28 Mei 2009

'Ayah saya diseksa sebelum disembelih'

[UTUSAN - 28/05/09]
BANGI 27 Mei - "Ayah dan bapa saudara saya diikat dengan tali antara satu sama lain, mereka diseksa, seluruh tubuh ditetak dan ditakik-takik sebelum leher kedua-duanya disembelih.
"Semasa ditemui, mayat kedua-duanya hanya tinggal rangka dan tulang, bercampur antara satu sama lain tanpa kepala, amat jelas kesan takikan bertubi-tubi seperti sebatang pokok kayu yang ditakik-takik bagi dikeluarkan getahnya."
Demikian cerita Profesor Dr. Amat Juhari Moain, bekas Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berkata, jenazah bapanya, Moain Saridin @ Shahidin dan Hassan Akasah yang dibunuh dengan penuh kejam tanpa perikemanusiaan oleh komunis itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat Johor.
Mengimbas kejadian menyayat hati yang berlaku pada akhir Jun 1945 tetapi masih lagi segar di ingatan seolah-olah baru berlaku semalam, Amat Juhari, 69, berkata, semasa dia dan bapanya mandi di tepi Sungai Dulang pada waktu petang, mereka didatangi beberapa penduduk yang meminta bantuan.
Menurut beliau, arwah ayahnya, seorang ketua kampung, dimaklumkan mengenai penangkapan seorang alim yang dikenali dengan nama Wak Sulaiman oleh sekumpulan komunis.
"Adalah menjadi tanggungjawab arwah ayah untuk membantu anak buahnya, lantas dia yang berselempang kain merah segera bergegas ke kawasan hutan di pinggir kampung, kawasan yang menjadi persembunyian komunis itu dengan ditemani oleh Hassan.
"Sehingga lewat tengah malam ayah, Hassan dan Wak Sulaiman masih tidak pulang dan selepas beberapa minggu, langsung tiada berita mengenai mereka bertiga, sama ada hidup atau mati.
"Pada malam yang sama terdapat seorang Cina bersenjata mundar-mandir di kawasan rumah kami, seperti tidak membenarkan kami keluar mendapatkan bantuan.
"Keadaan itu berlarutan sehingga beberapa minggu menyebabkan kami sekeluarga menjelang malam terpaksa menyorok di kawasan pokok buluh berhampiran bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beberapa minggu selepas itu apabila keadaan telah menjadi aman, penduduk kampung mula berani keluar rumah untuk mengerjakan kebun masing-masing dan ketika itulah mayat Moain dan Hassan ditemui di bahagian hutan.
Sementara itu, Amat Juhari berkata, pada akhir Mei tahun sama, sebelum kejadian itu berlaku, sekumpulan kira-kira 20 komunis yang lengkap bersenjata mengunjungi bapanya di rumah bagi mempelawa dan meyakinkan arwah supaya menyertai kumpulan haram mereka, tetapi telah ditolak.
Tambah beliau, kekejaman komunis tidak hanya terhenti di situ malah ramai lagi penduduk kampung yang berpengaruh seperti penghulu, orang alim dan pendekar dibunuh kerana enggan memberikan sokongan dan kerjasama kepada mereka.
"Saya masih ingat lagi kejadian di Kampung Sungai Tongkang berhampiran kampung kami apabila komunis menyerang rumah penghulu, mereka tembak bertubi-tubi sebelum dibakar menyebabkan kira-kira 30 orang yang berlindung di rumah berkenaan mati," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, arwah bapanya sebenarnya telah menghidu lebih awal kegiatan komunis di negara ini apabila mendapat maklumat melalui pembacaan dalam Utusan Melayu dan Utusan Zaman yang dilanggan terus daripada Singapura pada masa itu.
#

Tidak! Chin Peng

[UTUSAN - 28/05/09]
Oleh ZULKIFLI JALIL dan ZABRY MOHAMAD pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 27 Mei - Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, kepulangannya jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara 1948 hingga 1960.
''Kerajaan tidak benarkan Chin Peng balik ke negara ini sebab ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada mereka yang terkorban dan ahli-ahli keluarga mereka yang telah terkorban dalam waktu darurat dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara di pejabatnya di sini hari ini.
Perdana Menteri mengulas permintaan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan baru-baru ini agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM itu pulang ke Malaysia.
Hock Nan membuat permintaan itu atas alasan kemanusiaan di samping mendakwa Chin Peng bukan lagi ancaman keselamatan kepada negara.
Kenyataan pemimpin Gerakan itu mendapat bantahan keras daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berasakan permintaan tersebut tidak tepat.
Kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan PKM diketuai Chin Peng semasa era keganasan kumpulan pengganas itu antara 1948 sehingga mereka meletakkan senjata pada 1989.
#

24 Mei 2009

'Kalau menang belah dia tidak apa'

[UTUSAN - 24/05/09]
IPOH 23 Mei - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) hari ini membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Beliau berkata, mereka sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan masalah apabila keputusan itu tidak memihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.
''Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang," katanya ketika dihubungi semasa berada di Mekah, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selama tiga hari mulai Selasa hingga Khamis depan bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.
Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".
Zambry pula semasa diminta mengulas rancangan pembangkang itu berkata, biarlah rakyat menilai sendiri sikap mereka.
#

23 Mei 2009

Raja Petra, isteri gagal hadir

[UTUSAN - 23/05/09]
Oleh SUWARNI MOKHTAR pengarang@utusan.com.my
PETALING JAYA 22 Mei - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Julai ini sebutan semula waran tangkap terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang gagal hadir buat kali kedua hari ini.
Raja Petra sepatutnya hadir di mahkamah bagi menghadapi perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan.
Penjamin tertuduh iaitu isterinya, Marina Lee Abdullah yang turut dikenakan surat tunjuk sebab juga tidak hadir pada prosiding hari ini yang disebut di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Terdahulu, peguam bela Raja Petra, J. Chandra memohon tiada tarikh akhir (sine die) ditetapkan sehingga waran tangkap dapat disempurnakan.
Aslam bagaimanapun menolak permohonan tersebut dengan alasan ia sepatutnya dikemukakan kepada Hakim Rozina Ayob yang mendengar perbicaraan kes tersebut.
Pada 23 April lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap dan notis kepada Raja Petra serta isterinya kerana gagal hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan yang dihadapinya.
Mahkamah pada prosiding yang lalu sepatutnya mendengar sambungan perbicaraan kes Raja Petra yang dituduh menerbitkan satu artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://www.MalaysiaToday.com.
Raja Petra yang merupakan pengendali blog pertama didakwa atas kesalahan seumpama itu dituduh melakukannya di alamat No. 5, Jalan BPR5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini pada 25 April tahun lalu.
Alasan yang diberikan oleh tertuduh kerana tidak menghadirkan diri ialah dia telah meletakkan dirinya dalam buangan dan tidak boleh menjejakkan kaki di Selangor kerana mendakwa telah menderhaka kepada keturunan diraja Selangor.
Alasan itu bagaimanapun disampaikan melalui laman webnya.
#

20 Mei 2009

Anak Raja Petra mengaku bersalah empat tuduhan mencuri

SHAH ALAM 19 Mei - Anak kedua editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta melakukan pecah rumah.
Raja Azman Raja Petra, (gambar) 33, yang beralamat di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini membuat pengakuan tersebut ketika dia didakwa di hadapan Majistret Norkamilah Aziz.
Sepanjang berada di mahkamah, Raja Azman kelihatan ceria meskipun tiada seorang ahli keluarganya hadir.
Dengan tangan bergari, tertuduh tiba di mahkamah pada pukul 11.40 pagi dengan memakai jersi nombor tiga berwarna hitam bertulis Russia.
Menurut kertas pertuduhan, Raja Azman didakwa mencuri sebuah motosikal Yamaha RXZ nombor pendaftaran BJQ 9597 bernilai RM8,000 milik seorang operator, Mohd. Syaiful Setapa, 24, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mac lalu, di Seksyen 19 di sini.
Tertuduh juga mengaku telah memecah masuk ke dalam rumah Mohd. Syaiful di No. 65, Jalan Batas 2, 19/6B, Seksyen 19 dan mencuri beg duit berisi wang tunai RM20, cukai jalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) Maybank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) serta lesen memandu milik mangsa.
Raja Azman didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dia turut mengaku mencuri sebuah telefon bimbit Nokia dan jam tangan Seiko serta serangkai kunci motosikal yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM3,850 dari sebuah kediaman milik seorang pelajar, Saipul Adli Mohamad Yunus, 21.
Tertuduh mengaku melakukan perbuatan itu pada pukul 10 pagi, 24 April lalu di No. 16, Jalan Sastera U2/1K, Seksyen U2 di sini.
Bagi kesalahan itu, Raja Azman didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dia juga mengaku atas tuduhan pilihan iaitu memiliki sebuah motosikal Yamaha 135LC bernombor pendaftaran NBT 7332 bernilai RM6,000 milik penuntut, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23.
Raja Azman didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10.40 malam, 5 Mei lalu di depan rumah No.3 Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong, Petaling Jaya.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan membolehkan tertuduh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum penjara lima tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 19 Jun ini, Norkamilah membenarkan Raja Azman diikat jamin berjumlah RM10,500 bagi kesemua pertuduhan.
Tertuduh dihantar ke Penjara Sungai Buloh lewat petang ini kerana tiada ahli keluarganya hadir untuk mengemukakan wang jaminan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.
Berdasarkan carian menerusi laman web Wikipedia di Internet, Raja Petra yang dilahirkan pada 27 September 1950, telah berkahwin dengan Marina Lee Abdullah pada 14 April 1973.
Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan lima orang anak iaitu Raja Suraya, 35; Raja Azman; Raja Shahril, 31; Raja Azmir, 26 dan Raja Sara, 21.
#

7 Mei 2009

Speaker atau Gembala Lembu!

Sivakumar halau ADUN BN, Bebas keluar dewan
[UTUSAN - 07/05/2009 10:14am]
IPOH 7 Mei - Sidang Dewan Undangan Negeri Perak kecoh apabila Speaker, V. Sivakumar menghalau tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dan tiga ADUN Bebas keluar dewan.
Arahan itu dibuat sebelum sidang tersebut dimulakan.
Sivakumar berkata, dewan tidak akan dibenarkan bersidang selagi 10 ADUN tersebut tidak keluar dari dewan berkenaan.
#

Hanya pengembala lembu saja main halau-halau ni.

1 Mei 2009

Ulama Pas dibidas tak faham konsep sebenar kepimpinan ulama

[BERITA - 01/05/09]
RANTAU PANJANG: Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun hari ini membidas sesetengah pemimpin ulama yang tidak memahami konsep sebenar kepimpinan ulama bagi mewujudkan barisan kepimpinan yang mantap.
"Kepimpinan ulama yang sebenarnya ialah kombinasi antara kalangan ulama dengan profesional bagi memantapkan masa depan parti," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamad Daud yang mahukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas diberi kepada golongan ulama bagi memastikan kesinambungan masa depan parti.
Beliau berpendapat, saranan Mohamad itu tidak berbangkit kerana kombinasi antara dua golongan itu penting jika Pas mahu terus diterima oleh semua peringkat pengikut sepanjang masa.
Sehubungan itu beliau mahu pemimpin terbabit diberi pendedahan mengenai konsep itu seperti yang diputuskan oleh Dewan Pemuda Pas.
"Saya bimbang jika konsep kepimpinan ulama ini tidak difahami, sesetengah ahli Pas mahu Pas hanya dimonopoli oleh golongan ulama," katanya di sini, hari ini.
Semalam Mohamad dilaporkan berkata, kepimpinan tertinggi Pas perlu diterajui golongan ulama.
"Orang nombor satu (presiden) dan nombor dua (timbalan presiden) mesti ulama. Sebab kalau orang nombor satu ada tugasan lain, seperti cuti, sakit dan sebagainya, tugasnya mesti diambil oleh orang nombor dua," kata Mohamad.
#

25 April 2009

8 ketua baru Umno negeri

[BERITA - 24/04/09]
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Magendran Rajagopal, Sazarina Shahrim dan Khairul Azran Hussin bhnews@bharian.com.my
Najib lantik 12 lagi ahli MT
KUALA LUMPUR: Lapan Badan Perhubungan Umno negeri mendapat Pengerusi baru dengan Datuk Seri Najib Razak mengetuai Selangor, manakala Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui Wilayah Persekutuan.
Presiden Umno turut mengumumkan pelantikan sembilan ahli Majlis Tertinggi (MT) dan tiga anggota tambahan yang menggandingkan muka lama dan baru, antaranya bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula kekal sebagai Setiausaha Agung Umno, manakala Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dilantik Bendahari Agung menggantikan Datuk Abdul Azim Zabidi dan Timbalan Menteri di JPM Ahmad Maslan dilantik Ketua Penerangan menggantikan Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Rombakan barisan kepemimpinan Umno negeri dan ibu pejabat itu diumumkan Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat MT pertamanya di sini, semalam, sejak mengambil alih jawatan Presiden, bulan lalu.
Najib berkata, muka baru dan lama dilantik bagi memastikan kesinambungan dalam pembaharuan Umno kerana ada pemimpin veteran yang masih boleh memberi sumbangan kepada parti."Semua pelantikan ini dibuat berdasarkan Perlembagaan Umno dengan mengambil kira apa yang terbaik untuk parti sekarang," katanya selepas mesyuarat hampir tiga jam itu.
Najib sebelum ini mengetuai Badan Perhubungan Umno Perak, tetapi melepaskan jawatan itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abd Kadir, bagi mengambil alih kepemimpinan Badan Perhubungan Selangor menggantikan Muhammad yang kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti, bulan lalu.
Muhyiddin pula menggantikan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, manakala tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein masing-masing mengetuai Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.
Ahmad Zahid menggantikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, manakala Shafie (bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid) dan Hishammuddin (Menteri Besar, Datuk Ahmad Said).
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu mengambil alih kepemimpinan Umno negeri itu daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, manakala Datuk Mustapa Mohamed yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan anggota MT, bulan lalu, kini mengetuai Umno Kelantan menggantikan Tan Sri Annuar Musa.
Lima lagi Pengerusi Perhubungan Umno negeri - Sabah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang dikekalkan.Perdana Menteri berkata, Muhyiddin turut diberi tanggungjawab mempengerusikan Biro Pendidikan dan Jawatankuasa Pengurusan, manakala ketua biro lain akan dilantik dalam mesyuarat Biro Politik akan datang yang dipengerusikannya.
Mengenai pelantikan Rafidah dan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim walaupun masing-masing kalah dalam pemilihan Umno, bulan lalu, Najib berkata, ia dilakukan atas budi bicara beliau selaku Presiden berasaskan sumbangan mereka kepada parti.
#

Perlembagaan UMNO akan dipinda

[UTUSAN - 24/05/09]
KUALA LUMPUR 24 April – Perlembagaan UMNO akan dipinda pada perhimpunan agung khas hujung tahun ini yang akan menyentuh kaedah dan proses pemilihan secara lebih telus, terbuka dan demokratik.
Perkara itu dipersetujui oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat buat pertama kali hari ini selepas pemilihan parti Mac lalu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu berkata, sebuah jawatankuasa juga telah ditubuhkan untuk mengendali cadangan berhubung pindaan dan perubahan tersebut.
“Cadangan perubahan ini akan dibawa untuk pertimbangan MT sebelum dibawa ke perhimpunan agung khas dalam tahun ini,” katanya.
MT pada mesyuarat hari ini juga kata Najib, turut mengambil kira perubahan-perubahan yang telah diumumkan oleh kerajaan dengan beliau memberi penjelasan mengenai dasar liberalisasi serta pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Majlis Tertinggi faham kenapa keputusan perlu dibuat, ini bukan bererti kita ubah sesuatu dasar dan komitmen kita tetapi adalah satu usaha untuk mengelakkan pertindihan antara tugas-tugas kementerian supaya lebih fokus, tetapi dasar kementerian berkenaan akan kita teruskan,” jelasnya.
Najib berkata, beliau juga telah menerangkan bahawa dasar liberalisasi tidak dibuat secara mengejut.
Sebaliknya jelas beliau, satu kajian mendalam telah dilakukan selama dua tahun oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Katanya, selepas Muhyiddin berpindah kementerian, ia diambil alih oleh Datuk Mustapa Mohamed yang telah membawanya ke pertimbangan beliau dan Exco Majlis Ekonomi.
Beliau berkata, setelah diteliti secara mendalam, MT berpuas hati bahawa perubahan yang dilakukan terhadap dasar itu adalah baik dan boleh diterima semua pihak termasuk kaum bumiputera yang terlibat dalam 27 subsektor berkenaan sebelum pengumuman mengenainya dibuat.
Katanya, dasar liberalisasi adalah sejajar dengan perubahan yang dilakukan di setiap negara ASEAN dan Malaysia merupakan yang terkebelakang sekali membuka sektor perkhidmatannya berbanding negara serantau lain.
#

Pembaharuan UMNO

[UTUSAN - 24/04/09]
Oleh Aznan bakar, Arshad Khan dan Saiful AIzan Hasam pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 24 April – Datuk Seri Najib Tun Razak terus komited untuk melakukan pembaharuan dalam UMNO apabila melakukan perubahan pucuk pimpinan di lapan negeri.
Malah lima daripada lapan negeri terbabit menyaksikan pelantikan barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan.
Presiden UMNO itu sendiri mengetuai Badan Perhubungan UMNO Selangor manakala timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin UMNO Wilayah Persekutuan.
Semua tiga Naib Presiden UMNO buat pertama kali turut diberi tanggungjawab menerajui UMNO negeri dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memimpin Terengganu bagi menggantikan Datuk Ahmad Said. Ahmad dilantik sebagai timbalan.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula mengambilalih teraju Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara Datuk Seri Shafie Apdal diberi tanggungjawab untuk mengemudi UMNO Kedah.
Tiga lagi negeri iaitu Kelantan diterajui oleh Datuk Mustapa Mohamad, Perak oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Perlis oleh Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.
Pengumuman yang dibuat oleh Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO buat pertama kali selepas pemilihan parti Mac lalu itu sekali gus menyaksikan beberapa nama digugurkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Mereka ialah Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah), Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (Selangor) dan Tan Sri Annuar Musa (Kelantan).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang dikatakan akan digugurkan pula kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu.
Najib pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu berkata, pelantikan barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bukan bermakna parti tersebut ketandusan pemimpin.
“Naib Presiden layak jadi Pengerusi Badan Perhubungan. Kalau dia jadi Naib Presiden tak kan dia tak boleh jadi pengerusi perhubungan?
“Itu ikut atas pertimbangan saya, ada keperluan dilantik Naib Presiden, kita lantiklah,” jelasnya.
Pada sidang akhbar itu, Najib turut mengumumkan pelantikan 12 ahli MT termasuk masing-masing satu wakil daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
Antara yang kembali dilantik menganggotai MT ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz.
Turut di lantik ialah Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menjadi satu-satunya Menteri Besar yang dilantik ke jawatan MT.
“Menteri Besar yang tidak dilantik akan dijemput hadir sebagai antara yang turut hadir dalam mesyuarat MT,” jelas Najib.
Najib turut mengekalkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung dan melantik Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari Agung yang baru menggantikan Datuk Seri Abdul Azim Zabidi.
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan pula dilantik Ketua Penerangan UMNO bagi menggantikan Muhammad.
Mengenai pelantikan semula Rafidah dan Shahidan, Najib berkata: “Mereka boleh beri sumbangan pada parti, jadi kita ada kesinambungan dan kita ada pembaharuan.”
#

24 April 2009

Terima kasih Malaysia - Susilo

JAKARTA 23 April - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana bekerjasama menyelesaikan pelbagai masalah membabitkan pekerja asing dari negara ini.
Menurut Susilo, Malaysia dan Indonesia sepakat untuk terus menangani sebarang masalah yang timbul dengan baik.
"Terimakasih kepada Malaysia, kita sepakat akan terus mengatasi masalah yang muncul melibatkan warga negara Indonesia dengan baik," katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas kedua-duanya mengadakan perbincangan dua hala di Istana Merdeka, hari ini.
Susilo turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menyediakan sekolah dan pusat kesihatan di kawasan pedalaman seperti di Sabah.
Langkah itu, menurut beliau, membolehkan anak-anak warga Indonesia yang yang bekerja di pedalaman negeri berkenaan mendapat pendidikan dan kemudahan kesihatan yang baik.
#

PM: Indonesia jiran penting

[UTUSAN - 23/04/09]
Najib Tun Razak bersalaman dengan Susilo Bambang Yudhoyono selepas menghadiri upacara sambutan rasmi lawatan Perdana Menteri ke Indonesia di Istana Merdeka, Jakarta, semalam. – BERNAMA
*****

JAKARTA 23 April – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia sangat penting kerana ia banyak menyumbang kepada pembangunan pesat di pelbagai sektor di kedua-dua negara.
Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia berkata, sebagai jiran terdekat, republik ini bukan sahaja mempunyai sejarah yang panjang serta persamaan budaya dengan Malaysia tetapi juga penting dalam semua bidang.
‘‘Hakikatnya jiran kita ini sangat penting dalam semua aspek ditambah lagi dengan bilangan penduduk yang lebih 10 kali ganda daripada penduduk Malaysia sekali gus menyumbang kemantapan dalam semua bidang,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Susila Bambang Yudhoyono di Istana Merdeka di sini hari ini.
Sebelum itu, Najib diberi penghormatan memeriksa kawalan kehormat pasukan khas pengawal Presiden selain diberi tembakan hormat 19 das dalam upacara rasmi di Istana Merdeka.
Pada sebelah pagi Najib mengunjungi Makam Pahlawan Kalibata dan meletakkan kalungan bunga.
Indonesia merupakan negara pertama yang dilawati oleh Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru pada 3 April lalu.
Sehubungan itu Perdana Menteri berharap hubungan akrab ini dapat diteruskan bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan tetapi juga di peringkat sektor kerajaan dan swasta serta antara rakyat kedua-dua buah negara.
Beliau berkata, hubungan akrab ini juga diharap menjadi satu isyarat dan galakan kepada kedua-dua negara untuk membuktikan kerjasama yang lebih erat dan manfaat di semua peringkat pada masa hadapan.
Menurut Najib, Malaysia akan menggunakan dua pendekatan asas dalam mengeratkan hubungan dengan Indonesia iaitu meneruskan kesinambungan dan meningkatkan pencapaian di atas apa yang telah disepakati dan diusahakan oleh kedua-dua buah negara itu.
Perdana Menteri berkata, perbincangan dua hala dengan Susilo hari ini merupakan lanjutan dan kesinambungan daripada kata sepakat yang telah dicapai oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri Majlis Perundingan Bersama Malaysia-Indonesia baru-baru ini dan sembilan perkara telah dicapai pada pertemuan tersebut.
Kata beliau, Malaysia dan Indonesia akan berusaha memajukan bidang-bidang yang telah dikenal pasti itu selain bersetuju meneroka kerjasama baru secara bersama.
Antaranya, kata beliau, memantapkan strategi dalam industri kelapa sawit dengan membina lebih banyak pusat penapisan minyak kelapa sawit di negara ini bersesuaian dengan status Malaysia dan Indonesia sebagai pengeluar utama minyak kelapa sawit dunia yang menguasai 90 peratus pasaran selain memantapkan lagi program tanam semula.
‘‘Dalam bidang pertanian pula, Malaysia bersedia membeli beras dari negara ini jika terdapat lebih pengeluaran serta makanan ternakan seperti jagung bagi kurangkan kos input pertanian,” katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, kerjasama yang serupa juga akan dilaksanakan dalam sektor berteknologi tinggi seperti industri aeroangkasa, pertahanan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Kedua-dua negara juga, kata Najib, turut menyentuh mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan berhubung pendaratan lebih banyak pesawat terutama di kawasan bandar-bandar kecil dan sederhana.
‘‘Tumpuan juga akan diberikan kepada pelancongan kesihatan kerana Malaysia berupaya menawarkan kemudahan kesihatan dan rawatan bertaraf dunia dengan kos yang begitu kompetitif, '' ujarnya.
Perdana Menteri berkata, dengan jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia berkembang pesat dengan lonjakan sebanyak 11 peratus pada tahun 2008, trend itu diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang walaupun perkembangan ekonomi untuk tahun 2009 tidak begitu menggalakkan.
Mengenai tenaga kerja Indonesia di Malaysia pula, Najib berkata, tenaga kerja warga Indonesia memainkan peranan penting dan Indonesia berpuas hati dalam aspek-aspek tertentu termasuk kebenaran penyediaan keperluan pendidikan bagi rakyat Indonesia yang bekerja di sektor peladangan di Sabah.
#

23 April 2009

Amanat Dan Wawasan Y.B Menteri Di JPM

Majlis Amanat & Wawasan Y.B Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Jamil Khir Hj Baharom, Menteri di JPM telah diadakan pada 17 April 2009 di Auditorium D8, Putrajaya. Majlis pertemuan bersama semua agensi di bawah Y.B Menteri di JPM ini diadakan buat pertama kali selepas beliau dilantik sebagai Menteri Di JPM yang baru.
Dalam amanatnya, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan negara atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk meneruskan kesinambungan usaha dan agenda yang telah dilaksanakan oleh Mantan-Mantan Menteri di JPM.
Beliau juga menyatakan bahawa adalah menjadi hasrat dan cita-cita beliau agar agensi agama berupaya lahir sebagai 'versatile' dan sentiasa kehadapan dalam apa jua tindakan. Agensi agama juga mestilah menjadi pemangkin Islam dengan bersikap proaktif, positif dan komited dalam mencapai misi dan visi perjuangan.Kearah mencapai hasrat tersebut, semua agensi agama disarankan supaya menerapkan prinsip 6M iaitu:

  1. Musyaratah - menepati syarat kejayaan (pre-requisite)
  2. Muatabah - menghakis sifat-sifat buruk (self restraint)
  3. Muaqabah - mengekalkan tindakan yang benar secara berterusan (self educating)
  4. Muraqobah - mengawal diri secara berterusan (God consciousness)
  5. Muhasabah - menilai diri (self evaluation)
  6. Mujahadah - berusaha bersungguh-sungguh (struggle)

Diakhir amanatnya, beliau menyeru supaya semua agensi agama bersama-sama menyokong antara satu sama lain dan memperjuangkan konsep yang dibawa oleh kerajaan : 1 Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

#

Saya tidak dimaklumkan calon DUN penanti jadi TKM: Lim


PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata beliau tidak dimaklumkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) bakal diisi oleh calon PKR jika ia menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
"Saya tidak dimaklumkan bahawa Adun Penanti akan jadi Timbalan Ketua Menteri," katanya di sini, hari ini. Lim berkata, beliau belum menerima nama calon TKM1 daripada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Diminta mengulas mengenai permintaan Pas supaya calon parti itu bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti, Lim menyerahkan kepada kedua-dua parti itu untuk membuat keputusan. "Disebabkan ia kerusi PKR sebelum ini, PAS akan berbincang dengan PKR untuk menentukan siapa yang akan bertanding.
Akar umbi akan membincangkan perkara ini bagi mendapatkan kata sepakat sebelum keputusan muktamad diputuskan oleh Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat," katanya.
Minggu lalu, Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan kerusi DUN Penanti itu dengan alasan mahu melanjutkan pelajaran.
Beliau sebelum itu meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
#

21 April 2009

Raja Nazrin Bimbang Trend Penulisan Buku Burukkan Individu

[BERNAMA - 21 April, 2009]
Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah (tengah) menunjukkan Buku Keberanian Menggapai Harapan hasil nukilan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ketika majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, pada Selasa. Turut hadir Pengerusi Institut Terjemahan Negara Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh (kiri) dan Duta Amerika Syarikat di Malaysia James R.Keith (kanan). Buku tersebut adalah terjemahan buku "Audacity of Hope" oleh Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 itu dan dialih bahasa oleh Institut Terjemahan Negara. Foto: Mohd Faizol
*****

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini melahirkan rasa bimbang terhadap trend penulis buku di negara ini yang lebih gemar menghasilkan buku politik memburuk-burukkan individu tertentu.
Menurut baginda berlaku trend popular menghasilkan buku-buku politik berunsur destruktif, berlandaskan matlamat jangka pendek politik dan komersial, memilih tema penulisan untuk memburuk-burukkan individu tertentu, diterbitkan secara bermusim yang berkait rapat dengan takwim perjalanan organisasi politik tertentu dalam negara.
"Trend sedemikian jika terus berkembang, dibimbangkan akan membina satu budaya penulisan yang tidak sihat, budaya penulisan yang menyuburkan budaya fitnah, budaya penulisan kurang beretika yang sanggup mengetepikan fakta, dan budaya penulisan yang akan membawa pengaruh negatif dalam perkembangan minda warga," titah baginda ketika melancarkan buku bertajuk "Keberanian Menggapai Harapan".
Buku tersebut adalah terjemahan buku "Audacity of Hope" oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. Alih bahasa dibuat oleh Institut Terjemahan Negara.
Menurut Raja Nazrin budaya penulisan sedemikian pastinya akan merugikan bangsa dalam jangka masa panjang berbanding dengan apa juga keuntungan singkat yang bermotifkan matlamat sempit kumpulan atau individu tertentu.
Raja Nazrin juga bertitah baginda telah dimaklumkan bahawa Institut Terjemahan Negara sedang melaksanakan projek terjemahan karya-karya agung Malaysia dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, dan antara karya agung yang sedang dalam terjemahan ke bahasa Inggeris adalah Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai, Tuhfat al-Nafis, Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut serta Cerita Lipur Lara.
"Karya-karya agung yang telah dihasilkan itu adalah satu cerminan ketinggian budaya, satu modal sosial negara bangsa yang amat bernilai.
Terbukti dari kandungan karya-karya agung itu bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang memiliki budaya yang tinggi, memiliki tamadun yang agung serta lengkap dengan adab, tertib, budi dan bahasa baik dalam kehidupan harian, baik dalam hubungan antara Raja Pemerintah, ulama, pembesar, pemimpin, pedagang, pemimpin dan rakyat, begitu juga dalam sistem berkerajaan dan bernegara yang berlandaskan hukum - bertiangkan adat," titah Baginda.
Menurut Raja Nazrin bangsa yang telah memiliki ketinggian budaya dan keagungan tamadun itu kemudiannya menerima nasib dihanyutkan oleh arus kolonialisme hingga majoriti mereka terpinggir dalam arus pembangunan yang kemudiannya berlangsung dalam budayanya.
"Betapa tercatat dalam karya agung itu akan kehebatan dan kebanggaan bangsa yang kemudiannya musnah akibat persengketaan sesama bangsa. Betapa perebutan wilayah dan perebutan negeri yang berlaku sesama bangsa, betapa hasad dengki, iri hati, cemburu dan fitnah, betapa sifat tamak - sifat haloba, dan betapa perebutan kuasa di alam Melayu ini, kesemuanya menjadi punca memberi ruang memudahkan berlakunya proses kolonialisme.
"Dan akhirnya, betapa harga sosial, harga politik, harga budaya dan harga ekonomi yang perlu dibayar oleh bangsa akibat dilanda arus kolonialisme.
Akhirnya tanah air terjajah, bangsa menerima nasib malang dipinggiri dan disisihkan di bumi warisan bangsanya; lalu bangsa menerima nasib laksana ayam yang lapar di kepuk, laksana itik yang haus di air," titah Baginda.
Mengenai Obama, Raja Nazrin bertitah bahawa ternyata Presiden Amerika Syarikat itu cekap menggunakan instrumen komunikasi moden secara bijak untuk mendampingi minda, hati dan emosi rakyat Amerika lalu mendapat kepercayaan untuk dipilih menjadi Presiden mereka.
"Secara teratur atau secara kebetulan, Barack Hussein Obama telah membina prasarana laluan politik untuk sampai ke Rumah Putih.Beliau telah memilih laluan yang melepaskan beliau di setiap perhentian tol.Perjalanan politik yang beliau pilih telah dapat diterima oleh majoriti besar masyarakat Amerika," titah Raja Muda Perak.
Menurut baginda, Obama adalah anak yang telah besar dan dewasa mengikuti sistem pendidikan arus perdana di Amerika Syarikat, bertutur dalam bahasa dan mengamalkan cara hidup berlandaskan budaya yang diamalkan oleh majoriti penduduk Amerika, memilih menganut agama Kristian, agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Amerika walaupun datuknya Hussein Onyango Obama telah memeluk agama Islam dan bapanya Barack Hussein Obama Sr. telah dilahirkan dalam keluarga Islam.
"Kesimpulannya, Barack Hussein Obama dalam segala segi adalah seorang warga Amerika sejati dan memperlihatkan sifat sejati warga Amerika berpegang kepada prinsip di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung," titah Baginda.
#

Lim ibarat menepuk air ke dulang - Azhar

[BERNAMA - 21/04/2009]
PULAU PINANG 21 April — Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) mempertikaikan kewibawaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam membuat keputusan melantik Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) kerana terlalu tunduk kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya tindakan Lim itu seperti ’menepuk air ke dulang, terkena muka sendiri’ kerana Lim pernah membuat tuduhan terhadap bekas Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kononnya terlalu tunduk kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Lain kali jangan suka mengata pada orang lain, akhirnya kembali kepada diri sendiri,” katanya dalam perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Azhar mempersoalkan kewibawaan Lim sebagai ketua menteri yang mempunyai kuasa untuk melantik TKM1 bagi menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin yang mengosongkan jawatan itu pada 8 April lepas.
#

MB Terengganu akur keputusan berhubung Badan Perhubungan Negeri

[BERNAMA - 21/04/09]
SETIU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, bersedia menerima apa sahaja keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
Beliau berkata, apa jua keputusan yang diumumkan pucuk pimpinan berhubung kedudukan beliau kelak, akan diterimanya dengan hati terbuka kerana ia adalah hak Najib sebagai Presiden Umno.
Ahmad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat rumah penduduk kampung yang dilanda ribut di Kampung Penarik, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada beliau bimbang mengenai perkara itu, Ahmad yang memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri pada Mac tahun lalu, berkata: "Risau apa...tidak ada masalah kepada saya.
"Beliau bagaimanapun enggan mengulas hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri baru-baru ini, dipercayai berkaitan kemelut politik di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) di negeri itu yang tidak menghadiri hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada 16 April lalu, Ahmad mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, bagi membincangkan perkara itu.
Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, juga kelihatan memasuki Pejabat Perdana Menteri pada hari sama, dipercayai sebagai langkah Najib dan Muhyiddin menyelesaikan pertikaian antara Ahmad dan Adun BN negeri berkenaan.
#

20 April 2009

Ahli politik harus terima dengan jelas peringatan Sultan Perak - Rais

[BERNAMA - 20/04/2009]
PUTRAJAYA 20 April — Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ahli-ahli politik, terutama pihak yang membangkang yang tidak semena-mena mengeluarkan kata-kata kesat sama ada secara ucapan, menerusi blog atau media yang lain, harus menerima dengan jelas peringatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Beliau berkata apa yang dititahkan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah itu sebenarnya adalah peringatan kali kedua, apabila sebelum ini baginda telah menegaskan tentang betapa pentingnya institusi raja itu disisihkan daripada pergolakan politik.
Sehubungan itu, katanya, dengan titah baginda yang baru dan dengan titah sembah oleh puteranya, Raja Dr Nazrin Shah mengukuhkan lagi hujah bahawa institusi raja itu perlu mengikut tahap tradisinya dan kepentingan Perlembagaan Negara.
“Apabila kita bercakap mengenai Satu Malaysia, institusi diraja tidak boleh diketepikan malah ia merupakan tonggak besar dan tiang seri kepada kenegaraan dan kepada kerajaan itu sendiri.
“Ahli-ahli politik harus menerima imbasan yang jelas daripada titah ucapan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dokumen serah tugas kepada Menteri Luar yang baru Datuk Anifah Aman di sini hari ini.
#

Peringatan Sultan Azlan

[UTUSAN - 20/04/09]
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN pengarang@utusan.com.my
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika menyampaikan titah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-81 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam. – BERNAMA
*****
KUALA KANGSAR 19 April – Tindakan kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi diraja dengan menyemai rasa benci merupakan satu perbuatan ‘menyalakan api dalam sekam.’
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, perbuatan seumpama itu bukan sahaja amat berbahaya tetapi juga boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.
Titah baginda, seseorang raja sebenarnya berada ‘di atas politik’ dan tidak boleh turun berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik terbabit.
“Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.
“Betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang- undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-81 di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kerabat-kerabat di raja yang lain. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.
Pada hemat baginda, rakyat negara ini terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.
Tegas baginda, dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa kerana terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian.
Justeru titah Sultan Perak, para pemimpin yang mewakili kumpulan politik berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.
Baginda mengakui hakikat sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara sememangnya berlaku kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir di negara ini.
Jelas Sultan Azlan Shah, baginda sendiri dari semasa ke semasa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahu pun tertutup berkaitan perkara-perkara yang tergelincir daripada dasar dan garis perundangan.
“Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca daripada kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.
“Barang dijauhkan Allah, bangsa menghadapi nasib malang ‘menang sorak kampung tergadai’, akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri,” titah baginda.
Sultan Azlan turut mahu tafsiran bahawa raja berperlembagaan adalah raja sekadar lambang tanpa sebarang kuasa diperbetulkan segera.
“Raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.
“Perlu ditegaskan bahawa raja berperlembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan serta hak untuk memberi peringatan dan teguran,” titah baginda.
Tegas baginda, peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan Perlembagaan.
Raja pemerintah, titah baginda, mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara agar sentiasa dilindungi.
Justeru, berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kata Sultan Azlan Shah, raja-raja mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum- kaum lain.
#

18 April 2009

Menyusahkan, bazir wang

[UTUSAN - 18/04/09]
Oleh HASNURUL MOHAMED utusanpenang@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 17 April - Para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti menyifatkan pilihan raya kecil yang bakal diadakan ekoran peletakan jawatan wakil mereka, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai menyusahkan dan membazir wang rakyat.
Rata-rata mereka yang ditemui Utusan Malaysia memberitahu, pilihan raya kecil kali ketiga yang diadakan dalam tempoh 14 bulan itu sebenarnya tidak perlu diadakan.
Selain pilihan raya umum pada Mac 2008, penduduk di Penanti turut menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos lalu.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut seorang pengundi, Abdullah Hassan, 70, sudah semestinya pilihan raya kecil Penanti nanti bakal membabitkan peruntukan kewangan yang bukan sedikit jumlahnya.
"Sekarang, tolonglah letak calon yang sesuai. Yang boleh bekerja untuk rakyat dan membantu masyarakat kerana rasanya dah tak larat lagi asyik-asyik mengundi, mengundi, mengundi," katanya ketika ditemui di tapak pasar malam di Permatang Pasir di sini hari ini.
Katanya, pilihan raya kecil tidak boleh dianggap satu pesta sebaliknya penentuan untuk memilih seorang wakil rakyat yang berwibawa.
Seorang lagi pengundi N12 Penanti, Abu Hassan Kassim, 62, berkata, dia tidak kisah siapa pun calon yang diletakkan untuk bertanding di Penanti kelak.
Katanya, kekosongan jawatan di situ perlu diganti namun kekerapan diadakan pilihan raya juga menyusahkan rakyat.
"Memanglah sebagai pengundi, kita perlu keluar mengundi tetapi takkan dalam tempoh 13 bulan kerajaan negeri di sini ditubuhkan, ada lagi pilihan raya diadakan.
"Harap-harap selepas ini tiada lagi pilihan raya kecil,'' katanya.
Abdullah Hussin, 60, pula berpendapat, kekosongan DUN Penanti sememangnya tidak harus berlaku kerana pengundi telah membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
"Nak kata menyusahkan sangat, tidaklah. Tetapi keadaan yang berlaku itu menunjukkan senario yang tidak konsisten dalam arena politik.
"Pun begitu, saya tidak boleh nak komen lebih perkara peletakan jawatan ADUN Penanti sudah berlaku dan kita harung sahajalah apabila tiba masanya untuk pilihan raya kecil," ujarnya.
Fauziah Idris, 50, pula berkata, dalam setiap pilihan raya pastinya duit rakyat yang akan digunakan dan apabila terlalu kerap ia merupakan satu pembaziran.
"Sekarang nak buat satu lagi pilihan raya kecil. Dulu, keadaan seperti ini jarang-jarang berlaku tetapi sekarang agak kerap pula," katanya.
Dia berharap pada pilihan raya kecil itu nanti, parti-parti yang terlibat meletakkan calon yang benar-benar sesuai dan layak untuk bertanding.
-