13 Julai 2008

Muhyiddin: Tempoh terlalu lama?

Pak Lah... kenapa nak tunggu sampai 2010. Lambat lagilah Pak Lah, perubahan dan pemulihan dalam UMNO mesti dibuat segera.

TOKYO 10 Julai - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan jawatan dalam UMNO yang dirancang pada 2010 adalah terlalu lama.
"Ada yang menyatakan kebimbangan kalau tempoh sepanjang itu keadaan tidak akan bertambah meyakinkan. Ini hal-hal yang perlu ambil kira," katanya.
Oleh yang demikian, katanya, ada ahli UMNO yang berpendapat adalah lebih baik anggota-anggota parti sendiri yang memutuskan soal kepimpinan parti.
"Kita akan lihatlah. Tempoh pemilihan ini masih panjang. Kenapa tergesa-gesa untuk buat keputusan sekarang. Tetapi tidak mengapa, tempoh pemilihan bulan 10 (Oktober) maka waktu itu UMNO yang bersidang di tiap-tiap bahagian tentu akan menilai sama ada apa yang diputuskan suatu yang mereka sukai ataupun mereka ada pandangan masing-masing," katanya.
Muhyiddin, yang kini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama enam hari ke Jepun, berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyerahkan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO tidak mengongkong mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang mereka fikir adalah yang terbaik untuk mereka.
Beliau berkata, sekiranya UMNO masih mengamalkan sistem demokrasi, ia pasti tidak akan menghalang anggota parti daripada menyuarakan apa yang terbaik untuk mereka dan parti.
Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi adalah sesuatu yang perlu dihormati.
"Tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah pandangan setiap ahli UMNO yang diwakili di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka ada kemahuan… mereka ada aspirasi… mereka juga ada harapan," katanya.


- UM, 11/07/08.

Tiada ulasan: