18 Ogos 2008

Isyarat lucah, samseng cemari kempen Permatang Pauh

Oleh ZULKIFLI JALIL
KEMPEN pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada hari pertama semalam yang diharapkan tenang bagaimanapun tidak seperti mana diinginkan.Sebaik selesai penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam pada pukul 12 tengah hari semalam, langit di Permatang Pauh lima minit kemudian mula mendung diikuti hujan lebat.
Ketika bersesak-sesak para penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan pusat penamaan dengan berjalan kaki hampir setengah kilometer, bermulalah provokasi yang ditimbulkan oleh para penyokong mereka.
Dengan berteduh di bawah jejambat Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), rata-rata mereka yang terdiri dari kalangan pemuda berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun begitu agresif memekik setiap kali melihat penyokong Barisan Nasional (BN) termasuk ahli Puteri.
Penulis yang berada di situ mendapati keadaan keadaan tidak terbendung menyebabkan beberapa anggota Unit Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa mengiringi anggota penyokong kerajaan ke laluan yang selamat.
Kata-kata nista seperti 'anjing polis dan makan rasuah' terpacul daripada beberapa kumpulan penyokong PKR terbabit.
Ketika sibuk melaungkan reformasi sambil menjerit memaki hamun, tiba-tiba mereka terlihat seorang lelaki India memakai kemeja berwarna yang mempunyai lambang BN.
''Buka, buka," jerit salah seorang penyokong PKR terbabit menyebabkan lelaki berkenaan terpaksa menenangkan mereka. Dengan raut wajah penuh bimbang, dia lantas menanggalkan bajunya sebelum disambar oleh dua lelaki lalu memijak dan melemparkannya dalam takungan air berhampiran.
Lebih awal dari itu, ketika para pemimpin BN yang diketuai Pengarah Pilihan Raya BN Pusat, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mengiringi calon Datuk Arif Shah Omar Shah memasuki perkarangan pusat penamaan, pelbagai laungan perkataan kesat, pedih dan maki-hamun dilemparkan kepada Najib.
Bukan saja beliau tetapi ramai lagi yang terkena 'bahangnya'. Antaranya, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
''Belum pernah rekod pilihan raya kecil seburuk ini... teruk... teruk sungguh. Mereka mencarut, maki hamun dan buat isyarat lucah terhadap kaum wanita dan ibu. Malu saya apabila ada ibu dan bapa yang bawa anak kecil juga melihat perlakuan mereka tu," katanya yang tidak dapat menyembunyikan kemarahannya.
Tengah hari semalam juga, seorang jurugambar Kumpulan New Straits Times, Mohammed Sairen Nahfis dan jurugambar HBL Press News, Halim Berba turut menerima bahana apabila dipukul oleh sekumpulan penyokong PKR.
Nasib Mohammed Sairen bak 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila kameranya dilarikan.
Kelmarin juga, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom turut ditimpa musibah apabila kereta yang dinaikinya dikepung oleh para penyokong PKR disamping diketuk dan dihenyak - ketika melalui Kubang Seman.
- Utusan, 17-08-8.

Tiada ulasan: