15 April 2008

MB Selangor dan Wan Azizah antara individu akan dipanggil polis berhubung Black 14

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil semua individu yang terbabit dalam perhimpunan Black 14, malam tadi, termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Ismail akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Samah Mat, berkata mereka akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
"Mereka akan disiasat kerana menganjurkan perhimpunan haram," katanya di sini, pagi ini.

Majlis Makan Malam Bertukar Jadi Perhimpunan Haram, Kata Polis

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Perhimpunan Black 14 anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kelab Sultan Suleiman di Kampung Baru di sini yang sepatutnya menganjurkan majlis makan malam bersama rakyat, bertukar menjadi perhimpunan haram.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata perhimpunan yang dihadiri kira-kira 7,000 penyokong PKR itu bermula pukul 8.30 malam ini, namun diberhentikan pada pukul 10.30 malam atas arahan Ketua Polis Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman, dan para penyokong kemudiannya bersurai dengan aman.
"Surat permohonan yang diserahkan kepada polis pada 8 April lepas hanya menyatakan untuk mengadakan majlis makan malam, dan ia menyebut hanya tiga pemimpin tertinggi parti itu akan memberi ucapan, tetapi sebaliknya (majlis malam ini) tiada majlis makan malam untuk rakyat, tetapi hanya kepada pemimpin parti itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini malam ini.
Beliau berkata tiga pemimpin tertinggi yang sepatutnya memberi ucapan ialah Timbalan Presiden Parti itu Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Timbalan Pengerusi Kelab Sultan Sulaiman Datuk Mokhtar Ahmad, dan bukannya penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika ditanya pemberita kenapa permit perlu dimohon oleh parti itu sedangkan boleh dibuat di kawasan persendirian, Muhammad Sabtu berkata walaupun ia dibuat di kelab persendirian, ia bukan majlis tertutup.
"Ini kerana ceramah yang diadakan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran pengikut parti itu turut mendatangkan mudarat kepada orang awam lain dan peniaga pasar malam yang berniaga di sekitar kelab ini.
"Adalah menjadi satu kesalahan mengadakan perhimpunan atau perjumpaan tanpa permit dan Seksyen 27 (3) Akta Polis membolehkan polis memberhentikan mana-mana perhimpunan atau perjumpaan tanpa lesen," katanya.Polis Kuala Lumpur mengadakan kawalan lalu lintas sejak pukul 4 petang tadi melibatkan 1,350 anggota Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am, katanya.
Muhammad Sabtu berkata tiada sebarang tangkapan dibuat, bagaimanapun pihak polis akan mengkaji aspek undang-undang yang berkenaan, adakah perlu tangkapan dibuat selepas ini.
"Pada malam ini polis tidak menangkap mana-mana individu, tetapi tangkapan akan dibuat selepas ini bergantung kepada siasatan dan tidak terkecuali terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim jika didapati beliau juga telah melanggar undang-undang semasa perhimpunan itu diadakan," katanya.
Katanya polis akan berkawal di sekitar Jalan Kelab Sultan Sulaiman sehingga keadaan kembali reda.
-- BERNAMA, 15 April, 2008 08:52 AM

Peralihan kuasa jangan terlalu lama

SHAH ALAM 14 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti berani menerima kenyataan dan membuat pelan peralihan kuasa kepimpinan parti dan negara kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, proses peralihan boleh dilakukan dalam jangka waktu terdekat atau lebih panjang tetapi tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama sehingga boleh menjejaskan pentadbiran negara mahupun parti.
"UMNO masih menghormati Pak Lah (Abdullah). Namun rakyat dan ahli UMNO ada pandangan sendiri yang telah diterjemahkan dalam pilihan raya serta perjumpaan-perjumpaan bersama akar umbi UMNO.
"Justeru cara terbaik ialah Pak Lah dan Datuk Seri Najib dapat mengemukakan satu rancangan peralihan kuasa yang licin dan dalam suasana mesra.
"Jika ini dapat dilakukan secara tertib, saya percaya rakyat akan kembali menghormati Pak Lah sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,'' kata bekas Menteri Besar Selangor itu menerusi blognya, www.drkhir.com.
Menurutnya, dalam pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri itu menyuarakan pendapat akan terus meluahkan perasaan bimbangnya terhadap masa depan UMNO dan BN jika ia terus dipimpin Abdullah.
"Tun telah hilang keyakinan terhadap kewibawaan Pak Lah. Sebagai bekas Perdana Menteri yang melantik Pak Lah, Tun berpendapat adalah tanggungjawab dan kewajipan beliau untuk kembali membetulkan kepimpinan UMNO hari ini," ujarnya.
Oleh itu, tegasnya, sebagai pemimpin UMNO, beliau dan ketua-ketua UMNO bahagian lain yang dilatih untuk menghormati pemimpin, permintaan kepada Perdana Menteri untuk meletak jawatan secara terbuka adalah langkah terakhir yang terpaksa dilakukan.
"Selalunya kami tunjukkan secara kiasan atau tidak langsung dengan harapan hasrat itu difahami," katanya.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, pemimpin-pemimpin UMNO memahami kehendak rakyat seperti ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Bagaimanapun, jelasnya, mereka menghadapi kepayahan untuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan sebagai memikul tanggungjawab atas kekalahan tersebut.
"Tidak benar untuk mengatakan pemimpin UMNO tidak faham dengan mood orang ramai, lebih-lebih lagi berdasarkan isyarat jelas keputusan pilihan raya lalu," katanya.
"Ini terbukti apabila ramai pemimpin UMNO mula bersuara secara terbuka mahu pun hadir dalam program Tun Dr. Mahathir," katanya.
Dalam pada itu, katanya lagi, pemusatan kuasa Presiden dan sistem kuota dalam UMNO perlu dilihat semula dengan memberi kebebasan kepada ahli memilih pemimpin tanpa sekatan atau dengan jumlah kuota minimum.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kemasukan ahli UMNO dan yuran keahlian dilakukan secara terus atau melalui Internet bagi mengelak kekangan pemimpin tertentu.
Beliau juga mencadangkan agar UMNO mendengar pandangan akar umbi daripada pemotong rumput sehingga kepada ketua pegawai eksekutif syarikat gergasi.
"UMNO tiada pilihan lain kecuali berani berubah mengikut kehendak orang Melayu dan rakyat Malaysia," jelasnya.
-- UM, 15/04/08.

14 April 2008

Pelan peralihan kuasa akan dirunding: Najib

IPOH: Datuk Seri Najib Razak berkata Umno mempunyai cara dalaman, pengalaman dan tradisi untuk melaksanakan proses peralihan kuasa pucuk pimpinan kerajaan dan parti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan berjumpa dan berunding dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perkara itu.


“Saya nyatakan biarlah saya dan PM berjumpa dan berunding atas perkara ini apabila sampai masanya...biarlah perkara ini dirundingkan kerana soal masa yang sesuai, dan kaedah sebagainya, kita tidak tentukan. Biarlah perkara ini dirundingkan dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika diminta mengulas desakan beberapa pemimpin Umno supaya pelan peralihan kuasa parti dan kerajaan disegerakan.


Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai Jawatankuasa Pengurusan Umno dalam perjumpaan tertutup dengan pemimpin Umno Perak empat peringkat di ibu pejabat Umno Perak, di sini.


Najib mengakui bahawa perkara mengenai pimpinan parti dan kerajaan sudah dibangkitkan dalam perjumpaan berkenaan.


- Bernama, 14/04/08.

13 April 2008

Tak arah tutup mulut

Oleh Sariha Mohd Ali
Umno benar ahli suarakan rasa tidak puas hati: Najib
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno tidak akan mengeluarkan arahan supaya 'menutup mulut' ahlinya terutama pada peringkat akar umbi daripada menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap parti itu selepas kehilangan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Timbalan Presiden Umno berkata, larangan seumpama itu jika dilaksanakan bukan saja boleh menyebabkan orang ramai marah kepada Umno, sebaliknya menganggap parti ini sebagai tidak demokratik lagi.
Berikutan itu, katanya, Umno tidak akan melarang ahlinya bercakap untuk meluahkan pandangan mereka kerana input ini penting untuk diteliti pucuk pimpinan."Kita tidak akan keluarkan arahan tutup mulut bagi melarang orang Umno bercakap sebab mereka akan kata Umno tidak demokratik.
"Mereka juga akan marah kepada kita dan bagi menunjukkan Umno mengamalkan demokrasi, kita akan terus beri peluang mereka bercakap.
"Paling penting sekarang ialah kita dapat maklum balas secara terbuka dan ikhlas daripada ahli pada semua peringkat dan kita akan serahkan pandangan itu kepada pucuk pimpinan untuk diteliti," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Akuakultur Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Teknologi Fish Protech, di Kampung Kuala Pahang, dekat sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi LKIM, Datuk Adam Abdul Hamid.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno memberi peluang kepada pemimpin pada peringkat bahagian menyuarakan pandangan mereka tetapi pihak terbabit juga perlu memberi peluang kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk merumuskan perkara itu.
"Berilah juga peluang kepada pucuk pimpinan khasnya Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memikirkan apakah cara terbaik untuk memulihkan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat," katanya.
Ditanya mengenai perbezaan pendapat mengenai sistem kuota untuk bertanding pada pemilihan Umno dan terbaru kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo yang turut tidak bersetuju sistem itu dikekalkan, Najib berkata ada beberapa pandangan tetapi perkara itu akan dibincangkan di peringkat MT selepas ini.“Apa yang terbaik pada masa sekarang ialah kita masih lagi memakai peraturan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas pelan peralihan kuasa Perdana Menteri kepadanya seperti dinyatakan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, Najib berkata:
"Nantilah... saya akan cakap bila tiba masanya. Hari... hari cakap hal itu, tak apalah... nanti," katanya.
Akhbar semalam melaporkan Muhyiddin sebagai berkata, Abdullah akan berbincang dengan Najib mengenai pelan peralihan kuasa itu tetapi tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci.
Abdullah secara terbuka sebelum ini menyatakan bahawa Najib bakal menggantikannya dan beliau akan menyerahkan jawatan apabila tiba masanya.

12 April 2008

Abdullah akui ada pemimpin Kedah, PP mahu beliau berundur

JOHOR BAHRU 11 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengakui ada permintaan dalam kalangan pemimpin UMNO bahagian di Kedah dan Pulau Pinang supaya beliau melepaskan jawatan ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lepas.
Presiden UMNO itu bagaimanapun menegaskan, beliau perlu terus memimpin parti itu bagi menunaikan mandat dan tanggungjawab kepada negara serta rakyat.
“Ada (permintaan), yalah bukan semua kata begitu. Saya dapat juga laporan yang agak detail. Tak apalah mereka nak bercakap tentang itu. Saya dengar, bukan saya tak dengar.
“Saya pun bukan orangnya yang hendak kekal selama-lamanya dalam kepimpinan. Saya sudah bercakap semasa berjumpa dengan Biro Penerangan UMNO seluruh Malaysia, 1,500 orang semuanya,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO Johor diketuai Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Menteri Besar Johor di sebuah hotel di sini hari ini.
Abdullah mengulas desas-desus pemimpin bahagian di Kedah dan Pulau Pinang yang mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengurusan UMNO semalam meminta beliau melepaskan jawatannya ekoran prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan berundur apabila tiba masanya kerana tidak akan memimpin parti untuk selama-lamanya.
“Saya bukanlah mahu memimpin lama tetapi saya ada mandat daripada rakyat dan perlu menunaikan tugas dan tanggungjawab untuk memastikan setiap masalah diatasi, itu yang menjadi lebih utama,” katanya.
Justeru Abdullah berkata, beliau perlu terus memimpin kerana bertanggungjawab untuk memulihkan UMNO dan BN menerusi beberapa langkah segera yang sedang berjalan.
-- UM, 12/04/08

PM, Najib bincang pelan peralihan kuasa – Muhyiddin

JOHOR BAHRU 11 April – Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berbincang dengan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya itu, kata Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Beliau berkata, Abdullah memberitahu perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO Johor di sini bahawa beliau akan berbincang secara terperinci mengenai pelan tersebut dengan Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO.
“Tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci... hal-hal berkaitan dengan bila masa dan sebagainya beliau akan bincang dengan Datuk Seri Najib,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan berkenaan di sebuah hotel di sini.
Beliau berkata Abdullah telah pun secara terbuka sebelum ini menyatakan bahawa Najib bakal menggantikan beliau. Abdullah, yang juga Presiden UMNO memberitahu Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO untuk jentera penerangan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur Sabtu lepas bahawa Najib adalah penggantinya dan beliau akan menyerahkan jawatan apabila tiba masanya.
Muhyiddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh, berkata pada perjumpaan itu juga, Abdullah menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan berkaitan pilihan raya umum lepas seperti punca kekalahan, isu berkaitan sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi muda.

-- UM, 12/04/08.

Saya antara penyebab: Pak Lah

Oleh Khirul Bahri Basaruddin dan Johan Afandi
JOHOR BAHRU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata, beliau adalah antara faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, kerana itu beliau berasa lebih bertanggungjawab dan perlu berusaha melakukan yang sebaik-baiknya bagi memulihkan semula kekuatan BN dan parti.“Saya merasakan saya adalah penyebab kepada 'pembuangan undi' (undi tidak diberikan) kepada BN dan saya berasakan bertanggungjawab untuk membuat yang sebaiknya-baiknya bagi memulihkan semula BN dan Umno.“


Buat masa ini, yang paling penting ialah saya bertanggungjawab memulihkan semula Umno dan BN kerana masih banyak perkara yang belum ditunaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Johor, di sini.


Abdullah juga mengulangi pendiriannya untuk tidak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dalam tempoh terdekat ini, walaupun wujud desakan supaya beliau berbuat demikian.“Saya mempunyai mandat daripada rakyat dalam pilihan raya lalu dan yakin dapat mengatasi masalah yang sedang melanda parti dan kerajaan.


Saya juga tidak akan memimpin negara serta parti selama-lamanya dan ini sudah saya jelaskan,” katanya.Perdana Menteri berkata, beliau sedar bahawa rakyat menaruh harapan tinggi kepada kerajaan pimpinannya untuk melaksanakan manifesto pilihan raya seperti memerangi rasuah, pembaikan sistem kehakiman dan perkara yang mempunyai hubung kait dengan hubungan kaum serta agama.“


Ada antara isu ini sudah mula diberikan perhatian tetapi ada juga yang belum dilaksanakan. Semua ini saya tahu dan perubahan ini tetap akan diterima pada masa depan, cuma ia mengambil sedikit masa,” katanya.


Mengenai pemilihan calon pilihan raya yang tidak diterima pada peringkat akar umbi, Abdullah berkata, prosedurnya tidak pernah berubah sejak dulu dan selain beliau, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad turut berunding menentukan senarai calon.


Secara dasarnya, kata beliau, pucuk pimpinan akan menerima senarai calon yang dikemukakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, tetapi sudah pasti ia akan tetap dibandingkan dengan laporan yang diterima.“Ya lah, jika calon berkenaan ada masalah, kita akan menukarnya dan mereka akan menentangnya dan wujud mainan politik untuk meletakkan calon yang mereka suka. Kemudian, berlakulah lobi melobi, ini merosakkan parti.“Bukan sekadar pemilihan calon, malah pengagihan kerusi juga turut timbul masalah kerana ramai yang tidak berpuas hati,” katanya.


Perdana Menteri juga berkata, beliau juga akan menemui semua kepemimpinan parti komponen BN untuk memberi penjelasan mengenai pencapaian dalam pilihan raya lalu serta mendapatkan maklum balas terus daripada mereka.


Katanya, parti komponen menghadapi masalah, terutama di Pulau Pinang apabila MCA, Gerakan serta MIC tidak mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan langkah segera perlu diambil untuk memperbetulkan kelemahan.


--BH 12/04/08

Abdullah akui beliau antara penyebab BN kehilangan undi

JOHOR BAHARU 11 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui beliau merupakan di antara faktor yang telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi pada pilihan raya umum ke-12 bulan lepas.
Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, disebabkan perkara tersebut beliau merasakan bertanggungjawab untuk berbuat sebaik-baiknya bagi memulihkan BN dan UMNO.
"Saya merasakan saya adalah penyebab kepada 'pembuangan undi' (undi tidak diberikan) kepada Barisan Nasional. Dan saya merasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknya-baiknya untuk memulihkan BN dan UMNO," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan Badan Perhubungan UMNO Johor yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden UMNO, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
- Bernama, 11/04/2008 7:24pm

11 April 2008

Kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang

Makam Sultan Mahmud mangkat dijulang.
Mengikut kitab hikayat Tufat n' Nafis, cerita ini berlaku apabila Laksamana Bentan, iaitu Megat Seri Rama, telah berperang untuk menumpaskan lanun di perairan Johor atas perintah Sultan Mahmud Shah II.
Pada suatu hari, isteri Megat Seri Rama yang sedang mengandung, telah bertemu dengan penghulu kebun Sultan yang sedang membawa nangka untuk dipersembahkan kepada sultan.
Wan Anum kemudian telah meminta seulas nangka kerana dia mengidam. Penghulu kemudiannya memotong seulas lalu diberikan kepada Wan Anum.
Ketika Sultan Mahmud Syah hendak bersantap tengah hari, baginda menyedari bahawa nangka yang hendak disantapnya telah diusik orang. Sultan Mahmud amat murka kerana dihidangkan dengan sisa orang dan memerintahkan Wan Anum ditangkap dan dibelah perutnya menyebabkan kematian isteri Laksamana. Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke Kota Tinggi dengan membawa kejayaan cermelang bagi angkatan tentera Johor.
Selepas sultan memberi anugerah kepada Laksamana, Megat pun balik ke rumahnya mendapat khabar buruk daripada Tun Aman yang mengatakan bahawa isterinya telah mati. Laksamana merasa marah, kecewa dan menangis apabila mengetahui isterinya telah mati. Megat Seri Rama kemudiannya berazam untuk membalas dendam kepada sultan kerana bagindalah yang memerintahkan supaya isteri kesayangannya dibunuh.
Pada suatu hari Jumaat, Sultan Mahmud Syah bersama pembesar telah berangkat ke masjid untuk bersembahyang. Sultan telah ditandu oleh pengawal-pengawal istana. Ketika azan pertama berkumandang di udara, Sultan Mahmud terkejut melihat Laksamana berdiri sambil menghalang lalu lintas baginda. Laksamana berkata "Raja adil raja disembah! Raja zalim raja disanggah!".
Sepantas kilat, laksamana terus menikam Sultan dengan kasarnya. Suasana di perkarangan masjid gempar apabila darah sultan yang berdaulat telah mengalir ke tanah! Semua jemaah terpaku.
Sultan tidak berputus asa lalu menyentap sebilah keris yang tersisip di pinggangnya lalu dilontarkan di kaki laksamana. Sultan terus betitah "Tujuh keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi...." Berberapa minit kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir.
Megat yang tiba-tiba memuntahkan darah pula mati secara tiba-tiba.

Mukhriz yakin lepasi kuota

KUALA LUMPUR: Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir, membayangkan beliau akan berjaya melepasi kuota pencalonan 20 peratus ditetapkan bagi membolehkannya bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti, Disember ini.
Mukhriz berkata, berdasarkan sokongan yang diperolehnya kini, beliau berpendapat akan mampu mencapai kuota berkenaan.“Bagi saya melepasi kuota 20 peratus adalah cabaran pertama yang perlu saya tempuh dan sehingga kini saya menerima sambutan yang baik daripada Pemuda,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.


Ahli Parlimen Jerlun itu sebelum ini menawar diri bertanding jawatan itu selepas Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memutuskan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan akan datang.


Mengikut peraturan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 1988, 30 peratus pencalonan (57 daripada 191 bahagian) diperlukan untuk calon bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden (20 peratus/38 bahagian), Naib Presiden (10 peratus/19 bahagian), ahli MT (lima peratus/10 bahagian), Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri (20 peratus/38 bahagian) manakala Naib Ketua Wanita, Pemuda, Puteri (15 peratus/28 bahagian).


Selain Muhkriz, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga membayangkan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan tertinggi pergerakan itu.


Mukhriz bagaimanapun berkata, keputusan akhir adalah di tangan perwakilan Pemuda Umno sama ada untuk mencalonkannya atau tidak ke jawatan berkenaan.Sementara itu, Ahli MT, Datuk Seri Rais Yatim, ketika ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti kali ini, berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan.


“Kita perlu tengok keadaan dulu dan tidak perlu terburu-buru,” katanya yang juga Menteri Luar. BH, 11/04/08

Exco Pemuda sokong Mukhriz

KUALA LUMPUR 10 April - Seorang Exco Pemuda UMNO hari ini secara terbuka menyokong Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) mengisi jawatan ketua pergerakan itu kerana menganggap Ahli Parlimen Jerlun berkenaan ialah calon yang paling sesuai.
Kamarulzaman Kamdias berkata, Mukhriz mampu mengetuai pergerakan itu kerana beliau bukan sahaja lantang bersuara malah sentiasa rapat dengan akar umbi.
Katanya, selain itu, Mukhriz juga memahami perasaan akar umbi malah merupakan pemimpin muda yang bertanggungjawab serta kreatif.
''Kita melihat Mukhriz agak ke hadapan dan mampu menjadi seorang ketua yang baik. Bagi saya, beliau (Mukhriz) sesuai dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mukhriz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini secara terbuka mengesahkan bahawa beliau akan bertanding merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO pada Disember ini.
Selain Mukhriz, Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Ketua Penerangan Pemuda, Datuk Azimi Daim turut mengumumkan akan bertanding merebut jawatan itu.
Minggu lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan yang disandang beliau sejak dua penggal lalu pada pemilihan parti itu, Disember ini.
Menurut Hishammuddin, beliau ingin memberi laluan kepada muka baru memimpin sayap kanan yang mempunyai kira-kira 600,000 ahli itu.
Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, orang ramai terutama pemimpin muda perlu menghormati keputusan Hishammuddin itu.
''Saya melihat keputusan Menteri Pelajaran itu sungguh telus kerana beliau mahu pemimpin seterusnya terus cemerlang memimpin pergerakan itu,'' ujarnya.
Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang Ketua Pemuda UMNO negeri itu juga perlu benar-benar mewakili suara Pemuda di peringkat bahagian dan cawangan. UM, 11/04/08.

Calon bertanding wajib ada blog sendiri

KUALA LUMPUR 10 April - Semua calon yang bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda, Naib Ketua dan Exco Pusat pada pemilihan parti Disember ini, diwajibkan membina laman web dan blog masing-masing.
Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, laman tersebut dapat memperkenalkan diri calon-calon yang bertanding serta menerangkan visi, misi dan aspirasi serta hala tuju mereka sekiranya terpilih untuk memimpin pergerakan itu.
Menurutnya, Pemuda menyifatkan langkah menggunakan laman web dan blog sendiri dapat membanteras politik wang sewaktu berkempen nanti.
''Dengan cara ini, calon-calon yang bertanding dapat berkempen dengan lebih bebas, adil dan dikenali hampir seluruh perwakilan,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, langkah itu adalah sebahagian daripada rumusan yang diperoleh oleh Pemuda hasil sesi pertemuan dan percambahan fikiran yang diadakan bersama golongan profesional muda Melayu, baru-baru ini.
Menerusi kaedah itu, katanya, Pemuda yakin lebih ramai calon berwibawa dapat diberi peluang menawarkan khidmat menerusi kaedah menggunakan laman web atau blog sendiri.
Selain langkah itu, kata Abdul Rahman, calon-calon juga disaran menganjurkan perdebatan maya sempena proses pemilihan.
''Calon-calon yang menawarkan diri di peringkat pusat akan berdebat berkenaan isu-isu berkaitan dengan dasar dan hala tuju Pemuda di dalam Internet,'' katanya. - UM,11/04/08

Rasional Idris menolak jawatan EXCO

Sebagaimana diketahui, sepuluh orang barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (EXCO) telah mengangkat sumpah memegang jawatan masing-masing Rabu lepas.
Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas seperti yang diamanahkan.
Menteri Besar Terengganu yang baru, Dato' Ahmad Said sempat mengulas sedikit dimana Dato' menolak jawatan EXCO ang ditawarkan kepadanya. Bagi Ahmad Said ini proses biasa adakala seseorang pemimpin berada di atas atau sebaliknya.
Ulasan ini amat cetek dab setahun saya tak pernah berlaku sebelum ini di mana bekas Menteri Besar bersedia menjadi 'orang bawahan' selepas jawatan itu diberikan kepada orang lain terutama dalam kes perlantikan Menteri Besar Terengganu.
Contoh yang paling dekat ialah kes perlantikan Menteri Besar Perlis. Kenapa Dato' Seri Shahidan Kasim tak jadi EXCO Perlis?.
Pokoknya Ahmad Said jangan mudah ego dengan jawatan yang disandang sekarang ini dengan niat bermegah-megah sebagaimana lazimnya sebelum ini yang tebal sikap 'nye nya'.
Sorang kawan meminta padangan kepada saya mengenai mengenai perlantikan barisan EXCO baru kerajaan Negeri Terengganu.
Jawapan ringkas saya ialah "Kenapa ramai lagi ADUN yang berwibawa dan mempunyai rekod cemerlang sebagai EXCO sebelum ini tidak dilantik semula?.". Persoalan ini akan menjadi tandatanya seluruh rakyat negeri Terengganu.
Kerajaan negeri Terengganu hari ini terlalu banyak gangguan dan campur tangan oleh pihak yang berkepentingan. Terengganu Bestari, Terengganu Rugi.

10 April 2008

Tolak Exco Terengganu


Dato' Seri Idris Jusoh
KUALA TERENGGANU 9 April – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh menolak tawaran menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di bawah kepimpinan Menteri Besar baru, Datuk Ahmad Said.
Ahmad pada sidang akhbar di sini semalam berkata, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh memberikan alasan ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap parti dan tugasnya sebagai wakil rakyat biasa. Utusan Malaysia 10/04/08.

Hadi Awang diserang strok ringan

Hadi Awang bersama Lim Kit Siang,
sejurus pilihanraya tahun 1999 di Wisma Darul Iman.

KUALA TERENGGANU 10 April – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah setelah diserang strok ringan di rumahnya di Rusila, di sini awal pagi ini.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustapa Ali berkata, Hadi diserang penyakit itu selepas menunaikan solat subuh.
Beliau berkata, Abdul Hadi kemudian dimasukkan ke hospital berkenaan pada pukul 7.30 pagi ini. Utusan Malaysia, 10/04/2008 11:18am

9 April 2008

Istana Maziah

ISTANA MAZIAH, Kuala Terengganu.
Pemuda PAS Terengganu buat kelakar besar selepas Pilihanraya Umum Ke-12, kononnya akan berdiri teguh di belakang istana ini sebagai menyokong institusi raja.
Untuk makluman pemuda PAS, kita ahli-ahli UMNO sudah lama berdiri teguh di barisan hadapan dalam apa juga demi kedaulatan baik soal Agama, Bangsa dan Negara. Termasuk Raja-raja.

‘Karpal tak faham hudud’

Oleh SAFINA RAMLI
ALOR STAR 8 April – Pengerusi DAP, Karpal Singh dinasihatkan supaya tidak bercakap mengenai hukum hudud kerana beliau tidak memahaminya.
Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, Pas juga masih berbincang mengenai penubuhan negara Islam yang melibatkan banyak perkara termasuk hukum hudud dan perlu diteliti terlebih dahulu.
Beliau juga tidak faham kenapa orang ramai begitu takut dengan hukum hudud dan berfikiran sempit apabila membincangkannya.
“Saya harap dia (Karpal) jangan bercakap lagi mengenai hal ini jika dia belum benar-benar faham apa itu hukum hudud.
“Lebih banyak isu lain yang boleh dibincangkan selain daripada isu hudud ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Azizan diminta mengulas mengenai kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan penubuhan negara Islam dan pengenalan hukum hudud yang menjadi ideologi asas Pas.
Dalam hubungan ini Azizan berkata, orang ramai yang tidak melakukan sebarang kesalahan tidak sepatutnya takut dengan hukum hudud.
‘‘Jika kamu tidak merompak, mencuri atau berzina, kamu tak perlu takut. Hanya mereka yang buat salah sahaja patut takut dengan hukum hudud ini,” katanya.
Menjawab satu pertanyaan, beliau berkata, negara ini bebas dan Karpal berhak untuk melawat Kelantan atau Kedah pada bila-bila masa bagi melihat keadaan sebenar negeri di bawah pemerintahan Pas.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula keberkesanan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan syarikat terbabit berfungsi dengan baik.
Kata beliau, pihaknya mungkin menyusun semula kedudukan lembaga pengarah bagi syarikat-syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri.
“Dalam perniagaan kita tidak boleh lambat. Penyusunan semula ini perlu untuk memastikan syarikat memberi pulangan yang baik kepada kerajaan,” katanya. Utusan 09/04/08

"Kami Berdiri Teguh Di Belakang Istana"

Itulah bunyi ayat yang dicetak pada kain rentang dan digantung seluruh Negeri Terengganu oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu.
Kita ahli UMNO tidak hairan dengan sikap pemimpin PAS yang sering menanguk di air keruh dan kononnya menyokong perlantikan Ahamd Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru yang mendapat restu pihak istana.
Kita ahli-ahli UMNO tidak hairan kenapa bergitu ramai ahli-ahli PAS menyambut keberangkatan DYM Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud tempoh hari.
Bekas Menteri Besar, YB. Dato' Seri Idris Jusoh dilebel sebagai penderhaka bersama-sama dengan 23 orang lagi wakil rakyat BN yang menang dalam piliharaya umum ke-12 lepas.
Cuma nak bagitau kepada pemimpin PAS yang bahlol lagi tolol, kita orang UMNO tak berdiri dibelakang dalam hal ehwal kedaulatan bangsa Melayu. Kita sentiasa DI HADAPAN. Sentiasa bersedia untuk berjuang demi Agama, Bangsa dan Negara.
Nak ambil kesempatan janganlah tunjukan bahawa kita ini BODOH sangat. - Putra Alhaq 09/04.08

Terengganu kenal pasti ahli sabotaj

KUALA TERENGGANU 8 April – Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu mengenal pasti beberapa ahli dan pemimpin di negeri ini yang disyaki mensabotaj Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Setiausahanya, Datuk Rosol Wahid (gambar) bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu kesahihan laporan yang diterima membabitkan ahli dan pemimpin berkenaan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
Beliau berkata, setakat ini UMNO Terengganu hanya menerima laporan mengenai perbuatan mereka secara lisan daripada beberapa pihak.
‘‘Laporan secara bertulis berserta bukti yang jelas belum lagi diterima, jadi siasatan rapi harus dilakukan sebelum kita kemukakan kepada pihak atasan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Utusan 09/04/08