24 Julai 2008

Pas mahukan muqabalah

KOTA BHARU 23 Julai - Mesyuarat kepimpinan tertinggi Pas hari ini akan meneruskan pertemuan dengan UMNO jika keadaan memerlukan demi menjaga kepentingan Islam dan perpaduan rakyat terutama di negeri-negeri diperintah oleh pakatan pembangkang.
Bagaimanapun, mereka menegaskan pertemuan itu tidak akan terarah kepada usaha penggabungan dua parti Melayu tersebut yang menimbulkan salah faham kini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hadir dalam mesyuarat itu meminta istilah pertemuan itu ditukar kepada 'muqabalah' (bersemuka) yang lebih tepat maksudnya dan bukannya 'muzakarah' seperti yang dikatakan oleh media dan UMNO.
Beliau mengulangi pendiriannya sebelum ini iaitu tidak bersetuju dengan pendekatan muzakarah tetapi merestui muqabalah sama seperti yang dipersetujui oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama parti itu pada April lalu.
"Masalah muzakarah saya tutup fail, kenyataan saya yang membenarkan pertemuan atas nama individu dan kepentingan Islam adalah sama dan tidak bercanggah dengan Presiden dan Majlis Syura.
"Saya dan Presiden adalah bersependapat bahawa perjumpaan dengan UMNO sebelum ini bukan untuk membincangkan masalah pergabungan dan saya minta media serta pihak lain menukar muzakarah kepada muqabalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Harun Din; Abdul Hadi, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud dan timbalannya, Ahmad Awang.
Abdul Hadi yang menyambung kenyataan Nik Abdul Aziz berkata, salah faham penggunaan perkataan muzakarah berpunca daripada kalangan media yang tidak memahami penggunaan istilah bahasa Arab.
"Muzakarah lebih membawa maksud kepada perdebatan antara dua pihak manakala muqabalah ialah pertemuan antara dua pihak bagi membincangkan kepentingan Islam dan penduduk negara ini.
"Dalam muqabalah itu kita minta UMNO selesaikan isu yang kita bangkitkan dan langsung tiada isu untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN). Jadi semua pihak yang menyokong kita sebelum ini tidak perlu bimbang," katanya.
"Pas masih kekal dalam pakatan pembangkang dan menjadi kewajipan untuk mempertahankan kepentingan Islam dan memperjuangkan keadilan kepada seluruh penduduk," katanya menafikan wujud percanggahan antara beliau dan Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, Harun mendakwa bahawa muqabalah yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu sebenarnya dimulai oleh UMNO dan bukannya Pas.
"Buktinya ialah Abdullah yang membuat kenyataan itu malah kita langsung tidak membuat sebarang kenyataan mengenainya sebelum ini, ia secara tidak langsung mengakui kekuatan Pas walaupun tidak membuatnya secara terbuka. Kalau tidak, mustahil UMNO yang memulakannya," katanya.
- UM, 24/07/08.

Tiada ulasan: