20 Ogos 2009

Sultan Selangor tolak

[Utusan - 20/08/09]
Oleh Nor Sedek Ismail
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 19 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini dengan tegas menolak sebarang cadangan untuk menggunakan wang zakat bagi tujuan selain daripada membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri ini.
Sehubungan itu baginda tidak mahu pihak luar daripada pentadbiran Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencampuri hal ehwal pengurusan zakat di negeri ini.
Baginda juga berharap Jabatan Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dapat sama-sama berganding bahu memastikan pengurusan zakat dapat dijalankan dengan baik dan sempurna.
Titah baginda, pendekatan itu penting agar wang zakat dapat memberi manfaat kepada umat Islam di negeri ini dan diberkati Allah SWT.
“Beta tidak berkenan mereka yang luar daripada pentadbiran LZS campur tangan dalam pengurusan zakat di negeri ini,” titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Zakat Selangor di sini.
Sultan Selangor bertitah, baginda sangat mengambil berat dan mengikuti pengurusan zakat di negeri ini kerana wang zakat dibayar oleh umat Islam bagi menunaikan salah satu daripada Rukun Islam.
Kenyataan Sultan Selangor itu sekali gus menjawab persoalan tentang penggunaan dana Baitulmal bagi tujuan-tujuan lain termasuk menampung kos pembangunan negeri.
##

Tiada ulasan: