24 Julai 2008

Rakyat Terengganu terkejut pembelian Mercedes

Oleh IRMAN HASHIM
KUALA TERENGGANU 22 Julai – Rata-rata rakyat Terengganu terkejut dengan tindakan kerajaan negeri membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar raya ini mendapati penduduk kesal dan tidak bersetuju dengan pembelian kereta berkenaan kerana menganggap ia satu pembaziran.
Seorang pekerja swasta, Badrul Hisham Ashari, 44, ketika ditemui berkata, ia merupakan pembaziran wang rakyat walaupun pembelian kereta Mercedes berkenaan tidak melibatkan wang royalti minyak.
‘‘Tidak kira pembelian kereta itu tidak menggunakan wang royalti minyak, rakyat yang menanggung kos pembelian kereta ersebut berdasarkan pembayaran pelbagai cukai yang dikenakan oleh kerajaan negeri.
‘‘Kerajaan negeri sepatutnya memikirkan secara mendalam sebelum membeli kereta mewah itu,’’ katanya.
Seorang peniaga restoran, Allen Ho, 36, pula berkata, pembelian kereta sebagai kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri sepatutnya mengikut kemampuan kewangan negeri.
‘‘Semua orang tahu Terengganu bukanlah negeri kaya tetapi apa tanggapan orang luar apabila melihat pemimpin-pemimpin negeri memakai kereta mewah seperti Mercedes ini,” ujarnya.
Seorang lagi pekerja swasta, Saiful Bahrin Abd. Ghani, 35, berkata, kerajaan negeri sepatutnya membeli kereta Proton Perdana V6 Executive baru yang harganya lebih murah.
‘‘Kerajaan negeri menyatakan hendak melakukan penjimatan jadi beli sahaja kereta Perdana V6 Executive kerana kereta baru tidak cepat rosak selain kosnya lebih rendah,” katanya.
Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, Razlan Aminuddin, 25, berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan kereta nasional sebagai kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri.
‘‘Kos penyelenggaraan tidak sepatutnya menjadi faktor pembelian kereta import kerana ia tidak dilakukan setiap bulan,’’ katanya.
Rakannya, Mohd. Fakeri Ali, 27, berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya membeli kereta mewah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
‘‘Jika pembelian itu tidak dilakukan, wang tersebut dapat digunakan untuk melaksanakan program bagi membantu rakyat,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, seorang peniaga pakaian, Sheikh Faisal MR-Sallah, 35, pula berkata, pembelian kereta Mercedes E200 perlu dilihat dari sudut yang berbeza.
‘‘Exco-Exco memerlukan sebuah kereta yang lasak dan tahan lama jadi kereta Mercedes ini amat sesuai dengan tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan ketika menemui rakyat,’’ katanya.- UM, 23/07/08.

Tiada ulasan: