30 September 2009

Pemuda DAP Anggap Yusmadi Gila Kuasa Cadang Penggiliran Jawatan Ketua Menteri P.Pinang

[Bernama - 29 September, 2009]
PULAU PINANG, 29 Sept (Bernama) -- Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang pada Selasa membidas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Mohd Yusmadi Mohd Yusuff yang mencadangkan agar jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang disandang secara giliran antara tiga parti yang kini menguasai negeri itu.
"Ini merupakan satu formula berbaur perkauman ciptaan Mohd Yusmadi sendiri yang asyik gilakan kuasa sahaja," kata DAPSY, Ng Wei Aik, dalam satu kenyataan.Beliau mengulas cadangan Mohd Yusmadi supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang digilirkan berdasarkan formula baru yang memberi peluang kepada semua kaum untuk menjadi pemimpin.
Mohd Yusmadi, yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau, dilaporkan berkata formula politik baru itu bagi menggantikan formula Barisan Nasional yang memberi jawatan Ketua Menteri hanya kepada kaum Cina dan Timbalan Ketua Menteri kepada wakili Melayu.
Ng berkata tiada formula baru yang telah dipersetujui oleh pakatan DAP, PKR dan Pas yang kini memerintah Pulau Pinang berhubung sistem penggiliran itu.Beliau berkata buat masa ini, DAPSY berpendirian bahawa belum sampai masa dan tidak perlu jawatan Ketua Menteri itu digilirkan.
Katanya DAPSY mempertahankan jawatan Ketua Menteri supaya tidak digilirkan atas alasan bahawa sebarang pelantikan untuk jawatan itu mestilah diputuskan oleh parti yang menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dan bukan atas alasan bahawa kaum Cina adalah kaum majoriti di negeri itu.
"Saya ingin tegaskan bahawa formula baru yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang adalah memberi layanan yang adil serta bantuan yang saksama kepada semua rakyat tanpa mengambil kira perbezaan kaum, agama, jantina dan latar belakang politik.
"Ini jauh lebih adil serta disambut baik oleh rakyat jelata daripada formula ciptaan Mohd Yusmadi itu," kata Ng.
##

Tan Sri Mohd. Isa Samad Calon BN

Tan Sri Mohd. Isa Samad dijulang oleh para penyokongnya sejurus diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang hari ini. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu diadakan pada 3 Oktober manakala hari pembuangan undi 11 Oktober. - Gambar ABD RAZAK AID

N. Gobalakrishnan ditahan polis

[Utusan - 29/09/2009]
BUKIT MERTAJAM 28 Sept. - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan hari ini ditahan polis ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya berhubung satu kes mahkamah di Tapah, Perak.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub berkata, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketika ditahan, Gobalakrishnan baru sahaja selesai menghadiri sebutan semula kes berhubung tuduhan menggunakan kekerasan jenayah ke atas anggota polis ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir bulan lalu.
"(Tangkapan) itu prosedur biasa berikutan waran tangkap yang dikeluarkan bersabit satu kes mahkamah yang tidak dihadiri oleh beliau di Tapah.
"Dia ditahan dan kita telah hantarnya ke Tapah untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara lanjut berhubung kes mahkamah yang dihadapi Gobalakrishnan itu.
Ayub berkata, Gobalakrishnan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini sebelum dihantar ke Tapah.
##

Isa Samad sah calon BN di Bagan Pinang

[Utusan - 29/09/2009]
PORT DICKSON 29 Sept. – Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini diumumkan secara rasmi sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai dekat sini petang ini.
Mohd. Isa, 60, merupakan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun.
Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober ini.
Terdapat 13,664 pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang dengan 9,060 merupakan pengundi biasa manakala 4,604 pengundi pos.
DUN Bagan Pinang mempunyai 62.7 peratus pengundi Melayu, 20.7 peratus India, 10.9 peratus Cina dan 5.5 peratus kaum lain.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Azman Mohd Nor pada 4 September lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN itu selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.
- Utusan ##

29 September 2009

Pergolakan Umno Terengganu Tunjuk Tanda Pemulihan - Hishammuddin

[Bernama - 28 September, 2009]
MARANG, 28 Sept (Bernama)-- Pergolakan dalam Umno Terengganu kini mula menampakkan tanda-tanda pemulihan apabila pihak yang terlibat dilihat mula kembali ke landasan asal perjuangan dengan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun sebelum ini banyak pihak yang beranggapan masalah dalaman Umno Terengganu tidak dapat diselesaikan, namun sifat keikhlasan, kejujuran dan meletakkan agenda parti melebihi agenda peribadi menjadi kunci penyelesaian masalah itu.
"Saya tidak tengok kemelut Umno Terengganu ini seperti ramai melihatnya seolah-olah berada dalam keadaan teruk, jadi nak kata kemelut pun... saya dengarlah orang kata, orang cakap dan orang tulis.
"Tetapi dalam hati kecil saya akhirnya kita boleh buktikan ia bukanlah satu kemelut yang tidak boleh ditangani," kata Hishammuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri dan majlis perjumpaan bersama Anggota Dewan Undangan Negeri , Exco, Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian di sini , Isnin.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.Semua Adun dan Anggota Parlimen menghadiri perjumpaan itu kecuali Adun Adun Ajil Datuk Rosol Wahid, Adun Kuala Berang Mohd Zawawi Ismail dan Adun Paka Zakaria Abdullah.Suasana perjumpaan kali ini yang diikuti dengan sambutan hari raya bersama lebih 10,000 rakyat di Marang Waterfront berlangsung dalam suasana ceria.
Hishammmuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kehadiran ramai wakil rakyat dan pucuk pimpinan bahagian jelas membuktikan kepada semua pihak bahawa Umno Terengganu tidak berpecah seperti tanggapan sesetengah pihak.
"Ia hanya memerlukan kita duduk bersama menyelesaikan apa yang perlu ditangani secara bersua muka dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan di peringkat bahagian," katanya.
Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan asas perjuangan pemimpin dalam Umno tidak pernah berubah iaitu semangat untuk bergerak sebagai satu pasukan demi satu hala tuju dan matlamat iaitu pastikan Umno sentiasa relevan kepada orang ramai.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan masalah akan terus mendatang pada masa akan datang, tetapi dengan sifat yang ada pada pemimpin Umno negeri yang mementingkan parti dan rakyat, apa jua rintangan diyakini dapat diatasi.
Beliau berkata, pemimpin Umno perlu memastikan apa jua tindakan yang dilakukan oleh mereka mestilah tidak sampai ke tahap mengeruhkan keadaan kerana ia akan memberikan bonus kepada musuh parti sekaligus akan merugikan parti sendiri.
Mengenai mesyuarat itu, Hishammuddin berkata antara perkara yang dibincangkan ialah persiapan jentera Umno negeri membantu Umno Negeri Sembilan untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang 11 Okt ini dan persiapan mengadakan Konvensyen Perpaduan Melayu pada November ini.
Mesyuarat turut membincangkan soal penubuhan biro-biro Umno negeri sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti, katanya.
##

PROTES LEMBU ...

PROTES LEMBU ... Deretan lori yang membawa lembu dan kambing di letakkan di sepanjang laluan masuk ke bangunan SUK oleh para penternak sebagai tunjuk perasaan selepas pihak kerajaan negeri gagal menghulurkan bantuan selepas ladang ternakan mereka di Selayang dilanda banjir baru-baru ini. - UTUSAN

23 September 2009

Calon Bersih Politik Wang, Rasuah Penting Untuk Bagan Pinang

[Bernama - 22 September, 2009]
SEREMBAN, 22 Sept (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Umno harus pilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.Beliau yakin Umno boleh mendapat majoriti kuat pada pilihan raya kecil itu kerana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut merupakan kubu kuat parti berkenaan.
Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau pada Selasa.
"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu samada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya," tambahnya.
Jika Umno mengetengahkan calon yang tidak bersih, beliau berkata parti itu mungkin menang di Bagan Pinang tetapi akan kalah di tempat lain.Dr Mahathir turut khuatir jika ini diteruskan, parti itu akan kalah teruk pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Saya tak fikir tentang individu, saya kenal semua orang dan saya tak peduli dengan siapa pun tapi saya fikir cuma untuk parti sahaja," tegasnya.
Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Okt sementara pengundian 11 Okt.
Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Barisan Nasional (BN) Azman Mohamad Noor akibat jangkitan kuman dalam darah di Hospital Pakar Seremban pada 4 Sept lepas.Pas telah mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya ini.
##

Mahasiswa dinasihat bijak pilih pengajian

[Utusan - 23/09/09]
BESUT 22 Sept. - Mahasiswa perlu bijak memilih pengajian yang diminati bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata, mereka perlu mengambil bidang pengajian yang sukar untuk lulus tetapi menjanjikan peluang pekerjaan yang baik.
Menurutnya, tiada guna jika mereka memilih bidang pengajian yang mudah semasa di universiti tetapi sukar mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian.
"Sebaliknya jika mahasiswa sanggup memilih bidang yang agak sukar untuk lulus, ia adalah lebih baik kerana bidang tersebut mempunyai peluang kerja yang lebih luas," katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut menyatakan demikian selepas majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Mahasiswa Besut anjuran Sekretariat Mahasiswa Besut di Kampung Raja, dekat sini malam tadi.
Menurut Idris, mahasiswa juga perlu memiliki keyakinan, keterampilan diri serta mampu berkomunikasi dengan baik untuk mendapat pekerjaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Mara bercadang memperluaskan pendidikan Ulul Albab dengan melaksanakannya di sebuah lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada tahun depan.
Katanya, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan jika segala-galanya berjalan lancar, kemungkinan sebuah atau dua buah lagi MRSM dipilih untuk melaksanakan pendidikan itu.
"Kalau sebuah MRSM dipilih maka seramai 350 orang pelajar akan diambil dan jika dua buah yang akan dibuka maka 500 orang pelajar akan diambil untuk mengikuti pendidikan berteraskan Ulul Albab.
"Tahun ini kita mulakan di MRSM Kota Putera yang hasilnya ramai pelajar menunjukkan kemampuan menghafaz sehingga tujuh juzuk al-Quran dan ini satu perkembangan memberangsangkan," jelasnya.
##

22 September 2009

MESRA

Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) bersama isteri, Toh Puan Che Kamariah Zakaria (dua dari kiri) membantu mengagihkan teh tarik kepada para pengunjung di rumah terbukanya di Jertih, semalam.
*****
Lebih 5,000 orang ramai membanjiri rumah terbuka Pengerusi Mara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh di kediamannya di Jertih, Terengganu, semalam.
Rumah terbuka pada hari raya kedua ini yang disambut secara sederhana tetapi meriah bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat tempatan.
-Utusan 22/09/09

20 September 2009

Samy Vellu bukan lagi 'jaguh' kaum

[Utusan - 20/09/09]
KUALA LUMPUR 19 Sept. - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu terus menerima tekanan apabila diminta meletak jawatan oleh beberapa pemimpin parti itu yang melihat beliau bukan lagi 'jaguh' bagi kaum India di negara ini.
Naib Presiden MIC, Datuk S.K Devamany berkata, Samy Vellu perlu meletak jawatan kerana beliau menjadi liabiliti kepada MIC dan juga Barisan Nasional (BN) selepas hilang kepercayaan daripada sebahagian besar masyarakat India.
"Samy Vellu patut meletak jawatan bukan sebab beliau terlalu lama menjadi Presiden, tetapi memandangkan beliau kini menjadi liabiliti kepada parti setelah rakyat melihatnya bukan lagi 'jaguh' bagi kaum India," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan Samy Vellu akan menjadi liabiliti kepada BN pada pilihan raya umum akan datang disebabkan kepimpinannya gagal.
Dr. Mahathir bimbang sokongan rakyat terhadap BN akan merosot dan parti itu akan menjadi mangsa kerana Samy Vellu masih lagi memimpin MIC.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MIC, Datuk V.K.K Teagarajan menyokong kenyataan Dr. Mahathir yang mahu Samy Vellu meletak jawatan dalam MIC.
"Samy Vellu telah membuat MIC dan kaum India di negara ini hancur. Jadi, sudah sampai masanya beliau meletak jawatan dan keluar dari BN," ujarnya.
##

Lagi cerita Samy...

[Utusan - 20/09/09]
Awang sedikit lega dengan kenyataan Presiden MIC, S.Samy Vellu yang akan memohon maaf secara peribadi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu perwakilan parti itu menghina mantan Perdana Menteri. Sesungguhnya, ucapan perwakilan MIC Paya Besar, M. Sukumaran yang mencadangkan agar gambar Dr. Mahathir dikalung selipar sebagai melampau, biadap dan tidak boleh didiamkan.
Meskipun ada pemimpin UMNO mengkritik keras beliau sebelum ini tetapi ia tidak sampai kepada tahap mahu mengkalungkan selipar. Maka tindakan MIC menggantung keahlian Sukumaran dan setakat perwakilan itu memohon maaf menerusi media, belum memadai. Membiarkan isu ini berlalu tanpa penyelesaian yang disulam dengan kemas dan baik, hanya akan mengundang pelbagai masalah, persepsi dan sentimen liar kemudian hari.
Kesannya nanti bukan setakat kepada Sukumaran malah kepada imej MIC. Parti itu akan dilihat sebagai biadap, tidak mengenang budi dan yang mungkin lebih buruk akan terus dibenci.
Dalam hubungan ini, Awang merasakan Samy sebagai peneraju MIC patut mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Jika dihalusi, ucapan beberapa perwakilan yang mengkritik keras Dr. Mahathir pada perhimpunan itu sedikit sebanyak terikut sentimen yang dicorakkan oleh Samy.
Disebabkan tidak boleh menerima pandangan negarawan itu yang menyokong bekas Timbalan Presiden MIC, S. Subramaniam bagi pemilihan jawatan berkenaan selain komen bahawa Samy sudah terlalu lama dan wajar berundur, Dr. Mahathir dibidas oleh Presiden MIC.
Malah Samy menuduh Dr. Mahathir tidak melakukan apa-apa bagi membantu kaum India sepanjang menjadi Perdana Menteri. Bukankah Samy yang memainkan sentimen itu?
Alasan Samy Dr. Mahathir tidak boleh campur tangan dalam urusan MIC. Awang tidak melihat ia sebagai campur tangan. Sebagai bekas Pengerusi BN dan Perdana Menteri, tidak salah Dr. Mahathir memberikan pandangannya. MIC bukan parti yang berdiri atas entiti sendiri, ia adalah komponen BN. Apa yang disuarakan oleh Dr. Mahathir sememangnya ada asas dan beliau membawa suara rakyat yang mahukan Samy berundur. Sepatutnya Samy dan segelintir perwakilan MIC tidak harus emosional.
Dr. Mahathir bukan sahaja mengkritik MIC, parti-parti komponen lain termasuk pemimpin UMNO juga tidak terlepas daripada kritikan beliau. Sama ada kritikan itu betul atau salah, biarlah rakyat menilai dan mengapa perlu marah.
Satu lagi persoalan, apakah benar Dr. Mahathir tidak berbakti kepada kaum India seperti yang didakwa oleh Samy? Sudah tentu jawapannya tidak benar. Ramai yang tahu bahawa di zaman kepimpinan beliaulah, peningkatan ekonomi dan sosial masyarakat India begitu ketara. Makin ramai orang India berjaya dalam pelbagai bidang profesional antaranya guaman dan perubatan. Rumah ibadat untuk kaum India juga tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Namun kerajaan tidak boleh memuaskan kehendak semua kaum. Jangan lupa bahawa lebih ramai orang Melayu di Semenanjung dan bumiputera di Sabah dan Sarawak yang miskin dan keciciran, jauh lebih besar jumlahnya seperti yang disahkan menerusi Laporan UNDP.
Awang sempat meneliti banyak keratan akhbar lampau. Satu demi satu Awang terbaca pujian Samy terhadap sumbangan Dr. Mahathir. ''MIC akan sentiasa mengenang jasa Dr. Mahathir," itulah antara kenyataan beliau pada 2003 berhubung campur tangan Dr. Mahathir ketika itu bagi menyelesaikan isu gaji bulanan pekerja ladang dan membina semula sekolah Tamil yang usang.
Sepanjang menjadi Menteri kabinet, semua orang tahu bagaimana Samy selalu dipertahankan oleh Dr. Mahathir dalam isu-isu tertentu, walaupun ramai mencebik muka tanda tidak setuju. Strategi Mahathir memperkasakan Samy juga boleh dilihat sebagai tanda beliau menyokong MIC dan masyarakat India.
Ramai juga yang senyum sinis apabila melihat aksi Samy yang kerap menyuap juadah ke mulut Dr. Mahathir pada majlis perayaan dan mengalungkan bunga malai termasuk pada setiap kali malam keputusan pilihan raya umum. Apakah Samy sudah menjadi kacang lupakan kulit bahkan sengaja menafikan sumbangan Dr. Mahathir?
Tetapi Samy belum terlewat. Pintu kemaafan masih terbuka. Sewajarnya beliau menemui negarawan itu meskipun Dr. Mahathir telah mengulangi kritikannya kelmarin dengan menyatakan Samy menjadi liabiliti kepada BN. Setidak-tidaknya apabila Samy bersara, beliau akan dihormati oleh ahli-ahli parti komponen BN. Jangan lupa Samy lebih banyak musuh terutama dalam politik MIC itu sendiri dan karisma serta jasa beliau tidaklah sebesar apa yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir.
Dalam pada itu, Awang agak terkejut apabila Samy menyatakan beliau telah membincangkan dengan Perdana Menteri pada Jun lepas berhubung pelan persaraannya. Apakah Najib merestui pelan itu? Pada Awang, kalau boleh usahlah kaitkan Perdana Menteri. Lebih baik beliau mengumumkan sahaja pelan persaraannya, yang lagi cepat lagi baik.
- Awang Selamat

16 September 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Tiada alasan Adun BN tentang saya: Ahmad Said

[Bernama - 16/09/09]
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kemelut politik di negeri itu disebabkan campur tangan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.Beliau berkata, sebenarnya tiada alasan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) di Terengganu menentang kepimpinannya.
"Sebenarnya semua wakil rakyat BN di Terengganu, anak buah saya. Kalau saya yang paling junior, munasabah orang tak puas hati, tetapi di kalangan 28 Adun BN di Terengganu, saya paling senior.
"Lagipun saya pernah memegang beberapa jawatan penting seperti Ketua Pemuda negeri, Exco Pemuda Umno dan exco kerajaan negeri selama dua penggal. Malah, saya lebih dulu bertanding dalam pilihan raya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.
Mengenai pertemuan enam Adun Terengganu dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di Putrajaya semalam, Ahmad berkata mereka telah menemui beliau terlebih dahulu sebelum perjumpaan itu dibuat.
- ##

12 September 2009

Kerajaan Indonesia wajar ambil tindakan - Dr. Mahathir

[Utusan - 12/09/09]
PETALING JAYA 11 Sept. - Kerajaan Indonesia wajar bertindak terhadap rakyatnya yang membuat provokasi keterlaluan terhadap Malaysia bagi mengelakkan keadaan semakin meruncing, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan rasa sedih dengan perkembangan itu namun berkata, beliau memahami ia hanya melibatkan sekumpulan kecil rakyat republik itu.
Katanya, cadangan segelintir rakyat Indonesia untuk mAdd Imageelancarkan perang terhadap Malaysia membuktikan mereka sebenarnya tidak memahami hubungan erat antara kedua buah negara.
"Saya harap kerajaan Indonesia akan mengambil tindakan, kalau di sini kita tidak akan benarkan benda semacam itu berlaku, terutama bila ugut mahu 'sweeping' (mengusir rakyat Malaysia).
"Kalau mahu dijadikan slogan sahaja bolehlah, tapi kalau sampai hendak tahan kereta, nak buat 'sweeping', itu bukan perkara yang baik," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Penganugerahan Sri Cemerlang Piala Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kepada Kelab Perkim Universiti di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Setiausaha Kehormat Perkim, Tan Sri Abdul Hamid Othman.
Selasa lalu, sekumpulan rakyat Indonesia melakukan gerakan provokasi 'Sapu Orang Malaysia' di Jalan Diponegoro, Jakarta.
Dalam demonstrasi tersebut, penunjuk perasaan yang bersenjatakan buluh runcing menahan kenderaan dan bertanya identiti mereka bagi mengesan rakyat Malaysia ekoran isu berbangkit berhubung tarian Pendet.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan Malaysia perlu berhubung dengan kerajaan Indonesia untuk meminta kerjasama supaya sentimen itu dihentikan.
Beliau berkata, perkara yang kecil itu tidak sepatutnya menyebabkan hubungan yang baik selama ini menjadi rosak.
"Sebenarnya perkara ini remeh sahaja, bukan perkara besar. Dia kata kita curi lagu, curi tarian, itupun bukan kita yang buat, orang lain buat," katanya.
##

11 September 2009

UMNO berjaya

[Utusan - 11/09/09]
Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman RM218 juta yang dikemukakan oleh syarikat Elegant Advisory Sdn. Bhd. terhadap UMNO berhubung dakwaan gagal menjelaskan bayaran bekalan barangan dan perkhidmatan semasa Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.
Pesuruhjaya Kehakiman, Anantham Kasinater yang memutuskan demikian di kamar beliau di sini turut memerintahkan Elegant Advisory membayar kos RM10,000 kepada UMNO selaku defendan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Dalam penghakimannya, Anantham menyatakan, berdasarkan pernyataan tuntutan Elegant Advisory selaku pihak plaintif, didapati tiada kontrak yang sah sama ada secara lisan atau bertulis dibuat antara syarikat itu dengan UMNO.
Menurutnya, walaupun dua keping invois dinyatakan dalam pernyataan tersebut, namun beliau tidak dapat menerima invois itu sebagai bukti kononnya ia mewakili kewujudan kontrak tersebut.
Apatah lagi, katanya, kedua-dua invois itu langsung tidak dikemukakan di mahkamah. Justeru itu, beliau menegaskan, tuntutan saman itu adalah remeh dan menyusahkan.
Anantham yang tidak menafikan bahawa kes itu telah menarik minat umum turut menyatakan, tuntutan itu tidak berasas kerana plaintif tidak berhak menuntut keuntungan secara tidak adil menerusi Seksyen 71 Akta Kontrak 1950.
Ini kerana, jelasnya, plaintif sendiri mengakui syarikat itu telah melantik empat pihak lain untuk membekalkan perkhidmatan dan barangan terbabit kepada defendan.
''Seksyen 71 akta itu hanya boleh dirujuk oleh pembekal barangan terbabit. Memandangkan plaintif sendiri membuat akuan bahawa barangan dan khidmat itu dikemukakan oleh empat pihak tersebut, asas kepada tuntutan di bawah seksyen itu semestinya gagal,'' katanya.
Plaintif sebelum ini menamakan bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi sebagai defendan tetapi kemudiannya dibenarkan mahkamah untuk menukarkannya kepada bekas setiausaha bahagian pentadbiran dan kewangan UMNO, Datuk Ishak Abdul Rahman sebagai defendan baru.
Pada 17 Julai lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan penghakiman ingkar dengan memerintahkan defendan membayar Elegant Advisory RM218 juta, selepas defendan gagal menjawab saman yang difailkan syarikat itu pada 23 Jun 2008.
UMNO bagaimanapun berjaya mengetepikan perintah itu pada 21 Januari lalu, selain mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.
Sementara itu peguam defendan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun memberitahu pemberita, keputusan itu membuktikan UMNO akhirnya tidak pernah membelanjakan wang yang sebegitu banyak untuk kempen pilihan raya.
##

MENAKJUBKAN!

Kepulan gas berbentuk sayap rama-rama, yang tidak dapat dilihat sebelum ini.
IMEJ terbaru dirakamkan oleh teleskop gergasi angkasa lepas Hubble selepas ia dinaik taraf dan dibaiki, baru-baru ini. Kos naik taraf dan membaiki Hubble bernilai AS$1 bilion (RM3.5 bilion), termasuk pemasangan dua kamera baru dan peralatan-peralatan sains.
Menurut saintis kanan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Dave Leckrone, imej yang dirakamkan oleh Hubble itu lebih tajam dan jelas berbanding sebelum ia dibaiki.
– Agensi

UMNO parti Islam - PM

[Utusan - 11/09/09]
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI, OPAT RATANACHOT dan SHARIZA ABDULLAH utusankedah@utusan.com.my
SIK 10 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ini kerana perjuangan UMNO adalah untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam termasuk membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutama di rancangan-rancangan Felda.
Beliau berkata, perubahan dalam kehidupan peneroka Felda yang kini menikmati kehidupan lebih baik berbanding dahulu hasil perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah selari dengan perjuangan Islam.
''Apakah yang kita (kerajaan) lakukan sekarang tidak Islam? Siapa kata perjuangan kita tak selari dengan tuntutan Islam?
''Walaupun tidak ada label Islam tapi kita telah melaksanakan tuntutannya, melakukan perubahan sehingga mengubah nasib peneroka Felda.
''Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan UMNO sejak 53 tahun lepas berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam,'' tegas beliau.
Beliau menegaskan demikian dalam ucapannya pada Program Rahmat Ramadan Warga Felda (PRRWF) 2009 di Masjid An-Nur, Felda Teloi Timur di sini, hari ini.
Najib berkata, kerajaan tidak mahu Islam dianggap lemah tanpa menguasai pelbagai bidang termasuk ilmu, ketenteraan dan ekonomi.
''Kita tidak mahu melihat umat Islam berbalah seperti di Iraq sehingga masyarakat hidup dalam ketakutan di mana-mana,'' katanya.
Beliau turut meminta umat Islam mengambil iktibar ibadah pada bulan Ramadan dan perjuangan Rasulullah SAW dalam membentuk kekuatan rohani serta jasmani.
Perdana Menteri memberikan contoh, peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadan, seramai 313 umat Islam berjaya menewaskan musuh yang lebih besar walaupun dalam keadaan berpuasa.
''Mengapa tidak ambil panduan menerusi perkara ini. Kalau menerusi ibadat puasa pada zaman Rasulullah boleh menang, mengapa kita pada zaman ini tidak boleh mencipta kejayaan,'' katanya.
Perdana Menteri juga berjanji akan memastikan peneroka Felda sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan.
''Sebab itu, sejak dulu semasa saya menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya minta untuk jaga Felda dan sekarang pun apabila menjadi Perdana Menteri, saya tak mahu lepaskan Felda," kata beliau.
Terdahulu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).
Beliau juga menyerahkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM1.34 juta kepada lebih 4,000 peneroka Felda Wilayah Alor Setar serta menyampaikan Anugerah Khas PRRWF 2009.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan.
##

Zulkifli bidas ‘Pak Janggut’

[Utusan - 11/09/09]
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al- Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.
Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.
“Yang paling jelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,’’ katanya.
Zulkifli berkata demikian di dalam blognya, http://zul4kulim. blogspot.com/ bagi mengulas isu pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam yang dirancang kerajaan negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang tetapi dibantah penduduk Islam di situ.
Ia menyebabkan 12 penduduk Islam di kawasan itu dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam perhimpunan haram mengarak kepala lembu di hadapan bangunan kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini bagi membantah pembinaan kuil itu.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan identiti individu yang digelar ‘Pak Janggut’ itu.
Zulkifli berkata, memang umat Islam disuruh berlaku adil termasuk kepada bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam tetapi ia hanya terhad kepada soal menjaga kebajikan mereka termasuk memelihara tempat ibadah.
Katanya, umat Islam di situ bagaimanapun dilihat seolah-olah tidak mempunyai hak untuk bersuara dan hidup dalam keadaan aman harmoni berdasarkan status quo mereka.
“Umat Islam di situ dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dan perintah itu dikatakan dibenarkan di dalam al-Quran.
“Malahan mereka dikatakan berdosa kerana tidak mengikut al-Quran untuk membenarkan pembinaan kuil itu,” jelasnya.
Katanya, pembinaan kuil itu telah banyak diputar belit dan digembar-gemburkan sehingga menyebabkan isu sebenar pencerobohan tanah di kawasan itu untuk menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.
“Isu demonstrasi kepala lembu pula diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain,” katanya.
Bagaimanapun Zulkifli berkata, tindakan yang dilakukan penduduk Seksyen 23 itu mengadakan perhimpunan haram dengan membawa kepala lembu dan memijaknya tidak sepatutnya berlaku kerana menimbulkan persepsi yang negatif.
Katanya, ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati dalam isu tersebut contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor itu.
##

10 September 2009

MB Terengganu beri tempoh seminggu kepada akhbar mohon maaf

[Bernama - 10/09/09]
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberi tempoh seminggu kepada sebuah akhbar tempatan supaya memohon maaf kepada beliau berhubung satu laporan yang didakwanya mempunyai unsur fitnah. Katanya jika akhbar berkenaan gagal berbuat demikian, beliau akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyiarkan laporan itu pada 4 September lalu.
"(Laporan) ini jelas memfitnah kerana saya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini. Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap berita bertajuk "Muhyiddin Mahu Selesai Kemelut BN Terengganu" itu, Ahmad berkata laporan itu gagal menyiarkan perkara sebenar pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 rakyat Hulu Terengganu sebaliknya melihat daripada sudut politik semata-mata.
Dalam kenyataan setebal lima muka surat yang dibacanya, Ahmad berkata selama ini beliau mengelak dari memberi sebarang komen berkaitan politik untuk meredakan keadaan serta tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi negatif mengenai hubungannya dengan pentadbiran dan politik.
"Saya sudah lama bersabar. Walaupun saya telah memberikan penjelasan secara tertutup kepada pihak media beberapa bulan lepas, namun masih ada yang tidak memahami keadaan atau sengaja tidak mahu menerima kebenaran. "Laporan akhbar terbabit adalah penghujung kesabaran saya kerana ia jelas telah memfitnah saya," katanya.
Mengenai laporan portal berita The Malaysian Insider bahawa beliau menolak tawaran menjadi menteri pusat bagi membolehkan beliau meletakkan jawatannya di Terengganu, Ahmad menafikan pernah menerima tawaran itu. Katanya berita itu mempunyai unsur fitnah dan spekulasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan sama terhadap portal berita itu seperti dilakukan kepada akhbar tempatan terbabit, Ahmad berkata beliau akan melihat berita itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.
##

Hentikan tindakan mengarut - Zambry

[Utusan - 10/09/09]
IPOH 9 Sept. - Sudah tiba masanya bagi pakatan pembangkang di negeri ini menghentikan segala tindak tanduk mengarut mereka dan kembali waras, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam merupakan hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak tentang kedudukan sistem yang selama ini dipraktikkan dan apa yang sebenarnya berlaku di Perak.
''Hari ini, kebenaran akhirnya terserlah tentang perbuatan dan tindakan mereka yang cuba mengaburi dan mengelirukan pemikiran rakyat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Exco di sini hari ini.
Zambry diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam yang menolak permohonan V. Sivakumar bagi menghalang Datuk R. Ganesan menjalankan tugas sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Hakim Datuk Azhar Moahamed ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa menentukan perkara tersebut sebaliknya ia harus diselesaikan dalam sidang DUN itu sendiri.
Menurut Zambry, pakatan pembangkang sepatutnya menjadi pembangkang yang berkaliber seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) semasa menjadi pembangkang di negeri ini.
Beliau juga berharap dengan keputusan mahkamah itu, pembangkang memperbetulkan semula dakwaan kononnya BN melakukan rampasan kuasa.
Katanya, selama ini pun, BN tidak pernah memulakan proses mahkamah tetapi ia dilakukan oleh pakatan pembangkang sendiri tetapi kemudiannya meletakkan beban tersebut kepada BN.
Zambry yakin, rakyat dapat melihat wajah sebenar pembangkang dengan pelbagai tindakan yang mereka lakukan termasuk menyaman BN ke mahkamah.
''Terbaru, tadi kita terima saman (daripada pembangkang) tentang kedudukan Exco kerajaan negeri pula.
''Kalau keputusan mahkamah berpihak kepada mereka, kata proses yang adil tetapi kalau sebaliknya, mereka kata tidak adil, hakim dibeli dan sebagainya," katanya.
##