10 Januari 2010

Bukan umpan pilihan raya - TPM

UTUSAN - 10/01/10
HULU SELANGOR 9 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program Juara Rakyat anjuran UMNO dengan sokongan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bermula semalam bukan merupakan satu bentuk umpan untuk memancing pengundi pada pilihan raya umum nanti.
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, sebaliknya program itu adalah manifestasi UMNO untuk mengingatkan semua peringkat kepimpinan parti supaya meningkatkan usaha membela nasib rakyat terutama di peringkat akar umbi.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan, usaha berterusan UMNO dan BN dalam memperjuangkan nasib rakyat telah terbukti sejak sekian lama dalam sejarah politik negara.
"Ada pihak kata program ini merupakan usaha UMNO dan BN menghadapi pilihan raya umum akan datang. Ini tidak betul.
"Sebaliknya program ini merupakan langkah kita meningkatkan komitmen, iltizam dan kesungguhan untuk membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya ketika berucap pada program itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan semua barisan pemimpin UMNO dari setiap peringkat supaya terus mendampingi dan memahami permasalahan rakyat.
Katanya, usaha sebegitu harus dilakukan setiap masa dan bukannya sekadar ketika program seumpama itu dianjurkan atau ketika hari-hari tertentu.
Tegasnya, usaha berterusan itu perlu dipertingkatkan walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam melaksanakannya.
"Kita juga akan juarai usaha membela nasib rakyat yang masih dahagakan pembelaan, bimbingan dan pimpinan. Inilah tanggungjawab kita,'' katanya.
Dengan usaha sedemikian katanya, tidak mustahil rakyat akan terus menyokong kepimpinan UMNO dan BN.
/...

Tiada ulasan: