24 November 2011

Ambil tindakan pihak semarak kebencian

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Kerajaan terutama Kementerian Dalam Negeri didesak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyemarakkan api kebencian terhadap negara ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, ini kerana, tindakan tersebut akan mengancam nyawa para atlet, pelajar dan rakyat Malaysia secara umumnya di negara luar.

"Agenda kotor untuk terus memburuk-burukkan negara terutama di Indonesia oleh pembangkang yang kononnya negara menzalimi pendatang asing tanpa izin telah mengancam keselamatan rakyat Malaysia di republik itu.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu jugalah yang menyebabkan wujud kelompok rakyat Indonesia yang membakar bendera Malaysia dan melempar najis ke kedutaan kita.

"Terbaru, pasukan bola sepak negara terancam dengan kelakuan peminat bola sepak republik itu pada temasya Sukan SEA XXVI. Ini menunjukkan bahawa politik telah memasuki arena sukan yang sepatutnya bebas," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Zahrain yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang kesal dengan perkembangan tersebut dan menggesa politik tanpa mengira sempadan yang dipromosikan pembangkang dihentikan serta-merta.

Katanya, berbeza dengan pembangkang di Singapura, meskipun mereka ditekan hebat kerajaan negara itu, namun tidak pernah membawa mulut dan memburuk-burukkan negara mereka berikutan semangat patriotik yang subur.

"Pembohongan demi pembohongan yang dikeluarkan pembangkang terhadap negara kepada luar merugikan Malaysia dan ini perlu ditegah melalui tindakan tegas," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 24/11/11

18,000 meriahkan Jamuan Rakyat


MUHYIDDIN Yassin, Mustapa Mohamed dan Ikmal Hisham Abd. Aziz (empat dari kiri) bersama orang ramai melaungkan Gelombang Merah pada Majlis Jamuan Rakyat Parlimen Tanah Merah di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan, semalam.

TANAH MERAH 23 Nov. - Majlis Jamuan Rakyat Parlimen Tanah Merah di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh di sini hari ini mendapat sokongan menakjubkan apabila hampir 18,000 hadir memeriahkannya.

Meskipun dalam suasana hujan lebat dan tanah yang becak, ia tidak mematahkan semangat mereka yang hadir sejak awal pagi lagi meskipun program hanya bermula pada pukul 2 petang.

Semangat rakyat turut disemarakkan lagi dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang datang merasmikan majlis tersebut.

Muhyiddin ketika berucap pada majlis itu turut merakamkan kegembiraan beliau kerana sokongan padu rakyat yang datang walaupun mereka terpaksa meredah air dan hujan lebat.

"Saya percaya ini adalah tanda rakyat Kelantan mahukan perubahan yang besar dan akan memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk memerintah Kelantan," katanya.

Sementara itu, Ikmal ketika berucap berkata, bantuan yang diberikan BN kepada rakyat Tanah Merah terlalu banyak dan hanya BN yang mampu memajukan negeri ini.

"Orang Tanah Merah sudah berjanji dalam pilihan raya umum akan datang mereka akan memberikan kemenangan kepada BN di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

"Banyak bantuan telah diberikan kepada rakyat di sini termasuk peruntukan baik pulih surau dan masjid yang daif dan tidak diendahkan Kerajaan Pas Kelantan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 24/11/11

Tony Pua putar belit fakta

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Dakwaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kononnya susu rumusan tumbesaran bayi yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah melanggar Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985 kerana mengandungi lapan kali lebih banyak vitamin A daripada had yang dibenarkan adalah tidak benar dan hanya bertujuan memutarbelitkan fakta semata-mata.

Hasil pemeriksaan Kementerian Kesihatan terhadap susu tersebut mendapati, kandungan produk itu tidak berbahaya kepada kesihatan dan kandungan vitamin A dalam produk susu itu adalah sebanyak 3240 I.U bagi setiap 100 gram. Ia tidak melebihi daripada had sebenar iaitu sebanyak 5,000 I.U bagi kuantiti yang sama.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihak kilang yang mengeluarkan produk itu juga didapati melaksanakan sistem jaminan keselamatan makanan dan mempunyai sijil ISO 9001:2008

“Mengikut peraturan kandungan susu rumusan bayi, had maksimum vitamin A yang dibenarkan ialah sebanyak 500 I.U,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.

Baru-baru ini, Tony mendakwa, kandungan vitamin A dalam susu itu adalah 6012 I.U bagi setiap 100kcal atau 802 peratus di atas had maksimum yang dibenarkan.

Jelas Tiong Lai, tindakan Setiausaha Publisiti DAP itu mengelirukan rakyat dengan mengemukakan peraturan kandungan susu rumusan ‘tumbesaran’ (growing formula) itu dengan peraturan susu rumusan bayi (infant formula).

Sementara itu, tambahnya, pemeriksaan terhadap produk KR1M lain seperti krimer pekat manis, krimer sejat, teh, bihun dan bes minuman buah-buahan blackcurrent didapati tidak berbahaya dan mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Beliau bagaimanapun berkata, pemeriksaan terhadap produk sos tiram mendapati kandungan protein dalam produk tersebut tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Menurut beliau, keputusan analisis dua produk sos tiram itu menunjukkan produk itu masing-masing mengandungi sebanyak 0.8 dan 1.0 peratus protein berbanding standard iaitu tidak kurang daripada 2.5 peratus protein.

Justeru, beliau telah memaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya mengambil tindakan kepada pengeluar produk itu dan mengarahkan ia ditarik daripada pasaran serta-merta.

“Kementerian Kesihatan tidak sekali-kali akan bertolak ansur terhadap pihak yang mengeluarkan produk makanan yang boleh membahayakan kesihatan rakyat,” kata beliau.

/hwa: utusan.com.my | 24/11/11

Tolak kerajaan Pas Kelantan - Zahid

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Rakyat Kelantan diseru supaya menghukum dan menolak kerajaan negeri pimpinan Pas pada pilihan raya umum akan datang kerana gagal menyediakan air bersih secara meluas kepada penguna sungguhpun telah menguasai negeri itu selama lebih 20 tahun.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah kekurangan air bersih di negeri tersebut perlu dijadikan penanda aras utama mengenai keupayaan kerajaan Pas yang memerintah Kelantan kini.

"Hadis ada menyebut bahawa akal yang sihat terletak pada badan yang sihat dan badan yang sihat terletak pada apa yang dinikmati oleh badan, termasuklah air sebagai salah satu bahan utama pemakanan kita.

"Oleh sebab itu, tolaklah makanan yang tidak elok dengan cara menolak orang (kerajaan) yang tidak dapat memberi makanan yang tidak elok (kepada kita)," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Utusan Malaysia sejak Ahad lalu menyiarkan laporan khas empat siri mengenai kualiti rendah bekalan air bersih di Kelantan akibat kegagalan pengurusan kerajaan Pas dan Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Dalam laporan-laporan berkenaan, pelbagai penemuan diperoleh menerusi ujian klinikal serta tinjauan orang ramai antaranya mengenai ancaman leptospirosis serta lebihan kandungan logam dalam air seperti arsenik, plumbum, mangan dan besi.

Siri akhir laporan khas akhbar ini hari ini pula menyiarkan mengenai masalah kerosakan gigi yang mengancam 95 peratus kanak-kanak Kelantan akibat kekurangan fluorida apabila hanya lima daripada 29 loji rawatan air di negeri itu mempunyai sistem pemfluoridaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid mencabar kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor supaya mengotakan kata untuk mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan atau lebih sesuai selepas Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang.

Katanya, pilihan raya negeri yang berasingan daripada PRU memberikan kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali menguasai Selangor apabila segala tumpuan dapat diberikan kepada kempen pilihan raya negeri itu nanti.

"Saya tidak fikir mereka (PKR dan pembangkang) akan menang kerana sebahagian besar manifesto yang mereka janjikan pada 2008 tidak dapat dipenuhi dan tentu sekali rakyat tidak boleh dibutakan dengan janji-janji berbentuk retorik.

"Saya minta Tan Sri Abdul Khalid (Menteri Besar Selangor) buat berasingan kerana saya kenal beliau sejak 1977 sewaktu kami bersama-sama di Permodalan Nasional Bhd. (PNB). Beliau cukup baik sebagai tokoh korporat tetapi belum tentu baik sebagai tokoh politik," tegasnya.

/hwa: utusan.com.my | 24/11/11

23 November 2011

Sukan Sea 2011

22 NOV 2011: TERIMA KASIH... sebahagian kecil penyokong Malaysia yang setia menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA diantara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. - Utusan/IZHAM JAAFAR

Sukan Sea 2011

22 NOV 2011: Pemain Malaysia meraikan kemenangan setelah berjaya mempertahankan pingat emas dengan menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno. - Utusan/IZHAM JAAFAR

Tuanku Mizan tinjau Pusat Saintifik Antartika


Tuanku Mizan Zainal Abidin (tengah) mencuba pengalaman menjalani kehidupan seperti saintis dan penyelidik lain di puncak bukit berhampiran tapak kajian dan konservasi penguin, Antartika, semalam. Turut serta, Dr. Maximus Ongkili (kanan) dan Salleh Mohd Nor. - Bernama

SCOTT BASE (ANTARTIKA) 22 Nov. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini melakukan lawatan khas ke pusat-pusat saintifik di Antartika dengan menaiki helikopter.

Helikopter jenis Aerospace EC130 itu dipandu oleh Kapten Rob McPhail, seorang juruterbang berpengalaman selama 20 tahun melakukan penerbangan di Antartika.

Turut sama dalam tinjauan udara itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, Pengerusi Badan Bertindak Antartika Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd. Nor, Ketua Eksekutif Antartika New Zealand, Lou Sanson, dan penulis sendiri.

Helikopter yang pada asalnya dijadual berlepas dari Scott Base, sebuah pusat penyelidikan yang dikendalikan oleh New Zealand di Pulau Ross, pada pukul 9 pagi ini, ditangguh akibat cuaca berubah-ubah dengan salji yang turun serta tiupan angin yang kuat di kawasan lawatan.

Keadaan itu membuatkan jarak penglihatan terbatas yang tidak mengizinkan rombongan itu memulakan perjalanan.

Bagaimanapun, rombongan berlepas pada 11.30 pagi dalam cuaca sejuk bersuhu sekitar bawah 6 darjah Celcius (-6'C) hingga bawah 17 darjah Celcius (-17'C) dengan berlatar pemandangan langit dan bumi Antartika yang amat mempesonakan.

Tempoh 20 minit penerbangan menyaksikan pemandangan glasier dan saujana mata memandang lautan salji yang memutih sebelum tiba di Cape Royds.

Cape Royds ialah kawasan berbatu berwarna hitam menghadap McMurdo Sound yang menempatkan Pondok Shackleton, sebuah pondok yang dibina oleh Ernest Shackleton semasa ekspedisi beliau dalam tahun 1901 hingga 1904.

Seterusnya Tuanku Mizan dan rombongan dibawa melihat Glasier Barne, sebuah glasier setinggi 30 meter yang terletak di bahagian Timur Pergunungan Erebus dan juga menyaksikan penguin Emperor, sejenis penguin paling tinggi (kira-kira satu meter) dan besar dalam spesies keluarga penguin.

Lawatan berakhir dengan kunjungan ke Scott"s Hut di Cape Evans, sebuah pondok yang dibina oleh Robert Falcon Scott ketika ekspedisinya dalam tahun 1910-1913.

Kerja pemuliharaan pondok itu sedang giat dilakukan sebagai usaha untuk mengekalkan sejarah warisan saintis dan penyelidik di benua Antartika ini.

Kedua-dua pondok berkenaan kini menjadi destinasi bersejarah dan ikon bagi para saintis dan penyelidik di Antartika.

Semasa perjalanan pulang dari Cape Royds sejauh 35 kilometer, Tuanku Mizan juga dibawa meninjau dari udara kawasan sekitar Pusat Penyelidikan Scott. - BERNAMA

/hwa: utusan.com.my | 23/11/11

Guan Eng hilang punca, Tsu Koon makin ceria

Oleh Amin Ridzuan Ishak aminridzuan@bharian.com.my

PRESIDEN GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, kelihatan ceria ketika hadir pada majlis pelantikan Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai Canselor Universiti Terbuka Wawasan (WOU) dan konvokesyen kedua universiti itu di Pulau Pinang, minggu lalu.

Ketika berarak masuk ke dewan majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang berjubah khas sempat melambaikan tangan dan tersenyum ke arah sekumpulan media, manakala Keng Yaik pula kelihatan serius.
Selepas majlis itu berakhir, Tsu Koon, ketika mengadakan sidang media, sempat berjenaka dengan menyatakan ramai orang pada masa sekarang mengubah gaya rambut masing-masing ketika merujuk kepada seorang wartawan yang dikenalinya.
Tsu Koon seolah-olah dijadikan 'budak belasahan' bagi Guan Eng. Agaknya, apabila Tsu Koon tidak lagi bertanding, maka Guan Eng akan kehabisan modal untuk mengkritik BN
"Saya sendiri sudah mengubah gaya rambut...rambut saya lebih pendek sekarang," katanya yang mungkin cuba merujuk kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menukar penampilan rambutnya, baru-baru ini.

Gelagat bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilihat cukup santai berbeza sebelum ini apabila ada kalanya berwajah muram dan enggan menjawab soalan pertanyaan wakil media terutama terhadap desakan supaya beliau mengundurkan diri termasuk sebagai Presiden GERAKAN.

Mungkin perubahan itu disebabkan oleh pengumuman yang dibuatnya tiga hari sebelum itu iaitu untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang bagi memberikan laluan kepada pemimpin muda selaras agenda transformasi parti, ‘Gerak Bersama Rakyat’. Pengumuman itu disambut dengan pelbagai reaksi ada yang gembira, sedih dan terkejut.

Paling mengejutkan ialah reaksi daripada Guan Eng yang mahu Tsu Koon diberi peluang bertanding pada pilihan raya umum kerana beliau adalah pemimpin tertinggi GERAKAN, selain berjawatan menteri.
Setiausaha Agung DAP itu mahu Tsu Koon mencontohi Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, yang kembali bertanding walaupun pernah tewas. Guan Eng mendakwa Tsu Koon tidak membuat keputusan secara sukarela, sebaliknya akibat desakan Barisan Nasional (BN).

Amat mengejutkan apabila Guan Eng mengeluarkan kenyataan itu kerana sejak memegang tampuk pemerintahan Pulau Pinang, beliau sering mengeluarkan kenyataan mempersendakan Tsu Koon yang diperlinya sebagai ‘kawan baik saya’ dalam kebanyakan sidang media atau ceramahnya bagi menunjukkan kegagalan kerajaan BN Pulau Pinang terdahulu.

Tsu Koon seolah-olah dijadikan ‘budak belasahan’ bagi Guan Eng. Agaknya, apabila Tsu Koon tidak lagi bertanding, maka Guan Eng akan kehabisan modal untuk mengkritik BN yang rakyat maklum berjaya memodenkan Pulau Pinang.

Bagi Tsu Koon, beliau kini boleh memfokuskan kepada usaha memantapkan GERAKAN yang mencatat prestasi paling buruk pada Pilihan Raya Umum 2008 (PRU-2008) dan tidak perlu lagi memikirkan strategi untuk dirinya menang pilihan raya.

“Saya akan berada di barisan depan untuk berdepan segala kritikan terhadap GERAKAN,” tegas Tsu Koon.

Selesai dengan persoalan masa depan Tsu Koon, satu lagi perkara iaitu berkaitan jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang yang sepatutnya diumumkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN, baru-baru ini.

Tsu Koon yang memegang jawatan itu sejak 1990, dikatakan akan meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pemimpin lain mengetuai jentera BN negeri yang didakwa pelbagai pihak masih tercari-cari rentak sebagai pembangkang serta masih ‘berlagak’ seperti kerajaan.

Secara tradisinya, kerusi itu dipegang oleh wakil GERAKAN dan boleh dikatakan ia boleh menjadi petanda kepada calon Ketua Menteri jika BN berjaya merampas kembali pentadbiran negeri pada pilihan raya akan datang.

Dua nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Tsu Koon ialah Setiausaha Agung GERAKAN, Teng Chang Yeow dan Naib Pengerusi GERAKAN negeri, Ong Thean Lye. Kedua-dua mereka adalah lepasan Universiti Sains Malaysia (USM) dan mempunyai kelebihan masing-masing. Jika dinilai dari sudut karisma jawatan itu, seharusnya menjadi milik Chang Yeow, tetapi dari segi penerimaan ahli GERAKAN, Thean Lye adalah orangnya.

Kini semua menanti pengumuman siapa bakal menjawat jawatan itu yang dijangka dilakukan minggu ini dan diharapkan pemimpin berkenaan mampu menggalas tanggungjawab untuk berdepan dengan pakatan pembangkang pada ‘peperangan’ tidak lama lagi.

“Chang Yeow bijak berpolitik, pandai berceramah, mempunyai idea bagus dan mesra rakyat. Tetapi, masalahnya ialah dari segi penerimaan ahli dan ini berpunca atas sikapnya yang sering berasakan dirinya berkaliber berbanding orang lain.

“Thean Lye pula tidak terlalu pandai berceramah dan sebijak Chang Yeow, tetapi beliau mesra ahli,” kata seorang Pemuda GERAKAN sambil menambah Chang Yeow dan Thean Lye tidak dapat menunjukkan kemampuan serta kaliber masing-masing sebelum ini kerana ada pemimpin tertinggi dalam parti itu yang cuba menghalang mereka.

“Ini menyebabkan mereka tidak dapat menunjukkan kemampuan serta kaliber masing-masing,” katanya.

Kini semua menanti pengumuman siapa bakal menjawat jawatan itu yang dijangka dilakukan minggu ini dan diharapkan pemimpin berkenaan mampu menggalas tanggungjawab untuk berdepan dengan pakatan pembangkang pada ‘peperangan’ tidak lama lagi.

/hwa: bharian.com.my | 23/11/11

Pedalaman terus dibantu - Najib


Najib Tun Razak (belakang, tengah) bersama Ahmad Zahid Hamidi memakai topi suku kaum Lun Bawang bersama para pemimpin masyarakat Be'kalalan dan Lawas di Seri Perdana, semalam. - bernama

PUTRAJAYA 22 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada kawasan pedalaman yang sememangnya amat memerlukan bantuan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu telah menjadi sebahagian daripada Program Transformasi Luar Bandar yang sedang diperjuangkan oleh kerajaan.

"Mudah-mudahan dengan ini, kita akan dapat menegakkan keadilan sosial dan pembangunan yang lebih inklusif, tidak kira kita di mana dalam pelosok negara, pembangunan dan pembelaan akan tetap dapat dirasai oleh rakyat.

"Wang bantuan RM100, para pelajar telah terima. Insya Allah, tidak lama lagi wang RM500 juga akan diterima bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah bagi seisi keluarga," katanya.

Najib berkata demikian pada majlis meraikan ketua-ketua kampung dan masyarakat Ba'kelalan dan Bario dari Sarawak yang mengunjungi beliau di Seri Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Zahid Ahmad Hamidi dan Anggota Parlimen kawasan Lawas, Datuk Henry Sum.

Rombongan yang diketuai Sum itu menemui Perdana Menteri bagi menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan masyarakat kawasan Ba'kelalan dan Bario kepada kerajaan yang berjaya membina sebuah jalan baru yang telah lama dinantikan oleh masyarakat di kawasan berkenaan.

Najib berkata, beliau berasa bangga kerana projek untuk membina jalan di Ba'kelalan dan Bario telah dapat disiapkan menerusi program Jiwa Murni yang telah diubahsuai dan dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan, yang bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat.

Katanya, projek itu merupakan satu konsep pembangunan baru yang belum pernah dibuat sebelum ini yang dapat disiapkan dengan cepat dan juga menjimatkan kos, apabila hanya menelan perbelanjaan sebanyak RM52 juta berbanding RM250 juta sebelum ini.

"Apa yang sangat menarik hati saya dan kerajaan bahawa projek ini jika digunakan pemikiran lama, ia masih perlu menunggu satu tempoh yang agak panjang kerana peruntukan yang diperlukan agak besar, tetapi boleh disiapkan dalam tempoh yang begitu cepat setelah kita mengambil keputusan tersebut.

"Salah satu daripada prinsip yang saya pegang bersama rakan-rakan dalam kerajaan, ialah apabila kita janji, kita tunaikan janji kita kepada rakyat," katanya.

Menerusi projek Jiwa Murni itu, pembinaan jalan disiapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia yang diberi bekalan bahan dan peralatan dengan peruntukan disalurkan melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU).

Beliau menambah, kesan daripada projek jalan raya di Ba"kelalan itu amat besar, antaranya ia dapat menjimatkan tempoh perjalanan dari Lawas ke Ba"kelalan dari tiga hari dua malam sebelum ini kepada tiga jam sahaja dan ini secara langsung dapat mengurangkan juga harga bahan makanan dan minuman serta barangan lain.

"Antaranya harga Coca Cola setin, jika dulu RM3, sekarang RM2, harga LPG setong, daripada RM60 kepada RM45. Harga simen telah berkurangan, tambang bas pun telah menurun.

"Dan ada lagi kebaikan, ada yang telah bina banglo dan banyak pelancong dari luar datang kerana sudah dibina jalan baru," katanya.

Perdana Menteri berharap langkah kerajaan itu akan dapat membuka era baru kepada kawasan Ba'kelalan dan Bario.

Sum pula berkata, masyarakat di Ba'kelalan dan Lawas berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana kawasan itu yang sebelum ini sukar dihubungi akibat keadaan geografi, kini mengalami perubahan berikutan projek-projek pembangunan yang dibawa oleh kerajaan.

Beliau seterusnya meminta kerajaan agar meneruskan usaha membekalkan kemudahan asas lain seperti bekalan elektrik alternatif dan air ke semua kawasan yang belum mendapat kemudahan itu secepat mungkin.

Sum juga berharap supaya Perdana Menteri menimbang beberapa permohonan untuk kemudahan masyarakat di kawasan itu, antaranya membina Lapangan Terbang Lawas untuk menggantikan lapangan terbang sedia ada yang sering dilanda banjir, mewujudkan sekolah menengah di kawasan tanah tinggi Ba'Kelalan dan mewujudkan sekolah teknik di Lawas. — BERNAMA.

/hwa: utusan.com.my | 23/11/11

22 November 2011

Perdana Menteri ucap tahniah


Mohd. Asraruddin Omar menjerit kegembiraan selepas menjaringkan gol penyamaan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi. Malaysia menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat dalam masa tambahan.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada pasukan Harimau Muda kerana berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA XXVI 2011 menewaskan Indonesia, semalam.

Najib menerusi laman Twitternya mengucapkan syabas kepada pasukan negara kerana berjaya menewaskan musuh tradisi, Indonesia dalam perlawanan yang mendebarkan.

"Syabas dan tahniah pasukan Malaysia! Saya dan rakyat sungguh gembira. Mereka telah bermain penuh semangat," katanya.

Malaysia menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

/hwa: utusan.com.my | 22/11/11

Syabas Malaysia!


Pemain-Pemain Malaysia meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA XXVI selepas menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi. – Bernama

JAKARTA - Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; ‘ibu’ kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia.

Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.

Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan.

Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.

Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.

Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.

Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.

Tangisan para penyokong Laskar Garuda adalah difahami. Bukan saja tewas di bumi sendiri, malah sudah dua dekad tidak mengecapi kejayaan sejak mereka menang di Manila 1991.

Indonesia mungkin telah meraih 170 pingat emas (setakat pukul 12 tengah malam semalam dan jumlah itu dijangka terus bertambah pada hari terakhir hari ini), namun terlepas pingat emas bola sepak sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan.

Andai mampu merangkul 200 emas sekali pun, luka mereka tidak akan terubat

Bagi kontinjen negara pula, sasaran baru 60 pingat emas yang diletakkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dua hari lalu sepatutnya dalam jangkauan jika petinju kita, Muhamad Farkhan Mohd. Harun mampu meraih pingat emas ke-59 kita.

Malangnya, dia ditumbangkan secara kontroversi oleh peninju tuan rumah, Alex Tatontos di Palembang.

Terdahulu Malaysia, dipimpin Fatehah Mustapa, membuktikan kejaguhannya dalam arena berbasikal trek yang tiada tolok bandingnya dengan menambah empat pingat emas di Velodrom Ramawangun. Begitu juga dengan gadis- gadis kolam renang kita yang menyapu bersih kesemua lima emas dipertandingkan dalam sukan renang berirama di Pusat Akuatik Kompleks Jakabaring.

Kontinjen negara dijangka tidak akan menambah pungutan pingat emas untuk menggenapkan angka 60 kerana hanya tinggal sukan paragliding yang bukan merupakan sukan harapan pada hari terakhir temasya .

Ia sudah lebih daripada memadai, syabas diucapkan!

/hwa: utusan.com.my | 22/11/11

Sukan Sea 2011

22 NOV 2011: Para penyokong pasukan bola sepak kebangsaan membanjiri sekitar kawasan balai ketibaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, semasa ketibaan skuad bolasepak Sukan SEA dari Jakarta. - Utusan/WAHIDIN SALIM

Masyarakat Islam kecewa sikap Pas

ALOR SETAR 21 Nov. - Tindakan kerajaan Pas Kedah membenarkan pengambilan tapak dan bangunan Madrasah Salihiah Kanchut di sini bagi pembinaan sebuah kompleks beli-belah sangat mengecewakan masyarakat Islam di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, UMNO Kedah membantah tindakan tersebut kerana ia bukan sahaja membelakangkan masyarakat Islam, tetapi juga bercanggah dengan usaha memartabatkan syiar Islam.

"Tindakan ini boleh dinilai oleh rakyat bahawa kerajaan Pas Kedah cuma tahu bercakap sahaja mengenai agama, namun surau yang sudah diwakafkan lebih 100 tahun ini pun ingin dirobohkan atas nama pembangunan.

"Di mana sebenarnya perjuangan kerajaan Pas ini? Tiada usaha untuk mewujudkan langkah membela masyarakat Islam dengan mempertahankan madrasah terbabit, tindakan Pas juga telah menjatuhkan kredibiliti parti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sempena Minggu Diabetes Parlimen Alor Setar di sini, baru-baru ini.

Isnin lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, surau berkenaan akan dirobohkan bagi membolehkan tapaknya dibina kompleks beli belah, manakala sebuah surau baharu akan dibina di bawah kompleks itu sebagai ganti madrasah berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan kerajaan negeri itu dibantah kariah madrasah tersebut dan beberapa tokoh masyarakat negeri ini yang menyifatkan langkah tersebut sebagai meminggirkan Islam dan membelakangkan ajaran agama itu demi kemajuan dunia.

Tegas Ahmad Bashah, UMNO Kedah mendesak kerajaan negeri mengkaji semula keputusan merobohkan madrasah itu demi kepentingan masyarakat Islam setempat.

"Banyak anggota masyarakat dan tokoh agama membantah tindakan itu, jadi ia patut dipertimbangkan oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengekalkan madrasah tersebut walaupun kawasan itu ingin dibangunkan.

"Madrasah itu bukanlah madrasah biasa tetapi berusia lebih 100 tahun dan wajar dimartabatkan bukan dirobohkan," katanya.

Tambah beliau, surau baharu di kompleks beli-belah yang akan dibina seperti dijanji oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak boleh menggantikan fungsi madrasah terbabit.

"Jika benar madrasah ini terpaksa dirobohkan gantikan dengan tapak baharu di kawasan terbabit, bukan di dalam kompleks beli-belah yang cuma mengecilkan fungsi madrasah.

"Madrasah ini sewajarnya dimartabatkan di tempat yang sesuai bukan diletakkan dalam pusat beli-belah. Entah apa yang berada dalam fikiran Menteri Besar ini," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 22/11/11

Pendirian UMNO melalui ucapan penggulungan presiden

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus berasa tersinggung sekiranya terdapat isu-isu sensitif khususnya berkaitan kepentingan orang Melayu dibangkitkan oleh para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebagai sebuah parti berasaskan kaum seperti mana MCA dan MIC, sudah tentu ada di kalangan perwakilan tidak terlepas membangkitkan isu-isu seumpama itu kerana sifatnya yang amat subjektif.

Sehubungan itu, beliau meminta parti-parti komponen tidak memberikan reaksi negatif jika ia berlaku kerana pendirian rasmi UMNO akan disampaikan melalui ucapan penggulungan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari akhir perhimpunan.

"Hakikatnya, kita ini adalah parti berasaskan kaum seperti mana MCA dan MIC. Kita juga tahu ketika MCA bersidang perkara yang serupa juga berlaku, tetapi tidak pula kita suarakan.

"Begitu juga sekiranya berlaku di dalam Perhimpunan Agung UMNO. Masalah atau perkara (mengenai kepentingan orang Melayu) kalau pun dibangkitkan, ia hanya untuk perwakilan dan ahli UMNO dan bukannya hendak menyinggung perasaan kaum lain," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat media mengenai persiapan Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 yang akan bermula 29 November hingga 3 Disember ini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh serta penolong-penolong setiausaha sayap-sayap UMNO.

Tengku Adnan berkata, perkara sama juga berlaku ketika persidangan MIC, Gerakan dan PPP kerana itu adalah hak mereka.

"Kami tahu apa yang mereka katakan, namun persoalannya mengapa fokus mengenai perkara ini sering ditujukan kepada UMNO? Ini kerana UMNO terbuka," katanya.

Pada sidang akhbar sama Tengku Adnan berkata, UMNO akan mengambil kira peringatan serta pandangan yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, semalam.

"Sebagai bekas presiden, sudah tentu beliau tahu tentang perjalanan UMNO, tetapi kita juga ingin maklumkan bahawa Presiden baru, Datuk Seri (Najib Tun Razak) sedaya upaya cuba memperbaiki dan mengatasi setiap masalah yang timbul.

"Kita juga sedar bahawa UMNO seperti Tun (Dr. Mahathir) sebut merupakan payung kepada kaum lain. Kita akan berusaha untuk kekalkan peranan ini agar UMNO terus menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menaungi mereka dan seterusnya memastikan masa depan anak-anak mereka serta negara ini terjamin," katanya lagi.

/hwa: utusan.com.my | 22/11/11

Penyokong Indonesia, pembangkang ada kaitan?

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Tindakan biadab serta layanan kurang ajar yang diberi penyokong Indonesia kepada kontinjen Malaysia di sepanjang kejohanan Sukan SEA XXVI, mempunyai kaitan dengan sikap pemimpin pembangkang yang berterusan memburuk-burukkan negara sendiri di Indonesia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, walaupun beliau sendiri tidak berniat untuk memasukkan elemen politik dalam bidang sukan, tetapi perbuatan segelintir pemimpin pembangkang telah membakar dan menyemarak perasaan benci rakyat Indonesia kepada Malaysia.

Katanya, perasaan benci itu hanya ditujukan kepada kontinjen negara kerana pemimpin pembangkang dari Thailand, Vietnam mahu pun Singapura tidak pernah ke Indonesia secara berkala semata-mata kerana mahu memburukkan kerajaan dan negara sendiri demi kepentingan politik sempit.

"Kenapa penyokong Indonesia terlalu benci dengan Malaysia? Adakah kerana pekerja Indonesia tidak dilayan dengan baik? Ini bukan soal layanan kepada pekerja asing Indonesia. Mereka bukan setakat boleh cari makan tetapi boleh ada satu kehidupan yang cukup baik di sini.

"Tetapi kenapa Malaysia sahaja menjadi mangsa iri hati rakyat Indonesia, kenapa tidak Thailand, Vietnam dan Singapura. Ini kerana ada di kalangan pemimpin kita (pembangkang) pergi ke Indonesia untuk memburuk-burukkan negara dan ia dibuat secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang ingin tahu mengapa penyokong Indonesia begitu membenci kontinjen negara semasa sesi perbahasan peringkat jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat mendesak kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mengambil tindakan tegas ke atas kegagalan Indonesia memberi layanan terbaik kepada kontinjen Malaysia, termasuk menghina lagu Negaraku dan Jalur Gemilang.

Mohamad berkata, sikap tidak profesional Indonesia selaku penganjur dengan menjadikan pentas Sukan SEA sebagai medan menimbulkan kebencian sehingga membunuh semangat kesukanan adalah sesuatu yang biadab dan kerajaan Malaysia perlu bertindak segera.

"Sikap penyokong Indonesia dan penganjur cukup memalukan. Mereka ini bukan sahaja merosakkan nilai kesukanan tetapi tidak layak untuk menjadi tuan rumah. Kalau nak sangat menang semua acara, Indonesia anjur sukan yang dia sahaja main, jadi semua pingat dia yang dapat," katanya.

Sementara itu, P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) pula mahu FAM membawa isu layanan buruk yang diterima pasukan Harimau Muda teke Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).

/hwa: utusan.com.my | 22/11/11

191 setiausaha bahagian automatik jadi perwakilan


TENGKU Adnan Tengku Mansor (tiga, kanan) bersama Ahmad Maslan menunjukkan beg dan baju bip untuk kegunaan media selepas sidang media dan sesi taklimat Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Menara Dato' Onn, PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Buat pertama kali dalam sejarah Perhimpunan Agung UMNO, seramai 191 setiausaha bahagian dipilih secara automatik menjadi perwakilan pada persidangan yang bermula 29 November hingga 3 Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pembaharuan tersebut dilaksanakan berdasarkan keputusan pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO 2009.

"Semasa pindaan perlembagaan dibuat, pertimbangan khas telah diberi kepada setiausaha bahagian yang terlibat sepenuh masa dalam mesyuarat dan pentadbiran bahagian untuk menjadi perwakilan secara automatik.

"Ini kerana kehadiran mereka adalah baik bagi membantu perwakilan bahagian. Ia juga merupakan pengiktirafan kepada mereka," katanya ketika sesi taklimat mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2011 kepada wakil media di sini hari ini.

Menurutnya, perhimpunan kali ini akan disertai oleh 5,447 perwakilan termasuk yang mewakili sayap parti serta 74 perwakilan Kelab UMNO luar negara.

"Selain itu, seramai 58 delegasi yang mewakili 23 parti dari 20 negara telah mengesahkan kehadiran mereka. Sebanyak 83 agensi media yang meliputi 74 media tempatan dan sembilan agensi antarabangsa dengan 1,525 wartawan telah berdaftar untuk membuat liputan perhimpunan kali ini," ujarnya.

"Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia akan diadakan pada 26 November. Forum antarabangsa bertajuk 'The Politic of Economic and Social Transformation in The Era Global Crisis' akan diadakan selama dua hari bermula 28 November," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 22/11/11

Perbetulkan semula persepsi – TPM

Oleh ABD. HALIM HADI TALIB

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Tanggungjawab memperbetulkan semula persepsi masyarakat terhadap parti merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh setiap ahli UMNO dan para pemimpin Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cabaran itu bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani kerana perubahan pemikiran masyarakat sekarang memerlukan pendekatan berbeza dilakukan.

“Ini perubahan pemikiran yang saya tahu sudah berlaku dalam masyarakat kita, jadi cara nak urus perubahan tidak lagi seperti dahulu. Hari ini dengan ilmu, teknologi dan informasi, kita kena bijak menguruskan keadaan.

“Sekarang kita perlu beritahu perkara yang mempunyai asas pertimbangan, ketelusan dan hak asasi. Hal ini sudah jadi lumrah di dalam pemikiran sekarang, yang mana dahulu tidak begitu menyerlah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Putra, Kajang hari ini.

Muhyiddin mengulas teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung masalah dalaman yang dihadapi UMNO dan BN melalui wawancara yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia.

Muhyiddin berkata, selain keterbukaan pemikiran yang dipengaruhi perkembangan semasa, cabaran mendapatkan sokongan rakyat juga semakin sukar disebabkan penghayatan sejarah dan semangat perjuangan yang semakin berkurangan.

“Berbanding zaman Tun (Dr. Mahathir) dan zaman sebelum itu, situasi sudah berubah sekarang.

“Masyarakat dahulu mengingati sejarah perjuangan, terlibat dengan perjuangan kemerdekaan dan tahu tentang itu. Generasi baharu tidak terikat dengan beban masa lampau, dia lihat situasi baru dan lihat masa depan,” katanya.

Muhyiddin menyifatkan kritikan bekas Presiden UMNO itu sebagai satu penilaian yang ikhlas kerana beliau sayangkan parti dan mahu melihat kerajaan terus dipertahankan.

“Teguran yang beliau buat itu membina, saya tidak fikir Tun (Dr. Mahathir) berniat sesuatu yang tidak baik kerana beliau cintakan UMNO dan kita harus mengambil berat tentang pandangan itu.

“Saya juga setuju dengan beliau usaha kita tak cukup lagi, belum cukup mantap sebab itu cabaran bagi kita dalam parti memang besar sekali,” tambah beliau.

Mengulas andaian kononnya UMNO dan BN tidak mengambil langkah mengukuhkan parti dan kerajaan, beliau menjelaskan, pentadbiran kerajaan tidak begitu lancar ketika proses peralihan jawatan tertinggi negara.

/hwa: utusan.com.my | 22/11/11

21 November 2011

Konvensyen Media Sosial 2011

KUALA LUMPUR 20 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan iPad sebagai gimik pelancaran Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Utusan/ZAINI HUSIN

Sukan Sea 2011

19 NOV. 2011: Ahmad Fakri (terlindung) dipeluk Izaqq Faris (no. 14) selepas dia berjaya menjaringkan gol tunggal untuk skuad negara ketika menentang Myanmar di peringkat separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA XXVI di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Utusan/IZHAM JAAFAR

Sukan Sea 2011

19 NOV. 2011: Pelumba basikal trek negara, Mohd. Harrif Salleh menunjukkan pingat emas yang dimenangi menerusi acara 10Km memenangi pingat emas dalam acara 10 KM Scratch temasya Sukan SEA XXVI di Valedrom Rawamangun, Jakarta, Indonesia. - Utusan/IZHAM JAAFAR