5 Mei 2010

Pas nafi salur peruntukan RM4 juta

UM - 05/05/2010
KUALA LUMPUR 4 Mei - Selepas seminggu penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz mendedahkan isu peruntukan RM4 juta, Pas secara rasmi hari ini menafikan penglibatan parti itu dengan dakwaan tersebut.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang mengadakan sidang akhbar khas bagi menjawab isu itu berkata, pucuk pimpinan juga tidak tahu menahu mengenai kewujudan syarikat perunding media, Global Media Channel Sdn. Bhd (GMC).
"Pas tidak ada kena mengena dengan pendedahan oleh Syed Azidi kerana menjatuhkan individu serta memburukkan pemimpin seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan agenda Pas. Jika ditanya sama ada orang Pas terlibat, itu saya tidak tahu.
"Mengenai kewujudan GMC, saya dan pucuk pimpinan juga tidak tahu. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak tahu dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun tidak tahu,'' katanya di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.
Semalam, Syed Azidi menyerahkan beberapa lagi dokumen tambahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya ekoran pendedahannya menerima peruntukan RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf memburuk-burukkan kepimpinan Abdullah.
Syed Azidi sebelum ini telah membuat satu dakwaan mengenai tindakan pihak-pihak tertentu memberikannya peruntukan lebih RM4 juta dalam tempoh tiga tahun untuk memburukkan imej dan melemahkan kepimpinan Abdullah.
Beliau turut mendakwa kerajaan Pas Kelantan menyalurkan sumber kewangan itu untuk melaksanakan gerakan tersusun memburukkan kerajaan Pusat sekali gus memastikan Pas kekal berkuasa di negeri itu.
Menurut Syed Azidi, peruntukan tersebut diberikan bertujuan melaksanakan operasi gerak saraf melalui syarikat GMC yang beribu pejabat di Jalan Kota Darul Naim, Kelantan bermula Julai 2007.
Mustafa berkata, beliau hanya mengetahui mengenai GMC itu apabila perkara itu didedahkan oleh Syed Azidi di dalam blognya.
"Sebelum ini saya tidak tahu apa itu GMC. Sudah dedah baru tahu. Saya juga telah membuat pemeriksaan dengan Badan Perhubungan Pas Kelantan dan Pas Pusat mengenai dakwaan RM4 juta ini.
"Saya dapati Pas tidak pernah menyalurkan peruntukan RM4 juta kepada Syed Azidi untuk lakukan kerja-kerja seperti didakwa kerana seperti yang saya katakan tadi Pas tidak melakukan kerja-kerja menjatuhkan pemimpin,'' katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, selama ini Pas menentang Barisan Nasional (BN) serta UMNO atas dasar parti dan bukan pemimpin.
"Tugas Pas adalah menjatuhkan BN dan UMNO tetapi melalui kaedah demokratik (pilihan raya) dan bukannya dengan cara menjatuhkan pemimpin tertentu,'' ujarnya.
Menjawab soalan, Mustafa berkata, Pas menyerahkan kes tersebut kepada SPRM sebelum pihaknya membuat ulasan lebih lanjut kerana segala-galanya bergantung pada hasil siasatan.
Berhubung kemungkinan penulis blog Kickdefella dikenakan tindakan saman, Mustafa berkata, beliau akan mencadangkan kepada Pas Kelantan supaya meneliti kenyataan Syed Azidi yang telah mengaitkan kerajaan negeri dengan penyaluran peruntukan tersebut.
/hwa-utusan.com.my

Penafian Pas semata-mata lindungi 5 individu - Syed Azidi

'Bohong tidak tahu GMC wujud'
Oleh AZRAN FITRI RAHIM

azran.rahim@utusan.com.my
KOTA BHARU 4 Mei - Kepimpinan Pas Pusat berbohong jika mereka mendakwa tidak mengetahui tentang kewujudan Global Media Channel Sdn. Bhd. (GMC) yang menjadi jentera untuk Pas memburukkan pentadbiran Kerajaan Pusat.
Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz mendakwa, penafian Pas mengenai kewujudan GMC adalah semata-mata untuk melindungi lima individu yang menjadi penyumbang dana sebanyak RM4 juta bagi menjalankan operasi gerak saraf itu.
Menurutnya, adalah mustahil jika Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali tidak mengetahui kewujudan dan peranan syarikat itu yang bertapak di sini.
Syed Azidi yakin Mustafa mengetahui soal GMC kerana beliau pernah merasmikan seminar mengenai media di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur pada 2007 bagi mewakili GMC.
"Bagi saya, ia antara dua sama ada Mustafa berbohong atau Pas berbohong. Pertamanya, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa juga hadir pada taklimat media harian di pejabat GMC di sini sewaktu kempen pilihan raya umum lalu.
"Saya memberi taklimat kepada Timbalan Presiden Pas berhubung apa yang perlu dijawab mengenai manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan pada malam sebelumnya dan saya berada di sisi Timbalan Presiden sepanjang taklimat tersebut.
"Kedua, sewaktu diadakan satu perjumpaan di Pejabat Agung Pas, mengenai satu seminar media pada tahun 2007, saya dijemput mewakili GMC dan saya hadir manakala Mustafa pula merasmikan majlis tersebut," dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penjelasan Mustafa bahawa pucuk pimpinan parti itu langsung tidak tahu-menahu mengenai kewujudan GMC iaitu pusat penyebaran propaganda bagi Pas di Kelantan.
Selain itu, Mustafa turut menafikan bahawa parti itu pernah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada Syed Azidi atau lebih dikenali sebagai Kickdefella bagi tujuan melemahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Syed Azidi yang juga bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkata, pemimpin kanan Pas itu sewajarnya bertanya dahulu kepada kepimpinan yang lain sebelum menafikan bahawa parti tersebut pernah menyalurkan peruntukan kepada GMC.
"Dalam hal kewangan, saya mencadangkan Mustafa supaya berbisik dahulu dengan Bendahari Pas Pusat sebelum membuka mulut berhubung isu kewangan sebab saya tahu Bendahari Pas tahu perkara ini.
"Soal dari mana datangnya wang tersebut jangan tanya pada saya, itu tanggungjawab Pas untuk menjelaskannya dan saya yakin banyak pihak ingin tahu dari mana datangnya wang dan saya juga ingin tahu," jelasnya.
Katanya, parti itu tidak sewajarnya lari daripada persoalan pokok iaitu dari mana datangnya wang yang diberikan oleh lima penyumbang terbabit dan bukannya membincangkan mengenai operasi gerak saraf.
"Bukan pemimpin Pas tidak tahu dari mana datangnya wang ini tetapi saya tidak yakin pemimpin Pas Pusat tidak tahu, sebenarnya mereka tidak tahu bagaimana untuk memberitahu kepada umum.
"Isu utama ialah sumber duit perang saraf ini kerana mereka sudah mengaku operasi gerak saraf sememangnya wujud dan telah menjadi kebiasaan, soalnya dari mana datangnya duit ini untuk membiayai operasi ini," katanya.
Tambahnya, beliau tampil membuat pendedahan secara terperinci mengenai wang RM4 juta tersebut selepas dicabar oleh pemimpin dan Dewan Pemuda Pas Kelantan.
"Tindakan saya adalah semata-mata kerana diminta berbuat demikian oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan yang mencabar saya mendedahkannya. Sebagai seorang Islam tidak boleh untuk kita menipu, jadi saya terpaksa menjawab dengan jelas.
"Kemudian apabila saya memberi jawapan, banyak lagi pihak bertanya tentang apa yang saya tahu. Jadi memandangkan saya seorang Islam, saya kena bagi jawapan tanpa menipu," katanya.
/hwa-utusan.com.my

Rayuan terakhir Anwar ditolak

UM - 05/05/2010
PUTRAJAYA 4 Mei - Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan di Mahkamah Tinggi pada Isnin ini setelah rayuan akhirnya untuk membatalkan pertuduhan tersebut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria berpuas hati bahawa tuduhan liwat itu wajar dikekalkan meskipun laporan klinikal menunjukkan tidak berlaku kemasukan zakar.
Ketika membacakan keputusan ringkas yang dibuat sebulat suara itu, Hakim Arifin menyatakan, panel tersebut sudah meneliti keseluruhan laporan perubatan oleh tiga doktor yang memeriksa pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25.
''Mahkamah mendapati laporan yang menyatakan tidak berlaku kemasukan zakar itu gagal menyokong rayuan Anwar bagi membatalkan pertuduhan liwat terhadapnya,'' ujar beliau.
Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar.
Anwar merayu setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Februari lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Disember 2009 yang menolak permohonannya agar tuduhan liwat itu dibatalkan.
Dalam permohonannya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, tuduhan berkenaan berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah selain satu konspirasi politik serta muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.
Anwar didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Pada prosiding hari ini, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah supayar mahkamah tidak melayan rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan kerana tindakan itu bersifat pramatang pada peringkat ini.
Beliau menyatakan, laporan perubatan yang disandarkan oleh pendakwaan itu belum lengkap kerana ia perlu disokong oleh keterangan forensik doktor pakar dan ahli kimia yang menyediakannya.
Hujah Mohd. Yusof, Anwar gagal memberi perhatian terhadap beberapa bukti keterangan lain yang lebih penting termasuk laporan kimia yang menunjukkan kehadiran air mani.
Ujar beliau, rujukan terhadap buku bertajuk Perubatan Forensik Untuk Peguam menyatakan, penemuan air mani pada putik kapas sama ada yang diambil dari lubang dubur atau dari lendir dubur membuktikan perlakuan liwat yang hampir tidak dapat disangkal.
Hujah Mohd. Yusof, lagipun pihak pembelaan mempunyai peluang untuk menyangkal pertuduhan liwat itu ketika berhujah di akhir kes pendakwaan sebelum kes prima facie ditentukan oleh hakim bicara.
Sehubungan itu, ujar beliau, pihak pendakwaan tidak seharusnya dihalang daripada meneruskan kes terhadap Anwar semata-mata atas alasan pertuduhan tidak lengkap.
Bagaimanapun, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar mempertikaikan hujahan berhubung penemuan air mani kerana tidak mungkin ia ditemui jika kemasukan zakar dalam dubur tidak berlaku.
''Bagaimana air mani boleh ditemui dalam dubur jika kemasukan zakar tidak berlaku melainkan ia sengaja diletakkan di situ,'' ujar beliau.
Sehubungan itu, Karpal menyatakan, pendakwaan terhadap Anwar di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan tidak wajar diteruskan kerana laporan perubatan yang tidak lengkap itu dengan sendirinya akan menyanggah keterangan Mohd. Saiful Bukhari.
Ujar beliau, oleh itu tiada gunanya saksi-saksi dipanggil memberi keterangan memandangkan perkara asas dalam pertuduhan liwat iaitu kemasukan zakar, tidak dibuktikan.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang hadir bagi mendengar rayuan tersebut melahirkan perasaan tidak puas hati atas keputusan berkenaan.
Beliau yang sependapat dengan seorang lagi peguam Anwar, S.N. Nair menyatakan, keputusan hakim yang menyertakan alasan melalui dua perenggan ayat itu amat mengecewakan.
/hwa-utusan.com.my

Anwar khianati kawan

BERNAMA - 05/05/10
KUALA LUMPUR 4 Mei - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh kerajaan menggunakan khidmat firma perhubungan awam pro-Israel APCO Worldwide dan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan khidmat bekas ejen Israel dalam projek berkaitan pengurusan maklumat dan komunikasi, dikecam hebat oleh sebuah laman web berhaluan kanan Amerika.
Melalui tulisannya dalam 'The New Ledger', sebuah penerbitan Internet Amerika yang menyiarkan pendapat golongan yang menyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte berkata, Anwar telah membuang kawan lamanya di Washington dan menjadikan kontrak APCO Worldwide sebagai asas untuk mereka cipta teori konspirasi mengenai penguasaan Yahudi, rancangan Zionis dan kegiatan subversif di Malaysia.
Katanya, beberapa orang kanan Anwar juga telah melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk kononnya kerajaan Malaysia telah menggunakan khidmat sebuah syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis di Israel berkaitan projek maklumat dan komunikasi.
Dalam tulisan bertajuk "The Reversal of Anwar Ibrahim", Motte mendakwa Anwar, yang dianggapnya sebagai ahli politik berbisa dan berkarisma, menjadi punca munculnya semangat anti Yahudi di Malaysia.
Katanya, ini bukan kali pertama "beliau mengambil jalan ini" dan beliau "mempunyai sejarah menggigit Yahudi (sikap prejudis atau bermusuh dengan Yahudi) apabila keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.
Sebagai contoh, kata penulis itu, menjelang pilihan raya umum pada 2008, dalam satu wawancara dengan IslamOnline, Anwar berkata, beliau mempunyai bukti bahawa kerajaan bukan saja memberi sokongan kepada puak pelobi Yahudi di Amerika tetapi juga kepada beberapa pihak di Israel.
Motte berkata, beliau berterima kasih kepada pengundi di Malaysia kerana tindakan mereka menyebabkan gabungan parti pembangkang yang diterajui Anwar tidak mendapat undi majoriti pada pilihan raya itu.
Katanya, sejurus selepas Anwar dibebaskan dari penjara kira-kira 10 tahun lepas, beliau datang ke Washington, D.C. dan menghabiskan masa sejak 10 tahun lepas bagi menampilkan imejnya sebagai seorang yang penuh bersopan santun dan berperibadi mulia di Barat.
"Hasilnya, pemerhati hal ehwal luar Amerika menganggapnya sebagai contoh pemimpin Islam yang demokratik dan pejuang pentadbiran yang liberal dari Asia Tenggara.
''Beberapa tahun lepas, beliau dijemput mengajar selama setahun di Johns Hopkins School of Advanced International Studies dan di situ, beliau menjalin persahabatan dengan Yahudi Amerika seperti Paul Wolfowitz — sebagai suatu cara untuk menunjukkan betapa beliau telah jauh berubah daripada imejnya sebagai seorang militan Islam suatu ketika dulu.
"Malah, pada 2008, (bekas naib presiden) Al Gore — yang terkenal sebagai lelaki yang bijak dan tajam persepsinya — terdorong untuk menulis dalam laman blognya bagi mempertahankan maruah Anwar apabila beliau dikritik.
"Beliau adalah antara tokoh hebat dari Barat yang tidak boleh dibeli — tetapi seseorang itu boleh rapat dengan beliau sekiranya beliau bermusuh dengan pihak tertentu dan mempunyai hubungan dengan media yang berpengaruh dalam Beltway (perkataan yang digunakan bagi merujuk kepada sebahagian daripada sistem politik Amerika sebenar atau yang dibayangkan dan mengambil sempena nama lebuh raya antara negeri yang melingkari ibu negara Amerika)," kata penulis itu.
Motte berkata, hubungan antara Anwar dan tokoh-tokoh Yahudi Amerika yang berpengaruh begitu rapat hinggakan jika ditanya kepada rakyat Amerika siapakah tokoh demokrat liberal di Malaysia bagi tempoh 1999 hingga 2009, mereka dengan mudah akan menjawab tokoh itu ialah "Anwar Ibrahim." "Tapi, adakah apa yang digambarkan oleh Anwar Ibrahim tentang dirinya di luar Malaysia sama dengan tindakan yang dilakukannya di negaranya sendiri?," tanya penulis itu.
Motte berkata, apabila berada jauh dari CNN, Al Gore dan Johns Hopkins, Anwar menampilkan dirinya sebagai penghasut yang menyemarakkan semangat anti-Amerika dan anti-Yahudi.
Kata Motte lagi, "dalam mencari siapa yang boleh dijadikan rakan Amerika di dunia Islam, memang sukar untuk membezakan antara kawan yang baik dan kawan yang jahat."
"Bagaimanapun, lazimnya, ahli politik yang memperjuangkan teori konspirasi anti-Yahudi bukanlah rakan Amerika," katanya bagi merujuk kepada Anwar.
Motte berkata, perkembangan di Malaysia beberapa bulan lepas menyerlahkan perubahan yang mengejutkan apabila ketua Pembangkang Anwar Ibrahim meniupkan semangat anti-Yahudi, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula berdiri teguh bersama Presiden Barack Obama dan Amerika.
Penulis itu mengulangi kenyataannya bahawa memang sukar untuk meneka siapakah yang boleh dijadikan kawan oleh Amerika di dunia Islam, selain Raja dan Permaisuri Jordan, beberapa orang di Emiriyah Arab Bersatu dan keluarga diraja Saudi.
"Sebagai contoh, lihatlah sesuatu yang aneh di Malaysia. Negara itu dan parti yang memerintahnya sedia bekerjasama dan bersikap konstruktif terhadap Amerika, tetapi lain pula halnya dengan parti politik pembangkangnya. Keanehan inilah yang sering digambarkan oleh media Barat," katanya.
Motte berkata, kepimpinan Malaysia sekarang bersikap pro perniagaan, pro Amerika dan berani berterus terang kepada dunia Islam bahawa ia adalah sekutu strategik Amerika.
Malah, katanya, pada Sidang kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington baru-baru ini, Najib berikrar akan membantu Amerika dalam pelbagai bidang.
Katanya, nama baik Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam yang stabil dan berpendirian sederhana begitu menyerlah pada dekad ini hasil usaha keras dan kepimpinan perdana menterinya sekarang dan perdana menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
/hwa-utusan.com.my

3 Mei 2010

Syed Azidi dedah penyumbang RM4j

UM - 3/05/2010
KOTA BHARU 2 Mei – Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz hari ini mendedahkan nama pemberi peruntukan RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau yang berbuat demikian bagi menyahut cabaran Dewan Pemuda Pas Kelantan supaya mendedahkan mereka yang terlibat memberitahu, terdapat lima individu utama yang memberikan peruntukan berkenaan.
Dakwanya, mereka ialah Exco kerajaan negeri, ahli majlis kerajaan tempatan, pengarang sebuah akhbar propembangkang, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan dan pemimpin Dewan Pemuda Pas Kelantan.
Kesemua senarai terbabit, jelasnya, telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika beliau memberikan kenyataan kepada suruhanjaya tersebut kelmarin.
Syed Azidi dalam kenyataannya di sini hari ini mendakwa, peruntukan itu diberikan untuk menggerakkan operasi gerak saraf yang dijalankan melalui sebuah syarikat perunding media, Global Media Channel Sdn. Bhd. (GMC) yang beribu pejabat di Jalan Kota Darul Naim di sini bermula pada Julai 2007.
“Penyumbang terbesar ialah ahli majlis terbabit iaitu RM2.6 juta bermula pada Julai 2007 sehingga November 2008.
/hwa-utusan.com.my

27 April 2010

ADUN Pas pertikai kuasa sultan?

UM - 27/04/2010

ALOR SETAR 26 April – Tindakan seorang wakil rakyat Pas mengemukakan dua soalan kontroversi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini dilihat sebagai seolah-olah cuba mempertikai kuasa Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.

Perbuatan itu dapat dilihat apabila Mohd. Nasir Mustafa (Pas-Kubang Rotan) mengemukakan dua soalan bertulis kepada Dewan iaitu:

  • Sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat?
  • Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam?

    Menyedari perkara itu, Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail kemudiannya bertindak menarik balik soalan tersebut dan mengakui beliau mungkin terlepas pandang selepas menerima bantahan pembangkang.

    Bagaimanapun, sebelum soalan itu ditarik balik, sidang DUN menjadi kecoh selama 20 minit akibat pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

    Ia bermula apabila soalan tersebut disanggah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mencadangkan kepada Abdul Isa supaya membatalkan soalan tersebut.

    Ini kerana, menurut Mahdzir, tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN Kedah yang membahaskan tentang sejauh mana kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini dan soalan tersebut seolah-olah mempertikaikan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam.

    “Kita tidak perlu penjelasan mengenai sejauh mana kuasa Tuanku Sultan dan kita seolah-olah hendak melibatkan Tuanku dalam masalah ini. Oleh itu, saya cadangkan agar soalan ini ditarik balik,” katanya.

  • /hwa-utusan.com.my

    'Bedah siasat' pengundi Cina sokong pembangkang

    UM - 27/04/2010

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana parti itu telah melakukan banyak perkara bagi membela nasib penduduk di Hulu Selangor termasuk kaum Cina sendiri.

    Malah tegas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan yang terbaik bagi mendapatkan sokongan penduduk di kawasan tersebut.

    ''BN menang tetapi majoritinya tidaklah seperti yang sepatutnya. Ini agak jelas dan kita nampak sokongan yang kurang daripada pengundi Cina.

    ''Bagaimanapun sokongan kaum Melayu dan India meningkat dan membolehkan BN mencapai kemenangan.

    ''Kita kena buat bedah siasat dan analisis supaya kita tahu apa masalahnya yang menyebabkan kita menang tetapi dengan majoriti yang tak seperti dijangkakan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada perbincangan "China Yang Kukuh - Implikasi dan Cabaran" anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini hari ini.

    Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor semalam, calon BN, P. Kamalanathan berjaya menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi apabila memperoleh 24,997 undi.

    Mengulas mengenai kemenangan di Hulu Selangor, Dr. Mahathir berpendapat Najib telah berjaya menukar pandangan penduduk dan daya kepimpinannya kini diterima oleh segenap lapisan rakyat.

    Beliau turut menegaskan, kempen-kempen parti yang dikaitkan dengan perkauman sudah tidak lagi memberi kesan kerana dalam tempoh berkenaan mereka boleh bercakap apa sahaja.

    Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, biarpun ada yang berpendapat bahawa politik berasaskan kaum akan berkurangan selepas pilihan raya umum lalu namun jelas bahawa ia semakin kuat berbanding sebelum ini.

    Bagaimanapun, beliau percaya, harapan untuk melihat BN menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti tetap ada.

    ''Ini kerana keputusan Pilihan Raya Umum 2008 bukan kerana parti BN tetapi kerana orang tertentu yang rakyat tidak suka,'' katanya lagi.

    /hwa-utusan.com.my

    26 April 2010

    BN tidak beli undi di Hulu Selangor - Najib

    BERNAMA - 26/04/2010 1:25pm

    PUTRAJAYA 26 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Barisan Nasional (BN) terbabit dengan perbuatan membeli undi untuk memenangi pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor semalam.

    Perdana Menteri berkata perlaksanaan projek-projek yang diumumkan di Hulu Selangor baru-baru ini adalah bagi menangani pelbagai yang dihadapi penduduk tempatan yang sudah berlarutan sekian lama.

    "Kami tidak beli undi, tapi kami selesaikan masalah orang ramai. Ia adalah masalah sebenar yang tidak ditangani sejak sekian lama, ia adalah masalah besar yang dihadapi penduduk.

    "Bukannya BN ke sana sini dan beritahu ”tengok sini, kami beri yang itu, kami beri yang ini”, tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010 di sini.

    Turut hadir ialah mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga penasihat Landskap Malaysia, bersama isterinya Tun Jeanne Abdullah yang merupakan pengerusi Landskap Malaysia.

    /hwa-utusan.com.my

    Siasatan SPRM terhadap Nik Aziz, menantu masih diteruskan

    BERNAMA - 26/04/2010 7:22pm

    KOTA BHARU 26 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terhadap Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berhubung dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

    Sambil menolak tanggapan kononnya kes itu ditutup atau siasatan sengaja dilewatkan, Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd. Nor berkata, beberapa orang akan dipanggil bagi membantu siasatan itu dalam masa terdekat ini.

    "Ada beberapa saksi akan dipanggil yang berkaitan dengan aduan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen “Perangi Pemberi Rasuah” di sini hari ini.

    Pada 7 April lepas, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian mendesak SPRM mendedahkan status siasatan tersebut.

    SPRM dilaporkan telah menjalankan siasatan terhadap Abdul Ariffahmi sejak November tahun lepas setelah timbul pelbagai dakwaan mengenai PMBK.

    Siasatan terhadap Nik Abdul Aziz pula dipercayai dilakukan setelah terdapat laporan yang beliau dan keluarganya menerima tajaan haji bernilai RM65,000 yang turut melibatkan Abdul Ariffahmi serta beberapa ahli keluarganya.

    /hwa-utusan.com.my

    Isu kuasa sultan: Sidang DUN Kedah bertukar “panas”

    BERNAMA - 26/04/2010 7:09pm

    ALOR SETAR 26 April – Kerajaan Negeri Kedah hari ini terpaksa menarik balik soalan bertulis seorang penyokongnya dari Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggap menghina Sultan Kedah ekoran bantahan daripada beberapa anggota Barisan Nasional (BN).

    Speaker Datuk Dr. Abdul Isa Ismail membuat keputusan kedua-dua soalan berkenaan ditarik balik selepas Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Pedu) selaku Ketua Pembangkang dan seorang anggota BN lain bangun membuat bantahan terhadap soalan-soalan tersebut yang dianggap mempertikaikan kuasa sultan sebagai ketua agama Islam negeri.

    Pertikaman lidah tercetus selepas Mahdzir bangun meminta supaya soalan bertulis ketiga Mohd. Nasir Mustafa (Pas-Kubang Rotan) ditarik balik.

    Anggota Pas itu bertanya sejauh manakah bidang kuasa sultan sebagai ketua agama Islam negeri ini dihormati oleh kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.

    Mahdzir berkata, semasa BN mentadbir kerajaan negeri Kedah, soalan yang menyentuh bidang kuasa sultan tidak pernah dibangkitkan di DUN dan kuasa baginda juga tidak pernah dipertikaikan.

    Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Pas-Sungai Limau) berkata, soalan itu diajukan bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai bidang kuasa Sultan Kedah berkaitan hal ehwal agama Islam.

    Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) bagaimanapun bangun mempertikaikan kedua-dua soalan itu dengan menjelaskan bidang kuasa sultan telah termaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri.

    Dr. Abdul Isa, yang mengakui beliau mungkin terlepas pandang perkara tersebut, kemudian membuat keputusan supaya kedua-dua soalan bertulis itu ditarik balik.

    /hwa-utusan.com.my

    Dr. Mahathir yakin imej baru kepimpinan BN bawa kejayaan

    BERNAMA - 26/04/2010 6:50pm

    KUALA LUMPUR 26 April - Datuk Seri Najib Tun Razak telah dapat memperbaharui imej kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan ia berpeluang memperoleh kejayaan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau memuji peranan Najib dalam kemenangan calon BN P.Kamalanathan dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor semalam.

    "Saya fikir Datuk Seri Najib telah dapat tukar imej kepimpinan BN daripada yang terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas memberi ucap tama pada satu forum anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

    Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata BN harus melakukan post mortem tentang kehilangan sokongan pengundi Cina manakala sokongan pengundi Melayu dan India telah meningkat.

    "PRU (pilihan raya umum) ke-13, ada kemungkinan kita menang, lebih dari kali ini. PRU 12 kalah bukan kerana BN, tapi orang tertentu yang rakyat tak suka,” katanya.

    /hwa-utusan.com.my

    Barisan Nasional

    Nama : Kamalanathan Panchanathan
    Umur : 44 tahun
    Asal : Taman Garing, Rawang, Selangor
    Kedudukan: Anak sulung dari tiga beradik
    Pekerjaan: Pegawai Perhubungan Awam, Syarikat Serba Wangi Sendirian Berhad
    Kelulusan:
    • Sarjana Muda Komunikasi Massa - Perhubungan Awam, Edith Cowan University, Australia
    • Diploma Perhubungan Awam, Institut Perhubungan Awam Malaysia
    • Diploma Penterjemahan Bahasa (Komunikasi), Dewan Bahasa dan Pustaka
    Pengalaman Politik: 26 tahun
    Jawatan: Ketua Penerangan MIC dan Ketua Penyelaras Putera MIC Pusat
    Isteri : Shobana Subramaniam
    Umur: 36 tahun
    Pekerjaan: Pengurus Pentadbiran

    Parti Keadilan Rakyat

    Nama :
    Datuk Zaid Ibrahim
    Umur :
    59 tahun
    Asal :
    Kelantan
    Kedudukan:
    Ijazah Undang-undang University of London
    Isteri :
    Suliana Shamsuddin
    Anak:
    Mohd Ezra, Alysha Azrin
    Kerjaya Politik:
    • Ketua Bahagian Umno Kota Bharu (2001)
    • Ahli Parlimen Kota Bharu (2004-2008)
    • Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan (2004)
    • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Dilantik pada Mac 2008)
    • Meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (September 2008)
    • Dipecat dari Umno (Disember 2008)
    • Menyertai Parti Keadilan Rakyat (2009)

    BN tawan semula Hulu Selangor

    P. Kamalanathan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) terdiri daripada Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Noh Omar, Shahrizat Abdul Jalil, Dr, Chua Soi Lek dan Dr. Koh Tsu Koon meraikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.

    UM - 26/04/2010

    HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

    Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

    Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

    Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

    Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

    Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

    Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

    BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

    Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

    Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

    Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

    Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.

    /hwa-utusan.com.my

    25 April 2010

    BN rampas Parlimen Hulu Selangor

    P. Kamalanathan calon Barisan Nasional (BN)
    BH - 2010/04/25

    KUALA KUBU BHARU: Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya, P Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

    Pengumuman keputusan penuh pilihan raya kecil itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan, tepat jam 9.15 malam di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Hulu Selangor, di sini.

    Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC Pusat memperoleh 24,997 undi manakala Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendapat 23,272 undi.

    Pada penamaan calon 17 April lalu, turut bertanding adalah Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor, V S Chandran dan peniaga, Johan Mohd Diah, masing-masing calon Bebas tetapi menarik diri pada hari kedua berkempen.

    Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR yang meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.
    /hwa-bharian.com.my

    Rasmi: Calon BN, P. Kamalanathan menang di Hulu Selangor

    UM -25/04/2010 9:19pm

    HULU SELANGOR 25 April - Berikut keputusan penuh dan rasmi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR):

    P. Kamalanathan (BN) mendapat 24,997 undi, manakala Zaid Ibrahim (PKR) mendapat 23,272 undi, dengan majoriti memihak kepada BN sebanyak 1,725 undi.

    /hwa-utusan.com.my

    24 April 2010

    Kain rentang debat Najib–Anwar palsu


    BH - 2010/04/24

    KUALA KUBU BHARU: Pembangkang yang ketandusan isu untuk dijaja pada saat akhir pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, esok memasang kain rentang kononnya ada debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.

    Tindakan itu adalah taktik jahat pembangkang yang mahu mengadakan cerita kononnya Perdana Menteri tidak sanggup untuk berdebat dengan Anwar.

    Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, berkata tindakan itu membuktikan pembangkang ketandusan idea.
    /hwa-bharian.com.my

    Pok Amai-amai


    Pok amai-amai
    belalang kupu-kupu
    Dulu kata ramai
    sekarang kuar satu-satu.

    Kerakusan politik Penasihat PKR mula makan diri

    Oleh Jamhariah Jaafar
    BH - 2010/04/24

    Ramai keluar parti selepas sedar percaturan Anwar termasuk pemilihan Zaid bertanding di Hulu Selangor

    TERPAKU seketika melihat senarai nama sahabat meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan seorang blogger dan terngiang suara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bercerita mengenai bekas timbalannya itu pada kempen di Serendah, malam kelmarin.

    Persoalan yang tercetus ialah mengapa teman yang sanggup berkorban ketika dia susah, tiba-tiba dan satu demi satu meninggalkannya ketika dia bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat menuju ke Putrajaya.

    Lagi terkedu apabila seorang sahabat calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang ditemui ketika berkempen di Hulu Selangor, mengemukakan teori bahawa pencalonan peguam kaya raya ini mempunyai kaitan rapat dengan siapa orang paling layak menjadi ‘Perdana Menteri’, sekiranya Anwar ke penjara sekali lagi dan pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Blogger, Jebat Must Die (http://jebatmustdie.wordpress.com/) ketika menyenaraikan 38 orang kuat PKR meninggalkan parti itu kerana kecewa dan hilang kepercayaan terhadap Anwar, turut melemparkan persoalan yang wajar diberi perhatian iaitu:

    “Jika mereka (dalam senarai) yang pernah menjadi orang kuat dan panglima terkanan Anwar sudah meninggalkan PKR dan pakatan pembangkang, mengapa saudara saudari sekalian yang saya rasa tidak pernah mengenali Anwar secara dekat, yang hanya pernah melihat beliau dari jauh atau hanya dalam televisyen, atau mungkin pernah berjabat tangan hanya sekali dua dengan beliau, masih mahu menyokong Anwar?

    “Adakah anda semua pemimpin atau ahli politik bahagian PKR? Adakah saudara saudari pernah makan tengah hari dengan Anwar? Saudara saudari pernah berceloteh, bergurau senda dengan beliau? Saudara saudari kenal beliau secara dekat sudah bertahun-tahun? Saudara saudari sering berhubung melalui telefon dengan beliau?

    “Saudara saudari begitu rapat dengan Anwar sehingga boleh dengan senang keluar masuk banglo mewah milik Anwar? Tidak pernahkan? Jadi mengapa saudara saudari masih ingin menyokong Anwar tatkala mereka di atas yang begitu rapat dengan beliau sudah meninggalkan beliau atas dasar hilang kepercayaan?

    “Apakah bendanya yang membuat saudara saudari begitu HADAP sekali dengan Anwar Ibrahim hinggakan saudara saudari sekalian masih mempercayai beliau, walaupun mereka yang begitu kasihkan Anwar suatu waktu dulu sudah meninggalkan beliau?”
    Dr Mahathir ketika berceramah di Serendah malam kelmarin, turut mengemukakan persoalan sama, terutama membabitkan orang pertama meninggalkan PKR, Dr Chandra Muzaffar yang ketika itu sudah menjadi Timbalan Presiden, tapi memutuskan hubungan kerana justifikasi parti itu untuk keadilan semakin terpesong daripada matlamat asal.

    Sahabat Zaid pula percaya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika menjadi ahli Umno tidak lama dulu, mempunyai impian untuk menjadi Perdana Menteri dan menyedari dia tidak akan mencapai impian itu jika kekal bersama Umno.

    “Cuba tengok arah aliran kepemimpinan yang ada dalam PKR sekarang. Dengan membuat andaian Anwar mungkin dipenjara kerana kes mahkamahnya... selain Azmin (Ali), siapa lagi calon terbaik bagi PKR untuk menjadi Perdana Menteri.

    “Kawan-kawan memang sedar, Zaid mempunyai cita-cita amat tinggi dan dia sudah nampak tidak dapat pergi jauh jika kekal bersama Umno. Kerana itu, dia menyertai PKR yang dianggap boleh menjadi platform untuk mencapai impian indah itu sekiranya PKR boleh menumbangkan kerajaan BN,” kata sumber ini.

    Tambahnya, dengan kekayaan yang dimiliki ketika bersama Umno membuatkan Zaid menjadi antara orang paling berpengaruh dalam PKR hari ini, apa lagi dengan kemampuannya dan Anwar untuk mendapatkan sokongan serta bantuan dana daripada kumpulan berpengaruh di dalam serta luar negara.

    “Kita perlu melihat perancangan terutama membabitkan pelan peralihan kuasa dalam PKR, sekiranya Anwar ditimpa kejadian tidak diingini. Azmin mungkin berasa dia lebih layak berasaskan kepada kesetiaannya kepada Anwar selama ini, tetapi Zaid memiliki kekayaan yang jauh melimpah ruah berbanding Azmin.

    “Antara Azmin dan Zaid, ramai yakin Anwar akan memilih Zaid sebagai penggantinya, kerana Zaid lebih lantang, berani dan berwibawa untuk menjadi pemimpin tertinggi,” kata sumber berkenaan.

    Kerana itu tambah sahabat ini, Zaid dipilih sebagai calon di Hulu Selangor – Anwar memerlukan seorang yang lantang dan berani untuk membantunya di Parlimen bagi tempoh dua tahun akan datang.

    Bekas Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Noordin, pernah menggelar Zaid sebagai antara Firaun Kecil dalam PKR dan membuat keputusan untuk keluar parti kerana tidak tahan dengan kerenah beberapa firaun kecil ini.

    “Dalam soal Zaid yang mahu saya dipecat daripada parti, saya tidak berminat melayan politikus hingusan dan opportunis macam dia. Saya hendak bertanya apakah pendirian dia mengenai hudud, kerana dulu dia pernah saman kerajaan Kelantan kerana hendak laksanakan hudud. Selepas itu Pas perlu buat pendirian terhadap orang macam ini. Kita hendak tahu sejauh mana Pas boleh berkompromi dengan soal Islam ini,” katanya ketika membuat keputusan keluar PKR baru-baru ini.

    INFO: Senarai keluar PKR:
  • Chandra Muzaffar (Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional)
  • S Nalla Karuppan (Ketua Bahagian PKR Kepong)
  • Ezam Mohd Nor (Ketua Pemuda PKR)
  • Anuar Shaari (Setiausaha Anwar Ibrahim)
  • Fairus Khairuddin (Adun Penanti – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang)
  • Zahrain Mohd Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru)
  • Zulkifli Noordin (Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim)
  • Zainur Zakaria (bekas peguambela Anwar, AJK Parti Keadilan Nasional)
  • Ruslan Kassim (Ketua PKR Negeri Sembilan dan juga Ketua Penerangan PKR)
  • Nell Onn (Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional)
  • Jeffrey Kitingan (Naib Presiden PKR))
  • Marina Yussuf (Naib Presiden Parti Keadilan)
  • Lokman Noor Adam (Setiausaha Angkatan Muda Keadilan)
  • V. Arumugam (Adun Bukit Selambau)
  • Mohd Radzi Salleh (Adun Lunas)
  • Badrul Hisham Abdullah (Adun Pelabuhan Kelang)
  • Tan Tee Beng (Ahli Parlimen Nibong Tebal)
  • Sallehudin Hashim (Setiausaha Agung PKR)
  • Dr Halili Rahmat (Bendahari PKR Hulu Selangor)
  • Muhammad Zahid Md Arip (Naib Ketua Pemuda PKR)
  • Mohsin Fadzli Samsuri (Ahli Parlimen Bagan Serai)
  • Hamdan Taha (Timbalan Pengarah Pilihan raya Keadilan)
  • Dr Abdul Wahid Ahmad Suhaimie (Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang)
  • Jamaludin Abu Hassan (Pemangku Ketua PKR Padang Serai)
  • Mohd Hanafiah Man (Ketua Pemuda Keadilan Perak)
  • Fakhrul Azman Abu Bakar (Exco Pemuda Keadilan)
  • Shamsul Bahari Shamsuddin (Exco Pemuda Keadilan)
  • Rosli Mohd Johar (Naib Ketua Pemuda Keadilan Wilayah Persekutuan)
  • Zainuddin Awang (Exco Pemuda Keadilan Terengganu)
  • Datuk Bujang Ulis (Keadilan Sarawak)
  • Rusli Mohd Shariff (Naib Ketua Pemuda Keadilan Negeri Sembilan)
  • Jeffry Nizam (Exco Pemuda Keadilan Pahang)
  • Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang)
  • Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Adun Changkat Jering)
  • Tan Wei Shu (Adun Bakar Arang)
  • Soraya Sulaiman (Ketua Penerangan Wanita PKR)
  • Roshanita Mohd Basir (Timbalan Ketua Wanita PKR Bahagian Bagan Serai)
  • Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak (Naib Presiden PKR)
  • /hwa-bharian.com.my

    Saya suka jumpa rakyat dari berdebat dengan pembangkang - Najib

    BERNAMA - 24/04/2010 5:53pm

    HULU SELANGOR 24 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau lebih suka berjumpa rakyat daripada memikirkan mengenai cabaran berdebat dengan Ketua Pembangkang.

    Najib berkata, beliau tidak mengambil kisah mengenai cabaran tersebut kerana apa yang perlu diutamakan ketika ini adalah memberi masa depan yang terjamin untuk rakyat.

    "Mana ada dalam perancangan nak berdebat dengan Anwar Ibrahim di Kuala Kubu Baru. Tak ada. Saya lebih suka kalau dapat jumpa dengan anda kerana lebih banyak faedah yang diperolehi daripada berjumpa dengannya.

    "Oleh itu kita jangan ambil kisah apa yang dilakukan pembangkang kerana mereka lebih mementingkan politik daripada memperjuangkan agenda rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat di Kampung Melayu Rasa di sini, hari ini.

    Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negri (ADUN) Batang Kali Mohd Isa Abu Kasim.

    Beberapa kain rentang dipasang di sekitar pekan Kuala Kubu Baru (KKB) yang mendakwa Perdana Menteri akan menyertai debat perdana dengan Anwar di stadium mini Kuala Kubu Baru pukul 9 malam ini.

    Najib berkata, perdebatan seperti itu jelas tidak akan menguntungkan mana-mana pihak malah rakyat juga tidak seharusnya dilibatkan dalam permainan serta helah politik pembangkang yang tiada kesudahan.

    "Tidak ada gunanya saya menyertai debat yang tidak bertujuan dan belum pasti apa faedahnya. Kita ada gagasan, kita ada dasar, kita ada kemahuan yang telah pun dibuat. Saya akan teruskan pembaharuan ini,”katanya.

    /hwa-utusan.com.my

    Nik Aziz lakukan 'pengingkaran serius' pertikai titah Sultan Selangor: PM

    BH - 2010/04/24

    ULU BERNAM: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, melakukan "pengingkaran yang serius" kerana mempertikai titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid sebagai pentas politik.

    Perdana Menteri berkata, ia juga penghinaan kepada Sultan sekali gus akan mengguris hati rakyat Selangor khususnya di Parlimen Hulu Selangor.

    "Ini menunjukkan (Nik Aziz) tidak menghormati sama sekali apa yang ditetapkan Perlembagaan negara dan kehendak agama Islam.

    "Larangan Sultan Selangor itu kita perlu hormati dan ikuti titahnya," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Sarapan 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang di sini, sebentar tadi.
    /hwa-bharian.com.my