3 April 2008

Najib ketuai program turun padang mulai 10 April

KUALA LUMPUR 2 April – Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai program turun padang bagi menemui ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk memberi penjelasan berhubung keadaan parti.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Timbalan Presiden parti akan memulakan kempen itu pada 10 April ini di Kedah dan Pulau Pinang diikuti ke Perak dan Selangor pada 14 April ini sebelum ke Wilayah Persekutuan.
Jelas beliau, ini adalah inisiatif awal UMNO untuk memulihkan semula semangat dan keyakinan ahli-ahli berikutan pelbagai masalah yang dihadapi oleh parti selepas pilihan raya umum, baru-baru ini.
‘‘Kita telah bersedia sekarang untuk mengatur dan menyusun semula inisiatif kita menemui ahli-ahli di akar umbi.
‘‘Najib akan bertemu dengan ahli-ahli akar umbi membabitkan tiga sayap; Wanita, Pemuda, Puteri dan juga di peringkat bahagian,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menutup Seminar Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Pusat Pameran dan Perdagangan Matrade, di sini hari ini.
Beliau berkata, Najib akan dibantu oleh ahli Majlis Tertinggi UMNO yang lain.
Muhyiddin menjelaskan, program itu juga akan memberi peluang kepada semua ahli meluah perasaan tidak puas hati secara terbuka kepada pucuk pimpinan.
‘‘Kita tidak mahu sekat mereka bersuara. Mereka berhak berkata apa sahaja termasuk kelemahan parti dan kepimpinan, kelebihan parti lawan dan apa yang telah berlaku sepanjang kempen pilihan raya lalu, termasuk perkembangan dan masalah yang dihadapi di negeri yang ditadbir oleh parti-parti pembangkang,’’ katanya.
‘‘Kita akan dengar pandangan mereka dan atur semula apa yang perlu dibuat,’’ ujarnya.

Tiada ulasan: