Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail dan Haspaizi Mohd Zain bhnews@bharian.com.my
Khalid tak tunduk desakan Pas Selangor gugur Ronnie Liu
SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tidak tunduk terhadap desakan Pas Selangor yang mahu wakil rakyat DAP, Ronnie Liu, digugurkan daripada barisan Exco negeri kerana didakwa mengguris hati umat Islam.
Abdul Khalid pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini semalam, menegaskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan negeri itu tidak akan digugurkan kerana ia bukan isu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya hanya menjawab tiada komen setiap kali ditanya pemberita mengenai desakan Pas Selangor itu.
Kelmarin, Pas Selangor mendesak kerajaan negeri menggugurkan Liu sebagai Exco kerana mendakwa tindakan wakil rakyat DAP itu campur tangan dan menghalang pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas minuman keras telah mengguris perasaan umat Islam.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali juga mendakwa Liu banyak kali campur tangan dalam urusan PBT hingga menjejaskan moral dan semangat kakitangan agensi itu.
Kira-kira jam 3 petang semalam, Dewan Pemuda Pas Selangor turut menyerahkan memorandum kepada Liu. Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan, berkata Dewan Pemuda Pas Selangor menghantar memorandum itu bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan Liu dan meminta wakil rakyat DAP itu menghormati sensitiviti umat Islam.
"Pemuda Pas juga meminta supaya tindakan yang diambil pihak berkuasa tempatan merampas arak dihormati dan penjualan arak di kawasan itu tidak sepatutnya berlaku kerana majoriti, masyarakatnya adalah umat Islam," katanya.
Terdahulu, Abdul Khalid berkata, isu yang dibangkitkan Pas Selangor itu akan diselesaikan selepas kerajaan negeri membuat keputusan mengenai peraturan kecil penjualan minuman keras pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), esok.
Sehingga keputusan muktamad dibuat, katanya, semua Exco dan pegawai kerajaan negeri dilarang bercakap atau membuat sebarang komen mengenai isu penjualan minuman keras.
"Arahan ini diputuskan pada mesyuarat Exco selepas beberapa Exco membangkitkan isu penjualan minuman keras di kawasan majoriti Islam. Langkah ini diambil bagi mengelak kekeliruan yang boleh menyebabkan ketegangan di kalangan masyarakat majmuk di Selangor," katanya.
Beliau berkata, peraturan kecil penjualan minuman keras di Selangor yang akan diumumkan esok mengambil kira semua pihak, terutama sensitiviti umat Islam dan kepentingan bukan Islam. "Kita telah adakan dialog umum dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk dan sektor perniagaan berhubung isu ini. Kami yakin dapat mencapai penyelesaian yang munasabah bagi semua kaum di Selangor," katanya.
Difahamkan, kerajaan negeri akan menguatkuasakan peraturan kecil melarang penjualan minuman keras di kawasan majoriti Islam di semua 12 PBT di Selangor.
Peraturan itu telah ada sejak 1996, tetapi hanya dikuatkuasakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggunakan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1996.
Apabila dikuatkuasakan, semua premis termasuk kedai serbaneka di kawasan membabitkan Seksyen 1 sehingga 24 di bandar raya ini dijangka tidak dibenarkan menjual minuman keras.
##
Tiada ulasan:
Catat Ulasan