8 Mei 2008

Pemimpin Pas elak ulas Karpal

KOTA BHARU 7 Mei - Dua pemimpin kanan Pas mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak memberikan sebarang ulasan berhubung tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang terus mempersoalkan bidang kuasa Sultan Perak.
Meskipun beberapa pihak menyifatkan tindak tanduk Karpal itu sebagai biadap, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Mat dan Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa enggan mengulas, seolah-olah cuba mengelak daripada turut terjebak dalam isu itu.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak boleh memberikan sebarang komen kerana bimbang ia akan dijadikan isu oleh pihak tertentu.
Meletup"Itu saya tidak mahu (mengulas mengenai kenyataan Karpal)... meletup kena kepala saya, jangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan beberapa pihak menyifatkan Karpal biadap kerana terus mempersoalkan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pertukaran dan pelantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula memberikan alasan tidak dapat memberi komen kerana tidak mengetahui isu tersebut.
"Saya tak perasan (berita) dalam surat khabar... dia (Karpal) tu orang istimewa," katanya yang enggan mengulas lanjut.
-- UM, 08/05/08.

Tiada ulasan: