3 Mac 2010

'Henti serang peribadi saya'

UM - 03/03/10
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my MOHAMMAD Fairus Khairuddin (kiri) menerima sijil keahlian UMNO daripada Ab. Raof Yusoh, sambil diperhatikan oleh Ketua Pemuda UMNO Gombak, Megat Zulkarnain Umardin di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
*****
KUALA LUMPUR 2 Mac - Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini memberi amaran kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti pembangkang lain supaya berhenti daripada menyerang peribadinya.
Katanya, mereka harus sedar beliau sebelum ini merupakan seorang Timbalan Ketua Menteri dan pemimpin parti yang tentunya mengetahui banyak rahsia terutama dalam kerajaan Pulau Pinang serta PKR sendiri.
Justeru bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu mengingatkan, beliau sedia mendedahkan setiap kepincangan dan kelemahan di peringkat kerajaan Pulau Pinang atau PKR jika perbuatan mengaibkan dirinya itu tidak dihentikan segera.
"Jangan jolok sarang tebuan. Jangan cuba bermain api dengan saya. Mereka aibkan saya dengan pelbagai kenyataan yang tidak benar. Kepada mereka, saya ingatkan jangan sangka saya gentar dan takut.
"Ia sedikitpun tidak menjejaskan saya. Politik yang mereka amalkan adalah politik budak-budak yang langsung tidak melambangkan amalan politik yang lebih matang. Ingat, saya mengetahui banyak rahsia kerajaan Pulau Pinang dan PKR," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima sijil keahlian UMNO daripada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Raof Yusoh di Menara Datuk Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau mengulas pelbagai kenyataan oleh pucuk pimpinan PKR di media termasuk di beberapa laman blog mengenai tindakannya keluar PKR dan menyertai UMNO.
Antara pemimpin pembangkang yang mengeluarkan kenyataan ialah Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali yang mendakwa Mohammad Fairus merupakan liabiliti bagi PKR.
Syed Husin melalui laman web rasmi parti, www.keadilanrakyat.org di bawah tajuk Syukur Fairus Keluar Keadilan turut mendedahkan beberapa salah laku Mohammad Fairus.
Bagaimanapun Mohammad Fairus berkata, buat masa ini beliau tidak terdesak untuk menggunakan pendekatan mengaibkan orang lain kerana perbuatan itu bukannya jenis politik yang sihat serta ia tidak digalakkan di dalam Islam.
"Islam mengajar kita menutup aib saudara kita sendiri dan sebab itu saya amat hairan bagaimana tergamak pemimpin PKR bersikap demikian. Kita berpolitik untuk membela rakyat, menjaga rakyat dan bukannya mengaibkan orang lain.
"Saya sendiri tidak tergamak untuk melakukan perbuatan ini walaupun saya tahu banyak perkara tentang mereka. Saya amat berharap supaya mereka insaf," katanya.
Dalam pada itu Mohammad Fairus berkata, tindakan beberapa pemimpin PKR mempersoalkan kesetiaannya kepada parti tidak sepatutnya timbul.
Ujarnya, atas dasar kesetiaan beliau akur dengan arahan pucuk pimpinan meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan ADUN Penanti.
"Apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta saya meletakkan jawatan, saya akur dan tidak membantah," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, adalah tidak adil apabila ada pihak menuduhnya gagal memberikan komitmen ketika menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Menteri.
"Pada masa itu saya baru setahun dilantik dan saya akui pada peringkat awal pelantikan, saya boleh dikatakan masih hijau dalam politik.
"Namun dalam tempoh itu saya belajar untuk menjadi seorang ahli politik yang matang.
"Alhamdulillah saya berjaya dan sedaya upaya cuba menjadi pemimpin yang baik untuk rakyat tetapi sebelum sempat meneruskan usaha membantu rakyat, saya diminta meletak jawatan," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: