11 Februari 2010

Dasar, cara DAP tak bantu perpaduan

UM - 11/02/10
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Dasar dan cara DAP yang mementingkan keperluan satu kaum sahaja tidak membantu integrasi nasional dan perpaduan rakyat di negara ini.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, malah perkara itu juga menjadi penghalang utama kepada masyarakat Malaysia untuk terus mengecapi keharmonian dan kesejahteraan bersama.
Menurut beliau, perjuangan DAP sebenarnya langsung tidak mencerminkan aspirasi Malaysia sebagai negara berbilang kaum, agama dan budaya.
"Memang DAP lain daripada yang lain. Ia adalah parti bapa dan anak. Dasar cauvinisnya jelas dan jika diperhalusi, parti ini sememangnya menolak asas Perlembagaan negara iaitu Fasal 153," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ibrahim diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin bahawa pakatan pembangkang sebenarnya tidak memerlukan DAP.
Zulkifli mendakwa DAP menjadi punca utama kepada semua masalah dalaman yang melanda pembangkang sekarang.
Bagi Ibrahim, pendekatan dan perjuangan DAP mendapat sokongan kaum Cina kerana ia sentiasa membangkitkan isu-isu dan sentimen bagi menyentuh emosi kaum itu.
"Walaupun kaum Cina hanya 30 peratus dan jumlah bumiputera pula 67 peratus, DAP mahu kaum Cina mendominasi negara ini kerana alasan kaum itu menguasai ekonomi negara sebanyak 60 peratus," katanya.
Ibrahim sendiri hairan dengan sikap parti pembangkang lain terutama Pas yang boleh bekerjasama dan memberi muka kepada DAP yang sememang sudah diketahui secara terang-terangan asas perjuangannya.
Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail pula berkata, jika dilihat pada sejarah dan asas perjuangan, DAP adalah kesinambungan kepada perjuangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang membawa Singapura keluar dari Malaysia.
"PAP telah membawa Singapura keluar dari Malaysia dulu. Pemimpin-pemimpin PAP yang tidak mahu ke Singapura mewujudkan DAP dan meneruskan perjuangan, visi, matlamat yang sama dengan PAP.
"Perjuangan DAP langsung tidak ada ciri-ciri yang sama seperti parti lain dalam pakatan pembangkang. Apa yang diperjuangkan memang betul-betul cauvinis dan bersifat rasis," katanya.
Ahmad Zaki bagaimanapun yakin kini terdapat perubahan ketara terutama pada generasi muda di dalam pakatan pembangkang untuk mula memahami konsep perjuangan politik yang sepatutnya di Malaysia.
Katanya, Pas mungkin boleh memikirkan atau mentakrifkan semula hubungan di dalam pakatan pembangkang terutama dengan DAP sama ada ia boleh diteruskan atau tidak.
"Apabila Pas berkata sedia untuk berbincang dengan UMNO, maka UMNO mahupun Barisan Nasional (BN) perlu membuka seluas-luasnya peluang itu.
"Bukannya Pas tidak tahu asas perjuangan BN selama ini kerana ia pernah berada dalam pakatan itu. Maka tidak mustahil hubungan itu terjalin semula. Pas lebih memahami hubungan dengan BN lebih daripada dengan DAP," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: