28 Mei 2013

PRU-13: Pembangkang didesak kemuka petisyen bantahan

KUALA LUMPUR 26 Mei - Pembangkang didesak supaya mengemukakan petisyen kepada mahkamah, jika tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ketua Wira Perkasa Wilayah Persekutuan, Amir Atar berkata, keputusan pilihan raya tersebut telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sekarang merupakan waktu yang sesuai bagi mereka membuktikan kebenaran di atas segala tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan melalui saluran rasmi.
Katanya, hal ini penting bagi menjamin dan menjaga nama baik sistem demokrasi negara.
"Gunakan mahkamah dan sudah-sudahlah menyalak tak tentu pasal, kata itu dan ini kepada kerajaan dan akhirnya mereka hanya mewakili suara minoriti rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Akhbar hari ini melaporkan dakwaan pembangkang bahawa Barisan Nasional (BN) telah mencuri kemenangan mereka adalah satu kepalsuan kerana BN tidak pernah melakukan penipuan pada PRU-13 lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun pembangkang sering mendakwa berlaku penipuan di dalam PRU-13, mereka gagal menunjukkan bukti, malahan tidak membuat aduan rasmi kepada SPR.
Semalam, Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria juga meminta hakim di seluruh negara supaya mendengar dan menyelesaikan setiap petisyen yang dikemukakan oleh parti politik yang bertanding pada PRU-13 dalam tempoh enam bulan daripada tarikh difailkan.
Sementara itu, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader menyifatkan kegagalan pembangkang mengemukakan bantahan rasmi menunjukkan mereka hanya bersandiwara selama ini.
"Sudah 21 hari pilihan raya berlangsung, macam-macam kita dengar, isu pengundi hantu, black out, kalau ada bukti dah lama mereka bawa ke depan.
"Tindakan pembangkang seolah-olah nak ganggu keamanan negara, sengaja alih perhatian rakyat kata kerajaan tak jujur tapi mana buktinya," katanya lagi.
Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Perak pula mahu pembangkang bersikap jujur di atas kenyataan yang dilemparkan mengenai PRU-13 dengan mengeluarkan satu petisyen khas dan lengkap dengan hujah-hujah berdasarkan fakta.
Pengerusinya, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, hanya melalui cara tersebut mampu mempertahankan integriti mereka sebagai pembangkang yang bertanggungjawab.
"Saya mewakili kesemua NGO di negara ini meminta pembangkang mengeluarkan petisyen bagi mencabar keputusan pilihan raya yang dimenangi oleh BN.
"Jika mereka gagal dan terus berdegil, pembangkang harus memohon maaf kepada kerajaan dan juga rakyat Malaysia di atas kesalahan mereka," katanya.

26 Mei 2013

BN perlu berani lakukan pembaharuan, perubahan untuk kekal relevan: Najib

PEKAN: Barisan Nasional (BN) perlu berani melakukan lebih banyak pembaharuan dan perubahan supaya menjadi parti politik yang relevan pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin dan wakil rakyatnya pula bersikap terbuka dan pragmatik serta bijak menyesuaikan diri dengan perubahan lanskap politik semasa.
Beliau berkata demikian pada majlis kesyukuran UMNO Bahagian Pekan yang dihadiri lebih 5, 000 orang di Dewan Konvensyen di sini, tengah hari tadi.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BNperluberanilakukanpembaharuan_perubahanuntukkekalrelevan_Najib/Article/?bh | hwa 26Mei

Idris Akan Saman PKR Berhubung Dakwaan Kurung 24 Petugas SPR Pada Hari Mengundi

BESUT, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh akan menyaman PKR termasuk pengarah strategi parti itu Mohd Rafizi Ramli yang menyebarkan kenyataan berhubung 24 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikurung bagi memangkah kertas undi di Parlimen Besut dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Saya sedang meneliti tuduhan mereka bersama peguam bagi memastikan tuduhan yang boleh merosakkan imej saya selaku Anggota Parlimen Besut itu tidak dicemarkan secara sesuka hati.

"Bila dibuat satu kenyataan awam tanpa bukti yang boleh mencemarkan nama baik saya dan parti, sudah pasti saya akan bertindak untuk menyaman mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gong Nering, yang diadakan di Kampung Gong Guchil, Jerteh di sini Jumaat.

Idris berkata, beliau tidak mengetahui dari sumber mana mereka memperoleh berita tersebut yang disebarkan di laman sosial Facebook dan Blog Keadilan dan didedahkan setiausaha agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail yang dipetik dari Keadilan Daily.

"Dakwaan itu tidak berasas kerana mana boleh petugas SPR dikurung... Mereka perlu bertanggungjawab atas setiap tuduhan yang dibuat," katanya.

Sementara itu ketika berucap di majlis berkenaan, Idris berkata Barisan Nasional (BN) perlu diberi peluang untuk melaksanakan janji yang dibuat melalui manifesto Pilihan Raya baru-baru ini dan berharap Pakatan Rakyat tidak terus merosakkan keamanan di negara ini hanya semata-mata untuk memenuhi cita-cita Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

"Mungkin pada PRU13 baru-baru ini BN kalah dari segi perang siber tetapi dalam menentukan pemerintah negara BN telah berjaya. Oleh itu sebarang keputusan patut dihormati semua pihak," katanya.

Pada PRU13 lalu, Idris menewaskan calon PAS Riduan Mohamad Nor dengan majoriti 8,342 undi.

-- BERNAMA | hwa 26Mei

BN tidak pernah curi kemenangan pembangkang, ia tuduhan palsu - PM

PUTRAJAYA 26 Mei - Dakwaan pembangkang bahawa Barisan Nasional (BN) telah mencuri kemenangan mereka adalah satu kepalsuan kerana BN tidak pernah melakukan penipuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun pembangkang sering mendakwa berlaku penipuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi mereka gagal menunjukkan bukti, malahan tidak membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Tunjuk warganegara Bangladesh yang dikatakan mengundi, tunjukkan di pusat mengundi mana terdapat warga Bangladesh. Mereka tidak ada bukti.
"Mereka mendakwa bahawa 40,000 warga Bangladesh diterbangkan untuk mengundi, tunjukkan lapangan terbang mana. Jangan tuduh sembarangan bahawa seseorang itu adalah warga Bangladesh hanya kerana mereka gelap sedikit,'' katanya ketika berucap merasmikan Festival Belia Putrajaya di sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE

Jusuf Kalla dedah aku janji Anwar

Nazura Ngah | nazura_ngah@mediaprima.com.my 
Jusuf Kalla dedah aku janji    Anwar
Kuala Lumpur: Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mendakwa ada perjanjian bertulis antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak supaya peralihan kuasa selepas PRU-13 berjalan aman, sekali gus mewujudkan penyatuan nasional.

Beliau berkata, sebelum PRU-13 lalu, Anwar beberapa kali memintanya mendapatkan persetujuan Perdana Menteri supaya tidak melakukan serangan peribadi sepanjang berkempen dan menerima keputusannya.
Jusof ketika ditemuramah The Wall Street Journal (WSJ) yang disiarkan kelmarin, berkata sebagai perantara antara Anwar dan Perdana Menteri, beliau terpaksa berulang alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur bagi memastikan persetujuan dalam mematuhi komitmen antara kedua-dua pihak.

Kecam tindakan Anwar
Jusuf yang menganggap kedua-dua calon itu sebagai rakan yang dikenali sejak beberapa dekad lalu, bagaimanapun mengecam Anwar kerana gagal menepati janji yang dibuat untuk menerima keputusan rakyat, 5 Mei lalu.

Katanya, pada pertemuan di rumahnya di Jakarta, Anwar meminta beliau menyampaikan pesanan dan mendapatkan komitmen Najib bagi memastikan pilihan raya berlangsung secara aman. Malah keputusan pengundian itu adalah jelas dan masing-masing mempunyai komitmen untuk mematuhinya.

“Pada hari Isnin (sehari selepas pengundian), saya meminta Anwar menerima dan melihat kepada realiti tetapi mereka mengatakan, ‘tidak, tidak, tidak, tidak’,” katanya.
 
Kebimbangan berasas sejarah

BH Selasa lalu melaporkan Jusuf menasihatkan Anwar dan penyokong pembangkang supaya menerima kekalahan pada PRU-13 lalu dan nasihatnya itu selaras komitmen Ketua Umum PKR itu yang berjanji menerima sebarang keputusan ketika pertemuan di Jakarta, pada April lalu.

Malah, beliau yang dihubungi New Straits Times berkata, pada pertemuan itu, Anwar meminta beliau menyampaikan pesanan kepada Perdana Menteri supaya peralihan kuasa selepas PRU-13 berjalan secara aman, sekali gus mewujudkan penyatuan nasional.

Beliau melahirkan kebimbangan pertikaian berlarutan membabitkan beberapa pemimpin Malaysia, perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam dan antara Melayu dengan Cina di Malaysia akan terus meruncing sehingga boleh mencetuskan keganasan dalam negara.

Katanya, kebimbangan itu berasaskan sejarah bagaimana Malaysia terpaksa berdepan dengan keadaan sukar apabila berlaku rusuhan kaum pada 1969 dan ia terus berulang.

Najib ulangi komitmen
The Wall Street Journal turut melaporkan Jusuf antara pemimpin Indonesia yang sering menyertai perjanjian damai dalam pelbagai konflik di seluruh kepulauan Indonesia yang bermasalah ketika memegang jawatan Naib Presiden republik itu antara 2004 hingga 2009 selain turut berperanan dalam rundingan damai di Thailand dan Sri Lanka.

Laporan itu turut menyebut kenyataan Anwar bahawa Jusuf yang menghubungi beliau dan menawarkan bantuan untuk memastikan PRU-13 berjalan lancar.

“Ada ramai rakan di rantau ini yang mengambil berat mengenai peralihan kuasa dan sama ada ia boleh dilaksanakan secara aman,” kata Anwar.

Bagaimanapun, menurut penasihat kepada Perdana Menteri, Anwar meminta bantuan Jusuf untuk mendapatkan persetujuan bersama antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menerima keputusan PRU-13 walaupun dengan majoriti tipis.

“Perdana Menteri mengulangi komitmen itu secara peribadi kepada Jusuf Kalla dan di khalayak ramai sebelum pilihan raya umum bahawa BN akan menghormati kehendak rakyat dan menerima keputusan walaupun pembangkang menang,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JusufKalladedahakujanjiAnwar/Article | hwa 26Mei

23 Mei 2013

Anwar tidak komited untuk berdamai - Jusuf Kalla

JUSUF KALLA 
*****
KUALA LUMPUR 21 Mei - Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengakui usaha beliau untuk mendamaikan perseteruan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan tercapai 100 peratus.
Perkara tersebut, jelas beliau, disebabkan sikap Ketua Pembangkang itu sendiri yang tidak komited terhadap usaha tersebut.
Beliau berkata, sikap Anwar itu bertentangan dengan Najib yang sentiasa bersedia menjalankan komitmen tersebut.
"Saya ke sana (Kuala Lumpur) kerana kedua-dua itu teman saya, tetapi tidak 100 peratus kita bisa capai akibat mungkin kerana bapa Anwar tidak terlalu menjalankan komitmen.
"Padahal komitmennya ialah selepas pemilu (pilihan raya), mereka berdamai. Kemudian apabila sesiapa pun yang kalah mengakui si pemenang dan yang menang mengundang yang kalah untuk membentuk pemerintahan.
"Bapak Anwar tidak terlalu komitmen. Najib siap untuk menjalankan komitmen ini," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan bual bicara Indonesia, Late Nite Show With Omesh hari ini.
Sebelum ini, Jusuf dilaporkan sedang merintis satu usaha untuk mendamaikan perseteruan politik antara Najib dengan Anwar.
Usaha yang dilakukan atas dasar kedua-dua mereka adalah sahabat baik Jusuf dan bagi menjaga kepentingan Malaysia dan Indonesia. Walau bagaimanapun setakat ini belum diketahui hasilnya.
Jusuf yang ke Kuala Lumpur bersama beberapa orang bekas menteri Indonesia pada 5 Mei lalu semasa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 diumumkan telah menemui Anwar pada malam tersebut bagi menyatakan hasratnya itu.
Dalam pada itu, Jusuf berkata, perdamaian adalah sesuatu yang diperlukan di sesebuah negara bagi mengelakkan banyak perkara tidak diingini daripada berlaku.
Kata beliau, seperti di Aceh dan Ambon, konflik telah menyebabkan banyak nyawa terkorban serta menyusahkan kehidupan seharian rakyat.
"Kalau ertinya untuk menghindari konflik ataupun perang, ya damai. Kedamaian itu memerlukan sesuatu cara bagaimana mereka yang berkonflik ini bertemu, dengan cara yang elegan dan kesatria yang baik begitu," katanya.

Segera hentikan permainan Anwar sebelum terlambat

SEBAHAGIAN wakil NGO membuat demonstrasi di Jalan Kampung Daik membantah perhimpunan Blackout 505 oleh pembangkang di Kuala Ibai, yang dijadualkan esok. 
*****
KUALA TERENGGANU 21 Mei - Lebih 200 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa menghalang siri perhimpunan haram pembangkang bagi membantah keputusan pilihan raya umum lalu yang dirancang diadakan di negeri itu.
Malah, mereka turut menggesa Kementerian Dalam Negeri tidak lagi bertolak ansur dengan sikap pembangkang yang mencabar dan mengetepikan undang-undang kerana dibimbangi akan mencetuskan huru-hara.
Kumpulan NGO itu termasuk Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) cawangan Terengganu, Majlis Belia Felda Malaysia Wilayah Terengganu (MBFMWT), Pertubuhan Belia 4B Terengganu serta beberapa pertubuhan belia lain.
Mereka berhimpun selama hampir sejam bermula kira-kira pukul 3.30 petang di Jalan Kampung Daik berhampiran Pasar Besar Kedai Payang, di sini hari ini untuk membantah hasrat pembangkang itu sambil membawa poster 'Kami Bersama PM', 'Halau Pengkhianat Negara' dan 'Kami membantah Black Out 505' .
Ketua Pegawai PTCM cawangan Terengganu, Mohd. Bali Muda berkata, pembangkang cuba mengganggu keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat negeri itu selepas merancang mengadakan demonstrasi di Kuala Ibai, dekat sini Khamis ini.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya mahu pasukan keselamatan mengambil langkah drastik dengan bertindak tegas ke atas mereka yang terlibat menggerakkan perhimpunan haram itu terutama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami desak Anwar dan pengikutnya dikenakan tindakan segera, jangan buang masa lagi.
"Anwar dan pengikutnya sepatutnya akur dengan keputusan pilihan raya umum lalu. Kenapa terus mempersoalkannya sedangkan di negeri yang dikuasai pembangkang seperti Kelantan dan Selangor, mereka sudah mengangkat sumpah jawatan masing-masing, maknanya mereka terima keputusan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan tersebut.
Perhimpunan itu turut disertai Bendahari Pertubuhan Belia 4B Terengganu, Apli Yusoff, Exco MBFMWT, Mohd. Laisani Dollah serta Timbalan Ketua Turus PTCM Terengganu, Sanek Awing.
Menurut Mohd. Bali, mereka tetap membantah perhimpunan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini selain terbukti menyusahkan orang ramai.

Rakyat Malaysia 'bikin' malu di kota London

SEBAHAGIAN rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan haram di kota London, kelmarin. - BLOG MEDAN INFO KITA
***** 
KUALA LUMPUR 21 Mei - Sekumpulan rakyat Malaysia yang menetap di London didakwa memburukkan nama negara apabila bertindak mengadakan demonstrasi jalanan membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 di beberapa kawasan di bandar raya berkenaan.
Perkara tersebut didedahkan blogger Blog MIK (http://medan-info-kita.blogspot.com) yang mendapat maklumat tentang gerakan jahat, dipercayai diketuai dua individu.
Dakwa blogger tersebut, demonstrasi itu dilakukan tengah hari kelmarin di depan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London.
"Mereka kemudian berarak ke Parliament House dan berakhir di Trafalgar Square. Sepanjang berlangsung perhimpunan haram itu, dua individu berkenaan mengedarkan risalah menghasut serta mempersoalkan mandat rakyat yang memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional.
"Secara terang-terangan mereka menyatakan sokongan terhadap pembangkang dan mempersoalkan kesahihan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri," jelas blogger tersebut.
Blog MIK mendakwa, berdasarkan maklumat, kehadiran rakyat Malaysia dalam demonstrasi itu ialah sekitar 250 orang yang rata-ratanya berketurunan Cina.
"Apakah hukuman setimpal untuk mereka ini? Gugurkan kerakyatan mereka dan pihak Jabatan Imigresen jangan izinkan mereka kembali ke tanah air.
"Semoga Pesuruhjaya Tinggi Malaysia mengenal pasti individu terlibat, lakukan pemeriksaan. Mungkin mereka sudah pun mendapat status penduduk tetap di sana, maka wajarlah digugurkan segera kerakyatan," tegasnya.

Idris sambut baik Pas tolak konspirasi

PUTRAJAYA 21 Mei - Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh menyambut baik pendirian kerajaan Pas Kelantan yang menolak sebarang konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan Persekutuan melalui cara kekerasan.
Idris berkata, beliau gembira dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang menolak cara kekerasan dan demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lepas.
"Proses demokrasi sudah dilaksanakan dan perlu dihormati oleh semua rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Terdahulu Idris mengimbas masuk di Kementerian Pelajaran, Presint 5 sebagai simbolik memulakan tugas hari ini.
Turut memulakan tugas Timbalan Menteri Pelajaran I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P.Kamalanathan.
Ahad lalu, Ahmad melalui laman Facebook berkata, pihaknya berpegang teguh dengan prinsip demokrasi merupakan jalan terbaik untuk menukar kerajaan di negara ini.
Jelas Menteri Besar Kelantan itu lagi, pendirian beliau selari dengan kepimpinan Pas Pusat yang sejak dahulu sentiasa memilih jalan demokrasi untuk menukar kerajaan.
Semalam, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz secara terbuka menolak usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjatuhkan Kerajaan Persekutuan.

'Saya tidak akan tunduk'

KUALA LUMPUR 21 Mei - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bertegas dengan pendiriannya tidak akan sesekali tunduk kepada amaran Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengarahkannya menutup mulut.
Malah, beliau berikrar akan terus membuat pendedahan demi memastikan keamanan negara tidak tergugat oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab demi ketaksuban memiliki kuasa.
Tunku Abdul Aziz turut mencabar Karpal untuk cuba 'sedaya upaya' mengheretnya ke mahkamah andainya pendedahan-pendedahan itu sebenarnya menyusahkan golongan berkepentingan dalam DAP.
"Saya sedikit pun tidak gentar dengan ugutan serta amaran Karpal. DAP sudah sinonim dengan sikap mengugut sesiapa yang tidak sealiran dengan parti itu dengan saman-menyaman. Saya juga sudah lali. Buatlah sesuka hati kamu, Karpal.
"Walau bagaimanapun, saya tidak mempunyai rancangan seperti Karpal untuk menyamannya atau DAP kerana saya bercakap benar. Semua itu tidak demokrasi dan membuang masa," katanya dalam sidang akhbar berhubung perkara itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, bekas Ketua Cawangan Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat; Presiden Kelab Muda Wartawan Malaysia, Dzulkarnain Taib dan Penasihat Perhubungan Antarabangsa Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Adam Mikail.
Karpal telah memberikan amaran kedua kepada Tunku Abdul Aziz semalam supaya menghentikan perbuatan mendedahkan kepincangan parti berkenaan tidak kurang dalam tempoh 48 jam.
Dalam pada itu, Tunku Abdul Aziz turut menggesa Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr. Chen Man Hin supaya segera tampil membuat penjelasan berhubung kenyataan kebangkitan Malaysia Spring kepada umum.
"Menurut Karpal, Malaysia Spring itu sebenarnya 'musim bunga', apakah Karpal atau DAP menganggap kita rakyat Malaysia tidak berakal? Sejak bila kita ada musim bunga di negara ini?
"Janganlah cuba manipulasi situasi sebenar, maksud itu sebenarnya gelombang revolusi demonstrasi ganas Arab Spring seperti di Libya, Yemen dan Mesir. Jangan cuba porak-perandakan keamanan negara ini," dakwanya.
Man Hin pernah menyatakan sokongan kepada Bersih 3.0, selain membayangkan demonstrasi itu sebagai permulaan kepada Malaysia Spring pada 26 April tahun lalu
Tunku Abdul Aziz juga yakin Karpal cuba mengalihkan perhatian ahli DAP dan rakyat di negara ini terhadap masalah dalaman parti itu yang berlarutan sejak pemilihan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember tahun lalu.
Sementara itu, beliau turut memberikan peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia agar berfikir dengan rasional sebelum bertindak menghadiri sebarang demonstrasi yang dianjurkan pembangkang.
"Jangan biar diri dipergunakan. Mereka hendak kuasa untuk memerintah negara dengan cara tidak sah. Rakyat Malaysia dipergunakan untuk turun ke jalanan bagi terus menjahanamkan keharmonian.
"Jangan seperti lembu dicucuk hidung, percaya kepada semua pembohongan demi kepentingan golongan 'sadis' ini," tegasnya.

22 Mei 2013

Rakyat Kelantan rela dieksploitasi janji kosong PAS

Dr Alias Muhamed 
Pembangunan ekonomi negeri diabai
Kita harap pimpinan baru PAS di Kelantan mengubah dasar pembangunan bagi faedah rakyat. Zaman sudah berubah dan pemimpin PAS perlu sedar Kelantan wajar berubah. Dulu pemimpin PAS bersikap acuh tak acuh apabila berhadapan dengan pembangunan ekonomi negeri. Sementelah pula ‘mullah’ PAS tidak ada kemahiran dan pengalaman dalam bidang ekonomi.
Sikap ini disempurnakan cerdik pandai PAS yang enggan atau takut menegur Tok Guru kerana mereka beranggapan pemimpin PAS ini popular dan dihormati ahlinya, khususnya elit agama, sekolah agama yang dibiayai oleh PAS, puak konservatif dalam parti dan ulama tua yang tidak meletakkan kemewahan dan kesempurnaan dalam agenda kehidupan mereka.
"Perbezaan ketara antara budaya kerja serta ‘world view’ ahli PAS dengan UMNO ini meletakkan mereka pada jarak yang sangat jauh. Oleh sebab itulah, dalam PAS tidak kelihatan kesungguhan pemimpin sama ada mullah yang berjubah dan berketayap atau doktor, peguam dan arkitek parti itu untuk membina sekolah agama prima yang tersohor untuk menjadi contoh pada negeri lain."
Sikap ‘ancient regime’ berbeza dengan UMNO yang walaupun terikat kukuh dengan prinsip agama, namun pemimpin tetap mengikuti kehendak dan perkembangan yang banyak berubah. Selain mentaati tuntutan agama mereka juga progresif dan dinamik. Mereka tidak lalai dan alpa dengan pembinaan rumah ibadat dan pembiayaan sistem persekolahan agama.

Perbezaan budaya kerja
Perbezaan ketara antara budaya kerja serta ‘world view’ ahli PAS dengan UMNO ini meletakkan mereka pada jarak yang sangat jauh. Oleh sebab itulah, dalam PAS tidak kelihatan kesungguhan pemimpin sama ada mullah yang berjubah dan berketayap atau doktor, peguam dan arkitek parti itu untuk membina sekolah agama prima yang tersohor untuk menjadi contoh pada negeri lain.

Sebaliknya, banyak lagi negeri lain memperagakan contoh yang baik kepada Kelantan. Namun kerana kekeringan kantung dan hasil negeri, PAS Kelantan gagal melaksanakan kebaikan seperti membina projek rakyat dan memperbetulkan sistem persekolahan yang ditaja mereka. Kini mereka menyalahkan Kerajaan Pusat kerana kononnya enggan membayar royalti petroleum kepada Kelantan, pada hal negeri ini tidak layak menerima royalti berkenaan.
Dalam pada itu pun Kerajaan Pusat mencurahkan berbilion-bilion ringgit untuk membina pelbagai projek yang diperlukan di Kelantan sejak lima tahun lalu. Penyakit kerajaan negeri ini ialah kegagalan pemimpin mereka untuk menguruskan kewangan dan pentadbiran dengan baik sehingga mencurigakan Kerajaan Pusat akan kejujuran pemimpin PAS dalam hal ini.

Kekakuan cerdik pandai PAS
Banyak projek Persekutuan yang disalurkan ke negeri Kelantan mengelak dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan negeri kerana contoh masa lalu apabila PAS menggunakan bantuan Kerajaan Pusat untuk memakmurkan agenda parti.

Ramai cerdik pandai PAS sama ada yang mendapat didikan agama atau sekular seolah-olah kaku tubuh badan dan otak untuk menegur pemimpin PAS negeri dan kebanyakan mereka seperti berada dalam gerabak kereta api era 1950-an yang masih menggunakan arang batu.

Kebanyakannya disuntik oleh ketaksuban dan fanatisme yang melampau seolah-olah mereka tidak pernah bersemuka dengan ulama, apatah lagi jika ulama itu yang kononnya menggunakan alasan agama untuk mengeluarkan fatwa baru bagi menghalalkan cara.

Mereka ini gagal melihat komuniti lebah yang membantu lebah lain membina sarang dan mencari makanan sehingga tunggang-langgang. Wabak kefanatikan ini menjadi-jadi seolah-olah sang matahari tidak jatuh selama-lamanya di negeri Cik Siti Wan Kembang. Mereka menerima saja apa yang dianggap baik dan sesuai untuk rakyat Kelantan pada hal masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.

Memperbodohkan rakyat
Inilah sebabnya punca projek infrastruktur dan perumahan rakyat tidak dibangunkan walaupun selepas diberi peluang selama 23 tahun untuk mentadbir negeri. Di samping cerdik pandai PAS, ada segolongan besar pengikut parti yang menganggap kenyataan pemimpin mereka semuanya betul tanpa perlu disilang dan dikaji dengan pemeriksaan secara logik dengan penemuan muktabar.

Keadaan seperti ini menyebabkan ramai jaguh PAS negeri memperbodohkan rakyat dengan pelbagai dakyah dan alasan. Sementelah maklumat alternatif tidak semuanya sampai pada mereka. Oleh itu, mereka tidak ada opsyen untuk mengubah diri. Sejak dulu lagi Kelantan memang dianggap terperosok ke utara, sedangkan jiran di selatan Thailand juga mengalami ketaksuban dan kefanatikan sama.
Ini berbeza dengan negeri lain yang dihubungi dengan jalan raya yang baik dan landasan serta perkhidmatan kereta api yang licin.

Inilah puncanya mengapa begitu sukar rakyat di pedalaman begitu sukar untuk menerima perubahan. Sungguh ramai anak Kelantan berhijrah ke Pantai Barat dan pulang untuk mengundi dalam pilihan raya, namun tidak ramai yang ingin mengubah daripada corak pemikiran ibu bapa mereka kecuali mereka terdiri daripada golongan yang terpelajar yang mindanya terbuka dan terdedah dengan pelbagai perubahan.

Eksploitasi pemimpin PAS terhadap rakyatnya amat ajaib. Mereka membuka kitab lama dan terus menganggap pemerintahan BN dan UMNO adalah saki baki sekularisme dan modenisme.

Penulis ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia

E-mel ke bhrencana@mediaprima.com.my untuk berkongsi pendapat anda

Dewan Pemuda Pas tolak politik ganas

Nasrudin Hassan 
*****
KUALA LUMPUR 21 Mei - Dewan Pemuda Pas menolak perhimpunan jalanan yang sedang digerakkan oleh aktivis-aktivis propembangkang bagi memprotes keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketuanya, Nasrudin Hassan menegaskan, pihaknya menolak keganasan serta suasana huru-hara dan kacau-bilau di dalam negara ini.
Menurut beliau, Dewan Pemuda Pas mengambil pendirian itu kerana mereka menyayangi negara dan seluruh rakyat.
"Kami berjuang untuk masa depan agama, negara dan rakyat.
"Kami tidak akan turun ke jalan raya untuk mencetus keganasan dan keresahan rakyat sebagaimana yang telah ditegaskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam," katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Nik Mohd. Abduh dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya semalam menyifatkan cubaan menggulingkan kerajaan menerusi kaedah spring atau 'ledakan di jalan raya' sebagai perbuatan gopoh.
Sebaliknya, Nik Mohd. Abduh mengajak golongan muda agar insaf kerana semangat berkobar-kobar tidak boleh meminggirkan sifat sabar dalam memburu kemenangan.
Seruan Nik Mohd. Abduh itu mengundang pelbagai reaksi daripada para pengikutnya di Facebook, malah salah seorang daripadanya yang menggunakan identiti Jean Francoise menggelarkan Ahli Parlimen Parlimen Pasir Mas itu sebagai 'bebal'.
Bagi mengulas lanjut, Nik Mohd. Abduh dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini berkata, beliau menyokong perhimpunan aman, namun usaha itu memerlukan persetujuan rasmi kesemua parti dalam pakatan pembangkang dan pemantauan rapi.
"Takut provokasi tak terkawal oleh musuh pakatan pembangkang yang sentiasa mahu mengotorkan reputasi pakatan yang cintakan keamanan dan kesejahteraan hidup," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan pengikut-pengikutnya di Facebook membaca pesanan yang dimuatkan dalam kenyataannya semalam berulang kali kerana mengandungi nasihat yang bagus.

Spring bukan cara Pas, Islam

Harun Taib 
*****
KUALA TERENGGANU 21 Mei - Pas akan selamanya berpegang kepada prinsip demokrasi dan tidak sekali-kali membabitkan diri untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara kekerasan dan di luar perundangan semata-mata tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya.
Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib berkata, sudah lama Pas memilih prinsip demokrasi sekali gus menolak kekerasan untuk mencapai kemenangan termasuk dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu yang menentukan jatuh bangun sesebuah parti.
Beliau memberitahu, segala undang-undang yang berkaitan perlu dipatuhi dan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan keadaan tidak diingini dan huru-hara, bukan pegangan dan pendirian Pas.
"Memang sudah lama, sejak dulu lagi hingga sekarang Pas pilih demokrasi dan perkara ini kekal menjadi pegangan kita (Pas), mungkin sampai bila-bila.
"Bagi Pas, amalan demokrasi adalah yang sebaik-baiknya, bukan bertindak mengikut emosi sehingga berlaku huru-hara. Dalam Islam juga tak mahu berlaku huru-hara.
"Biarlah semuanya dalam keadaan aman damai untuk kesejahteraan rakyat. Perlu ingat, Pas tak suka buat huru-hara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Harun diminta mengulas niat pembangkang mencetuskan huru-hara bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara sah oleh rakyat pada 5 Mei lalu semakin jelas selepas melakukan beberapa siri demonstrasi selain merancang demonstrasi lain pada masa depan.
Kelmarin, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam Facebooknya berkata, pihaknya berpegang teguh bahawa demokrasi merupakan jalan terbaik untuk menukar kerajaan di negara ini.
Susulan itu, semalam, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz juga menolak usaha kumpulan propembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Persekutuan yang dipilih oleh rakyat secara sah dengan demonstrasi di jalanan.
Nik Mohd. Abduh turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai gopoh sambil mengajak orang ramai memikirkan kemenangan melalui kesabaran, bukannya melalui ledakan di jalan raya.
Dalam pada itu, Harun selanjutnya berkata, mana-mana pihak tidak wajar mempersoalkan prinsip demokrasi yang dipegang oleh Pas sejak sekian lama dan parti itu akan sentiasa menggalakkan 'jalan damai' demi kesejahteraan rakyat.
Ditanya mengenai tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tetap meneruskan siri perhimpunan itu, Harun walau bagaimanapun berkata: "Itu saya tak tahu, itu soal dia (Anwar)".

Eloklah bersabar menunggu tempoh empat atau lima tahun lagi

SEKITAR pukul 11.15 pagi 5 Mei lalu, ketika dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang untuk mengundi, penulis menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS). Menurut SMS itu: Maklumat risikan, PR akan menang 126 kerusi, BeEND cuba tipu dgn undi warga asing. Tahankan pusat undi untuk pastikan rakyat menang. Undi perubahan. ABU. Dua hari sebelum itu SMS ini diterima: Berita baik 50%-70% Tentera/Polis telah undi PR. Jangan gentar. Undi perubahan. Mereka bersama kita untuk tumbangkan UmmNO.BeEnd. Usah takut. Keluar UNDI. ABU.
Ramai lagi pengundi yang menerima SMS seumpama ini dan mungkin SMS lain yang memaparkan keyakinan bahawa pilihan raya umum (PRU) kali ini memihak kepada pakatan 3P - DAP, Pas, PKR.
Serangan yang sama juga berlaku menjelang petang pada hari pengundian. Peti undi belum dibuka, undi belum dikira, tetapi SMS pakatan 3P sudah mencanangkan kemenangan, seolah-olah ‘kunci’ Putrajaya sudah sah di tangan mereka.
Malangnya apabila keputusan diumumkan, 3P hanya berjaya di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Pada masa yang sama, pakatan juga berjaya menembusi beberapa kubu kuat Barisan Nasional (BN) di beberapa negeri. Disebabkan kekecewaan inilah, maka pembangkang khususnya mereka yang terlalu ghairah mahu menawan Putrajaya tidak dapat menerima ketentuan takdir yang sekali lagi telah memihak kepada BN.
Maka bermulalah episod untuk ‘berkuasa’ melalui cara yang salah atau ‘jalan belakang’. Provokasi mereka termasuklah memperlekehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa tidak telus. Isu dakwat kekal, pengundi hantu dari Bangladesh, black out, penemuan kertas undi dan macam-macam lagi ditimbulkan sehingga berjaya meracuni fikiran rakyat.
Maka secara sinis, isu-isu ini menjadi bualan sehingga terbawa-bawa ke dalam mesyuarat organisasi tertentu yang diadakan selepas PRU.
Hanya mereka yang tidak mampu berfikir secara rasional dan sudah memasang niat tidak baik akan percaya segala bentuk dakwaan yang berunsur fitnah ini. Mereka yang menyebarkan pelbagai cerita ini menganggap pengundi seolah-olah tidak cerdik, tidak pernah mengundi. Misalnya isu dakwat. Adakah dakwat sebagai asas utama yang akan mengesahkan seseorang itu layak mengundi atau tidak? Ini kerana kad pengenalan masih menjadi ‘lesen’ besar untuk mengundi. Lainlah sekiranya pengundi tidak dapat mengundi kerana namanya sudah dipotong dalam senarai kerana dikatakan sudah mengundi.
Jika berlaku kes seperti ini, pengundi didakwa sudah mengundi sedangkan di jarinya belum ada kesan dakwat, maka kes ini perlu dibawa ke pengetahuan SPR dengan segera supaya dapat dikesan di mana silapnya. Jangan hanya kerana satu undi dianggap tidak ada nilai, mangsa tidak membuat aduan.
Begitu juga petugas di pusat mengundi yang mewakili parti politik yang menemui kes seperti ini perlu bertindak serta merta. Jangan simpan masalah ini untuk dijadikan ‘senjata’ selepas PRU berakhir dengan matlamat ‘menikam’ SPR. Maklumat ini diperlukan supaya sebarang kelemahan dibuktikan dan dapat diperbaiki. Dalam isu dakwat, apa lagi yang tidak kena? Siapakah yang mengemukakan idea dakwat ini? Adakah dakwat sekadar mahu menambah ‘koleksi’ menghentam SPR selepas isu pengundi hantu?
Begitu juga kenapa hanya timbul isu pengundi Bangladesh? Kenapa tidak Indonesia, China, India atau Myanmar? Ibarat takut bayang-bayang sendiri.
Akhirnya kebenaran muncul juga apabila pengundi yang dikatakan warga Bangladesh ini sebenarnya rakyat Malaysia. Pihak yang menuduh terpaksa memohon maaf. Amat memalukan selepas isu itu dicanang di seluruh negara. Begitu juga dengan isu bekalan elektrik terputus semasa pengiraan undi sedang berlangsung. Hakikatnya tidak ada kejadian seumpama itu.
Masalahnya pembohongan ini sudah disebarkan secara meluas melalui media sosial yang kemudiannya dibincangkan dari mulut ke mulut. Strategi mencipta isu tanpa fakta yang kukuh berjaya menarik perhatian ramai. Mereka yang sudah terlalu taksub akan menerima bulat- bulat dakwaan ini. Penjelasan yang dibuat akan dipandang sepi lebih-lebih lagi apabila fakta berkaitan tidak disebarkan secara meluas.
Senjata inilah yang memberi kelebihan kepada pakatan 3P ini untuk memenangi hati rakyat supaya memandang serong terhadap SPR. Kita tunggu dan lihat adakah isu pengundi Bangladesh, black out dan dakwat akan dibawa ke mahkamah. Eloklah 3P membawa segera rasa tidak puas hati ini ke mahkamah. Biarlah mahkamah yang menentukan. Tidak perlulah meraung ke sana sini, meratap kesedihan di jalanan kerana gagal ke Putrajaya.
Jangan pula saluran undang-undang yang ada dianggap tidak telus sehingga sanggup membawa kekecewaan ini ke peringkat antarabangsa.
Baru-baru ini banyak pihak meminta supaya keputusan PRU diterima dengan baik. Sekarang adalah masa untuk bekerja.
Kenapa masih ‘mengganggu’ kerajaan yang sedia ada? Bersabarlah menunggu untuk mengundi dan berkempen semula pada PRU yang bakal diadakan empat atau lima tahun lagi, mungkin 2018. Tempoh itu tidak lama lagi lebih-lebih lagi kalau sepanjang masa kita asyik berpolitik. Jika anda ketika ini baru berusia 21 , 22, 23 atau 24 tahun, PRU yang lepas adalah kali pertama anda mengundi memilih kerajaan.
Maknanya masih ada banyak masa jika berhasrat mengubah kerajaan. Janganlah kerana baru sekali mengundi dan tidak berjaya, mahu diamuk seluruh negara. Jangan kerana tidak sabar atau ‘letih’ mahu menunggu 2018 maka keputusan yang sah tidak mahu disahkan dengan menyusun gerakan yang bertujuan mahu merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara sah melalui peti undi.
Belajarlah menghormati undang-undang yang diperuntukkan dalam sesebuah negara. Lainlah jika usia anda sudah mencecah 72 tahun maka timbul kerisauan anda tidak sempat memanfaatkan PRU Ke-14 kerana mengikut purata jangka hayat lelaki di negara ini adalah 77 tahun. Tetapi jika sudah ketentuan Tuhan, cita-cita akan tercapai juga. Kata orang ajal maut di tangan Tuhan. Rezeki juga ketentuan-Nya.
Ini kali bukan rezeki anda, mungkin lain kali. Lihatlah Nik Aziz Nik Mat yang masih mampu untuk bertanding pada PRU ketika berusia 82 tahun.Begitu juga Karpal Singh yang kini berusia 73 tahun dan Lim Kit Siang, 72. Jika cita-cita itu tidak dapat dicapai ketika ini, masih ada waris yang akan meneruskan perjuangan. Nik Aziz misalnya mempunyai Nik Abduh, Kit Siang mempunyai Lim Guan Eng manakala waris Karpal pula Gobind dan Jagdeep.
Anwar Ibrahim yang baru mencecah 66 tahun pula mempunyai Nurul Izah. Kalau mereka ini benar-benar pejuang, maka tidak timbul soal putus asa dan menyalahkan sistem kerana sistem yang ada juga memberi kemenangan kepada pakatan 3P ini mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Malahan keputusan di Pulau Pinang dan Selangor adalah lebih baik berbanding 2008. Begitu juga sistem yang lebih kurang sama digunakan pada 2008 yang membawa kemenangan pakatan ini di Kedah dan Perak di samping Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Sekali lagi, gunalah akal. Janganlah kerana ghairah mahukan kuasa, keputusan rakyat yang sudah dibuat mahu ‘dihumban’ di atas jalan raya. Hentikanlah politik yang bertujuan menghuru-harakan negara. Sekarang adalah masa untuk bekerja.

Siri 2: Ayuh berjihadlah orang Melayu, kuasai ekonomi!

TERLALU banyak sudah orang bercakap politik. Tiap-tiap hari cakap politik. Seorang kawan berkata bukan tiga tahun orang kita bercakap politik, tapi sudah 15 tahun kita bercakap politik. Tahun itu dikira sejak Anwar Ibrahim dipecat daripada Kabinet dan UMNO.
Selama itu juga orang Melayu ketinggalan. Sehinggakan nak jual sarung telefon bimbit pun, tiada seorang anak Melayu yang mampu menjualnya.
Jika ada yang menjualnya pun mungkin di luar lingkungan kawasan saya.
Hari ini kita mahu bercakap mengenai Jihad Ekonomi. Apa itu ekonomi, jangan kita tengok ekonomi yang besar-besar ala milik taikun-taikun besar itu.
Kita lihat yang kecil-kecil dulu. Kerana yang kecil ini pun belum selesai lagi. Perniagaan kecil-kecilan yang perlu kita taburkan di seluruh pelosok negara. Ke seluruh cabang bandar, ke seluruh simpang kampung dan barisan kedai-kedai ternama.
Kita buat contoh persaingan kedai minyak Petronas dan Shell. Di mana tercacaknya Petronas di situ ada Shell. Di mana ada Shell di situ ada Petronas.
Oleh itu, di mana ada kedai runcit Cina di situ mesti ada kedai runcit Melayu, di mana ada kedai hardware Cina di situ mesti ada kedai hardware milik Melayu.
Di mana ada kedai mamak, di situ ada kedai nasi Melayu. Di mana ada kedai cermin mata Cina, di situ ada kedai ‘spek’ Melayu, dan begitulah seterusnya.
Baharulah ada persamaan. Baharulah adil dan saksama. Orang lain tak boleh marah kita kerana negara ini adalah negara demokrasi yang mengamalkan free enterprise atau perdagangan bebas.
Malangnya sekarang ini ia tidak adil, sehingga nak beli Kain Kapan orang mati Melayu Islam pun kena ke kedai runcit milik Cina. Nasib baik sekarang ini ada kedai-kedai Maidin. Itu pun namanya Maidin, mana dia nama Awang, Dollah, atau Mamat?
Mulai sekarang kurangkan cakap politik yang memeningkan kepala dan menyakitkan jiwa raga.
Mulai hari ini kita bercakap mengenai jihad ekonomi.
Kita kuasai kedai-kedai menjual telefon bimbit yang menjadi kegunaan ruji rakyat Malaysia sekarang. Bayangkan kini di Malaysia ada lebih 35 juta telefon tangan. Saya menaip Cuit ini pun menggunakan Blackberry.
Tapi persoalannya, siapa yang menjualnya? Berapa peratus orang Melayu yang mendapat untung di atas penjualan telefon itu?
Jangan dicakap telefon, kulit sarungnya pun susah nak cari penjual Melayu.
Minggu lalu saya menulis mengenai isu kulit sarung telefon ini. Banyak respons yang saya terima menerusi e-mail dan panggilan telefon.
Orang yang saya tidak kenal pun bersusah payah mencari nombor telefon bagi menghubungi saya. Mereka tersintak dengan pendedahan itu. Mereka baru tersedar daripada lamunan cakap politik yang menguasai pemikiran mereka selama ini.
Orang yang hidup siang-malam dalam politik - haiwan politik - sudah tentu mahu orang terus bercakap mengenai mereka. Anwar sudah tentu syok apabila orang bercakap mengenai dia, siang dan malam, baik secara kasar, buruk atau baik.
Anwar tak kisah selagi orang terus bercakap fasal dia, kerana selagi orang terus bercakap fasal dia, maka dia akan terus hidup.
Anwar hanya akan mati jika media, orang ramai, orang Malaysia, tutup terus cerita mengenai dia.
Sebaik-baik sahaja media blackout Anwar, maka hari itu adalah hari kematiannya.
Orang Melayu harus pandang ke hadapan. Sepuluh tahun dari sekarang, apa yang mereka sasarkan. Selagi negara ini masih dalam tangan mereka, ayuh berjihadlah ke arah kesejahteraan ekonomi.
Ayuh kerajaan bantulah. Ayuh taikun-taikun terkaya Melayu seperti Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bantulah orang Melayu.
Ayuh syarikat-syarikat Melayu, GLC, bank-bank terajui anak Melayu, bangunkan segera usahawan kecil dan sederhana orang Melayu. Jangan berkira dengan mereka. Ini adalah jihad.
Ayuh orang-orang kaya Melayu wujudkan NGO-NGO Jihad Ekonomi Melayu, bukan lagi NGO politik Melayu yang sudah ada melata.
Ayuh graduan-graduan dan alumni UiTM yang lahir atas Dasar Ekonomi Baru -- yang merata terlibat dalam keusahawanan sekarang - gerakkan jihad ini segera.
Ayuh budak-budak MBA Harvard Melayu, gemblengkan kreativiti bagi memulakan jihad ini. Ayuh pensyarah-pensyarah bisnes dan perniagaan Melayu, babitkan diri dalam Jihad Ekonomi ini. Jangan cakap kosong, realisasikannya.
Ayuh-ayuh tebarkan usahawan-usahawan kita di seluruh gedung-gedung perniagaan besar di ibu negara. Sedarkah kita pemuda-pemuda Cina menguasai sektor-sektor perniagaan runcit elektronik di Plaza Pudu dan Low Yat adalah kerana mereka dibantu oleh sesama mereka. Taikun-taikun mereka membantu mereka. Mereka tidak memerlukan kerajaan.
Ayuh DBKL, sediakan lebih banyak ruang kedai untuk mereka berniaga.
UDA, ayuh kembalilah ke falsafah asal. Jangan terus tidur. Buat banyak lagi Kompleks Pertama atau Sungai Wang Plaza untuk orang Melayu. Bela mereka dan asuh mereka.
Ayuh pihak pembangunan Iskandar, jangan biarkan orang Melayu sekadar pemerhati kehormat. Bagi peluang dan bimbing orang Melayu berniaga di situ.
Dewan Perniagaan Melayu jangan asyik bergaduh merebut jawatan. Ayuh bangkitlah majukan ekonomi Melayu dan bukan untuk tengkolok sendiri.
Ayuh ustaz-ustaz, jangan lagi mahu menjadi terkenal dengan sandiwara politik. Ubah mind-set orang Melayu Islam kita untuk berjihad ekonomi pula. Ia adalah sunnah Rasulullah SAW. Sudah lama kita berpolitik.
Satukan ummah kita dengan Jihad Ekonomi. Ingat 9/10 rezeki adalah daripada perniagaan. Itu sunnah Nabi, tapi mengapa kita alpa?
Jika mereka boleh buka kedai beg tangan LV, Hermes, Maison Martin Margiela, Berkin atau jenama baju pereka terkenal Alexander McQueen, Dolce&Gabanna, Stella McCartney, Rebecca Minkoff - jangan lagi kita hanya pembeli dan pemerhati, kita juga harus menjadi pemilik kedai, pemegang lesen agensi dan menjualnya.
Wujudkan lagi factory outlets di seluruh negara yang dikuasai oleh orang Melayu. Wujudkan Bandung di Bukit Kayu Hitam (BKH), misalnya. Jangan cakap ia mustahil wahai MB baru Kedah, Mukhriz Mahathir. Ia adalah jihad. Lakukan jihad ini, Mukhriz!
Biar orang KL, Ipoh, Penang atau dari Dannok atau Hatyai atau dari Bandung sendiri berkereta dan berkapal terbang ke Changlun untuk berbelanja dan membeli barangan jenama mahal dengan harga murah. Bagi pekerjaan kepada saudara-mara kita di kampung-kampung miskin di situ.
Jika ke New York kita sanggup pula berkereta sejam untuk berbelanja di Woodbury Common Premium Outlets di Central Valley - wujudkan juga gedung yang sama di luar KL. Tapi syarat jihadnya: ia harus dikuasai oleh kita. Selagi kita berkuasa, apa masalahnya? Mustahilkah?
Hairan mengapa Johor Premium Outlets bukan milik orang Melayu? Hairan mengapa dalam Suria KLCC bukan kedai-kedai milik kita? Janganlah bercakap di Pavillion, One Utama, atau di Bangsar Shopping Center dan lain-lain.
Apakah kita ini berbeza daripada mereka? Apakah kita ini pemalas berbanding mereka? Apakah kita ini selama-lamanya akan menjadi window-shoppers yang hanya melihat, tapi tak mampu membeli? Sedih, sedih.
Jangan lagi kita menjadi saksi, jangan lagi kita menjadi pembeli, jangan lagi kita terus dibuli.
Jika mereka yang sudah menguasai ekonomi mahu menguasai politik pula, apa salah kita yang masih menguasai politik, kontrol ekonomi pula.
Ayuh, jika mereka nak buat a surprise checkmate kepada kita dalam PRU-13 ini, kita pulangkan semula buah keras kepada mereka.
Kita kuasai pula ekonomi, kita surprise pula mereka. Wujudkan lebih banyak peniaga kecil dan sederhana Melayu - peruncit dan pemborong - serta jutawan-jutawan Melayu Bumiputera. Ubah kawasan miskin Melayu kepada lebih selesa, senang, kaya dan akhirnya, mewah.
Berdosa kita jika jihad ini gagal. Ke neraka jahaman kita jika jihad ini tidak dapat dijayakan. Ayuh bangkitlah...

Enam anak Felda takluk Everest

Muhamad Muqharabbin Moktharrudin (kanan) memimpin bacaan doa sebelum para pendaki Everest-Felda 2013 memulakan pendakian di Kem Induk Everest, Nepal pada 17 Mei lalu.
*****
LUKLA 21 Mei - Enam daripada tujuh pendaki dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest di ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut (dpl) pagi ini.
Pendaki terawal, Mohd. Nasuha Shamsudin, 21, dari Felda Tersang 3, Raub, Pahang tiba di puncak pada pukul 8.31 pagi waktu Nepal, diikuti Mohamad Asyraf Mohd. Halim, 25, (Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor, 8.48 pagi); Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, (Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang, 9.11 pagi); Zainudin Lot, 37, (jurulatih, 10.16 pagi); Myrza Fasha Md. Hamyrudin, 25, (Felda Tersang 3, Raub, Pahang) dan Muhammad Illaham Ishak, 37, (jurulatih), masing-masing 11 pagi.
Seorang pendaki lain, Siti Hanisah Sharuddin, 23, (Felda Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan) terpaksa berpatah balik setelah tiba di ketinggian 8,748 meter (South Summit) kerana masalah kesihatan.
Kesemua pendaki berkenaan merupakan peserta projek Everest-Felda 2013 kelolaan KE7B yang dipimpin bekas pendaki Everest 2004, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Dalam pendakian ini, dua rekod baharu dicipta apabila Mohd. Nasuha muncul sebagai pendaki termuda dan Myrza Fasha (pendaki wanita termuda) dalam sejarah mendaki Gunung Everest negara sejak tahun 1997.
Pada 1997, M. Magendran dan N. Mohandas muncul sebagai rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest.
Rekod pendaki negara termuda sebelum ini dipegang oleh Muhamad Muqharabbin yang berusia 22 tahun ketika menakluk puncak Everest pada 2004.
Myrza Fasha memecahkan rekod dipegang oleh Marina Ahmad yang menjejakkan kaki ke puncak Everest ketika berusia 26 tahun pada 2007.
Setiap kali pihak media dan pendaki sokongan menerima laporan tentang kejayaan para pendaki di Kem Induk Everest (EBC), beberapa sherpa bertugas akan mengetuk periuk bagi meraikan kejayaan para pendaki.
Ini merupakan tradisi yang diamalkan oleh kumpulan sherpa setiap kali mendapat berita gembira kejayaan pendaki.
Mohd. Nasuha berkata: “Alhamdulillah dengan izin Allah, saya kini berada di puncak Gunung Everest. Terima kasih semua," katanya ringkas dari puncak Gunung Everest melalui walkie-talkie kepada wakil media dan pendaki sokongan di EBC hari ini.
Menurutnya, beliau merupakan pendaki terawal tiba di puncak bersama Pemba yang merupakan seorang sherpa yang mengiringinya dalam pendakian tersebut.
Mohamad Asyraf pula menjadi pendaki kedua tiba di puncak pada pukul 8.48 pagi.
“Asyraf kini berada bersama saya di puncak. Keadaan cuaca amat baik dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Matahari tidak terlalu terik," kata Mohd. Nasuha.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, beliau bersyukur kerana kesemua pendaki berjaya mencapai misi yang ditetapkan dalam projek Everest-Felda 2013.
Menurutnya, walaupun pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa diharungi sepanjang menjalani latihan sejak tujuh bulan lalu, namun matlamat projek dapat disempurnakan.
“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa mereka untuk melihat anak-anak Felda ini berjaya melakar sejarah di puncak Gunung Everest. Kejayaan ini juga adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia," katanya melalui telefon di sini.
Pendakian fasa terakhir ke puncak menyaksikan kesemua pendaki meninggalkan Kem 4 di ketinggian 7,900 meter dpl pada pukul 8.15 malam semalam (20 Mei).
Setelah berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest, semua pendaki kini dalam perjalanan turun semula ke Kem 4 untuk bermalam sebelum turun ke Kem 2 pada 22 Mei untuk bermalam dan akhir sekali ke EBC di ketinggian 5,363 meter dpl pada 23 Mei.
Pada 2 April lalu, kumpulan pendaki anak-anak muda Felda itu bersama 13 pendaki sokongan berlepas ke Kathmandu, Nepal untuk menjalani latihan di Banjaran Himalaya termasuk Gunung Lobuche Timur dan Island Peak dalam misi menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.
Ekspedisi yang dikenali Demi Negara Everest Felda 2013 itu mendapat sokongan dan tajaan daripada Felda, Felda Global Ventures Holdings Bhd. dan Majlis Belia Felda Malaysia. - UTUSAN

Penggabungan selesai sebulan

Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pelajaran I, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pelajaran II, P. Kamalanathan sejurus tiba di Kementerian Pelajaran bagi memulakan tugas sebagai Menteri Pelajaran di Putrajaya, semalam. - BERNAMA 
*****
PUTRAJAYA 21 Mei - Proses penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang digabungkan di bawah satu kementerian dan akan dikenali sebagai Kementerian Pendidikan dijangka selesai dalam tempoh sebulan lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses tersebut bertujuan meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan menamakan kementerian yang menggabungkan dua entiti itu sebagai Kementerian Pendidikan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat ini.
"Proses pencantuman kedua-dua kementerian ini bukan sesuatu yang sukar kerana Kementerian Pelajaran menumpukan kepada sekolah rendah dan menengah yang telah dilakukan sekian lama, manakala KPT pula berurusan dengan pendidikan tinggi yang sehingga kini telah dilaksanakan dengan baik dan cemerlang oleh kepimpinan terdahulu.
"Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Dr Ali Hamsa), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) (Datuk Mohamad Zabidi Zainal) dan kepimpinan tertinggi kedua-dua kementerian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan barisan pegawai dan kepimpinan tertinggi KPT di sini hari ini.
Mengenai penstrukturan jawatan ketua setiausaha dan ketua pengarah kedua-dua kementerian terbabit, Muhyiddin berakta, KPPA mempunyai beberapa cadangan yang akan dikemukakan minggu depan.
"Selepas itu, saya akan bincang dengan Perdana Menteri untuk kelulusan sebelum dilaksanakan," katanya.
Muhyiddin berkata, beliau berharap penggabungan kedua-dua kementerian itu akan melicinkan usaha meningkatkan tahap pendidikan negara di masa depan.
Beliau menambah, harapan itu sejajar dengan langkah kedua-dua kementerian terlibat melancarkan pelan strategik masing-masing iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Nasional.
"Kedua-dua pelan itu boleh terus kita laksanakan dalam beberapa tahap akan datang dan jika memerlukan penyelerasan, kita akan lakukan selagi tidak menjejaskan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan yang setanding dengan negara maju," katanya.
Beliau berkata, penggabungan kedua-dua kementerian dengan sumber yang lebih luas dari segi kepakaran dan kemahiran itu boleh dimanfaatkan bersama sambil memberi contoh, kepakaran tenaga pensyarah digunakan untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah.

20 Mei 2013

Ibu pejabat korporat baharu Kumpulan Utusan siap sepenuhnya

MOHAMED Hashim Ahmad Makaruddin (tengah), Johari Mat (dua dari kiri) dan Ariffin Md. Nor (kanan) menyaksikan Abdul Rahim Ahmad (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Mohd. Nasir Ali pada Majlis Penyerahan Bangunan baharu Ibu Pejabat Korporat Utusan dan Doa Selamat di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN 
*****
KUALA LUMPUR 17 Mei - Ibu pejabat korporat baharu Utusan Melayu (M) Berhad yang serba moden dengan dua blok bangunan masing-masingnya setinggi sembilan tingkat dan lapan tingkat siap pembinaannya, sekali gus menjadi mercu tanda baharu di Jalan Chan Sow Lin di sini.
Majlis penyerahan kunci bangunan baharu itu berlangsung hari ini dan disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Johawaki, Datuk Abdul Rahim Ahmad kepada Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dengan disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Pengerusi Johawaki Sdn. Bhd., Ariffin Md. Nor.
Yang turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Pengarah Urusan Kumpulan Johawaki, Datuk Johari Mat.
Menurut Ariffin, Kumpulan Johawaki berbangga dapat bekerjasama dengan Kumpulan Utusan membina ibu pejabat korporat baharu itu yang sudah semestinya akan terakam dalam lipatan sejarah negara.
"Lebih manis, Kumpulan Utusan berpindah ke ibu pejabat baharu pada ulang tahun ke-75 penubuhannya dan kami berharap Kumpulan Utusan akan terus berkembang dan mantap," katanya.
Sementara itu, arkitek GDP Architects Sdn. Bhd., Mohd. Zainuddin Md. Noor berkata, reka bentuk Ibu Pejabat Korporat Kumpulan Utusan tersebut mengambil konsep 'pandang ke dalam' dengan memiliki elemen-elemen Melayu.
"Kami menerapkan elemen-elemen Melayu seperti rumah Melayu, anjung, tiang seri, songket serta songkok yang dipadankan secara tersirat dalam reka bentuk moden bangunan baharu ini," katanya.
Ibu pejabat baharu Kumpulan Utusan yang terletak berhadapan ibu pejabat sedia ada itu dilengkapi pelbagai infrastruktur serta kelengkapan teknologi maklumat (IT) terkini seiring kepesatan dunia media massa kini.
Mula dibina pada 20 Mei 2010, bangunan baharu itu menempatkan ruang pejabat kepada kira-kira 900 petugas, auditorium dengan 400 tempat duduk, kafeteria, surau, gimnasium serta blok ruang letak kereta bertingkat.

Khalid Abu Bakar terima watikah pelantikan KPN

KHALID Abu Bakar (kiri) menerima watikah pelantikan Ketua Polis Negara daripada Abdul Rahim Mohamad Radzi di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 17 Mei - Tan Sri Khalid Abu Bakar menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Watikah pelantikan kepada pangkat Inspektor Jeneral itu diserahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.
Menurut laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, Abdul Rahim turut menyerahkan watikah pelantikan kepada Timbalan KPN, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang menyandang pangkat baharu sebagai Deputi Inspektor Jeneral.
"Sebaik sahaja majlis selesai, Khalid mempengerusikan mesyuarat bersama Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak, Ketua-Ketua Polis Negeri serta Komander-Komander di Bilik Mesyuarat Utama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam," kata kenyataan itu.
Khalid dilantik sebagai KPN yang Ke-10 bagi menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang telah tamat kontrak semalam.

Guru mesti sanggup laksana perubahan

SEREMBAN 17 Mei - Para guru diajak untuk meningkatkan semangat profesionalisme masing-masing dalam menghadapi cabaran baharu alaf pendidikan negara.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud (gambar) memberitahu, warga guru merupakan golongan profesional yang mesti sanggup menerima dan melaksanakan perubahan, responsif kepada perubahan dan seterusnya menjana serta menjuarai perubahan tersebut.
Jelasnya, bagi menjuarai perubahan ini, warga guru perlu peka kepada persekitaran pekerjaan selain tidak mudah berpuas hati dengan tahap pencapaian dan keberhasilan kerja, seterusnya menjadi pemecah paradigma dengan meneroka penyelesaian baharu kepada sebarang isu pendidikan.
"Guru-guru adalah pendidik yang inventif dan inovatif serta memiliki mentaliti boleh lakukannya dalam menyempurnakan visi dan misi pendidikan negara.
"Sumbangan paling bermakna dan tindakan paling berkesan dapat dicapai sekiranya tenaga kerja profesional dalam jentera pendidikan negara merupakan sepasukan profesional yang responsif terhadap fenomena, cabaran dan harapan baharu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas berucap pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini malam tadi. Perasmian majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pelajaran I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pelajaran II, P. Kamalanathan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed.
Menyentuh mengenai tema sambutan Hari Guru tahun ini "Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda", Abdul Ghafar menjelaskan, ia menuntut semua guru dalam negara ini mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.
Jelas beliau, menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi, iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.
Kata Abdul Ghafar lagi, 1Aspirasi adalah untuk memberi fokus kepada inisiatif yang berimpak tinggi kepada keberhasilan dan kemenjadian murid.
"Ia berpaksi ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi," katanya.