17 Oktober 2011

Konvensyen Barisan Nasional Peringkat Negeri Sembilan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap menyempurnakan penutup Konvensyen Barisan Nasional Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA
Oct 16, 2011 6:45 pm

Pengagihan semula kerusi BN


Najib Tun Razak dan Koh Tsu Koon melambai para perwakilan yang hadir selepas menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan kali ke-40 di Dewan Wawasan PGRM, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengagihan semula kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dibuat selaras dengan perubahan politik ketika ini yang memerlukan BN meletakkan calon boleh menang .

Kata Perdana Menteri, pengagihan itu juga akan dibuat berasaskan semangat kerjasama di kalangan parti-parti komponen dalam memastikan BN mampu mencapai kemenangan besar pada PRU13.

"Bagaimanapun kita tidak akan rombak semua kerusi dan kerusi-kerusi ketika ini juga masih lagi menjadi asas (dalam pengagihan kerusi kelak).

"Cumanya pengagihan kerusi ini akan melihat kepada kawasan-kawasan yang difikirkan perlu dibuat berdasarkan formula terbaik untuk menang," katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan Ke-40 di sini, hari ini.

Najib menambah, pengagihan kerusi itu juga dibuat atas semangat hubungan dalam keluarga besar yang terjalin di kalangan parti-parti komponen BN.

Malah kata beliau, kesemua pemimpin-pemimpin parti komponen BN juga sudah menyatakan persetujuan dan bersikap terbuka mengenai perkara itu dengan melihat ia sebagai salah satu formula untuk menang pada PRU13.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang didesak beberapa ahli parti supaya tidak bertanding pada PRU13, Najib berkata, beliau menyerahkan kepada Tsu Koon untuk menentukan apa yang terbaik demi masa depan parti itu.

''Apa pun saya mempunyai hubungan kerja yang sangat rapat dengan beliau (Tsu Koon) dan kita juga sudah berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan Gerakan menjelang pilihan raya umum nanti," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 17/10/11

Aziz Bari kurang ajar – Dr. M

PARIT 16 Okt. – Tindakan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah adalah perlakuan kurang ajar.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun ia mungkin tidak menyalahi undang-undang, tindakan Abdul Aziz yang enggan meminta maaf atas kesilapannya itu jelas bertentangan dengan prinsip moral.

“Kalau dalam bahasa Melayu, kita kata kurang ajar. Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-11 Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini.

Selasa lalu, Abdul Aziz mencetuskan kontroversi apabila secara terbuka mempertikai titah peringatan Sultan Sharafuddin berhubung isu cubaan memurtadkan umat Islam di sebuah gereja Ogos lalu.

Beliau mendakwa, tindakan Sultan Selangor itu tidak konsisten dan tidak selaras dengan ajaran Islam.

Ekoran itu, pelbagai pihak mendesak Abdul Aziz memohon maaf kepada Sultan Selangor tetapi beliau bertegas, tiada sebab untuk meminta maaf malah, dengan lantang mempertahankan kenyataannya itu.

/hwa: utusan.com.my | 17/10/11

Menara jam di Mekah punyai sentuhan anak Malaysia

MEKAH 16 Okt. – Seharusnya Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai ‘sentuhan anak Malaysia.’

Wan Nazri Wan Aria, 31, merupakan jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.

Katanya, menara itu memerlu kan lightweight steel structure untuk menyokong jam gergasi itu, dan di sini kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar dari syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungja wab itu.

Uniknya, 14 tenaga pakar dari Premier Composite Technology itu juga terdiri daripada kumpulan anak muda dari Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia yang datang ke sini untuk mengerjakan haji dan umrah.

Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

“Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.

Nazri bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui oleh kumpulan media Tabung Haji sedang menikmati teh tarik di Restoran Felda D”saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini.

Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada tenaga pakar yang melakar sejarah di Mekah, apabila dibabitkan dalam kerja-kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di tanah suci itu.

Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh di lihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya yang berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.

Selain itu 90 juta kaca mozek keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan jam itu.

Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai US$3 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari tahun depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya Kumpulan Binladin pada bulan Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar dari Premier Composite Technology berada di sini bagi memantau dan menyelia kerja-kerja akhir pembinaan menara jam itu.

Sementara itu menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata beliau mengambil masa yang lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu.

Rakannya, jurutera dari Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata bahan komposit merupakan satu bidang baru, dan tidak banyak syarikat di dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu, dan ia membuatkan kebanyakan pakar dalam pemasangan bahan itu biasanya saling mengenali antara satu sama lain.

Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama merupakan satu kelebihan nyata, dan menurutnya beliau bersama kumpulan rakan-rakannya itu turut terlibat dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu. – BERNAMA

/hwa: utusan.com.my | 17/10/11

14 Oktober 2011

Melayu hilang kuasa 10 tahun lagi

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan WANDA IDRIS

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Orang Melayu di negara ini dijangka kehilangan identiti serta kuasa terutama berkaitan hal sosial, politik dan ekonomi dalam masa 10 tahun lagi, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan trend perpecahan politik yang semakin ketara di kalangan kaum itu sehingga menyaksikan terdapat di antara mereka menjadi pihak minoriti dalam mana-mana perkongsian kuasa.

Apabila itu terjadi, katanya, golongan minoriti tersebut terpaksa meminta bantuan pihak lain demi kuasa, tetapi 'berhutang' dengan pemberi 'bantuan' berkenaan sehingga akhirnya membuatkan Melayu Islam kerugian.

Menurutnya, senario identiti Melayu Islam di Singapura serta keadaan ekonomi golongan itu di Thailand wajar dijadikan iktibar.

"Di Singapura, muftinya tidak boleh memprotes hidangan daging haram yang dihidangkan di majlis membabitkan Melayu Islam (serta Islam lain) walaupun membuat ketetapan Islam tidak boleh memakannya.

"Hidang tidak apa dan ini (berlaku) kerana ketiadaan kuasa (di kalangan Melayu)," katanya semasa berucap merasmikan Seminar Perpaduan dan Ekonomi Ummah di Bangi, dekat sini hari ini.

Seterusnya, Dr. Mahathir yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mengingatkan supaya masyarakat Islam merebut kekayaan negara serta menguruskan kekayaan itu kerana kekuatan ekonomi boleh menyelamatkan agama.

Sebagai contoh, katanya, banyak negara Arab yang mempunyai kekayaan hasil minyak tetapi gagal menjananya semula sehingga menyimpan wang dalam bentuk rizab bon di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun menurut beliau, AS yang kini mempunyai hutang terkumpul bernilai AS$14 trilion dikhuatiri tidak mampu membayar rizab bon negara-negara Arab berkenaan.

"Miskin itu kufur dan pegangan (agama) juga boleh jadi lemah," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 14/10/11

Penduduk bantah kedatangan Guan Eng

JOHOR BAHRU 12 Okt. – Ratusan penduduk di Segamat berkumpul di hadapan Restoran Siang Hai Kee di Kampung Abdullah petang ini bagi membantah kedatangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng pada satu majlis makan malam anjuran DAP di restoran tersebut.

Rata-rata penduduk berkumpul bagi menyatakan rasa tidak puas hati dengan kedatangan Setiausaha Agung DAP itu ke negeri ini berikutan kelantangan beliau memburuk-burukkan Johor di hadapan diplomat asing di Singapura baru-baru ini.

Bagi memastikan keadaan terkawal, polis turut menghantar Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan perhimpunan itu.

Penduduk berkumpul sejak pukul 6 petang menunggu ketibaan Guan Eng yang sepatutnya tiba di restoran itu pada pukul 7 petang, namun beliau dilihat muncul pada pukul 8 malam.

/hwa: utusan.com.my | 14/10/11

Ketibaan pemimpin DAP itu disambut dengan jeritan ‘Daulat Tuanku’, ‘Mohon ampun pada Sultan’ selain suara kemarahan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kesemua yang berhimpun bersurai secara aman selepas diarahkan sebaik sahaja pemimpin DAP itu tiba.

“Secara keseluruhannya, tiada sebarang kekecohan berlaku. Mereka hanya berpiket secara aman tanpa berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah, Ayob Rahmat ketika dihubungi berkata, kumpulan penduduk yang berhimpun itu kesal dengan tindakan berani Guan Eng yang tetap datang meskipun dibantah oleh penduduk Johor.

Syiling Baru

13 OKT. 2011: Pegawai Eksekutif Bank Negara, Nor Aimah Mohd Noor menunjukkan duit syiling baru siri ketiga dikeluarkan Bank Negara dan akan diguna pakai pada tahun 2012, di program Minggu Kesedaran Kewangan di Village Mall, Sungai Petani, Kedah. - Utusan/KAMAL BASIR

Kejohanan Karate Remaja dan Kadet Dunia Ketujuh

13 OKT. 2011: Aksi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan gimik pelancaran kejohanan Karate Remaja dan Kadet Dunia Ketujuh disaksikan oleh Presiden Persekutuan Karate Dunia, Antonio Espino Ortueta (dua kiri) dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri) di MITC Melaka. - Utusan/GAIE UCHEL

12 Oktober 2011

Warna-warna Semarak Merdeka Besut 2011

Gelagat seorang peserta Semarak Merdeka Besut 2011 yang mencuit hati pengunjung dan peserta lain.

DAP Melayu: Rancak rekrut calon winnable...

MINGGU lalu saya menCuit mengenai hal ini. Difahamkan ada yang terasa dan melenting, terutama di kalangan mereka yang terlibat.

Apa yang nak dimarahkan. Kalau betul mengaku sajalah. Inikan negara demokrasi. Janganlah ada yang mengugut mahu menyaman saya kerana menyiarkan calling card DAP seorang Leftenan Kolonel itu.

Namun, selepas Cuit itu keluar saya mendapat lagi banyak maklumat. Tapi seperti biasa saya tidak boleh mendedahkan secara terbuka dan terang-terangan.

Saya berharap orang yang terlibat jadilah ‘anak jantan’ dan mengaku sajalah, apa yang nak ditakutkan. Dalam perjuangan mana ada istilah takut-takut.

Saya berharap para pemimpin DAP juga berterus teranglah. Anda semua mahu merekrut dan mengasuh calon-calon Melayu berstatus frust ini yang anda anggap sebagai calon boleh menang atau winnable candidates.

Tapi persoalan yang saya lontarkan minggu lalu, Pas tak terasa tergugatkah dengan tindakan senyap-senyap DAP ini? PKR pula macam mana?

Apakah orang Melayu yang hebat-hebat ini sudah tidak yakin dengan Pas dan PKR? Apakah DAP pun sudah pandai main tikam belakang?

Yalah, Pas ini hanyalah parti hingar-bingar sahaja. Hanya tahu palu gendang sentimen orang Melayu tak habis-habis. Yang rugi ialah umat Melayu Islam keseluruhannya.

PKR pula ialah parti yang tunggu masa nak tersungkur. PKR ialah parti yang hanya dihidupkan untuk mempertahankan Anwar Bin Ibrahim semata-mata. Ia tiada falsafah perjuangan yang jelas.

Pas, nampaknya sudah tiada haluan. Di dalam parti itu sendiri difahamkan sedang berlaku kacau-bilau di antara pelbagai kumpulan.

PKR pula macam-macam masalah. Di Selangor sendiri, mereka mahu menumbangkan Menteri Besar, Khalid Ibrahim. Sekumpulan ADUN dan MP Pakatan mendesak Khalid letak jawatan dan berundur. Mereka beranggapan Khalid tidak efektif dan menyusahkan strategi politik mereka.

Kelmarin (Isnin) dikhabarkan Khalid sepatutnya mengadakan satu sidang akhbar, lazim diadakan selepas perhimpunan bulanan Kerajaan Selangor. Namun difahamkan ia dibatalkan pada saat-saat terakhir.

‘‘Dia terus belah naik kereta,” kata satu mesej SMS kepada saya. Mungkin Khalid sudah bosan dan fed-up dengan perangai ADUN-ADUN dan Exco-exconya yang mahu menendang dia keluar?

Difahamkan satu portal berita, antarapos.com baru diwujudkan. Dikatakan, ia diasaskan oleh seorang think-tank media pakatan. Tapi kandungan portal itu banyak menghentam Menteri Besar, Khalid dan Kerajaan Selangor.

Oleh itu, apa sudah jadi? Selangor ini juga sudah kacau-bilau.

Berbalik kepada DAP, ia adalah sebuah parti yang strategik. Ia bergerak secara halus, senyap-senyap kerana ia kini yakin orang Cina di belakangnya.

DAP cukup yakin walaupun mereka meletak calon Melayu di kawasan Cina, calon-calon itu akan menang. Orang Melayu ini sudah tidak peduli walaupun DAP ialah parti yang terkenal dengan pendekatan cauvinisnya dan sering menentang dasar-dasar berkepentingan Melayu.

Saya difahamkan selain Lt. Kol. yang disebut minggu lalu, ada tiga orang lain calon Melayu iaitu seorang berpangkat Datuk (bekas wakil rakyat BN sebuah kawasan di Pahang). Dia dikhabarkan akan bertanding di sebuah kawasan di negeri itu juga. Saya tidak mahu innuendo, atau berkias banyak-banyak nanti orang kenal.

Seorang lagi ialah (lagi memeranjatkan) bekas OCPD, ketua polis sebuah daerah di selatan tanah air. Difahamkan dia akan bertanding di sebuah kawasan di Perak.

Sementara itu, seorang lagi ialah mastermind yang menjadi perancang merekrut calon-calon Melayu. Dia akan bertanding dalam sebuah DUN di Seremban. Dia ini amat dikenali dalam lingkungan politikus.

Belum sampai masa saya mendedahkan secara detail calon-calon ini. Biarlah tuan-tuan tubuh itu sendiri keluar.

Seperti mana yang saya kata tadi, Malaysia ialah negara demokrasi, buat apa sembunyi-sembunyi.

Wahai bakal calon Melayu DAP ini, perkenalkan diri tuan-tuan, lagi pun pilihan raya sudah dekat dan rakyat nak tahu...

/hwa: utusan.com.my | 12/10/11

Segera tangani fenomena murtad

PEMERIKSAAN Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang dikaitkan dengan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 cukup mengejutkan apabila ia mendedahkan bahawa terdapat gerakan tersusun kumpulan tertentu untuk memurtadkan orang Islam.

Majlis makan malam thanksgiving di premis itu telah dihadiri tiga lelaki dan sembilan wanita Islam berusia antara 20 hingga 40-an dari seluruh negara termasuk Melaka, Johor dan Selangor.

Dalam klip-klip video yang dipaparkan di laman YouTube yang dikaitkan dengan majlis yang diadakan di premis berkenaan jelas memaparkan orang Melayu sedang berucap dan secara terbuka mengaku telah murtad.

Bagaimanapun, bagi pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, 36, fenomena berkenaan tidak mengejutkan beliau yang telah terbabit secara langsung memberikan kaunseling kepada pelajar murtad sejak 15 tahun lalu.

''Pada 1996, ketika saya menjadi pemimpin pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara, telah terdapat kira-kira 10 pelajar yang murtad.

''Terdapat dua kaedah yang biasa digunakan iaitu bagi pelajar lelaki mereka akan dihulurkan dengan bantuan kewangan oleh kumpulan berkenaan.

''Pelajar perempuan pula akan didekati lelaki bukan Islam yang berpura-pura tertarik dengan Islam dan berharap wanita berkenaan mengajarnya. Apabila pelajar perempuan ini telah jatuh cinta dengan lelaki terbabit, dia akan dipujuk untuk memeluk Kristian secara sukarela.

''Kadang kala pelajar perempuan terbabit terpaksa murtad kerana tiada pilihan setelah terlanjur melakukan zina dengan pelajar lelaki terbabit," jelasnya yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Syariah dan Pengajian Islam dari University of Wales, United Kingdom.

Menurut Zaharuddin, sasaran kumpulan berkenaan bukanlah pelajar perempuan yang kurang pegangan agama sebaliknya di kalangan yang bertudung labuh dan warak.

''Lagi kuat pegangan agama maka lagi banyak ganjaran kewangan yang akan diterima oleh pelajar lelaki ini sekiranya berjaya memurtadkan pelajar perempuan berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di UIAM, Gombak kelmarin.

Prihatin dengan fenomena yang disifatkannya sangat membimbangkan, Zaharuddin secara sukarela turut menyumbang tenaga bagi menjayakan program Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadual diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor pada 22 Oktober ini bermula pukul 2 hingga 6 petang.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, beliau bersama-sama pihak sekretariat sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat penceramah dari luar negara bagi berkongsi pandangan untuk menghadapi fenomena berkenaan.

''Mereka terdiri daripada kalangan ilmuwan bukan Islam yang sebelum ini sangat anti-Islam tetapi kemudiannya telah mendapat hidayah seperti Sheikh Yusuf Estes dari Amerika Syarikat (AS) dan Dr. Gary Miller yang nama Islamnya Abdul Ahad Omar dari Kanada. Seorang pendakwah terkemuka dari Indonesia, Yusuf Mansur juga telah mengesahkan untuk hadir," ujarnya.

Ditanya kenapa fenomena itu terus menular tanpa sekatan, beliau berkata, kumpulan berkenaan cukup berani kerana merasakan pihak berkuasa tidak akan bertindak tegas terhadap mereka.

''Sebagai seorang ahli akademik, saya faham dilema yang dihadapi oleh Kerajaan Pusat dan juga kerajaan-kerajaan negeri termasuk yang diperintah pembangkang yang bimbang dituduh bersikap dwistandard terhadap agama lain.

''Pendekatan berhati-hati dan bertindak menyelesaikan masalah menerusi perbincangan di sebalik tabir dibuat oleh pihak berkuasa kerana tidak mahu kehilangan undi daripada bukan Islam," ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya, satu-satunya cara untuk menyekat gerakan untuk memurtadkan umat Islam adalah melalui platform NGO.

''NGO Islam akan terus membuat desakan supaya setiap negeri menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang yang melarang penyebaran agama lain kepada orang Islam.

''Kita juga mahu kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat mengambil berat resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) Seluruh Malaysia baru-baru ini yang mahukan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini diperkukuhkan,'' tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, penularan fenomena berkenaan juga berpunca daripada sikap orang Melayu yang hanya Islam pada nama tetapi tidak yakin dengan kebenaran agama yang dianuti mereka.

''Ketidakyakinan ini berpunca kerana mereka tidak mendapat penerangan yang sebaik-baiknya daripada para ilmuwan Islam. Ini berlaku kerana ada ulama kita yang merasakan diri mereka agak eksklusif sehingga tidak mahu bercampur dengan masyarakat.

''Ada yang tidak mahu berkomunikasi dengan orang ramai sekiranya tiada temu janji dan mereka juga tidak menggunakan media-media sosial seperti Facebook dan blog untuk berdakwah," ujarnya.

Katanya, sikap ulama itu yang merasakan kenyataan mereka begitu mahal menyebabkan masyarakat yang begitu dahagakan panduan beralih kepada golongan Muslim liberal yang membuat keputusan melalui pemikiran logik sebagai sumber rujukan.

Bagi menangani fenomena berkenaan, tegasnya, kerenah birokrasi yang melibatkan penyaluran wang zakat perlu dikurangkan dan sumbangan badan kebajikan serta syarikat korporat Islam perlu diperbanyakkan.

''Salah satu cara untuk memurtadkan orang Islam adalah melalui bantuan-bantuan kebajikan. Ada yang mendapat bantuan ini orang yang betul-betul susah dan setengahnya pula tidak berapa susah tetapi seronok mendapat pendapatan sampingan tanpa menyedari bahawa akidah mereka sedang dipesongkan," katanya.

Tambah beliau, satu mekanisme tersusun juga perlu diwujudkan bagi membantu orang Islam yang menghadapi masalah membiayai rawatan perubatan untuk mengelak mereka 'terhutang budi' dengan mubaligh yang sering mengunjungi hospital kerajaan bagi menghulur sumbangan.

/hwa: utusan.com.my | 12/10/11

Nilai sikap diam diri Guan Eng

JOHOR BAHRU 11 Okt. - Rakyat diminta menilai sendiri sikap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang masih mendiamkan diri dengan desakan banyak pihak memintanya menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memohon maaf secara rasmi kepada baginda dan penduduk negeri ini.

Naib Pengerusi Gerakan Aktivis Pengguna Johor (Penaja), Mohd. Kassim Yusoff berkata, sebagai pemimpin, Guan Eng perlu bertanggungjawab dengan setiap tindakannya dan tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk media yang dikatakan memutarbelitkan kenyataan itu.

"Memanglah dia (Guan Eng) sudah meminta maaf melalui sebuah portal. Kami harap dia meminta maaf secara terbuka termasuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi membuktikan keikhlasannya.

"Kebisuan yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu dijadikan kayu ukur kepada rakyat untuk menilai sejauh mana pemimpin DAP itu mampu menjadi teladan kepada semua," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Kassim berkata, sekiranya Guan Eng terus membisu, beliau tidak seharusnya mendapat tempat di hati rakyat.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar (Gapet) Johor Bahru, Raja Mohd. Nor Mohamed berkata, akibat kenyataan Guan Eng itu pemandu teksi sering dihujani pertanyaan daripada pelancong luar dan ada segelintir daripadanya mengakui takut untuk datang ke negeri ini.

"Saya memang kesal dengan kenyataan tersebut kerana pendapatan pemandu teksi turut terjejas," katanya.

Raja Mohd. Nor menegaskan, Johor selamat untuk dikunjungi dan negeri ini mempunyai pasukan polis yang cekap dan sentiasa siap siaga menghadapi sebarang ancaman dan jenayah.

/hwa: utusan.com.my | 12/10/11

11 Oktober 2011

Politik ‘seberang jalan' ala pembangkang

Oleh Zulkefli Hamzah

MUNGKIN pembangkang berasakan jerat mereka sudah mengena apabila menyimpulkan Bajet 2012 adalah cedokan daripada bajet bayangan mereka. Mereka sengaja memasang perangkap itu agar apa pun dilakukan oleh kerajaan, pembangkang jualah yang terlihat lebih ke depan dan bijak.

Sungguh ia strategi terdesak dan tidak masuk akal sebagaimana strategi 16 September, yang juga tidak menjadi. Begitu terdesaknya mereka mahu menumpang untuk mengukir nama. Tanpa silu mereka mengaku sebahagian Bajet 2012 ditiru daripada bajet bayangan pembangkang.

Tetapi pada masa sama mereka juga menyifatkan Bajet 2012 tidak realistik. Malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksi segeranya melihat ia sebagai ‘bajet gelabah’ menuju Pilihan Raya Umum ke-13.

Memang ada perkara-perkara positif dalam bejet bayangan pembangkang tetapi disebabkan permainan wayang sebahagian pemimpin mereka yang keterlaluan, rakyat muak dengan perilaku dan sandiwara mereka.

Rakyat yang mengharapkan mereka mempamerkan contoh untuk memanfaatkan peluang sebagai pemeriksa dan pengimbang, terus berasa hampa. Bagaimana mungkin mereka boleh berkata Bajet 2012 tidak realistik sedangkan mereka mengaku sebahagiannya dicedok daripada bajet bayangan dan Buku Jingga.

Adakah mereka mahu mengakui bajet bayangan dan janji dalam Buku Jingga tidak realistik dan angan-angan orang poket kosong dan impian orang mabuk kuasa?

Jika pembangkang boleh memilih strategi mengumumkan terlebih dahulu bajet bayangan, tentu sekali lebih munasabah jika Ketua Pembangkang mengumumkan Kabinet bayangan mereka.

Apa yang susah jika tujuannya mahu menunjukkan mereka sebenarnya berupaya menggantikan kerajaan sekarang. Apa yang rumitnya jika tujuannya mahu membuktikan mereka adalah alternatif kepada kerajaan yang ada sekarang.

Tetapi disebabkan matlamatnya untuk memperlekeh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka hanya memilih perkara-perkara yang tidak melibatkan kebertanggungjawaban untuk dipertontonkan kepada rakyat. Yang nyata mereka sebenarnya masih belum mampu.

Sebab itu mereka hanya memilih perkara-perkara yang molek dan manis yang sifatnya populis untuk dipertontonkan kepada rakyat. Yang busuk, yang berulat dengan seni silap mata mereka sorokkan di bawah permaidani.

Selalunya dalam menyelesaikan masalah kritikal, mereka berkata telah menyelesaikan masalah tetapi realitinya tiada keputusan dibuat. Lihatlah contoh hukum hudud di Kelantan dan isu murtad di Selangor.

Lihatlah, lagak mereka seperti orang yang berteriak-teriak di seberang jalan sahaja. Pakatan pembangkang uar-uarkan bajet bayangan seperti mereka berada di sebarang jalan kekuasaan, padahal mereka ada kuasa di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.

Mungkin sudah begitu cara politik mereka. Mereka riuh-rendah berpencak silat mengusulkan itu dan ini dalam bajet bayangan tetapi apa kebajikan yang mereka lakukan kepada rakyat di Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang?

Dalam bajet bayangan, mereka janjikan bonus RM1,000 setahun kepada warga emas, RM1,000 bayaran suri rumah, RM1,000 setahun elaun penjagaan anak kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita bekerja dan RM500 sebulan bagi setiap orang guru.

Realiti mudah cuba semak apa yang pakatan pembangkang lakukan di Selangor. Usahkan janji manis dalam bajet bayangan Persekutuan itu, tetapi janji dalam manifesto tiga tahun lalu pun belum nampak bayangnya.

Ke manakah bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan prasekolah, begitu juga RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri? Sukarkah menurunkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis perniagaan sebanyak 10 peratus? Kenapakah sanggup membiarkan ibu tunggal ternanti-nanti janji elaun RM650 sebulan?

Janji yang ditimang-timang setakat ini hanyalah air percuma 20 meter padu pertama. Ya, bermacam-macam alasan dan dalih boleh diberi. Manusia jujur tidak akan mudah berjanji jika tahu tidak mampu menunaikannya.

Yang anehnya, orang yang sama membentangkan bajet bayangan itu adalah juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Sukar sangatkah untuk Anwar, yang dijaguhkan sebagai tokoh antarabangsa menjadikan Selangor negeri contoh berkebajikan?

Inilah peluang terbaik yang telah diberikan oleh rakyat tetapi terbukti ia tidak dimanfaatkan. Yang tiada diada-adakan, yang ada dipinggirkan. Terbukti, pembangkang terutama Anwar telah gagal mempergunakan ‘kehebatan’ yang dicanangkan selama ini untuk kepentingan rakyat.

Jika mengurus 5 juta penduduk di negeri maju seperti Selangor pun gagal, bagaimana mungkin mereka mahu mengurus 28 juta penduduk. Mungkin tempat mereka hanya sesuai di alam bayangan sahaja.

/hwa: utusan.com.my | 11/10/11

Sultan amat tersinggung

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM 10 Okt. – Siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas majlis Thanksgiving Dinner yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu mendapati berlaku cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam

Sehubungan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri ini.

Berikutan adalah kenyataan penuh Sultan Sharafuddin Idris Shah:-

Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat di atas tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasan, Jabatan Agama Islam, Selangor (JAIS) yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas majlis 'Thanksgiving Dinner' yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 yang lalu.

Beta amat berharap agar rakyat Negeri Selangor tanpa mengira bangsa dan agama tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan JAIS tersebut sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS.

Sebagai sebuah Jabatan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Islam dalam Negeri ini, JAIS mempunyai tugas yang berat untuk memastikan Agama Islam dalam Negeri Selangor ini sentiasa dipelihara dan dimartabatkan selaras dengan kedudukan Agama Islam sebagai agama Negeri Selangor di bawah Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan juga agama Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta laporan penuh mengenai pemeriksaan yang telah dijalankan di kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya tersebut dan juga tindakan susulan yang telah diambil oleh JAIS. Beta sendiri telah meneliti laporan tersebut dengan terperinci dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Selangor ini.

Tindakan JAIS tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988.

Agama Islam yang diamalkan dalam Negeri Selangor ini adalah sebuah agama yang penuh toleransi. Penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar menghormati penganut-penganut agama lain.

Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

Ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988 yang tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh, Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing dengan aman dan harmoni.

Hak kebebasan tersebut telah pun berjalan dengan penuh harmoni dalam Negeri ini. Beta amat berharap keharmonian tersebut yang telah wujud sekian lama terus dikekalkan.

Peliharalah hak dan agama masing-masing dan jangan sekali-kali cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam.

Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam.

Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.

Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun Beta menitahkan JAIS memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipulihkan.

Beta juga menitahkan JAIS supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya akidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.

Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan.

Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini.

Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu teragak-agak lagi selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat berkaitan isu ini dan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada JAIS.

/hwa: utusan.com.my | 11/10/11

10 Oktober 2011

Penerangan Perdana Wilayah Persekutuan

9 OKT. 2011: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucaptama di hadapan 8,000 orang yang hadir pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan di PWTC Kuala Lumpur. - Utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH

Majlis Penerangan Perdana dapat sambutan luar biasa


NAJIB Tun Razak melambaikan tangan selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ DJOHAN SHAHRIN SHAH


KUALA LUMPUR 9 Okt. - Majlis Penerangan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini mendapat sambutan yang luar biasa apabila dihadiri lebih 8,000 orang.

Selain orang ramai, majlis yang merupakan sebahagian daripada siri penjelajahan Barisan Nasional (BN) bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu semasa itu turut dihadiri ahli komponen BN dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah, Dewan Merdeka penuh sesak ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucaptama yang merupakan acara kemuncak majlis itu sehingga menyaksikan ramai yang hadir terpaksa duduk bersila.

Turut berucap pada acara kemuncak itu ialah Ketua Penerangan UMNO yang juga Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Pertama kali diadakan di Kedah pada 10 September lalu, Majlis Penerangan Perdana itu akan diadakan secara berperingkat di seluruh negara sehingga 30 Oktober ini dengan Sabah menjadi destinasi terakhir.

Ia merupakan hasil inisiatif Biro Publisiti dan Penerangan BN sebagai platform mendekati rakyat untuk memberi gambaran sebenar tentang usaha dan inisiatif kerajaan sekali gus menjadi persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 .

/hwa: utusan.com.my | 10/10/11

3 Oktober 2011

178 rayu pulangkan tanah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

SEBAHAGIAN peneroka Kampung Sungai Sam mengadakan demonstrasi bagi mendesak kerajaan Pas Kelantan memulangkan tanah mereka di Kuala Krai, semalam. – Utusan/aizzul a. Majid

KUALA KRAI 2 Okt. – Keghairahan kerajaan Pas Kelantan menjual tanah di negeri ini kepada syarikat bukan bumiputera semakin tidak terkawal meskipun kebanyakannya sudah diterokai sejak berpuluh tahun lalu oleh orang Melayu.

Terbaru, rakan karib Menteri Besar sendiri, Zakaria Yaakob, 66, menuntut agar tanah seluas kira-kira 200 hektar yang diusahakan di Sungai Sam sejak 1985 dikembalikan kepada 178 peneroka asal di situ.

Zakaria, pemimpin Pas yang berkempen untuk Nik Aziz ketika kawasan tersebut baru dibuka, terkilan dengan penjualan tanah itu kepada syarikat luar menyebabkan kesemua tanaman getah di situ disodok menggunakan jentolak milik syarikat terbabit dan digantikan dengan tanaman pokok gaharu.

Jelas beliau, penjualan tanah tersebut dipercayai dibuat kira-kira empat tahun lalu menyebabkan syarikat terbabit segera mengusahakan tanaman pokok gaharu dan membina beberapa rumah kongsi tanpa menghiraukan aduan peneroka asal di situ.

“Dulu saya yang mula-mula membuka kawasan ini dan Nik Aziz juga datang ke sini bersama saya. Tetapi selepas lebih 20 tahun, tiba-tiba sahaja ada orang luar datang dan memusnahkan semua tanaman getah yang saya usahakan.

“Saya sangat sedih dengan perkara ini. Sampai saya susah tidur malam kerana memikirkan pasal tanah dan tanaman yang semuanya sudah dimusnahkan,” katanya dalam linangan air mata.

Zakaria yang mempunyai kira-kira tiga hektar tanah di situ dan membelanjakan hampir RM125,000 untuk mengusahakannya dengan tanaman getah ditemui ketika membuat bantahan tersebut bersama lebih 50 peneroka asal di hadapan rumah kongsi yang dibina syarikat tersebut di Sungai Sam di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati, hampir semua tanaman getah dimusnahkan dan kawasan bukit bukau di situ ditarah sehingga gondol untuk tanaman pokok gaharu.

Seorang peneroka asal di situ, Md. Noor Yaacob, 57, yang mempunyai empat hektar tanah di situ ketika ditemui turut meluahkan kekecewaan dan kemarahannya kepada kerajaan negeri yang didakwa menganiaya mereka.

“Saya sudah 22 tahun mengusahakan tanah di sini. Tiba-tiba sahaja ketika saya menebas ada orang luar datang dan marah kerana mendakwa tanah ini miliknya menyebabkan maruah saya tercabar.

“Saya masih ingat suatu ketika dulu Nik Aziz berceramah bahawa mana-mana tanah kerajaan yang diusahakan oleh rakyat, sekiranya gugur sehelai daun sekalipun maka ia akan diberi hak kepada rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, bekas penganggur, Syamsul Abdul Ghani, yang mengusahakan tanah di situ selama lima tahun kini hilang punca pendapatan disebabkan semua pokok getahnya sudah tidak ada.

“Saya dulu menganggur dan sangat nakal. Sehinggalah datang Pak Ya (Zakaria) menyuruh saya mengusahakan tanah di sini dan ia mengubah hidup saya dan saya juga ada duit sendiri.

“Tetapi sekarang semuanya macam dirampas balik. Saya mohon kerajaan negeri kalaulah mereka jayakan Islam, kalaulah mereka amalkan kebajikan, pulangkan tanah ini kepada kami,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 3/10/11

Masyarakat Cina jangan terpedaya


Najib Tun Razak melaungkan 1Malaysia sebagai kalimah perasmian Perhimpunan Agung MCA Ke-58 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Amin Farij Hasan

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Rakyat terutama komuniti Cina diingatkan supaya tidak terpedaya dengan muslihat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa memberi kenyataan berbeza apabila bertemu kelompok masyarakat berlainan demi kepentingan politik sempit pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini terbukti apabila Anwar sering menabur janji bagi memuaskan hati sekelompok masyarakat tanpa mengambil serius kata-katanya sendiri.

Sebagai contoh kata Najib, beliau berusaha mengubah akta berkaitan sekolah vernakular sewaktu menyandang jawatan Menteri Pendidikan bagi memastikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang diamalkan terus sesuai dilaksanakan, sementara Anwar yang pernah memegang jawatan itu gagal berbuat demikian.

Dengan perubahan itu katanya, Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang masih meneruskan sistem sekolah vernakular sehingga kini.

“Pada masa itu, sebelum saya ada seorang Menteri Pendidikan yang tidak mahu melakukannya (pindaan akta), tiada keberanian untuk melakukannya. Seorang ‘sesumpah politik’ yang mempunyai warna berlainan ketika itu. Hari ini warnanya lain dan seterusnya kerap bertukar warna.

“Kalau di Washington (Amerika Syarikat) warnanya lain, kalau di Rantau Panjang, Kelantan warnanya lain, kalau jumpa orang Cina warnanya berubah. Berhati-hati dengan ‘sesumpah politik’ sebegini, jangan terpedaya. Komuniti Cina jangan terpedaya,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-58 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau meminta rakyat menilai prinsip demokrasi diamalkan Anwar dan pakatan pembangkang yang menyaksikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dipilih sebagai pemimpin tertinggi parti tanpa melalui pemilihan, manakala isteri dan anaknya muncul sebagai presiden dan naib presiden parti.

Dengan semua perkembangan itu katanya, Anwar serta pakatan pembangkang masih tetap memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) seolah-olah langsung tidak mempunyai prinsip moral dalam pentadbiran.

“Anda (Anwar) bercakap mengenai demokrasi tetapi parti anda berasaskan keluarga. Maknanya anda bercakap mengenai keunggulan moral tetapi melakukan perkara berlainan. Jadi, berhenti berkhutbah, berhenti daripada cuba menduduki landasan moral yang unggul,” tegasnya.

/hwa: utusan.com.my | 3/10/11

Guan Eng terus nafi kenyataan

Oleh ZABRY MOHAMAD

KEPALA BATAS 2 Okt. – Meskipun sudah meminta maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta seluruh rakyat Johor, Ketua Menteri, Lim Guan Eng masih enggan mengakui pernah memburuk-burukkan negeri itu dalam satu majlis di Singapura, baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, beliau masih mencari-cari rakaman pada majlis tersebut bagi membuktikan dia tidak bercakap sedemikian.

“Ia adalah jamuan makan malam tertutup, mana saya boleh letak pita rakaman depan orang ramai. Nanti mereka kata saya gila.

“Tetapi apabila media kata saya ada bercakap sedemikian, saya cuba mencari rakaman itu.

“Namun, belum sempat saya cari, saya terbaca dalam akhbar bahawa Sultan Johor tersinggung maka serta-merta dengan sendiri dan pantas saya memohon maaf kepada tuanku,” katanya ketika berucap pada program Rapat Umum Perdana sempena sambutan ulang tahun ke-60 Pas di sini malam tadi.

Transkrip kenyataan Setiausaha Agung DAP itu yang dikatakan memburuk-burukkan Johor telah disiarkan oleh media termasuk televisyen dan beberapa blog.

Guan Eng memberitahu, beliau memohon maaf kepada Sultan Johor atas dasar penubuhan perjuangan DAP adalah untuk membela Perlembagaan dan bukannya menentang institusi raja.

“Apabila raja tersinggung, kita mohon maaf.

“Namun, saya tetap akan saman media kerana menipu dan memutar-belit kenyataan saya,” ujarnya.

/hwa: utusan.com.my | 3/10/11

2 Oktober 2011

Hudud: Antara iman dan paradoks politik

SEKALI lagi isu hukum hudud bergema. Digemakan oleh ahli-ahli politik dan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 diramalkan semakin hampir. Bergema semula apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghidupkan kembali cerita lama untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Lalu timbul pertanyaan, kenapa dibangkitkan setelah Pas menggantikan perjuangan menegakkan negara Islam dengan hala tuju baru iaitu mewujudkan negara kebajikan? Perubahan itu agak mengejutkan kerana Pas selama ini dilihat sebuah parti yang amat tegas pendiriannya dalam keinginan untuk menegakkan pemerintahan berlandaskan undang-undang Islam. Tetapi apabila ia menyertai pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR, segalanya berubah.

Ekoran perubahan drastik itu, umum melihat Pas terlalu mengalah kepada DAP dan PKR. Di kalangan masyarakat Islam, Pas sekarang dilihat sama sahaja dengan parti-parti lain yang tidak menggunakan nama Islam. Malah ada yang memandangnya lebih serong. Kesangsian masyarakat Islam terhadap Pas bertambah tebal setelah ada pemimpin kanan Pas menyuarakan sokongan kepada penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja.

Tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa perubahan dasar Pas ini adalah langkah politik yang menikam diri sendiri. Besar kebarangkalian bahawa Nik Abdul Aziz juga turut menginsafi perkara ini. Setidak-tidaknya perkembangan yang berlaku meluntur keyakinannya untuk melihat Pas terus berkuasa di Kelantan, negeri yang dipimpinnya sekian lama.

Lalu beliau cuba melakukan langkah 'mengawal kerosakan' dengan mengungkit semula cerita untuk melaksanakan hukum hudud di negeri Kelantan dengan harapan akan memulihkan kepercayaan yang luntur terhadap Pas, setidak-tidaknya di negeri yang beliau pimpin selaku Menteri Besar.

Inilah yang sukar diterima oleh sebilangan besar masyarakat Islam. Sekejap mahu, sekejap tidak, dan kemudian mahu semula. Sebagai Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz sepatutnya siang-siang lagi tidak membenarkan Pas mengenepikan matlamat untuk menegakkan pemerintahan undang-undang Islam.

Jika pemimpin-pemimpin Pas beristiqomah, tentu pendirian yang berubah-ubah ini tidak berlaku. Soal strategi politik tidak timbul. Sebagai orang beriman, kita mestilah tetap dalam pendirian dan perjuangan. Soal berjaya atau gagal adalah ketentuan Allah. Jika niat kita betul dan usaha yang dilakukan juga mengikut lunas-lunas yang betul, janganlah gelabah dan hati cepat berubah jika tidak mencapai kejayaan.

Tentulah kita amat maklum bahawa kejayaan yang lebih besar bagi para pejuang agama adalah di akhirat kelak. Tetapi jika kita tunduk kepada nafsu, maka kejayaan di dunialah yang menjadi perhitungan. Yang berkehendakkan kuasa itu adalah nafsu. Maka apabila kuasa tidak diperoleh segera sebagaimana yang dihajati dan diusahakan, maka akan melalutlah tindak-tanduk dan hala tuju perjuangan.

Hamba minta maaf kerana menyentuh hal politik, menyebut nama dan berterus terang. Apabila bercakap mengenai politik, orang mudah melihat kita berpihak dan tidak adil. Namun soal hukum hudud hamba lihat telah dibangkitkan dalam kerangka politik. Sukar untuk menyisihkannya daripada perbicaraan politik.

Tetapi inilah realiti yang kita hadapi di Malaysia yang majmuk rakyatnya. Politik demokrasi berparlimen menentukan kuasa pemerintah melalui peti undi. Tanpa sokongan bukan Islam, tiada parti yang didukung hanya oleh orang Islam boleh memerintah atau meluluskan sesuatu undang-undang Persekutuan.

Inilah paradoks yang umat Islam hadapi. Lantaran itulah juga Pas telah mengubah pendiriannya berhubung hukum hudud kerana mahu menagih sokongan bukan Islam demi mendapatkan kuasa memerintah di peringkat negeri dan Persekutuan. Kemudian berubah semula kerana takut hilang pula sokongan orang Islam.

Inilah juga paradoksnya. Tiada siapa yang mengaku beriman mahukan zina berleluasa di bumi Malaysia ini. Tiada siapa juga mahukan jenayah harta berleluasa di negara ini. Tetapi percayalah bahawa zina dan jenayah harta sukar untuk dibendung tanpa hukuman yang benar-benar boleh menakutkan manusia daripada melakukannya.

Mengejutkan

Lihat betapa kes ragut telah mengejutkan negara bukan sahaja kerana kekerapan berlaku, tetapi juga setelah kematian beberapa orang mangsa akibat diseret oleh peragut ke dalam longkang atau ke atas jalan. Sekadar merengkok beberapa bulan atau tahun dalam penjara, tidak menyerikkan penjenayah. Akhirnya terpaksa ditambah keluasan penjara dan bilangan anggota polis, tetapi jenayah harta tidak juga menurun sejajar dengan peningkatan perbelanjaan negara dalam sektor ini.

Jika dirujuk kepada Quran, jawapannya adalah jelas. Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. - Al Maaidah 5: 38

Tetapi orang bukan Islam menyifatkan hukuman ini 'zalim' dan ketinggalan zaman. Bagi mereka, sekarang adalah zaman kebebasan, keadilan dan hak asasi manusia. Mereka yang bersalah perlu dididik dan diberi peluang untuk menjadi baik. Hukumlah dengan hukuman sekadar untuk menimbulkan keinsafan. Sebilangan orang yang mengaku Islam juga terpengaruh dengan hujah penentang hudud di kalangan bukan Islam ini.

Adakah hukuman yang berperi kemanusiaan itu berjaya mengurangkan jenayah harta? Tentulah tidak. Ramai pencuri yang mengulangi perbuatan setelah menjalani hukuman penjara kali pertama. Mereka tidak serik kerana hukuman penjara tidak menakutkan mereka.

Kita umat Islam sepatutnya cuba meyakinkan bukan Islam bahawa hukuman potong tangan adalah yang paling adil terhadap penjenayah yang tidak berperi kemanusiaan terhadap mangsa-mangsa mereka. Jika hukuman potong tangan ini dilaksanakan, percayalah bahawa kadar jenayah harta akan sangat berkurangan.

Hukuman potong tangan ini boleh dikanunkan secara berasingan tanpa mengemukakannya sebagai pakej hukum hudud. Ia boleh dijadikan undang-undang Persekutuan di bawah Kanun Keseksaan dengan meminda bab jenayah harta.

Dibandingkan dengan zina yang tidak akan diterima oleh bukan Islam sebagai jenayah, semua orang menganggap mencuri atau apa jua perbuatan yang sekategori termasuk rompak, pecah rumah dan tipu, sebagai jenayah. Jika hukuman mati ke atas pengedar dadah boleh dilaksanakan tanpa bantahan oleh semua pihak, apakah memotong tangan pencuri lebih zalim? Adakah Allah zalim kerana menetapkan hukuman potong tangan terhadap pencuri?

Maka barang siapa bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. - Al Maaidah 5: 39

Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri. - Yunus 10: 44

Jika zina dan jenayah harta terus berleluasa, itu adalah disebabkan kesalahan manusia kerana tidak melaksanakan hukum Allah. Namun bagi orang-orang beriman, segala yang Allah larang tetap akan dijauhi, sekalipun tanpa dikenakan hukuman yang berat di dunia. Mereka lebih takutkan hukuman di akhirat daripada hukuman di dunia.

/hwa: utusan.com.my | 2/10/11