10 Ogos 2008

Rasuah politik boleh menghancurkan parti

SEJAK bermulanya mesyuarat-mesyuarat cawangan UMNO bulan lalu, difahamkan sudah banyak laporan rasuah politik diketengahkan kepada pucuk pimpinan parti. Tidak hairanlah jika Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Mustapha Mohamed dalam laporan akhbar Jumaat lalu turut menyuarakan kebimbangan mengenai rasuah politik yang dianggapnya sebagai terburuk pernah berlaku dalam pemilihan UMNO.
Mungkin ada benarnya telahan beliau kerana gejala politik wang nampaknya semakin merebak hingga ke akar umbi. Ini baru sahaja mesyuarat cawangan-cawangan dan belum pun bermula pemilihan di peringkat bahagian mahupun pusat. Kalau di peringkat cawangan pun sudah berleluasa budaya sogokan wang, tidak dapat dibayangkan penulis apa akan berlaku waktu pemilihan bahagian dan pusat kelak.
Apa yang dikhuatirkan jika budaya rasuah politik ini dibiar merebak di kalangan ahli hingga ke peringkat akar umbi, sudah pastilah parti akan semakin lemah dan goyah terutamanya dalam suasana politik semasa yang penuh mencabar.
Penulis hairan dengan sikap segelintir ahli dan pimpinan parti yang semacam tidak insaf apa lagi sensitif dengan kemerosotan sokongan rakyat terhadap parti sebagaimana yang diterjemahkan dalam pilihan raya umum lalu. Seolah-olah mereka hidup dalam dunia asing yang terpisah daripada realiti tanpa menghiraukan apa akan berlaku kepada parti.
Lebih mendukacitakan apabila rasuah politik turut berleluasa di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Sogokan berupa wang-ringgit dan pemberian hadiah seperti jam tangan dan gelang magnetik merupakan sebahagian daripada rasuah yang diberikan kepada ahli-ahli cawangan demi memastikan calon cukup pencalonan dan mendapat jaminan undi pada pemilihan bahagian .
KempenYang lebih menghairankan penulis ialah gerak-kerja dan pendekatan kempen oleh jentera-jentera calon kadangkala lebih hebat daripada jentera kempen ketika pilihan raya menentang parti lawan. Sesekali terdetik dalam hati penulis, alangkah baiknya kalau waktu pilihan raya jentera parti dapat bekerja sekeras dan sederas seperti yang dilakukan dalam kempen pemilihan parti.
Penulis pernah melontarkan persoalan kepada seorang pimpinan bahagian mengenai suasana pemilihan parti. Di antara persoalan termasuklah mengapakah ahli-ahli parti begitu galak berebut jawatan parti hingga sanggup melabur dan menghabiskan wang dan kudrat sebegitu rupa? Mengapa tidak jentera-jentera parti bekerja sekeras ini waktu pilihan raya?
Jawab pemimpin UMNO yang agak berumur itu ringkas sahaja, katanya "harga jawatan parti lebih mahal daripada jawatan wakil rakyat". Penulis yang agak baru dalam dunia politik ini cuba menyingkap maksud tersirat yang diluahkan pemimpin parti yang agak senior itu.
Jelasnya lagi, jawatan parti merupakan tiket besar untuk mendekati pemimpin dan melobi projek sekali gus memperkayakan diri dan kroni. Sedangkan kalau jadi wakil rakyat duit terpaksa dihabiskan untuk melayan pelbagai kerenah rakyat yang sentiasa meminta itu dan ini.
Jika benarlah pemikiran dan sikap sebegini yang mengakar dalam diri warga UMNO ketika ini tidak hairanlah mengapa UMNO masih gagal merampas kembali Kelantan. Jauh sekali jika berhajat untuk menambat hati pengundi di negeri-negeri lain yang telah pun jatuh ke tangan pembangkang. Bahkan budaya yang diibaratkan sebagai gunting dalam lipatan ini jika dibiar menjadi barah pastinya akan meranapkan parti secara sedikit demi sedikit.
Persoalannya apakah warga parti rela budaya yang berteraskan sogokan wang dan rasuah seperti ini terus berleluasa dalam parti? Adakah kita bersedia untuk melihat parti keramat ini dibinasakan oleh petualang-petualang yang sanggup mengorbankan parti demi mengejar kemewahan diri? Atau apakah kita lebih reda melihat parti yang besar jasanya kepada bangsa dan negara ini terkubur lantaran sikap ahli dan pemimpin yang tidak lagi berpegang kepada idealisme parti yang murni?
Ingatlah, keupayaan UMNO untuk terus kekal relevan dalam mengemudi bahtera perjuangan bangsa amat tergantung kepada keupayaan setiap pendokongnya memahami idealisme perjuangan yang luhur dan murni. Kegagalan pendokong-pendokong UMNO menghayati nilai perjuangan yang hakiki hanya akan memberi isyarat bahawa parti sedang menjerumus ke arah kebinasaan.
Memang ketika ini semakin banyak gejala yang mengisyaratkan kepudaran idealisme perjuangan di kalangan para pendokong perjuangan. Mengakarnya gejala politik wang dan pelbagai rasuah politik seperti yang dibicarakan ini pun adalah sebahagian petanda bahawa perjuangan politik ahli UMNO sedang mengalami krisis nilai yang parah.
Lebih membimbangkan jika generasi pemuda dan pewaris UMNO turut diselaputi pemikiran bahawa perjuangan parti merupakan kerjaya cari makan, menukar kereta besar, rumah besar dan serba-serbi besar. Akhirnya rakyat yang bijak menilai akan menolak parti lantaran kejelekan melihat pimpinan Pemudanya yang hidup mewah sekelip mata setelah memegang jawatan parti. Kalau Khalifah Umar hidup di zaman ini tentu beliau akan bertanyakan soalan lazim apabila menziarahi pimpinan bawahannya: Dari mana kamu dapat wang membeli kereta mewah sedangkan gaji tidak setara?
RakusJika budaya ini berterusan parti akan semakin hilang manusia-manusia berjiwa pejuang yang sanggup berkorban jiwa-raga dan harta-benda demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci. Sebaliknya yang lahir adalah petualang-petualang berjiwa rakus yang sentiasa bersiap-siaga menghidu peluang dan ruang untuk memuaskan serakah nafsu yang tidak pernah kenal erti puas.
Kita harus insaf bahawa tidak ada jaminan sesebuah parti dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatan semata-mata bernostalgiakan sejarah perjuangan silam nenek-moyang yang sememangnya banyak berjasa memerdekakan negara dan membangunkan bangsa.
Namun sejarah turut membuktikan hakikat sunnatullah yang mentakdirkan jatuh atau bangun, unggul atau hancurnya sesuatu bangsa amat bergantung kepada perilaku moral, tingkah dan olah mereka sendiri. Allah berfirman: Apakah mereka tidak memerhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu dan Kami curahkan air hujan yang lebat ke atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain. (Surah Al-An'am: 6).
Pernyataan tegas Allah ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Isu penggantian suatu bangsa dengan bangsa yang lain disebut berulang-kali di dalam al-Quran. Amaran keras ini dikhususkan kepada mereka yang lalai, ghairah dan khayal kepada kebendaan duniawi hingga lupa kepada tanggungjawab dan idealisme perjuangan yang hakiki.
Sebab itulah usaha penjernihan harus segera dilakukan bagi membanteras budaya rasuah politik yang memalukan ini. Budaya membeli undi dengan sogokan kebendaan mesti dikekang habis-habisan agar tidak terus menjadi barah yang memporak-perandakan parti.
Demi kecintaan kepada parti dan perjuangan, setiap warga parti wajib menolak pemimpin yang sanggup menjual agamanya dengan melakukan apa sahaja demi merebut kuasa. Moga-moga perjuangan dan kehidupan kita akan lebih diberkati atas keikhlasan dan kesediaan kita untuk membanteras perlakuan rasuah politik yang ditentang keras oleh agama.
- UM, 10/08/08.

Tiada ulasan: