26 Februari 2013

Manifesto pakatan tukar imej Pas, pinggir Melayu

DR. HASAN ALI... Presiden Jati Malaysia.
*****
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dibentangkan pakatan pembangkang mempunyai agenda tersembunyi untuk menukar imej Pas daripada menegakkan Islam dan Melayu kepada ‘Malaysian Malaysia’, kata Presiden Jati Malaysia, Datuk Dr. Hasan Ali.
Malah, jelas beliau, manifesto tersebut tidak mengambil kira kelangsungan umat Melayu sebagai pribumi dan pelaksanaan syariat Islam seperti yang tertanam di hati sanubari ahli dan penyokong Pas.
Hasan berkata, amat jelas sama ada disedari pemimpin tertinggi Pas atau tidak, manifesto ini satu pendekatan tersembunyi untuk menukar imej Pas yang sebelum ini tegak dengan Islam dan Melayunya supaya menerima hakikat ‘Malaysian Malaysia’, sama rata dan sama rasa.
Beliau memberitahu, manifesto tersebut langsung tidak memberi penjelasan mengenai rangka kerja mengagungkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu.
"Bangsa Melayu yang masih serba-serbi ketinggalan terutama dalam bidang ekonomi dan penguasaan kekayaan negara seharusnya perlu terus menerima asuhan, bimbingan, galakan dan pakej bantuan menyeluruh bagi melonjakkan pencapaian mereka supaya menjadi bangsa bermaruah yang mampu bersaing di peringkat nasional mahupun global bila Malaysia menjadi negara maju nanti," katanya. - UTUSAN ONLINE
Berikut kenyataan penuh Hasan:
MANIFESTO PAKATAN BERBAU MALAYSIAN MALAYSIA
Pakatan Rakyat telahpun membentangkan manifesto mereka dalam Konvesyen Pakatan Rakyat yang berlangsung di Shah Alam pada hari ini.
Penelitian ringkas yang dibuat menunjukkan bahawa manifesto tersebut tidak ada yang baru. Semuanya memang telah diwar-warkan dan menjadi pengetahuan umum sejak dari awal-awal lagi. Ianya dibuat sebagai tawaran untuk memujuk rakyat supaya berpaling kepada Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13.
Yang jelasnya beberapa perkara dapat disimpulkan seperti berikut :
a. Manifesto yang dibentangkan tidak mengambil kira langsung keberlangsungan umat Melayu sebagai umat pribumi dan perlaksanaan syariat Islam seperti yang tertanam di hati sanubari ahli dan penyokong PAS. Amat jelas samada disedari oleh pimpinan-pimpinan tertinggi PAS ataupun tidak, manifesto ini merupakan satu pendekatan tersembunyi untuk menukar imej PAS yang sebelum ini tegak dengan Islam dan Melayunya supaya menerima hakikat “Malaysian Malaysia", “samarata" dan “samarasa".
b. Manifesto tersebut tidak memberi penjelasan langsung rangka kerja mengagungkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang masih serba serbinya ketinggalan terutamanya di bidang ekonomi dan penguasaan kekayaan negara seharusnya perlu terus menerima asuhan, bimbingan, galakan dan pakej bantuan menyeluruh bagi melonjakkan pencapaian mereka supaya menjadi bangsa bermaruah yang mampu bersaing diperingkat nasional mahupun global bila Malaysia menjadi negara maju nanti.
c. Manifesto Pakatan Rakyat mengenepikan langsung pembangunan keinsanan dan kerohanian. PAS sebagai salah sebuah parti Islam yang kini merupakan salah sebuah parti komponen Pakatan Rakyat biasanya mengutarakan konsep insan sepadu yang mesti dibangunkan seutuhnya. Ini bermakna di samping kemajuan material, pembangunan seharusnya menekankan aspek mental dan intelektual terutamanya spiritual yang akan menjamin lahirnya masyarakat yang seimbang pembangunannya. Sementara di peringkat individu seimbang juga syaksiah keperibadiannya. Rakyat sedemikianlah yang di harap mampu menjelmakan konsep “Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghaffur" seperti yang disebut berulang kali oleh pimpinan PAS.
d. Apa yang ditawarkan pada analisa akhirnya lahirlah manusia-manusia yang teguh kedudukan material yang lazimnya mudah menonjolkan sifat-sifat keangkuhan, kesombongan dan kebongkakan demi mengejar “superiority material". Akhirnya segelintir rakyat mungkin boleh mencapai kelebihan material itu dengan menidakkan sebahagian besar masyarakat yang merupakan kelompok majoriti yang tidak mempunyai persediaan untuk sama-sama merebut peluang material yang ada di hadapan mereka.
e. Kita sudah menyaksikan bagaimana masyarakat barat melalui proses untuk mencapai tahap kemajuan dan kesejahteraan material seperti yang dibangga-banggakan. Atas tekanan material semata-mata akhirnya masyarakat dibebani dengan berbagai penyakit masyarakat samada yang timbul daripada masyarakat itu sendiri atau yang diimport daripada luar.
Rata-ratanya masyarakat tidak mempunyai benteng pertahanan untuk mempertahankan keutuhan nilai-nilai sosio budaya, akhlak, budi pekerti dan tata susila dan kekuatan dalaman yang sangat diperlukan untuk menongkah cabaran abad yang berikutnya.
f. Seperti yang di ulas panjang lebar sebelum ini tawaran-tawaran yang dikemukakan tidak lebih daripada janji-janji kosong setakat untuk menggamit keyakinan pengundi untuk memilih Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13. Yang paling mudah bagi mereka nanti bila sampai masanya bila janji-janji dituntut oleh rakyat, dengan mudah mereka akan mengatakan “manifesto bukan satu perjanjian". Ini menggambarkan bahawa kalimat-kalimat dalam manifesto itu tidak lebih lebih daripada sususan ayat-ayat yang disalut dengan gula-gula manis untuk memikat hati rakyat. Bila sampai masanya mereka mencari seribu dalih memberi justifikasi mengapa manifesto tersebut tidak dapat dilaksanakan.
g. Para penganalisa politik sehinggi kini menyebutkan bahawa tawaran Pakatan Rakyat dalam konteks pembangunan sebuah negara seperti Malaysia dapat disamakan seperti mimpi disiang hari. Pakar-pakar ekonomi pula menghujahkan seandaianya sebahagian apa lagi kesemua butiran-butiran manifesto itu hendak dilaksanakan, Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara muflis. Ketika itu pihak yang menawarkan bintang dan bulan tersebut mudah mencuci tangan sebaliknya rakyatlah yang akan menanggung bahana dan derita yang mungkin berpanjangan hingga ke beberapa generasi yang akan datang.
h. Bagi mereka yang belum mempunyai pengalaman mengurus dan mentadbir sebuah negara, tawaran-tawaran yang dibuat lebih mudah untuk dinukilkan. Sebaliknya kepada pihak yang sudah berpengalaman mengurus negara sudah tentu mengambil kira berbagai faktor terutamanya faktor boleh atau tidak boleh tawaran itu dilaksanakan. Kita belum melihat tawaran daripada BN lagi. Seandainya BN juga dalam masa terdekat ini dapat mengemukakan manifesto mereka, maka bolehlah rakyat membuat penelitian dan mengambil satu posisi terhadap kedua-dua manifesto tersebut. Barulah rakyat boleh menilai yang mana yang lebih munasabah dan yang mana yang boleh dipercayai serta yang mana yang mempunyai kredibiliti untuk diberi mandat di dalam PRU ke 13 nanti.
Setakat yang dapat kita saksikan di negeri-negeri dalamana Pakatan Rakyat diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbirnya, fakta-fakta menunjukkan bahawa sebahagaian yang dijanjikan dalam manifesto untuk masing-masing negeri tidak berjalan seperti yang diharapkan. Harga rumah yang rata-ratanya melambung tinggi menjadi penyebab orang-orang Melayu di Pualu Pinang dan Selangor keluar mencari tempat kediaman di kawasan-kawasan pinggiran bandar, luar bandar dan kawasan terpencil menghampiri hutan simpan yang mampu dimiliki sesuai dengan pendapatan isi rumah mereka.
Seperkara lagi bagi Pakatan Rakyat mereka boleh janjikan apa sahaja. Lantaran kemungkinan untuk memenangi Putrajaya masih jauh daripada yang diangan-angankan. Oleh itu tektik yang paling mudah tawarkanlah apa sahaja. Beri rakyat bulan dan bintang. Manalah tahu, kalau ada di antara rakyat yang boleh terpengaruh dengan janji-janji politik yang ditaburkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan yang terkenal lunak dan bijak mengabui mata dan minda rakyat.
Hanya rakyatlah yang semestinya bijak. 55 tahun kita merdeka, sepatutnya tidak ada golongan rakyat di Malaysia yang masih boleh digula-gulakan. Tidak ada lagi golongan rakyat di negara ini yang sanggup diperkotak-katikkan kebolehan minda dan kebijaksanaan membuat keputusan. Rakyat Malaysia sudah dimasukkan ke dalam kumpulan rakyat yang berpendidikan. Rakyat yang boleh menentukan masa depan untuk diri, keluarga, masyarakat dan negaranya sendiri.
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL
25 Februari 2013

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130225/px_09/Manifesto-pakatan-tukar-imej-Pas-pinggir-Melayu#ixzz2LyTxHXtr
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa - 26/2/13

Rakyat diingat manifesto pembangkang bukan janji

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Rakyat di negara ini diingat bahawa semua manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pakatan pembangkang sepertimana diumumkan hari ini bukanlah suatu janji sebaliknya hanya retorik semata-mata.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini disandarkan kepada kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengakui manifesto pembangkang pada pilihan raya umum lalu bukanlah sebuah janji.
Menurutnya, rekod menunjukkan bahawa apa yang dicanang menerusi manifesto mereka sebelum ini tidak ditunaikan walaupun mereka berjaya menjadi pemerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Ini berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberikan banyak bantuan kepada hampir seluruh golongan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan untuk pelajar sekolah, baucar buku dan lain-lain, walaupun ia tidak pernah dijanjikan sebelum ini.
"Ia jelas menunjukkan pembangkang berjanji tetapi mereka tidak buat sebaliknya BN tidak berjanji tetapi buat. Bantuan-bantuan seperti BR1M dan lain-lain tiada dalam manifesto BN sebelum ini tapi kita berikan kepada rakyat," katanya kepada Utusan Online hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, agak sukar bagi pembangkang mahu menurunkan harga minyak kerana kos subsidi kerajaan pada masa kini ialah RM2 bilion sebulan.
"Nak turunkan lagi. Berapa banyak wang yang perlu dikeluarkan setiap bulan sedangkan pada masa kini kerajaan menanggung kos subsidi RM2bilion sebulan untuk memastikan harga petrol RON95, diesel dan gas memasak pada kadar sekarang. Semua janji itu tidak berpijak di bumi nyata," katanya.
Sementara itu bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang berkata, pembangkang boleh mengumumkan beribu-ribu manifesto sekali pun tetapi kenyataannya mereka tidak berhasrat pun mahu melaksanakannya.
Menurut beliau, Pas sendiri pernah menggariskan lebih 100 manifestonya pada pilihan raya umum 1999 untuk negeri Terengganu tetapi apabila mereka menang dan memerintah negeri itu, hanya sedikit sahaja yang dilaksanakan.
"Buatlah 1,000 manifesto pun tak apa. Khalid (Menteri Besar Selangor) sendiri kata manifesto bukan janji. Jadi pakatan pembangkang boleh keluar sebanyak mana pun, tidak perlu risau," katanya. - UTUSAN ONLINE

Bina 150,000 rumah: Pembangkang sekali lagi tabur janji palsu

DATUK WIRA IR. IDRIS HARON
*****
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Pembangkang sekali lagi menabur janji palsu apabila mahu menyediakan 150,000 unit rumah mampu milik sepertimana manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang diumumkan sempena konvensyen parti itu hari ini.
Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Wira Ir. Idris Haron berkata, pembangkang hanya pandai menabur janji sedangkan semua rumah mampu milik di seluruh negara adalah atas usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi pihaknya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Risda, Felda dan lain-lain.
"Pas memerintah Kelantan selama 23 tahun tetapi sebuah rumah mampu milik pun mereka tak bina. Semua rumah itu dibina oleh SPNB. Kelantan juga adalah penerima terbanyak Rumah Mesra Rakyat (RMR) kelolaan SPNB," katanya kepada Utusan Online hari ini.
Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, janji mereka kepada penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang adalah bukti bahawa pembangkang sekadar manis di bibir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya menyerahkan kunci rumah kepada mangsa penipuan pembangkang.
"Mereka cakap tak serupa bikin. PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) di Selangor hanya membina rumah-rumah banglo mewah. Begitu juga di Pulau Pinang manakala Kedah pula menagih simpati SPNB," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi berkata, pada pilihan raya 2008 pembangkang khususnya di Selangor telah melancarkan manifesto antaranya “membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapat kediaman sendiri" tetapi sehingga kini ia hanya tinggal manifesto. - UTUSAN ONLINE

SPR hairan, kecewa

LUMUT 24 Feb. - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar hairan dengan keengganan pemimpin pembangkang menandatangani ikrar integriti pilihan raya sedangkan mereka sering berkobar-kobar bercakap soal ketelusan.
Menurut beliau, keengganan pembangkang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya yang digerakkan Transparency International (Malaysia)(TI-M) juga mengecewakan kerana mereka selalu mempertikaikan integriti pihak lain.
''Saya hairan dan kecewa, bukankah bagus jika kita beri komitmen kepada rakyat untuk sama-sama menegakkan integriti. Pelik kenapa mereka (pembangkang) tidak mahu," katanya selepas menyampaikan taklimat kepada Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Negeri Perak di sini hari ini.
Perdana Menteri sebelum ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya yang digerakkan TI-M sebagai satu lagi komitmen beliau terhadap pelaksanaan agenda negara dalam membanteras rasuah terutamanya semasa Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ikrar itu adalah kontrak sosial yang ditandatangani secara sukarela oleh mana-mana calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum kelak.
Walau bagaimanapun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan enggan menandatangani ikrar tersebut manakala Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menegaskan pihaknya tidak akan berbuat demikian dengan alasan apa yang lebih penting ialah niat dalam hati.
Wan Ahmad berkata, bagi beliau, tiada sebab kenapa pembangkang enggan menandatangani ikrar tersebut kerana inisiatif itu digerakkan oleh TI-M, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global yang tidak mempunyai kepentingan politik.
''Itulah yang buat saya pelik, perkara bagus pun orang tidak mahu buat. Kita mungkin boleh bagi alasan niat di hati lebih penting, tetapi kenapa tidak boleh zahirkan komitmen kerana rakyat tentunya mahu lihat kesungguhan pemimpin dalam soal integriti," ujar beliau.

Manifesto: Pembangkang juga tabur hampas kelapa

SHAH ALAM 26 Feb. - Jika sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengibaratkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai hampas kelapa dan jerami, tohmahan itu akhirnya memberikan tamparan kepada pakatan pembangkang sendiri apabila mereka turut memperkenalkan imbuhan kewangan dalam manifesto pilihan rayanya.
Berbeza dengan Kerajaan Pusat yang melaksanakan BR1M sebagai menunaikan janji dalam Bajet 2012 dan 2013, manifesto pakatan pembangkang menjanjikan caruman wanita sebanyak RM50 sebulan bagi isteri manakala suami perlu membuat caruman sebanyak antara RM10 hingga RM100 sebulan selain Skim Bonus Warga Emas (60 tahun ke atas) sebanyak RM1,000 setahun.
Pakatan turut menjanjikan tambahan RM300 bagi setiap murid setiap tahun 1,854 Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil, persendirian Cina, Tamil, Iban, Kadazan dan sekolah mubaligh. - UTUSAN

Ternyata tiada agenda Islam dalam manifesto pembangkang

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Gabungan parti-parti dalam pakatan pembangkang ternyata rapuh dan kini jelas bahawa setiap parti terpaksa mengorbankan perjuangan masing-masing termasuk Pas yang dasarnya adalah melaksanakan hukum Islam di negara ini.
Buktinya, seperti kata seorang blogger, manifesto pakatan pembangkang yang diumumkan hari ini tidak pun menyatakan mengenai sebarang agenda khusus berhubung perjuangan memartabatkan Islam.
Azli Shukri melalui laman blog azlishukri.blogspot.com berkata, beliau sebelum ini menjangka atau mengharapkan sekurang-kurangnya asas perjuangan Pas iaitu melaksanakan hukum hudud dimuatkan dalam manifesto tersebut.
Menurutnya, perjuangan asas Pas itu sepatutnya terkandung dalam manifesto pakatan pembangkang sebagai menghormati pengundi-pengundi atau ahli-ahli Pas yang dari dulu memperjuangkan Islam.
Laporan penuh boleh dibaca dengan klik link ini:
http://azlishukri.blogspot.com/2013/02/manifesto-pr-tiada-agenda-yang-jelas.html - UTUSAN

Harakah Daily putar belit titah ucapan Raja Nazrin

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Media rasmi Pas, Harakah Daily terus memutar belit titah ucapan Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah konon parti itu jauh lebih baik berbanding UMNO.
Media tersebut pada Rabu lalu melaporkan titah ucapan baginda pada majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah dimanipulasikan sehingga menggambarkan Raja Nazrin berpihak kepada parti tersebut.
Bagaimanapun, laporan tersebut telah disanggah oleh beberapa blog antaranya Cikgu Lin dan Info The Truth menuduh media tersebut telah berbohong.
Ekoran desakan itu, Harakah Daily telah menyiarkan permohonan maaf atas "kesilapan" tersebut dan menarik balik laporan tersebut serta digantikan dengan laporan baharu, semalam.
Laporan itu menggunakan tajuk "Pas kini sedia mengatasi UMNO - Raja Nazrin".
Berikut adalah kronologi laporan Harakah Daily berhubung titah ucapan Raja Nazrin pada majlis tersebut.
20 Februari - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16882-integriti-hayati-titah-raja-nazrin
23 Februari - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16954-raja-nazrin-antara-pas-dan-umno
24 Februari - http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/16982-pas-kini-sedia-mengatasi-umno-raja-nazrin
- UTUSAN ONLINE

BR1M: Fitnah Pas jatuhkan UMNO

Mustapa Mohamed (tengah) beramah mesra dengan sebahagian masyarakat Orang Asli Jeli pada Majlis Penyampaian BR1M 2.0 di Jeli, Kelantan, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID 
*****
JELI 24 Feb. - Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat merupakan satu fitnah terhadap UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia adalah serangan biasa yang dibuat Pas dalam usaha mereka untuk menjatuhkan UMNO dan menarik sokongan rakyat.
Jelas beliau, pemimpin Pas tidak dapat menerima kenyataan bahawa pemberian BR1M dan BR1M 2.0 telah disambut baik setiap rakyat kerana ia berjaya membantu meringankan beban setiap penerimanya.
"Ini adalah fitnah terhadap UMNO, biasalah dekat pilihan raya. Yang penting bagi kita adalah tugas dan yang kedua rakyat bersyukur dan berterima kasih.
"Bagi rakyat yang menerimanya, RM500 ini merupakan beza antara kebuluran dan boleh hidup, RM500 merupakan satu jumlah yang besar bagi mereka," katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan BR1M 2.0 kepada 179 masyarakat Orang Asli di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz seperti dilaporkan Utusan Malaysia kelmarin menyamakan sambutan orang ramai terhadap BR1M umpama ayam dan lembu iaitu haiwan tersebut akan datang kepada manusia sekiranya diberikan makan.
Selepas kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan rakyat Nik Aziz didesak meminta maaf.
Pada masa sama, Abdul Hadi pula berkata, pemberian BR1M itu umpama memberi ikan kepada rakyat dan mendakwa ia adalah tindakan bodoh terhadap rakyat menjelang pilihan raya umum.
Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengulangi kenyataannya bahawa Kerajaan Pusat akan terus menunaikan tanggungjawab membantu rakyat dalam apa juga bentuk termasuk pembangunan.
"Kenyataan itu tidak relevan, sinis dan pelbagai fitnah tetapi yang penting kita bela rakyat dan rakyat bersyukur dan berterima kasih.
"Di mana sahaja tempat kita pergi, rakyat menunjukkan rasa terima kasih atas bantuan ini dan kerajaan melakukannya berdasarkan kemampuan kewangan yang ada," tambahnya.

Ulama Pas hanya luaran sahaja - PM

SEREMBAN 24 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemimpin Pas hanya ulama pada rupa luarannya sahaja tetapi apa yang keluar daripada mulut mereka tidak mencerminkan ulama sebenar.
Perdana Menteri berkata, jika mahu memartabatkan seseorang ulama itu, hendaklah mereka daripada golongan yang bercakap baik, bersopan dan memberi nasihat, bukannya memaki-hamun, mencerca dan merendahkan martabat orang lain.
"Tidak juga mengaitkan orang seperti haiwan. Itu bukan cakap ulama," kata beliau dalam ucapan pada pelancaran Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun pemimpin Pas menghina penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi ramai juga yang menerima bantuan itu terdiri daripada orang mereka (Pas).
Dalam majlis pemimpin bersama akar umbi BN negeri selepas itu di Klana Resort, Perdana Menteri menegaskan, transformasi adalah lebih baik daripada reformasi.
"Reformasi mengajar rakyat berdemonstrasi, menghuru-harakan negara tetapi transformasi kerajaan BN membawa kejayaan, beri manfaat kepada rakyat. Kita mengajar rakyat menghormati undang-undang," katanya.
Mengenai 'Arab Spring', beliau berkata, ia belum lagi mampu memberi harapan kepada apa yang diharapkan, sebaliknya hanya menyaksikan negara berkenaan musnah.
"Terbukti dalam sejarah manusia, jika perubahan yang dilakukan secara mengejut dari bawah ke atas secara radikal, kesannya tidak sebaik yang diharapkan. Tetapi kalau perubahan itu berlaku daripada atas ke bawah dan mendasari kehendak rakyat, maka ia memberi manfaat kepada rakyat dan negara," tegas Najib.
Najib juga memberitahu, ketika kerajaan BN melaksanakan program 'Janji Ditepati', pembangkang semakin gelisah.
"Pembangkang mungkir janji dan di Selangor, cuma 15 peratus sahaja daripada janji pilihan raya umum ke-12 yang telah ditunaikan sehingga Menteri Besar Selangor berkata, manifesto bukan janji kepada rakyat.
"Kalau manifesto bukan janji kepada rakyat, apa gunanya kepada rakyat. Apa nilai kertas yang tertulis manifesto pembangkang yang telah dihidangkan kepada rakyat," soal Najib.
Menyentuh taklimat tertutup bersama akar umbi BN Negeri Sembilan ini pula, Najib membuat kesimpulan bahawa BN negeri ini sudah berada pada tahap 100 peratus bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
"Ini bererti arahan yang diberikan oleh parti telah disahut dan dipatuhi oleh semua ahli BN negeri ini. Kuatkan kerja dan kenali setiap kelemahan. Apabila ia kuat, ia akan menjadi asas kepada kemenangan BN. Negeri Sembilan boleh!," kata Najib.

25 Februari 2013

Mengubah Destini Anak India 1Malaysia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir pada program Mengubah Destini Anak India 1Malaysia di Politeknik Port Dickson, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman, Feb 24, 2013 9:50 pm

Rakyat pendapatan rendah terpinggir jika amal pembangunan sosialis - PM

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan anak-anak belia India ketika menghadiri Majlis Perasmian Program Mengubah Destini Anak India Malaysia di Politeknik Port Dickson, hari ini. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN
*****
PORT DICKSON 24 Feb. - Rakyat berpendapatan rendah sama ada di bandar atau luar bandar akan terpinggir dan ketinggalan daripada arus pembangunan negara sekiranya kerajaan melaksanakan model pembangunan sosialis yang menidakkan prinsip keadilan sosial dan meritokrasi.
Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak berkata, justeru apa sahaja yang menjadi penghalang kepada prinsip ini mesti diubah dan diruntuhkan supaya keadilan sosial menjadi kenyataan dan realiti bersesuaian dengan satu daripada tonggak dalam gagasan 1Malaysia.
Katanya, bersesuaian dengan prinsip itu, maka model pembangunan negara ini bukanlah model apabila kuasa pasaran menentukan segala-galanya.
"Bukan juga model sosialis di mana kita tidak ambil kira soal meritokrasi, soal daya saing. Apa yang perlu kita lakukan ialah supaya prinsip mengiktiraf kecemerlangan dan kebolehan disokong dengan program-program yang boleh menentukan keadilan sosial tanpa menjejaskan prinsip mengiktiraf kebolehan dan kecemerlangan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap melancarkan program Mengubah Destini Anak India Malaysia (MDAIM) 2013, di Politeknik Port Dickson di sini hari ini. - BERNAMA

Isyarat kebangkitan rakyat

BEBERAPA peserta memijak dan menendang patung Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum konvoi 5,000 rakyat negeri Kedah menjelajah bermotosikal bermula di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar, semalam.
*****
ALOR SETAR 23 Feb. - Program jelajah konvoi bermotosikal dan kereta menentang penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kota Setar merupakan isyarat kebangkitan rakyat Kedah menentang keghairahan pakatan pembangkang menggunakan kalimah Allah untuk tujuan politik.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, sambutan menggalakkan yang diterima hari ini juga menunjukkan kesedaran di kalangan anak muda Kedah untuk menyelamatkan diri daripada terus diperintah oleh pakatan pembangkang semakin meningkat.
“Kedah merupakan negeri yang maju walaupun merupakan negeri yang 90 peratus penduduknya orang Melayu. Kedah berada di landasan yang betul sebelum ini, namun pada 2008 keadaan berubah setelah jatuh ke tangan pakatan pembangkang.
“Jadi, hari ini saya kagum dan bangga dengan semangat luar biasa anak-anak Kedah yang turut serta dalam program ini yang menunjukkan sudah wujud kesedaran di kalangan mereka untuk kembali ke landasan yang betul seperti dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum melepaskan kira-kira 5,000 peserta program jelajah konvoi bermotosikal dan kereta menentang penggunaan kalimah Allah di dalam Bible versi bahasa Melayu di hadapan Masjid Zahir di sini hari ini.
Para peserta mula berkumpul di situ selepas solat subuh dan kira-kira pukul 10.30 pagi, kesemua mereka memulakan sesi jelajah ke seluruh negeri Kedah untuk mengumpul tandatangan umat Islam bagi menentang penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
Peserta turut membawa sepanduk yang tertulis Allah just for Muslim , ‘Guan Eng, Karpal Singh, Nik Aziz, Hadi jangan bermain api’, ‘Kalimah Allah Hak Muslim’ dan lain-lain lagi.
Program jelajah itu berakhir kira-kira pukul 1.30 petang dan para peserta disambut oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir di Dewan Putri Lindungan Bulan di Padang Sera, Jerlun.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali serta Pengerusi Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail.
Menurut Ibrahim, program tersebut diharap dapat membawa perubahan positif di kalangan rakyat Kedah kerana setiap peserta membawa bersama mereka borang khas untuk melakukan tinjauan di lokasi yang mereka singgah.
“Ada tiga isu yang akan ditanya kepada orang ramai oleh peserta program iaitu isu pembalakan di Pedu, isu penggunaan kalimah Allah dalam bible versi bahasa Melayu dan isu Madrasah Salihiah yang dirobohkan.
“Peserta program meninjau pendapat orang ramai mengenai tiga isu ini dan kita akan kumpul borang-borang khas ini pada penghujung program di Dewan Orang Ramai di Lindungan Bulan untuk kita kaji," jelasnya.

Bisik-Bisik : Pakatan dayus

PAKATAN pembangkang menerima tamparan apabila Perdana Menteri, Najib Tun Razak menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya yang digerakkan oleh Transparency International (Malaysia).
Ia merupakan satu lagi komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap pelaksanaan agenda negara memastikan pilihan raya yang bersih, adil dan bebas rasuah.
Awang bersyukur kerana Najib lebih berani mengambil komitmen itu. Tetapi anehnya, pembangkang yang berdegar-degar menuntut pilihan raya bersih kononnya, enggan mengambil langkah yang sama.
Menurut Presiden Pas, Hadi Awang, pihaknya tidak akan berbuat demikian dengan alasan yang lebih penting niat di dalam hati dan bukannya menandatangani ikrar tersebut.
Awang geleng kepala. Pembangkang ghairah melakukan demonstrasi jalanan bagi menuntut pilihan raya bersih sehingga kerap menggugat ketenteraman awam.
Sedangkan untuk menandatangani ikrar integriti itu mudah. Hanya yang dayus, tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda serong akan mengelak berbuat demikian.
Maka niat siapa yang boleh diragukan?

Mengharap kematangan politik

Mukadimah
KETIKA ditanya bagaimana perasaan menjadi anak kepada pemimpin terkenal yang juga bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, AHMAD FAUWAZ FADZIL menundukkan kepala seketika dan kemudian menjawab,“ Memang bukan senang memikul tanggungjawab menjadi anak kepada pemimpin seperti beliau. “Ada yang meminta untuk aktif dalam parti tetapi saya lebih senang bersifat berada di tengah-tengah.
“Allahyarham begitu disenangi bukan sahaja oleh kawan tetapi lawan," ujar beliau.
Anak muda berusia 32 tahun lulusan Universiti Al Azhar dalam jurusan Syariah kini aktif sebagai pendakwah bebas.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia MARHAINI KAMARUDDIN dan HAFIZAHRIL HAMID, Ahmad Fauwaz jelas dilihat mempunyai pendirian dan pandangannya sendiri.
Beliau begitu bersemangat membicarakan tentang peranan generasi muda dalam pembangunan masyarakat dan negara. Tanpa ragu juga beliau melontarkan saranan tentang had usia 65 tahun untuk pemimpin berkhidmat selain menggalakkan dialog serta perpaduan di kalangan umat Melayu dan Islam tanpa mengira fahaman politik.
Beliau turut mengulas beberapa isu panas yang berlegar sekitar umat Islam antaranya isu kalimah Allah, negara Islam dan kematangan berpolitik di kalangan masyarakat negara ini.
MINGGUAN: Boleh saudara beri pandangan tentang kedudukan perpaduan masyarakat Malaysia sekarang yang semakin terhimpit dengan agenda politik?
FAUWAZ: Kita memerlukan sebuah masyarakat yang matang dan tidak terlalu terhimpit dengan agenda kosong. Masyarakat perlu lebih terdidik dan mampu menerima dan melahirkan pandangan serta kritikan. Mereka juga perlu menjadi sebuah bangsa yang menghindarkan pergaduhan, mampu bekerjasama dan bertoleransi walaupun berlainan bangsa dan agama. Apa yang kita dapat jika melakukan demonstrasi berulang kali? Jika sekali dua kita boleh terimalah. Jadi penyelesaian terbaik adalah membuka pintu untuk dialog. Kita akan dapat gambaran lebih jelas tentang apa kebaikan dan keburukan kita. Oleh itu barulah kita dapat menjalankan kerjasama yang lebih baik kerana kita lebih jelas tentang kebaikan dan kesilapan kita. Kita boleh lihat dalam kalangan Yahudi mereka bersatu dalam banyak aspek. Malah kita lihat Jerman Barat dan Jerman Timur yang satu ketika bertelingkah sesama mereka kemudiannya bersatu meninggalkan di belakang perseteruan dan kini menjadi sebuah negara yang hebat kedudukannya. Apa yang kita boleh lihat adalah walaupun wujud pertelingkahan antara mereka namun untuk kebaikan ekonomi dan negara, mereka bersatu.
Kita lihat apa yang berlaku di Iraq dan Afghanistan semuanya akibat pengkhianatan dari dalam. Oleh itu jika kita sayangkan negara ini, lebih baik kita bersatu dan bekerjasama sesama Islam demi memegang amanah dalam menjaga negara ini. Mungkin dalam politik mereka ada slogan masing-masing sama ada demi Islam, Melayu atau negara kebajikan. Tetapi apa yang lebih penting adalah kita perlu praktik dan bukan hanya sekadar slogan. Kita perlu melihat perpaduan ini sebagai 'saya sebahagian daripada kamu dan kamu adalah sebahagian daripada saya' atau mungkin lebih baik dan jelas, Pas adalah sebahagian daripada UMNO dan UMNO pula adalah sebahagian daripada Pas. Memang ada yang menolak daripada menerima kenyataan ini dan mengasingkan diri sebagai orang parti itu dan ini. Tapi hakikatnya kita mengucap dua kalimah syahadah yang sama jadi kenapa perlu kita bertelagah? Memang kita boleh berbeza pendapat dan itu adalah suatu keperluan sebenarnya tetapi kita perlu memurnikan tujuan berdialog untuk mencapai persefahaman terbaik untuk semua. Janganlah terlalu mudah dalam menjatuh hukum kerana ia hanya memburukkan keadaan.
Apakah saudara tidak merasakan pandangan ini terlalu ideal kerana hakikatnya keadaan sangat berbeza di luar sana?
FAUWAZ: Bagi saya itu bukan ideal tetapi metodologi bagaimana untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat dan mampu bersaing dengan kuat. Kita perlu menjadi umat yang merancang kerana tanpa perancangan tidak akan ada jalan. Begitu juga jika kita bercakap hanya bersandarkan realiti tetapi tidak ada angan-angan maka kita akan putus harapan. Bagi saya kita perlu melahirkan umat Malaysia yang perlu mempunyai harapan untuk maju ke hadapan. Saya cuma terfikir sampai bila kita hendak melihat rakyat di negara ini bergaduh kerana politik. Saya bukan melihat kerjasama hanya di peringkat ekonomi dan politik sahaja, malah mungkin di pelbagai peringkat termasuk media.
Sebagai contoh kalau pihak Utusan dan Harakah, jika berita yang baik terpaksa ditapis dan diubah apa yang rakyat dapat. Bidang penyiaran ini sebenarnya sangat penting kerana mereka yang menyampaikan maklumat kepada rakyat. Jika kita lihat ini yang berlaku di Mesir kerana peranan media yang mengakibatkan tumbangnya kerajaan yang zalim sebelum ini. Bagi saya apa yang penting adalah rakyat dan pemimpin tidak perlu bimbang jika UMNO atau Pas tumbang dalam pilihan raya. Parti-parti ini hanyalah slogan dan mesin politik tetapi yang lebih bagus adalah kita memerlukan pemimpin yang terbaik dan berkaliber. Jika mana-mana parti kalah sekalipun tetapi apa yang penting adalah pemimpin yang mampu membawa negara dan rakyat ke arah lebih baik. Pemimpin ini pula tidaklah perlu berdendam kepada musuh-musuh politik kerana apabila menjadi pemimpin contohnya UMNO, dia bukan sahaja menjadi pemimpin kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja tetapi juga pemimpin kepada ahli politik parti lain termasuk Pas dan PKR kerana mereka memimpin rakyat dan bukannya sekadar parti. Apa yang penting adalah menjadi adil kepada semua.
Saya melihat mungkin semasa pilihan raya akan berlaku sedikit perseteruan akibat politik. Tetapi apa yang lebih penting adalah selepas pilihan raya. Ini kerana selepas pilihan raya kita perlu mencari satu titik persamaan dan membuang semua pertengkaran dalam pilihan raya serta membuat satu matlamat sesama semua parti politik, apa yang perlu dilakukan sehinggalah pilihan raya akan datang berlangsung demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Kerangka itu perlu wujud kerana kita memerlukan persefahaman apa yang pembangkang boleh lakukan selepas pilihan raya demi membantu kerajaan yang memerintah untuk kesejahteraan rakyat.
Apakah perkara-perkara yang menjadi punca perseteruan dalam kalangan parti politik dan masyarakat di negara ini?
FAUWAZ: Selepas pilihan raya 2008, apakah perkara-perkara yang sering digaduhkan. Tidakkah ia hanya tertumpu kepada isu-isu yang sama sahaja. Satu parti akan kata bahawa parti ini banyak keburukannya, sesat dan sebagainya manakala satu lagi parti akan kata mereka zalim dan sebagainya. Hanya mengulang lagu dan isu yang sama sahaja malah sejak dahulu lagi. Oleh itu penyelesaiannya, minda rakyat perlu diubah. Jika kita lihat ahli UMNO ada berjuta begitu juga Pas. Tetapi kelompok yang akan menentukan adalah mereka yang tidak menyertai mana-mana parti dan bertindak mendiamkan diri. Apa salahnya jika Utusan dan Harakah tidak menjadi ejen kepada parti tertentu dan sebaliknya menjadi ejen kepada masyarakat dalam membuka dan mendidik minda mereka. Tidakkah ini lebih baik kerana minda rakyat akan lebih terbuka dan memahami apa sebenarnya peranan mereka dan tidak lagi dipengaruhi oleh isu-isu sama berulang kali. Sebenarnya kita hanya membesarkan masalah yang kecil yang tidak menyelesaikan apa-apa sejak sekian lama.
Saya melihat politik ada akidah. Saya berpolitik tetapi tidak berparti. Di sini maknanya orang Islam perlu dimatangkan dengan isu-isu sesebuah negara supaya mereka mengambil berat. Tetapi mereka ini tidak wajib masuk Pas atau UMNO. Tetapi yang menjadi masalah jika kita tak masuk Pas, orang Pas akan lihat begini begitu. Jika tak masuk UMNO maka orang UMNO akan melihat semacam. Kita perlu melihat sesuatu di luar batasan politik dan mungkin kita boleh mentarbiah orang politik dengan isu-isu kenegaraan dan pembentukan tamadun. Kita terlalu bertekak dengan politik tetapi hakikatnya kita semakin kurang kemampuan bersaing dengan negara-negara jiran. Sebagai rakyat kita bukan bersaing melalui UMNO atau Pas tetapi dalam skop yang lebih besar iaitu kedudukan negara di pentas dunia yang memerlukan kita bersaing dengan China, Amerika Syarikat, Eropah dan lain-lain. Kita perlu bersikap lebih terbuka serta memberi peluang untuk rakyat terlibat lebih jauh termasuk dalam memberi pandangan dan kritikan terhadap kerajaan dan parti. Tetapi apa yang penting adalah memberi kritikan dan pandangan yang jelas dan membina, bukan yang mengikut hawa nafsu. Selain itu, kita perlu memainkan peranan supaya adab-adab dalam pilihan raya itu lebih baik. Ini jika kita lihat saling memaki antara satu sama lain. Tidakkah lebih baik jika sesama mereka yang berkempen ini saling menegur dengan baik malah boleh diajak makan bersama.
Jadi kematangan berpolitik perlu menjadi asas dalam dunia politik sekarang?
FAUWAZ: Ya, inilah masanya bagi rakyat Malaysia lebih terlibat dalam menjadikan diri kita lebih matang dalam berpolitik. Kita perlu berpegang kepada ilmu, iman dan jasmani dalam menjadikan diri kita berpolitik dengan matang. Saya pernah mencadangkan tetapi tidak mendapat persetujuan pihak-pihak tertentu supaya kita mengehadkan umur dalam politik. Sebagai contoh Presiden Parti apabila cukup usia 65 tahun perlu berundur dan beri peluang kepada generasi muda. Begitu juga seorang Perdana Menteri apabila mencecah umur itu maka sudah sampai masa untuk bersara. Ini kerana perubahan sesebuah negara tidak berlaku kepada mereka yang lebih berusia.
Sejarah banyak dicatatkan oleh mereka yang berusia 40-an. Oleh itu, kita mesti mengurangkan mereka yang berusia ini daripada aktif dalam politik. Mungkin apabila sudah mencecah usia 65 tahun mereka bersara tetapi boleh menjadi penasihat. Kita tidak boleh membiarkan politik ini menjadi politik yang usang. Kalau rumah pun kalau sampai masa kena cat baru dan sebagainya begitu juga kereta bila tiba masa kena tukar baru. Atas faktor umur juga kita perlu menghormati semua pemimpin kita tidak kira daripada parti mana sekalipun kerana masing-masing ada sumbangan mereka.
Kenapa agaknya perkara ini seolah-olah sukar dilakukan?
FAUWAZ: Saya melihat masalah di Malaysia ini, tidak ada keyakinan terhadap pelapis. Sebenarnya ramai pelapis tetapi tidak diberi peluang atas alasan belum sampai masanya kerana belum matang. Bagi saya matang bukan atas faktor umur tetapi atas natijah. Jadi adalah perlu apabila tiba masanya, sudah sampai waktu untuk berundur maka mereka perlu lakukannya. Malah dalam fikah pun ada hukum apabila sudah sampai usia 65 tahun, mereka ada hukum khas yang tidak boleh dilakukan kepada orang muda seperti jika sudah nyanyuk mereka boleh buat solat jamak, kalau baru memeluk Islam mereka tidak perlu berkhatan dan sebagainya. Sebaik-baiknya selepas pilihan raya, kita tidak lagi perlu tertumpu kepada mahu menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi biarlah kita menyokong agenda negara, siapa yang mampu memimpin negara dengan baik kita sokong.
Kita tidak mahu lagi parti yang taksub kepada sesiapa. Sekarang ini bukan zaman menyokong imam-imam yang berbentuk individu tetapi zaman untuk umat itu sendiri. Kita bukan mahu menyokong seseorang kerana individu atau populariti tetapi orang yang ada kekuatan dalam pemerintahan. Mungkin seseorang yang popular boleh membantu ketika berceramah tetapi belum tentu mampu memimpin negara. Sebagai contoh Presiden Mesir sekarang Muhammad Mursi bukanlah calon popular tetapi beliau mempunyai agenda yang baik untuk negara. Kini sudah sampai masanya kita melihat kepada fikah pembangunan tidak kira siapapun diri kita sebagai ulama, wartawan dan sebagainya.
Bagaimana pandangan saudara tentang isu negara Islam?
FAUWAZ: Saya sebenarnya mengharapkan dalam perjalanan pilihan raya kali ini tidak terlalu dibincangkan isu-isu agama. Tetapi kita perlu melihat kepada siapa yang lebih mampu memberikan keamanan dan juga kebaikan kepada rakyat. Kalau kita lihat slogan Pas mereka berpegang kepada negara kebajikan tetapi orang kata mereka dah tinggalkan slogan negara Islam. Ini bukan isu meninggalkan slogan negara Islam, mereka bukan tinggalkan Islam tetapi mengubah pendekatan. Walaupun UMNO juga menggunakan slogan kebajikan tetapi apa salahnya mereka lawan. Pada pandangan peribadi saya tidak perlu lagi kepada slogan negara Islam kerana negara ini adalah negara Islam. Kalau tak, kita nak kata negara ini negara apa?
Masyarakat menerima hakikat negara ini negara Islam tetapi Karpal Singh tidak?
FAUWAZ: Karpal Singh memegang kepada kenyataan Tunku Abdul Rahman dan beberapa sudut Perlembagaan yang mereka lihat sebagai sekular. Itu dari sudut hukum undang-undang manusia. Hakikatnya dalam sudut fikah Islam walaupun Perlembagaan ditukar kepada negara kafir sekalipun, jika pemimpinnya ialah Islam dan majoriti rakyatnya Islam, ia tidak terkeluar dari negara Islam. Seperti contoh seseorang itu tidak sembahyang, puasa dan sebagainya tetapi masih mengucap kalimah syahadah, hukumnya dia masih Islam. Tapi janganlah menukar negara ini kepada negara sekular. Jika pemimpinnya sekular itu tidak ada masalah kerana ia individu tetapi jika Malaysia adalah negara sekular ia akan menimbulkan masalah kerana kesannya amat besar. Ini kerana ia bukan lagi kewajipan kepada kita mengembalikan Islam di negara ini.
Kalau saya kata seseorang itu kafir atau murtad maka tidak ada kewajipan untuk dia sembahyang, menunaikan haji atau puasa. Tetapi jika dia Islam maka dia kena puasa, sembahyang dan sebagainya. Begitu juga dalam konteks sebuah negara. Namun apa yang dilakukan oleh Karpal itu hanya memburukkan keadaan. Beliau mungkin handal dalam bidang undang-undang sivil tetapi bukan syariah. Jadi kenapa kita perlu mengambil pendapat Karpal yang mengatakan negara ini adalah negara sekular. Kenapa tidak ambil pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie yang mengatakan mana-mana negara Islam yang negaranya dipimpin oleh orang Islam, majoriti rakyatnya adalah Islam dan syiarnya masih kuat malah kalau tak laksana hudud pun tidak mengapa, maka negara itu adalah negara Islam.
Dari segi hukum jelas tetapi kenapa Karpal Singh masih membangkitkan isu negara Islam?
FAUWAZ: Bagi saya dia seorang yang ekstrem. Dalam Islam orang yang ekstrem pun ada masalah malah ulama yang ekstrem pun akan menjadi masalah. Kemusykilan akan timbul apabila ada orang yang ekstrem kerana mereka tidak mahu menerima pandangan yang berbeza selain tidak mengiktiraf pandangan agama-agama lain. Saya melihat orang seperti Karpal ini mempunyai ilmu yang hebat tetapi bermasalah dari sudut dalaman. Kalau tidak mahu menerima diam sahajalah tetapi kenapa tidak mahu menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam? Jadi ubat paling baik dalam berhadapan dengan orang seperti ini adalah dengan berdialog dan bukan mengutuk begitu sahaja. Golongan ekstrem ditolak oleh masyarakat termasuklah UMNO dan Pas dan kita memerlukan mereka yang berpegang kepada Wasatiyah Muktadin, iaitu mereka yang menjunjung dialog. Saya melihat di Malaysia, dialog adalah sesuatu yang sangat kurang.
Bagaimana dengan usaha sesetengah pihak cuba membenarkan orang Melayu Islam menukar agama?
FAUWAZ: Isu ini adalah satu perkara yang besar dan tidak hanya dibincangkan di Malaysia. Tetapi ia tidak dibincangkan oleh ulama-ulama kita sebaliknya lebih tertumpu kepada cerdik pandai sahaja. Mereka ini bercakap bersandarkan logik sahaja. Perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih jelas, apakah pertukaran agama ini merupakan hak individu. Jika ia hak individu maka mereka boleh menukar agama tetapi kerajaan juga mempunyai hak iaitu menghukum orang yang murtad. Mungkin kita tidak boleh menghalang mereka untuk murtad tetapi kerajaan boleh menghukum dengan hukuman yang sesuai sama seperti pengedar dadah, penjara dan sebagainya. Apa yang paling penting dilakukan, kita perlu berdialog dan memujuk mereka kembali kepada Islam. Kita tidak boleh membiarkan mereka ini murtad tetapi apakah kita boleh menghalang, perkara ini yang masih menjadi persoalan.
Mungkin kita boleh menghalang tetapi apakah di hati mereka ini benar-benar mahu kembali kepada Islam? Kita mungkin tidak boleh menghalang tetapi yang jelas kita boleh menghukum mereka ini. Mereka yang murtad ini pun terbahagi kepada dua iaitu pertama, murtad secara diam. Kita pun tidak boleh buat apa kerana kita pun tidak tahu mereka murtad. Tetapi yang kedua ini menunjukkan diri mereka murtad dan kita boleh menghukum mereka kerana memecahbelahkan umat Islam. Ini bukan jawapan saya tetapi para ulama perlu berbincang tentang hukum yang jelas supaya menjadi panduan kepada masyarakat. Saya sendiri masih mengkaji kerana isu ini sangat besar dan kefahaman pun belum mencapai kepada memberi jawapan.
Bagaimana pula dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam?
FAUWAZ: Pandangan saya untuk orang Kristian menyebut kalimah Allah tidak menjadi masalah. Tetapi jika mereka mahu mengunakan kalimah itu di dalam bible maka ia menjadi masalah kerana boleh menimbulkan salah faham terhadap agama. Malah dalam hukum fikah, jika orang kafir menggunakan sebutan-sebutan yang menyakitkan hati orang Islam, ia tidak dibenarkan. Mungkin Lim Guan Eng bercakap supaya dibenarkan isu itu adalah hak dia tetapi kita juga ada hak untuk menghalang sebagai orang Islam. Tetapi tidaklah perlu sehingga menimbulkan provokasi dan sebagainya kerana kita dalam sebuah negara yang tinggal bersama orang bukan Islam. Bagi saya kita perlu berbicara dengan menggunakan kebijaksanaan dan keikhlasan hati. Bagi Guan Eng yang bukan orang Islam, dia tidak ada pengetahuan tentang haram dan halal.
Tetapi kita perlu menjelaskan kepada mereka hak kita untuk menghalang. Konsep Kristian ini ia sentiasa berubah. Jika mereka tetap mahu menggunakan kalimah Allah mungkin boleh digunakan di dalam gereja dan kita pun tak tahu ia digunakan. Tetapi jangan sampai ia dibenar digunakan di dalam bible kerana ia menyakiti hati orang Islam selain kita perlu menjaga keamanan negara ini. Mereka perlu menghormati agama Islam dan di sinilah kita perlu memahami toleransi agama. Kita perlu faham bahawa kita perlu saling menghormati sesama penganut pelbagai agama kerana kita tidak mahu negara ini berpecah-belah dan menimbulkan perbalahan hanya kerana sesetengah pihak menuntut sesuatu yang di luar kebiasaan.

Enjin pertumbuhan negara

Kiri:AZRULNIZAM, Kanan:KHAIRUL ANWAR 
*****
Mukadimah
SISTEM perbankan Islam di negara ini sejak diperkenalkan pada 1983 sudah melalui fasa pembangunan dan kejayaan yang begitu membanggakan. Sebagai antara negara terawal yang menggunakan sistem perbankan Islam, sebagai rakyat Malaysia kita perlu berbangga dengan kejayaan anak-anak tempatan yang turut sama terlibat sebagai pemangkin sistem ini yang kini diterima di serata dunia.
Dalam wawancara bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Al Rajhi, DATUK AZRULNIZAM ABDUL AZIZ dan Pengerusi Khairul Group, DATUK KHAIRUL ANWAR RAHMAT kedua-dua mereka bersependapat bahawa sudah sampai masanya untuk sistem perbankan Islam bukan lagi sekadar menjadi pemangkin malah mampu pergi jauh untuk menjadi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, kedua-dua mereka menghuraikan lebih lanjut mengenai kekangan dan cabaran serta masa depan sistem perbankan Islam di negara ini.
BAGAIMANA Datuk melihat perkembangan perbankan Islam di negara ini?
AZRULNIZAM: Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara pertama yang memperkenalkan sistem perbankan Islam di Asia Tenggara dan diperkenalkan di Malaysia dengan enakmen Akta Perbankan Islam 1983 dan Akta Takaful 1984. Pada 1983 terdapat hanya satu bank iaitu Bank Islam dengan jumlah sumbangan kurang dari 1 peratus. Bagaimanapun sehingga penghujung 2012, perbankan Islam telah berkembang pesat dengan jumlah aset 24.2 peratus (RM469.5 bilion) daripada jumlah keseluruhan aset perbankan di Malaysia.
Bersandarkan kepada keadaan ini pihak yang mengawalselia seperti Bank Negara telah menyediakan pelbagai inisiatif yang berterusan atas kapasiti sebagai badan penyeliaan untuk memperkukuhkan lagi rangka kerja tadbir urus. Selain itu pengukuhan tadbir urus dan pengawalseliaan melibatkan soal kecukupan modal, kepatuhan kepada syariah dan rangka kerja kecairan dan pengurusan risiko yang cekap cukup membantu dalam memacu industri sehingga ke tahap sekarang
Ada pihak yang melihat keadaan perbankan Islam seolah-olah sudah mencapai zon selesa. Namun sebenarnya apakah bentuk cabaran yang menanti dalam industri ini?
KHAIRUL ANWAR: Memang ada yang beranggapan sedemikian namun hakikatnya perbankan Islam semakin kompetitif mengikut perubahan zaman dan semakin diterima oleh masyarakat di seluruh dunia. Bagaimanapun seiring dengan kehendak semasa beberapa masalah dan cabaran timbul mengakibatkan kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi mengukuhkan kedudukan industri ini di dalam negara selain memartabatkan kedudukan perbankan Islam di mata dunia. Antara masalah dan cabaran yang perlu ditangani adalah dalam soal pengurusan kecairan dalam kewangan Islam. Ini kerana bank-bank Islam menghadapi cabaran dalam menguruskan ketidakpadanan aset dan liabiliti kerana hampir tiada produk patuh - syariah jangka pendek dipasaran wang dan pasaran repo Islam di peringkat global.
Selain itu, produk kewangan Islam juga masih kekurangan volume di pasaran mungkin boleh memberi sedikit kesan berbanding sistem konvensional. Satu lagi cabaran yang perlu ditempuhi melibatkan instrumen pelaburan yang agak terhad. Ini kerana instrumen pelaburan yang patuh syariah masih agak terhad berbanding konvensional. Dan satu lagi cabaran yang tidak boleh dipinggirkan adalah persepsi masyarakat bahawa perbankan Islam hanya untuk orang Islam. Persepsi ini perlu dikikis kerana tidak wujud sebarang halangan untuk mereka yang bukan Islam untuk terlibat dalam perbankan Islam. Jika persepsi ini berjaya dikekang sudah tentu masa depan perbankan Islam akan lebih berkembang selain mampu menjanjikan pulangan yang lebih lumayan untuk semua golongan masyarakat tanpa sebarang perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam.
Mungkin ada cabaran lain yang perlu dihadapi untuk mengekalkan momentum pertumbuhan perbankan Islam?
AZRULNIZAM: Satu perkara yang saya mahu tekankan adalah jumlah tenaga kerja pakar yang terhad memandangkan industri ini semakin berkembang tetapi pengembangan tersebut tidak seiring dengan keperluan tenaga kerja. Wujud keperluan mendapatkan tenaga kerja pakar yang mencukupi kerana permintaan yang tinggi bukan sahaja di peringkat domestik malah antarabangsa. Saya juga mahu menyarankan supaya penyelidikan tentang kewangan Islam perlu dijalankan secara konsisten dan berterusan, namun kita juga berhadapan masalah kerana pakar kaji selidik dalam industri ini juga terhad. Ini penting dalam menghasilkan produk yang kompetitif dan inovatif.
Sebagai cadangan penyelesaian saya ingin mengemukakan beberapa idea untuk menangani masalah ini. Pertamanya adalah sangat penting untuk menggalakkan pelaburan dalam pembangunan modal insan untuk menghasilkan tenaga kerja dan kepakaran yang mencukupi kerana itu adalah kunci kepada pembangunan hab kewangan Islam di Malaysia. Usaha BNM menubuhkan International Center for Education in Islamic Finance (INCEIF) pada tahun 2006 adalah satu langkah yang sangat dialu-alukan. Selain itu penubuhan International Syariah Research Academy (ISRA) untuk menjalankan penyelidikan gunaan syariah juga amat dialu-alukan.
Satu lagi cabaran yang perlu diambil serius melibatkan persaingan kompetitif dari segi kadar keuntungan, produk dan perkhidmatan. Antara cabaran yang kami hadapi adalah dalam mendapatkan kos dana yang rendah. Selain itu timbul persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa kadar keuntungan perbankan Islam adalah lebih tinggi daripada konvensional. Ini turut menimbulkan persaingan sengit bukan sahaja daripada sesama bank Islam malah dengan bank-bank konvensional di Malaysia dari segi produk dan perkhidmatan.
Dari sudut persaingan antara perbankan Islam dan juga sistem konvensional bagaimana Datuk melihat masa depan sistem kewangan Islam?
KHAIRUL ANWAR:Saya melihat sistem perbankan Islam mempunyai masa depan yang positif namun memerlukan pelan strategik yang ampuh. Berdasarkan data yang dikeluarkan PEMANDU dalam soal sumbangan perkhidmatan kewangan kepada negara, sistem kewangan Islam dijangka menyumbang Kenaikan Pendapatan Negara Kasar pada tahun 2020 kepada RM180.2 bilion berbanding RM121.5 bilion). Jumlah peluang pekerjaan pula meningkat kepada 275,400. Selain itu pasaran kewangan Islam dijangka akan tumbuh sebanyak 12 hingga 15 peratus setahun. Lebih membanggakan Malaysia mendominasi 74 peratus penerbitan sukuk global setakat September 2012, dan akan terus menerajui arena pasaran modal.
Sebagai peneraju perbankan Islam bertaraf antarabangsa, bagaimana Datuk melihat soal masa depan?
AZRULNIZAM: Saya melihat perlunya pengantarabangsaan kewangan Islam (Islamic Internationalization) dilakukan. Ini kerana dengan meningkatkan kepelbagaian pemain dalam bidang kewangan Islam, ia mampu menyumbang kepada pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan di Malaysia. Ia turut melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyokong pertumbuhan industri dana Islam (Islamic fund) dan pengurusan kekayaan (wealth management). Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian adalah dengan membantu menyokong pembangunan Islamic REITS and ETFs serta mengembangkan instrumen lindung nilai Islam (Islamic Hedging Instrument) yang diterimapakai di peringkat global. Selain itu dengan menggalakkan penggunaan dokumentasi dan praktis yang standard serta memudahkan penubuhan penyediaan perkhidmatan professional di Malaysia ia banyak membantu dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang komprehensif.
Pihak yang terlibat juga perlu membangunkan produk baru untuk memudahkan urusniaga repo Islam dan instrument captive. Selain itu kita juga perlu mengiktirafkan instrumen mata wang asing (yang layak) sebagai aset cair dan cagaran (yang layak) untuk sokongan kecairan.
Saya juga mahu memberi penekanan supaya perlu memberi fokus kepada 3Cs, Customer (Pelanggan), Credit (Kredit) dan Compliance (Kepatuhan).
Mungkin Datuk melihat pencapaian sistem ekonomi Islam mampu menjadi lebih daripada pemangkin?
KHAIRUL ANWAR: Selepas lebih tiga dekad, industri kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai satu komponen penting dan berdaya saing dalam keseluruhan sistem kewangan yang beroperasi, selari dengan sistem kewangan konvensional. Sistem kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai satu sistem kewangan yang komprehensif dan pelbagai dari segi institusi, pasaran dan pemain. Sistem kewangan Islam terdiri daripada institusi perbankan Islam, industri takaful, institusi bukan perbankan dan wang dan pasaran modal Islam.
Infrastruktur kewangan sokongan termasuk rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang teguh yang diperkukuh oleh rangka kerja perundangan dan syariah, sistem pembayaran dan penyelesaian dan mekanisme bagi operasi mudah tunai oleh Bank Negara. Aset sistem perbankan Islam kini 24.2 peratus daripada jumlah aset pasaran dan Malaysia adalah peneraju sukuk di peringkat antarabangsa dengan jumlah tertunggak berjumlah USD165 bilion atau dua pertiga daripada jumlah tertunggak sukuk global. Bilangan dana unit amanah berasaskan syariah juga telah meningkat dimana lebih daripada 90 peratus daripada saham tersenarai Malaysia adalah kaunter yang diluluskan syariah.
Apakah Datuk yakin Malaysia akan terus menjadi peneraju perbankan Islam?
AZRULNIZAM: Saya yakin Malaysia akan terus menjadi peneraju dalam Perbankan Islam kerana pertamanya, struktur undang-undang yang mampan dan holistik melalui Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang baharu. Keduanya dasar pelaburan mesra yang diamalkan melalui liberalisasi peraturan pertukaran asing serta kelonggaran peraturan ekuiti pemilikan asing.
Selain itu pengenalan insentif cukai yang menarik untuk perniagaan dan modal insan turut memberi kesan yang begitu menggalakkan. Kita juga mempunyai struktur tadbir urus syariah yang maju selain lokasi Malaysia yang strategik, membantu menghubungkan antara ASEAN dan Timur Tengah untuk memudahkan aliran dana. Selain itu pasaran Malaysia yang dinamik serta mempunyai infrastruktur yang kukuh dan mantap termasuk mekanisme kawal selia yang baik dibantu pembangunan modal insan yang holistik mampu membekalkan negara ini ketahanan yang kukuh untuk terus bertahan bukan sahaja sekadar pemangkin malah bertindak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara bagi membantu mencapai Wawasan 2020.

Pembangkang tidak akan tandatangan Ikrar Integriti Pilihan Raya

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) percaya parti pembangkang tidak akan berani menyahut cabaran Perdana Menteri untuk menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya yang digerakkan Transparency International (Malaysia) (TI-M) kerana mereka tidak pernah mengamalkan prinsip integriti dalam agenda perjuangan masing-masing.
Beliau berkata, tindakan pakatan pembangkang menganjurkan demonstrasi Bersih bagi menuntut pilihan raya bersih, adil dan bebas rasuah hanyalah satu wayang untuk mengaburi mata rakyat.
Sambil memuji komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil pendirian serius dalam memerangi rasuah, beliau berkata, langkah tersebut cuba dipersendakan pembangkang bagi menutup ketidakmampuan mereka.
''Apa yang kerajaan buat (tandatangan) itu merupakan prinsip asas demokrasi yang selama ini dilaungkan pembangkang, tetapi mereka tidak buat.
''Pakatan pembangkang berani cakap sahaja kerana kerja mereka sejak dulu hanya untuk mencari salah kerajaan.
''Mereka sebenarnya tahu sistem pilihan raya negara sudah adil dan bersih sehingga membolehkan mereka menawan empat negeri, cuma tidak mahu mengakui perkara itu kerana keangkuhan,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mencabar pembangkang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bagi membuktikan mereka benar-benar komited dalam agenda pilihan raya yang bersih, adil dan bebas rasuah.
Keengganan berbuat demikian, Pengerusi BN itu berkata, menunjukkan pembangkang 'cakap tidak serupa bikin' kerana selama ini merekalah yang menonjolkan diri sebagai jaguh dalam hal sedemikian.
Walau bagaimanapun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berbuat demikian dengan alasan apa yang lebih penting ialah niat di dalam hati dan bukannya menandatangani ikrar.
Dalam pada itu, Tunku Aziz berkata, pakatan pembangkang lebih suka mencari masalah dan mencetuskan huru-hara dalam negara supaya kerajaan dilihat lemah dan menindas rakyat.
Katanya, langkah bijak kerajaan mendahului usaha tersebut sekali gus bakal menguburkan harapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat pelbagai tuduhan terhadap sistem pilihan raya negara dan mengugut akan mengadakan demonstrasi jika mereka kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

'Perang' PKR-DAP dedah keburukan, ketamakan kuasa

MUAR 24 Feb. - Usaha pembangkang untuk meruntuhkan kubu Barisan Nasional (BN) di Johor memakan diri apabila sikap buruk pemimpin mereka yang gila kuasa dan mengutamakan kepentingan diri terdedah melalui 'perang' antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP negeri.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, konflik PKR-DAP itu memperlihatkan sisi sebenar kedua-dua parti tersebut dan perilaku tersebut membayangkan negeri ini akan berada di ambang kehancuran jika ditadbir oleh pembangkang.
"Apa yang berlaku di Johor kerana masing-masing terlalu angkuh sehingga berebut kerusi. PKR-DAP tidak cerita pasal khidmat yang boleh diberikan kepada rakyat tapi cerita kerusi mana boleh menang.
"Ini berbeza dengan BN yang tidak seperti itu. Kenapa tidak berebut di kerusi lain di Johor seperti di Parlimen Tenggara atau Kota Tinggi? Kenapa mesti berebut di Parlimen Bakri atau Gelang Patah? Ini menunjukkan mereka hanya fikir tentang diri sahaja dan fikir pasal rakyat di Gelang Patah atau Bakri," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan Jamboree Basikal Bukit Parit Jawa di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Muar, di sini hari ini.
Perang PKR-DAP berpunca daripada perebutan kerusi antara dua parti pembangkang itu sehingga Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau meminta supaya Datuk Chua Jui Meng dilucutkan jawatan Pengerusi PKR Johor.
Cheng Hau mendakwa, Jui Meng sedang melancarkan kempen secara rahsia terhadap DAP di negeri ini dan salah satu daripada kerusi yang menjadi 'rebutan' adalah Parlimen Gelang Patah yang kini disandang Tan Ah Heng dari BN. - UTUSAN

Undi pembangkang bawa kerosakan akidah umat Islam

NAJIB Tun Razak bersarapan pagi bersama orang ramai semasa mengunjungi Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. 
*****
KUALA TERENGGANU 23 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan setiap satu undi yang diberikan kepada pakatan pembangkang hanya akan membawa kepada kerosakan akidah, perpecahan dan penindasan terhadap umat Islam.
Ketika mengingatkan demikian beliau berkata, dengan sikap para pemimpin pakatan pembangkang dan hala tuju parti yang mereka bawa, inilah gambaran masa depan yang bakal wujud jika rakyat memberi kepercayaan kepada pembangkang.
Justeru katanya, rakyat harus yakin bahawa pilihan untuk mereka hanyalah Barisan Nasional (BN) untuk menjamin kedudukan Islam, pembelaan nasib bangsa dan kesejahteraan negara.
"Saya mahu simpulkan bahawa satu undi untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk satu undi membawa kerosakan akidah kepada negara, satu undi untuk Pas pula kepada satu undi perpecahan umat Islam dan satu undi untuk DAP adalah satu undi kepada penindasan terhadap umat Islam seluruhnya,'' tegas beliau.
Najib berkata demikian ketika berucap melancarkan Karnival Janji Ditepati di Dataran Shahbandar di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, jika sesebuah kerajaan mahu meningkatkan syiar Islam dan umatnya membangun, mereka tidak boleh hanya bercakap sahaja tetapi perlu merancang serta berbuat sesuatu untuk melaksanakan apa yang mereka katakan.
"Kita juga tidak lupa lagi, apa amanat yang disampaikan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang belum ditarik balik," katanya.
Najib berkata, hanya undi yang diberikan kepada BN dapat memastikan syiar Islam terus bersinar, akidah dan kesucian Islam dipertahankan manakala negara dapat dikekalkan.
Beliau menarik perhatian, ketika DAP dilihat sering memperlekehkan Islam dan umat Islam, Pas dan PKR pula tidak mampu berbuat apa-apa untuk membela Islam.
"Apabila DAP buat kenyataan menyinggung orang Islam, apa yang Pas dan PKR buat? Mereka melutut kepada pemimpin DAP, sehinggakan Datuk Nik Abdul Aziz (Mursyisdul Am Pas) sambut hari jadi pun di rumah pemimpin DAP.
''Di mana maruah dan prinsip kalau mereka boleh pergi kepada orang yang paling tidak setuju dengan agama Islam.
"Kita kena ingat, bukan politik, kerusi atau undi yang paling tinggi tempatnya tetapi agama Islam, jadi, jawablah adakah Anwar Ibrahim atau Abdul Hadi boleh jadi Perdana Menteri," jelasnya.

Mahfuz didakwa dalang desak Azizan berundur

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar didakwa menjadi dalang kepada usaha mendesak Datuk Seri Azizan Abdul Razak berundur sebagai Menteri Besar Kedah dan Pesuruhjaya Pas negeri
Menurut blog badutrakyat.blogspot.com, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena didakwa melakukan kempen secara halus bagi membolehkannya menduduki kerusi Menteri Besar menggantikan Azizan.
Kata blog itu lagi, difahamkan Mahfuz 'berkongsi' dengan Exco Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi bagi menggerakkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mendesak Azizan supaya berundur dan melepaskan dua jawatannya itu sekali gus.
''Phahrolrazi walaubagaimanapun menafikan penglibatannya dan meminta agar mereka yang tidak berpuas hati menggunakan saluran yang betul,'' kata blog tersebut dalam entri terbaharunya bertajuk 'Kantoi!!! rupanya Mahfuz Omar dalang desak Azizan berundur dari jawatan Menteri Besar?' yang di siarkan hari ini.
Pada Rabu lalu, kepimpinan Azizan Abdul Razak diberitakan berhadapan dengan satu lagi krisis apabila 11 daripada 15 DUN Pas kawasan di Kedah dikatakan mahu beliau melepaskan jawatan termasuk sebagai Pesuruhjaya Pas negeri.
Desakan itu dibuat kerana mereka mendakwa Azizan gagal menyelesaikan pelbagai isu di peringkat negeri dan parti sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati ahli akar umbi Pas.
Dalam pada itu, Mahfuz ketika dihubungi Mingguan Malaysia bagi mendapatkan ulasan berhubung dakwaan itu berkata, diri beliau sering menjadi bahan cerita di blog-blog tempatan.
Atas sebab itu Mahfuz berkata, pelbagai kisah tentangnya terdapat di blog-blog, antaranya dakwaan menjadi dalang (isu desak Azizan letak jawatan), selain dikatakan menjadi calon Menteri Besar.
''Kalau hendak ikut blog macam-macam mereka kata tentang saya.'' katanya.
Sementara itu, dalam entri yang sama blog tersebut turut mendakwa, tindakan 11 DUN di Kedah mendesak Azizan meletak jawatan bukan kerana gagal menangani isu pembalakan, membawa masuk pelaburan, mengawal pusat-pusat hiburan atau gagal menangani masalah Kolej Universiti Insaniah (Kuin).
Malah, kata blog tersebut, Pas sentiasa membela Azizan dalam semua isu-isu tersebut.
''(Sebaliknya) Yang menjadi masalah bagi Pas dan menyebabkan mereka mendesaknya berundur ialah sikap Azizan yang 'mesra' UMNO dan Barisan Nasional (BN).
''Azizan telah lama dipandang serong oleh puak-puak Pas di Kedah kerana menurut mereka, beliau lebih UMNO daripada UMNO,'' kata blog berkenaan.
Kata blog itu lagi, pendekatan Azizan yang terbuka dengan UMNO, sehingga sanggup memakai baju 1Malaysia for Youth (1M4U) iaitu membawa lambang 1Malaysia yang menjadi slogan kerajaan BN benar-benar menyakitkan hati Pas Kedah.
''Akibatnya, Azizan dikritik hebat oleh Pas dan disindir agar menyertai UMNO sahaja. Daripada situlah penentangan terhadap Azizan semakin memuncak dan digunakan sepenuhnya oleh pihak yang menginginkan jawatannya dengan mengasak Azizan agar berundur,'' ujar blog itu lagi.

Pas diminta henti keluarkan fatwa politik - Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi mengagihkan kuih kepada orang ramai yang beratur bagi mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Parit Empat, Sungai Sumun, Bagon Datoh, Perak, semalam. - BERNAMA 
*****
BAGAN DATOH 23 Feb. - Pemimpin Pas diminta berhenti mengeluarkan 'fatwa' politik yang tidak bersandarkan nas al-Quran dan hadis termasuk dalam soal pemberian bantuan kerajaan kepada rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin bergelar ulama tidak sepatutnya mengeluarkan 'fatwa' politik sesuka hati, apatah lagi jika akhirnya menimbulkan penghinaan.
''Jika bersandarkan kedua-dua nas itu pun, walaupun terjemahannya betul, tetapi tafsirannya sengaja diselewengkan termasuklah dalam soal pemberian bantuan kerajaan kepada rakyat yang diumpamakan seperti manusia dengan binatang. Itu satu penghinaan.
''Ulama seharusnya menasihati, bukannya menghina dan menghukum. Jika mereka (Pas) tidak dapat melakukannya ketika menjadi ketua di negeri yang diperintah, jangan pula anggap orang yang memberi dan menerima sama seperti binatang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Transformasi Ekonomi Bumiputera dan Patriotisme Bangsa yang turut dihadiri Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik di sini hari ini.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan menyamakan pemberian bantuan kewangan oleh Kerajaan Pusat sebagai memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu.
Ahmad Zahid berkata, adalah lebih baik jika ulama dalam Pas mengajar dan menasihati penerima supaya bersyukur dan berterima kasih atas pemberian rezeki melalui pihak yang dibukakan hati menghulurkan bantuan.
''Tetapi jika konsep berterima kasih tidak dapat diberi, kita minta rakyat Kelantan juga jangan pernah berterima kasih kepada kerajaan Kelantan selama 23 tahun tidak memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya," ujar beliau.