24 Jun 2008

2 ahli Parlimen SAPP gagal hadir, ikatan kuat BN terbukti

Oleh AMRAN MULUP dan S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 23 Jun – Dua Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau) dan Datuk Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar), yang digembar-gemburkan akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri gagal menghadiri sidang Parlimen hari ini.

Sepanjang Dewan Rakyat bersidang dari pagi sehingga malam ini, apa yang dirancangkan itu langsung tidak menjadi kenyataan, ibarat kata pepatah jauh panggang dari api.

Dalam pengundian usul subsidi minyak yang dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat, ahli-ahli Parlimen BN menunjukkan mereka tetap bersama kerajaan dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi walaupun tanpa kehadiran Soon Bui dan Majimbun.

Ketidakhadiran dua wakil rakyat SAPP itu menjadikan dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tiga bulan lalu kononnya akan berlaku ‘rampasan kuasa’ dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pakatan pembangkang hanya cakap-cakap politik tin kosong.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, usaha yang dirancang oleh pembangkang merupakan provokasi untuk mengelirukan dan menimbulkan keraguan anggota komponen BN dan rakyat.

“Saya percaya wujud ikatan kuat dalam kalangan parti komponen BN untuk berada di belakang kepimpinan Perdana Menteri dan kami tidak sama sekali akan berpaling tadah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Dalam nada geram, Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional menegaskan, perbuatan itu sebenarnya satu cubaan untuk menjadikan rakyat dan negara sebagai pertaruhan bagi mencapai kepentingan peribadinya.

Razali Ibrahim (BN-Muar) berkata, parti pembangkang kini berpolitik dengan cara perang psikologi yang “jelas melanggar semangat demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.”

“Saya melihat mereka ini bermain politik hanya untuk kepentingan peribadi masing-masing tanpa memikirkan soal kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Razali meminta rakyat menunjukkan penentangan terhadap perilaku ahli-ahli politik pembangkang yang cuba mengeruhkan suasana politik di negara ini dengan dakwaan-dakwaan liar.

Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai) pula berkata: “SAPP memang menyedari usaha mereka untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak mungkin terjadi.

“Mereka (SAPP) cuba melakukan perkara itu kerana termakan pujukan pembangkang... akibatnya ahli-ahli parti itu yang tidak menyokong usul tersebut kini menjadi mangsa,” katanya.

Tindakan pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan cakap-cakap mengenai usul tergempar undi tidak percaya terbukti apabila Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga petang ini tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah.

- UM, 24/06/08.

Tiada ulasan: