BUKIT MERTAJAM: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap penyokong parti politik yang membelasah dua jurugambar media pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, kelmarin.
Pada masa sama, polis memberi jaminan akan membuat pemantauan berterusan bagi mengelak berulangnya kejadian tidak diingini sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.
Jaminan itu diberi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, semalam.Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menyifatkan tindakan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerang dua jurugambar itu sebagai amat memalukan.
Perdana Menteri berkata, semua pihak patut menggunakan proses demokrasi dengan cara yang betul untuk berkempen bagi memilih wakil masing-masing ke Parlimen.
"Bertindak liar, ganas dan mencederakan seseorang itu adalah satu kesalahan jenayah dan pihak terbabit patut dikenakan tindakan," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jawatankuasa dan pegawai masjid serta pemimpin masyarakat Cina Parlimen Permatang Pauh di Seberang Jaya dekat sini, semalam.
Dalam kejadian berdekatan pusat penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun itu, jurugambar The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Mohd Sairien Nafis, 26, cedera di pinggang, manakala kameranya bernilai kira-kira RM15,000 dirampas penyokong PKR.Turut diserang dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu ialah jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar.Abdullah berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang dan tidak bertindak sesuka hati.
Kalau berlaku macam itu, ia menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang dan nak harapkan orang seperti ini membantu memenangkan calon mereka. Ini tidak wajar sebenarnya," katanya. Perdana Menteri berkata, walaupun rakyat diberi kebebasan memilih wakil mereka, ia ada had dan bukan dengan mengadakan demonstrasi.
"Inikah demokrasi yang dikatakan oleh pihak Barat, mesti ada demonstrasi untuk menuntut kebebasan, seolah-olah negara ini tidak ada kebebasan. "Surat khabar macam-macam tulis dan mengata kita dan internet juga, tetapi orang kata masih tidak bebas lagi.
Nak bebas macam mana, saya pun hairan apa kebebasan yang dituntut sekarang. Mana boleh kebebasan yang tiada had dalam dunia ini," katanya. Ismail yang dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur pula, menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana keadaan di Permatang Pauh masih selamat dan terkawal.
Beliau juga berkata, penambahan anggota polis di Permatang Pauh akan dibuat mengikut keadaan dan keperluan. Sementara itu, Mohd Bakri mengesahkan polis sudah menerima laporan berhubung salah laku penyokong parti terbabit.
Polis akan menyiasat dan bertindak tegas. Saya mahu beri amaran kepada semua pihak supaya jangan mengambil tindakan undang-undang secara sendiri, katanya.Mengenai dakwaan sekumpulan ahli Puteri Umno diraba di punggung dan diludah penyokong PKR, Mohd Bakri meminta mangsa membuat laporan polis kerana perbuatan itu satu jenayah cabul.
Kita tidak boleh mengambil tindakan berdasarkan andaian atau laporan akhbar semata-mata, sebaliknya pihak terbabit perlu membuat laporan, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan