14 Februari 2010

Siapa lagi selepas Zahrain?

UM - 14/02/10
Seorang lagi pemimpin PKR, Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim meletakkan semua jawatan dan keluar parti itu. Tindakan tersebut satu lagi tamparan kepada pakatan pembangkang khususnya, pemimpin PKR, Anwar Ibrahim.
Sesungguhnya Awang seperti juga rakyat Malaysia tidak terkejut. Banyak kepincangan dalam pakatan pembangkang terutama di Pulau Pinang yang ditadbir Lim Guan Eng, mendorong Zahrain meninggalkan parti.
Menurut beliau, tindakan tersebut diambil kerana tidak mahu dilihat sebagai sebahagian daripada gerombolan yang menjahanamkan negara, bangsa dan agama Islam.
Awang tabik kepada Zahrain kerana mengambil pendirian yang berani. Beliau tidak tunduk kepada DAP sebagaimana bosnya, Anwar. Pergantungan Anwar kepada DAP begitu tinggi dalam usaha menjamin sokongan kaum Cina demi menjayakan cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Sebab itu, Anwar walaupun menjadi ketua pembangkang, mendiamkan sahaja keserakahan kerajaan DAP termasuk merobohkan banyak gerai peniaga Melayu dan lebih buruk membatalkan perarakan Maulidur Rasul. Kini, semua sedar Guan Eng bersikap rasis dan angkuh. Baru setahun dua memerintah, hak dan kepentingan umat Islam dihakis. Pulau Pinang bukan Hong Kong atau milik satu kaum.
Persoalan lebih menarik siapa lagi akan keluar PKR? Dengan perkembangan terkini selain kes perbicaraan liwat Anwar, dijangka lebih ramai akan mengikut jejak Zahrain.
Sebenarnya aliran pemimpin PKR meninggalkan parti itu bukanlah baru. PKR walaupun agak baru usianya, telah menyaksikan ramai keluar parti. Antara nama besar yang meninggalkan PKR ialah bekas Timbalan Presiden, Chandra Muzaffar, bekas Naib Presiden, Marina Yusof, bekas Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd. Noor, bekas Ketua Penerangan Ruslan Kassim, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi iaitu Zainur Zakaria dan S. Nallakaruppan, dua bekas Setiausaha Agung, Mohd. Annuar Tahir dan Salehuddin Hashim, bekas Setiausaha Sulit Kanan Anwar, Annuar Shaari dan bekas Bendahari Agung, Abdul Rahman Osman.
Yang lain pula ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, ADUN Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah, ADUN Lunas, Mohd. Radzi Salleh, ADUN Bukit Selambau, V. Arumugam, Lokman Adam, Hamdan Taha, Zahid Md. Arip, Saidatul Badru Tun Said Keruak dan dan ramai lagi.
Itu belum mengambil kira mereka yang melepaskan jawatan, yang kemudian secara senyap-senyap menyisihkan diri. Turut mengambil langkah tersebut ialah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan ADUN Penanti, Mohd. Fairuz Khairuddin, Naib Presiden, Jeffrey Kitingan, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Christina Liew dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
Apa yang tidak kena pada PKR dan kepimpinan Anwar? Apakah tindakan mereka yang keluar dan melepaskan jawatan dalam parti dilakukan tanpa sebab kukuh? Awang tidak fikir begitu. Sebenarnya mereka tidak lagi boleh berkompromi kerana PKR telah terpesong daripada landasan sebenar. Mereka hilang kepercayaan kepada Anwar daripada isu moral sehinggalah kepada percaturan politik yang berbahaya kepada agama, bangsa dan negara. Ia bukan lagi soal memperjuangkan keadilan rakyat tetapi lebih kepada agenda peribadi. PKR juga dilihat sebagai parti yang dikemudi secara eksklusif oleh 3A iaitu Anwar, (Wan) Azizah dan Azmin Ali, menyebabkan ramai pemimpin tidak puas hati.
Awang berharap Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang lantang mempertahankan kepentingan Islam, tidak mengambil masa lama untuk meninggalkan PKR. Khabarnya, beberapa pemimpin Cina dan India dalam PKR juga sedang bercongak-congak untuk keluar termasuk orang yang dianggap hulubalang Anwar. Mereka serik dan tidak rela diperalatkan lagi. Siapa mereka...kita tunggu?
/hwa-utusan.

UMNO sedia bincang dengan Pas

UM - 14/02/10
BESUT 13 Feb. - UMNO bersedia duduk semeja dengan Pas bagi membincangkan isu berkaitan dengan Islam sekiranya kenyataan berhubung cadangan tersebut dikeluarkan menerusi Majlis Syura parti itu dan bukannya individu.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, walaupun kenyataan berhubung isu terbabit dikeluarkan oleh Presiden Pas sekalipun, UMNO tidak akan menerimanya kerana ia adalah keputusan secara individu.
Katanya, ini disebabkan UMNO bimbang berdasarkan kenyataan pemimpin Pas sebelum ini ia kerap berubah mengikut musim dan kadangkala keputusan dibuat tidak menggambarkan pendirian parti itu yang sebenar.
''Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memberitahu yang beliau (Najib) tidak pasti pasal perbincangan dengan Pas sebab ia selalu berubah,
''Kenyataan itu hanya dibuat atas kenyataan Datuk Nik Aziz saja......kecuali kalau Majlis Syura Pas kata nak bekerjasama dengan UMNO...kita setuju lah.
"Kalau ikut yang lepas-lepas nanti dia berubah-ubah," katanya selepas merasmikan Program Juara Rakyat Peringkat Bahagian Besut di Dewan Gong Kemuntong Jerteh di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulas cadangan Nik Aziz sebelum ini yang mencadangkan parti itu duduk semeja dengan UMNO bagi membincangkan isu berkaitan Islam.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, sebarang keputusan mesti mengikut dasar parti.
''Kalau seorang sahaja buat keputusan..kita tidak boleh terima," katanya.
Mengenai tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang berceramah di atas pentas pembangkang, Muhyiddin berkata, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Tengku Razaleigh sebelum ini sebenarnya banyak bercanggah dengan dasar-dasar dan pendirian kerajaan.
''Walaupun kita telah meneliti ucapan beliau (Tengku Razaleigh) namun ia masih belum dibawa kepada pihak pengurusan tertinggi UMNO untuk tindakan selanjutnya.
''Sebagai seorang lebih senior dalam parti, dia patut beri contoh yang baik dan bukannya membuat kenyataan sebaliknya," kata beliau.
/hwa-utusan.

13 Februari 2010

Teruskan perjuangan demi nasib anak Melayu, bumiputera

UM - 13/02/10
SHAH ALAM 12 Feb. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu memainkan peranan memperbetulkan ketidakadilan sejarah dengan melahirkan lebih ramai siswazah Melayu dan bumiputera supaya seimbang dengan kedudukan kaum lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, selepas 400 tahun terpinggir, orang Melayu dan bumiputera tidak boleh lagi terpengaruh dengan dakyah penjajah.
Beliau berkata, orang Melayu dan bumiputera juga perlu sedar mereka bukan lagi kaum yang tertindas dan mampu bangkit jika diberi peluang.
''Kita tidak boleh percaya kepada apa yang penjajah mempengaruhi kita dahulu dengan menganggap kita seolah-olah lemah dan tidak pandai.
''Ini semua jarum penjajah yang ditanam supaya kita jadi kaum yang mengikut telunjuk mereka. Kita perlu buktikan orang Melayu dan bumiputera boleh berada sama tinggi dengan bangsa lain," katanya ketika merasmikan Kampus UiTM Puncak Alam Fasa Pertama di sini hari ini.
Najib berkata, UiTM telah membuktikan pelajar Melayu dan bumiputera tidak malas dan bukannya tidak pandai, malah boleh dididik untuk menjadi insan terpelajar dan mulia.
''Jadi, saya harap UiTM akan teruskan perjuangan demi nasib anak Melayu dan bumiputera," kata beliau.
Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan beliau akan menjemput Yayasan Budiman UiTM dalam tempoh seminggu atau dua ini untuk menyampaikan cek bernilai RM1 juta bagi membantu pelajar miskin UiTM.
Beliau juga berjanji akan menambah peruntukan RM2 juta jika yayasan itu berjaya mencari dana sebanyak RM2 juta lagi bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan.
''Jadi Tan Sri dan Datuk, jangan tambah kereta, rumah dan penghuninya sahaja...tolong tambah dana untuk membantu pelajar miskin di UiTM ini," kata beliau sambil memberitahu fasa kedua pembangunan Kampus UiTM Puncak Alam akan ditandatangani pada Mac ini.
Perdana Menteri turut memberitahu yang UiTM amat dekat di hati beliau dan keluarga kerana universiti itu diasaskan oleh Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak.
Oleh itu kata Najib, beliau akan memastikan legasi itu bukan sahaja dapat dipertahankan, tetapi terus bertakhta sebagai mercu kebanggaan negara.
/hwa-utusan.

Isyarat jelas PKR tidak mampu bela rakyat

UM - 13/02/10
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Pengumuman Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini isyarat jelas bahawa PKR bukan parti yang mampu memperjuangkan nasib rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai orang lama dalam politik Zahrain terpaksa bertindak sedemikian setelah didapati sumbangan serta pengorbanannya tidak lagi diiktiraf oleh PKR.
"Kita sudah jangka perkara ini kerana telah ada pemimpin dan ahli-ahli mereka keluar parti. Zahrain mungkin sedar perjuangannya tidak lagi bermakna dan sia-sia.
"Saya percaya Zahrain terpaksa ambil keputusan ini kerana perjuangannya semakin tidak mendapat pengiktirafan. Oleh itu apa guna beliau terus kekal dalam PKR," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan cawangan Ar-Rahnu X'Change Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Cheras Maju dekat sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman keluar PKR oleh Zahrain hari ini. Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu turut meletakkan semua jawatannya dalam PKR.
Isu yang membabitkan Zahrain mula tercetus apabila beliau lantang mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilabel beliau sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya.
Berikutan kecaman tersebut, Jawatankuasa Disiplin PKR pada 31 Januari lalu menetapkan tempoh sebulan untuk meneliti tindakan ke atas Zahrain selain seorang lagi wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, berkemungkinan Zahrain selepas ini akan mengikut jejak wakil rakyat lain untuk tidak menyertai mana-mana parti.
"Saya fikir beliau mahu menjadi wakil rakyat bebas. Namun begitu segala-galanya terletak pada tangannya.
"Bagi UMNO kita tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa yang mahu berjuang bersama kita. Walau apa pun seperti yang saya katakan tadi di peringkat ini kita biarkan Zahrain untuk membuat keputusan," tambahnya.
/hwa-utusan.

Maulidur Rasul: Rakyat P. Pinang perlu buka mata

UM - 13/02/10
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penduduk Islam di Pulau Pinang ‘membuka mata’ terhadap sikap sebenar kerajaan negeri pimpinan DAP apabila bertindak membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul yang secara tradisinya diadakan setiap tahun.
Sambil mempersoalkan tindakan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Pulau Pinang terutama Ketua Menterinya, Lim Guan Eng nampaknya mula mempraktikkan satu sikap baru iaitu mereka enggan mendukung cita-cita serta hasrat yang membabitkan kepentingan umat Islam.
“Saya mahu bertanya kepada kerajaan Pulau Pinang khususnya Guan Eng. Adakah dia mahu menunjukkan satu sikap baru bahawa dia tidak lagi bersama mendukung hasrat dan cita-cita umat Islam di negeri berkenaan?
‘‘Jika Guan Eng kata tidak, lebih baik dia benarkan perarakan ini diadakan. Apa yang Guan Eng bimbangkan sangat? Pasal keselamatan? Setakat ini tidak pernah pula kita mendengar perarakan Maulidur Rasul boleh mengancam keselamatan,’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pembukaan cawangan Ar-Rahnu X’Change Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Cheras Maju dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung tindakan kerajaan Pulau Pinang membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang sebelum ini diadakan setiap tahun.
Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau kecewa dengan keputusan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam.
/hwa-utusan.

12 Februari 2010

YBK: 1,000 demonstrasi, hantar memorandum kepada MB

UM - 12/02/2010 3:22pm
SHAH ALAM 12 Feb. – Kira-kira 1,000 ahli UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima semula cek bernilai RM5.46 juta bagi membayar cukai tanah tertunggak milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).
Terdahulu, mereka berkumpul di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di sini selepas solat Jumaat.
/hwa-utusan.

Najib solat Jumaat bersama warga UIAM

BERNAMA - 12/02/10
KUALA LUMPUR: Kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dekat sini, hari ini mengejutkan hampir 9,000 jemaah yang terdiri daripada petugas dan penuntut universiti itu apabila beliau menyertai mereka untuk menunaikan solat Jumaat.
Perdana Menteri yang tiba pada jam 1.15 petang disambut Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Selepas menunaikan solat, beliau melawat kafeteria kolej kediaman Mahallah Ali Abi Talib kira-kira 40 minit untuk beramah mesra dengan penuntut selain mengadakan perjumpaan dengan Presiden kolej kediaman, Wan Mohd Hafiq Abdul Jalil.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, Wan Mohd Hafiq berkata penuntut berasa terharu dengan kunjungan Perdana Menteri ke kolej berkenaan.
"Ini adalah satu perkara yang baik apabila seorang Perdana Menteri turun ke kolej kediaman ini dan ia adalah satu penghormatan bagi kami. "Beliau seorang yang mesra dan memahami pandangan rakyat," katanya yang juga penuntut tahun pertama jurusan ekonomi.
Wan Mohd Hafiq berkata, beliau memohon kepada Perdana Menteri supaya kerajaan dapat menyediakan akhbar percuma kepada penuntut di universiti itu agar mereka tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan semasa.
/hwa-berita harian.

Zahrain keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR)


AHLI Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, melambai tangan selepas mengumumkan beliau keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang media di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, pagi tadi. - Foto Abdullah Yusof

Anwar kecewa Zahrain keluar parti

BERNAMA - 12/02/10
PUTRAJAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau kecewa dengan keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, untuk keluar daripada parti itu.
Katanya, tidak pernah dibangkitkan dalam parti atau dengan beliau isu pertelingkahan peribadi Zahrain dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
"Untuk menghukum Ketua Menteri dengan kata-kata kesat, kita tidak boleh terima. Jadi beliau ditegur atas alasan itu," katanya kepada pemberita selepas prosiding Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan beliau untuk membatalkan kes liwat membabitkan beliau di sini hari ini.
Zahrain, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, mengumumkan keputusannya hari ini dengan alasan beliau kecewa dengan kepimpinan Lim serta kesal dengan perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang.
/hwa-berita harian.

'Atasi segera isu kalimah'

Bernama - 12/02/10
TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ditemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada hari kedua Mesyuarat Ke-220 Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.


Raja-Raja Melayu beri jaminan pertahankan kedaulatan, kesucian Islam sebagai agama rasmi

KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi kesucian dan status agama Islam dan mempertahankan kedaulatan serta kesuciannya Islam sebagai agama rasmi negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan beragama kaum lain.
Raja-Raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-220 selama dua hari di Istana Negara semalam juga menjelaskan isu penggunaan kalimah Allah yang dibangkitkan, baru-baru ini perlu ditangani segera bagi memastikan ia tidak menggugat kesucian agama Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.
Serentak itu, Raja-Raja Melayu mengambil maklum permintaan, surat dan memorandum pelbagai pertubuhan dan individu Islam yang menzahirkan rasa dukacita mereka mengenai penterjemahan perkataan God kepada Allah. Menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam, penterjemahan itu banyak menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam.
"Isu ini jika tidak ditangani segera akan menggugat kesucian agama Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam negeri.
"Raja-Raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan beragama kaum lain. Raja-raja Melayu memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi kesucian dan status agama Islam," kata kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu juga berpandangan sebarang perbuatan yang merosakkan rumah ibadat adalah perbuatan provokatif yang amat membahayakan dan tidak harus dibenarkan berlaku sama sekali.
"Perbuatan khianat yang didorong oleh emosi wajib dihentikan kerana tidak direstui, malah ditegah daripada dilakukan oleh semua agama. Perbuatan itu jenayah yang perlu dibendung secara tegas dan segera," katanya."
Raja-Raja Melayu turut merakamkan penghargaan kepada polis yang bertindak secara profesional bagi mengawal keadaan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
Raja-Raja Melayu amat memahami tugas berat yang terpaksa mereka hadapi dan menyeru agar usaha pasukan keselamatan mengawal ketenteraman awam diberikan sokongan sepenuhnya.
Selain itu, Raja-Raja Melayu mengambil maklum isu penggunaan istilah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly sedang di peringkat pertimbangan Mahkamah Rayuan.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini yang dipengerusikan Sultan Perak Tuanku Azlan Shah turut membincangkan perkara berkaitan agama, pertahanan, keselamatan serta pelantikan hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.
/hwa-berita harian.

Kerajaan Pulau Pinang batalkan perarakan Maulidur Rasul

UM - 12/02/10
Oleh ZABRY MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
PULAU PINANG 11 Feb. – Tindakan kerajaan negeri membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang dibuat setiap tahun amat dikesali.
Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali berkata, beliau kecewa dengan keputusan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam
Tegas beliau, sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan konsep cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) dalam pentadbiran, perkara itu sepatutnya tidak berlaku.
‘‘Kita kecewa dan kesal kerana walau apa pun alasannya, kerajaan negeri boleh membuat perancangan awal dan tidak mustahil ia dilakukan melalui sistem CAT yang mereka uar-uarkan selama ini.
‘‘Kalau alasan sambutan jatuh pada hari Jumaat dan khuatir tergesa-gesa untuk menunaikan solat jemaah, mereka boleh buat di Masjid Negeri dan kawasan masjid ini cukup luas dan mampu menampung jumlah orang yang ramai.
‘‘Jika alasan tiada bajet, berapa sen sangat untuk membeli sebungkus makanan dan minuman untuk para peserta perarakan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan, mesyuarat jawatankuasa induk majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masehi peringkat negeri pada 3 Februari lalu memutuskan perarakan tersebut dibatalkan tetapi majlis perhimpunan ummah diteruskan di Dewan Sri Pinang.
Pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.
Difahamkan, alasan yang diberikan adalah kerajaan negeri mahu membuat kelainan pada sambutan kali ini.
Selain itu, pada tahun ini juga kerajaan negeri tidak memilih mana-mana individu sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul.
Dalam pada itu Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Kassim ketika dihubungi memberitahu, beliau akan memberikan maklumat mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat.
‘‘Saya akan mengumumkan maklumat terperinci sedikit masa lagi,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menerusi laman webnya memaparkan atur cara majlis perhimpunan ummah yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga 11.30 pagi.
Antara yang bakal diadakan adalah bacaan al-Quran, persembahan nasyid, pelancaran program e-Munakahat dan forum perdana.
Tahun lalu, perarakan sempena Maulidur Rasul sejauh 2.6 kilometer disertai kira-kira 3,000 orang dari 50 kontinjen bermula di Jalan Padang Kota Lama melalui Lebuh Light, Pangkalan Weld dan Lebuh Chulia sebelum berakhir di Dewan Sri Pinang.
Pada 2008 pula, lebih 2,000 orang membabitkan 36 kontinjen berarak sejauh lima kilometer melalui Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Chulia, Lebuh Pantai, Jalan Pesara King Edwards, Jalan Tun Syed Barakbah dan Jalan Padang Kota Lama.
/hwa-utusan malaysia.

Pembangkang gagal wujud kerajaan alternatif

UM - 12/02/10
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Perasaan tidak puas hati yang diluahkan secara terbuka oleh wakil rakyat pembangkang terhadap pentadbiran negeri-negeri yang diterajui pakatan itu membuktikan ia telah gagal membentuk kerajaan alternatif.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wakil rakyat terbabit tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan tidak berpuas hati mereka kerana terdapat pelbagai masalah yang gagal ditangani dengan berkesan.
"Adalah jelas pentadbiran kerajaan negeri pembangkang telah gagal. Kita harap rakyat menyedari hakikat bahawa parti-parti yang menyertai pakatan ini tidak boleh bekerjasama.
"Ini adalah jelas apabila wakil rakyat pembangkang terlibat dalam 'perang terbuka' sesama sendiri dalam tempoh kira-kira lebih setahun selepas pilihan raya umum lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bersama Petugas Kumpulan Felda di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.
Antara wakil rakyat pembangkang yang lantang bersuara ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang baru-baru ini menegaskan, DAP tidak diperlukan dalam pakatan berkenaan kerana parti itu menjadi punca utama kepada semua masalah dalaman.
Zulkifli yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kes pusat penyembelihan babi di Kedah dan peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin sebahagian daripada contoh tindak-tanduk DAP sebagai 'duri dalam daging' bagi pakatan pembangkang.
Muhyiddin berkata, kegagalan paling ketara pakatan pembangkang ialah mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas bagaimana hendk mentadbir negeri-negeri yang dimenangi.
"Kita nak tanya pembangkang apa pelan mereka untuk memajukan negeri. Mereka tak pernah bentang pun, sebaliknya bercakaran sesama sendiri, jadi saya harap ini menjadi satu iktibar," katanya.
Menurut beliau, pendekatan pembangkang itu jauh berbeza dengan kerajaan BN di peringkat negeri dan Pusat yang telah mengatur hala tuju lebih jelas termasuk mewujudkan Program Transformasi Kerajaan (PTK), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan model ekonomi baru.
"Apabila bercakap tentang soal masa depan rakyat negara kita, BN tak bercanggah ataupun mempertikaikan soal kerjasama kita termasuk bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.
"Walaupun ada sedikit masalah dalam komponen BN, ini tak menjadi halangan untuk kita bergerak ke hadapan," ujarnya.
Sementara itu, beliau menyifatkan laporan perunding risiko serantau bahawa Malaysia telah berubah haluan ke arah keadaan tidak stabil sebagai karut.
Beliau berkata, kerajaan tidak perlu memberikan reaksi terhadap laporan yang dibuat Perunding Politik dan Risiko Ekonomi (PERC) yang beribu pejabat di Hong Kong kerana pihak berkenaan tidak tahu apa-apa mengenai negara ini.
"Saya fikir pihak-pihak di PERC 'bercakap menerusi hidung dan bukannya mulut.' Mereka juga mungkin duduk di suatu tempat di pedalaman Hong Kong menyebabkan mereka tidak tahu apa-apa," katanya.
PERC dalam laporan yang dipetik oleh portal berita The Malaysian Insider semalam mendakwa sejak awal tahun ini situasi di Malaysia menjadi semakin tidak stabil dengan kumpulan elit minoriti menguasai agenda nasional sehingga menjejaskan tarikan pelabur.
Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh PERC bagi mengesahkan dakwaan mereka ialah kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E, perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penahanan suspek pengganas dari beberapa negara Afrika dan Asia Barat serta kejadian membakar gereja dan surau.
Menurut Muhyiddin, laporan berkenaan mempunyai agenda tersembunyi bagi mewujudkan ketidakstabilan di negara ini.
"Semua laporan ini memang ada motif tertentu dengan niat tidak mahu membantu.
"Bagaimanapun kita tidak minta mereka bantu. Kita bantu diri sendiri dan kita tidak perlukan komen mereka kerana saya fikir ramai lagi orang yang tahu dan dapat menilai diri kita secara sangat objektif.
"Kita juga tidak meletakkan asas kepada emosi tetapi fakta dan realiti.
"Pada hakikatnya rakyat Malaysia gembira dan tidak menghadapi sebarang bencana besar atau mengalami kegelisahan kaum di negara ini atau berperang sesama sendiri.
"Jadi, apa yang mereka cakap?" katanya.
Tambah Muhyiddin, pihak-pihak yang membuat laporan berkenaan sepatutnya datang ke Malaysia bagi menyaksikan sendiri suasana kehidupan harian rakyat negara ini.
"Kita gembira untuk membawa mereka ke sini bagi (membolehkan mereka) melihat apa itu kestabilan, apa itu keselamatan, apa itu perang dan apa itu kegelisahan," katanya.
/hwa-utusan malaysia.

11 Februari 2010

PM Tinjau Petaling Street

KEMUNCULAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (berbaju batik) yang mengadakan lawatan mengejut di Jalan Petaling, Kuala Lumpur sempena sambutan Tahun Baru Cina disambut ribuan warga kota yang berada di sekitar jalan tersebut, 11 Februari.
- Utusan

Najib tinjau Petaling Street

BH - 11/02/10
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat tinjauan mesra di Petaling Street di sini bagi melihat perkembangan terkini kawasan itu yang juga antara tumpuan pelancong asing.
Ketibaan beliau pada jam 4.50 petang disambut meriah dengan persembahan tarian Singa dan kehadiran lebih 500 pengunjung yang teruja untuk menemui dan bersalaman dengan Perdana Menteri.
Dalam tinjauan kira-kira 45 minit itu, Najib beramah mesra dengan peniaga dan mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri serta Presiden Persatuan Penjaja Jalan Petaling, Datuk Ang Say Tee.
/hwa-berita harian.

Pakatan pembangkang semakin berantakan

BH (Rencana) - 11/02/10
Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org
Parti gabungan longgar, tak lekang dilanda pelbagai krisisAGAKNYA, apakah sebenarnya yang sedang melanda Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini. Dalam tempoh setahun ini, ia sering saja menghadapi pelbagai krisis yang bukan saja tidak selesai malah semakin menular.
Walaupun mulanya menerajui empat kerajaan negeri termasuk Perak yang ia kemudian hilang berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berpaling tadah (tidak termasuk Kelantan yang terus dikuasai Pas), ketiga-tiga negeri lain " Kedah , Selangor dan Pulau Pinang " tidak lekang daripada dilanda krisis.
Gabungan yang terlalu longgar ini membawa kepada setiap komponennya bertindak sendirian. Ini tidak menghairankan kerana ia wujud untuk satu matlamat singkat - menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu, dengan harapan menggagalkan BN daripada terus mendapat majoriti 2/3 dalam Parlimen. Ini berjaya dan tanpa diduga pula memenangi tiga daripada negeri terkaya, Selangor, Pulau Pinang dan Perak selain Kedah dengan Pas terus berkuasa di Kelantan.
Kewujudan gabungan ini sebagai sebuah parti campuran yang amat longgar menyebabkan hingga kini ia tidak dapat menyediakan satu perjuangan jangka panjang menggariskan hala tuju negara yang dapat diterima oleh ketiga-tiga parti yang menganggotainya.
Pas masih tetap dengan perjuangannya hendak mendirikan sebuah negara Islam tetapi ditentang hebat DAP. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula tetap tidak dapat lari daripada matlamat asal penubuhannya untuk mendapatkan "keadilan" bagi pucuk pimpinannya saja dengan terus memperjuangkan idaman pemimpinnya itu untuk memegang tampuk kerajaan sebagai Perdana Menteri.
Tumpuan ini juga membawa kepada kegelisahan di kalangan beberapa pemimpin kanannya yang sama ada berhenti memegang pelbagai jawatan penting dalam parti atau meninggalkan parti itu sama sekali.
Terakhir dikatakan satu pertiga Ahli Parlimen PKR dan satu pertiga lagi Adunnya sudah mual dengan tindak-tanduk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak memberi tumpuan kepada masalah dalaman PKR. Malah beliau banyak menghabiskan masanya berkempen mempolitikkan tuduhan terhadapnya meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di luar negara.
Berikutan kempennya itu, maka tidak menghairankan kenapa seorang Ahli Parlimen Australia, Michael Danby, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Parlimen Australia mengenai Hal Ehwal Luar mengutuk keras kerajaan kerana mengemukakan tuduhan terhadap Anwar itu.
Tuduhan itu dilemparkannya dalam satu ucapan pada hari bermulanya perbicaraan itu yang ditohmahkan seolah-olah Anwar sudah pun disabitkan. Ahli Parlimen Australia berketurunan Yahudi itu juga diwawancara oleh rangkaian berita TV Aljazeera yang membuat tuduhan sama iaitu hak asasi Anwar dicabuli kerajaan apabila membicarakannya diatas tuduhan liwat - suatu tindakan yang tidak boleh diterima negara bertamadun.
Demikian pula akhbar Amerika Syarikat seperti Wall Street Journal memuatkan artikel oleh Munawar Anees bagaimana dia diseksa oleh polis untuk mendapatkan pengakuan terhadap tuduhan liwat yang pertama dulu terhadap Anwar. The Washington Post dalam satu lidah pengarangnya juga mengutuk kerajaan kerana tidak menghormati hak asasi Anwar dengan membuat satu lagi tuduhan liwat ke atasnya.
Jadi, mana Anwar mempunyai masa untuk menangani apa yang sedang bergolak dalam pakatan pembangkang, malah PKR sendiri. Mulanya wujud pandangan serong DAP terhadap Pas berikutan ura-ura Pas mahu adakan perbincangan dengan Umno untuk menangani pelbagai isu mengenai kedudukan Melayu dan agama Islam yang berterusan dipersoalkan.
Ini disusuli pula perbalahan di dalam kerajaan Kedah yang dipimpin Menteri Besar daripada Pas hingga membawa kepada keputusan jawatankuasa negeri DAP menarik diri daripada kerajaan negeri kerana membantah tindakan menutup sebuah ladang babi haram dekat Alor Setar.
Kemudian timbul pula tuduhan keras seorang pemimpin PKR Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP sebagai seorang cauvinis, diktator dan berfikiran komunis kerana beberapa tindakan dan keputusannya menjejas kedudukan orang Melayu di negeri itu.
Tuduhan Zahrain itu disokong seorang lagi Ahli Parlimen PKR dari Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang menuduh Lim melayan wakil rakyat PKR seperti anjing kerana tidak memberi layanan setimpal dengan layanan diberikannya kepada wakil rakyat DAP. Mereka dikatakan bukan saja tidak terpilih untuk sebarang jawatan bahkan tidak pula menerima bantuan kewangan untuk melaksanakan program bagi kepentingan rakyat dalam kawasan mereka.
Seorang lagi Ahli Parlimen PKR dari Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang pernah menjadi seorang pemimpin DAP juga menuduh kerajaan pimpinan DAP menganaktirikan PKR dan menuduh kerajaan negeri itu tidak konsisten dan menipu.
Terakhir Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dari PKR meramalkan ramai anggota parti itu akan keluar parti kerana tidak puas hati dengan pimpinannya yang berterusan tidak melayan rungutan mereka terhadap DAP.
Berdepan pelbagai krisis ini bolehkah pakatan pembangkang (sesetengah orang melabelkannya sebagai pakatan rapuh) bukan saja dapat bertahan malah wujud sebagai suatu pakatan yang mantap untuk menjadi gabungan alternatif kepada Barisan Nasional?
Sama-samalah kita lihat.
/hwa-berita harian.

Minda Pengarang: Rakyat Perak nanti pembangunan, bukan demonstras

BH - 11/02/10
KEPUTUSAN sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kelmarin yang memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak setahun lalu adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak (UTNP), memperjelaskan seseorang perlu membuktikan yang beliau memperoleh sokongan majoriti sebelum boleh dilantik sebagai Menteri Besar. Ini juga sekali gus menunjukkan undi tidak percaya tidak semestinya hanya boleh dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), malah boleh ditentukan dengan tindakan 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN). Selain itu, Menteri Besar dan Exconya dianggap meletak jawatan apabila Sultan Perak menolak permohonan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan DUN. Malah, keputusan itu juga berdasarkan bahawa kuasa membubarkan DUN adalah kuasa mutlak Sultan. Justeru, jika Sultan menolak permohonan berkenaan, ia tidak boleh dipersoalkan. Ini adalah antara inti pati penting keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang tidak boleh dirayu lagi dan ia juga boleh dijadikan rujukan bagi kes sama jika berulang pada masa akan datang. Justeru, semua pihak termasuk pakatan pembangkang harus menerima keputusan itu dengan tenang dan bukan mempertikaikannya.
Namun, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat meminta penyokong pakatan pembangkang di Perak memprotes keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada Zambry pasti mengecewakan. Lebih mendukacitakan apabila Menteri Besar Kelantan itu menyatakan bahawa perasaan benci perlu ditanam dalam hati rakyat terhadap keputusan itu kerana kemenangan BN bukan menerusi pilihan raya, sebaliknya rampasan kuasa. Mungkin Nik Aziz sudah lupa yang negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan pada masa sama, mendaulatkan perlembagaan dan kebebasan kehakiman. Beliau memperlihatkan sikap tidak profesional dan sepatutnya boleh diambil tindakan kerana menghina mahkamah. Nik Aziz juga mungkin sudah lupa bahawa sebelum ini pembangkang sendiri yang mahu mahkamah menentukan siapa Menteri Besar Perak, selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Sultan. Apakah Tok Guru itu inginkan kekecohan berlaku di Perak sekali lagi dengan menghasut penyokong pembangkang melancarkan protes. Tindakan Nik Aziz itu berbeza dengan pendirian rakannya dalam pakatan termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang; Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohammad Nizar sendiri yang menasihatkan penyokong mereka bertenang sambil terus memantapkan jentera parti di Perak. Kita berharap penyokong pembangkang tidak terpengaruh dengan gesaan Nik Aziz itu dan kepada penyokong BN pula, jangan terlalu bergembira dengan keputusan itu kerana cabaran tetap akan dilalui pada pilihan raya umum nanti. Penyokong BN perlu bekerja lebih keras manakala Zambry, wajib meneruskan amanah menjalankan tugas pentadbiran dengan lebih baik demi kepentingan rakyat Perak.
/hwa-Berita Harian.

Politik tunduk PKR

UM - 11/02/10
Oleh Zulkiflee Bakar
Dalam entri bertajuk, ‘Politik durjana’, dalam blognya baru-baru ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin mengingatkan bahawa, ‘‘firaun-firaun kecil’ semakin takut dan gerun dengan bayang-bayang sendiri apabila semakin ramai wakil rakyat dan pemimpin (parti itu) bangkit menyatakan pendirian.
Walaupun Zulkifli tidak menyebut apa isunya tetapi ia jelas merujuk kepada konflik yang menyaksikan semakin ramai wakil rakyat PKR ‘mengikuti rombongan beliau’ untuk dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti.
Jika Zulkifli sebelum ini dikenakan tindakan berkenaan kerana membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Shah Alam daripada Pas, Khalid Abd.Samad, tiga lagi Ahli Parlimen PKR berhadapan tuduhan lain tetapi atas kesalahan yang sama.
Mereka ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Chee Keong.
Zahrain, Tee Beng dan Chee Keong dikenakan tindakan kerana mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Tindakan pucuk pimpinan PKR ke atas ahli-ahli Parlimen berkenaan adalah atas dasar mereka tidak boleh mengkritik parti gabungan dalam pakatan pembangkang sama ada DAP ataupun Pas.
Tetapi satu fakta yang tidak boleh disembunyikan oleh PKR ialah sudah jelas kini penentangan ideologi dan corak perjuangan politik yang berbeza telah memungkinkan akhirnya berlaku pertembungan antara parti-parti dalam pakatan pembangkang. Bak kata orang mana mungkin daging lembu, daging ayam dan ikan digoreng dalam satu kuali, kalau dilakukan juga maka ‘carca marba’ rasanya.
Mungkin buat sementara waktu sama ada Zulkifli, Zahrain, Tee Beng dan Chee Keong boleh bertahan bagi memastikan pakatan tersebut tidak kacau bilau, tetapi kesabaran mereka ada hadnya. Apatah lagi apabila DAP dilihat semakin mahu menunjukkan kuasanya manakala Pas pula sekadar menjadi pengikut sahaja.
Mengimbas kembali jumlah kerusi yang ditandingi oleh PKR, DAP dan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, ia jelas menunjukkan dari segi kekuatan DAP boleh dianggap lebih berpengaruh.
Ini memandangkan daripada 47 kerusi Parlimen yang mereka tandingi, 28 berjaya dimenangi, Pas pula bertanding 66 kerusi tetapi hanya menang 23 kerusi sahaja sebelum menambahnya kepada 24 selepas memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. PKR bertanding 97 kerusi tetapi hanya menang 31 kerusi.
Maknanya dari segi nisbah kekuatan, DAP lebih berpengaruh kerana memenangi lebih 50 peratus kerusi yang ditandinginya. Atas sebab itulah, apabila pembangkang berjaya mengetepikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen, DAP mula naik tocang.
Kedudukan Ketua Pembangkang yang disandang oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi halangan kepada DAP untuk terus menunjukkan siapa lebih kuat dalam pakatan pembangkang.
Atas sebab itulah, DAP begitu berkuasa di Pulau Pinang dan cukup berpengaruh di Selangor – dua negeri yang diperintah pembangkang – malah sebelum ini ketika Perak berada di bawah gabungan berkenaan, DAP juga cukup berkuasa.
/hwa-utusan.

Masyarakat Ulul Albab : Modal Insan Terbaik

Wan Roslili binti Abd. Majid
Pegawai Penyelidik
28/11/2006 Berita Harian
Langkah yang diambil oleh negara dengan mensasarkan pencapaian pembangunan menurut acuan dan bentuk tersendiri turut mencetuskan kecenderungan bagi melahirkan modal insan terbaik, juga menurut ciri-ciri yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan negara.
Sememangnya modal insanlah yang menjadi tumpuan penting dalam perancangan pembangunan dan kemajuan kerana ia merupakan tenaga penggeraknya. Di tangan mereka inilah setiap langkah dan hala tuju digagaskan dan perancangan dilaksanakan. Berasaskan peranan penting modal insan inilah maka Islam memberikan penekanan lebih utama terhadap pembangunannya berbanding dengan pembangunan dari sudut fizikal.
Alasannya begitu jelas, bahawa insan yang terbina akal fikiran dan jiwanyalah yang akan membina pembangunan fizikal yang menepati kehendak syari`at dan mengarahkannya kepada kebaikan. Ini kerana, dengan keutuhan rohani, kekentalan jiwa, ketajaman fikiran dan keteguhan sahsiah yang dimiliki, mereka benar-benar memahami isyarat perintah serta larangan daripada Tuhan mereka.
Justeru itu, mereka sentiasa memastikan bahawa segala tindakan tidak sekali-kali melanggar sempadan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. dan sentiasa mengambil pengajaran atas apa yang menimpa umat terdahulu kerana mengingkari perintah-Nya. Semuanya kerana mereka meyakini jaminan yang diberikan oleh Allah s.w.t. bahawa Allah s.w.t. akan membuka pintu pengurniaan yang melimpah keberkatannya.
(Surah al-A`raf 7 : 96) Insan yang bertanggungjawab dan beramanah dalam melaksanakan tugas penting ini sering kali dikaitkan dengan takrif dalam al-Qur'an sebagai mereka yang memiliki akal fikiran yang sempurna (Ulul al-Bab); iaitu golongan yang dikatakan dapat mengerti nilai sebuah kehidupan dan memeliharanya dengan sebaik-baiknya.
Dengan ketaqwaan dan kebijaksanaan yang dimiliki, mereka ini diyakini dapat membawa masyarakat kembali menghayati sepenuhnya kehidupan beriman dan beramal dengan manhaj serta syari`at Islam.Program pembangunan akal yang teliti dan berkesan bagi membangunkan masyarakat atau generasi Ulul al-Bab kini dilihat begitu perlu kerana cabaran yang harus ditempuh bagi menjayakan impian besar ini bukanlah semudah yang dilafazkan.
Pembentukan masyarakat Ulul al-Bab ini menuntut kegigihan dan kesungguhan setiap pihak yang terbabit; kepimpinan negara, institusi pendidikan dan keilmuan serta setiap lapisan masyarakat negara ini bagi memastikan bahawa usaha melahirkan masyarakat Ulul al-Bab tidak hanya tinggal menjadi harapan sahaja.
Program pendidikan yang baik dan menyeluruh yang dijadikan wahana bagi pembentukan masyarakat berilmu dan berakal sempurna ini haruslah mencakupi proses, kandungan dan penerimanya agar ketiga-tiga aspek ini diberikan tumpuan yang saksama serta mencukupi sehingga matlamat akhirnya dapat dicapai dengan mudah.
Dengan kata-kata lain, dalam soal pendidikan, aspek serta hakikat kemanusiaan dan keinsanan pelajar perlulah turut diutamakan sehingga akhirnya segala bentuk ta'dib dapat dilaksanakan demi menjayakan isi kandungan kurikulum pendidikan yang disusun. Ta'dib yang turut melibatkan unsur serta pemupukan ilmu serta amal amat penting bagi seseorang pelajar bagi memastikan ia tidak tersilap dalam membuat penilaian dalam kehidupan.
Sebaliknya, ia berupaya mendisiplinkan diri selain gigih berusaha memperoleh nilai yang suci lagi mulia bagi pemikiran serta jiwanya dan melakukan perkara yang baik serta menjauhi tindakan atau tingkah laku yang buruk.
Dalam bukunya, "The Concept of Education in Islam", Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa setiap manusia tidak ubah seperti sebuah kerajaan. Ia merupakan penghuni dalam kota dirinya sendiri dan di situlah digubal agama (din)nya. Disebabkan dalam Islam, matlamat mempelajari ilmu adalah untuk menjadi insan yang baik atau mulia, dan bukan warga negara yang baik, sebagaimana yang diterima oleh tamadun barat, maka sistem pendidikan dalam Islam seharusnya mencerminkan insan dan bukannya negara.
Kegemilangan yang dicapai oleh golongan bijak pandai, cendekiawan dan sarjana Islam pada zaman awal tentunya berasaskan hikmah dan kebijaksanaan mereka menggabungkan ilmu dengan amal dan adab lalu menanggap gabungan yang amat harmoni ini sebagai pendidikan.
Selain penggabungan bijak dan berkesan ini, keterbukaan umat Islam zaman terawal ini terhadap usaha mendapatkan ilmu di serata pelosok dunia; timur dan barat telah turut memberikan kesan memberansangkan terhadap pembinaan tamadun serta pencapaian ilmiah mereka.
Keterbukaan itu telah membuka ruang yang amat luas bagi sarjana-sarjana agung Islam ini mengembangkan semula segala bentuk warisan tamadun manusia sejagat yang diterima. Kecintaan sarjana awal tamadun Islam ini terhadap ilmu sebenarnya didorong oleh pegangan murni Islam terhadap ilmu selain gesaan al-Qur'an supaya umat Islam berfikir dan meneliti segala bentuk kejadian; alam, haiwan, bahkan juga diri mereka sendiri.
Gesaan ini telah mengukuhkan lagi naluri ingin tahu yang ada dalam diri mereka lalu terpancarlah perkembangan semula dan penerokaan baru ilmu-ilmu ini. Antara tujuannya untuk melihat apakah kesan yang ditinggalkan oleh mereka dalam bidang yang berkenaan untuk masyarakat sesudah mereka.
Antara cendekiawan dan sarjana agung yang menyerlahkan kecemerlangan sebagai modal insan terbaik bagi peradaban Islam termasuklah Ikhwan al-Safa', sebuah pertubuhan yang dibentuk di Basrah pada permulaan abad ke-4 Hijriyyah. Apa yang menarik tentang usaha dan sumbangan kumpulan ini ialah ketajaman akal fikiran dan kesedaran mereka tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap masyarakat ketika itu.
Ikhwan al-Safa' berpendapat bahawa pertentangan sosial, ekonomi dan politik yang berlaku di bawah pemerintahan `Abbasiyyah sebenarnya disebabkan oleh perbezaan aliran, mazhab dan keturunan. Berdasarkan pandangan inilah, mereka berusaha menghapuskan perbezaan-perbezaan tersebut melalui sebuah kesatuan yang merangkumi semua aliran dan mazhab yang ada.
Dalam melaksanakan penyatuan ini, mereka mengambil segala nilai yang dianggap baik dan munasabah daripada setiap mazhab dan falsafah. Walau bagaimanapun, terdapat juga pandangan dan usaha yang dilakukan oleh mereka yang mencetuskan kemelut. Namun apa yang penting, Ikhwan al-Safa' berusaha menyeru agar dibentuk kehidupan dalam sebuah negara kerohanian yang berasaskan pemilikan ilmu dan harta secara bersama.
Mereka berharap dalam negara seperti itu akan wujud persaudaraan, budaya nasihat-menasihati dan bentuk kehidupan yang murni. Menghayati pendekatan sarjana-sarjana Islam silam yang boleh ditakrifkan sebagai golongan Ulul al-Bab mewakili masyarakat mereka, memberikan kita isyarat yang jelas bahawa hasrat membentuk kumpulan masyarakat seumpama dengannya haruslah berasaskan matlamat yang jelas dan usaha yang bersepadu.
Dengan kata-kata lain, seharusnya usaha satu pihak membentuk golongan ini dengan mewujudkan segala kemudahan dan perancangan serta menyemarakkan budaya serta nilai mulia tidak terhalang oleh usaha pihak lain yang menyemai budaya dan unsur-unsur negatif yang akhirnya menggagalkan impian murni ini.
Demikian juga persediaan haruslah dilakukan dengan teliti, bukan sahaja dengan perancangan yang teliti tetapi juga kesediaan untuk melakukan perubahan akal fikiran serta sikap yang akan membawa kita dan masyarakat seluruhnya menuju kejayaan.
/hwa-IKIM.

Anwar, peguam perlu minta maaf kepada Utusan

UM - 11/02/10
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Minta maaf kepada Utusan Malaysia.Demikian saranan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasukan pembelaannya yang mendakwa Utusan Malaysia membuat laporan tidak tepat pada perbicaraan kes liwat beliau.
Menurutnya, berdasarkan rakaman audio dan nota prosiding mahkamah, Mohd. Saiful Bukhari Azlan semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes itu memang ada menyebut perkataan 'lagi' dan ia bukan disebut sekali sahaja tetapi dua kali.
Jelas Mohd. Yusof, ketika disoal olehnya apa sebab dia (Mohd. Saiful Bukhari) berhenti kerja dengan Anwar, saksi itu menyatakan ''Sebab sebenar saya tidak rela lagi..." dan bagi soalan ''Apa respons kamu?'', pemuda itu menyatakan ''Saya tidak sanggup melakukannya lagi...".
''Karpal Singh dengan mudah lupa segala tuduhan yang serius terhadap Utusan Malaysia. Ini adalah serius. Dalam afidavit saya ada menyatakan 'saya rasa saya dengar dia (Mohd. Saiful Bukhari) menyebutnya'. Sekarang ia menunjukkan memang ada perkataan itu disebut. Asas kepada aduan Karpal telah terhapus sama sekali,''
Mohd. Yusof menyatakan demikian ketika berhujah bagi membantah permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana didakwa berat sebelah.
Anwar mengemukakan permohonan itu setelah hakim tersebut menolak permohonannya agar Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung artikel dan tajuk 'Tak rela diliwat lagi' pada keluaran 4 Februari lalu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga tidak berpuas hati dengan tindakan mahkamah yang menolak permohonannya supaya Utusan Malaysia diberi peringatan berhubung penyiaran kapsyen gambar di muka hadapan akhbar itu pada 5 Februari lalu.
Anwar, 63, sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Perbicaraan masuk hari keenam hari ini tetapi ditangguhkan bagi mendengar permohonan oleh pihak pembelaan itu.
Terdahulu, Karpal menyatakan Hakim Mohamad Zabidin 'bersalah' kerana tidak memberitahu perkara yang benar dan menunjukkan bahawa beliau tidak layak untuk duduk di kerusi hakim serta meneruskan perbicaraan.
''Bagaimana Yang Arif boleh membuat kesimpulan bahawa Utusan Malaysia tidak mempunyai niat jahat. Niat itu datang dari Utusan Malaysia, bukan dari mahkamah ini.
''Yang Arif perlu menebus kekhilafan diri. Seorang hakim tidak boleh menipu atau memperkatakan sesuatu yang tidak benar,'' hujah peguam itu.
Mengenai aduan terhadap gambar tersebut, Mohd. Yusof berkata, keterangan gambar berkenaan adalah 'kabur' kerana perkataan 'tempat' dalam kapsyen itu tidak menyatakan secara spesifik ia adalah katil atau bilik.
Menurutnya, beliau tidak melihat sebarang masalah berhubung kapsyen tersebut kerana Utusan Malaysia tidak menyatakan ''katil di atas di mana kesalahan itu dilakukan''.
''Perkataan merujuk kepada katil atau bilik? Jika ia bermaksud bilik, maka ia adalah betul. Bilik dan katil ada disebut di mahkamah terbuka. Jadi, Yang Arif adalah betul,'' katanya.
Dalam keterangan Mohd. Saiful Bukhari, katanya, saksi itu ada menyatakan ''Beliau (Anwar) arahkan saya ke bilik tidur utama..." dan ''Anwar berada di hujung penjuru katil''.
Sementara itu, Mohd Yusof turut sempat menegur tindakan Karpal yang menggunakan perkataan 'berbohong' terhadap hakim tersebut yang disifatkan terlalu kasar.
''Untuk mengatakan Yang Arif berbohong adalah terlalu kasar. Walaupun kita boleh berhujah sebaik manapun untuk anak guam kita, tetapi menggunakan perkataan kasar adalah tidak wajar. Kita boleh berbuat demikian dengan sopan dan beretika,'' katanya.
Karpal ketika berhujah telah menyatakan Hakim Mohamad Zabidin 'telah menipu dan telah terbukti menipu.'
Disebabkan 'penipuan' itu, hakim tersebut, ujar Karpal, tidak mempunyai alternatif lain selain menarik diri daripada perbicaraan.
Mohd. Yusof seterusnya menyatakan, dalam membuat laporan tentang kes tersebut, pemberita mungkin tersilap dengar, tetapi tidak berniat jahat.
''Hari ini, terbukti bahawa apa yang dilaporkan adalah betul berdasarkan nota prosiding. Oleh itu, kamu (barisan peguam dan Anwar) perlu memohon maaf kepada Utusan Malaysia,'' tegasnya.
Menurutnya lagi, para hakim telah dilatih agar membataskan diri mereka kepada keterangan yang ada di mahkamah dan bukannya kepada laporan akhbar.
''Mahkamah yang adil dan tidak berat sebelah akan membuat keputusan berdasarkan bukti. Adalah terlalu awal untuk menyatakan Yang Arif bersikap berat sebelah,'' katanya.
Ujar beliau lagi, mahkamah tidak sepatutnya mengetepikan isu sebenar yang ada di hadapannya dan dalam kes ini, apa jua dilaporkan oleh akhbar adalah sesuatu yang berasal dari luar.
Maka, katanya, adalah terlalu awal untuk menyatakan Hakim Mohamad Zabidin berat sebelah kerana faktor keadilan dan tidak berat sebelah sesebuah mahkamah akan ditentukan berdasarkan kepada bukti di mahkamah.
Mohd. Yusof turut menekankan bahawa seseorang hakim tidak perlu menarik diri melainkan jika ada perkara atau sebab semasa perbicaraan bahawa hakim itu bertindak berat sebelah.
/hwa-utusan.

BN yakin mampu pertahan Perak

UM - 11/02/10
Oleh HATA WAHARI
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Feb. – Kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak yakin dapat mempertahankan kedudukannya daripada undi tidak percaya yang mungkin dibawa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan, kerajaan BN yakin akan dapat mempertahankan diri walaupun majoriti hanya tiga undi.
“Undi tidak percaya termaktub dalam perlembagaan atau undang-undang negara yang mengamalkan demokrasi di dunia ini dan ia merupakan amalan biasa.
“Kerajaan BN yakin akan terus kekal memerintah kerana percaya kesetiaan wakil-wakil rakyat dan rakyat berdasarkan kepada apa yang dilakukan sekarang untuk memastikan Perak terus maju,” katanya.
Zambry bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Mesyuarat itu diadakan di ibu negara kerana beliau mengiringi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mempengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-220 di Istana Negara.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan Mohammad Nizar membawa undi tidak percaya kepada beliau sekiranya mempunyai majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa depan.
Semalam, pergolakan politik di Perak yang berlarutan sejak setahun lalu ekoran perebutan jawatan Menteri Besar berakhir setelah Mahkamah Persekutuan memuktamadkan ia milik Zambry.
Keputusan itu diputuskan sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang menolak rayuan Mohammad Nizar.
Katanya, pada masa ini beliau tidak ingin lagi memikirkan apa yang akan dilakukan oleh pembangkang tetapi bekerja kuat dan memberi yang terbaik kepada rakyat.
“Saya telah buat pendirian apabila diberi tanggungjawab sebagai Menteri Besar maka akan merancang yang terbaik untuk negeri dan rakyat dengan prinsip apabila diberi amanah perlu dilaksanakan sebaik-baiknya,” kata beliau.
Mengenai kesediaan Mohammad Nizar bekerjasama dengan beliau dengan syarat kerajaan BN Perak menyediakan peruntukan antara RM150,000 hingga RM200,000 kepada setiap ahli DUN dari pembangkang, Zambry berkata:
“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan pembangkang tetapi mengapa mereka hendak meletakkan syarat tertentu bagi mengadakan kerjasama?”
Katanya, kalau hendak bekerjasama ia perlu dilakukan secara jujur tanpa perlu meletakkan pelbagai syarat.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa BN tidak pernah menganaktirikan kawasan yang dikuasai pembangkang.
“Setiap kawasan menerima peruntukan sewajarnya daripada kerajaan dan akan menerima bantuan sekiranya berlaku malapetaka ataupun bencana alam.
“Saya dan Exco kerajaan negeri sentiasa turun ke bawah memastikan rakyat mendapat bantuan sewajarnya jika berlaku bencana. Kerajaan tidak pernah menyisihkan kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang,” tegasnya.
Berkaitan dengan beberapa kes di mahkamah yang dibawa oleh pembangkang bagi mencabar kesahihan kerajaan BN Perak, beliau memberitahu ia tidak akan menjejaskan fokus kerajaan bagi membangunkan negeri.
Tegasnya, kes-kes itu akan dihadapi seperti mana kes bagi menentukan siapa Menteri Besar yang sah di Perak dan telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Kerajaan BN yakin kes-kes itu tidak akan menjejaskan kerajaan negeri sebaliknya ia akan mengukuhkan lagi kedudukan BN di Perak,” katanya.
/hwa-utusan.