5 September 2009

Salah Siapa?

MARAH ... Majlis Dialog antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan penduduk Seksyen 23 Shah Alam berhubung cadangan pemindahan bangunan kuil menjadi hangat apabila penduduk tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. - UTUSAN

Salah Siapa?

BANTAH ... Para peniaga membuat bantahan terhadap MPPP berikutan larangan membuka Pasar Ramadan di sepanjang Jalan Penang di Georgetown, Pulau Pinang. - UTUSAN

4 September 2009

Scorpene mantapkan pertahanan

Kapal selam kebanggaan negara, KD Tunku Abdul Rahman yang membawa 32 anak kapal selamat tiba di Pangkalan Pusat Hidrografi Nasional, TLDM di Pulau Indah, Klang, Selangor, semalam selepas melalui pelayaran selama 54 hari sejauh 6,000 batu nautika dari Toulon, Perancis. Kapal selam kedua KD Tun Razak dijangka tiba Mac tahun depan. – Utusan/ Mohd. Shaharani Saibi
*****
[Utuan - 04/09/09]
Oleh NOR SEDEK ISMAILdan ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
PELABUHAN KLANG 3 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menegaskan aset terbaru pertahanan negara iaitu kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak adalah bukti kesungguhan kerajaan memastikan kedaulatan negara terus selamat dan terjamin.
Titah baginda, perolehan dua kapal selam Scorpene dari Perancis itu turut memberikan manfaat dalam mewujudkan satu angkatan tentera negara yang lebih berwibawa dan disegani terutamanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
‘‘Projek perolehan kapal selam TLDM ini adalah satu pelaburan dan komitmen terbesar yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan keupayaan tentera Malaysia dalam menentukan kedaulatan negara terjamin dan selamat daripada sebarang ancaman.
‘‘Selain itu, perolehan aset ketenteraan ini juga membolehkan TLDM khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi satu angkatan yang lebih berwibawa di rantau ini,” titah baginda.
Tuanku Mizan bertitah demikian ketika menyambut ketibaan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman termasuk 32 anak kapalnya kira-kira pukul 8 pagi ini di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini hari ini.
Turut hadir Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hadir sama ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
KD Tunku Abdul Rahman diserahkan secara rasmi kepada kerajaan oleh syarikat kontraktornya, Armaris pada 25 Januari lalu dan pentauliahan kapal berkuasa diesel-elektrik itu ke dalam perkhidmatan TLDM disempurnakan pada 27 Januari oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
KD Tunku Abdul Rahman memulakan pelayaran pulang ke negara ini dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu selepas selesai pembinaannya serta menjalani latihan selama empat bulan meliputi kemahiran serta penyenggaraan.
Dalam tempoh pelayaran yang meliputi jarak sejauh 6,000 batu nautika, KD Tunku Abdul Rahman telah singgah di beberapa pelabuhan utama dunia meliputi Jeddah, Djibouti dan Cochin di India.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa kagum terhadap anak kapal KD Tunku Abdul Rahman yang berjaya mengharungi latihan selama empat tahun bagi memahirkan diri dalam pengendalian serta taktik peperangan kapal selam.
‘‘Beta sedar kapal selam memerlukan warga kerja yang memiliki kecenderungan dan kemahiran yang tinggi bagi mengoperasi dan mengendalikannya.
‘‘Maka kejayaan ini juga hasil dedikasi, kerjasama dan komitmen yang cemerlang semua warga KD Tunku Abdul Rahman selaras dengan cogan kata TLDM iaitu Sedia Berkorban,” jelas baginda.
Tuanku Mizan turut mengingatkan TLDM supaya menjaga dan menggunakan sepenuhnya aset penting dan berteknologi tinggi seperti KD Tunku Abdul Rahman bagi memastikan kredibiliti angkatan laut itu sebagai pasukan yang menjaga perairan negara terus terpelihara.
##

KD Tungku Abdul Rahman II

Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mirzan Zainal Abidin berjalan diatas dek kapal selam pertama negera KD Tungku Abdul Rahman ketika menyambut ketibaan kapal selam pertama negara yang selamat tiba di pengkalan Pusat Hidrografi Nasional TLDM di Pulau Indah, Klang. - UTUSAN

3 September 2009

Pemimpin Terengganu setia pada Umno: Muhyiddin

[Bernama - 03/09/09]
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menolak sebarang kemungkinan beberapa pemimpin Umno akan meninggalkan parti itu kerana mereka ini setia kepada parti.
"Bukan saja pemimpin tetapi penyokong Umno di Terengganu setia kepada parti," katanya kepada pemberita di sini bagi mengulas ura-ura kononnya beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Muhyiddin, yang juga Timbilan Presiden Umno, berkata beliau akan melawat Terengganu hari ini dan akan menemui pemimpin dan anggota Umno di negeri itu.Katanya ada pihak akan cuba mempengaruhi sesetengah pemimpin Umno untuk meninggalkan parti itu tetapi beliau yakin mereka tidak akan berbuat demikian kerana mereka ini cukup berpengalaman.
Muhyiddin juga berkata beliau berharap keadaan di Terengganu akan menjadi lebih baik di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.
"Saya harap bulan puasa ini akan menjadi titik permulaan bagi kita untuk terus bersatu," katanya.Ketika ditanya mengenai mesyuarat agung luar biasa MCA pada 30 Sept ini bagi membincangkan kemelut yang sedang melanda parti itu, Muhyiddin berharap pemimpin MCA akan dapat menyelesaikan sebarang isu dengan baik."Lebih cepat lebih bagus," katanya.
Mengenai kekecohan yang ditimbulkan oleh pakatan pembangkang di Perak, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan menggunakan pendekatan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengatasi masalah di negeri itu."Saya tak fikir itu pendekatan yang akan kita gunakan, saya harap mereka mempunyai pemimpin yang faham kerana di kalangan mereka ramai terdiri daripada peguam dan mereka tahu keputusan mahkamah," katanya.
Beliau berkata mereka tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah bahawa kerajaan negeri di bawah Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah sah.
Semalam Adun Perak daripada pakatan pembangkang mengadakan satu mesyuarat di sebuah hotel di Ipoh yang mereka anggap sebagai "persidangan dewan".
##

KD Tunku Abdul Rahman

Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman tiba di jeti Pelabuhan Klang, Selangor hari ini. Kapal selam buatan Perancis itu adalah satu daripada dua kapal Scorpene berkuasa elektrik diesel yang akan digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - REUTERS

Muhyiddin Tawar Diri Jadi Orang Tengah Di Terengganu

[Bernama - 03/09/09]
HULU TERENGGANU, 3 Sept (Bernama) -- Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Khamis menawarkan diri menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut politik di Terengganu yang sudah berlarutan sejak selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau sedia bersemuka dengan pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat kerana berpendapat kemelut itu lebih kepada masalah peribadi.
Katanya sejak beberapa bulan lepas, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan timbalannya, Datuk Ahmad Said yang juga Menteri Besar, telah melakukan pelbagai inisiatif bagi memperbaiki keadaan tersebut.
"Saya lihat sudah ada penambahbaikan situasi sekarang berbanding dahulu. Namun begitu, saya nyatakan kesediaan saya untuk membantu mana yang difikirkan perlu kalau ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibereskan.
"Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar... lepas hari raya atau bila masa yang sesuai," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini.
Sambil mengakui memang wujud krisis dalaman parti itu di Terengganu, Muhyiddin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata sebagai sebuah negeri yang disifatkan sebagai "kubu kuat" Umno selepas pilihan raya umum lepas, hubungan dan kerjasama antara pemimpin parti perlu diperkukuhkan kembali di Terengganu.
"Saya tidak melihat ia satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semua isu yang berbangkit, (melibatkan) hubungan antara kita..bukan ada orang luar nak kacau dan sebagainya.
"Saya melihat Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu kukuh dan bersatu padu...
Terengganu merupakan negeri yang penting kepada kita dan mahu kedudukan ini terus kekal. Sebab itu kedudukan politik dan parti amat mustahak diberikan perhatian," katanya.Dalam pada itu, beliau percaya tiada wakil rakyat BN Terengganu yang akan bertindak untuk keluar daripada parti itu kerana mereka merupakan pemimpin yang masih cintakan dan mempunyai semangat yang kuat untuk memperkukuhkan parti.
"Setakat ini, saya tidak dengar (ada pemimpin Umno hendak lompat parti). Saya tidak fikir mereka akan ambil langkah yang boleh merugikan parti," katanya.
Muhyiddin percaya kemelut dalaman itu tidak akan mengancam parti kerana pemimpin-pemimpin yang terlibat hanya menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa perkara melibatkan Umno di negeri ini.
Namun begitu, beliau berkata kunjungan dan perjumpaannya dengan pemimpin Umno Terengganu adalah kritikal bagi memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Kemelut politik Terengganu timbul selepas Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.
Berikutan itu, beberapa isu timbul di kalangan pemimpin Umno Terengganu antaranya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu April lepas, 10 wakil rakyat BN tidak menghadiri mesyuarat tersebut sebagai "memboikot" kepimpinan Ahmad sebagai Menteri Besar.
Hishammuddin dan Ahmad turut hadir pada perjumpaan itu. Bagaimanapun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu yang juga anggota Dewan Dewan Undangan Negeri Ajil Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu itu. Sementara itu, berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada wakil rumah orang tua/anak yatim di Masjid Sultan Mahmud di sini, Muhyiddin berkata kerjasama erat dari segenap lapisan masyarakat terhadap pimpinan kerajaan dan parti amat penting bagi memastikan kemajuan serta pembangunan yang dikecapi oleh negeri ini, dapat diteruskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat amat berharap kejayaan yang capai oleh Terengganu selama ini dapat dikekal, diperkukuh serta diperkuatkan. "Pihak pimpinan pusat melihat betapa kemajuan di Terengganu dapat ditingkatkan dengan menjadikannya sebagai salah satu komponen penting dalam pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan sebab itu peranan Terengganu dalam memainkan sumbangan pembangunan sosial ekonomi tidak boleh diabaikan.
"Sehubungan itu, kita minta semua pihak supaya tingkatkan hubungan dan semangat perpaduan sesama kita yang telah terjalin selama ini mesti diperkukuhkan," katanya. Majlis itu dihadiri kira-kira 3,000 pelbagai lapisan masyarakat serta pimpinan Umno negeri termasuk Hishammuddin dan Ahmad.
##

Pembangkang terus buat kecoh

[Utusan - 03/09/09]
Oleh Zaini Raban pengarang@utusan.com.my
TINDAKAN ADUN pembangkang di Perak mengingkari arahan polis dan mahkamah supaya tidak mengadakan `sidang DUN’ menyebabkan suasana kecoh di pekarangan bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh semalam.Polis yang mengawal keadaan terpaksa bertegang leher dengan wakil rakyat pembangkang Ngeh Koo Ham (kanan) dan V. Sivakumar yang tetap berdegil mahu memasuki bangunan itu yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak. – BERNAMA
*****
IPOH 2 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pakatan pembangkang di negeri ini terus mencetuskan kekecohan apabila mengadakan perhimpunan di sebuah hotel di sini, hari ini. Mereka bertindak demikian kerana tidak dapat menerima hakikat telah hilang kuasa mentadbir Perak ekoran tindakan dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar parti.
Kumpulan ADUN tersebut yang gagal memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini telah mengadakan perhimpunan tersebut di sebuah hotel.
Kekecohan itu bermula kira-kira pukul 9.45 pagi ini apabila mereka berarak beramai-ramai menuju ke bangunan SUK dari bangunan Ibu Pejabat DAP Negeri Perak di Medan Istana.
Bagaimanapun, kemaraan mereka dihalang pasukan polis kira-kira 100 meter dari bangunan SUK hingga berlaku kekecohan dan perang mulut antara wakil rakyat bersama penyokongnya dengan anggota pasukan keselamatan.
Keadaan bertambah kecoh apabila sekumpulan lelaki berbaju kuning turut muncul sambil melaungkan kata-kata ‘Daulat Tuanku’.
Ekoran keadaan yang semakin tidak terkawal, polis mengambil langkah tegas menahan tujuh lelaki termasuk tiga ADUN dan seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, Tan See Yee, 41.
Tiga wakil rakyat itu ialah ADUN Sitiawan yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai (Parti Keadilan Rakyat-PKR) dan ADUN Malim Nawar, Keshvindher Singh (DAP).
Tindakan polis itu meredakan sedikit keadaan apabila kumpulan wakil rakyat terbabit termasuk ADUN Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bersama penyokongnya berundur ke pejabat DAP.
Pada sidang akhbar selepas itu, Sivakumar mengumumkan ‘perhimpunan’ berkenaan akan diteruskan di sebuah hotel pada pukul 11.30 pagi.
Perhimpunan itu yang berlangsung selama dua jam mulai 11.45 pagi, dihadiri kesemua 24 Adun pakatan pembangkang kecuali tiga orang yang ditahan polis. ADUN Titi Serong dari Pas, Khalil Idham Lim Abdullah, pula sedang mengerjakan ibadah umrah.
Perhimpunan itu turut menyediakan susunan tempat duduk kononnya untuk ADUN Barisan Nasional di sebelah kiri ‘Speaker’ manakala ADUN DAP, Pas dan PKR duduk di ‘pihak kerajaan yang memerintah’ di kanan ‘Speaker’.
##

Selesaikan isu kuil

[Utusan - 03/09/09]
Oleh Azian Aziz pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 2 Sept. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu cadangan pembinaan kuil di Seksyen 23 di sini bagi mengelak perselisihan kaum.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu disampaikan kepada Abdul Khalid dalam sepucuk surat bertarikh 24 Ogos lalu.
“Baginda juga telah menitahkan perkara itu pada sesi menghadap hari Rabu iaitu sebelum mesyuarat Exco berlangsung,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas berita yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini bertajuk Sultan Selangor diminta campur tangan.
Dalam laporan tersebut, beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) meminta Sultan Selangor campur tangan isu kuil di Seksyen 23 di sini.
Isu tersebut bermula apabila penduduk di Seksyen 23 membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan mereka yang majoritinya beragama Islam berbanding hanya 40 penganut Hindu.
Ekoran tiada jaminan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan cadangan itu, kira-kira 200 penduduk bertindak mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat minggu lalu bagi menyatakan bantahan.
Keadaan bagaimanapun bertukar kecoh serta menjadi kontroversi apabila ada kalangan mereka yang menyertai perhimpunan itu membawa kepala lembu ketika berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuk dari luar negara mengkritik tindakan tersebut yang dianggap tidak sensitif dengan sentimen kaum dan agama.
##

2 September 2009

Jamil Khir Tegur Penganjuran Konsert Michael Learns To Rock

[Bernama - 02 September, 2009 17:02 PM]
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom pada Rabu menegur penganjur konsert Micheal Learns to Rock kerana menganjurkan konsert itu pada bulan Ramadan.
Beliau berkata tindakan penganjur meneruskan konsert itu Sabtu ini di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang tidak menghormati bulan Ramadan dan tidak peka dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.
"Sewajarnya mereka peka apabila di bulan Ramadan yang mulia lagi suci ini umat Islam menjalani ibadah puasa pada waktu siangnya dan ibadah terawih dan tadarus pada malamnya," katanya dalam kenyataan di sini.
Jamil Khir berkata teguran beliau itu harus dilihat selaras dengan semangat 1Malaysia demi perpaduan dan kesejahteraan semua pihak.
##

30 Ogos 2009

'Abang belajar apa, tolong ajar aku'

Oleh Bennie Zie Fauzi dan Suzan Ahmad
bminggu@bharian.com.my
Zakaria terkenang azam Prof Dr Ismail kejar ilmu ketika kecil
JANJI Zakaria Md Salleh, 64, kepada ibunya dia akan menjaga adiknya sampai mati bukan cakap kosong.
Khamis lalu adalah penamat khidmat beliau sebagai pembantu peribadi yang juga abang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech, Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh. Ismail meninggal dunia dalam penerbangan dari China ke Singapura pagi Khamis lalu pada usia 61 tahun.
Pemergian mengejut Allahyarham adiknya itu akibat komplikasi serangan jantung banyak meninggalkan kenangan kepada beliau, apatah selaku "mata dan telinga" untuk adiknya itu, khususnya apabila mengingati ada perjuangan Allahyarham yang belum selesai. Masih kuat dalam ingatan, setiap kali pulang dari sekolah ketika kecil, Ismail akan setia menunggu dengan pelita tanah. Zakaria disapa dengan ayat: "Apa abang belajar hari ini, tolong ajar aku."
Demikianlah minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan ditunjukkan Allahyarham seawal usia lima tahun.
"Kesungguhan Allahyarham dan desakan hidup akibat kemiskinan ditambah persepsi masyarakat yang menghina serta memandang serong keluarga kami yang ada anak cacat penglihatan menguatkan lagi hati saya untuk berkorban apa saja demi masa depannya," katanya yang terpaksa memperlahankan aktiviti bersama Allahyarham tiga tahun lalu, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.
Walaupun hidup susah dalam rumah yang berdinding dan lantai buluh serta beratap rumbia, mereka sembilan beradik begitu bersyukur dengan ayah mereka, Md Salleh Yusof yang hanya petani, tetapi berpandangan jauh.
"Kami sekeluarga terpaksa menerima tohmahan dan umpat cerca orang kampung apabila ayah menempatkan Ismail di Sekolah Orang Buta Princess Elizabeth di Johor Bahru. Kata mereka kami sekeluarga nak cuci tangan daripada tanggungjawab membela anak kurang upaya, tidak kurang pula menyindir sanggup menjaga Ismail jika ayah tidak sanggup," katanya yang dibesarkan di Kampung Gua Salor, Pasir Mas, Kelantan.
Biarpun permulaan usaha untuk memastikan mutu pembelajaran diterima setimpal dengan kebijaksanaan Allahyarham, hakikatnya kemudahan untuk orang seperti Ismail pada awal 60-an hampir tiada cukup untuk perkara asas saja.
Sebagai abang yang memang cukup akrab dengan Allahyarham, kasih sayangnya terhadap adik beradik lain tidak dibeza-bezakan. Lumrah dalam hubungan adik beradik memang tidak dapat lari daripada berselisih faham, namun tidak bagi Zakaria dan Ismail.
"Susah untuk saya jelaskan, keakraban kami sebagai adik beradik sukar untuk diterjemahkan. Biarpun saya diibaratkan mata dan telinganya, saya tidak ambil hati langsung jika ditegur Allahyarham. Bagi saya, apa yang keluar dari mulutnya datang daripada Allah, bukan sembarangan. Gerak rasa, pemikirannya melangkaui insan normal, sangat luhur buat saya. "Adik beradik lain sangat memahami tumpuan yang perlu diberikan kepada Allahyarham. Mereka tidak pernah merungut, malah bersama-sama cuba membantu selagi terdaya," katanya yang sanggup meninggalkan perniagaan miliknya semata-mata untuk menjadi mata dan telinga kepada Allahyarham.
"Memang saya tinggalkan semuanya kerana dia. Saya tinggalkan perniagaan di kampung padahal orang kampung ketika itu banyak bergantung pada kedai itu. Sebelum saya kahwin, sayalah yang membacakan buku untuknya, tukang masak, tukang dobi, menguruskan makan minum, pemandu, pembantu dan macam-macam lagi. Apa saja, semuanya saya buat tanpa mengabaikan adik yang lain," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kantan, Kajang sekembali dari menziarahi pusara adiknya.
"Sebaik dia kembali dengan tiga ijazah dalam masa tujuh tahun, perubahan kehidupan mula dirasai. Inilah hasil yang diraih selepas pelbagai pengorbanan hingga Allahyarham dan kami adik beradik mampu menghantar dua lagi adik kami melanjutkan pelajaran ke Australia dan Amerika Syarikat," katanya.
Beliau mengakui Allahyarham amat tersentuh ketika membicarakan soal masa depan Melayu."Sebagai pakar ekonomi, dia sangat bimbang orang Melayu ketinggalan kerana padanya Tragedi 13 Mei 1969 berpunca daripada kemiskinan yang dihadapi Melayu."
Allahyarham berjuang untuk bangsa Melayu dan berjuang untuk membasmi kemiskinan. Usahanya selama ini tidak akan berkubur, malah pemergiannya bukan penghalang untuk memperjuangkan peningkatan akses terhadap infrastruktur orang kurang upaya (OKU) yang pada pendapatnya jauh ketinggalan berbanding di negara lain," katanya.
Syafiq Hanis , 19, anak keempat dan paling rapat dengan Allahyarham berkata, bapanya tidak pernah meninggikan suara, melenting apatah lagi memukul ketika mendidik anak.
"Biarpun ayah tegas, terutama dalam menentukan pendidikan anak, tetapi sekalipun ayah tidak pernah menguatkan suara setiap kali kami melakukan kesalahan. Malah, ayah ketawa apabila melihat emak menegur dan marahkan kami adik-beradik," katanya.
##

26 Ogos 2009

Sembilan ADUN UMNO Terengganu nafi sertai PKR

[Utusan - 26/08/2009 2:52pm]
KUALA TERENGGANU 26 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid menafikan laporan sebuah portal berita kononnya beliau dan lapan lagi ADUN bercadang meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata, laporan oleh portal The Malaysian Insider itu semata-mata untuk menjatuhkan imej UMNO di samping sebagai provokasi supaya mereka menyertai PKR.
Ketika ditemui pemberita pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini, Rosol berkata, beliau bersama ADUN UMNO yang lain itu tidak pernah pun berbincang mengenai perkara itu walaupun beliau mengakui masih wujud masalah dalaman dalam kalangan pemimpin parti itu di Terengganu.
“Perkara ini tidak akan berlaku dalam kumpulan kita. Khabar angin ini hanya untuk menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan wakil rakyat kita (UMNO).
“Apa yang pasti, kita masih lagi wakil rakyat BN... Itu tiada kompromi. Apa yang berlaku sebenarnya bagi memastikan kerajaan kita kuat dan kita yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak),” katanya.
##

23 Ogos 2009

Jahat!

Antara sepanduk yang dirosakkan oleh pihak yang tidak bertamandun. Angkara siapa?

ADUN Lunas Kedah Umum Keluar PKR

[Bernama - 23 Ogos, 2009]
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah kawasan Lunas Mohd Radzhi Salleh yang juga Anggota Exco Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat Serta Sumber Tenaga Manusia, hari ini keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengisytiharkan dirinya wakil bebas kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR.
Beliau bagaimanapun masih mengekalkan jawatan Adun dan Exco.

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

[1Malaysia - Friday, 21 August 2009]
Dengan tibanya Ramadan, saya mengucapkan kepada semua masyarakat Islam di mana sahaja mereka berada, selamat menyambut bulan yang diberkati untuk berpuasa, beramal dan menyucikan diri. Bila saya merenungkannya kembali semalam, saya benar-benar kagum dengan kemeriahan sambutannya di seluruh dunia – hampir 1.4 bilion umat berpuasa dan beribadat di seluruh dunia bersempena dengan bulan yang mulia ini. Kita harus sedar bahawa ini adalah peluang untuk memperlihatkan semangat Islam yang sebenar kepada rakan-rakan bukan Muslim kita.
Apabila beduk dibunyikan, menandakan waktu berbuka, kita seronok bersama-sama sahabat handai, keluarga dan rakan sekerja untuk berbuka puasa. Saya masih teringat, waktu kecil-kecil dahulu, bau menyelerakan daripada masakan yang disediakan dan kegembiraan berada bersama-sama mereka yang akan berbuka. Setiap tahun, saya dan isteri sentiasa menunggu-nunggu untuk menerima jemputan berbuka puasa yang banyak dianjurkan di seluruh negara.
Pada hari pertama Ramadan, saya akan berbuka puasa dan bertarawih bersama keluarga, tetapi hari-hari berikutnya saya merancang untuk berbuka bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh negara. Berkumpul beramai-ramai dengan perasaan muhibah itulah yang sentiasa kita jaga dan hargai, namun janganlah sampai kita lupa akan makna sebenar Ramadan kepada setiap Muslimin. Kita memohon ke hadrat Allah agar membimbing kita ke arah amalan yang terbaik dan agar menerima ibadah dan puasa kita.
Ramadan juga adalah bulan untuk bersedekah. Saya menggalakkan sesiapa yang berkemampuan untuk melebihkan sedekah mereka pada tahun ini. Sewajarnya kita memenuhi tanggungjawab ke atas limpahan rezeki yang diterima dengan membantu mereka yang memerlukan di kalangan kita. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik. Kegawatan ekonomi telah mengundang musibah yang membebani ramai daripada rakan taulan dan jiran kita. Saya sering memikirkan akan keberkesanan kesan hasil daripada tindakan bermurah hati dan perhatian yang diberikan ke atas mereka yang kurang bernasib baik. Fikirkan manfaatnya jika kita berusaha untuk mengembangkan sifat dermawan tersebut di sepanjang tahun. Ramadan ialah waktu untuk meningkatkan kerohanian dan persaudaraan yang hebat, begitu juga dengan Malaysia yang mampu menjadi sebuah negara yang bebas dari kemiskinan jika kita komited untuk melakukannya.
Saya amat menyanjungi kemesraan dan keakraban yang dikongsi oleh semua rakyat Malaysia pada bulan Ramadan. Setiap tahun saya akan memerhatikan bagaimana rakan-rakan Cina dan India kita menikmati waktu berbuka puasa bersama-sama kita. Sama ada bersesak-sesak di gerai-gerai makanan, di rumah atau makan malam di salah satu bufet yang banyak terdapat di mana-mana sahaja, mereka yang bukan Islam di seluruh Malaysia berkongsi keramahan rakan Muslim mereka. Saya benar-benar tersentuh dengan sikap mereka yang hormat menanti waktu azan dilaungkan dan solat dilakukan sebelum mula menjamu selera. Ini adalah contoh yang baik bagaimana menghargai dan meraikan kekayaan kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama di Malaysia dan perpaduan kita sebagai satu bangsa.
Kepada umat Islam di seluruh dunia, "Selamat Menunaikan Ibadah Puasa".
##

22 Ogos 2009

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

[Utusan - 21/08/2009]
Isu masuk syurga: Transkrip kenyataan Nik Aziz
KUALA LUMPUR 20 Ogos – TV3 malam ini menyiarkan rakaman audio Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika sidang akhbar di Pulau Pinang pada 17 Ogos lalu.
Berikut ialah transkrip rakaman audio yang disiarkan oleh Buletin Utama:
‘‘Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO.
‘‘Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar.’’
##

Al Kisah Nyanyuk Bonggok

[Utusan - 21/08/2009]
Nik Aziz pertikai Jawatankuasa Muzakarah
KOTA BHARU 20 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataannya mengenai penyokong UMNO tidak masuk syurga kerana ia dibuat tanpa mendapat penjelasan beliau terlebih dahulu.
Beliau menyifatkan jawatankuasa tersebut sebagai tidak profesional dan keputusan itu telah dipengaruhi oleh pihak lain.
Pada masa sama, Menteri Besar Kelantan itu tetap berpegang dengan pendirian bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga disebabkan parti tersebut memisahkan agama dengan politik.
"Dia (Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan) dengar laporan daripada akhbar saja. Kenapa tidak tanya saya dulu, tak betul kerja dia tu, tidak profesional dan dipengaruhi oleh benda lain.
"Tak payah (jumpa jawatankuasa itu), dia nak penjelasan, dia beri surat kepada saya, kalau dia datang lebih baik. Saya bersedia bila-bila masa untuk memberikan penjelasan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin yang disiarkan media hari ini.
Jawatankuasa itu memutuskan kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa sesiapa yang menyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ia selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa itu pada tahun 2000 iaitu ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak akan berhenti untuk mengeluarkan kenyataan walaupun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Selagi orang kacau saya, saya akan terang sampai dia puas hati. Dia nak terima atau tak, dia punya pasal. Kalau tak kena atau tak puas hati tanya saya, jangan tanya surat khabar.
"Apa yang orang nak kata pada saya katalah tetapi apa sudahnya, biarlah ada hujah, kalau betul saya terima. Kalau tak betul saya anggap mengumpat, saya tengok sebanyak mana jawapan surat khabar tidak ada hujah, saya nak tumpang ilmu pun tidak boleh," katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa yang menentukan jalan syurga atau neraka ialah Allah.
"Yang menentukan jalan syurga dan neraka ialah Allah dan yang memberitahu kepada kita ialah nabi dan apabila nabi mati tugasnya disambung oleh alim ulama.
"Saya bukan menentu syurga dan neraka yang menentu ialah Allah. Saya cuma penyambung tugas Nabi Muhammad SAW," katanya.
##

21 Ogos 2009

MB Selangor diarah bayar RM66.67 juta kepada Bank Islam

[Berita Harian - 21/08/09]
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan Bank Islam (M) Berhad untuk mendapatkan perintah penghakiman terus terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung tuntutan kontrak koletral.
Sehubungan itu, Abdul Khalid perlu membayar sebanyak AS$18.52juta (RM66.67 juta) kepada Bank Islam.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Abdul Khalid bagaimanapun berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan dan penangguhan terhadap pelaksanaan keputusan itu awal minggu depan.
Malik berkata mahkamah bagaimanapun sudah membenarkan pengantungan semntara (interim) terhadap keputusan itu.

20 Ogos 2009

Selamat Datang Ramadhan Al Mubarak

Selamat Mengerja Ibadat Puasa di bulan Ramadhan 1430H/2009M

SEMANGAT MERDEKA...

Sebahagian kakitangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta pelbagai organisasi lain mengibarkan Jalur Gemilang semasa Program Menjalurgemilangkan Bandaraya Kuala Lumpur, yang dilancarkan hari ini. - UTUSAN/MOHD. HATIM MAZLAN