10 Disember 2009

Malaysia taja biasiswa, latih guru selatan Thai

Utusan - 11/12/09
Oleh Zulkiflee Bakar
Najib Tun Razak berjabat tangan dengan Abhisit Vejjajiva selepas Majlis Menamakan Semula Jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa sebagai Jambatan Persahabatan di Jeli, semalam. – UTUSAN/Hafiz Johari
*****

NARATHIWAT 9 Dis. – Malaysia memulakan langkah pertama yang dianggap signifikan dalam membantu penduduk Islam di selatan Thailand apabila mengumumkan penajaan biasiswa dan latihan kepada guru serta pelajar di wilayah berkenaan.
Buat permulaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kesediaan menerima lima guru dari Institut Islam Attakiah, di sini untuk menjalani latihan pembelajaran bahasa Inggeris di institut perguruan di Malaysia.
“Kementerian Pelajaran akan menerima lima guru dari sekolah itu setiap tahun bagi menjalani latihan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melakukan lawatan bersama ke institut berkenaan hari ini.
Lawatan yang dianggap bersejarah itu merupakan salah satu acara dalam rangka lawatan tiga hari Perdana Menteri ke Thailand bermula kelmarin.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kerja Raya, Datuk Saziman Mansor.
Mengenai penajaan biasiswa pula kata Najib, tiga pelajar lulusan sekolah itu akan menikmati kemudahan berkenaan setiap tahun bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas.
“Mereka akan menerima penajaan biasiswa oleh Kerajaan Malaysia melalui Petronas,” katanya.
Dalam ucapan itu juga, Najib berkata, perkembangan pesat yang dilalui oleh Institut Islam Attakiah telah menjadi bukti bahawa pembelajaran dan pengajaran islam adalah satu perkara yang digalakkan oleh kerajaan Thailand.
“Saya amat yakin dan percaya pembelajaran dan pengajaran Islam di sekolah ini dan di selatan Thailand dapat terus dibangunkan berlandaskan kepada dasar yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Thailand dalam perbincangan dengan saya,” katanya.
Atas semangat itu juga kata Perdana Menteri, berikutan permintaan Abhisit, Kerajaan Malaysia akan menimbang untuk membantu sekolah-sekolah agama di selatan Thailand bagi membolehkan ia terus berkembang dari semasa ke semasa.
Mengenai Institut Islam Attakiah, Najib berkata, beliau berbangga kerana sekolah itu yang mempunyai 4,500 pelajar merupakan sekolah agama tersohor di Thailand.

/...

Tiada ulasan: