SHAH ALAM: Ahli Umno dan individu yang terbabit dalam perniagaan tidak akan dilantik sebagai pegawai dan pentadbir masjid yang baru oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali, berkata senarai nama pegawai dan pentadbir masjid yang baru itu sudah disiapkan dan diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam menyiapkan senarai ini sebelum mendapat perkenan Sultan," katanya ketika menjawab soalan Dr Abd Rani Osman (Pas-Meru) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.Hassan berkata, pegawai dan pentadbir masjid yang bakal dilantik itu adalah di kalangan mereka yang mengutamakan intergriti, amanah dan ikhlas dalam menjalankan tugas.
Katanya, pegawai dan pentadbir masjid baru itu akan dihantar mengikuti Program Pembangunan Insan bagi memastikan mereka menjalankan tugas dengan perasaan takut kepada Allah. Hassan (Pas-Gombak Setia) itu berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan e-khutbah sesuai dengan era baru kerajaan Pakatan Rakyat.
"Cara penyampaian khutbah hari ini membuatkan jemaah tertidur sedangkan khutbah spatutnya menjadi corong ilmu, corong pembangunan ummah dan corong bangkitkan semangat jihad," katanya.Menjawab soalan Suhaimi Shafie (PKR-Sri Muda) jika ada pegawai dan pentadbir masjid menyeleweng urusan kewangan, Hassan berkata, laporan polis akan dibuat jika ada unsur jenayah.
Bagaimanapun, jika kesalahan pegawai dan pentadbir masjid atau surau itu hanya membabitkan peringkat kampung, individu akan dipanggil untuk memberi keterangan sebelum dinasihatkan melepaskan jawatan.
- BH, 23/05/08.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan