5 Januari 2010

Raja Petra dikena dakwaan baru

UTUSAN - 05/01/10
Oleh HELMI MOHD. FOAD
utusanputrajaya@utusan.com.my
PUTRAJAYA 4 Jan. - Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang menjadi pelarian di luar negara mungkin menghadapi dakwaan baru jika dia berjaya dibawa pulang ke negara ini.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, Raja Petra boleh disabitkan kesalahan menggunakan pasport negara asing untuk meninggalkan negara ini.
"Kita perlu menimbang untuk mendakwa beliau jika terdapat laporan polis ke atasnya dan siasatan dilakukan berdasarkan laporan itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Abdul Gani ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil ke atas Raja Petra jika dia didapati menggunakan pasport asing untuk meninggalkan negara ini tahun lalu.
Mingguan Malaysia pada 20 Disember lalu menyiarkan laporan bahawa Raja Petra dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 30 Disember pula mengesahkan Raja Petra yang menjadi buruan polis sejak hampir lapan bulan lalu kini berada di London.
Dalam entri terbaru pada laman webnya, Raja Petra mendakwa dia kini berada di Poland menyambut sambutan Tahun Baru.
Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Dia dituduh menerbitkan artikel bertajuk Let's Send the Altantuya Murderers to Hell dalam blog www.malaysia-today.net, bertarikh 25 April 2008.
Selain itu, dia dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 18 Jun tahun lalu.
Mahkamah Sesyen pada 11 dan 13 November lalu bagaimanapun membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak pendakwaan gagal mengesannya.
Abdul Gani berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mendakwa Raja Petra tetapi pihak berkuasa perlu membawa dia pulang ke negara ini terlebih dahulu.
"Anda tidak boleh sembarangan mendakwa seseorang sedangkan anda tidak boleh mendapatkan orang itu.
''Memandangkan mahkamah membebaskan tanpa melepaskannya, jadi dia masih berhadapan dengan dakwaan di atas kes yang sama apabila pulang ke tanah air," katanya.
Tambah beliau, pihak berkuasa masih terus berusaha untuk mengenal pasti lokasi sebenar Raja Petra di luar negara.
"Apabila dia dapat dikesan, maka satu permohonan perlu dibuat kepada negara terbabit bagi membawanya pulang untuk menghadapi pendakwaan di mahkamah," katanya.
/...

Tiada ulasan: