10 Februari 2010

Guan Eng didesak senaraikan gerai peniaga Melayu

Utusan - 10/02/10
NIBONG TEBAL 9 Feb. - Kerajaan negeri didesak menyenaraikan jumlah gerai peniaga Melayu yang dibina sepanjang dua tahun pakatan pembangkang memerintah.
Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng perlu tampil membuktikan keikhlasan mengenai dakwaannya bahawa kerajaan negeri tidak meminggirkan peniaga Melayu di negeri itu.
Menurutnya, orang Melayu sudah muak mendengar pelbagai alasan kononnya jumlah gerai peniaga Melayu yang dirobohkan lebih rendah berbanding gerai peniaga Cina.
"Kerajaan negeri boleh mencipta statistik gerai peniaga Cina yang dirobohkan kononnya lebih banyak daripada peniaga Melayu dan mendakwa tidak pilih kasih.
"Kami nak tengok jumlah peruntukan yang disediakan bagi membina gerai baru untuk peniaga Melayu dan langkah diambil bagi menempatkan golongan terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menziarahi penduduk di Jawi dan Sungai Bakap sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Isu gerai dan premis perniagaan peniaga Melayu di Pulau Pinang yang dirobohkan kerana didakwa beroperasi tanpa lesen hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Jelas Zainal, pihaknya telah mengarahkan Biro Ekonomi UMNO negeri mengambil tindakan susulan bagi membela nasib peniaga Melayu.
"Jika kerajaan negeri enggan membina gerai dan tapak berniaga untuk orang Melayu, biar UMNO yang buat asalkan kerajaan negeri beri tanah," ujarnya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: