14 Januari 2009

Potong gaji sehari bantu Palestin

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
DR. ABDUL SHUKOR (baju putih)
melancarkan Tabung Gaza untuk
membantu penduduk Palestin akibat kekejaman Israel
di Stadium Tertutup Nilai semalam.
*****
NILAI - Kezaliman dan penindasan rejim Israel di bumi Palestin terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini tidak mahu terkecuali membantah perbuatan di luar kemanusiaan itu dengan mengumumkan pemotongan gaji sehari kepada semua kakitangan untuk disalurkan kepada Tabung Gaza bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk Palestin.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, potongan gaji itu dibuat sebagai tanda prihatin warga universiti itu terhadap kekejaman dilakukan tentera zionis ke atas rakyat Palestin.
"Saya tidak memaksa pemotongan gaji ini tetapi dilakukan sukarela melibatkan kakitangan akademik dan pentadbir USIM untuk disalurkan kepada Tabung Gaza.
"Kepada mahasiswa pula, saya juga merayu kita sama-sama menyumbang dalam Tabung Gaza. Kalau tidak sampai RM1 sekali pun, 10 sen pun boleh. Itu besar ertinya kerana kita dapat menghantar sebutir Panadol kepada penduduk Palestin," katanya.
Beliau berucap demikian pada Rapat Umum Sokongan Kepada Palestin dan Bantahan Keganasan Israel dan Sekutunya di Stadium Tertutup Nilai, di sini semalam.
Dalam rapat umum itu, lebih 5,000 mahasiswa dan kakitangan universiti itu hadir dengan berarak dari kampus berkenaan ke stadium itu sambil melaungkan pelbagai slogan anti-Israel serta membawa sepanduk mengutuk kekejaman tentera zionis.
--Kosmo Online

Tiada ulasan: