7 Februari 2010

Pas perlu tetapkan pendirian sebelum ajak UMNO berbincang

Bernama - 07/02/10
KUALA LUMPUR, 6 Feb. - PAS perlu lebih tegas dalam pendiriannya sebelum membuat tawaran untuk berbincang dengan Umno mengenai sebarang isu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Presiden Umno berkata, pendirian tegas PAS amat diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat kerana pengalaman sebelum ini membuktikan PAS tidak konsisten dan selalu berdolak-dalik.
"Saya tak tau nak kata apa sebab pendirian dia (Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ni bertukar macam cuaca, ada masa dia setuju, ada masa tak setuju.
"Saya nak tunggu pendirian yang tegas oleh PAS, jadi bila dia bersikap dolak-dalik ni susah nak cerita," katanya pada sidang akhbar di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Baru selepas melakukan tinjauan mesra ke Kampung Baru hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan timbalannya Datuk M.Saravanan serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail.
Najib berkata demikian ketika ditanya pendirian Umno berhubung kenyataan Nik Abdul Aziz yang mahu Umno dan PAS menghentikan pertelagahan mengenai politik, sebaliknya duduk semeja berbincang isu-isu berkaitan agama Islam.
Najib berkata, pendirian tidak tegas dan sikap berdolak-dalik pemimpin PAS membuatkan Umno tidak boleh membuat keputusan atas pelawaan itu ketika ini.
Umno pernah menyatakan kesediaan berbincang dengan PAS mengenai kepentingan umat Islam selepas idea mengenainya dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti itu tahun lepas.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan Nik Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menafikan dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa Umno menghabiskan masa lebih 50 tahun untuk menyerang pergerakan Islam seperti PAS, sebaliknya Najib berkata, Umno adalah parti sebenar yang membangunkan Islam di negara ini. -
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: