2 April 2013

Janji pembangkang sekadar omong kosong

MELIHAT poster yang menggandingkan dua Ahli Parlimen, Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Zuraidah Kamaruddin (PKR-Ampang), dengan slogan 'Harga Minyak Turun', ramai hanya mampu tersenyum sinis kerana teringat kata-kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim - Manifesto Bukan Janji.
Bagaimanapun, kita perlu bersikap adil terhadap slogan 'Harga Minyak Turun' yang dijanjikan kedua-dua Ahli Parlimen ini di hampir semua tempat strategik di daerah Gombak dan Ampang, walaupun tidak dinyatakan berapa kadar penurunannya… kerana satu sen pun bermakna turun juga harga.
Kita semua tahu, harga minyak di Malaysia ketika ini adalah kedua terendah di Asia Tenggara, di belakang Brunei. Tanpa mengambil kira negara kecil tapi kaya itu, dengan harga RM1.90 seliter bagi Ron95 dan RM1.80 seliter bagi diesel, harga minyak kita adalah lebih RM1 jauh lebih murah daripada Indonesia yang berada di tempat ketiga, malahan Singapura yang kaya raya juga menjual Ron95 pada harga RM5.28 seliter dan diesel, RM3.99 seliter.
Hakikatnya, kerajaan telah memperuntukkan subsidi begitu besar untuk minyak kerana tanpa kawalan subsidi dan cukai, harga semasa Ron95 ialah RM2.95 seliter, manakala diesel RM2.85.
Persoalan perlu ditanya kepada pembangkang yang menjanjikan "hari ini kita menang, esok minyak turun" ialah berapa kadar penurunannya kerana setiap subsidi 10 sen saja, jumlah perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan akan meningkat mengikut juta liter yang dijual. Sekiranya 100 juta liter dijual, maka RM10 juta juga peningkatan perbelanjaan kerajaan.
Lebih membimbangkan harga minyak dunia tidak menentu. Dunia pernah mengalami krisis kekurangan bekalan ketika perang membabitkan negara Arab, justeru apakah yang akan dilakukan pembangkang sekiranya harga minyak dunia tiba-tiba melambung semula… adakah harga minyak Malaysia akan terus turun seperti dijanjikan?
Hakikat yang perlu diinsafi semua ialah harga minyak naik 10 sen saja, tambahan subsidi yang perlu ditanggung kerajaan ialah RM2.3 bilion. Dan ini hanya satu daripada kesan daripada puluhan janji pembangkang yang sekadar memetik angka dari 'bintang' , dan lebih menyedihkan janji yang diuar-uarkan di negeri pentadbiran sendiri sejak lima tahun lalu masih belum dilunaskan hatta untuk membantu warga emas, ibu tunggal dan pelajar sekolah.
Melihat secara serius kepada manifesto pembangkang yang dicetak dengan membelakangkan beberapa golongan penting termasuk orang kurang upaya (OKU), empat teras yang dijanjikan pembangkang iaitu rakyat bersaudara, ekonomi rakyat, kesejahteraan rakyat dan kerajaan rakyat - nyata ia terlalu umum dan cadangan dibuat dengan secara 'ambil mudah', tidak munasabah dan langsung tidak mengambil kira kesan kepada ekonomi secara keseluruhan, apa lagi kedudukan kewangan negara.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti dalam pengurusan kewangan negara secara berhemah, apa lagi selepas mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus KDNK pada 2009 kepada 4.5 peratus tahun lalu, dan komited mengurangkan kepada empat peratus pada 2013 dan tiga peratus pada 2015.
Ramai sukar menterjemah jika sekadar melihat angka, tapi hasil initiatif kerajaan ini telah meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus dan membolehkan ia diagihkan kepada rakyat mengikut keperluan terutama membabitkan pembinaan fasiliti dan infrastruktur penting seperti sekolah, jalan raya, bekalan elektrik dan air, serta pemberian pelbagai jenis bantuan kepada rakyat.
Jika kita mengambil kira cadangan yang dibentangkan manifesto pembangkang, defisit negara dijangka meningkat 9.3 peratus (RM93.04 bilion) dan hutang negara dijangka meningkat kepada 63.9 peratus KDNK. Lebih parah, kerajaan akan mengalami defisit semasa iaitu hasil tidak mencukupi untuk membiayai belanja mengurus.
Antara taburan janji pembangkang iaitu cadangan menghapuskan tol dan PTPTN; penurunan tarif elektrik dan harga petrol; pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi; dan pelaksanaan gaji minimum yang lebih tinggi (RM1,100 berbanding Kerajaan BN pada RM900) bukan saja tidak dapat diterima syarikat terutama industri kecil dan sederhana, malahan ia akan menyebabkan rencatan dan pengucupan ekonomi negara.
Janji paling manis pembangkang ialah meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah kepada RM4,000 sebulan pada akhir tempoh lima tahun dan untuk menunaikan janji itu saja, pembangkang terpaksa menanggung RM48 bilion setahun bagi menampung perbezaan pendapatan.
Angka ini berdasar pengiraan akan ada seramai 2.2 juta isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan berbanding 4.4 juta isi rumah pada masa ini iaitu 14 peratus berada di bawah pendapatan RM1,000; 50 peratus antara RM1,001- RM3,000; 37 peratus antara RM2,001- RM3,000.
Banyak lagi janji pembangkang yang tidak realistik dan perlu dipersoal secara serius, penghapusan tol yang boleh mencipta lebih banyak lebuh raya alternatif yang semakin diperlukan rakyat hanya sekadar omong kosong, kerana tidak sampai sebulan manifesto dibentang, Kerajaan DAP Pulau Pinang enggan berganjak daripada pendirian supaya tol tetap dikenakan selepas terowong bawah laut negeri itu siap dibina.
Cadangan menghapuskan hutang PTPTN dan memberi pendidikan percuma bagi pelajar pengajian tinggi juga ibarat menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri, kerana tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi membekukan pinjaman daripada tabung pendidikan itu kepada pelajar Unversiti Selangor (Unisel) dan Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada Jun tahun lalu, sudah cukup bukti terhadap kemampuan kerajaan negeri di bawah pentadbiran pembangkang ini.
Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said ketika membekukan bantuan itu cuma berkata: "Kami bagi peluang pada pakatan pembangkang melaksanakan apa yang dirancang oleh mereka dan bukan atas sebab agenda politik. Kami nak mereka buktikan kerajaan Selangor boleh melaksanakan sistem pendidikan percuma dan tanpa pinjaman PTPTN kepada pelajar baru mereka nanti".
Cadangan untuk menghapuskan PTPTN saja akan menyebabkan kerajaan menanggung hutang RM30 bilion, manakala tindakan memberi pendidikan percuma juga amat dangkal kerana 'mentaliti subsidi dan percuma' akan melahirkan golongan rakyat 'malas dan terus bergantung kepada orang lain'.
Tindakan yang memberi segalanya percuma terutama kepada generasi baru juga hanya akan memburukkan krisis kebanjiran pekerja asing ke negara ini kerana anak muda Malaysia semakin 'dimanja' dan tidak mahu lagi 'mengotorkan tangan' dengan kerja-kerja kasar.
Manifesto pembangkang sebenarnya indah khabar daripada rupa, ia bukan saja tidak realistik kerana tidak mengambil kira implikasi kewangan dan kesan ke atas ekonomi serta sosio rakyat, bahkan ia akan menjerumuskan kerajaan ke dalam krisis hutang.
Malaysia bukan lagi negara yang baru hendak membangun, rakyat negara ini sudah memasuki generasi ketiga yang semakin ramai tidak lagi tahu apa erti kesusahan hidup. Semua taburan janji dalam manifesto pembangkang hanya akan meningkatkan 'mentaliti subsidi' dalam kalangan rakyat, serta sikap enggan bekerja keras terutama generasi baru. Adakah ini yang kita mahukan?

PRU-13: Rakyat perlu tolak 'wakil rakyat pelarian' - Ahmad Bashah

BALING 1 April - Rakyat perlu menolak wakil rakyat yang bertanding di kawasan berlainan pada setiap pilihan raya umum kerana tindakan itu menunjukkan mereka hanya berminat menjadi wakil rakyat daripada berbakti kepada rakyat.
Menyifatkan wakil rakyat sedemikian sebagai 'pelarian', Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, mereka hanya mahu bertanding di kawasan yang dilihat ada peluang untuk menang kerana takut kalah.
"Pengundi perlu melihat mereka ini yang sering berpindah-randah setiap kali pilihan raya umum, kerana mereka gagal menjadi wakil rakyat yang berjasa kepada pengundi di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis
'Penggerak PRU-13 Parlimen Baling' di sini hari ini.
Beliau mengulas ura-ura Ahli Parlimen Kuala Kedah yang juga Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu akan bertanding di kawasan lain di Kedah dan Ahli Parlimen Machang yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail juga akan bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Sementara itu, Ahmad Bashah yakin pada PRU-13, rakyat akan kembali memberikan sokongan kepada UMNO dan BN untuk membangunkan kembali negeri Kedah berikutan rakyat kini sedar mengenai kegagalan kerajaan negeri sekarang diterajui Pas dalam mentadbir negeri.
Sempena majlis itu, Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya BN bagi Parlimen Baling.
Yang turut hadir pada majlis itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah dan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim. - BERNAMA

PRU-13: Cetus huru-hara belakangi masyarakat madani

KUALA LUMPUR 1 April - Hasrat pakatan pembangkang yang mahu mencetuskan huru-hara sekiranya tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jelas bertentangan dengan konsep masyarakat madani (bertamadun) yang pernah menjadi aspirasi ketuanya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, masyarakat madani pernah diperjuangkan sendiri oleh Anwar sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri tetapi kini konsep tersebut ditolak belakang oleh para penyokongnya dan beliau sendiri.
“Kita amat memuji Eropah, Australia dan beberapa negara maju yang lain yang tidak menggunakan demonstrasi sekiranya tewas dalam mana-mana pilihan raya.
“Kita mahu pembangkang di negara ini mengikut aspirasi Anwar sendiri yang pernah memperkenalkan konsep masyarakat madani di negara ini yang dipandang tinggi suatu masa dahulu,’’ katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai hasrat parti pembangkang yang didakwa cuba mencetuskan suasana huru-hara semasa PRU-13 selepas tersebarnya risalah mengandungi cara untuk mewujudkan ketegangan di pusat-pusat mengundi di kawasan tertentu.
Penyebaran risalah yang mengandungi tiga peringkat itu didedahkan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah, 29 Mac lalu. - UTUSAN ONLINE

Khairul Fahmi tidak boleh diteladani - Mufti Selangor

KENYATAAN Khairul Fahmi Mat Som menerusi twitternya pada 27 Mac lalu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.
KUALA SELANGOR 1 April - Kenyataan Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som yang mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitter baru-baru ini tidak harus diteladani oleh seluruh umat Islam.
Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah bersifat sebaik-baik teladan dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkara negatif.
"Tidak sepatutnya Rasulullah SAW dikaitkan dengan sesuatu perkara yang tidak baik. Ini kerana baginda adalah bersifat dengan qudwatul hasanah iaitu ikutan yang terbaik," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan peralatan falak Kelab Falak Sekolah Daerah Sabak Bernam, di sini hari ini.
Beliau berkata, sebaik-baiknya setiap ulasan yang ingin dikeluarkan perlu berhati-hati agar tidak disalah erti. - UTUSAN

PRU-13: 70 guru, pelajar pondok agama isytihar keluar Pas

HANAPI Mamat (dua kanan) menerima borang keahlian UMNO daripada bekas penyokong Pas, Mohd. Hafni Zaini dalam satu majlis ringkas di Tendong, Pasir Mas, Kelantan malam tadi. - UTUSAN
*****
PASIR MAS 1 April - Sebanyak 70 anggota Pas yang terdiri daripada guru dan pelajar sebuah sekolah pondok di sini, malam tadi mengisytiharkan mereka keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO sebagai wadah perjuangan.
Bagi mereka tiada parti lain selain UMNO yang mampu memartabatkan sinar Islam selepas Pas gagal berbuat demikian sejak memerintah Kelantan pada 1990.
Selain itu bagi mereka lagi terlalu banyak janji palsu yang ditaburkan pemimpin Pas dan selama itu mereka melihat jasa kerajaan Pusat dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat benar-benar telah menambat hati.
Wakil guru dan pelajar pondok di Tal Tujuh di sini, Mohd Zaidi Shafie berkata budi UMNO dan kerajaan pusat dalam memartabatkan sinar Islam dan membantu rakyat telah menyebabkan mereka bertukar fikiran untuk keluar daripada Pas.
"Memang betul saya pengikut setia Tok Guru Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan selalu mengikut programnya. Apabila saya membuat perbandingan akhirnya kami sepakat Pas tidak boleh membela nasib kami dan tidak mampu memartabatkan Islam.
"Jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat besar terutama pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia dan banyak lagi.
"Ini telah membuka hati kami para guru dan pelajar pondok di sini dan kami yakin UMNO boleh membawa negara, bangsa dan agama ke tempat yang selayaknya," katanya pada majlis penyerahan borang keanggotaan UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat di Kampung Hutan Chengal, Tendong di sini malam tadi.
Mohd Zaidi berkata lebih menyedihkan Pas hanya pandai menabur janji namun tidak pernah ditunaikan demi rakyat di Kelantan.
Sementara itu Hanafi berkata keikhlasan guru dan pelajar pondok itu untuk menyertai UMNO bukan dipaksa oleh mana-mana pihak tetapi lahir daripada kehendak mereka sendiri.
"Saya jangka lebih ramai anggota Pas akan keluar parti dan menyertai UMNO.
Penyertaan guru dan pelajar sekolah pondok ini diharap dapat membuka mata anggota Pas untuk sama-sama berjuang dalam UMNO," katanya. - BERNAMA

Rakyat perlu tolak PKR dikuasai sekeluarga dalam PRU-13

TANJONG KARANG 31 Mac - Rakyat negeri ini perlu menolak Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang jelas mengamalkan konsep nepotisme atau bersifat seperti parti keluarga dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini terbukti apabila tiga ahli keluarga Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu beliau sendiri, isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar bertanding dalam pilihan raya yang sama.
Amalan itu lebih terserlah apabila Wan Azizah baru-baru ini membayangkan kemungkinan bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di mana Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh juga pernah berhasrat untuk bertanding bagi kerusi Parlimen atau DUN atau kedua-duanya sekali.
"Selain ibu bapa, ada desas-desus mendakwa seorang lagi anak mereka akan bertanding di sini. Kalau macam itu, kenapa mereka tidak bawa sekali Nurul Izzah (Ahli Parlimen Lembah Pantai) dan menantu datang bertanding di negeri ini.
"Kalau perkara ini benar-benar terjadi, maka Selangor akan jadi tempat berkumpul sebuah keluarga dalam politik," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini hari ini.
Akhbar baru-baru ini melaporkan Wan Azizah membayangkan kemungkinan bertanding di kerusi DUN Selangor pada PRU-13 dan dijangka dilantik menjadi Menteri Besar jika pakatan pembangkang berjaya mengekalkan kuasa mereka.
Beliau yang dikaitkan dengan DUN Sementa dan satu kerusi DUN di Shah Alam juga hanya tersenyum ketika ditanya mengenai perkara berkenaan.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon BN, Datuk Pirdaus Ismail.
Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.
Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, jika benar Wan Azizah bertanding di Selangor, keadaan itu akan menjadikan negeri ini diwakili seorang parasit politik yang sudah tidak laku di kawasannya dan sukar mendapat sokongan pengundi.
"Jika begitu keadaannya, anak Selangor yang selama ini bersusah payah memajukan negeri ini hanya mampu gigit jari melihat orang lain mewakili negeri ini," katanya.

Pembangkang kini semakin gerun

Shahrizat Abdul Jalil beramah mesra dengan orang ramai semasa merasmikan program Gagasan Aspirasi Usahawan Online di Subang Jaya dekat Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 31 Mac - Pembangkang kini semakin gerun dengan sokongan tinggi rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sanggup merancang pelbagai taktik kotor bagi mencetuskan keadaan huru-hara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sikap jijik itu dibuktikan menerusi perancangan mengeksploitasi dakwat kekal yang akan digunakan dalam pilihan raya umum akan datang seperti didedahkan sebuah blog semalam.
Menurut beliau, tindakan itu juga menunjukkan pembangkang sanggup menafikan hak mengundi rakyat semata-mata mahu berkuasa.
Namun, jelasnya, strategi itu akan dilumpuhkan Wanita BN yang akan bergerak dari rumah ke rumah bagi mendedahkan taktik tersebut kepada seluruh pengundi.
"Saya akan menggerakkan semua jentera Wanita seluruh negara untuk sebarkan maklumat ini supaya dakyah pembangkang dapat ditepis sekali gus memastikan semua pengundi mendapat hak mereka dan boleh melaksanakan tanggungjawab dengan aman," katanya.
Shahrizat berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Gagasan Aspirasi Usahawan Online, Sohonita anjuran Majlis Pembangunan Wanita Keluarga Kebangsaan (MPWKK), di sini hari ini.
Beliau mengulas taktik pembangkang yang didakwa akan mengeksploitasi penggunaan dakwat kekal bagi mencetuskan keadaan huru-hara dengan cara masuk ke taman perumahan atau kampung untuk mengajar kaum ibu kaedah mencalit dakwat di jari.
Shahrizat berkata, bagi mengekang usaha jahat pembangkang itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan tidak berlaku ketirisan atau kecurian dakwat sebenar yang bakal digunakan pada hari mengundi.
Dalam perkembangan lain, Shahrizat yang juga Pengerusi MPWKK berkata, sebanyak 788 wanita yang berminat dengan perniagaan online sudah berdaftar dengan Sekretariat Kebangsaan Sohonista sejak dilancarkan 16 Februari lalu.
Katanya, ekoran sambutan menggalakkan itu pihaknya akan meneruskan siri jelajah bagi mempromosi inisiatif tersebut ke seluruh negara.
"Sasaran kita ialah wanita pelbagai peringkat umur yang tidak mampu keluar bekerja kerana sebab-sebab tertentu, namun ada minat dan kepakaran untuk berniaga secara online yang boleh menjana keuntungan," katanya.

Rakyat perlu kaji mengapa Sidek Baba tinggalkan Anwar

KUALA LUMPUR 31 Mac - Rakyat perlu membuka mata mengapa seorang yang sentiasa mencari kebenaran seperti tokoh ilmuan dan pendakwah, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba akhirnya mengambil keputusan meninggalkan bekas sahabat karibnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hampir 40 tahun berkawan.
Bekas peguam bela Anwar, Datuk Zulkifli Noordin berkata, jika benar Ketua Pembangkang mempunyai moral yang bersih, adalah mustahil ilmuan dihormati dan pendakwah yang mempunyai budi pekerti 'tidak tercalar' seperti Sidek sanggup meninggalkan sahabat karibnya itu.
Beliau yang mengaku salah seorang daripada 28 saksi hidup yang ditemui Sidek dalam perjalanan mencari kebenaran tentang moral Anwar berkata, mustahil bagi bekas Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu meninggalkan Anwar tanpa sebab.
"Dalam pencarian mencari kebenaran, saya salah seorang individu yang pernah kenal rapat dengan Anwar yang ditemui Sidek. Dia bertanya mengapa saya tidak mewakili Anwar dalam kes liwat kedua membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan seperti mana kes tahun 1998.
"Saya cerita kejadian sebenar apa yang berlaku di Hotel Quality, Shah Alam sebaik sahaja Mohd. Saiful membuat laporan polis. Bagaimana Anwar jadi tidak tentu arah sehingga berlaku pertengkaran dengan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di depan kami.
"Kejadian-kejadian ini menimbulkan kesangsian kepada saya bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan perilaku Anwar termasuk soal surat akuan bersumpah palsu dalam usaha Anwar mahu menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Zulkifli mengulas pendedahan Sidek bahawa keruntuhan moral merupakan satu daripada tiga faktor utama mengapa beliau meninggalkan Anwar walaupun pada satu ketika sanggup ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari turut meminta rakyat Malaysia agar menggunakan akal yang waras bagi menilai mengapa bekas sahabat karib serta pengasas-pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini meninggalkan Ketua Pembangkang itu.
Anuar yang juga mengakui beliau dipanggil Sidek selepas meninggalkan PKR berkata, pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu merupakan tokoh ilmuan yang sangat dihormati Anwar sendiri tetapi akhirnya diberi kesedaran oleh Allah SWT.
"Saya agak lama menjadi Setiausaha Sulit Anwar dan kami banyak menyimpan rahsia beliau. Anwar bijak menyimpan 'kuku' bila bertemu Sidek kerana beliau menghormati sahabat karibnya itu dan antara perkara penting saya dedahkan ialah tentang kejadian di Hong Kong.
"Kejadian itu jugalah yang menjadi pendorong kuat untuk saya sangsi dengan moral Anwar sebelum saya sendiri mula menyiasat dan kemudian bertindak meninggalkan PKR. Tingkah laku Anwar sebenarnya sangat berbeza dengan imej yang ditampilkan di khalayak ramai," katanya.
Sementara itu, bekas pengasas ABIM, Ustaz Ismail Mina Ahmad memberitahu, tokoh agama yang juga merupakan seorang pendidik itu mengambil keputusan meninggalkan Anwar kerana rasa tanggungjawab beliau terhadap masyarakat.
"Sebagai seorang pendidik, Sidek merasakan sememangnya tanggungjawab beliau untuk menyelamatkan masyarakat daripada terus tertipu dengan imej Islam palsu yang dibawa Anwar.
"Saya telah menceritakan secara lanjut kepada Sidek tentang konsep pluralisme yang dipegang Anwar bagi menyamaratakan kaum dan agama di negara ini ketika pemimpin itu berucap di London School of Economics (LSE) pada 2010.
"Sememangnya Sidek sendiri tahu konsep tersebut tidak patut diperjuangkan oleh seorang pemimpin yang beragama Islam seperti Anwar," jelasnya.
Menurut Ismail, Sidek telah berusaha selama beberapa tahun mengumpulkan maklumat untuk mendapatkan kepastian sebelum membuat keputusan meninggalkan sahabatnya itu.
"Sidek tidak hanya mendengar cakap-cakap kosong, sebaliknya beliau pergi berdialog serta berhujah sendiri dengan sumber yang diyakini termasuk diri saya sendiri yang sememangnya mempunyai maklumat yang cukup tentang helah Anwar," ujarnya.

DAP mesti iktiraf aspirasi perjuangan Pas

KUALA LUMPUR 31 Mac - DAP mesti mengiktiraf aspirasi perjuangan Pas yang termaktub dalam perlembagaan parti itu terlebih dahulu sebelum diberi kebenaran menggunakan lambang parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Aktivis Pas, Norman Toha berkata, perkara pokok Perlembagaan Pas digariskan dalam Fasal 3 iaitu dasar parti ialah Islam dan Fasal 4 iaitu seruannya ialah 'Allahu akbar'.
Menurut beliau, calon-calon DAP hendaklah akur dengan Fasal 5 (1) Perlembagaan Pas iaitu "memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah SWT".
Jelasnya, DAP juga perlu mematuhi Fasal 7 (1) Perlembagaan Pas yang menggariskan hukum tertinggi dalam pegangan Pas adalah al-Quran, sunah, ijmak ulama dan qiyas.
"Saya setuju apabila Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyatakan calon DAP boleh guna lambang Pas dengan syarat minta kebenaran dahulu.
"Dalam masa sama, Pas juga sepatutnya meletakkan syarat-syarat tambahan iaitu DAP mesti mengiktiraf empat fasal penting tersebut dalam perlembagaan parti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan hasrat DAP mahu menggunakan lambang Pas dalam PRU-13 sebagai kejayaan beliau mendidik pemimpin parti tersebut.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam akaun Twitternya baru-baru ini, menyuarakan hasrat bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggantung pendaftaran DAP yang kini disiasat ekoran dakwaan berlaku kesilapan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember lalu.
Sementara itu, Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Pas tidak perlu meletakkan sebarang syarat kepada mana-mana calon DAP yang ingin menggunakan lambang 'bulan' dalam PRU-13.
"Itu tanda keikhlasan Pas kepada rakan-rakan di dalam pakatan pembangkang," katanya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan tindakan Pas membenarkan calon DAP menggunakan lambang 'bulan' tidak merugikan Pas dan tidak menjejaskan dasar perjuangan parti itu.

Guan Eng serlah ketakutan?

BALIK PULAU 31 Mac - Tindakan Lim Guan Eng memilih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota untuk 'berentap' dengan Teng Chang Yeow dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, membayangkan kebimbangan Ketua Menteri itu untuk berhadapan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, pemilihan DUN Padang Kota jelas menunjukkan Guan Eng sendiri tidak yakin dengan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan pakatan pembangkang di negeri ini.
Tegasnya, jika Guan Eng benar-benar berani untuk menentang Chang Yeow, beliau sepatutnya memilih kerusi DUN yang peratusan pengundinya adalah seimbang.
"Nampak sangat Guan Eng tidak berani untuk 'berentap' dengan Chang Yeow. Kita yakin rakyat Pulau Pinang boleh menilai apa yang berlaku.
"Peluang untuk Chang Yeow menang sangat baik kerana kita lihat keyakinan rakyat Pulau Pinang terhadap Guan Eng semakin merosot," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Kampungku Mahir 2013 peringkat Pulau Pinang di Kampung Sungai Pinang, di sini hari ini.
Program anjuran GiatMara itu merupakan program berterusan selama setahun bagi menerapkan ilmu kemahiran kerja tangan kepada masyarakat setempat dengan bermatlamatkan satu insan satu kemahiran.
Semalam, Chang Yeow dalam satu sidang akhbar menyatakan kesudian untuk menyahut cabaran Guan Eng untuk 'berentap' dalam pilihan raya umum akan datang dengan syarat Guan Eng membiarkan BN menentukan kerusi yang hendak direbut.
Hilmi dalam pada itu menambah, cabar-mencabar untuk bertanding dalam pilihan raya sudah sememangnya menjadi tradisi DAP sejak dari dahulu lagi.
"Tindakan Guan Eng memilih Padang Kota jelas menunjukkan beliau rela untuk melepaskan DUN Air Putih yang dimenangi dalam pilihan raya umum lalu, jadi kita harap beliau juga terbuka untuk bertanding di mana-mana DUN lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hilmi turut memberitahu, Kerajaan Pusat telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM726,000 melalui GiatMara untuk membaiki 66 buah rumah penduduk di seluruh Parlimen Balik Pulau.
"Itu jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap rakyat Pulau Pinang sedangkan kerajaan negeri tiada pendekatan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.
"Lima tahun memerintah, satu unit rumah mampu milik langsung tidak didirikan, malah sekarang ini harga rumah paling murah yang dibangunkan di Balik Pulau adalah berharga RM500,000. Siapa yang mampu untuk membeli rumah dengan harga setinggi itu?" soalnya.
Beliau seterusnya menyelar sikap lepas tangan kerajaan negeri dalam menyediakan prasarana perumahan untuk rakyat di negeri ini.
"Sudahlah tidak mahu membangunkan rumah untuk rakyat, apabila Kerajaan Pusat mahu membangunkan projek perumahan mampu milik disekat pula.
"Ada satu projek JKP Sdn. Bhd. di Balik Pulau yang sudah lebih empat tahun tidak diluluskan pelan oleh kerajaan negeri. Perkara ini sangat serius kerana melibatkan kebajikan untuk rakyat," katanya.

Pemimpin muda Pas biadab hina nabi

KUALA LUMPUR 31 Mac - Tindakan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat bertindak biadab membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitter baru-baru ini, memperlihatkan kecetekan ilmu agama pemimpin muda berkenaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan pemimpin itu yang merupakan ahli kepada parti yang kononnya berasaskan Islam tidak boleh diterima sama sekali.
"Menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh, apatah lagi contoh yang buruk, memperlihatkan kecetekan ilmu agama pemimpin muda parti yang kononnya berasaskan Islam itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi akaun Twitter@fahmipkg yang menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ini, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan...jahanam UMNO."
Kenyataan di laman Twitter itu dikeluarkan Khairul Fahmi pukul 11.58 pagi Rabu lalu.
Ahmad Zahid berkata, tuduhan buruk terhadap UMNO seperti yang dilakukan Khairul Fahmi itu cukup melampau sehingga sanggup mengaitkan dengan Nabi Muhammad.
"Tetapi jika ada pemimpin mereka yang melakukan keburukan, tetap mereka pertahankan walaupun bersalah," katanya.
Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin tidak kira daripada parti mana sekalipun sepatutnya menunjukkan sikap dan fikiran yang matang dalam berpolitik.

1 April 2013

Komplot ganggu PRU-13

SPR kesan parti tertentu cuba cetus ketegangan
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan beberapa rancangan jahat oleh parti politik tertentu bagi mengganggu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi, termasuk sengaja mencetuskan ketegangan dengan pegawai SPR.
Parti itu akan menggunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bertumpu di kawasan panas beberapa negeri tertentu bagi menangguhkan pilihan raya di kawasan yang sukar mereka menangi.
"Kumpulan ini akan mempertikaikan kertas undi yang diberikan pegawai SPR nanti. Mereka merancang tidak akan menerima kertas undi yang berikan secara turutan, sebaliknya meminta kertas undi lain. Jika tidak diberikan mereka akan menimbulkan suasana tegang di situ,” Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR"
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata mereka juga akan menimbulkan kekecohan mengenai penggunaan dakwat kekal dan mengeksploitasi pengundi tua di kampung.

Beliau berkata, SPR mendapat maklumat mengenainya beberapa bulan lalu dan sudah mengadakan perbincangan dengan polis dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Tindakan berniat malukan SPR
“Kumpulan ini akan mempertikaikan kertas undi yang diberikan pegawai SPR nanti. Mereka merancang tidak akan menerima kertas undi yang berikan secara turutan, sebaliknya meminta kertas undi lain. Jika tidak diberikan mereka akan menimbulkan suasana tegang di situ,” katanya kepada BH semalam.

Wan Ahmad berkata, ia juga bertujuan memalukan serta memburukkan imej SPR dan negara ketika pemerhati pilihan raya luar negara memantau proses pilihan raya di negara ini.

Sehubungan itu, SPR akan melipatgandakan usaha menyampaikan maklumat tepat kepada pengundi, terutama di luar bandar melalui media massa dengan menggunakan bahasa atau dialek tempatan.

Mengenai tindakan SPR menangani penyebaran maklumat palsu termasuk keputusan pilihan raya yang dijangka akan menjadi satu strategi parti politik tertentu, beliau berkata: “SPR akan membuka satu portal berita PRU-13 untuk menyalurkan maklumat sahih dan tepat kepada semua,” katanya. 
 
/hwa: bharian.com.my | 1/4/13

PAS terdesak politikkan PM lawat markas tabligh

Kuala Lumpur: Tindakan PAS mempolitikkan kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Masjid Jamek Sri Petaling di sini, petang semalam membuktikan kedangkalan pemikiran pemimpin parti yang semakin terdesak.

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad (gambar), berkata tindakan mempolitikkan kunjungan Najib ke masjid yang sinonim dengan pergerakan tabligh itu membuktikan PAS ketakutan dengan keterbukaan ditunjukkan Perdana Menteri. Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri beragama Islam ia bukanlah satu masalah kepada pemimpin negara untuk berbuat demikian apatah lagi agama Islam bukannya hak eksklusif PAS.
"Saya nampak PAS semakin takut dan terdesak sehinggakan semua isu ingin dijadikan alat politik walaupun membabitkan hal agama,” Datuk Nakhaie Ahmad"
“Apa yang menjadi masalah kepada PAS apabila Perdana Menteri ke masjid itu.... adakah hanya pemimpin PAS saja boleh mengunjungi masjid itu. Inilah masalahnya PAS kalau orang lain buat, semua salah, tidak ikhlas dihina dan sebagainya, tapi kalau mereka buat semuanya boleh dan betul saja.

Berfikiran sempit
“Bagi saya ini adalah satu tindakan bodoh PAS apabila mempolitikkan kehadiran Perdana Menteri ke masjid itu. Mereka bukan saja jumud, malah turut mengajar pengikut dan penyokong mereka supaya turut berfikiran sempit.
“Saya nampak PAS semakin takut dan terdesak sehinggakan semua isu ingin dijadikan alat politik walaupun membabitkan hal agama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan Perdana Menteri mengunjungi masjid terbabit dan menunaikan solat Isyak berjemaah bersama orang ramai selain mendengar tazkirah berkaitan perjuangan Nabi Muhammad SAW disampaikan Muaz Roslan yang membaca kitab Hayatus Sohabah.

Tiru cara kempen
Rentetan itu, suara rasmi PAS HarakahDaily menyiarkan artikel dengan menyifatkan kunjungan Najib ke masjid itu sebagai meniru cara kempen pakatan pembangkang selain turut mempertikaikan tindakan pemimpin negara itu memakai kopiah ketika ke masjid berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Nakhaie berkata ia membuktikan tindakan PAS yang semakin bercelaru apabila menyifatkan apa saja hal berkaitan Islam adalah hak mutlak mereka.

“Apa masalah dia (PAS), kalau sekalipun tujuan Perdana Menteri pergi ke masjid itu untuk berkempen, orang (jemaah) boleh terima kenapa PAS mahu bising,” katanya. 
/hwa: bharian.com.my | 1/4/13

Datuk Seri Muhamad Ridzwan serah diri di IPD Ampang

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhamad Ridzwan Sulaiman serah diri di Ibu Pejabat Polis Daerad (IPD) Ampang Jaya, di sini pagi ini untuk membantu siasatan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia
itu yang memakai baju Melayu merah dan berserban, hadir bersama lebih 10 kenalannya di balai polis itu pada jam 11.05 pagi tadi.Bercakap kepada pemberita sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 September tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di Sabah, adalah Sultan Sulu.

"Saya tidak kenal pun Jamalul Kiram," katanya.

Muhammad Ridzwan menyerah diri hari ini berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib semalam yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.
Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu pihak polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Februari lalu. - BERNAMA

/hwa: bharian.com.my | 1/4/13

Datuk Seri Muhamad Ridzwan ditahan mengikut SOSMA

Cetak
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan Presiden Pertubuhan Kebajikan Al Ehsan Islamiah Malaysia, Datuk Seri Muhamad Ridzwan Sulaiman ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Beliau ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, jam 11 pagi tadi, bagi membantu siasatan kes pencerobohan di Lahat Datu.

/hwa: bharian.com.my | 1/4/13

60 ahli PKR Bayan Lepas sertai Umno

GEORGETOWN: Enam puluhan 60 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Bayan Lepas di sini keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO kerana hilang keyakinan terhadap kemampuan parti itu untuk membela nasib rakyat Pulau Pinang.

Wakil kumpulan itu, Mohd Eruwan Yusof, 35, berkata selama lebih lima tahun bersama dengan PKR, beliau mendapati perjuangan parti itu tidak mempunyai makna untuk rakyat.
"Dahulu kami terlalu ghairah inginkan perubahan kerana itu kami beri sokongan penuh tetapi akhir-akhir ini kami merasakan keadaan di Pulau Pinang ini bukannya bertambah baik sebaliknya menjadi kelam-kabut dan bergolak," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima borang keahlian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Syed Ameruddin Syed Ahmad di Flat Taman Emas, Sungai Batu, di sini.

Katanya keputusan beliau dan rakan-rakannya keluar daripada PKR dibuat dengan kerelaan hati tanpa paksaan atau sogokan dari mana-mana pihak.

Sementara itu, Syed Ameruddin berkata tindakan Mohd Eruwan dan rakan-rakannya memilih UMNO membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (bn) kini semakin kuat.

Katanya rakyat mulai sedar bahawa permainan politik kerajaan pakatan pembangkang hanya membuang masa dan kerajaan negeri itu tidak mampu melakukan sebarang perubahan untuk membela nasib rakyat. - BERNAMA 
 
/hwa: bharian.com.my | 1/4/13

PM, keluarga makan tengah hari di Little Penang Cafe, Petaling Jaya

PERDANA Menteri melayan kanak-kanak ketika meluangkan masa untuk menjamu selera bersama keluarganya di sebuah restoran di pusat beli-belah Kuala Lumpur hari ini. Turut kelihatan Rosmah Mansor (duduk, dua, kiri), anak-anak beliau, Norashman Razak dan Nooryana Najwa serta tunang Nooryana Najwa, Daniar Nazarbayev. - BERNAMA
NAJIB Tun Razak (kanan) membeli aiskrim ketika meluangkan masa di hujung minggu bersama keluarga di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA
*****
PETALING JAYA 31 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga hari ini meluangkan masa di hujung minggu untuk menjamu selera bersama orang ramai di sebuah restoran di pusat beli-belah di sini.
Najib, yang kelihatan santai dengan berbaju T putih bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak iaitu Norashman Razak dan Nooryana Najwa serta tunang, Nooryana Najwa, Daniar Nazarbayev memilih kedai makan 'Little Penang Cafe' yang menawarkan masakan asli penjaja Pulau Pinang untuk menjamu selera.
Antara pesanan makanan yang dibuat Perdana Menteri dan keluarganya ialah asam laksa, laksa kuah lemak Siam, 'Aromatic Chicken Set' dan 'Penang Hokkien Prawn Mee' berserta milo ais, cincau dan barli, dengan pencuci mulut rojak buah.
Kehadiran pemimpin nombor satu negara bersama keluarga di restoran itu telah menarik perhatian pengunjung ke pusat beli-belah itu yang turut mengambil peluang beramah mesra dan bergambar bersama mereka.
Najib dan keluarga meluangkan masa kira-kira sejam di restoran itu.
Seorang kakitangan restoran yang mengambil pesanan makanan Perdana Menteri dan keluarga, Jumat Kasneh berkata, beliau berasa teruja dan gembira dengan ketibaan Perdana Menteri bersama keluarga.
"Perdana Menteri sangat mesra dengan semua orang dan senang untuk berkomunikasi," katanya yang sudah bekerja di restoran itu selama 10 tahun. - BERNAMA

Tambah 1,000 lagi motosikal

Najib Tun Razak mendengar pandangan salah seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sambil diperhatikan oleh Ismail Omar (kanan) pada perasmian Unit Rondaan Bermotosikal bagi kawasan kejiranan Subang Jaya, di Subang Jaya, semalam. - MINGGUAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR 
*****
KUALA LUMPUR 30 Mac - Kerajaan berpuas hati dengan keberkesanan Unit Rondaan Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah kejiranan sehingga berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melancarkan fasa kedua 1,000 lagi Unit Rondaan Bermotosikal menggunakan jentera Kawasaki 250 R dalam masa terdekat.
Katanya, fasa kedua tersebut akan dijayakan sebaik sahaja PDRM mengenal pasti dan memberi latihan kepada anggota yang bakal dipertanggungjawabkan sebagai unit rondaan kerana dana bagi tujuan itu telah tersedia.
"Ini jaminan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah sebagaimana terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Kita mahu rakyat khususnya di kawasan kejiranan berasa selamat pada sebilang masa.
"Unit Rondaan Bermotosikal ini terbukti sangat berkesan kerana selain kita berjaya melancarkan enam bulan lebih awal untuk fasa pertama, kadar tindakan balas yang pantas juga menambah keyakinan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal bagi kawasan kejiranan Subang Jaya, di Pusat Kemudahan Masyarakat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.
Yang turut hadir, kedua-dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop serta Datuk Lee Chee Leong; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan pegawai kanan PDRM.
Sebelum itu, Ismail ketika berucap berkata, Unit Rondaan Bermotosikal berjaya membuat 207 tangkapan di seluruh negara sejak diperkenalkan 19 Disember tahun lalu.
Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri memberi ingatan kepada pihak-pihak tertentu agar jangan memandang sinis usaha keras kerajaan dalam membasmi kadar jenayah untuk menjadikan Malaysia lebih aman.
"Inilah Malaysia yang kita dambakan. Malaysia yang semakin hari semakin aman dan makmur jadi jangan ada pihak tertentu memandang sinis apa yang kita sedang dan bakal laksanakan sebagaimana digaris di bawah NKRA," jelasnya.
Serentak dengan itu juga, Najib mahu anggota polis yang dipertanggungjawab sebagai Unit Rondaan Bermotosikal bukan sekadar membuat rondaan semata-mata tetapi mesti mendekati masyarakat agar tiada jurang antara mereka.
Jelasnya, amalan kepolisan berorientasikan masyarakat penting untuk memastikan orang ramai selasa untuk bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan sekali gus menjadikan usaha membanteras jenayah mampu dilaksana secara holistik.

Hina Nabi: Perkasa buat laporan polis siasat Khairul Fahmi

IRWAN Fahmi Ideris (tengah) menunjukkan salinan laporan polis (kanan) dan kenyataan menghina Nabi oleh seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat melalui Twitter (kiri) di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ROY AZIS ABD AZIZ
****
IPOH 31 Mac - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat dua laporan polis menuntut supaya polis dan Jabatan Agama Islam menyiasat terperinci seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat yang bertindak biadab membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya Rabu lalu.
Laporan itu dibuat Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris dan Ketua Wira Perkasa Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh kira-kira pukul 2.10 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.
Irwan Fahmi yang ditemui selepas itu berkata, tujuan Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som membuat kenyataan sedemikian menerusi akaun Twitter@fahmipkg perlu disiasat kerana ia jelas merupakan penghinaan yang amat buruk kepada seluruh umat Islam.
Malahan, tegas beliau, kenyataan tersebut juga merupakan satu provokasi yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman negara.
"Apakah kenyataan begitu menunjukkan mereka (Pas) benar-benar perjuangkan agama suci ini. Kita minta perkara ini disiasat dan jika salah, tangkap ,'" katanya pada sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.
Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi Rabu lalu, Khairul Fahmi menerusi akaun Twitter@fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO."
Tindakan pemimpin tersebut dikecam pelbagai pihak termasuk ahli agama di negara ini. - UTUSAN ONLINE

Pembangkang terpaksa tarik orang ramai penuhi majlis ceramah

KUALA LUMPUR 31 Mac - Gara-gara tidak mendapat sambutan orang ramai, penganjur ceramah pakatan pembangkang di padang bola di Subang Bestari, dekat sini malam ini, terpaksa menarik perhatian orang ramai yang berada di jalan raya berdekatan untuk memenuhi majlis.
Malah, ceramah yang sepatutnya dimulakan pada pukul 9.15 malam itu hanya bermula kira-kira sejam kemudian ekoran ketiadaan penyokong dan orang ramai.
Orang ramai yang lalu-lalang di hadapan padang bola dan medan selera di kawasan U5 Subang Bestari itu ada yang berhenti sebentar untuk melihat apa yang berlaku namun beredar selepas itu.
Ceramah bertajuk `PRU 13-Tolak BN Sokong PR’ itu dihadiri Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr. Nasir Hashim.

Lebih menyedihkan, penceramah terpaksa bercakap diselang seli dengan gangguan pembesar suara sehingga 15 minit sebelum masalah itu diselesaikan.

Pelajar pondok sertai UMNO

PASIR MAS 31 Mac - Sebanyak 70 pelajar Pondok Tal Tujuh di sini, bertindak keluar Pas dan menyertai ahli UMNO selepas kecewa dengan perjuangan parti tersebut.
Borang permohonan mereka diserahkan sendiri kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanapi Mamat dalam majlis ringkas di Tendong, di sini malam ini.
Wakil mereka, Mohd. Hafni Zaini, 24, berkata, dia sebelum ini bergiat aktif bersama Dewan Pemuda Pas dapat melihat perubahan yang berlaku di dalam parti itu yang lebih minat berpolitik berbanding membela nasib rakyat.
"Saya terbuka hati untuk bersama UMNO kerana parti ini menunaikan setiap janji yang dibuat berbanding Pas yang banyak berjanji tetapi tidak ditunaikan.
"Kalau dulu saya bertungkus lumus bekerja dalam Pas terutama ketika waktu pilihan raya, kali ini saya akan menyumbangkan tenaga kepada UMNO dan akan menyokong Barisan Nasional (BN)," katanya.

Percaturan politik pembangkang

PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sahaja menjadi medan kepada pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas untuk berusaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Malahan ia juga dikatakan menjadi gelanggang kepada pemimpin dan kelompok tertentu dalam parti masing-masing untuk memperkukuhkan kedudukan politik mereka.
Mungkin seperti biasa pembangkang akan menafikan semua dakwaan ini dan menggangap ia satu propaganda bagi memburuk-burukkan mereka.
Sama ada PKR, DAP mahupun Pas, tidak boleh menafikan sebagai parti politik, mereka tidak akan terlepas daripada perebutan kuasa dan usaha memperkembangkan pengaruh.
Perkembangan politik yang berlaku dalam ketiga-tiga parti itu sudah menjadi rahsia umum biar pun ia cuba ditutupi dengan pelbagai hujah.
Dalam PKR, umum mengetahui bagaimana hubungan antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan bagaimana pula hubungan antara Azmin dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam DAP pula berlaku pertembungan antara Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming dengan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang semakin hebat.
Pertelagahan dikatakan berpunca apabila DAP negeri yang dikuasai Koo Ham berkeras mahu meletakkan lebih ramai calon-calon Cina termasuk di kerusi-kerusi yang sebelum ini ditandingi pemimpin India DAP.
Turut tidak terlepas terlibat dalam pertelingkahan dalaman ialah Pas, apabila berlakunya pertembungan antara kumpulan ulama dan kumpulan Anwarinas.
Ini belum lagi mengambil kira bagaimana berlakunya pertembungan perebutan kerusi yang melibatkan ketiga-tiga parti itu.
Apa pun setakat ini sudah ada senarai calon-calon pemimpin pembangkang yang dikatakan akan bertanding.
Bagi DAP, selain Kit Siang yang akan bertanding di Gelang Patah, bagi kerusi Ipoh Timur yang dikosongkan oleh Kit Siang ia akan ditandingi oleh Thomas Su.
Jika benar andaian ini, ia bermakna langkah itu akan menutup peluang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut-sebut akan bertanding kerusi Ipoh Timur.
Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas Perak memberikan isyarat secara halus menolak Anwar bertanding di kerusi tersebut apabila menyatakan Pengerusi DAP, Karpal Singh lebih sesuai berada di situ.
Tegang
Apa yang menarik, nama Kulasegaran dikatakan tidak disenaraikan untuk mempertahankan kerusi Ipoh Barat sebaliknya yang disebut-sebut akan bertanding di situ bagi mewakili DAP ialah Wong Kah Woh. Kerusi Batu Gajah pula yang sebelum ini disandang oleh Fong Po Kuan dikatakan akan diserahkan kepada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V.Sivakumar.
Mungkin itu harga yang perlu dibayar oleh Kulasegaran dan Po Kuan yang dikatakan mempunyai hubungan tegang dengan Koo Ham dan Kor Ming.
Bagi PKR pula, kenyataan Wan Azizah bahawa beliau akan bertanding di salah sebuah kerusi DUN di Selangor 'menghangatkan' isu perebutan kuasa politik dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR di negeri berkenaan.
Sebelum ini, Khalid Ibrahim dikatakan sudah cukup tertekan berhadapan dengan mainan politik Azmin yang disebut-sebut bakal menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar jika pembangkang terus memerintah Selangor.
Namun dengan kehadiran Wan Azizah ia mewujudkan spekulasi bahawa Presiden PKR itu bakal menduduki kerusi Menteri Besar sekali gus menafikan peluang Khalid dan Azmin yang disebut-sebut kemungkinan akan bertanding kerusi Parlimen.
Walaupun langkah meletakkan Wan Azizah dilihat strategi PKR untuk menarik perhatian pengundi namun, Wan Azizah bukanlah pemimpin yang layak untuk bertanding apatah lagi menjadi orang nombor satu di Selangor.
Ini berikutan Wan Azizah sudah ditafsirkan sebagai Presiden yang lemah dan hanya menjadi perhiasan sahaja bagi sebuah organisasi. Beliau seolah-olah tidak ada suara dan kuasa kerana segala-galanya diuruskan oleh suaminya, Anwar.
Selain 'adegan politik' PKR yang agak menarik di Selangor, di Johor dan Kedah situasi juga tidak kurang hebatnya.
Dua bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebut-sebut menjadi sandaran PKR di Johor iaitu bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein dan Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid.
Md. Hashim dikatakan akan disenaraikan bertanding di kerusi Parlimen Johor Bharu manakala Abdul Ghafir di Parlimen Pasir Gudang.
Kehadiran bekas jeneral ini dilihat usaha PKR untuk menarik undi anggota-anggota tentera bukan sahaja di Johor tetapi juga seluruh negara.
Selain itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution pula dikatakan akan berubah angin untuk bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Bharu selepas dilaporkan bakal menempuh laluan sukar di kerusi yang disandangnya iaitu Parlimen Machang, di Kelantan.
Masalah
Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng yang dikatakan 'terasa hati' kerana tidak dapat bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah disebut-sebut akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Segamat.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah pula yang dilaporkan semakin tidak popular di Lembah Pantai dikatakan akan terus mempertahankan kerusi itu.
Namun apa yang menarik ialah kedudukan kerusi Parlimen Bagan Serai. Kerusi ini menjadi perebutan antara PKR dan Pas. Mungkin menyedari keadaan itulah, Anwar awal-awal lagi tanpa mempedulikan perasaan penyokong akar umbi Pas di kawasan itu mengumumkan Dr.Muhammad Nur Manuty akan bertanding di situ.
Tindakan Anwar itu dilihat akan memberikan masalah kepada Dr.Muhammad Nur kerana PKR sememangnya bergantung jentera Pas untuk mempertahankan kerusi itu yang sebelum ini dimenangi oleh PKR dengan majoriti 3,413 undi melalui calonnya, Muhsin Fadzil Samsuri.
Penulis difahamkan, penyokong-penyokong Pas di kawasan berkenaan benar-benar kecewa dengan tindakan PKR yang dilihat tidak menghormati kehendak mereka.
Bagi Pas pula, percaturan juga sudah dilakukan di mana pemimpin-pemimpin utama mereka dikatakan akan bertanding di kerusi-kerusi yang dianggap strategik.
Dua Exco Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan dikatakan berpindah bertanding dari DUN ke Parlimen. Husam disebut-sebut bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya manakala Takiyuddin akan bertanding di Kota Bharu.
Keadaan itu dikatakan satu percaturan oleh Pas Kelantan dalam usaha memastikan bakal pengganti Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar terdiri daripada golongan ulama. Dua nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Nik Abdul Aziz ialah Datuk Amar Nik Abdullah dan Datuk Ahmad Yaacob.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pula disebut-sebut akan bertanding di Parlimen Pendang.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dikatakan akan mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang di samping Parlimen Marang.
Bagaimanapun difahamkan Abdul Hadi dikatakan bakal menghadapi laluan sukar mengekalkan kerusi Parlimen tersebut berikutan penolakan rakyat yang semakin ketara di kawasan itu terhadap beliau.
Apa pun, senarai yang dinyatakan ini bukanlah senarai terakhir. Tidak mustahil ketiga-tiga parti itu akan melakukan perubahan menjelang pilihan raya.
Namun tidak kira apa pun langkah yang dilakukan rakyat kini semakin faham corak politik pakatan pembangkang yang segala-galanya berpaksikan kepada matlamat merebut kuasa semata-mata.

Kalau begini jujurkah mereka?

1. Dikatakan pada 18 Mac (2013) lalu berlangsung mesyuarat pertama Jawatankuasa Bertindak Kedaulatan, Keselamatan Negara dan Rakyat (JBKKNR) anjuran Pas Pusat di Kuala Lumpur. Ia dihadiri kira-kira 10 orang termasuk bekas pegawai kanan polis dan tentera. Mesyuarat membincangkan isu berkaitan pencerobohan di Sabah.
Di kala pasukan keselamatan dan kerajaan memikirkan cara untuk memerangi pengganas Sulu selain mengukuhkan operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone), dalam sidang bulat 18 Mac itu, dikatakan tiga resolusi telah diluluskan, iaitu:
i) Kebajikan Tentera & Veteran Angkatan Tentera (KERABAT), Pahlawan, Kor Bekas Angkatan Tentera/Perajurit (KOBAT), The Green Soldiers, Veteran Polis & NGO-NGO propakatan pembangkang diminta menjalankan Gerak Saraf Perang Saraf untuk meyakinkan rakyat bahawa isu Lahad Datu adalah bermotifkan politik.
ii) Semua isu sensitif mengenai perisikan negara, Ops Pasir dan Ops Daulat perlu diselaraskan oleh sekretariat sahaja yang mana ahli politik pakatan pembangkang diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Hanya pemimpin tertinggi sahaja yang boleh mengulas isu berkenaan.
iii) Cadangan untuk mengadakan Himpunan Warga Keselamatan dalam jangka masa dua minggu dari 18 Mac yang akan ditentukan nanti.
2. Dipercayai, mesyuarat bersetuju untuk mengalih dan mengeksploitasi isu tersebut kepada political assasination. Empar elemen itu adalah:
i) Mengeksploitasi apa yang didakwa pembangkang menteri dan kementerian tertentu.
ii) Dalam pentas ceramah pembangkang, mereka akan memuji PDRM dan ATM untuk menaik semula moral serta kepercayaan semula pasukan keselamatan kepada pakatan pembangkang.
iii) Mengeksploitasi apa yang dituduh pembangkang sebagai 'projek kad pengenalan kerajaan' yang didakwa penyebab kebanjiran warga asing di Sabah. Pakatan pembangkang menyifatkan mereka harus menggempur semua elemen kerana daripada kacamata rakyat, kes pencerobohan Lahad Datu adalah penentu menang atau kalah pembangkang dalam PRU-13.
3. Isu Lahad Datu dieksploitasi secukup-cukupnya oleh para penceramah pakatan pembangkang di pentas-pentas mereka dengan meletakkan beban kesalahan kepada kerajaan BN kerana gagal mengawal sempadan negara.
Jumlah ceramah dari 1 hingga 20 Mac 2013 adalah 84 dengan pecahan Pas (65), PKR (14) dan DAP (5).
4. Rata-rata pemimpin Pas seperti Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Mohamad Sabu memperlekeh dan mempersoalkan kelemahan kerajaan dalam menangani isu ini.
5. Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang menyalahkan kegagalan sistem pertahanan negara sehingga tercetusnya insiden tersebut. Dia juga mendakwa pemimpin UMNO cuba memperbodohkan rakyat dengan mempolitikkan isu tersebut.
6. Ekoran mesyuarat JBKKNR pada 18 Mac itu, beberapa bekas pemimpin tentera dikesan telah muncul di pentas pakatan pembangkang menyentuh isu berkenaan.
Terbaru pada 28 Mac lalu dalam ceramah anjuran Pas Jeli, Kelantan bertajuk 'ceramah wira 4 jeneral' di Batu 11, Tanah Merah dihadiri 800 orang. Brig. Jeneral Bersara Datuk Ad. Hadi Abd. Khatib dalam ceramah itu telah 'menyindir' Perdana Menteri kerana didakwanya tidak berani menubuhkan suruhanjaya isu pencerobohan Lahad Datu.
Malah, Jeneral (B) Datuk Ab. Ghafir Ab. Hamid dan Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Ab. Hamid mendakwa isu pencerobohan Lahad Datu berpunca daripada kelemahan badan perisikan negara dan kerajaan BN.
Brig. Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad pula mendakwa kerajaan BN banyak melakukan kezaliman kepada rakyat serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.
Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh bekas jeneral ini dikecam oleh rakyat Malaysia terutama pasukan keselamatan negara yang melabelkan bekas jeneral pembangkang terbabit juga 'menangguk di air keruh'.
7. Parti-parti pembangkang ketika ini begitu serius cuba mempolitikkan isu pencerobohan ke atas Sabah. Dikatakan kerajaan PKR Selangor akan menganjurkan program 'Munajat Selamatkan Malaysia dan Forum Lahad Datu Rakyat Berhak Tahu' hujung minggu ini.
8. Maklumat juga mendedahkan PKR Sabah merancang untuk mengadakan demonstrasi dalam masa terdekat selepas solat Jumaat di beberapa kampung di mana mayat pengganas Kiram dikebumikan. Antara lain, mereka mahu mayat tersebut dikebumikan di laut tetapi masih mengikut agama Islam.
9. Sebilangan rakyat Malaysia agak cuak kemungkinan ada penglibatan anasir asing dalam pencerobohan Sabah.
Penduduk rantau ini melihat bagaimana Indonesia kehilangan wilayah, Timor Timur atau Timor Leste melalui corak yang sama iaitu serangan, pencerobohan, selepas itu tekanan antarabangsa dan berlaku rusuhan, dan akhirnya mereka hilang wilayah. Rakyat Indonesia pasti tidak akan lupa bagaimana Presiden Suharto disuruh berdialog dengan Xanana Gusmao (pemimpin Timor Leste).
Justeru, dikatakan kes di Lahad Datu membabitkan dalang dan niat jahat yang sama.
10. Siasatan dalaman oleh Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang dilaporkan pada 27 Mac lalu menyimpulkan bahawa terdapat kemungkinan kumpulan pengganas Kiram mendapat 'bantuan dan sokongan' daripada pihak tidak dikenal pasti untuk melakukan pencerobohan ke atas Sabah.
Pengerusinya, Muslimin Sema berkata, kesimpulan itu juga berpunca daripada maklumat bahawa kesultanan itu tidak mempunyai keupayaan dan sumber pendapatan untuk melaksanakan operasi ketenteraan yang begitu nekad.
11. Muslim sendiri tidak pernah mendengar tentang Tentera Diraja Sulu (RSF) sebelum berlakunya insiden di Sabah.
12. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan Anwar telah beberapa kali bertemu Nur Misuari sebelum berlakunya insiden pencerobohan berdarah oleh pengganas Kiram di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Masanya sudah tiba, tolak pemimpin ini

MASANYA hampir tiba untuk rakyat Malaysia membuat keputusan penting. Demikian juga masanya sudah tiba bagi kita, rakyat Malaysia berterus-terang mengatakan tidak untuk dipimpin oleh pemimpin ini. Cukup-cukuplah.
Pemimpin ini secara tersurat dan tersirat, secara halus dan sinis sebenarnya telah lama ditolak. Begitu ramai tokoh yang meninggalkan beliau. Kini gerakan-gerakan untuk meminggirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin ketara. Gerakan dari dalam ini berjalan secara senyap.
Jentera pemikir dan gerak saraf beliau pun sudah menyedarinya. Mungkin sebab itu dalam akhbar PKR edisi minggu ini, Anwar dipamerkan untuk dijual sebagai 'Bakal Perdana Menteri'.
Aneh bukan, sudah sejauh ini mereka berjalan tetapi jentera propagandanya sendiri tidak yakin beliau mampu memimpin negara? Terpaksa dibuat pula satu promosi - bakal Perdana Menteri yang menceritakan sejarah kegemilangan beliau sejak zaman mahasiswa lagi.
Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang. Siapakah gerangan yang mahu menggoyang Anwar? Yang sudah nyata adalah pemimpin dan golongan akar umbi Pas.
Reaksi Pas Perak terhadap desas-desus Anwar mahu bertanding di Parlimen Ipoh Timur bukan sahaja menimbulkan banyak tanda tanya tetapi juga mengejutkan. Dalam nada antara memuji dan mencemik, mereka mencadangkan Anwar lebih baik bertanding di kawasan majoriti Melayu.
Pas Perak malah menamakan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina itu bagi menggantikan Lim Kit Siang yang akan bertukar gelanggang ke Gelang Patah di Johor iaitu kawasan milik PKR.
Tersirat
Kit Siang menjadi wakil rakyat Ipoh Timur sejak 2004 dan menang dengan majoriti 22,043 undi pada PRU-12. Ipoh Timur adalah kerusi tradisi DAP dan dianggap kawasan paling selamat pakatan pembangkang.
Banyak yang boleh ditakrif dengan pendirian Dewan Pemuda Pas Perak ini. Nadanya tidak seperti selalu. Apakah yang tersirat apabila mereka mencadangkan agar Anwar bertanding di kerusi Parlimen Lumut atau Bagan Datoh dan bukannya Ipoh Timur? Pas Bahagian Bagan Serai pula mengesyorkan supaya Ketua Pembangkang itu bertanding di Parlimen Tambun.
Kerusi Parlimen Bagan Datoh kini disandang Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kerusi Parlimen Tambun yang juga antara kubu kuat BN, disandang Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Parlimen Lumut pula disandang Setiausaha Agung MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor dalam kawasan itu kini dipegang oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Beranikah Anwar bertanding di kawasan yang dicadangkan oleh Pas itu, sedangkan beliau dikatakan tidak lagi menerima sokongan seperti dahulu di kawasannya sendiri yang majoriti pengundi Melayu di Permatang Pauh?
Cadangan itu tidak lebih sebagai simbolik penolakan ahli-ahli akar umbi Pas terhadap kepimpinan Anwar. Cuma, mereka tidak boleh berterus-terang. Jadi terpaksa berbasa-basi dan disampaikanlah rasa tidak suka itu dengan cara sebegini.
Penolakan terhadap Anwar yang kehidupannya banyak dikaitkan dengan maksiat dan salah laku moral, kini semakin membuak-buak. Penolakan terhadap kepimpinan beliau oleh ahli-ahli parti sekutunya diterjemahkan dalam bentuk lain.
Tidak seperti dahulu, kata-kata Anwar kini bukan lagi mewakili suara pakatan pembangkang. Suaranya tidak lagi keramat. Semakin jelas sekarang, menjelang detik-detik akhir ini, Anwar semakin menampakkan diri sebagai bukan calon Perdana Menteri. Daripada kaca mata banyak pihak, beliau tidak layak.
Tetapi Anwar dan kepimpinan utama pakatan pembangkang selalu sahaja pandai bermuka-muka. Konflik dan kekalutan mereka sorokkan. Di atas pentas, di depan khalayak mereka boleh berpeluk. Ada sahaja helah jika berlaku perkembangan yang tidak memihak mereka.
Begitu juga apabila Kit Siang berura-ura untuk menggunakan lambang Pas jika Pendaftar Pertubuhan membatalkan pendaftaran DAP kelak. PKR yang nampak beria-ia dan begitu berbangga, bukannya Pas.
"Kalau pilih (lambang) PKR, ini biasa sebab PKR parti berbilang kaum tapi pemilihan guna lambang Pas pasti beri kesan luar biasa," kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu ceramah di Johor Bahru.
Mungkinkah PKR awal-awal lagi mahu menutup malu kerana Kit Siang lebih selesa menggunakan lambang Pas? Bukankah mereka selalu berkata pakatan adalah gabungan yang terbaik? Jadi, apa istimewanya jika calon-calon DAP kelak menumpang lambang Pas?
Hal ini telah lama dilakukan oleh Barisan Nasional (BN). Sejak sekian lama semua parti yang bergabung dengan BN menggunakan satu lambang. Semua calon BN - calon Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazandusun bertanding menggunakan lambang yang sama.
Ini mereka baru nak rancang. itupun kerana terpaksa akibat salah DAP sendiri yang takbur dan selalu mengaku parti serba sempurna. Seperti itulah perangai puak-puak ini melonjak-lonjak bangga konon kemenangan sudah berpihak kepada mereka sedangkan orang lain telah lama melakukannya.
Begitulah juga ketua mereka itu yang melonjak-lonjak mahu menjadi Perdana Menteri. Impian itu sekarang ibarat cita-cita peribadi, tidak lagi disokong oleh ahli-ahli parti sekutunya.
Mungkin benar seperti dikata orang, masa untuk Anwar sudah berlalu. Beliau sudah mencapai tarikh luput. Tetapi berhati-hatilah kerana beliau pandai menggunakan helah sebagaimana kegemparan yang pernah dilakukannya pada peristiwa hitam 16 September.

'DAP guna bendera Pas kejayaan besar'

PASIR PUTEH 30 Mac - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan hasrat DAP mahu menggunakan lambang bulan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti sebagai satu kejayaan beliau mendidik pemimpin pembangkang tersebut.
Malah katanya, hasrat terbuka pemimpin DAP itu dianggap sebagai satu kejayaan selepas mereka melihat Pas mentadbir negeri Kelantan selama 23 tahun.
"Dulu Cina takut, usahkan Cina, Melayu UMNO pun takut. Sekarang ini, Alhamdulillah, DAP terima 23 tahun kita perintah Kelantan.
"DAP tengok benda yang Pas buat ini betul, sampai dia sanggup guna lambang bulan untuk bertanding pilihan raya sekiranya diharamkan, ini satu kejayaan besar bagi saya," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Merbau, Selising di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang di dalam akaun twitternya baru-baru berhubung cadangan beliau untuk bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggantung pendaftaran DAP.
DAP kini disiasat ROS ekoran dakwaan berlaku kesilapan dalam pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu pada tahun lalu.
Cadangan Kit Siang itu bagaimanapun ditentang oleh ahli-ahli akar umbi Pas yang melihatnya sebagai satu langkah DAP untuk mengambil kesempatan dan mempergunakan Pas ketika mereka berada dalam keadaan terdesak.
Tambahan pula, DAP telah diketahui umum menjadi batu penghalang utama bagi Pas menubuhkan negara Islam melalui reaksi keras pengerusinya, Karpal Singh tidak lama dulu.
Sementara itu, dalam isu berlainan, Nik Abdul Aziz berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Saiful Bahrin Mohamad akan dipilih mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya umum nanti.
Kenyataan beliau itu dilihat agak mengejutkan ekoran pemimpin berkenaan didakwa pernah terlibat dengan skandal seks dalam koc kereta api satu ketika dulu.
Nik Abdul Aziz berkata, kesemua perkara itu merupakan fitnah melampau dan Saiful Bahrin akan terus bertanding bagi memberi pengajaran kepada pihak yang kononnya memfitnah beliau.

PM ziarah masjid 'tabligh'

KUALA LUMPUR 30 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan umat Islam supaya tidak merosakkan kepentingan agama serta ukhuwah sesama umat walaupun terdapat perbezaan pendapat serta pandangan dalam kalangan mereka.
Menurut Perdana Menteri, khusus kepada pendakwah, mereka juga disaran supaya melaksanakan tanggungjawab berdakwah dengan sebaik mungkin, di samping mengajak kepada penyatuan ummah.
Di pihak kerajaan pula jelasnya, tugas utama kerajaan adalah untuk memakmurkan negara ini untuk menjadi negara Islam contoh berlandaskan maqasid syariah.
"Semua orang ada peranan serta tanggungjawab masing-masing. Pendakwah, laksanakan dakwah dengan berkesan. Saya sebagai pemimpin, saya lakukan kerja saya sebagai pemimpin untuk memakmurkan negara. Dengan maqasid syariah, syariah Islam kita tinggikan dan kalimah Allah kita sucikan. Itu tanggungjawab kita.
"Sebab itu, walaupun kita berbeza pendapat, janganlah sampai kita rosakkan kepentingan Islam dan umat Islam," katanya ketika berucap selepas mengerjakan solat isyak berjemaah di Masjid Jamek Sri Petaling, malam ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi Masjid Jamek Sri Petaling, Zain Abdullah.
Beliau menjelaskan komitmen untuk membantu gerak kerja dakwah Islam khususnya di pusat dakwah yang terdapat di masjid berkenaan.
"Pusat dakwah ini difahamkan telah wujud sejak 1985 atas sumbangan kewangan yang diusahakan kumpulan-kumpulan tabligh. Terdapat 360 orang pelajar yang dilatih dalam bidang agama dan dakwah. Jadi pendakwah itu sebagai menurut perjuangan Rasulullah SAW," tambahnya.

Ceramah Anwar di Sungai Isap gagal dapat sambutan

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada program Jelajah Merdeka Rakyat di Sungai Isap, kawasan Parlimen Kuantan yang dihadiri kira-kira 500 penyokong tegar parti pembangkang di Kuantan, Pahang semalam. - UTUSAN
*****
KUANTAN 31 Mac - Program Jelajah Bas Merdeka Rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di Sungai Isap di sini semalam ternyata gagal mendapat sambutan apabila hanya dihadiri oleh kira-kira 500 penyokong tegar parti itu.
Walaupun dengan kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh namun ia tetap tidak berjaya menarik perhatian masyarakat di kawasan berkenaan untuk menghadiri ceramah jalanan tersebut.
Bagaimanapun, Anwar dalam ceramahnya itu mengumumkan bahawa Fuziah yang juga Naib Presiden PKR akan bertanding semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Untuk rekod, pada pilihan raya 2008, Fuziah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Fu Ah Kiow dengan majoriti 1,826 undi. Fuziah memperoleh 18,398 undi manakala Ah Kiow mendapat 16,572 undi. - UTUSAN ONLINE

Calon Indera Mahkota: Pengumuman Anwar disambut ejekan 'boo' penyokong sendiri

KUANTAN 31 Mac - Pengumuman nama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-13 malam tadi, disambut dengan sorakan ejekan oleh segelintir penyokong pembangkang sendiri.
Tindakan 'boo' itu dilakukan sebaik Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama Fauzi sebagai calon menggantikan penyandang, Azan Ismail pada majlis ceramah Pas di Balok Makmur di sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE

Sanggup hina Nabi untuk kepentingan politik

Dipetik dari akaun Twitter @fahmipkg milik Khairul Fahmi Mat Som. 
*****
KUALA LUMPUR 30 Mac - Pemimpin Pemuda Pas dilihat tidak mencerminkan akhlak mulia apabila dengan sewenang-wenangnya mempermainkan nama Nabi Muhammad SAW demi kepentingan politik parti itu.
Penasihat Agama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berpendapat, seorang pemimpin Islam tidak akan bercakap mengikut perasaan.
"Jangan kerana kepentingan peribadi dan politik, maka Islam juga terheret sama ke tempat yang tidak sewajarnya sehingga menyentuh keperibadian Rasullullah.
"Kita semua tahu Rasullullah merupakan contoh tauladan yang cukup tinggi dan tindakan membandingkan baginda yang maksum daripada dosa dengan manusia bukanlah tindakan orang yang soleh tetapi orang yang fasik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat yang bertindak biadab dengan membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya Rabu lalu.
Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi itu, pemimpin tersebut, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi akaun Twitter@fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO."
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan agama Islam dan perbuatan tersebut patut dikecam.
"Bagaimana mereka boleh sesuka hati mengandaikan perbuatan baginda Rasullullah yang telah wafat? Tindakan itu sangat biadab kerana boleh menjatuhkan darjat suci Rasullullah.
"Tindakan tersebut juga merupakan satu penghinaan kepada Nabi kita. Inilah hasilnya jika tunduk dan bersekongkol dengan kafir harbi hingga tersasar jauh dari hala tujuan asal untuk memperjuangkan Islam," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tersebut memperlihatkan tahap mentaliti Khairul Fahmi yang rendah ketika menulis di dalam laman sosial tersebut.

Pelbagai usaha bela kebajikan rakyat - TPM

MUHYIDDIN Yassin diiringi Mohd. Khamil Jamil (kiri) bersalaman dengan warga kerja Pos Malaysia pada majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Pos Malaysia di Pusat Mel Nasional, Shah Alam, semalam. - BERNAMA 
*****
SHAH ALAM 30 Mac - Timbalan Perdana Menteri mahu rakyat mengetahui kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah banyak melaksanakan pelbagai usaha membela kebajikan serta mengurangkan beban seluruh rakyat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun ada sebilangan rakyat mungkin tidak sedar usaha itu, mereka sebenarnya telah merasai nikmat yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam setiap aspek kehidupan dari segi keselamatan, ekonomi, pelajaran, infrastruktur sehinggalah kepada peningkatan pendapatan.
Malah katanya, kerajaan pimpinan BN juga telah melaksanakan pelbagai pendekatan untuk mengurangkan kos hidup rakyat seperti melaksanakan pemberian subsidi terhadap barangan keperluan rakyat, pengawalan harga barang dan sebagainya.
"Kita lihat dalam tempoh tiga tahun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi peluang menerajui negara, beliau terperinci dalam setiap usaha memastikan keperluan rakyat, bukannya secara rawak atau rambang.
"Malah beliau telah mengarahkan saya untuk mempengerusikan Jawatankuasa Petugas Penyampaian memantau menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi memastikan Program Transformasi Kerajaan (GTP) mencapai sasaran,'' katanya di hadapan lebih 2,000 warga Pos Malaysia di Pusat Mel Nasional di sini hari ini.
Selain itu katanya, kerajaan juga mengenal pasti keperluan rakyat supaya mereka tidak berasa diabaikan.
''Pemimpin juga sepanjang masa turun padang untuk mengetahui serta merasai denyut nadi rakyat," ujarnya.
Yang hadir sama dalam majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Pos Malaysia itu ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pengerusi Pos Malaysia, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil.
Pada masa sama, Muhyiddin menegaskan, dari segi ekonomi pula, kerajaan pimpinan BN turut melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang telah memberikan kesan besar kepada pertumbuhan negara meskipun negara-negara maju lain berhadapan dengan krisis seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.
Pertumbuhan itu jelas beliau, dapat disaksikan menerusi prestasi positif Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita negara yang meningkat kepada 49 peratus.
"Pola itu akan menyaksikan Malaysia mencapai sebuah negara yang berpendapatan tinggi mengikut takrifan Bank Dunia lebih awal daripada yang dijangkakan.
"Kejayaan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan BN membangunkan negara dan kita percaya menjelang 2020, negara kita mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju lain,'' ujarnya.
Malah katanya, pakar-pakar ekonomi ada meramalkan Malaysia mampu mencapai sasaran negara maju lebih awal iaitu pada 2018.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri dalam majlis itu turut mengumumkan tiga berita gembira untuk 16,191 warga kerja Pos Malaysia di seluruh negara.
Tiga berita baik itu ialah kesemua warga Pos Malaysia akan menerima Pelan Perlindungan Insurans untuk diri sendiri dan keluarga mereka melibatkan peruntukan RM670,000.
Selain itu, warga kerja Pos Malaysia juga menikmati sumbangan Netbook 1Malaysia untuk anak-anak mereka yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan imbuhan istimewa sebanyak RM500 bagi warga kerja Pos Malaysia yang pembayarannya akan dibuat bersama gaji pada April ini.

Perlu jelas dakwaan 300 perwakilan haram

KUALA LUMPUR 30 Mac - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digesa memberi penjelasan berhubung dakwaan terdapat lebih 300 perwakilan haram daripada 1,823 orang yang hadir semasa pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember tahun lalu.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari menegaskan, Guan Eng perlu menjawab soalan tersebut dan tidak menyalahkan UMNO dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sekiranya didapati dakwaan itu benar.
"Jika ROS menemui lebih 300 perwakilan yang tidak sah nanti, jangan salahkan sesiapa kerana bukan UMNO atau ROS yang mengeluarkan notis mesyuarat pemilihan DAP.
"Saya tidak buat apa-apa tuduhan di sini tetapi saya hanya minta Guan Eng buat penjelasan dan penafian secara terbuka jika apa yang saya katakan ini tidak benar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Keputusan pemilihan CEC pada 15 Disember 2012 itu menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih tetapi selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjadualan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari sebagai salah seorang anggota CEC.
Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti bertindak membuat aduan kepada ROS berikutan kebimbangan mereka terdapat unsur manipulasi dalam keputusan itu.
Sementara itu, Anuar juga menggesa ROS untuk menyiasat segera dakwaan tersebut dengan mencari 300 perwakilan tidak sah berkenaan.
"Sekiranya dakwaan itu benar, ROS perlu mengenal pasti segera siapakah orang tersebut dan bagaimana mereka boleh hadir pada pemilihan itu.
"ROS perlu menemuduga mereka satu persatu dengan kadar segera bagi memastikan segala kebenaran dapat didedahkan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah walaupun mempunyai kerusi selamat di Perak dan Pulau Pinang.
Anuar juga menimbulkan persoalan tentang dakwaan kononnya DAP mahu bertanding di Gelang Patah kerana ada kaitan dengan seorang wanita bernama Mummy Foo.
"Adakah benar Mummy Foo dilahirkan di Gelang Patah dan menjadi punca utama DAP mahu menawan kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya.

Warga emas dakwa dianiaya

SEBAHAGIAN penduduk dan wakil NGO mengadakan bantahan aman setelah pakatan pembangkang mendirikan khemah dan markas PKR atas tanah warga emas yang diceroboh sejak Februari lalu di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, semalam. - MINGGUAN/ Malinda Abdul Malik 
*****
PULAU PINANG 30 Mac - Pakatan Pembangkang dilihat semakin terdesak apabila didakwa sanggup 'menceroboh' tanah milik seorang warga emas untuk dijadikan 'markas' bagi menjalankan kegiatan politik di Teluk Kumbar di sini.
Markas yang dipenuhi bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan giat menjalankan aktiviti politik sejak Februari lalu, termasuk menjadikan tempat tersebut sebagai salah sebuah pusat jentera pilihan raya kawasan berkenaan.
Hashim Ahmad, 60, yang membuat dakwaan tersebut berkata, kawasan tanah pusaka milik keluarganya itu digunakan oleh PKR untuk menjalankan aktiviti parti.
Menurutnya, tanah itu pernah disewakan oleh arwah bapanya kepada pihak lain suatu waktu dahulu, namun tiada bayaran sewa diterima hingga kini.
"Sudah banyak aduan saya buat kepada pihak berkuasa, termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, namun tiada sebarang tindakan diambil.
"Saya mahukan pembelaan, ini tanah saya, macam mana mereka boleh ceroboh? Siapa bagi mereka kebenaran itu?,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Mengulas lanjut Hashim mendakwa, beliau dan keluarganya kini ditindas beberapa pihak dengan menggunakan kuasa yang mereka ada.
"Orang yang ceroboh tanah saya adalah orang berpengaruh hingga Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) juga mendiamkan diri walaupun saya buat aduan mereka bina markas haram.
"Bukannya nak mai (datang) roboh tapi siap sumbangkan khemah untuk didirikan di situ," ujarnya.
Sebelum itu, lebih 50 penduduk kawasan Teluk Kumbar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan secara aman membela hak Hashim yang dikatakan ditindas pihak tertentu.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Belia Barat Daya, Hisham Abdul Hamid berkata, pihaknya mahu tindakan segera diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, parti politik sepatutnya menolong rakyat bukan merampas hak mereka seperti yang berlaku.
"Kita mahu MPPP robohkan markas haram ini, jangan cuba rampas hak warga emas ini, kami serta penduduk di sini tak akan berdiam diri jika tiada pembelaan terhadap pakcik Hashim.
"Saya juga ingin ingatkan kepada parti politik agar pilih tempat yang sesuai untuk menjalankan aktiviti parti jangan sesekali membangkitkan kemarahan penduduk khususnya kami di sini," katanya.