7 Januari 2009

Wan Ahmad Farid ditentang calon Pas, Bebas

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
SOKONGAN... Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin BN lain termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said (depan, tengah) serta penyokong-penyokong berjalan menuju ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.
*****
KUALA TERENGGANU 6 Jan. – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, akan berhadapan dengan dua pencabar dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.
Dalam proses penamaan calon hari ini di Stadium Negeri di sini, Wan Ahmad Farid yang menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.13 pagi akan ditentang oleh calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat@Adam.
Mohd. Abdul Wahid, 51, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.18 pagi manakala Azharuddin,46, berbuat demikian pada pukul 9.58 pagi iaitu kira-kira dua minit sebelum proses penamaan calon ditutup.
Kehadiran Azharudin dikatakan mengejutkan pemimpin BN dan Pas kerana sebelum ini nama beliau tidak disebut-sebut akan bertanding. Calon lain yang dikatakan berminat sebelum ini ialah peniaga getah sekerap, Isma Airfath Hassanudin, 38, dan seorang peniaga, Harun@Ab.Rahman Mohamad, 63. yang mewakili parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
Bagaimanapun sehingga proses penamaan calon ditutup, Isma Airfath tidak muncul manakala Harun yang dilihat memasuki dewan penamaan calon diminta meninggalkan dewan tersebut oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas dilihat tidak berminat menyerahkan borang pencalonannya.
Walaupun terdapat calon Bebas yang bertanding namun pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu tetap menjanjikan pertarungan sengit antara BN yang mempertahankan kerusi itu dan Pas.
Bagi BN, pilihan raya kecil berkenaan amat penting bagi menebus kekalahannya dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu manakala kepada Pas pula, ia bakal menjadi medan untuk membuktikan bahawa parti itu masih berpengaruh di Terengganu.
Pada sidang akhbar selepas pengumuman nama calon dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mat Razali Kassim pukul 11.28 pagi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengiringi Wan Ahmad Farid bersama lebih 10,000 penyokong BN berkata, pertandingan tiga penjuru bukanlah sesuatu yang mengejutkan BN.
‘‘Pada pilihan raya umum lalu pun kita terpaksa berhadapan pertandingan tiga penjuru. Selain itu, walaupun kita menganggap suasana hari pertama menyebelahi BN tetapi kami tidak akan berasa selesa atau memandang mudah pertandingan ini kerana ia satu persaingan yang sengit.
‘‘Malah BN juga tidak boleh memandang rendah keupayaan Pas kerana kita memahami parti itu adalah lawan yang ampuh. Kita tetap akan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan kerana itulah sasaran BN,” katanya yang akan mengepalai jentera pilihan raya BN di sini.
Dalam pilihan raya umum lalu, Razali mempertahankan kerusi berkenaan selepas memperoleh majoriti 628 undi mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof, 89, yang membuat keputusan tidak bertanding kali ini kerana tidak cukup wang.
Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Buruk yang ketiga-tiga dikuasai oleh Pas serta Bandar yang diwakili oleh BN.
Pada hari pengundian yang ditetapkan pada 17 Januari ini, seramai 80,229 pengundi berdaftar meliputi 79,194 pemilih biasa dan 1,035 pengundi pos akan mengundi.
- Utusan, 6/01/09.

Tiada ulasan: