3 November 2009

Ahli Parlimen antara 5 didakwa

[Utusan - 03/11/09]
Oleh UMAVATHI RAMAYAH

uma.ramayah@utusdan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Seorang ahli Parlimen adalah antara lima yang akan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Shah Alam dekat sini esok kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan rasuah.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Ahli Parlimen terbabit ditahan bersama pembantunya selepas dipercayai terlibat dalam pemalsuan invois-invois ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Penipuan maklumat dalam invois itu dipercayai dilakukan bagi melaksanakan satu program yang tidak dijalankan.
Pembantu beliau pula ditahan kerana bersekongkol dengan ahli politik itu dalam membuat tuntutan bagi program yang sama.
Seorang lagi ahli politik yang akan didakwa esok ialah pembantu khas kepada Exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu iaitu Wong Chuan How, 51, yang sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi kononnya dia ditolak oleh anggota SPRM ketika ditahan untuk mengambil keterangan.
Dia turut dikatakan membuat kecoh apabila berpura-pura jatuh ketika menghampiri kenderaan SPRM.
Chuan How yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sepang itu akan didakwa atas kesalahan mengemukakan invois mengandungi maklumat palsu kepada Pejabat Daerah Sepang bagi membekalkan barangan sempena program sambutan Hari Kebangsaan pada tahun lalu.
Bagaimanapun barangan itu tidak dibekalkan.
Pada masa yang sama beliau dituduh atas dua kesalahan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah.
Dalam pada itu dua lagi yang akan didakwa esok di mahkamah sama adalah bekas pegawai Menteri Besar Selangor dan seorang pengarah syarikat.
Bekas pegawai Menteri Besar Selangor yang ditahan hari ini akan dihadap ke mahkamah kerana disyaki menipu dan memperdaya presiden sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri terbabit bagi tujuan pembiayaan sebuah majlis melibatkan sejumlah RM50,000.
Seorang lagi pengarah syarikat pula akan didakwa atas kesalahan mengemukakan invois-invois maklumat palsu kepada Pejabat Daerah Hulu Langat.
Invois itu bagi membekalkan barangan dan keperluan program Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Selangor pada tahun lepas sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.
##

Tiada ulasan: