4 Januari 2010

KDN kaji dan rayu secepat mungkin

UTUSAN - 04/01/10
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat rayuan secepat mungkin berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald-The Catholic Weekly dan mengemukakan rayuan mengenainya secepat mungkin.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya juga akan mengkaji semua maklum balas sebelum mempertimbangkan untuk meneliti peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, ini termasuklah fasal-fasal dalam Perlembagaan bagi mengukuhkan hak dan kedudukan Islam agar ia tidak boleh dicabar mana-mana pihak.
Bagi tujuan itu, katanya, KDN akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara dan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Memandangkan isu ini melibatkan keputusan mahkamah, maka KDN akan meneliti perkara ini dan akan mengemukakan rayuan.
"Sementara menunggu keputusan rayuan itu, saya menyeru semua pihak bertenang dan tidak melakukan sesuatu yang menyinggung mana-mana pihak atau menimbulkan masalah ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Khamis lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.
Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.
Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit akhbar itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarangnya menggunakan perkataan Allah adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.
Hishammuddin menambah, semua sumber dan kekuatan undang-undang termasuk peruntukan Perlembagaan akan digunakan untuk memastikan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi terus terjamin.
Beliau melahirkan kebimbangan keputusan mahkamah itu akan membangkitkan emosi di kalangan umat Islam dan menarik perhatian semua pihak.
Bagaimanapun beliau melahirkan penghargaan kerana isu berkenaan tidak menjadi begitu sensitif di Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung.
"Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa perkara yang diperkatakan ini amat sensitif, segala tindakan susulan perlu dikendalikan secara berhati-hati.
"Dalam menangani isu ini, jangan ada ada pihak yang bertindak di luar peraturan dan undang-undang kerana kita di negara ini telah melalui pelbagai cabaran dan ujian malah segala halangan serta masalah telah kita tangani dengan menggunakan akal yang waras," katanya.
/...

Tiada ulasan: