4 Februari 2010

‘Saya terima, saya tak kisah’

Utusan - 04/02/10
Oleh Siti Mariam Md. Zain
IPOH 3 Feb. – Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan pendekatan pembangkang melakukan serangan peribadi terbaru terhadapnya mempunyai kaitan dengan keputusan mahkamah yang akan diumumkan pada 9 Februari ini.
Menurut Menteri Besar Perak itu, beliau tidak kisah dengan tindakan pembangkang ‘menghinanya’ kerana yang lebih penting ialah memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus terpelihara.
‘‘Biarlah mereka kata saya cetek fikiran, bodoh, bangang kerana itu memang bahasa mereka. Mereka sahaja yang pandai, berakhlak tinggi, hebat. Saya terima, saya tak kisah,” katanya di sini, hari ini.
Zambry mengulas kritikan pembangkang terhadapnya berhubung cabaran beliau supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mengosongkan kerusi masing-masing untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
Cabaran tersebut telah menimbulkan ‘kemarahan’ ADUN-ADUN pembangkang apabila mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bersifat ‘peribadi’.
Menurut Zambry, beliau sebenarnya tidak mahu melayan kerenah parti lawan yang dilihat sentiasa berusaha menganggu-gugat kepimpinannya.
‘‘Saya sebenarnya tidak mahu buang masa saya melayan mereka. Tetapi mereka sendiri mengelabah hingga mengatakan saya bongkak dan angkuh.
‘‘Begitulah watak-watak mereka. Sebenarnya, mereka yang bongkak dan angkuh. Mereka kata mereka diterima rakyat, diri tak penting kerana yang penting adalah parti. Kenapa sekarang nampak kelam-kabut,” soalnya.
Dalam masa sama, Zambry meminta pemimpin-pemimpin pembangkang supaya mencermin diri sendiri sebelum melakukan tuduhan terhadap pemimpin lain.
‘‘Mereka perlu lihat apa yang berlaku di dalam parti sendiri. Bagaimana tindakan pemimpin-pemimpin mereka apabila menerima kritikan seperti berlaku di Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.
Tegas Zambry, sudah sampai masanya pembangkang khususnya di Perak menghentikan segala pembohongan mereka sebaliknya menumpukan kepada usaha-usaha pembangunan bersama demi kebaikan rakyat negeri ini.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: