao. Proses perdamaian itu Malaysia turut memainkan peranan utama.
Dengan termeterainya perjanjian damai itu menunjukkan konflik pemerintah dengan kumpulan pemisah boleh diselesaikan.
Kerajaan Thai perlu juga mengkaji bagaimana beberapa tahun lalu akhirnya Gerakan Aceh Merdeka (GAM) bersetuju menggugurkan tuntutan kemerdekaan dan kekal bersama Republik Indonesia.
Kerajaan Thailand telah mengambil langkah yang betul dengan membawa kumpulan pemisah di selatan negara itu ke meja rundingan. Malah lebih bermakna lagi apabila memilih Malaysia menjadi pengantara proses damai itu.
Bangkok kini sedar bahawa pendekatan dan polisi yang diambilnya dalam menangani konflik di selatan negara itu sejak sekian lama ternyata gagal. Kegagalan mencari penyelesaian itu kerana Bangkok kurang menunjukkan minat untuk mengadakan dialog sebaliknya lebih kerap mengambil pendekatan kekerasan untuk mengekang kebangkitan masyarakat Islam di selatan negara itu.
Melihat kepada pendekatan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin Thailand sebelum ini, mungkin tidak banyak yang boleh diharapkan oleh masyarakat Islam selatan Thailand kepada Yingluck Shinawatra.
Beliau perlu berusaha keras memandangkan masyarakat Islam masih tidak dapat melupakan kekejaman yang dilakukan oleh abang beliau, Thaksin Shinawatra ke atas penunjuk perasaan di Tak Bai. Untuk kembali memenangi hati penduduk, beliau bukan sahaja perlu menegakkan keadilan kepada keluarga mangsa rusuhan yang terbunuh tetapi juga perlu merangka satu strategi baru untuk memulihkan keamanan di wilayah itu.
Paling penting adalah untuk memenuhi komitmennya memberikan kuasa autonomi ke atas wilayah selatan negara itu seperti mana yang beliau janjikan ketika berkempen dalam pilihan raya tahun lalu.
Dengan adanya usaha membawa kedua-dua belah pihak ke meja rundingan sepertimana yang diusahakan oleh kerajaan Filipina dengan Bangsamoro, kita percaya masalah penduduk Islam selatan Thai akan selesai.
Berdasarkan pengalaman lalu apabila proses damai sering menemui kegagalan maka kedua-dua pihak perlu elak menggunakan kekerasan dan senjata, sebaliknya mereka perlu menggunakan perantara seperti Malaysia untuk memuaskan hati kedua-dua pihak.
Sesungguhnya banyak yang perlu kerajaan Thai fahami kenapa berlaku konflik di wilayah negara itu.
Kalau diimbau permulaan siri konflik yang berlaku di selatan Thai, banyak yang melontarkan pendapat bahawa ia disebabkan rasa tidak puas hati masyarakat Melayu di wilayah tersebut.
Kerajaan Thai dilihat gagal memahami keperluan dan kehendak masyarakat Melayu Islam yang mendominasi wilayah itu.
Masalah itu ditokok tambah apabila kurangnya pemahaman kerajaan di Bangkok kepada keperluan asas penduduk, identiti masyarakat Melayu, tidak mengiktiraf agama Islam dan bahasa Melayu, keselamatan dan pembangunan.
Bayangkan sejak Peristiwa Tak Bai dan Masjid Krisek tterjadi, tiada pelaburan di wilayah selatan dan kedatangan pelancong asing juga merosot dengan ketara sekali.
Sejak peritiwa itu juga, wilayah selatan Thai sering mengalami serangan bom dan kejadian tembakan curi oleh kumpulan pejuang yang ingin membalas dendam.
Kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pejuang pembebasan Islam di selatan Thailand yang menandatangani persetujuan rundingan damai kelmarin perlu belajar daripada pengalaman rundingan damai yang terbengkalai. Tujuannya mencari kaedah terbaik untuk mendamaikan kawasan majoriti Islam di Yala, Narathiwat dan Pattani.
Antara draf pelan damai yang lalu ialah kumpulan pemisah diminta menggugurkan tuntutan kemerdekaan, dengan balasannya mereka diberikan pengampunan, pembangunan ekonomi yang lebih baik, lebih banyak dana dan penggunaan bahasa Melayu di sekolah-sekolah.
Kerajaan Thailand pula mahukan gencatan senjata dan meminta kumpulan pemisah di wilayah terbabit menyerahkan senjata mereka bagi menamatkan kejadian tembak dan pengeboman yang sering berlaku di Yala, Narathiwat dan Pattani.
Sejak Yingluck menjadi Perdana Menteri Thailand, kerajaannya ada mengambil langkah untuk menstabilkan wilayah selatan, dengan tumpuan kepada pendidikan, latihan dan peruntukan bantuan kepada peniaga kecil.
Yingluck mungkin sedar menggunakan elemen tentera dan kekerasan untuk mengekang kebangkitan penduduk Islam tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada kedua-dua pihak sebaliknya berlaku pertumpahan darah yang lebih banyak.
Nampaknya kecenderungan kerajaan Thailand mengambil pendekatan mengurus etnik mengikut model Malaysia amat membanggakan kerana negara kita mempunyai pengalaman luas menguruskan tiga etnik besar di samping kumpulan etnik lain di Sabah dan Sarawak.
Sebab itu, pendekatan pendidikan untuk pembangunan harus dijadikan sebagai satu pilihan jika kerajaan Thailand ingin melihat keamanan berkekalan di negara itu. Soal agama dan bahasa mesti diberikan kepada setiap etnik malah diperkuatkan di sekolah.
Tidak ada faedah memaksa penduduk Melayu/Islam selatan Thai supaya melupakan terus agama dan bahasa mereka kerana usaha ini hanya akan menemui kegagalan.
Malaysia sebenarnya tidak ingin campur tangan dalam soal politik Thailand namun kini mereka sudah mempelawa dan kita sedia membantu.
Kerajaan Malaysia amat prihatin dengan apa yang berlaku di selatan Thai kerana kemakmuran negara jiran mahu tidak mahu menjadi salah satu daripada tanggungjawab kita.
Justeru, pendekatan ‘memakmurkan jiran’ adalah satu strategi yang sesuai dalam konteks wilayah sempadan Malaysia-Thailand itu di mana Malaysia memakmurkan jirannya di selatan Thai dan kemakmuran itu dikongsi bersama oleh kedua-dua negara.
Malaysia telah menyatakan kesanggupan untuk membantu menamatkan pemberontakan yang telah lama berlarutan di wilayah selatan Thai.
Datuk Seri Najib Razak pun yakin rundingan damai pihak bertelagah di selatan Thai dapat mewujudkan keamanan berkekalan di wilayah itu.
Kepada tiga pihak- Kerajaan Thai, BRN dan wakil Malaysia harus mula memikirkan penyelesaian jangka panjang yang natijahnya akan menguntungkan semua pihak. Satu formula bersama boleh dirangka yang bakal meletakkan situasi menang-menang.
Islam di Malaysia tidak mengajar soal ekstremisme tetapi mengajar kesederhanaan, yang mahu dikongsi oleh Malaysia dengan pemimpin agama di selatan Thai.

Jui Meng minta pengundi sokong BN

MUAR 2 Mac - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng mungkin masih 'sayangkan' Barisan Nasional (BN) apabila meminta rakyat menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Beliau yang kini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, tersasul meminta orang ramai berbuat demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Demi Rakyat di perkarangan Pejabat PKR Muar di sini malam tadi.
Nyata Jui Meng yang berjuang selama 23 tahun dalam MCA masih dibayangi kebaikan serta jasa BN kepada rakyat sehingga tersasul meminta sokongan diberikan kepada parti pemerintah tersebut.
"Di Parlimen Muar, orang India diharap bersama pengundi Cina untuk mengundi Barisan Nasional," katanya sambil disambut sorakan penyokongnya sebelum segera memperbetulkan kenyataan itu dengan mengatakan bukan BN yang dimaksudkan tetapi pakatan pembangkang.
Kenyataan Jui Meng itu menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berada di atas pentas terkejut dan kemudian tersenyum sinis.
Ceramah anjuran parti pembangkang tersebut dihadiri kira-kira 1,000 orang dan kebanyakannya kaum Cina walaupun kawasan itu dihuni majoriti Melayu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang diminta mengulas kenyataan Jui Meng itu percaya, kata-kata bekas pemimpin MCA tersebut lahir daripada hatinya yang ikhlas.
"Sebenarnya di hati Jui Meng, beliau lebih ikhlas dengan BN tetapi disebabkan mahu kuasa, dia pilih pakatan pembangkang. Jika kita teliti, sebenarnya kepercayaannya lebih kepada BN, sebab itu dia tersasul apabila berucap," katanya.
Razali yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Jui Meng kerana pada penghujung ucapannya selama kira-kira 20 minit itu, beliau meminta rakyat menyokong dan mengundi BN. - UTUSAN

PM lancar jentera pilihan raya BN Parlimen Pekan

NAJIB Tun Razak disambut ribuan wakil jentera Barisan Nasional yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Pekan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
PEKAN 1 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen di sini.
Majlis itu dihadiri kira-kira 5,000 jentera parti parlimen tersebut.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Parlimen Pekan, Datuk Ishak Muhamad.
Perdana Menteri dalam ucapannya menyeru semua jentera parti di kawasan Parlimen itu bekerja kuat bagi memastikan Pekan terus menjadi kubu BN pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya tidak akan lupa bumi Pekan ini, ini tempat tumpah darah saya, saya anak watan di sini, saya akan lakukan yang terbaik untuk bumi Pekan ini.
"Kita sebagai rakyat Pekan perlu menghantar mesej kepada orang luar supaya jangan ganggu kita di Pekan, Pekan adalah bumi BN, kita akan kerja kuat untuk kekalkan Parlimen ini sebagai kubu kuat BN," katanya.
Najib dalam pada itu turut menyeru seluruh jentera parti supaya bersatu dan bekerja bersama-sama bagi meningkatkan jumlah majoriti kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.
"Pada pilihan raya umum lalu, Pekan telah mencatat majoriti paling tinggi iaitu lebih 26,000 undi dan tahun ini kita hendak lebih tinggi. Kita akan bekerja siang dan malam untuk memastikan hasrat ini menjadi kenyataan.
"Saya hendak melihat setiap rumah yang sokong BN, kibar bendera. Tak cukup satu, dua, pastikan kita menang perang bendera. Kita perlu pastikan apabila orang luar masuk setiap lorong di Parlimen ini mereka tahu Pekan ialah milik BN," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, pelbagai perkara telah dilaksanakan kerajaan BN di daerah tersebut bukan sahaja dari segi pembangunan malah kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.
"Jalan di Pekan ini telah lebar, universiti ada, masjid ada, pusat automotif ada, Taman Agropolitan ada, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) pun ada, McDonald juga ada dan tak lama lagi hotel empat bintang akan siap dibina di sini.
"Apa yang kita mahu, semua ada di Pekan ini. Walaupun saya tiada di sini, saya lakukan semuanya untuk rakyat kerana kita mendahulukan rakyat dan janji ditepati berbeza dengan pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi kosong," katanya.

Diumum selepas bubar Parlimen

Muhyiddin Yassin dan Mustapa Mohamed serta Awang Adek Hussin bersama orang ramai melaungkan gelombang merah dalam Himpunan Rakyat 1Malaysia di Tunjong, Pasir Mas dekat sini, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri 
*****
KOTA BHARU 1 Mac - Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan manifestonya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas Dewan Rakyat dibubarkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ini parti masih di peringkat akhir untuk menyiapkan manifesto tersebut dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN sedang meneliti beberapa perkara secara terperinci.
"Selepas itu kita akan mengadakan satu perbincangan akhir dengan semua ketua parti komponen untuk mendapatkan input tambahan dan membentangkannya kepada rakyat selepas tarikh Parlimen dibubarkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini hari ini.
Kira-kira 30,000 rakyat pelbagai kaum menghadiri majlis berkenaan.
Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.
Menurut Muhyiddin, rakyat masih berpeluang untuk meneliti dan menilai kandungan manifesto tersebut dan membandingkannya dengan manifesto yang ditawarkan oleh pakatan pembangkang.
"Rakyat boleh membuat perbandingan di antara kedua-dua parti ini, BN dan pembangkang yang mana satu manifestonya lebih menarik, praktikal, yang terlaksana dan mampu dilaksanakan yang boleh memberikan kebaikan kepada rakyat jelata, tunggulah.
"Di samping manifesto nasional, manifesto di peringkat negeri pun sedang dimuktamadkan oleh semua ketua BN negeri untuk mereka menambah perkara tertentu. Di Kelantan, Mustapa sedang menyiapkannya selain apa yang kita cadang di peringkat nasional, yang khusus menjurus kepada kepentingan rakyat Kelantan pun akan disediakan," katanya.
Ditanya sama ada keputusan lewat mengumumkan manifesto itu memberi kelebihan kepada BN, Muhyiddin berkata, terserah kepada pembangkang untuk mengumumkan terlebih dahulu manifesto mereka.
"Bagi kita, mesti ada masa yang sesuai kerana Parlimen belum dibubarkan, jadi sebenarnya pilihan raya itu belum hendak diadakan lagi, mereka nak bentang lebih awal itu hak mereka. Tetapi bagi kita, kita membuat penilaian dan akan umumkan selepas Parlimen dibubarkan," katanya.
Muhyiddin berkata, rakyat seharusnya menilai manifesto yang dibentangkan oleh pembangkang itu yang disifatkan oleh pakar-pakar ekonomi sebagai tidak realistik dan membolehkan negara jatuh muflis.
Menjawab satu soalan, Muhyiddin berkata, Islamik atau tidak manifesto dibentangkan oleh pembangkang, rakyat boleh membuat penilaian, sebagai contoh pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan oleh Pas yang terus senyap.

Pas tidak sama seperti dulu

TERMIZI CHE ANUAR
KUALA LUMPUR 2 Mac - Pas di bawah kepemimpinan ketika ini bukan lagi parti yang memperjuangkan Islam dan hukum hudud sebaliknya sanggup bersekongkol dengan DAP semata-mata untuk mengejar kuasa.
Ahli Pas yang juga bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hassan Basri menegaskan, parti itu semakin hanyut dalam mengejar tampuk kekuasaan sehingga melupakan perjuangan asal.
"Sekarang semua itu tidak ada lagi dalam perjuangan tetapi sebaliknya menawan Putrajaya menjadi keutamaan Pas. Zikir pun dah tukar kepada Putrajaya.
"Bila saya dan rakan-rakan bangkit mempersoalkan pimpinan mengapa Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam dan hukum hudud, akhirnya kami tersingkir. Ini menunjukkan Pas semakin hanyut mengejar kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu ceramah di Taman Melati di sini hari ini.
Sementara itu, Hassan mengingatkan ahli-ahli Pas supaya tidak membenarkan parti itu diperkudakan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Lihat bagaimana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sanggup membenarkan kalimah Allah digunakan bukan Islam seperti diminta DAP.
"Isu kalimah Allah pun Pas sanggup gadai, adakah dengan parti seperti ini yang kita mahu harapkan untuk menjaga Islam? Tidak tuan-tuan. Tidak.
"Rakyat khususnya umat Islam kena tolak Pas dan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum nanti supaya Islam terus terpelihara serta subur di bumi Malaysia ini," ujarnya tegas. UTUSAN

Pembangkang hilang punca kritik program bantu rakyat

Shafie Apdal diiringi oleh Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) ketika melawat pameran Sambutan Hari Mara ke-47 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan, semalam. 
*****
PEKAN 1 Mac - Tindakan aktivis Pas, Bob Lokman menyamakan program Jelajah Janji Ditepati (JJD) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai jahat seperti iblis tidak sepatutnya berlaku jika pihak berkenaan memahami tujuan program itu diadakan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tuduhan yang dilemparkan itu menunjukkan pembangkang sudah kehilangan punca dan cuba mencetus isu yang tidak berasas.
"Kenapa mereka tidak faham tujuan asal program ini diadakan. Ini niat baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk dijadikan platform kepada rakyat menambahkan pendapatan.
"Setiap kali program diadakan, kira-kira 200 peniaga memperoleh keuntungan dengan memasarkan hasil mereka. Sepatutnya program seperti ini dipuji, bukan disamakan dengan perhimpunan iblis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar dan portal berita mengenai kenyataan Bob Lokman di Perak kelmarin yang mendakwa program JJD menyerupai kisah dongeng orang Arab untuk menyesatkan umat Nabi Adam ketika iblis dihalau keluar dari syurga.
Terdahulu, Mohd. Shafie hadir merasmikan Majlis Sambutan Hari Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke-47, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shafie, sebagai umat Islam dan parti yang kononnya memperjuangkan Islam, tidak sepatutnya kenyataan sedemikian dilemparkan terhadap inisiatif kerajaan dalam usaha memberi pelbagai manfaat kepada rakyat.
"Pembangkang boleh meletakkan apa sahaja hukum mengikut selera mereka tetapi saya harap masyarakat dapat menilai kebaikan dilakukan kerajaan dalam membela nasib rakyat.
"Program ini bukan sekadar pertemuan seperti puak-puak Pas yang mengadakan ceramah dengan melemparkan fitnah kepada kerajaan dan mengatakan orang dengan gelaran itu dan ini. Kita bukan mengata orang, kita membantu rakyat dan membangunkan negara," ujarnya.
Beliau berharap, kenyataan negatif yang dilemparkan pembangkang dalam usaha kerajaan membantu rakyat dapat membuka mata dan minda masyarakat mengenai sikap sebenar mereka.

UMNO 'menate', DAP kawan?

KOTA BHARU 1 Mac - Antara dua darjat. Begitulah yang dapat disimpulkan daripada sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menganggap UMNO sebagai 'menate' (binatang) tetapi DAP pula dianggap kawan parti Islam itu.
Nik Abdul Aziz mendakwa, tidak salah untuk Pas berkawan dengan DAP kerana mereka mahu memberi nasihat tetapi dalam masa sama, beliau tidak peduli sama ada parti itu menerima pandangan Pas atau tidak.
"Kita berkawan dengan orang jahat boleh, tetapi kawan untuk nasihat, UMNO marah kepada Pas berkawan dengan DAP, (UMNO) kata DAP jahat, tetapi kenapa DAP jahat? Kamu (UMNO) jahat juga.
"Apabila DAP berkawan dengan Pas, insya-Allah Pas akan bagi tahu tentang Islam, syurga begini, neraka begini, dia nak dengar atau tidak mahu dengar peduli apa, yang penting tujuan kita berkawan untuk baiki dia (DAP),'' katanya semasa menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Menurutnya, UMNO menuduh DAP jahat tetapi parti orang Melayu itu sendiri sebenarnya yang lebih jahat kerana mengambil pendekatan berteras kebangsaan tetapi menolak Islam.
''Islam mari daripada Allah, mu (orang UMNO) duduk atas bumi ini bumi Allah, bernyawa dengan udara Allah, minum air dengan hak Allah, mu makan beras hak Allah Taala, menate (binatang)," cercanya.
Dalam masa sama, Nik Abdul Aziz turut mengecam Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang didakwanya telah memalukan institusi mufti berikutan kenyataan beliau dalam sebuah akhbar yang menyatakan sikap Pas lebih teruk daripada kafir baru-baru ini.
Beliau dengan keras melabel Harussani sebagai orang mabuk dan tidak sedar diri serta hanya layak digelar 'mufta' iaitu orang tidak pandai yang perlu diberi fatwa kerana kritikannya terhadap Pas yang didakwa Nik Abdul Aziz dibuat tanpa rujukan teliti.
Dakwanya, Harussani merupakan seorang yang bercakap 'tidak betul' dan hanya membaca laporan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang disifatkannya sebagai 'pekeliling UMNO' tetapi tidak mahu membaca Harakah iaitu lidah rasmi Pas.
"Nasib baik dalam Harakah hari ini keluar beberapa jawapan balas kepada kenyataan Harussani termasuk daripada Dr. Mohd Nur Manuty (Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat).
"Mufti apa begini? Ini bukan mufti tapi mufta, mufti isim fa'il, mufta isim maf'ul, mufti maksudnya orang yang beri petua, tapi mufta adalah orang (tak reti) yang diberi petua oleh orang lain, kenyataan (Harussani) burukkan nama mufti sahaja, buruk nama orang kampung, (pakai) kopiah 24 jam tapi bercakap tidak betul," katanya.
Nik Abdul Aziz dalam laman Facebook beliau baru-baru ini telah menasihatkan Harussani supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan jangan melampau dalam menunjukkan sokongan beliau kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau dilaporkan kecewa dengan kenyataan Harussani dalam sebuah akhbar yang menyatakan sikap Pas lebih teruk daripada kafir dan meminta Mufti Perak itu merujuk kepada sumber yang sahih sebelum memberi sebarang ulasan mengenai beliau dan pemimpin Pas lain.

Nik Aziz jangan ego, takbur - Zaidi

PULAU PINANG 1 Mac - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diingatkan agar tidak terus bersikap ego dan takbur dengan sokongan yang diterima selama ini.
Pengerusi Tetap Pas Bahagian Tanjung, Zaidi Abu Bakar berkata, sebagai pemimpin dan ulama, Nik Abdul Aziz seharusnya mengamalkan sikap rendah diri dan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati rakyat di negara ini terutamanya ahli Pas.
“Beliau kena ingat ramai ahli Pas menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jadi mengapa memberi gambaran mengaitkan penerima bantuan umpama haiwan?
“Sekali lagi saya tegaskan, beliau perlu minta maaf kepada semua penerima BR1M dan jangan biarkan orang menyamakan gambaran itudengan Islam," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena demonstrasi aman mempertahankan kalimah Allah di Masjid Negeri, di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu menambah, Nik Abdul Aziz juga harus berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan supaya orang ramai tidak menyamakannya dengan ‘iblis’.
Selain itu, menyentuh mengenai demonstrasi yang diadakan, Zaidi menegaskan, pihaknya akan terus mengadakan demonstrasi berkenaan sehingga Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng memohon maaf kepada semua umat Islam berhubung isu kalimah Allah di negara ini.
Beliau turut menyelar tindakan berdiam diri pemimpin Pas yang dilihat tidak mampu untuk menasihatkan kepemimpinan DAP terutama Guan Eng agar menarik balik tuntutan terhadap penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu.

Ceramah Nizar, Nurul Izzah hambar

KUALA LUMPUR 1 Mac - Ceramah umum pakatan pembangkang yang menampilkan antaranya Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di kawasan lapang berhampiran Chow Kit, dekat sini malam tadi hambar apabila hanya dihadiri sekitar 300 orang.
Malah, jumlah itu semakin berkurangan kepada kira-kira 150 orang ketika Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memulakan ucapan selaku penceramah terakhir.
Laungan 'reformasi' oleh pengerusi majlis sebelum Nurul Izzah berceramah juga hanya disambut lesu beberapa orang yang hadir.
Sebelum itu, Mohammad Nizar mengejutkan khalayak apabila mengumumkan Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi akan dipilih sebagai calon Pas untuk bertanding kerusi Parlimen Titiwangsa dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam ceramahnya juga, beliau berterusan menyerang Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir khususnya berkaitan pelantikannya selaku Menteri Besar Perak.
"Perak hari ini ada dua MB (Menteri Besar), satu itu MB 'haram jadah'," katanya.
Mohammad Nizar yang masih tidak dapat menerima beliau bukan lagi Menteri Besar Perak turut menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa menteri lain yang didakwanya membuat perancangan jahat sehingga menjatuhkannya.
Dalam perkembangan lain, beliau yang sebelum ini mengajak rakyat menolak konsep Ketuanan Melayu menegaskan, perjuangan bangsa itu menjadi punca mengapa Pas memecat Datuk Dr. Hasan Ali yang secara sinis digelarnya sebagai 'Pengarah Perabot Jati'.
"Walaupun dia doktor PhD, tapi kalau campur aduk Islam dengan Ketuanan Melayu, pi la (pergilah) kata Pas. Pas hanya wujud kerana kalimah 'Lailahaillallah'," jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, Pas tidak akan sesekali meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP.

Tian Chua tidak layak digelar warganegara - Mohd. Zin

SHAH ALAM 1 Mac. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chiang atau Tian Chua disifatkan tidak layak menggelarkan dirinya sebagai warganegara Malaysia kerana mempolitikkan isu keselamatan negara semata-mata untuk meraih undi.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, tindakan Tian Chua yang menuduh UMNO kononnya terlibat dalam konspirasi tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah hari ini jelas menunjukkan pemimpin PKR itu tidak bertanggungjawab selain didakwa cuba menyemai kebencian di kalangan rakyat.
Beliau menegaskan, Tian Chua sepatutnya memahami lebih jelas situasi tersebut dan kesannya kepada negara memandangkan beliau sendiri terlibat dalam proses pengubalan undang-undang sebagai salah seorang daripada Ahli Parlimen.
"Sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya bertanggungjawab mempertahankan negara. Namun, melihat daripada kenyataan beliau itu, apakah beliau sebenarnya layak untuk menggelarkan dirinya sebagai warganegara apatah lagi sebagai seorang Ahli Parlimen.
"Tuduhan beliau itu sememangnya langsung tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mahu mencetuskan kebencian rakyat. Kalau diikutkan tindakan sedemikian, taraf kerakyatan beliau patut dilucutkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan bersama MyFRENZ United, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada kalangan golongan muda Selangor di Politeknik Shah Alam, di sini malam ini.
Yang hadir sama dalam majlis yang dihadiri lebih 1,000 anak muda itu ialah Presiden dan Pengasas MyFRENZ United, Dr. Mohd. Hisam Ismail.
Tian Chua hari ini mengeluarkan kenyataan di dalam portal Keadilan Daily bahawa insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Sabah merupakan konspirasi UMNO kononnya bagi mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.
Beliau mendakwa, pencerobohan tersebut tidak mendapat perhatian media tempatan sebaliknya hanya dilaporkan oleh media asing.
Dalam pada itu, Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang menegaskan kejadian tembak-menembak itu telah menyebabkan dua anggota polis iaitu Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46 terkorban.
"Bagaimana Tian Chua boleh membuat tuduhan sedemikian sedangkan kejadian itu telah meragut nyawa anggota pasukan keselamatan kita. Apakah kita sanggup mengorbankan nyawa anggota pasukan keselamatan kita sendiri, di manakah logik Tian Chua ini," ujarnya. - UTUSAN

Malaysia, Thai tandatangani perjanjian lintas batas

PUTRAJAYA 28 Feb. - Malaysia dan Thailand hari ini menandatangani Perjanjian Lintas Batas untuk menggantikan 'Traffic Across the Boundary Between the Malay States and Thailand' yang ditandatangani di Bangkok pada 24 Jun 1940.
Perjanjian itu ditandatangani sempena lawatan Perdana Menteri, Thailand Yingluck Shinawatra ke negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beberapa elemen telah diperbaharui dalam perjanjian baharu itu bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
"Perjanjian Lintas Batas itu menjelaskan isu berkenaan pengeluaran pas sempadan di antara kedua-dua negara dan negeri bersempadan sahaja layak menggunakan pas sempadan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Di Malaysia, pintu-pintu masuk yang dipersetujui ialah Kedah di Bukit Kayu Hitam, Kota Putra, Durian Burung, Kuah Langkawi, Telok Ewa Langkawi, Kuala Kedah, Jetty Harbour Park Langkawi; Kelantan (Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Bukit Bunga); Perak (Bukit Berapit); dan Perlis (Padang Besar, Wang Kelian dan Kuala Perlis).
Sementara di Thailand ialah Pusat Pemeriksaan Imigresen Tamalung Seaport dan Wangprachan di Satun; Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadoa, Padang Besar, Songkhla Seaport dan Ban Brakop di Songkhla; Pusat Pemeriksaan Imigresen Betong di Yala; Pusat Pemeriksaan Imigresen Su-ngai Golok, Takbai dan Ban Bukheta di Narathiwat; dan Pusat Pemeriksaan Imigresen Pattani Seaport di Pattani.
Hishammuddin berkata, pas sempadan yang dikeluarkan sah digunakan untuk tempoh setahun dengan setiap kali kemasukan tidak melebihi 30 hari.
"Ia hanya dibenarkan untuk tujuan melawat saudara mara, pelancongan, sukan, latihan jangka pendek (tidak melebihi enam bulan), menghadiri seminar, mesyuarat dan persidangan, sidang akhbar atau membuat liputan serta tujuan-tujuan yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya.
Beliau berkata, pas sempadan itu juga hanya dibenarkan untuk kegunaan di negeri-negeri yang dipersetujui, sekiranya hendak melangkau sempadan selain negeri ditetapkan, maka perlu menggunakan Pasport Antarabangsa negara masing-masing. - BERNAMA

Laman blog PM kini berwajah baharu


KUALA LUMPUR 28 Feb. - Laman web peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diakses melalui www.1malaysia.com.my kini berwajah baharu dan antara lain memuatkan ruangan "Rekod Saya" dan "Tindakan".
Ruangan "Rekod Saya" memaparkan segmen Kemajuan Ekonomi, Inisiatif 1Malaysia, Transformasi Politik, Penglibatan serta Kepimpinan Global.
Dalam segmen Penglibatan, Najib berkata, beliau telah beberapa kali menyatakan bahawa era "Kerajaan tahu segalanya" telah berakhir.
"Hakikatnya, rakyat lebih tahu apa yang mereka mahu serta perlukan dan kerana itulah saya sentiasa mahu berhubung dengan anda semua sekerap mungkin untuk mendapatkan idea, mempertimbangkan setiap pandangan itu serta melaksanakannya.
"Demokrasi bukanlah mengenai pilihan raya semata-mata, ia adalah tentang memenuhi setiap keperluan rakyat," kata Perdana Menteri.
Najib berkata, beliau berasa rendah diri apabila melihat sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakyat setiap kali mengadakan lawatan ke seluruh negara - tidak kira dari Batu Caves ke Brickfields, Chinatown hinggalah ke pedalaman Sabah dan Sarawak.
"Saya sentiasa bekerja keras untuk memastikan setiap pandangan anda yang menjurus kepada kemakmuran serta kedamaian negara dapat dilaksanakan, dan saya akan terus mempertimbangkan setiap cadangan daripada anda agar anda dapat bersama-sama dalam memajukan negara," katanya.
Dalam segmen Transformasi Politik, Najib berkata, sejak menjadi perdana menteri pada 2009, beliau sangat jelas dengan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mengamalkan demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat.
"Untuk itu, saya telah melaksanakan beberapa pakej transformasi politik paling bersejarah sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan," katanya sambil menjadikan contoh Ordinan Darurat yang telah berakhir dan pemansuhan undang-undang era penjajah iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan tahanan tanpa dibicara.
Beliau turut merujuk kepada pengenalan Program Transformasi Kerajaan yang bertujuan memastikan perkhidmatan awam menjadi lebih baik dan responsif kepada kehendak rakyat selain mengelakkan rasuah.
Segmen Inisiatif 1Malaysia pula memaparkan program-program berfokuskan rakyat mencakupi bidang seperti perumahan, kesihatan, pelajaran, pengangkutan, makanan, tabungan, kebajikan dan latihan.
Pelayar blog juga boleh mengikuti aktiviti dan perkembangan perdana menteri melalui sudut yang dipanggil "Pengembaraan Online Bersama Najib Razak".
Blog berwajah baharu itu juga mempunyai satu ruangan yang membolehkan pengunjung mendapatkan apa yang dipanggil Kit Tindakan mengandungi kelengkapan asas sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.
Ia antara lain menyediakan buku panduan untuk pengundi baharu, pin kolar, pen dan beberapa keping pelekat.
Ketika ini, blog itu boleh dilayari dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, manakala bahasa Tamil dan Mandarin akan menyusul.

- BERNAMA

Kalimah Allah: Nik Aziz dolak dalik, kini kata iblis dan syaitan pun guna


NIK AZIZ NIK MAT... Mursyidul Am Pas.
KOTA BHARU 28 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya bahawa kalimah Allah boleh digunakan semua orang termasuk bukan Islam kecuali bagi terjemahan God dan Lord dan pada masa sama menegaskan, kalimah itu diguna 'iblis dan syaitan' sendiri ketika menjadi penghuni syurga.
"Kalimah Allah ini kita dah putuskan sebulan lepas, saya tak payah ulanglah benda ini, benda yang tak patut dijadikan isu dijadikan isu, nama Allah ni telah diguna oleh syaitan dan iblis dalam syurga lagi, iblis jumpa Nabi Adam dalam syurga dia telah guna nama Allah, ayah Nabi Muhammad nama Abdullah, dia belum Islam, jadi apa susah kita? Cuma masalah terjemah God dan Lord kepada Allah ini, ini tidak betul.
"Saya sebut sekali lagi, tuan-tuan boleh tengok balik keputusan yang kami buat di Majlis Syura, tapi nak sebut umumnya memang boleh orang bukan Islam guna kalimah Allah, saya ulangi balik, iblis masuk dalam syurga jumpa Nabi Adam dia sebut nama Allah masa nasihat Nabi Adam supaya makan buah (khuldi), jadi kalimah Allah diguna oleh semua orang, baki lagi terjemah Lord dan God kepada Allah memang tidak betul, God lain, Allah lain," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di Ketereh bahawa keputusan majlis pimpinan pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu mengenai penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam telah disediakan dan ditandatangani Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri. - UTUSAN

'Fatwa' dua tok guru

Petikan (1)
''Apabila seseorang itu memelihara barang yang di antara dua pipinya iaitu lidahnya dan barang yang di antara dua pehanya iaitu kemaluannya daripada melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah nescaya dia masuk syurga. Kedua-dua anggota ini sering kali menjadi sasaran hasutan syaitan sering kali manusia tergelincir dan melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah."
Petikan (2)
''….Tetapi sekiranya Pas, menyatakan bahawa al-Quran menjadi dasarnya sedangkan pada amalannya ia berlainan daripada al-Quran maka tidak (ada) sebab untuk Pas kekal. Pas hanya boleh kekal dengan berkat dan tuah al-Quran, tetapi ia tidak akan kekal kalau hanya pada nama sahaja ia didasarkan kepada al-Quran tetapi ia tidak diamalkan oleh ahli-ahli Pas."
Dua petikan ini terkandung dalam buku Mutiara Tok Guru: Membangun Ummah. Buku ini adalah kompilasi cetusan pemikiran dua pemimpin utama Pas iaitu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui kuliah dan khutbah mereka.
Petikan yang pertama terkandung dalam Bab 27 muka surat 95 bertajuk, 'Memelihara lidah dan kemaluan' yang disampaikan oleh Abdul Hadi manakala petikan kedua pula di bawah tajuk 'Masa depan Gemilang Bersama Islam' yang disampaikan oleh Nik Abdul Aziz.
Sememangnya dua pemimpin ini dianggap ulama utama dalam Pas. Malahan dalam buku itu, penerbit dalam kata pengantar menyatakan, buku itu dinamakan, 'Membangun Ummah' kerana kerangka pemikiran yang dibawa oleh dua tok guru ini mewarisi gagasan Hassan al-Banna yang mahu mengembalikan semula kegemilangan ummah menerusi pembinaan individu, keluarga, masyarakat dan negara berasaskan akhlak Islam mengikut acuan al-Quran dan sunnah.
Namun kajilah apakah tindak-tanduk yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin ini dalam arena politik negara khususnya sejak Pas menjalin kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bersesuaian dengan apa yang mereka katakan seperti mana dipetik dalam buku yang diterbitkan pada Ogos 2008 itu.
Penulis memilih dua petikan tersebut iaitu berkaitan bahayanya lidah dan perjalanan sebenar politik yang seharusnya dilalui Pas. Kedua-duanya bukan sahaja berkaitan rapat dengan tindak-tanduk kedua-dua pemimpin itu tetapi juga Pas itu sendiri.
Ketika ini, dua isu besar melibatkan Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz, kedua-duanya ada kaitan dengan apa yang pernah mereka lafazkan. Abdul Hadi masih terbelenggu dengan isu Amanat Haji Hadi yang dilafazkan oleh beliau pada tahun 1981 dan isu kalimah Allah yang menyaksikan 'kegelojohan' beliau menandatangani persetujuan bersama pemimpin PKR dan DAP bagi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah suci itu meletakkan Pas dalam dilema.
Nik Abdul Aziz pula semakin digugat kerana menyamakan bantuan wang diberikan Kerajaan Pusat kepada rakyat sebagai 'memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu.'
Walaupun berhadapan dengan pelbagai kritikan namun Menteri Besar Kelantan itu tetap mempertahankan kenyataannya sekali gus menjadikan usaha pihak tertentu dalam Pas yang cuba menghasilkan rakaman video bagi menunjukkan kononnya Utusan Malaysia tersalah petik ucapan beliau hanya sia-sia.
Abdul Hadi pernah bercakap dan menyeru umat Islam menjaga lidah, Nik Abdul Aziz pernah menegaskan bahawa perjuangan Pas berlandaskan kepada amalan yang termaktub dalam al-Quran tetapi perhatikan kontroversi yang mereka cetuskan.
Apakah semua itu tidak menunjukkan kegagalan mereka untuk menjaga lidah? Tidakkah tindakan mereka dilihat bertentangan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran?
Kalau benar Abdul Hadi mahu umat Islam menjaga lidah, bagaimana dengan kenyataan Nik Abdul Aziz yang kalau mahu dicatatkan kata-kata beliau penuh kecaman dan pandangan buruk kepada musuh-musuh politik Pas terutamanya UMNO.
Bagaimana pula dengan 'Amanat Hadi' yang dilafazkan oleh lidah Abdul Hadi sehingga memecah-belahkan umat Islam tetapi sampai sekarang tidak ditarik balik? Kalau benar perjuangan Pas mengikut apa yang terkandung di dalam al-Quran sudah pasti, parti itu menjadi pejuang Islam paling tegar termasuklah berani membuat kenyataan rasmi berhubung pendirian Pas dalam isu kalimah Allah.
Selain itu juga kalau betul Pas berjuang dalam arena politik berlandas al-Quran tentulah mereka tidak akan sewenang-wenangnya bekerjasama dengan DAP yang suatu dahulu Pas juga 'memfatwakan' haram apabila UMNO menjalinkan kerjasama dengan MCA dan MIC.
Apabila perkara itu dipersoalkan, pemimpin-pemimpin Pas berhujah bahawa kerjasama parti itu berbeza dengan kerjasama antara UMNO dan MCA tetapi apa yang kita saksikan ialah cita-cita perjuangan Pas sudah berkubur kerana ia mendapat penentangan DAP.
Tetapi Pas masih dalam pakatan pembangkang dan Abdul Hadi berhujah kalau kerjasama itu merugikan Islam, Pas akan meninggalkan pakatan tetapi semua orang tahu apa terjadi perjuangan Pas yang diuar-uarkan oleh Nik Abdul Aziz harus berlandaskan kepada al-Quran.
Kalau benar Pas mengikut perjuangan berlandaskan al-Quran kenapakah kerja-kerja baik yang dilakukan oleh kerajaan BN termasuklah usaha UMNO meningkatkan martabat umat Islam dan mengembangkan syiar Islam sering sahaja diperlekehkan oleh Pas.
Siapakah yang mengeluarkan kenyataan bahawa Islam yang dibawa oleh UMNO adalah Islam plastik? Siapakah yang memperlekehkan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza?
Siapakah yang mencerca bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat?
Semua itu pernah dilakukan oleh Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz yang sepatutnya lebih faham mengenai firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud;
''…Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya (permusuhan).
Janganlah kerana kepentingan politik atau dipengaruhi fahaman ideologi berbeza, segala perkara baik yang dilakukan oleh UMNO dan BN mahu dinafikan khususnya dalam meningkatkan hidup rakyat dan mensejahterakan negara.
Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz perlu mengamalkan apa yang mereka sampaikan dalam tazkirah, khutbah dan kuliah mereka. Ia bagi mengelakkan orang membuat tafsiran yang tidak baik seperti menganggap kedua-dua pemimpin Pas itu mempunyai dua perwatakan berbeza iaitu sebagai ulama dan ahli politik.
Tetapi apa yang boleh diperhatikan, sejak kebelakangan ini watak ulama sebenar seolah-olah tidak begitu ditonjolkan oleh Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz, kalaupun ditonjolkan ia lebih banyak dilihat atas pertimbangan politik.
Sebab itulah kita menyaksikan kedua-dua pemimpin sering sahaja melakukan tindakan dan membuat kenyataan yang dilihat tidak bersesuaian dengan status mereka sebagai ulama.
Sememangnya, kita sama sekali tidak menghalang mana-mana orang Melayu khususnya pengikut tegar Pas untuk menyanjungi kedua-dua ahli politik bertaraf ulama tersebut, malahan kita menghormati ilmu agama yang mereka miliki tetapi biarlah ia digunakan demi kesejahteraan umat Islam, bukannya semata-mata untuk memburu kuasa politik.
Jangan sampai nanti melalui tindak-tanduk mereka, Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz tidak dihormati lagi dan akan diibaratkan seperti 'hampas kelapa yang perlu dibuang' dan jerami yang perlu dibakar.

Bantu makmurkan selatan Thailand

MALAYSIA telah lama diperakui mampu memainkan peranan pihak berkecuali dan menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian antara kerajaan negara-negara jiran dengan kumpulan yang menimbulkan konflik di negara tersebut.
Ekoran kejayaan Kuala Lumpur membantu dalam mencari penyelesaian di Selatan Filipina, Aceh dan beberapa negara lain sebelum ini, beberapa negara bergolak meminta Malaysia terus memainkan peranan aktif selaku orang tengah di peringkat antarabangsa.
Terbaharu, Thailand yang menghadapi pemberontakan bersenjata sejak beberapa tahun lalu di selatan negara tersebut berharap Malaysia dapat menjadi orang tengah dalam perbincangan yang akan diadakan dengan pemberontak.
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand (NSC), Paradorn Pattanathabutr turut mendakwa ada kumpulan pemberontak itu yang beroperasi di Malaysia dan kerjasama Kuala Lumpur diperlukan dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.
Walaupun sebelum ini beberapa siri perbincangan berlangsung, gencatan senjata nampaknya tidak kekal lama khususnya apabila berlaku pertukaran kerajaan yang mendadak, membawa kepada perubahan dasar dan polisi keselamatan.
Keselamatan selatan Thailand yang seolah-olah diabaikan kerajaan baharu itu menyebabkan pergolakan berulang dan situasinya semakin teruk apabila melibatkan pihak bersenjata.
Sejauh mana Malaysia selaku orang tengah mampu mencapai kata sepakat yang boleh diterima kedua-dua belah pihak atau mungkin Kuala Lumpur dapat menghulurkan bantuan dalam bentuk lain kepada penduduk selatan Thailand.
Bagi Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, Malaysia terbukti tiada kepentingan peribadi dan mampu menjadi mediator melalui beberapa kejayaan sebelum ini, khususnya yang melibatkan masyarakat Islam.
"Sebelum ini juga saya pernah usulkan kita bantu dalam situasi di selatan Thailand. Hari ini sudah nampak bibit-bibit Malaysia diberi peluang memainkan peranan dan saya yakin kita akan cipta satu lagi jihad membantu umat Islam di samping menjamin kelangsungan Thailand.
"Kepercayaan umat Islam selatan Thailand kepada kita memberi kelebihan untuk Malaysia mencari penyelesaian kekal, khususnya dalam isu keselamatan dan kedaulatan mereka," katanya.
Tegasnya, konflik tersebut bukan hanya melibatkan kerajaan Thailand dan rakyat di wilayah selatan negara itu tetapi turut memberi impak kepada Malaysia.
Beliau mencadangkan penggunaan konsep 'Kemakmuran Jiran' bagi mencari situasi menang-menang untuk ketiga-tiga pihak dengan Malaysia sebagai orang tengah yang mencadangkan usul demi kebaikan semua.
"Malaysia perlu meyakinkan kerajaan Thailand dan rakyat di wilayah selatan menerima satu kesepakatan melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan seperti mana dicapai di selatan Filipina.
"Kemakmuran dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan mana-mana pihak, menjamin keselamatan, membangunkan ekonomi dan juga sosial rakyat wilayah selatan yang turut memberi impak kepada Thailand dan Malaysia," ujarnya.
Menurut beliau, konsep Kemakmuran Jiran terbukti berjaya dan pernah juga diketengahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika pentadbirannya dahulu dalam hubungan negara dengan Singapura.
Mohamad Faisol menegaskan, selain persetujuan kerajaan Thailand, rakyat di wilayah selatan juga perlu diyakinkan penyelesaian aman itu tidak akan menjejaskan kedaulatan, keselamatan mahupun agama mereka seperti mana dinikmati wilayah autonomi bercirikan Islam di selatan Filipina.
"Penyelesaian ini tidak menjejaskan kedaulatan Thailand sementara rakyat di selatan dapat terus bangunkan Islam tanpa konflik jati diri, bimbangkan keselamatan dan kedaulatan mahupun khuatir kehilangan sejarah mereka.
"Jika ada sebarang pertikaian, semua pihak perlu berbincang dan menyelesaikannya secara baik. Penyelesaian konflik ini juga dapat mengelakkan tuduhan negatif kononnya Malaysia menjadi pusat operasi pemberontak kelak," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menolak kebarangkalian Malaysia menggunakan pendekatan ketenteraan dalam membantu Thailand menyelesaikan konflik di wilayah selatan negara itu.
"Langkah ketenteraan jauh daripada norma kita, di Filipina dahulu pun kita cuma bertindak sebagai pasukan tentera pengaman dan pemerhati.
"Di Thailand, kita juga boleh menghantar pasukan tentera pengaman tetapi hanya atas jemputan kerajaan mereka sahaja. Selain itu, kita boleh guna diplomasi untuk bendung impak negatif kepada Malaysia," katanya.
Beliau turut mencadangkan Thailand dan Malaysia mewujudkan zon pembangunan kemakmuran bersama di wilayah bergolak seperti Yala, Patani dan Narathiwat.
Jelasnya, langkah tidak rasmi itu hanya untuk membantu pembangunan ekonomi dan sosial penduduk tanpa mencampuri urusan pentadbiran negara mahupun wilayah tersebut.
"Usaha pembangunan bersama antara Thailand dan Malaysia akan menunjukkan kepada rakyat wilayah tersebut mereka tidak dianaktirikan dan mengelak risiko tercetuskan kekacauan.
"Bagaimanapun, pihak berkuasa Thailand juga tidak boleh melupakan aspek kawalan senjata api di wilayah-wilayah tersebut bagi menjamin perdamaian yang dicapai dapat dikekalkan," tegasnya.
Mohamad Faisol mendakwa, kelemahan dalam kawalan senjata api di wilayah-wilayah bergolak terbabit juga menjadi punca krisis tersebut semakin meruncing.
"Orang kampung biasa tiada masalah dengan kawalan senjata api. Golongan ini juga memang bersedia berbincang dengan kerajaan Thailand untuk menyelesaikan masalah secara aman.
"Berdasarkan pembacaan dan dokumentari, saya lihat masalah semakin teruk bukan kerana pemberontakan tetapi akibat campur tangan penjenayah, tauke dadah dan penyeludup senjata yang menarik penyertaan orang muda berdarah panas," ujarnya.
Tambah beliau, kumpulan penyeludup dan penjenayah terbabit susah mencari makan jika suasana aman dan kerana itu mereka mahukan situasi tidak stabil agar mudah untuk bergerak.
Sementara itu, penganalisis politik antarabangsa (Asia Tenggara), Ahmad Zaki Hassan berpendapat Thailand sebelum ini kelihatan mampu menangani sendiri situasi di wilayah selatan negara itu tetapi akhirnya memerlukan bantuan juga.
"Pentadbiran Perdana Menteri baharu Thailand pada awalnya nampak boleh selesaikan masalah tersebut dengan memberi perhatian sewajarnya termasuk melakukan lawatan peribadi.
"Tapi, beberapa ketika selepas itu beliau 'hilang' dan ini menyebabkan timbul kembali perasaan diabaikan dan kerajaan gagal beri perhatian sewajarnya," jelasnya.
Beliau berpendapat keupayaan Malaysia dalam menguruskan perundingan jelas menonjol hasil beberapa perkembangan di negara lain dan dilihat mampu membawa kejayaan dalam situasi di Thailand kini.
"Pada satu tahap sebelum ini, Thailand seperti dapat menguruskannya sendiri tetapi ia tidak berlaku seperti diharapkan dan akhirnya memerlukan bantuan Malaysia juga.
"Jika kini mahu selesaikan sendiri pergolakan itu mungkin sudah tidak mampu. Tambahan pula, kumpulan yang arif tentang situasi di selatan Thailand juga ramai di Malaysia," katanya.

Hampir semua janji manifesto PRU-12 pembangkang tak ditunai di Selangor

SHAH ALAM 28 Feb. - Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mengikut kajian yang dilakukan, hampir keseluruhan manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) hanyalah janji kosong yang dijadikan umpan untuk memancing undi.
Beliau berkata, pakatan pembangkang secara terang-terangan telah menipu rakyat demi meraih sokongan untuk memerintah di Selangor.
"Banyak janji-janji PRU-12 tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang dan ia membuktikan mereka tidak mampu untuk menjadi pentadbir yang baik.
"Manifesto yang dilancarkan oleh pakatan pembangkang baru-baru ini juga nampaknya memakan diri mereka sendiri, mereka hanya memainkan cerita lapuk yang sama dengan sesi ceramah mereka," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zin, yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Selangor, pakatan pembangkang tidak boleh menjadikan negeri ini sebagai contoh kejayaan mereka untuk mentadbir negara kerana sudah terbukti pentadbiran mereka di Selangor gagal.
Ujar beliau, trend pelaburan kerajaan negeri mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011 secara keseluruhannya menunjukkan dividen yang diterima dari 2007 hingga 2011 adalah berjumlah RM5.91 juta daripada kos pelaburan.
"Kadar pulangan dividen berkenaan adalah sangat rendah dan sangat tidak memuaskan, namun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menggunakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai helah mahu menutup kelemahan pengurusan pelaburan di peringkat kerajaan negeri," katanya.
Selain itu kata beliau, terdapat perkara yang dimuatkan dalam manifesto tersebut yang sebenarnya tidak mampu dilaksanakan, sebagai contoh janji untuk melaksanakan pendidikan percuma.
Jelas beliau lagi, BN juga pernah mendesak agar janji itu ditunaikan terlebih dahulu di institut pengajian tinggi yang terdapat di negeri tadbiran pakatan pembangkang.
"Namun sebaliknya yang berlaku, di Selangor sendiri masalah IPT seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) masih belum diselesaikan.
"Malahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut mengkritik tatacara pengurusan Unisel yang dilihat tidak profesional dan membawa kepada kerugian," katanya.
Sementara itu katanya, pakatan pembangkang juga berjanji dalam manifesto baharu mereka untuk memelihara 141,000 hektar tanah Orang Asli, namun sebaliknya berlaku di Selangor apabila kira-kira tujuh hektar tanah golongan berkenaan di Kuala Langat dipindah milik kepada orang lain.
Menurut Mohd. Zin, satu lagi janji dalam manifesto pakatan pembangkang ialah kononnya ingin menghapuskan monopoli dengan mewujudkan suruhanjaya antimonopoli.
"Saya fikir, tindakan ini sepatutnya dilaksanakan di Selangor terlebih dahulu apabila industri perlombongan pasir yang berharga berbilion ringgit hanya dimonopoli oleh sebuah syarikat sahaja iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd," katanya. - UTUSAN

Negara boleh muflis - Dr. M

Siti Hasmah Mohd. Ali sambil disaksikan Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri), Zulkifli Shariff (tiga dari kiri) dan Abdul Aziz Jaafar (tiga dari kanan) melakukan simbolik upacara penamaan dan pelancaran kapal latihan kedua 'Teguh Samudera' milik TLDM (gambar kecil) di limbungan milik NGV Tech di Kampung Sijangkang, Kuala Langat, semalam. 
*****
KUALA LANGAT 27 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 pakatan pembangkang merupakan janji-janji yang tidak realistik kerana dirangka pihak yang tidak pernah menjadi kerajaan di peringkat Pusat.
Bekas Perdana Menteri berkata, manifesto pakatan pembangkang itu sekiranya dilaksanakan akan menyebabkan negara berdepan krisis kewangan termasuk risiko muflis.
Menurut beliau, manifesto itu memperlihatkan kerajaan perlu berbelanja lebih banyak sedangkan pendapatan negara diturunkan menerusi pengurangan pelbagai cukai.
"Dia (pembangkang) punya manifesto kalau diringkaskan, hendak kurangkan pendapatan kerajaan dengan turunkan cukai, hapuskan kadar tol dan sebagainya.
"Manifesto itu jika dilaksanakan, negara akan jadi muflis seperti Greece yang berdepan dengan masalah kerana mereka belanja banyak sedangkan pendapatan negara sedikit. Kalau kita nak jadi bankrap, kita bagilah semua percuma.
"Malah, sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan manifesto itu bukan perjanjian. Habis, yang ditulis itu apa?" katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri upacara penamaan dan pelancaran kapal latihan kedua 'Teguh Samudera' milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di limbungan milik syarikat pembinaan kapal tempatan, NGV Tech Sdn. Bhd. (NGV Tech) di Kampung Sijangkang, di sini hari ini.
Upacara pelancaran yang disempurnakan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali itu turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Pengerusi Eksekutif NGV Tech, Datuk Zulkifli Shariff.
Kapal tersebut merupakan yang kedua dibina syarikat itu untuk tujuan latihan TLDM selepas kapal Gagah Samudera dilancarkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 14 Disember tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, mengulas pencerobohan kumpulan warga asing yang mendakwa sebagai tentera Diraja Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah, Dr. Mahathir berkata, beliau yakin perkara itu mampu diselesaikan secara baik tanpa sebarang pertumpahan darah.

Hindraf juga kecewa manifesto pembangkang ketepi orang India

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Hindraf selaku kumpulan pendedak masyarakat India yang selama ini memperlihatkan agendanya seolah-olah menyokong pakatan pembangkang, turut menyatakan kekecewaaan terhadap manifesto pakatan pembangkang yang diumumkan baru-baru ini.
Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy berkata, manifesto pakatan pembangkang itu jelas meminggirkan keperluan serta kepentingan masyarakat India di negara ini dalam banyak aspek.
Menurut beliau, manifesto tersebut masih lagi dibatasi kekangan kaum walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji pakatan tersebut akan bersifat sama rata.
"Hindraf berasa sungguh kecewa dengan manifesto pakatan pembangkang yang memilih untuk mengabaikan sepenuhnya keperluan serta kepentingan masyarakat India di negara ini dalam ikrar pilihan raya mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN

Kedai makan tukar jadi 'tarian punggung' 600m dari rumah Nik Aziz

LAMAN blog Tukar Kelantan (tukar-kelate.blogspot.com) menyiarkan pendedahan berserta rakaman video mengenai sebuah kedai makan yang bertukar menjadi pusat maksiat selepas pukul 12 tengah malam di Kota Bharu. Lokasinya hanya kira-kira 600 meter dari rumah Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
KOTA BHARU 28 Feb. - Malam menjual pelbagai jenis makanan. Selepas pukul 12 tengah malam bertukar menjadi pusat karaoke yang turut menampilkan kehadiran seorang wanita dengan tarian 'goyang kucing garong' atau 'tarian punggung'.
Rakaman video mengenainya bertajuk Karaoke hanya 600 meter dari rumah Nik Aziz didedahkan sebuah blog, Tukar Kelantan yang turut mempersoalkan bagaimana aktiviti maksiat di sebuah kedai itu tidak diketahui kerajaan Pas Kelantan sedangkan ia berhampiran rumah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka di sini.
Rakaman video berdurasi 1 minit 36 saat itu dirakam pada pukul 3.25 pagi di kedai itu terletak berhampiran sebuah jambatan dimuat naik ke laman blog tersebut.
Blog Tukar Kelantan tersebut turut meminta Nik Abdul Aziz memberi penjelasan bagaimana beliau tidak mengetahui kewujudan kedai makan itu yang terletak di tepi Jalan Long Sulaiman, iaitu laluan harian beliau setiap kali ke pejabat.
Melalui video itu, jelas kelihatan beberapa pelanggan sedang menikmati 'goyang kucing garong' yang dipersembahkan seorang wanita berseluar merah dari dalam kedai itu. Seorang lelaki turut menari bersama wanita itu mengukuhkan lagi dakwaan premis berkenaan turut beroperasi sebagai pusat maksiat.
Sementara itu, satu lagi video berdurasi 1 minit 34 saat turut menunjukkan sebuah kedai makan lain 2.6 kilometer dari rumah Nik Abdul Aziz juga berubah menjadi sebuah pusat karaoke untuk golongan veteran selepas pukul 12 tengah malam.
Bagi kedua-dua rakaman itu, pemilik blog tukar-kelate.blogspot.com turut menyatakan koordinat sistem penentu kedudukan global (GPS) seperti di dalam Google bagi membuktikan dakwaan tersebut adalah benar.
Dalam masa sama, pemilik blog berkenaan turut mendakwa mempunyai bukti terdapat 17 pusat karaoke haram di negeri ini yang segelintir beroperasi sehingga pukul empat pagi manakala ada yang dibuka 24 jam.
Laporan penuh pendedahan oleh blog Tukar Kelantan boleh dibaca dengan klik link ini: Tukar Kelantan.
- UTUSAN

Manifesto pembangkang keluar kereta RM25,000 tak realistik - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Pakatan pembangkang tidak realistik dan mahu membunuh punca rezeki penjual kereta terpakai menerusi cadangan mengeluarkan kereta serendah RM25,000 seperti dinyatakan dalam manifestonya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemilik kereta yang ingin membeli kereta baharu sudah tentu mencari penjual kereta terpakai untuk menjual kereta sedia ada.
"Kalau serendah RM25,000 sebuah, pertamanya kereta-kereta terpakai tak akan laku. Apabila ini berlaku, penjual kereta terpakai akan rugi dan tutup kedai. Oleh itu kereta baharu pun tidak akan terjual kerana pemilik kereta terpaksa mencari penjual kereta terpakai bagi menjual keretanya nak dapat duit beli kereta baharu.
"Nak kurang sampai RM25,000, mudah kata tapi siapa nak buat (kereta)? Kalau dia (pembangkang) sanggup beri modal kepada pihak tertentu tanpa faedah, itu pun tak boleh dapat harga itu," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan Dasar Pandang ke Timur di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, di sini hari ini. - UTUSAN

Selepas haiwan, Firaun, Bob Lokman pula kata lebih jahat daripada iblis

ARTIS GILA! BOB Lokman berucap di pentas ceramah Pas di Pasir Salak, Perak malam tadi. Dalam ceramah itu, Bob Lokman menyamakan program 'Janji Ditepati' BN sebagai lebih jahat daripada iblis. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
*****
PASIR SALAK 28 Feb. - Pembangkang terutama Pas tidak sudah-sudah menyamakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai gelaran hina yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Ia dimulakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan pemberian Batuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti 'memberi hampas kelapa dan jerami kepada ayam dan lembu', disusuli Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyamakan BR1M dengan apa yang pernah dilakukan oleh Firaun.
Malam tadi, bekas pelawak dan penulis lirik lagu, Mohd. Hakim Lokman, 47, atau Bob Lokman yang kini menjadi aktivis Pas menyifatkan program 'Janji Ditepati' kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini "lebih jahat daripada iblis".
Bob Lokman turut menyifatkan tindakan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan segala janji-janji kepada rakyat dalam program itu juga sama seperti perangai iblis .
Bob mengibaratkan program murni itu dengan cerita iblis yang diusir Allah akibat enggan tunduk kepada Nabi Adam lalu meminta supaya diberi peluang melakukan godaan dan hasutan menyesatkan manusia dan janji itu ditepati iblis sehingga kini.
"Di sini saya nak bagi tahu betapa jahatnya Janji Ditepati (program BN) ini. Bila mana iblis tak mahu tunduk kepada Nabi Adam, maka Allah SWT halau dia (iblis) dari syurga. Tapi, boleh dia minta dengan Allah untuk menyesatkan umat manusia yang merupakan anak, cucu, cicit Nabi Adam ini.
"Itu sebablah semenjak hari itu hingga hari ini iblis menggoda dan menyesatkan manusia. Ini menunjukkan dia tepati janji. Jadi apa nak heran kalau tambah lagi seorang buat karnival pulak, lagi jahat dari iblis,'' katanya dalam satu ceramah yang dihadiri kira-kira 40 hadirin di Kampung Pulau Tiga di sini malam tadi.
Yang turut memberi ceramah ialah Ishak Shaari iaitu pemimpin yang disebut-sebut bakal calon Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah; Yang Dipertua Pas Pasir Salak, Muhaimin Sulam dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd. Halim. - UTUSAN

Doa 'hancur BN/UMNO' kini makan diri, perjuangan Islam Pas makin tersasar

ANTARA sepanduk dipasang Pas yang meminta ahli-ahlinya mendoakan supaya UMNO dan BN dihancurkan.
*****
KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Perjuangan PAS semakin tersasar apabila Pas lebih sanggup mengetepikan matlamat asal kononnya untuk memperjuangkan Islam, semata-mata ingin menjaga hubungannya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Usaha melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam kini semakin lenyap daripada sebutan pemimpin parti itu lebih-lebih lagi untuk menjaga hati pemimpin DAP.
Pengerusi Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, apa yang Pas buat selama kini sudah memakan dirinya sendiri bermula dengan isu Amanat Haji Hadi, Kalimah Allah, Doa Hancur BN/Umno dan yang terbaharu menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan.
"Amanat Haji Hadi telah menyebabkan berlaku perpecahan umat Islam di Malaysia hari ini dan amanat ini makan diri Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) begitu juga dengan isu kalimah Allah, ini semua hasil kerjasama Pas dengan DAP sehingga sanggup untuk menggugurkan prinsip Islam," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, perjuangan Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam kini turut dilupakan dengan menukar ia daripada penubuhan negara Islam kepada negara kebajikan, semata-mata untuk menjaga hati Pengerusi DAP, Karpal Singh yang kurang senang dengan matlamat Pas sebelum itu.
Katanya, pemimpin Pas iaitu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga merupakan Mursyidul Am Pas sanggup menghina penerima BR1M dengan mengumpamakannya seperti 'menabur padi dan hampas kelapa kepada ayam dan lembu'.
Bercakap tentang sokongan rakyat kepada Pas, beliau berkata, kini semakin ramai pengikut Pas yang kecewa dan meninggalkan parti itu kerana tidak lagi yakin dengan perjungan sebenar Pas untuk menegakkan negara Islam.
Katanya, Pas akan menerima akibatnya pada PRU-13 dan tidak mustahil rakyat juga akan menolak Abdul Hadi di kawasannya sama ada di Marang (Parlimen) dan Rhu Rendang (Dewan Undangan Negeri).
Pada PRU-12 Abdul Hadi hanya menang dengan majoriti 2,747 di Marang manakala 2,686 di Rhu Rendang dan beliau sebenarnya pernah kalah di tangan Abdul Rahman yang digelar 'Giant Killer' pada 1984 dan 2004.
"Saya yakin PRU-13 kali ini adalah peluang terbaik kepada rakyat untuk menolak Pas yang telah banyak membawa perpecahan dan menjatuhkan maruah umat Islam," katanya yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Menurutnya, kerjasama Pas bersama DAP dan PKR langsung tidak memberi apa-apa keuntungan kepada Pas malah penyokongnya melihat parti Islam itu hanya menjadi kuda tunggang DAP dan PKR untuk mencapai matlamat mereka menumbangkan BN dan UMNO.
Katanya, Pas pernah diberi peluang memerintah Terengganu untuk tempoh sepenggal, namun hakikatnya tidak ada apa-apapun yang Pas buat sepanjang tempoh pemerintahan selain hanya mengaut kekayaan daripada hasil balak untuk kepentingan pemimpin Pas sahaja.
"Apa yang Pas buat, tiada, di kawasan Marang sendiri, kawasan Abdul Hadi hanya satu masjid yang Pas buat berbanding 54 yang kerajaan BN buat," katanya.
Menurutnya, rakyat hari ini sudah tahu permainan politik Pas yang hanya lantang bersuara untuk menegakkan Islam dan menuduh BN dan UMNO parti yang menolak Islam sedangkan apabila bersama DAP, isu tersebut langsung tidak ditimbulkan.
Bekas anggota Pas (cikgu) Zainon Ismail atau juga dikenali dengan nama CN AL-Afghani mendakwa, Pas ada menandatangani perjanjian rahsia dengan DAP dan PKR untuk menggugurkan terus perjuangan berkaitan hudud dan negara Islam.
Beliau berkata, perjanjian yang dipersetujui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Hadi dan Penasihat DAP Lim Kit Siang itu ditandatangani pada Disember 2009.
"Hudud tidak akan dilaksana jika pakatan pembangkang menawan Putrajaya sebaliknya mereka kata, memadailah guna undang-undang persekutuan sedia ada," katanya dalam ceramah umum di Kampung Seberang Takir di sini malam tadi.
Zainon berkata, Pas hari ini sudah jauh melencong daripada perjuangan asal mereka dan mereka lebih rela tunduk kepada pemimpin bukan Islam berbanding berhadapan dengan kekalahan kerana mahu menegakkan kerajaan Islam.
"Jangan kata kerajaan BN/Umno itu tidak menegak Islam, sejak merdeka Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Malaysia Pertama) telah meletakkan asas Islam di peringkat paling tinggi iaitu sebagai agama Persekutuan," katanya.
Katanya, selepas rakyat Terengganu menolak Pas pada 2004, kini giliran rakyat di Kedah pula yang bangkit dan kecewa dengan pemerintahan Pas yang gagal membawa perubahan di negeri itu sejak sepenggal lalu. - BERNAMA

Islam: Harun minta Guan Eng buktikan

KUALA TERENGGANU 27 Feb. - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib mahu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuktikan kepada rakyat khususnya umat Islam bahawa parti itu benar-benar turut memperjuang dan menegakkan agama Islam.
Tegasnya, bukti itu penting bagi meyakinkan umat Islam mengenai dakwaan Guan Eng, kononnya DAP turut berperanan dalam segala hal berkaitan Islam termasuk hukum syarak terutama di negeri yang diterajuinya, Pulau Pinang.
Menurutnya, umat Islam akan mempercayai apa yang dinyatakan oleh pemimpin DAP itu sekiranya dia mempunyai bukti kukuh.
Jika sebaliknya, ujar beliau, Guan Eng tidak wajar mengeluarkan kenyataan bahawa DAP adalah sebuah parti yang memperjuang dan menegakkan Islam di negara ini kerana boleh menimbulkan kekeliruan.
"Kita harap dia dapat tunjukkan bukti, kita akan percaya jika dia ada bukti khususnya di negeri yang dia perintah (Pulau Pinang).
"Dia kenalah tunjukkan sikapnya terhadap Islam termasuk berkaitan peruntukan kepada kegiatan agama Islam khususnya di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas reaksi bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menyifatkan kenyataan Guan Eng bahawa DAP sebuah parti yang memperjuang dan menegakkan Islam sebagai memperbodohkan orang Melayu.
Ditanya sama ada kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP telah memperjuangkan Islam di negeri itu, Harun bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya menyerahkan kepada pihak media untuk membuat penyiasatan sendiri.
"Kita serah kepada anda dan pihak medialah buat siasatan, pergi siasat di negeri berkenaan (Pulau Pinang) dan selepas itu, laporkan dalam akhbar," ujarnya.
Harun sekali lagi mengulangi ketegasannya untuk tidak akan bertolak-ansur dengan sesiapa sahaja termasuk DAP dalam isu kalimah Allah sambil mengulangi bahawa kalimah itu adalah hak eksklusif umat Islam, bukan untuk agama lain.
Beliau sekali lagi berkata, kerjasama Pas dengan DAP dan juga Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang hanya untuk kepentingan politik semata-mata, bukan kerjasama agama.

Sambutan ceramah pembangkang di Bangi, Tampin hambar

Ceramah Pas yang hanya disaksikan sekitar 30 orang di Felda Bukit Rokan Utara, Gemas, Negero Sembilan, semalam. 
*****
BANGI 27 Feb. - Ceramah pakatan pembangkang di Padang Awam Bandar Sri Putra 5, di sini malam tadi berlangsung dalam keadaan hambar dengan dihadiri sekitar 50 orang sahaja.
Ternyata ceramah yang diadakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) itu tidak berjaya menarik kehadiran ramai ahli parti itu dan penduduk setempat.
Ceramah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dan ADUN Kajang, Lee Khim Shee juga tidak berjaya menarik perhatian kira-kira 2,000 penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bandar Baru Bangi, milik kerajaan negeri Selangor yang tinggal di asrama tidak jauh daripada padang itu.
Dalam ceramahnya, Shafie yang tiba pukul 11.30 malam antara lain mempertahankan tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan dan manifesto pakatan pembangkang yang diumumkan di Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, di TAMPIN, Pas Negeri Sembilan semakin angkuh dengan melaungkan pakatan pembangkang akan mengambil alih negeri ini dalam tempoh enam minggu lagi dalam ceramah yang hanya disaksikan sekitar 30 orang di Felda Bukit Rokan Utara, malam semalam.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Taufek Abd. Ghani dalam ucapannya berkata, selepas enam minggu nanti, pakatan pembangkang sudah pun berkuasa dan setiap ceramah akan diadakan di dewan besar.
Ceramah yang diadakan sempena majlis pelancaran jentera pilihan raya Unit Peti Undi (UPU) Felda Bukit Rokan dan penjelasan isu Kalimah Allah itu juga tidak dihadiri pemimpin DAP mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Janji sekadar 'syok sendiri'

ALOR SETAR 27 Feb. - Pemuda Gerakan negeri menyifatkan janji kerajaan Pas Kedah membina lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik kepada rakyat berpendapatan rendah serta sederhana di negeri ini sebagai 'syok sendiri' kerana sehingga kini projek tersebut gagal dimulakan.
Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, projek yang dimaksudkan ialah pembinaan apartmen kos rendah di Bandar Darul Aman, Jitra dan rumah kos rendah serta mampu milik Bandar Tunku Puteri Pokok Sena yang masing-masing dilancarkan hampir empat tahun lalu.
Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah mengumumkan dan melancarkan kedua-dua projek itu pada 2009 dan 2010 tetapi kawasan projek di Bandar Darul Aman kini menjadi tapak pembuangan sampah manakala papan tanda projek di Bandar Tunku Puteri tidak lagi kelihatan.
"Mereka membuat pelancaran tetapi sekadar syok sendiri kerana masih gagal dimulakan walaupun masalah melibatkan kedua-dua projek tersebut pernah dibangkitkan Pemuda Gerakan Kedah Jun tahun lalu.
"Pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik merupakan projek yang kritikal untuk rakyat kerana kemudahan asas itu perlu disediakan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Keng Liang, pihaknya kesal dengan kegagalan kerajaan Pas Kedah memula dan menyiapkan kedua-dua projek berkenaan walaupun telah dibawa ke pengetahuan mereka hampir sembilan bulan lalu.
Malah, katanya, Azizan memberi alasan tidak kukuh kerana sebelum ini ada menyatakan kelewatan pelaksanaan projek di Bandar Darul Aman berikutan perubahan perancangan iaitu dari segi reka bentuk dan pelan pembangunan rumah.
"Sekali pun hendak mengubah reka bentuk rumah perlu mendapat kelulusan perancangan dan pelan, tempoh yang diperlukan bagi tujuan itu lazimnya mengambil masa sekitar dua bulan sahaja.
"Projek tersebut sepatutnya sudah boleh dimulakan kerana hampir sembilan bulan dibangkitkan tetapi tinjauan kami di tapak projek kelmarin masih tiada sebarang tanda akan bermula," katanya.
Menurut beliau, siasatan pihaknya mendapati kerajaan negeri pada masa ini didakwa dibebani hutang hampir RM3 bilion iaitu yang tertinggi sejak pakatan pembangkang menerajui negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda Gerakan negeri menggesa kerajaan Pas Kedah memberikan penjelasan kepada rakyat sama ada menghadapi krisis kewangan sehingga kedua-dua projek itu gagal dilaksanakan.
"Apakah ketidakmampuan kerajaan negeri melaksanakan projek perumahan tersebut kesan daripada beban hutang tinggi yang meningkat hampir RM1 bilion iaitu hampir 50 peratus sejak di bawah pentadbiran pakatan pembangkang?" soalnya.

Kerajaan Pas dipersoal

KOTA BHARU 27 Feb. - Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mempersoalkan tindakan kerajaan Pas Kelantan yang meluluskan tanah seluas 45.6 hektar di Pasir Pekan Hilir kepada Liziz Standaco Sdn. Bhd. (Liziz Standaco) meskipun syarikat tersebut gagal menjayakan projek dan perjanjian yang dibuat sebelum ini.
Presidennya, Azmi Ali berkata, urus niaga itu sepatutnya tidak berlaku, sebaliknya masih banyak syarikat bumiputera dan agensi kerajaan negeri yang berupaya memajukan tanah tersebut sekiranya diberi peluang.
Selain itu, beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang mendakwa tanah tersebut bukan milik rakyat sedangkan kebanyakan kawasan di situ telah diusahakan dengan aktiviti pertanian, malah ada mengemukakan permohonan geran sejak 1990-an.
"Dia telah mengaku bahawa tanah itu milik kerajaan. Kita tidak menafikan itu tanah kerajaan kerana persoalan yang timbul sekarang adalah kenapa beri pada syarikat sama sedangkan sudah terbukti projek di Lembah Sireh tidak berjaya?
"Selain itu, rakyat juga sudah memohon geran tanah sejak berpuluh tahun dulu. Mereka sudah bayar premium dan mengusahakan pertanian di situ, malah kerajaan negeri kata bertani satu ibadah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad yang mengesahkan kerajaan Pas Kelantan telah meluluskan 286.4 hektar tanah di Lembah Sireh kepada syarikat berkenaan termasuk kawasan seluas 45.6 hektar di Pasir Pekan Hilir.
Pada Jumaat lalu, lebih 100 penduduk dan peneroka tanah di Pasir Pekan Hilir mengemukakan bantahan terhadap tindakan kerajaan Pas Kelantan yang memindah milik tanah seluas 400 hektar di tebing Sungai Kelantan kepada tiga syarikat swasta bukan milik bumiputera.
Sebelum itu, Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad tampil mengemukakan bukti berhubung tindakan kerajaan negeri memindah milik sebidang tanah di Lembah Sireh kepada syarikat itu dengan perancangan projek bernilai RM2 bilion.
Lembah Sireh merupakan projek kerjasama antara kerajaan negeri dengan Liziz Standaco yang mana kerajaan negeri bersetuju menyerahkan kira-kira 400 hektar tanah di tebing Sungai Kelantan untuk dimajukan.
Walau bagaimanapun, penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 sehingga Disember 2011 mendapati Liziz Standaco belum melaksanakan komponen projek fizikal yang dijanjikan.
Selain itu, LKAN turut mendedahkan imbuhan kewangan dan pembangunan fizikal bernilai lebih RM350 juta yang perlu diberikan syarikat itu kepada kerajaan negeri seperti dijanjikan juga masih belum ditunaikan.
Sementara itu, Azmi berkata, Ahmad perlu bertanggungjawab dengan meletak jawatan serta memberikan penjelasan kepada rakyat apa tujuan tanah itu diserahkan kepada syarikat berkenaan.
"Ini adalah tragedi kepada rakyat Kelantan kerana kita tidak melihat apa rasionalnya. Timbalan Menteri Besar perlu meletak jawatan atau berdepan dengan kemarahan rakyat," tegas beliau.

KM Pulau Pinang kian terdesak - Kheng Sneah

PULAU PINANG 27 Feb. - Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilihat semakin terdesak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas 'mengugut' mahu menyaman Kerajaan Persekutuan sekiranya gagal membenarkan negeri ini melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Apa yang menghairankan, menurut Setiausaha Gerakan negeri, Goh Kheng Sneah, perkara itu turut dijanjikan DAP dalam manifesto pilihan raya umum 2008 namun tidak dilaksanakan sehingga kini.
"Sekarang Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP pula begitu mudah meletakkan kesalahan ke atas Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng mendesak Kerajaan Pusat dan SPR melaksanakan pilihan raya bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Jika tidak, tegas beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang tiada pilihan selain membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan seperti yang dilakukan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan Kerajaan Pas Kelantan.
Menurutnya, Tommy Thomas akan menjadi peguam kerajaan negeri untuk memfailkan saman tersebut di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh dua minggu lagi.
Kheng Sneah memberitahu, beliau terkejut dengan tindakan Guan Eng itu dan menggesa Ketua Menteri berkenaan berhenti memberi maklumat tidak tepat kepada rakyat.
Apatah lagi, jelas beliau, manifesto pakatan pembangkang baru-baru ini tidak menyebut Pulau Pinang mahu mengadakan pilihan raya PBT jika berjaya menawan Putrajaya selepas pilihan raya umum akan datang.
"Adakah isu pilihan raya PBT yang sengaja dimainkan Guan Eng dan DAP untuk meraih sokongan rakyat ini tiada kaitan langsung dengan pakatan pembangkang?" katanya.
habis.

1,001 warga emas saman kerajaan Selangor, MB

SEBAHAGIAN warga emas yang menuntut caruman takaful sebanyak RM2.5 juta dijanjikan pakatan pembangkang dalam manifesto kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu selepas memfailkan saman terhadap kerajaan negeri di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam. 
*****
SHAH ALAM 27 Feb. - Sebanyak 1,001 warga emas di Selangor memfailkan saman terhadap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menuntut caruman takaful berjumlah RM2.5 juta yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.
Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pihak plaintif yang diketuai oleh Akhirudin Abd. Rashid, 63, menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas sebagai defendan pertama dan Abdul Khalid pula defendan kedua.
Dalam tuntutan saman itu, pihak plaintif mendakwa, mereka tidak menerima caruman takaful sebanyak RM2,500 seorang seperti yang dijanjikan oleh ketiga-tiga parti politik berkenaan dalam kempen pilihan raya itu kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Pihak plaintif yang terdiri daripada penduduk Shah Alam, Gombak, Tanjung Karang, Ampang, Hulu Langat dan Kuala Selangor mendakwa, mereka meletakkan harapan yang tinggi terhadap manifesto tersebut.
Mereka mendakwa, Abdul Khalid sebagai ketua eksekutif kerajaan negeri telah menyalahgunakan kuasa apabila tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan kerajaan Selangor membuat caruman takaful kepada pihak plaintif.
Akhirudin yang merupakan seorang bilal di Taman Bukit Subang berkata, beliau mahu kerajaan negeri melaksanakan apa yang dijanjikan dengan kadar segera dan tidak memperbodohkan mereka.
''Jangan memperbodohkan kami sebagai orang tua, kami minta kerajaan Selangor melaksanakan janji yang ditaburkan, jangan janji tinggal janji.
''Kami pun bukannya nak menongkat langit. Mungkin esok, mungkin lusa kami akan mati, tak merasa apa yang dikata, kita ni tertipu sampai mati. Inilah kesannya pembohongan yang PKR buat, kami tergoda sejak dahulu sehingga sekarang,'' katanya.
Sementara itu, peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili pihak plaintif berkata, mereka merupakan kumpulan warga emas pertama di Selangor yang memfailkan saman tersebut daripada keseluruhan 300,000 warga emas yang berdaftar di negeri itu.
Pengerusi Persatuan Bertindak Warga Emas Selangor, Datuk Ismail Kijo pula berkata, pada peringkat awal pihaknya akan mendaftarkan 50,000 warga emas yang berpendapatan rendah di Selangor untuk memfailkan tuntutan caruman takaful itu di mahkamah.